Kain Pua Complete

  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Kain Pua Complete as PDF for free.

More details

  • Words: 3,165
  • Pages: 14
Kesenian masyarakat Dayak di Malaysia boleh disamakan dengan kehalusan kesenian masyarakat Melanisia dan Afrika. Hal ini demikian kerana seperti yang diketahui umum sumber kesenian Melanisia dan Afrika adalah yang terbaik dan unik di dunia. Kesenian masyarakat Dayak seperti ukiran kayu, binaan rumah panjang, pakaian, dan sebagainya mempunyai nilai universal dan telah menjadi khazanah berharga dunia. Menurut Wallace (1983), sumber motif kesenian masyarakat Dayak lebih banyak dipengaruhi oleh motif dari tanah besar Benua Asia seperti China dan Vietnam. Gaya seni dari tamadun Dongson yang bermula 300 Sebelum Masihi (S.M) sehingga 100 S.M di Vietnam telah tersebar ke Kepulauan Borneo. Motif Dongson telah memberi inspirasi kepada masyarakat Dayak di Borneo untuk mengembangkan hasil kesenian mereka. Antara hasil motif pengaruh Dongson ialah corak putaran dan perulangan garis yang pelbagai bentuk. Selain itu, corak atau motif manusia atau haiwan juga mendapat pengaruh Tamadun Dongson. Corak ini pada menjadi hiasan pada tenunan geometri yang terdapat pada pakaian masyarakat Dayak. Pengaruh Tamadun China pula dapat dilihat pada pengaruh Dinasti Chou lagi iaitu antara 400 S.M hingga 200 S.M. Tamadun ini telah meninggalkan lebih banyak tanda dalam kesenian masyarakat Dayak. Pengaruh Chou dapat dilihat dalam pembuatan topeng masyarakat Dayak. Selain itu, kepelbagaian corak binatang legenda Chou dan diletak bersama dengan pengaruh tamadun lain telah menghancurkan ketidakseimbangan rekaan, hal ini sebaliknya rekaan yang unik dan harmoni pula dapat dihasilkan. Pengaruh lain seperti Hindu juga dapat dilihat melalui motif harimau dalam kesenian masyarakat Dayak, memandangkan haiwan tersebut tidak wujud di kepulauan Borneo. Pengaruh Tamadun Hindu dikatakan tersebar ke Borneo melalui Kepulauan Jawa.

1

Menurut Kartiwa Dra. Suwati (1983), suku-suku masyarakat Dayak secara dasarnya satu, iaitu mempunyai ciri-ciri persamaan dalam kebudayaannya. Antara persamaan yang terdapat dalam kebudayaan tersebut ialah mata pencarian seperti bercucuk tanam di ladang, prinsip keturunan ambilineal, peralatan perang yang sama, upacara kematian yang bersifat potlatch, dan agama asli Kaharingan yang tercampur dengan amalan animisme. Secara umumnya masyarakat Dayak di Kepulauan Borneo mempunyai pelbagai suku kaum seperti Melanau, Apo Kayan, Bahau, Kenyah, Iban dan sebagainya. Semua masyarakat Dayak ini mempunyai hasil kesenian yang menjadi identiti mereka yang tersendiri. Semua hasil kesenian yang dihasilkan mempunyai keunikan yang berbeza antara satu sama lain. Antara kesenian yang mendapat perhatian ialah hasil tenunan kain pua yang dihasilkan oleh masyarakat Iban. Tenunan kain pua merupakan pekerjaan tradisi suku kaum Iban di Sarawak yang berpotensi dimajukan. Masyarakat Iban secara amnya hidup dalam komuniti harmoni dalam rumah panjang. Mereka menyara hidup dengan bercucuk tanam, berhuma, menangkap ikan, memungut hasil hutan dan sebagainya. Cara hidup mereka tidak berbeza dengan masyarakat Dayak yang lain. Walau bagaimanapun, pada zaman dahulu kala, masyarakat Iban amat ditakuti oleh masyarakat Dayak yang lain kerana aktiviti memburu kepala yang diamalkan oleh mereka. Selain itu, mereka juga dianggap sebagai lanun yang digeruni pada abad ke-19. Meskipun dianggap ganas oleh sesetengah masyarakat, kaum Iban masih mempunyai nilai-nilai kehalusan seni yang tiada tandingan. Antara hasil seni yang tersohor ialah kain pua. Kain pua hanya ditenun oleh kaum perempuan Iban sahaja. Kain pua dikatakan mendapat sentuhan Tamadun Dinasti Chou. Dalam masyarakat Iban adalah menjadi satu

