Kk6 Dr Haji Jaludin

  • November 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Kk6 Dr Haji Jaludin as PDF for free.

More details

  • Words: 2,693
  • Pages: 10
Kedwibahasaan dan Masalah Sosial: Sebuah Renungan∗ Oleh Prof. Madya Dr. Haji Jaludin bin Haji Chuchu Jabatan Bahasa Melayu dan Linguistik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Brunei Darussalam

1. Pendahuluan Perkataan dan konsep dwibahasa seringkali disalahtafsirkan oleh kebanyakan masyarakat di alam Melayu ini. Dalam erti kata yang lain, apabila sahaja disebut dwibahasa, sering dikonsepkan sebagai kemampuan untuk berbahasa dua bahasa; iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan bahasa Inggeris sebagai kemampuan kedua untuk berbahasa. Tafsiran sebegini sememangnya ada benar dan logiknya kerana kalau kita perhatikan definisi Weinreich (1953), seseorang yang dianggap sebagai dwibahasaan itu ialah orang yang dapat memakai dua bahasa secara bergantian. Dari definisi Weinreich ini, kemampuan dwibahasa itu ialah kemampuan untuk memakai dua bahasa secara bergantian, namun dalam konteks di negara ini dwibahasa itu masih lagi ditafsirkan sebagai kemampuan memakai dua bahasa tetapi untuk lebih khusus kemampuan untuk memakai dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris secara bergantian. Tafsiran kebanyakan orang ini kurang tepat kerana dwibahasa itu juga dapat ditafsirkan apabila seseorang itu mampu untuk berbahasa Melayu dan bahasa Dusun. ∗

Kertas kerja ini dibentang dalam Seminar Tahunan Jabatan Bahasa Melayu dan Linguistik II (SETALING II) anjuran Jabatan Bahasa Melayu dan Linguistik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam pada 24-25 Januari 2007, bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.

PROSIDING SETALING II

2. Konsep Dwibahasa Konsep dwibahasa atau dalam bahasa Inggerisnya ‘bilingual” mempunyai padanan kata seperti kedwibahasaan atau ‘bilingualism’. Kata dwibahasa ini sendiri terdiri daripada dua unsur iaitu; dwi yang bermakna dua dan bahasa yang bermakna bentuk pertuturan. Menurut Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003) dwibahasa diertikan sebagai (1) yang ditulis atau dinyatakan dalam dua bahasa; (2) boleh bertutur dalam dua bahasa (biasanya dalam darjah kefasihan yang sama. Jadi kata kedwibahasaan dimaksudkan sebagai (1) penggunaan dua bahasa (seperti bahasa daerah dan bahasa nasional); (2) penguasaan atau kefasihan bertutur dalam dua bahasa. Untuk memperoleh gambaran yang lebih jelas dan memperluaskan lagi cekerawala pandangan kita mengenai konsep dwibahasa dan kedwibahasaan (sebagai sifat pada dwibahasa), ada lebih baik jika kita memetik beberapa pendapat dari berbagai pakar yang mendalami mengenai hal dwibahasa ini. Seseorang yang dwibahasawan adalah orang yang a. dapat menghasilkan kalimat-kalimat yang bermakna dalam bahasa kedua (Hangen, 1969), b. dapat menggunakan dua bahasa secara bergantian (Mackey, 1962), c. dapat berperanan dan ikut terlibat (participation) dalam komunikasi dalam lebih dari satu bahasa (Fishman, 1966), d. berbicara hanya dalam satu bahasa tetapi menggunakan ragam-ragam, daftar kata atau laras bahasa yang berbeza, dan aneka gaya bahasa tersebut (Halliday & Strevens, 1964) Daripada pandangan di atas, ada beberapa hal yang perlu dijelaskan. Iaitu masalah dwibahasa dan kedwibahasaan ini sememangnya sudah lama diamati oleh para pakar bahasa atau linguis baik untuk kepentingan pendidikan mahupun untuk kajian linguistik lanjutan. Kedua, dengan adanya keanekaragaman batasan kedwibahasaan seperti di atas bukan dibuat tanpa sebarang alasan. Fishman sendiri sangat yakin bahawa maksud dan tujuan perihal penggunaan dua bahasa yang beraneka ragamdan berbeza

