Harimau

  • November 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Harimau as PDF for free.

More details

  • Words: 4,100
  • Pages: 10
Hillel

Harimau

HARIMAU Manang tidak sedar dia sedang diperhatikan. Ketika itu Manang sedang berusaha turun dari pokok petai yang baru sahaja dituai hasilnya. Kepingan petai berselerak diperdu pokok. Memikirkan hasil dari jualan nanti membuatkan Manang tersenyum seorang diri. Mungkin perkara itu juga yang membuatkan dia terleka. Manang tidak terhidu bau hamis yang memenuhi udara sejak setengah jam yang lalu. Sambil sibuk mengikat kepingan-kepingan petai sebelum memasukkannya ke dalam bakul galas, tangan Manang juga sibuk menepuk badannya menghalau agas yang tiba-tiba menggila. Tapi masih juga dia leka tentang bahaya yang bakal tiba. Hari itu Manang masuk ke hutan berseorangan. Semalam ada diajaknya Budin, jiran sebelah rumah, untuk ke hutan bersama. Tapi Budin terpaksa ke pekan kerana ada urusan katanya. Manang bercadang untuk memberikan beberapa ikat petai kepada Budin cukup untuk dibuat lauk makan selama beberapa hari. Selebihnya bolehlah dijualkan kepada Dolah peniaga gerai makan di simpang masuk ke kampung mereka. Selesai mengikat semua kepingan petai Manang menyusunnya di dalam bakul galas dengan rapi. Manang kini sedia untuk mengangkat bakul galas tersebut. Sambil bertinggung membelakangi bakul galas itu, Manang membetulkan kedudukan tali sangkut di bahunya. Sebelum mula berdiri, Manang mencapai tongkat kayu yang disandarkan di pangkal pokok petai semasa dia tiba tadi. Tongkat kayu itu akan membantu Manang mengimbangi badannya semasa menaiki atau menuruni bukit dalam perjalanan nanti. Apa lagi dengan bakul galas yang berat tersangkut di belakangnya dan keadaan jalan yang becak akibat hujan semalam. Belum pun sempat Manang berdiri sepenuhnya, tiba-tiba kedengaran bunyi nafas kencang menderu datang dari sebelah belakangnya. Terperanjat, Manang cuba menoleh. Segalanya berlaku dengan sangat pantas. Belum pun sempat menoleh dan belum pun teguh kakinya berdiri, Manang terasa kesakitan yang tidak terkata di tengkuk dan kepalanya. Tengkuknya terasa seperti ditembusi besi tajam, manakala kulit kepalanya pula seperti terkopak dari tulang tengkoraknya. Jeritan kesakitan Manang tiada bandinga. Mungkin kerana kesakitan dan terperanjat dengan keadaan yang tidak disangka-sangka itu, tangan Manang dengan sekuat tenaga menghunjam tongkat kayu yang dipotong serong itu ke arah belakang. Manang sama sekali tidak peduli sama ada haiwan atau manusia yang mencederakannya. Tapi Manang tahu dengan pasti hujung tongkat kayunya tepat menembusi kulit dan daging penyerangnya. Serentak dengan itu kedengaran ngauman yang dahsyat membelah kesunyian hutan belantara. Burungburung terperanjat berterbangan dari sarang dan dahan. Haiwan lain pula bingkas lari bertempiaran menjauhkan diri dari tempat kejadian. Manang dan penyerangnya sama-sama jatuh menyembah bumi. Dahi Manang jatuh tepat di atas akar pokok petai yang timbul di permukaan tanah. Mata Manang berpinar. Terasa oleh Manang cecair panas suam membasahi tengkuk, belakang dan kepalanya. Tidak ada kata yang boleh menggambarkan kesakitan Manang ketika itu. Tapi Manang bersyukur kerana tengkuknya tidak lagi menjadi sasaran penyerangnya