2

kemestian sesebuah keluarga itu mempunyai satu kain pua. Amat memalukan dan menjatuhkan maruah jika sesebuah keluarga Iban itu tidak mempunyai sehelai kain pua dalam simpanan mereka. Dalam masyarakat Iban tradisional, setelah melangkah ke alam perkahwinan, seseorang wanita itu akan mula menimba ilmu menenun kain pua. Dalam proses untuk menjadi seseorang yang mahir menenun Pua, wanita itu akan mempelajari teknik menenun daripada ibu, nenek, atau perempuan lain yang mahir menenun dalam rumah panjang yang didiaminya. Setiap wanita yang baru belajar menenun akan mempunyai impian untuk menjadi indu tau muntang tau engkebang, iaitu seseorang wanita yang boleh menenun kain pua tanpa perlu melihat corak yang ingin dihasilkan. Apabila wanita itu telah mencapai tahap sebagai penenun yang mahir, mereka boleh menyertai aktiviti ngembun pada waktu malam. Aktiviti ini hanya dilakukan oleh sekumpulan penenun mahir sahaja. Kumpulan ini dikenali sebagai indu takar indu gaar iaitu wanita yang dicemburui oleh wanita lain sepanjang hayat. Kumpulan wanita yang mempunyai kemahiran tinggi dalam menenun kain pua mewariskan kemahiran mereka kerana berdasarkan kepercayaan mereka mendapat magis atau ubat sewaktu menjalankan aktiviti ngembun. Oleh itu, ramai wanita yang mahu belajar menenun berusaha mendapatkan ilmu menenun daripada kumpulan tersebut. Aktiviti ngembun pada kebiasaanya dilakukan pada waktu malam yang kurang hujan atau musim kemarau. Musim kemarau melanda Sarawak pada bulan Jun, Julai, dan Ogos. Oleh itu, pada bulan tersebut, aktiviti ngembun akan dijalankan di kawasan terbuka seperti di tanju atau pentas rumah panjang yang berada di luar. Melalui beberapa kumpulan penenun wanita yang diketuai indu takar indu gaar, mereka akan

3

mendedahkan benang di bawah air embun. Sewaktu aktiviti ini dijalankan, mereka tidak akan tidur kerana bimbang hujan akan turun dan merosakkan benang tersebut. Benang untuk membuat kainpua dibuat daripada kapas atau taiya. Apabila musim menuai padi huma telah berakhir, tanah tersebut akan dibersihkan bagi menanam pokok kapas. Ladang kapas dikenali sebagai empelai taiya oleh masyarakat Iban. Penanaman pokok kapas ini dilakukan pada awal April dan akhir Julai, kapas itu akan dituai. Pada kebiasaanya, pembersihan ladang dilakukan oleh kaum lelaki Iban manakala kerja menuai dilakukan oleh kaum wanita. Secara umumnya, tinggi pokok kapas Dagang ialah setinggi 4 kaki, manakala tinggi pokok kapas Bendar lebih rendah. Buah kapas dipanggil sebagai kulit kapok. Selepas dituai kulit buah kapas yang keras dibuang dengan pisau dan kekabu kapas ini akan diletak dalam bekas yang dipanggil sebagai pemigi. Tujuan kapas itu diletak ke dalam pemigi ialah untuk mengasingkan biji kapas.Setelah semua biji diasingkan, kapas itu akan dikerat-kerat dengan pisau. Aktiviti ini dikenali sebagai nganggut taiya. Selepas itu, kapas ini akan dilonggokkan diatas tikar rotan yang besar yang berukuran 2 kaki tinggi dan 2 kaki lebar. Selepas itu, kapas itu diputar diatas ‘pelayang benang’ untuk menjadikan kapas itu berbentuk bebola atau bulat. Setelah siap diputar, benang itu akan dijemur di atas galah buluh yang tinggi selama tiga hari dan tiga malam. Pada hari keempat, kapas itu akan diterbalikkan atas dan bawah, seterusnya didedahkan di bawah udara yang sejuk antara pukul 6 petang hingga 10 malam sama seperti tiga hari sebelumnya. Kemudian kapas itu akan digoncang bagi membuang kotoran habuk dan air garam yang terdapat pada bebola kapas itu. Selepas kapas itu dibersihkan, benang kapas itu akan dijemur di atas tanju semula. Kapas itu akan

