Gerhana Koleksi Puisi Muhammad Jailani
Prakata Puisi-puisi yang dimuatkan dalam koleksi kecil ini merupakan antara karya-karya puisi yang telah diterbitkan di media Malaysia and Singapura. Saya percaya bahawa hampir kesemua puisi-puisi saya yang pernah diterbitkan membawa nafas surrealisme. Namun begitu, saya percaya bahawa pembaca berhak memberikan penilaiannya tersendiri ke atas setiap karya puisi. Puisi-puisi ini merakamkan emosi saya yang terusik tatkala memerhatikan nasib manusia di alaf kontemporari ini. Keperihatinan saya terhadap dunia sekeliling sekali gus menjadi sumber inspirasi setiap karya-karya yang diterbitkan. Saya percaya bahawa golongan penyair mempunyai tanggungjawab yang penting dalam pembentukan keperibadian sesebuah masyarakat. Bertunjangkan prinsip 'seni untuk masyarakat' yang dikibarkan sama dengan badan Angkatan Sasterawan '50, saya mempunyai harapan tinggi agar karya-karya saya dapat dimanfaatkan setiap insan yang meluangkan masa untuk membacanya. Insya'allah. Muhammad Jailani Abu Talib 3 Jun 2009 Singapura
Gerhana Resah gelisah Merintih dalam kesepian Melayan jiwa Kata-kata menjadi kaca, Pecah seribu hurai, Tanpa satu hala tuju Hanya di akhir jalan Bermulanya fakir Rakus hancur Bicara sendiri tanpa noktah Hantu akal punya diri Gerhana malam Kupu-kupu merayau entah ke mana Singgah sana sini Siapakah kawan dan lawan? Sanggup dicabul kehormatan Berhelakan madu akar kemanusiaan Paruh garuda kias jentayu Tinta tayang kasih tanpa kiblat Berita Minggu June 01,2008
Seperiuk Nasi Jelantah Kau bilang kasihan; Mereka yang hidup merempat, Kehilangan kiblat pendapatan, Meracau di dalam gelap, Kau bilang kasihan; Mereka yang tanpa pedoman, Kalah perang tanpa serdadu, Berenang di dalam air mata abadi, Bersenjatakan kalimah belas, Kau mengambil tempat raja, Menghukum mereka, Apa guna kau kasihan! Tanpa sedikit pun rasa ikhlas, Kau cuba menghurai, Mungkin ini balasan dosa! Balasan kafir! Kau hadiahkan seperiuk nasi jelantah, Disuap dengan tangan kiri, Kendurikan mulut yang memerlukan, Agar nama kau mashyur seluruh alam, Perhatikan periuk nasi yang kau beri, Tidak akan lebih putih berseri, Senyumkah engkau sekiranya engkau mereka? Disuap nasi oleh manusia bermegah diri. Berita Minggu August 04,2008 Berita Minggu October 12, 2008
Pujut sedetik pusara meluak darah hamis melimpah wangian melati berganti pacai bumi mengerak teriak kafir mengerang BIARKAN AKU!!!DISINI!! meronta-ronta melepas genggam suara bonda menjauh ditimbus debuan hutan mega mendung menyusul menggerimis nanah meracau dalam kegelapan si kaya menyamar fakir melamar mati dalam kesenangan mengharap dapur marmar emas Berita Minggu 7 September 2008
Jerih Harung lembah nyata, Halilintar dianggap bayu, Sapa jerih diantara senang, Genggam bara seksa Basmi sinar jaya, Bungkam dalam setia, Bisu seribu kata, Buta detik sejuta, Menyongsong jalan berduri, Menyusur pelangi kaca, Aku seni daya, Lemah hadap senja Berita Minggu January 18. 2009
Bisik Tuhan berbisik Lewat keroncong perut anak kelaparan Getar suara bumi menangis Hamparan buih mendinding Menghentam-hempas, Meniban cari mangsa Bisikan Illahi Lantang kedengaran lewat tangisan bayi Sekelip mata kehilangan ibunya Terlepas dari gendongan ayahnya Perih menerima hakikat Bisik esa Elok kedengaran sebelum terlewat Mengenal makrifat Mengenal hakikat Mengenal diri sebelum terlewat Berita Minggu November 02, 2008