1

Hillel

Harimau

sebentar tadi. Mungkin tujahan tongkat kayu tadi telah mencederakannya dan mengambil keputusan untuk melarikan diri. Manang percaya tongkat kayu itu telah menusuk penyerangnya lebih dalam lagi kerana pangkal tongkat kayu itu tertempan pada akar pokok petai dimana Manang sedang tertiarap. Pandangan mata Manang semakin kabur. Manang tidak pasti sama ada penyerangnya masih berada berhampiran atau tidak. Manang tidak lagi mendengar kicauan burung ketakutan atau derap kaki binatang lari bertempiaran.Nafas dan nadi Manang juga semakin perlahan. Tapi darahnya terus deras mengalir membasahi tanah di sekitar perdu pokok petai. Bertolak dari Kg. Dusun, kumpulan itu tiba di tapak perkhemahan Kem Kesong selepas berjalan meredah hutan hampir dua setengah jam. Dalam perjalanan mereka melawat Gua Batu Tinggi, Gua Telahup dan Gua Telangkup menyebabkan perjalanan yang dilalui lebih panjang dari sepatutnya. Tetapi setiap gua mempunyai cerita dan ciri-ciri menarik yang tersendiri. Semua peserta ekspedisi itu merasa berbaloi melawat setiap satu dari gua tersebut. Malam pertama berkhemah di Kem Kesong kumpulan itu mengadakan majlis suai kenal sesama peserta. Akmar difahamkan ada diantara peserta ekspedisi seramai limabelas orang itu yang masih baru dalam aktiviti lasak seperti ekspedisi meredah hutan dan menyusuri gua. Majlis seperti itu memberikan peluang kepada Akmar untuk menilai secara kasar peribadi setiap peserta. Mungkin ada dikalangan mereka yang perlu diberikan perhatian yang lebih berbanding dengan yang lain. "Ahh!Akmar perkenalkanlah diri, giliran aku dah selesai" Ujar Nizam. Mereka sudah lama berkenalan. Malah Akmar bersyukur kerana Nizam yang tinggal di Kuala Lumpur sering kali membawa kumpulan pencinta alam sekitar seperti itu ke Hutan Simpan Kenong. Lebih banyak kumpulan seperti itu, lebih banyaklah pendapatan sampingan Akmar sebagai penunjuk jalan selain bekerja sepenuh masa sebagai jaga di MRSM Kuala Lipis. Tapi kedatangan kumpulan kali ini agak membimbangkan Akmar. Tidak sampai seminggu yang lepas seorang penduduk kampung orang asli meninggal dunia akibat serangan harimau. Terdapat kesan-kesan menunjukkan yang harimau itu juga tercedera. Titisan darah dikesan sehingga beberapa kilometer dari mangsanya yang masih lagi utuh anggota tubuhnya. Mangsanya mati kerana kehilangan darah dari luka gigitan di tengkuk dan juga akibat kulit kepalanya yang terkoyak akibat kuku harimau itu. Dari pengalamannya yang lalu, Akmar tahu dalam keadaan seperti itu harimau selalunya akan menjadi lebih merbahaya. Selepas memperkenalkan diri, Akmar menceritakan tentang peristiwa serangan harimau tersebut. Akmar sama sekali tidak bertujuan untuk menakutnakutkan peserta ekspedisi itu, tetapi meminta mereka agar lebih berhati-hati. Esok mereka akan meredah hutan menuju ke kawasan air terjun Lata Tujuh. Akmar mengingatkan mereka agar sentiasa berjalan di dalam kumpulan dan tidak terpisah-pisah. Akmar sedar tanggungjawabnya lebih besar kali ini dan dia dapat melihat riak wajah peserta ekspedisi itu yang agak risau. Mereka patut risau kerana ini adalah untuk keselamatan mereka sendiri fikir Akmar. Selesai majlis suai kenal pada malam itu, ada sesetengah peserta yang bersiap untuk tidur, ada pula yang masih