101

PROSIDING SETALING II

dari satu kawasan ke kawasan lain atau dari orang ke orang lain itu bergantung pada topik pembicaraan, penyemakan dan konteks pembicaraan. Maka jika kedwibahasaan selalu dibatasi sebagai penguasaan dua bahasa secara sempurna dalam segala konteks, keadaan dan situasi merupakan hal yang tidak realistik dalam kehidupan manusia. 3. Senario Dwibahasa di Brunei Jika dilihat dari konsep dan definisi dwibahasa di atas, iaitu kemampuan untuk menguasai dua bahasa yang baik, maka dalam konteks di Negara Brunei Darussalam, dapat dikatakan bahawa semuanya berdwibahasa. Kenapa ini terjadi? Dalam konteks di Negara Brunei Darussalam, bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa rasmi di negara ini. Di Negara Brunei Darussalam, terdapat sekurang-kurangnya 8 bahasa yang dituturkan mengikut etnik masing-masing. Maknanya bahasa Tutong dituturkan oleh etnik Tutong, bahasa Murut oleh etnik Murut dan seterusnya. Namun dari 8 bahasa tersebut hanya 7 sahaja yang termasuk dalam Perlembagaan Negeri Brunei; iaitu Belait, Bisaya, Brunei, Dusun, Kedayan, Murut, dan Tutong. Berkaitan dengan isu dwibahasa atau multibahasa bagi etnik Dusun, Murut, Bisaya, Belait, Tutong, dan Kedayan, selain menuturkan bahasa ibunda atau bahasa etnik masing-masing, tetapi juga menuturkan bahasa Melayu sebagai bahasa berjual beli, bahasa pendidikan, malah bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa perhubungan sebagaimana yang dicita-citakan dalam Perlembagaan Negari Brunei 1959. Semua orang harus memahami dan mampu menuturkan bahasa Melayu selain bahasa etnik masing-masing. Jadi apakah ini dinamakan sebagai masyarakat yang berdwibahasa? Jika dirujuk pendapat Bloomfield (1976) yang mengatakan bahawa dwibahasa itu adalah gejala menguasai dua bahasa yang bererti menguasai dua sistem kod yang berbeza. Sedangkan Mackey (1962), bependapat bahawa kedwibahasaan adalah praktek penggunaan bahasa secara bergantian, dari bahasa yang satu ke bahasa yang lain oleh seorang penutur. Jika diteliti bahasa-bahasa etnik seperti yang di terangkan di atas, secara kaedah linguistik sangat jauh berbeza dari bahasa Melayu. Misalnya bahasa Murut merupakan turunan