Inilah hasil jemawa Inilah hasil jemawa Petani dijanjikan ke angkasa Diinjak segala sisa huma Keringat tidak seberapa Berani bersemuka, bermuka Asalkan nama harum semesta Inilah hasil jemawa Anak kecil merempat di lesehan Isteri mengemis kasih tetangga Sedangkan diri ketaksuban Dinoda kemilau sinar Menggaru serpihan cendana Inilah hasil jemawa Sumpah Tun Jana Khatib memperkasa Hang Nadim lemas ke dasar lautan Disegani bayang-bayang sendiri dilucutkan pangkat dan takhta Namun akhirnya kehilangan jua Mingguan Warta Perdana, Malaysia December 14, 2008
Ku berani mati Rempuh!! Rentas padang durjana Lintas titian sepi Kendatipun syahid Rebah di hujung jari Teguh tetap berdiri Jauhari mengenal manikam jua Ku tak gentar mati Sedikit tidak peduli Asalkan benar Ku berani Hingga ke akhir jalan Biar lemas dalam hinaan Caci maki Sedikit ku tak peduli Ku berani mati Hingga titisan darah akhir Diterbitkan dalam Introspek (2008) Dideklamasikan pada October 23, 2008 di UM, Dewan Tunku Chancellor
Merah Darah Muda Waktu belalu mengusir benak fikiran Sekali lagi membakar lenyap ingatan Bayangan sebuah harapan hangus Tercegat seorang terbiar kekontangan Larian ke jalan buntu terpisah pasrah semua arah gelita nasib mereka yang khayal padah menanti tiap-tiap kali rasakan hidup selepas mati lagikan mati di kalangan hidup natijah nafas-nafas keluh kesal insan lemah lagi gagal Serah bukan bererti kalah Bagai nasib seorang pengemis Tukar jadi hartawan sekelip mata Tatkala muda hina satu hari mungkin Manifestasi insan berbakti mulia Walau meluap bara periuk api Walau jadi sasaran peluru pandu Keringat anak-anak muda tetap basah Sumpah pemuda seribu kalimah Bersama Menjana bakti Negara Dikibar panji dunia Kawat mara sebangsa Ditempah nama di peta angkasa Dibina sejuta aspirasi Mencari emas di hujung titi Pemangkin nilai manusia Bara semangat ketamadunan Berdiri di atas kaki sendiri Ditebarkan sayap lima sewarna Terpasak abadi di Singapura Tapak penjanaan visi belia
Memburu kejayaan sepantun pendekar Md Jailani & Fariz Husna Sajani Dipentaskan pada 21 Oktober di Esplanade Theatre, Singapura
Hukum rimba Hukum rimba Tiada adab Tiada adat Tiada budi Tiada akal Nescaya musnah Hancur berkecai Makhluk taksub Pelarian mencari rumah Atas usaha siapa? Kau diusir kluar Pasir bertabur di mata Pisau mencucuk telinga Kononnya Menurut adat Menjunjung titah Lestari sumpah Budaya manusia Menggeletar mawar ditinggalkan duri Rebah insan tiada berbudi Mati harimau bersembunyi Laksana makhluk lupa diri Berita Minggu (Malaysia) 14 March 2009
Bayang Ku gapai bayangku sendiri Arah ufuk hilangnya mentari Menarinya siang dalam kesyahduan Bertapa menunggukan sebuah waktu Mimpi tasbih jelaga yang terbakar Agar bisa bayangku merayau Menghilang dalam igauan kasih Sehingga kabur bezanya Antara bentala dan cakerawala Dibentengi kerakusan sebuah makhluk Moga kembali jua bayangku Dari kembara perdana pujangga Lang menyongsong angin Bersua dengan pukulan kencang gempita Kembali dirinya terpaksi Hakikat yang tersimpuh dua Antara kedukaan dan kepahitan Hempedu yang tercelup dalam gula Lewat senandung syahdu penglipur lara Terkelu bisu mencari kedamaian rasa Berita Minggu April 26, 2009