2

Hillel

Harimau

berbual sesama mereka. Akmar cuma berharap agar mereka tidak terlupa pesanannya agar lebih berhati-hati dalam perjalanan esok. "Mar! Dah nak tidur?" Tanya Nizam sambil duduk di tunggul kayu yang memang disediakan untuk tujuan itu. "Tak lagi! baru nak betulkan alas ni hah.." Jawab Akmar membiarkan kerja yang separuh selesai. Nizam sebenarnya berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang peristiwa serangan harimau itu. Nizam juga, seperti Akmar, turut bimbang kerana dia orang kedua yang bertanggungjawab sebagai penunjuk jalan bagi ekspedisi tersebut. Akmar menerangkan yang mangsa itu mungkin terleka kerana sibuk dengan hasil petainya yang banyak dan terlupa tentang tanda-tanda kehadiran harimau. Nizam dan Akmar sama-sama tahu bau hamis dan agas merupakan dua tanda awal yang mesti diperhatikan. Mereka berpakat agar esok Akmar akan memimpin kumpulan itu di hadapan manakala Nizam pula akan berjalan di belakang sekali. Akmar yang lebih berpengalaman pasti tidak akan terleka. Manakala Nizam pula yang telah beberapa kali bersama Akmar meredah Hutan Simpan Kenong itu pasti tidak akan tersesat jika dia tertinggal jauh di belakang bersama anggota ekspedisi yang berjalan agak lambat. Sudah sejam mereka meredah hutan. Hujan renyai-renyai diawal perjalanan tadi menyebabkan laluan mereka menjadi becak. Walaupun demam masih belum kebah, stokin basah, pacat pula bermaharajalela, tapi Arshad tetap bersyukur kerana tanah yang berlumpur pasti akan meninggalkan kesan tapak kaki jika harimau melalui denai yang sama. Akmar pasti membuat keputusan yang bijak sama ada meneruskan atau membatalkan perjalanan atau pun menggunakan laluan lain jika kesan tapak kaki harimau dilihat sepanjang denai yang mereka lalui. Pengalaman Akmar sebagai seorang askar walaupun telah bersara sangat berharga di dalam ekspedisi seperti ini. Arshad tahu walaupun dalam ekspedisi kali ini Ila dan Yap merupakan penyelaras utama, tapi Arshad masih lagi Presiden Persatuan Pencinta Alam Sekitar Kuala Lumpur. Persatuan ini telah pun aktif sejak sepuluh tahun kebelakangan dengan menggalakkan para belia melibatkan diri dalam aktiviti luar yang lasak. Arshad sedar segala kejadian buruk yang berlaku kepimpinannya akan dipersoalkan. Walaupun Arshad boleh berselindung

disebalik

perlembagaan

persatuan

yang

jelas

menyatakan

semua

ahli

bertanggungjawab ke atas keselamatan masing-masing, tetapi secara peribadi rasa bersalah dan bertanggunjawab pasti tidak dapat dielakkan. Kebimbangan ditambah lagi dengan penyertaan isterinya, Aishah, dalam ekspedisi itu. Banyak perkara lain yang bermain di dalam kepala Arshad selain daripada keselamatan para peserta. Keselamatan isterinya, harimau yang cedera, anaknya yang baru sahaja sembuh dari demam sehari sebelum mereka memulakan perjalanan dan macam-macam lagi. "Arshad! Kau ada tercium bau hamis tak?" Nizam yang berjalan di belakang sekali tiba-tiba bersuara.