102

PROSIDING SETALING II

dari bahasa Murutik manakala basa Melayu di Brunei ini diturunkan dari bahasa Melayik Purba (lihat Jaludin 2004). Bahasa Dusun daripada keluarga bahasa Dusunik (rujuk Yabit 2005). Dalam penelitian hanya bahasa Melayu Kedayan sahaja yang menunjukkan peratus kognat yang tinggi dengan bahasa Melayu Brunei. Hal ini banyak disentuh oleh Jaludin (2004). Bagi kebanyakan masyarakat di dunia ini, perbezaan linguistik adalah merupakan satu norma, dan bukan sebagai satu kekecualiaan. Menurut Grosjean (1982) setidak-tidaknya masalah kedwibahasaan ini pasti wujud pada setiap negara, wujud pada semua lapisan masyarakat dan pada semua kelompok usia. Sebagai contoh menurut beliau lagi, masalah kedwibahasaan ini sangat susah untuk difahami oleh masyarakat Amerika kerana akan hal terbiasanya pada wawasan bahawa dunia semakin lebih homogen. Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa bahasa Inggeris dipakai secara meluas sebagai media komunikasi dalam domain ilmiah dan teknikal, namun tidak bererti bahasa Inggeris menggantikan kedudukan bahasa dan fungsi bahasa pribumi yang ada di muka bumi ini. Barangkali secara kebetulan dikatakan bahawa penyebaran bahasa Inggeris sebagai bahasa teknik semesta merupakan alasan mengapa semakin besar jumlah orang menjadi kedwibahasaan atau multibahasa di dunia ini. Memang bahasa Inggeris kita pelajari sebagai bahasa antarabangsa namun harus diingat bahawa bahasa-bahasa peribumi juga perlu dipertahankan sebagai sarana komunikasi antara sesama warga, sesama teman dsb. Namun dalam konteks di negara ini, konsep dwibahasa sangat menarik untuk dijadikan bahan perbincangan. Kerana apa? Kerana konsep dwibahasa selalu dikaitkan dengan isu pendidikan. Apabila disebut sahaja konsep dwibahasa, pemikiran seseorang itu terus memicu ke arah soal pendidikan iaitu pendidikan dwibahasa. Menurut konsep pendidikan dwibahasa ini ialah memperkenalkan dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu untuk merentas dalam kurikulum negara. Sejak sistem dwibahasa ini diperkenalkan dalam dunia pendidikan di Brunei iaitu pada tahun 1987 dalam mana perlaksanaannya dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sehingga pada tahun 1993 sistem dwibahasa sudah sepenuhnya beroperasi di semua sekolah (Gary, 1996). Dengan sistem ini telah menggantikan

103

PROSIDING SETALING II

sistem dua aliran; aliran Melayu dan aliran Inggeris. Kertas kerja ini tidak akan menyentuh tentang kebaikan dan keburukan sistem dwibahasa namun yang akan diteliti ialah wujud satu fenomena dalam dunia pendidikan bahawa kanak-kanak di alam persekolahan telah didedahkan pada mata pelajaran dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris secara serentak. Kesan jangka panjangnya ialah kanak-kanak mampu menuturkan dan melahirkan idea dengan dua bahasa dengan baik dan tahap kefahamannya dijangka akan sangat mantap. Begitulah senario konsep dwibahasa di negara ini. Sangat jarang seseorang itu melihat dwibahasa dalam erti kata kemampuan untuk menggunakan dua bahasa yang berbeza kod, berbeza dari segi budayanya tetapi lebih banyak kepada sistem dwibahasa; bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Dengan pengenalan sistem dwibahasa ini sedikit sebanyak membawa impak yang negatif (jika tidak dibendung) dalam masalah sosial bahasa itu sendiri. Sebagai orang yang turut sama-sama terlibat, sebagai ahli masyarakat, kita perlu mengambil contoh dan tauladan daripada negara-negara jiran. Agar dengan contoh tauladan ini, kita sekurang-kurang sudah boleh berikhtiar bagaimana hala tuju kita sebenarnya. Lihat sahja fenomena yang terjadi pada peringkat nasional di negara tetangga kita, Indonesia. Sebagai misalnya, di negara tetangga kita, Indonesia, kerap kali terjadi bahawa pemerintah pusatnya berupaya menyelenggarakan kehomogenan atau kesatuan nasional dengan penentuan serta pemeliharaan suatu bahasa kebangsaan yang baku. Sebagai akibatnya maka terjadi peningkatan jumlah orang yang berdwibahasa, dengan sebahagian besar dari penduduk ini berbicara atau berkomunikasi dalam bahasa baku dan dalam bahasa daerah atau dialek. Apabila pemerintah berusaha untuk menghilangkan bahasa daerah maka pemerintah akan menghadapi perlawanan dan menimbulkan peningkatan perasaan kedaerahan pada pihak yang bersangkutan (rujuk Henry Guntur Tarigan, 1988). Dan hal ini tidak jarang menimbulkan keresahan nasional bahkan kelompok fisik yang tidak diinginkan. Bahkan di Amerika Syarikat juga terdapat perlawanan terhadap pembebanan serta pembinaan dan pengembangan satu bahasa baku (single standard language) berbagai kelompok etnik