4

dibiarkan di bawah sinaran matahari dan embun selama tujuh hingga lima belas hari kecuali jika hujan melanda dalam tempoh tersebut. Pada penghujung hari, bebola kapas itu menjadi sangat putih. Apabila kapas itu dialihkan dari tanju, kapas itu akan direndam dan dibasuh di dalam sungai, tujuan benang ini direndam dengan air adalah supaya benang putih ini akan cepat meresap apabila direndam di dalam air kanji. Kemudian kapas itu dijemur kembali di bawah cahaya matahari. Setelah kering, benang itu akan diletakkan di atas rangka buluh untuk disikat dengan air kanji dan air daun lalang. Proses mengkanji ini dilakukan supaya benang yang akan digunakan dalam tenunan pua tidak berbulu dan mudah putus. Benang ini akan dibersihkan dengan dengan lidi kelapa. Aktiviti dinamakan sebagai kerja nyikat. Apabila nyikat selesai dilakukan, benang itu akan dibilas dengan kayu dan sekali lagi dikeringkan di bawah cahaya matahari mengikut keadaan cuaca. Biasanya proses pengeringan mengambil masa antara satu hingga dua hari sahaja. Kemudian, benang yang telah dikanji ini akan diputar ke dalam alat yang dikenali sebagai jangkang untuk menjadikan berbentuk bulat. Proses mengirit akan dilakukan, benang yang telah digulung dalam bentuk bulat akan dimasukkan ke dalam mangkuk benang untuk memudahkan kerja-kerja mengirit dilakukan. Alat menenun atau loom akan digunakan dalam proses ini. Proses mengirit dilakukan dengan membawa mangkuk yang berisi benang dari bahagian kiri loom tenunan dan dibawa dari bawah ke atas. Benang ini akan diselitkan dengan anak-anak kayu sepanjang tiga puluh inci di antaranya bagi memudahkan kerja mengarap dilakukan kelak. Dalam proses mengarap, ‘kayu Lambongan’ digunakan untuk memasukkan benang yang terselit antara kayu-kayu kecil dan dikaitkan dengan jari. Benang ini

5

kemudiannya akan diikat pada kayu kecil yang disusun antara ’kayu Lambongan’ dan ‘Beliak Besar’ . Benang ini akan diangkat dan dimasukkan pada kayu kecil atau lidi supaya benang itu tidak bergerak keluar. Kemudian proses menegi akan dilakukan untuk memendekkan benang dan menjimatkan masa untuk proses mengikat. Benang yang telah digarap akan dilipat kepada dua bahagian secara berselangseli. Proses ini juga dikenali sebagai dandanan benang. Benang yang telah siap dilipat ini akan dijahit pada bahagian atas dan bawah supaya jaluran urat benang akan selari di antara kedua-dua bahagian. Proses menegi atau memilih benang atas atau bawah dilakukan seperti menganyam. Benang akan ditegangkan dengan diselitkan dua batang kayu pada kedua-dua hujung kayu akan diikat. Benang ini akan diikat dengan daun Kerupok atau daun Pandan agar benang itu berada dalam keadaan lurus. Pada zaman moden, tali ‘rafia’ akan digunakan untuk memisahkan benang yang diselitkan berselangseli untuk memudahkan kerja-kerja mengikat motif kelak. Tali rafia yang sama akan dijahit dan digunakan juga untuk mengikat kayu pada loom tenunan dengan tujuan menegangkan benang. Benang yang telah siap dilipat akan diletak pada alat yang dipanggil sebagai tiang tendai. Tiang tendai ini juga dikenali sebagai tangga kebat atau tangga benang. Benang ini tidak ditanggalkan dari tangga benang bagi memudahkan kerja-kerja mengikat motif dilakukan. Kerja mengikat motif boleh dilakukan sama ada berseorangan atau berdua mengikut keperluan. Selepas benang itu diikat dengan kemas, ia akan diambil dari tangga benang untuk melalui proses mencelup pertama. Benang itu akan direndam dalam air dan dibilas sebelum direbus. Dalam masyarakat Iban tradisional, bahan pewarna dibuat daripada akar pokok Jangit dan daun Mengkudu. Bahan ini akan dimasak bersama air yang dicampur