3

Hillel

Harimau

Arshad cuba menghidu udara lembab di dalam hutan itu. Tanpa bersuara dia mengangguk. Mata mereka liar memerhatikan belukar di kiri dan kanan denai yang mereka lalui. Rupanya di barisan hadapan, Akmar sudah pun dapat mengesan kesan tapak kaki harimau di atas tanah berlumpur. Peserta di hadapan mengkhabarkan perkara itu kepada peserta yang di belakang sambil menunjuk kesan tapak kaki tersebut. "Abang! Tengok tu"" Aishah menyampaikan berita kepada Arshad. "Hmm!" Gumam Arshad tanpa sepatah kata. Nizam juga tidak perlu dikhabarkan kerana dia sudah dapat mengagak apa yang menarik perhatian para peserta di hadapan. Nampaknya semua peserta menjadi lebih senyap. Masingmasing lebih waspada. Mata masing-masing liar memerhati semak belukar di tepi denai. Arshad tahu, walaupun letih berjalan selama sejam meredah hutan tanpa henti tidak ada di antara mereka mahu berhenti di situ. Arshad pasti mereka lebih rela berjalan sehinggalah bau hamis itu semakin reda dan kesan tapak kaki harimau ditinggalkan jauh di belakang. Limabelas minit berikutnya keadaan yang terasa agak tegang tadi sudah semakin reda. Tidak ada lagi bau hamis memenuhi udara. Kesan tapak kaki juga sudah ditinggalkan jauh di belakang dan tidak ada tanda-tanda yang harimau tersebut melalui denai yang sama. Mungkin harimau itu cuma menyeberang denai dan menuju ke arah yang berlainan. Walau bagaimanapun, Arshad, Nizam dan Akmar akan sentiasa berwaspada. "Macam mana Lim..letih?" Akmar menegur Halim yang sedang duduk di atas batu setelah mereka tiba di kawasan air terjun Lata Tujuh. Selepas tiga jam setengah meredah hutan akhirnya mereka sampai dengan selamat. Kelihatan para peserta ekspedisi sedang berehat sebelum mula melakukan aktiviti masing-masing. Ada yang bercadang untuk mandi dan ada pula yang ditugaskan untuk menyediakan makanan tengahari. Malangnya ada pula yang tidak dapat menikmati kesegaran air terjun terutamanya peserta wanita, Lina, Alia dan Rosie. "Letih tu tak sangat bang, tapi yang risau masa ada bau dan kesan tapak kaki MayBank tadi" Halim membahasakan harimau sebagai MayBank (kerana lambang MayBank adalah kepala harimau), sebagai panggilan hormat kepada harimau di dalam hutan. Itu adalah sebahagian daripada pantang larang di dalam hutan yang sering di dengar oleh Halim. Rata-rata para peserta ekspedisi itu juga memanggil harimau sebagai MayBank apabila mereka di dalam hutan. "Sebenarnya bau tu boleh tahan selama setengah jam selepas dia lalu di situ"" Akmar memberikan sedikit penerangan kepada Halim. Halim mengangguk, tanda faham. Kurang sedikit rasa cemasnya. "Tapi kadang-kadang kalau MayBank tu baru sampai susah sedikit nak mengesan bau macam tu.." Rasa bimbang Halim kembali mengembang mendengar penjelasan terakhir Akmar. "Kenapa bang?" Tanya Halim. "Pertama mungkin, angin bertiup ke arah lain. Kedua, mungkin angin tak bertiup menyebabkan baunya tak tersebar dengan luas. Dalam keadaan seperti ini, apabila dia terlalu dekat barulah