104

PROSIDING SETALING II

berusaha keras memelihara serta mempertahankan identiti mereka dengan jalan meningkatkan kedwibahasaan anak-anak mereka (lihat Fishman, 1980). Banyak anak-anak Amerika belajar berbahasa Jepun, Sepanyol, Itali, atau Perancis baik di rumah mahupun di sekolah. Sesungguhnya, ada pula yang mentaksir bahawa 28 juta orang Amerika yang berasal dari daerah yang memakai suatu bahasa selain bahasa Inggeris dan bahawa 15 juta orang Amerika yang menggunakan bahasa selain bahasa Inggeris sebagai bahasa utama. 4. Dwibahasa dan Masalah Sosial. Kita telah menyentuh tentang konsep dwibahasa di atas. Sekarang banyak orang berfikiran bahawa masalah sosial itu berhubungan dengan gejala yang terjadi di dalam masyarakat seperti penagih dadah, syabu, mencuri, dan lain-lain yang melibatkan gejala sosial. Dalam kertas kerja ini, masalah gejala sosial yang disebut tidak berhubungan dengan masalah dwibahasa. Apa yang dimaksudkan ialah bagaimana jika seseorang itu dalam fenomena dwibahasa boleh membawa akibat kepada masalah sosial dalam penggunaan bahasa itu sendiri. Suwito (1986), menegaskan bahawa penelitian tentang penggunaan bahasa dalam hubungan sosial merupakan salah satu kajian sosiolinguistik yang lebih banyak menitikberatkan pada aspek tutur (speech) daripada aspek bahasa (language). Sebagai aspek tutur, penggunaan bahasa adalah relatif tidak stabil dan selalu berubah-ubah sifatnya dengan perubahan unsur-unsur lain dalam konteks sosialnya. Unsur-unsur sedemikian disebut sebagai variabel non-linguistik (lihat Labov, 1972). Dan variabel tersebut sangat berhubungan dengan siapa yang berbicara, dengan bahasa apa, kepada siapa dan bila bahasa itu dibicarakan. Bagaimana pula boleh terjadi masalah sosial dalam penggunaan bahasa. Memang tepat apabila dikatakan bahawa kedwibahasaan merupakan bahagian daripada masalah sosial kerana bahasa pada hakikatnya merupakan identiti atau jati diri sesuatu bangsa. Rasa tidak percaya diperlihatkan oleh banyak orang terhadap diri peribadi seorang dwibahasa yang sebahagian besar berakar dari perasaan bahawa mereka ini bukan merupakan warga yang setia kerana mereka dapat berbicara dengan bahasa lain. Kesetiaan