6

dengan garam. Sebelum dimasukkan bahan tersebut, air garam itu akan dibiarkan mendidih. Tujuan garam diletakkan ke dalam air tersebut adalah bagi mempercepatkan penyerapan warna. Untuk menyejukkan bahan pewarna ini, air rebusan itu dituang ke dalam sulang yang merupakan bekas yang diperbuat daripada loyang. Setelah itu, benang tadi dimasukkan ke dalam bekas campuran warna dan dibiarkan selama tiga hingga lima minit. Kerja ini dilakukan berulang kali supaya warna yang dicelup menjadi sekata atau semua bahagian benang menyerap warna seperti yang dikehendaki. Benang yang telah diwarna akan diangkat dan kemudian dibasuh menggunakan air biasa sebelum dibilas dan dikanji sekali lagi. Setelah siap dikanji, benang ini akan diletak semula pada tangga benang lain yang dipanggil sebagai tangga ubong untuk dikeringkan selama sehari dibawah sinaran matahari. Benang yang telah dikeringkan, akan menjalani proses mengikat kedua, walau bagaimanapun, ikatan yang pertama tadi dibiarkan atau tidak dibuka ikatannya. Dalam proses mengikat kedua ini, ikatan pada benang ditambah bagi tujuan kerja pencelupan warna kedua. Proses pencelupan kedua ini sama dengan proses pencelupan pertama cuma pada kebiasaanya warna-warna gelap digunakan seperti warna hitam atau biru. Dalam masyarakat Iban tradisional, pewarna biru dihasilkan daripada sejenis tumbuhan iaitu daun Tarum. Bagi masyarakat Iban yang moden pula, sewaktu pencelupan warna kedua dilakukan, bahagian atas benang akan dibungkus dengan plastik bagi mengelakkan terkena warna hitam atau biru tadi. Dengan lain perkataan, tidak semua benang dicelup dengan warna hitam. Setelah kerja-kerja mencelup selesai, sekali lagi benang akan dibasuh dan dibilas sebelum dikanji semula. Kemudian benang itu akan dikeringkan di bawah sinaran

7

matahari apabila kering, ikatan benang itu akan dibuka dengan pisau kecil. Setelah semua ikatan dibuka, lipatan atau hasil proses menegi dan jahitan pada bahagian atas dan bawah benang turut dibuka. Panjang benang yang telah siap dicelup warna adalah dua kali ganda panjangnya sebelum dilakukan proses pencelupan warna. Benang tersebut akan diletakkan pada galah buluh di mana ianya akan diluruskan. Daripada rangka galah tersebut, benang itu akan diletakkan pada tiang tenun. Bahagian atas benang akan dimasukkan pada kayu rakup manakala bahagian bawah benang akan disusupkan pada loom tenunan dan ditarik sehingga tegang. Kerja menegangkan benang ini dilakukan untuk memudahkan kerja-kerja menyusun dan mengatur benang supaya selari antara bahagian atas dan bawah. Manamana urat benang yang terputus akan disambung sebelum kerja mengirit bahagian tepi dan mengarap dilakukan. Bagi menenun sehelai kain Pua yang berukuran lebih kurang 186 sentimeter x 45 sentimeter, masa antara dua puluh hingga tiga puluh hari diperlukan untuk menyiapkannya. Kepantasan kerja-kerja menenun bergantung atas kepakaran seseorang penenun. Kerja-kerja menenun dilakukan setelah benang yang akan ditenun dipasang pada loom tenunan. Kedudukan bahagian atas yang dipasang pada rakup lebih tinggi daripada bahagian bawah yang diikat pada kaki loom tenunan. Bahagian bawah ini juga disambungkan dengan sengkabit iaitu alas belakang semasa menenun. Selain digunakan sebagai alas belakang, sengkabit juga berfungsi sebagai penegang ketika mengepoh benang. Proses menenun Pua adalah sama dengan proses menenun kain songket. Benang yang dilancarkan dengan jengkuan iaitu pemegang yang terdapat pada loom tenunan akan dipangkah dengan benang kapas untuk dijadikan sebagai kain pua. Walau

8

bagaimanapun, proses menyolek tidak perlu dilakukan kerana benang yang akan ditenun telah diwarnakan sebagai motif. Terdapat pelbagai motif yang boleh dibuat terhadap kain Pua, antaranya ialah lebur api, ular sawa, gajah, ketam, katak, burung Enggang, semut api, dan sebagainya.