4

Hillel

Harimau

dapat dikesan. Agas akan bertambah banyak dan baunya pula sangat kuat." Akmar memberikan penerangan panjang lebar kepada Halim. Satu-satu perkataan yang sampaikan oleh Akmar melekat di dalam otak Halim. Walaupun sedikit bimbang Halim berusaha untuk tidak menunjukkannya. Akmar mula bergerak menuju ke sungai. Mungkin untuk mengurangkan rasa gemuruhnya Halim pun turut serta. Peserta lain tidak mendengar perbualan mereka. Mungkin Akmar sengaja tidak mahu keseronokan yang mereka alami berkurangan kerana perkara tersebut. Atas sebab itu Halim juga mendiamkan diri tidak menceritakan kepada sesiapa apa yang baru sahaja disampaikan oleh Akmar kepadanya. Tempoh ekspedisi mereka di Hutam Simpan Kenong telah berakhir. Sekarang mereka akan berangkat balik ke Kg. Dusun sebelum menaiki bot pancung ke Kg. Bt. Sembilan dimana kenderaan mereka ditinggalkan. Faizal adalah peserta yang merasa sangat gembira sekali pada hari itu. Ekspedisi itu bagi Faizal sangat meletihkan kerana aktiviti meredah hutan di dalam keadaan yang becak berlumpur . Selain itu kuantiti makanan yang disediakan, walaupun diakui memang menyelerakan, tidak dapat memenuhi keperluan tubuh Faizal yang mempunyai kadar metabolisme yang tinggi. Sering kali Faizal mengalami pening kepala dan terpaksa bergantung kepada bekalan makanan ringan yang sentiasa dibawanya bersama. Sudah terbayang oleh Faizal perkara-perkara yang ingin dilakukannya apabila tiba di Kuala Lumpur nanti. Walaupun majoriti daripada peserta ekspedisi itu berada dalam keadaan bimbang kerana berita tentang serangan harimau, tetapi Faizal bersyukur kerana tidak ada perkara buruk yang berlaku. Perjalanan balik ke Kg. Dusun dari Kawasan Perkhemahan Kem Kesong akan mengambil masa yang lebih singkat berbanding dengan semasa mereka baru tiba. Kali ini mereka tidak akan berhenti untuk melawat mana-mana gua di dalam perjalanan itu nanti. Akmar menganggarkan mereka akan tiba di destinasi akhir dalam masa satu setengah jam. Hujan yang turun awal padi tadi akan melambatkan perjalanan yang sepatutnya boleh ditempuh dalam masa satu jam sahaja. Faizal memandang sekeliling, dia melihat rata-rata para peserta ekspedisi nampak gembira walaupun agak keletihan. Sebagai kenangan terakhir mereka bergambar beramai-ramai di Kem Kesong. Faizal masih lagi belum memutuskan makanan apa yang ingin jamahnya sebaik sahaja sampai di Kuala Lumpur nanti. Tapi terbayang di hadapan matanya KFC, McDonald, Kenny Rogers, Pizza Hut dan banyak lagi. Halim berjalan di bahagian tengah dalam barisan seramai enambelas orang itu. Seperti yang dikatakan oleh Akmar jalan akan becak dan pacat bermaharajalela di atas denai. Tetapi langkah mereka yang pantas menyukarkan pacat-pacat itu melekat dan menghisap darah mereka. Mereka tidak banyak berhenti meskipun cuma untuk berehat seketika kerana masingmasing ingin keluar dari kawasan hutan dan tiba dalam masa yang ditetapkan di Kg. Dusun. Halim sengaja berjalan dalam anggaran satu meter di belakang Nordin. Itu akan memudahkan Halim untuk memilih dimana dia akan berpijak dalam keadaan denai yang berlumpur itu. Kalau