105

PROSIDING SETALING II

orang yang semacam ini permasalahkan lagi akan hakikat kesetiaan bahasa dan budaya yang berganda; bahasa Inggeris dan bahasa Melayu misalnya. Pelajari saja masalah kesetiaan bahasa yang pernah dialami oleh orang Basque di Sepanyol. Meskipun ada berbagai usaha dari kerajaan dan ketidakpercayaan warga negara yang berkaitan, namun pada hakikatnya tetap wujud ketebalan perasaan identiti etnik terutama bagi golongan minoriti di Eropah. Berbalik pada negara ini, sememangnya hasrat kerajaan menciptakan sistem dwibahasa dalam pendidikan seharusnya disokong secara padu. Ertinya semua warga berpeluang untuk mendapat pendidikan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu secara rata dan saksama. Namun pada hakikatnya, bukan kita terus-menerus taksub akan kewibawaan bahasa Inggeris sehingga kita lupa akan jati diri kita sebagai bangsa Melayu. Tidak ada salah kita mempelajari bahasa Inggeris untuk kepentingan pembinaan bangsa dan negara. Tapi apakah kita harus mengorbankan bahasa Melayu untuk berkomunikasi di antara sesama kita? Saya kurang pasti apakah kesalahan ini berpunca dari sistem dwibahasa dalam pendidikan. Namun ada beberapa contoh yang ingin saya tonjolkan sebagai ristaan yang rasanya ini merupakan bahagian daripada masalah sosial dalam berbahasa. Telah disentuh di atas dari kenyataan Labov, bahawa penggunaan bahasa adalah relatif tidak stabil dan selalu berubah-ubah sifatnya dengan perubahan unsur-unsur lain dalam konteks sosialnya. Sehubungan dengan ini contoh yang akan ditampilkan ialah sistem panggilan nama dan sistem panggilan ganti diri. Kalau dulu kita biasa mendengar sebutan seperti tua, angah, ungsu, amit, bapa, babu, mama. Sekarang perhatikan orang sangat suka memakai panggilan seperti auntie, uncle, dad, mum. Yang lebih parah lagi untuk menunjukkan rasa hormat seorang pembantu rumahtangga juga diberi panggilan auntie. Di mana silapnya? Apakah panggilan tua, angah, ungsu, amit dan sebagainya sudah tidak laku atau sudah tidak tepat penggunaannya. Memang pada satu aspek gejala seperti ini dianggap sebagai pencemaran bahasa. Namun dari pencemaran bahasa ini sebenarnya merupakan masalah sosial yang perlu dibendung. Secara peribadi di manakah letaknya kemanisan dan rasa kehormatan kita kepada orang yang lebih tua? Jestru sebenarnya penggunaan kata uncle,

106

PROSIDING SETALING II

auntie, dad, dan mum ini merupakan tiada nilainya kerana budaya ini bukan milik bangsa Melayu. Budaya ini milik bangsa Inggeris. Bila fenomena ini tidak dikawal, rasa hormat terhadap orang yang lebih tua akan menipis. Berdasarkan pengamatan saya dalam kehidupan bersosial sehari-hari di negara ini, sudah ada gejala yang menampakkan kesenangan pemakaian kata-kata seperti oh my god, oh shit (untuk menyumpah), dan sebagainya. Bentuk kata oh my god pernah saya dengar diujarkan oleh penutur Melayu (yang semestinya beragama Islam) apabila penutur ini tadi tersandung sesuatu sehingga menyebabkan hampir jatuh. Rasanya ada kata yang lebih baik untuk menggantikan kata oh my god tadi. Mungkin saja lebih baik jika disebut ‘Ya Allah’, ‘Subahannallah’ atau ‘Masya Allah’. Malah lebih parah lagi pernah didengar seseorang yang bersin dan mengatakan ‘excuse me’ dari mengatakan ‘Alhamdulillah’. Orang yang berdwibahasa ini lebih senang memakai excuse me daripada minta diri atau tumpang lalu. Apakah orang yang sedemikian ini merasa malu atau merasa bahawa bahasa Melayu sudah tidak relevan lagi dalam aspek kehidupan bermasyarakat? Hal mengenai dwibahasa juga terjadi pada masyarakat lain. Bahasa minoriti dipandang rendah serta diremehkan oleh bahasa majoriti yang baku. Maka apabila hal ini terjadi, akan timbul rasa kebencian bahkan menimbulkan permusuhan. Orangorang yang berdwibahasa akan melihat dan merasakan bahawa mereka dirugikan secara ekonomi jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang mempunyai ekabahasa. Kebencian dan permusuhan terhadap kedwibahasaan tidak dapat berbuat apa-apa terhadap bahasa itu sendiri. Malah kebencian itu bukan ditujukan kepada bahasa itu sendiri melainkan kepada budaya orang yang berdwibahasa. Kenapa hal ini terjadi? Orang-orang yang berdwibahasa ini sering meunjukkan pola berfikir yang asing dan sering menunjukkan bahawa nilai-nilai asing tersebut lebih unggul sehingga menenggelamkan budaya serta nilai-nilai jati diri budaya dan bahasa Melayu. Akibatnya bahasa dan budaya Melayu semakin luntur dan menaikkan budaya dan nilai-nilai asing. Satu contoh yang baik ialah menilai budaya dan pola fikir orang Jepun. Orang Jepun sangat memandang tinggi