Kain pua mempunyai pelbagai kegunaan, contohnya Kain pua boleh digunakan sebagai hiasan pada penggendong bayi. Walau bagaimanapun, kepelbagai guna kain pua lebih bercirikan kepada unsur-unsur mistik pada zaman dahulu kala. Dalam adat ngayau atau memenggal kepala, isteri masyarakat Iban akan menggunakan kain pua dalam upacara menerima kepala musuh yang dipenggal dari tangan suami mereka. Adat ini hanya diamalkan oleh masyarakat Iban dahulu kala sahaja dan telah terhapus ditelan zaman. Pada zaman moden sekarang, kain pua digunakan untuk menghias dinding rumah jika terdapat festival atau perayaan tertentu. Selain itu, kain pua juga digunakan untuk menghias bumbung bot yang digunakan sebagai alat pengangkutan menjemput pengantin perempuan untuk dibawa ke rumah pengantin lelaki. Kain pua juga digunakan dalam upacara sapat iaitu kain itu diletakkan pada mayat selama tiga hari dan tiga malam sebelum mayat itu dikebumikan. Upacara sapat boleh dibaratkan sebagai upacara bekabung.

Penghasilan kain pua kian dilupai oleh masyarakat muda Iban. Perubahan corak hidup masyarakat Iban yang kian terdedah kepada kehidupan moden telah membawa gelombang perubahan gaya hidup mereka. Kini pelajaran dianggap sebagai item penting

9

untuk mengubah status hidup sosial. Oleh itu, masyarakat Iban tidak ketinggalan dalam meniti arus kemodenan ini. Mereka menghantar anak perempuan ke sekolah untuk menjadi seorang yang berjaya untuk mengubah hidup keluarga. Hal ini menyebabkan amalan menenun kain pua tidak lagi dianggap sebagai satu kewajiban yang perlu dilakukan oleh setiap wanita Iban pada zaman sekarang. Selain itu, kesenian yang berkualiti tinggi tidak lagi banyak dihasilkan di Kepulauan Borneo pada zaman sekarang. Semenjak negeri Sarawak menerima kebanjiran pelancong, banyak kedai cenderamata dan kedai barangan antik dibuka. Pada zaman moden, sedikit sahaja hasil kesenian dan barangan antik masyarakat Iban adalah yang benar-benar asli. Kebanyakan barangan seni yang dijual di kedai tersebut adalah tiruan. Terdapat beberapa jenis barangan tiruan itu mempunyai mutu yang cukup baik dan hampir menyamai hasil seni yang asli. Barangan tiruan itu kebanyakannya dihasilkan oleh masyarakat suku Dayak yang lain dan terdapat juga diimport dari kepulauan Jawa dan Bali. Keadaan ini turut berlaku terhadap hasil seni kain Pua. Kebanyakan barangan tiruan ini merupakan replika bagi barangan asli yang dihasilkan pada zaman purba. Terdapat juga dihasilkan berdasarkan fotografi barangan asli tersebut atau diambil contoh daripada warisan turun temurun dalam sesebuah generasi keluraga Iban. Barangan asli yang berusia ratusan tahun jarang sekali dapat ditemui dalam pasaran. Pengedar pada kebiasannya boleh mencari barangan tersebut di kampung pedalaman tetapi hanya sedikit sahaja barang atau hasil kesenian yang ada. Kebiasaannya, barangan tersebut dipercayai mempunyai kuasa atau semangat yang tertentu. Tidak mengira setinggi mana harga tawaran, kebanyakan penduduk kampung tidak akan sesekali menjual barangan tersebut. Secara amnya, jika pemilik hasil seni

10

dibayar bagi hasil seni tersebut adalah tidak munasabah dengan nilai estetik kesenian tersebut yang berusia ratusan tahun. Walau bagaimanapun, ramai orang luar yang datang ke kawasan pedalaman bagi mencari hasil seni antik pulang dengan tangan kosong. Meskipun barangan baharu dihasilkan seperti pengendong bayi yang dihiasi dengan kain Pua tetap sukar untuk dibeli kerana barangan itu dihasilkan untuk tujuan tertentu dan bukan untuk dijual.Walaupun begitu, bagi mereka yang tidak mengenal erti putus asa dan mempunyai keinginan yang kuat bagi memiliki barangan tersebut, strategi ‘psikologi harga’ digunakan. Permintaan bagi membeli barangan tersebut selalu dibuat dengan dengan harga yang terlalu tinggi. Tujuan meletak harga yang tinggi itu bukanlah bagi mengharapkan tawar-menawar yang selanjutnya, sebaliknya mereka mengharapkan pemilik barangan itu tertarik dengan tawaran harga tersebut agar keadaan yang berbeza akan berlaku. Hasil kesenian masyarakat Dayak khususnya Iban masih lagi dijual dengan harga yang murah dan menjadi pilihan kebanyakan pelancong yang berkunjung ke Sarawak, walaupun mereka mengetahui barangan yang dibeli adalah tiruan, hasil kesenian yang cantik dan unik serta tiada di tempat asal mereka telah mendorong mereka membeli barangan tiruan tersebut. Situasi ini turut mendorong penghasil kraftangan mengambil sedikit masa atau tidak berinisiatif menghasilkan sesuatu hasil kesenian yang benar-benar berkualiti kecuali di kawasan komuniti Dayak yang masih mengamalkan budaya tradisional yang kuat. Keadaan ini amat berbahaya kepada hasil kesenian Borneo dan perlu diselamatkan dari jurang nilai komersil murahan lebih-lebih lagi kain pua yang tiada nilai tandingan dari tempat lain.