5

Hillel

Harimau

perlu dia akan melakukan pesongan dan berjalan mengelilingi pokok kerana peserta lain di hadapannya telah menyebabkan denai berlumpur itu semakin sukar dilalui. "Praaakkkk!".." Bunyi dahan pokok patah. Halim dan peserta lain di belakangnya berhenti untuk memastikan keadaan. Mungkin dahan itu patah kerana sudah reput tetapi mungkin juga ia patah kerana sebab-sebab lain. Jarak antara Halim dan Alia dibelakangnya agak jauh. Alia berjalan agak perlahan mungkin kerana begnya yang berat. Nordin dan peserta di hadapan Halim meneruskan perjalanan, mungkin mereka tidak menyedari perkara itu. Apabila kelompok di hadapan yang dipimpin oleh Akmar sudah semakin jauh Halim pun segera mengejar mereka. Halim tidak mahu ketinggalan terlalu jauh dan tiba lewat daripada masa yang dianggarkan. Apabila Halim menoleh ke belakang Alia dan peserta lain masih lagi tidak berganjak dari tempat mereka. Mungkin mereka terlihat atau terdengar sesuatu yang menarik di sana fikir Halim sambil meneruskan langkahnya. Nordin dan kelompok di hadapan sudah tidak kelihatan akibat semak belukar yang tebal di kiri-kanan denai. Cuma terdengar suara dan bunyi derapan kaki mereka sahaja agak jauh di hadapan. Duapuluh minit berlalu kelompok Alia sudah jauh ketinggalan, manakala kelompok Nordin pula sudah jauh di hadapan. Cuma Halim berada di antara kedua-dua kelompok itu berjalan dengan langkah yang tidak berubah. Langkahnya tidak diperlahankan dan tidak juga dipercepatkan. Kecederaannya membawanya keluar daripada kawasan hutan dara. Di dalam hutan tebal mustahil dia dapat menangkap mana-mana binatang dalam keadaannya seperti itu. Binatang di dalam hutan terlalu peka dan pantas. Tetapi di kawasan persisiran hutan masih banyak binatang ternakan manusia yang sudah kurang peka dengan bahaya. Malah kadangkadang manusia sendiri juga leka kerana beranggapan harimau tidak akan berada di kawasan jauh daripada hutan dara. "Grrrr...manusia!" Dia sudah dapat mengesan bau manusia sejak sejam yang lalu. Tidak jauh di hadapannya ada denai yang sering dilalui manusia. Malah baru sebentar tadi ada sekumpulan manusia menggunakan denai itu. Tapi dia tahu dalam keadaan kakinya yang cedera itu, dia tidak akan mampu melarikan diri dari sekumpulan manusia. Dia masih teringat peristiwa seminggu yang lalu, seorang manusia sahaja mampu menyebabkan dia berjalan terhencot-hencot. Kaki hadapannya sebelah kiri berlubang ditembusi tongkat kayu yang telah ditarah tajam. "Grrrr....manusia lagi...mungkin seorang diri..." Dia tiba-tiba terdengar derapan kaki yang tidak terlalu kuat menuju ke arahnya. Baunya juga menunjukkan yang dia tidak berada di dalam kelompok yang besar. Dia teragak-agak sama ada untuk mengambil peluang itu untuk menyerang atau tidak. Peristiwa seminggu yang lalu masih lagi menghantui fikirannya. Tetapi desakan perutnya yang lapar menyebabkan dia mengambil keputusan untuk bersembunyi di sebalik belukar di tepi denai itu. Dia tidak meratah sebarang mangsa sejak kakinya tercedera. Dia membetulkan posisinya bersedia untuk menerkam jika peluang terbuka. Tetapi kakinya yang cedera tidak dapat bertahan lama dalam posisi itu. Luka dikakinya bertambah sakit menyebabkan