Warkah sebelum aku mati Yang tercinta dan tersayang, Diriku yg rebah di hujung peluru, Hampir kekontangan darah, Mengamat sisa-sisa nafasku, Nyawa dirampas serdadu, Mencelah bisikan aku dengan rentetan, Bunyi-bunyi senapang dan meriam, Aku pasti. Esok apabila engkau membaca, Mentafsir susunan huruf dan ayat, Mengenal dunia melalui perspektif berbeza, Tanpa keperluan untuk memahkotakan, Pandangan menyesah, Mencaci dan menghelah, Masa jangan kau jadikan pengukur, Manifestasi usia untuk menentang, Mengikat sabuk di depan mata Dihalakan jalan batu-bata binaan buta, Sesungguhnya engkau berakal, Dapat mengenal budi dan pekerti, Membezakan antara tiruan dan jati Sebelum lafaz kalimah syahadahku ke penghujung, Pastikan duhai bangsa negaraku, Kau berdiri di atas tunggak kebenaran, Rela mara kehadapan untuk berbakti, Menangkis serangan kejam mengganas, Tidak akan biarkan ilmu membungkam, Berkubu di balik wajah tidak bermaya Kau sama memanjat, Berbekalkan ilmu dan pendirian, Ikhlas dengan dada melapang, Bermenterakan suratan Quran. Sekiranya adatmu menerjang kemajuan, Kau sanggup berdiri di atas dua kaki sendiri,
Semoga kau mencapai bintang di puncak dunia. Diterbitkan dalam lelaman www.asas50.com
Menggapai Angkasa Aku merdeka, Sehelai sepinggang, Jiwa dan rasa, Nusa dan bangsa, Dikari tanpa penjajah, Ilham seorang, Demi anak negara, Merentasi jurang warna, Menentang sesah pandang, Swapraja negara, Menyusur pelangi kaca, Bersama kita berdiri, Tanpa kenal Melayu, Cina, Arab, India, Mara menghadap, Sebagai watan bumi, Belayar lautan duri, Ikut rentak satu hati, Sesungguhnya, Bersatu teguh, Bercerai runtuh, Maka menggapailah, Mencapai angkasa, Membina rukyah, Agar dibuka mata, Orang disebelah sana, Yang selama ini tidak percaya, “Mana mungkin ia bisa!, Tanpa harta”. Ketahuilah, Aku bercekalkan kepercayaan, Atas suratan kudrat sendiri, Bersandarkan kersani ketabahan. Pemenang Anugerah Kecemerlangan Angkatan Sasterawan '50 (Asas '50)
Serat Centhini Anakanda, Andai esok engkau berkesempatan, Memecahkan dunia kaca, Digantikan dengan permata, Kau ajarkan, Beza intan daripada duri, Bangkit dari bersilang damai, Pendekar alpa pelupa, Taksub mencari, Gemala sakti terkunci, Dibimbing azimat ajaib, Asyik termenung, Berjurus tanpa kenal pukulan, Dibiarkan harta berkerajaan, Bermaharajalela, Serat Centhini, Budaya itu Budi, Mampu menyatukan, Menjalinkan hubungan, Kitakan berbangsa, Kesatuan dalam kepelbagaian, Tidak bisa dipecahkan, Jangan kau sekali melupa, Pantang berjoget di atas wang, Berinang tanpa ilmu, Membiarkan budimu dipustakakan, Sekali-sekala dirujuk sarjana, Jangan kau pusarakan pusaka, Mencelup nisan dengan gula-gula, Menghalalkan yang haram, Melacur dan menurut, Semoga esok-esok, Sekiranya engkau bertanjak, Kau tahu akan bertangga tujuh, Sekiranya engkau menari, Kau berilmu akan lima yang asas, Sekiranya engkau bersilat,
Kau berbunga sehingga ia berbuah, Anakanda, Budaya itu Budi, Penuh dengan pekerti. Puisi telah dilagukan oleh Noorhaqmal, seorang pemuzik yang berpangkalan di Singapura.