11

Menyedari kain pua berpotensi untuk dimajukan, pada tahun 1993 pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah berusaha untuk menaikkan taraf tenunan Pua. Usaha tersebut termasuklah dengan mewujudkan Pusat Latihan Tenunan Pua di Betong, Sarawak. Selain itu, pusat latihan yang sama turut dibina di Kuching. Dengan adanya pusat latihan tersebut, kualiti kain pua akan sentiasa dijaga dan dilindungi dengan baik.

Kesimpulannya, kain pua bukan sahaja mempunyai nilai-nilai kesenian yang tinggi, sebaliknya tenunan kain pua merupakan identiti masyarakat Iban dan telah sebati dalam rutin harian mereka. Seperti para isteri sibuk menenun, para suami pula akan sibuk dengan kerja-kerja lain seperti memungut rotan untuk dijadikan tikar atau bakul. Para suami juga dipertanggungjawabkan untuk membersihkan ladang dan memungut kayu api. Semua kerja luar yang kasar dilakukan oleh kaum lelaki Iban manakala kerja mengerit padi, bertenun, menganyam dan berkebun dilakukan oleh kaum wanita. Oleh itu adalah tidak menghairankan hasil kerja tenunan kain pua amat halus buatannya. Walau bagaimanapun, zaman kemodenan mula merentasi desa dan penghasilan kain Pua telah mengalami perubahan yang drastik. Keadaan ini turut merubah corak kehidupan masyarakat Iban secara amnya. Hal ini demikian kerana kebanjiran barangan tiruan ke negeri Sarawak telah memberi impak yang besar kepada masyarakat Iban. Permintaan yang tinggi mengakibatkan cara-cara penghasilan kain Pua yang asli telah terhakis sedikit demi sedikit. Selain kedatangan para pengemar barangan antik Sarawak ke pedalaman telah menganggu corak hidup masyarakat Iban. Selain itu, penghasilan kain Pua juga mula ditinggalkan oleh kaum wanita Iban yang moden kerana mereka mula

12

didedahkan dengan kehidupan luar yang lebih berorientasikan kebebasan sekular. Keadaan ini boleh menghapuskan identiti masyarakat Iban sedikit demi sedikit. Bagi menghasilkan kain pua, nilai kesabaran amat dituntut, hal ini demikian kerana bagi menghasilkan benang sahaja, masa yang panjang akan diambil. Oleh itu, kemahiran yang tinggi amat diperlukan dalam proses menghasilkan kain ini. Walau bagaimanapun, cara membuat kain pua telah dimodenkan mengikut perkembangan zaman semasa. Pelbagai barangan moden telah digunakan bagi menggantikan bahan lama yang lebih bercirikan semulajadi. Kain pua juga merupakan lambang maruah kepada sesebuah keluarga Iban dan menjadi kebanggaan kepada mereka jika berjaya menyimpan warisan kain pua yang berusia ratusan tahun. Kain pua juga menjadi item penting dalam upacara keagamaan atau perayaan masyarakat Iban seperti majlis perkahwinan, upacara berkabung dan sebagainya.

BIBLIOGRAFI

Kal Muller & David Pickell (1996). Kalimantan, Indonesian, Borneo. Jakarta: Periplus Editions.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Susunatur

Bengkel

dan Aliran

Proses

Tenunan Pua, 1995

3) Benedict Sandin

Iban Adat & Augury, 1980

13

4) Kartiwa Dra Suwati

Songket Weaving Indonesia, 1983

14

Related Documents

Kain Pua Complete
May 2020 4
Pua
October 2019 13
Kain Perca.docx
October 2019 18
Kain Perca.docx
October 2019 21
Kain Songket
December 2019 40
Kain Perca.docx
October 2019 15