107

PROSIDING SETALING II

terhadap bahasa dan budayanya. Lebih ramai para cerdik pandai dihantar keluar negara untuk mengutip sebanyak mungkin ilmu. Pengutipan ilmu ini diasuh dengan mempelajari bahasa asing sehingga kepintaran menguasai bahasa asing dapat ditakluki dengan baik. Proses ini menyebabkan mereka untuk jadi seorang yang dwibahasa malah mungkin menjadi seorang yang multibahasa. Namun ilmu yang diperoleh dari negara luar dengan bahasa asing tadi dimanfaatkan serta diasimilasikan dengan bahasa dan budaya Jepun. Akhirnya mereka dapat menciptakan teknologi tinggi dengan citarasa setempat atau citarasa Jepun. Setiap rekacipta yang dihasilkan tidak lagi berbau asing tetapi sudah berbau Jepun. Hal ini pernah saya sentuh dalam beberapa persidangan. Namun ada beberapa komentar yang saya fikir sangat lemah. Antara komentar yang saya dengar itu berbunyi begini “itu Jepun. Ini kita harus bagaimana. Apa yang kita ada untuk disaingi dengan negara asing”. Komen saya hanya singkat “tak nak seribu daya, tak hendak seribu dalih” dan sampai bila kita harus menjadi sebuah negara konsumen. Pemikiran harus fokus terhadap menjadikan sebuah negara producer atau pengeluar. Semua proses ini hanya difungsikan melalui bahasa. Memang tidak dinafikan bahawa keperluan untuk mempelajari bahasa Inggeris wajar dan perlu diperkuatkan untuk tujuan kepentingan ekonomis, perdagangan, politik, hubungan antarabangsa. Namun jangan biarkan pola fikir kita harus digadai dengan cara fikir dan budaya barat atau budaya bahasa kedua. Permasalahan yang inti di dalam menanggapi masalah dwibahasa ialah sikap para anggota masyarakat baik anggota masyarakat yang berbahasa minoriti mahupun anggota masyarakat majoriti. Apabila sikap mereka memang baik dan hubungan yang ramah tamah, maka kedwibahasaan tidak perlu punya konsekuensi atau hal-hal yang membawa kepada negatif. Ambil saja satu contoh seperti yang yang terjadi di Switzerland. Di negara ini seakan-akan telah mencapai satu taraf keharmonian yang sangat luar biasa antara orang-orang yang menggunakan bahasa yang berbeza. Apabila timbul gejala dwibahasa jangan sampai timbul satu perasaan yang egois atau merasakan bahawa bahasa yang kedua itu adalah paling utama sehingga melemaskan bahasa dan budaya sendiri.

108

PROSIDING SETALING II

Akhir Kalam Masalah dwibahasa; baik yang menguasai dua bahasa etnik yang berbeza mahupun menguasai dua bahasa; bahasa Inggeris dan bahasa Melayu nampaknya tak akan putus bila-bila. Pokok persoalan di sini ialah sejauhmana bahasa etnik atau bahasa pertama itu dapat bertahan tergantung pada sikap dan pendirian terhadap bahasa pertama dan bahasa kedua. Jika lebih mengagung-agungkan budaya Melayu, maka yang harus difikirkan ialah bagaimana bahasa Melayu ini mampu bersaing dalam era globalisasi ini dan seterusnya menaikkan darjatnya ke satu darjat yang paling tinggi.

109

Related Documents

Kk6 Dr Haji Jaludin
November 2019 7
Haji
August 2019 70
Haji
November 2019 66
Haji
June 2020 45
Umroh - Haji
June 2020 24