6

Hillel

Harimau

dia terpaksa mengubah posisi. Manusia itu sudah semakin dekat. Matanya tajam memerhatikan arah datangnya bunyi derapan kaki itu. Kini dia pasti manusia itu sedang berjalan berseorangan. Sambil berjalan, Halim sentiasa memerhatikan keadaan denai di hadapannya ingin mencari kelibat Nordin dan peserta lain di hadapannya. Tetapi masih tidak kelihatan. Tidak jauh di hadapannya Halim terlihat belukar yang dipenuhi dengan rumput menjalar tiba-tiba bergerak seperti ada sesuatu yang bersembunyi disebaliknya. Serta-merta Halim berhenti dan memerhatikan kawasan belukar itu dengan lebih teliti. Tiba-tiba berderau darah Halim dan mukanya berubah pucat apabila terlihat ekor binatang dengan belang hitam kuning terjulur disebalik belukar itu. Halim tahu itu sudah pasti ekor harimau yang sedang menantinya melalui denai itu. Badan harimau itu terlindung sepenuhnya oleh belukar yang sememangnya rimbun. Jantung Halim berdegup kencang seperti baru sahaja selesai berlari pecut seratus meter di atas trek. Keringat dingin mengalir dan membasahi tubuhnya. Tiba-tiba juga bibir dan tekaknya terasa sangat kering seolah-olah ketika itu dia berada di padang pasir dan tidak menemui bekalan air selama beberapa hari. Apabila Halim menjilat bibirnya cuma terasa masin keringatnya sendiri. Air liur yang diteguknya juga seolah-olah dipenuhi pasir dan menyakitkan tekak. Lututnya mula menggigil dan Halim sudah tidak teguh lagi berdiri. Suasana hutan yang sebentar tadi riuh rendah dengan bunyi riang-riang hutan dan kicauan burung tidak lagi kedengaran oleh Halim. Segala-galanya terasa sangat sunyi dan cuma bunyi desingan yang memenuhi telinga Halim. Ekor berbelang kuning hitam itu masih lagi tidak berganjak dari tempatnya. Halim menoleh ke belakang, mengharapkan suara Alia dan peserta lain akan segera kedengaran dan kelibat mereka akan segera kelihatan. Tapi malang, denai di belakangnya masih sunyi. "Apa nak buat ni? Apa nak buat ni? Tenang! Tenang!" Halim berbisik pada dirinya sendiri masih lagi berharap agar kelompok di belakangnya akan segera tiba. Halim teringat pisau belati yang dibawanya. Tangannya yang menggigil menyukarkan dia membuka bilah pisau itu. Halim tahu dengan pisau belati sekecil itu tidak akan dapat menyelamatkan dirinya jika harimau itu betulbetul ingin menyerang. Tapi pisau tetap dipegang seolah-olah dapat memberikan keyakinannya semula. Menoleh ke kiri dan kanan Halim mencari sesuatu yang mungkin dapat membantunya mempertahankan diri. Malang sekali lagi tidak ada suatu benda pun yang kelihatan sesuai untuk digunakan selain daripada pisau belati itu. Tiba-tiba ekor berbelang kuning hitam itu bergerak. Kelihatan seolah-olah harimau yang tadinya bersedia untuk menerkam kini telah berdiri. Halim sendiri semakin panik dan menggelabah. Tanpa berfikir panjang dia melompat masuk ke dalam kesan kubang binatang yang dilitupi rumput menjalar ditepi denai berhampiran dimana dia berdiri sebentar tadi. Halim sudah tidak peduli sama ada tindakan itu bijak atau tidak. Halim juga tidak peduli sama ada kubang itu dipenuhi dengan duri, binatang berbisa ataupun pacat. Sambil bertiarap menyembunyikan diri, Halim memerhatikan harimau itu mula bergerak keluar dari tempat persembunyiannya. Sekali lagi darah Halim berderau melihatkan saiz harimau yang sebesar

7

Hillel

Harimau

anak lembu itu. Sambil memerhatikan denai yang kosong harimau itu cuba mengesan bau manusia di udara. Hidungnya kembang kempis sambil kepalanya di dongakkan ke atas. Pada masa itu Halim cuba mampu mendiamkan diri dan cuba menahan nafasnya agar tidak terlalu laju menderu keluar kerana ketakutan yang amat sangat. Semua sistem di dalam tubuh Halim bekerja dengan pantas ketika itu, degupan jantungnya, keringatnya, nadinya, nafasnya dan gigilan kakinya. Setelah beberapa kali cuba mengesan bau manusia harimau itu mengorak beberapa langkah ke hadapan menghala ke arah dimana Halim bersembunyi sambil terus menghidu-hidu ke kiri dan kanan denai. Secara refleks Halim merangkak berundur ke belakang seolah-olah cuba melarikan diri walaupun dia tahu itu mustahil. Tubuhnya dirapatkan seboleh mungkin diatas tanah. Hanya dalam anggaran sepuluh langkah sahaja lagi harimau itu akan melepasi belukar dimana kubang binatang itu tersembunyi. Selepas itu Halim tidak akan mampu berbuat apa-apa lagi. "Oh Tuhan! Sampai disini sajakah hayatku!" Halim berbisik di dalam hati. Ketika itu wajah-wajah semua orang yang disayanginya terbayang-bayang dihadapan mata. Ibu dan bapanya di kampung yang sudah agak lama tidak dijenguknya. Adik beradik dan anak-anak saudaranya yang comel. Tidak ketinggalan tunangnya yang masih menuntut di universiti. Seolah-olah semua kenangan pahit manis bersama mereka terimbas semula di dalam kepala Halim dalam hanya beberapa detik. "Maafkan aku!" Hanya ungkapan itu yang terkeluar dari mulut Halim. Peluhnya yang tadi cuma merenik di dahi kini mengalir dan bergenang dimatanya. Mata terasa pedih dan terpaksa Halim memejam celikkan matanya. Tapi masih lagi dia tidak melepaskan matanya dari harimau itu. Berkali-kali Halim menelan air liurnya, tekaknya masih lagi perit seperti terminum air bercampur dengan pasir. Berkali-kali juga Halim menjilat bibirnya tetapi masih juga terasa kering. Tidak semena-mena harimau itu menegakkan kepalanya. Telinga ditegakkan ke udara dan matanya yang bulat memerhatikan dengan penuh teliti ke arah denai di belakang Halim. Seolah-olah ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Halim sedikit pun tidak menoleh. Halim tidak peduli apa yang menarik perhatian harimau itu. Halim pasti apa pun yang bakal tiba sudah tentu tidak lebih merbahaya daripada harimau itu. Harimau itu tiba-tiba mengubah arah menuju ke seberang denai dengan langkahnya terhencot-hencot. Barulah Halim perasan yang kaki kiri hadapan harimau itu cedera dan dilitupi oleh darah yang mengering. Kelihatan lalat dan serangga kecil yang lain menghurungi luka itu. Harimau itu terus berjalan menyeberangi denai dan hilang di dalam kawasan belukar. Mata Halim tidak lepas mengekori langkah harimau itu. Setelah agak lama harimau itu pergi Halim masih lagi bersembunyi dan tidak henti-henti memerhatikan kawasan dimana harimau itu menghilangkan diri. Halim tidak tahu dengan pasti sama ada harimau itu sudah pergi jauh dari kawasan itu ataupun masih lagi bersembunyi di belukar yang lain. Nafas Halim sudah mula teratur begitu juga dengan degupan jantungnya. Pisau belati dimasukkan semula ke dalam koceknya. Tidak lama kemudian barulah terdengar sayup-sayup

8

Hillel

Harimau

suara kelompok peserta yang ditinggalkan jauh belakangnya. Barulah Halim keluar dari bekas kubang binatang itu dan duduk menanti ketibaan peserta yang lain. Halim menghela nafas panjang apabila kelibat Alia mula muncul di sebalik rimbunan belukar dari denai dibelakangnya. "Grrrr...kemana manusia tadi?" Dia tertanya-tanya. Sebaik sahaja dia membetulkan kedudukan kakinya yang cedera, bunyi derapan kaki manusia itu pun terhenti. Tetapi jelas bau manusia masih lagi segar memenuhi udara. Dia tidak dapat melihat ke arah datangnya bunyi itu kerana belukar persembunyiannya terlalu tebal. Tetapi dia pun tidak tidak bercadang untuk menerkam mangsanya itu serta-merta apabila dia lalu di hadapannya. Dia akan membiarkan mangsanya membelakanginya terlebih dahulu kerana itu akan memudahkannya meratah tengkuknya. Lagipun dia perlu lebih berhati-hati. Manusia walaupun berjalan berseorangan hanya dengan sebatang tongkat kayu boleh menjadi sangat merbahaya. Kali ini dia perlu memastikan terlebih dahulu sama ada manusia tersebut membawa sebarang senjata atau tidak. "Grrrr... bau manusia semakin kuat" Tetapi bunyi derapan kaki tadi sudah terhenti dan masih lagi tidak kedengaran. Dia keluar dari tempat persembunyiannya dan cuba mencari di atas denai. Dia tahu manusia itu bersembunyi sangat hampir dengannya. Dia cuma perlu terus mencari. "Grrrrrrr ...suara manusia" Kedengaran sayup-sayup suara manusia. Sekarang jelas baginya ada lagi sekumpulan manusia yang akan melalui denai itu tidak lama lagi. Keadaan ini boleh membahayakan dirinya. Dia memerhatikan arah datangnya suara itu sambil menegakkan telinganya ke udara. Manusia yang berjalan berseorangan tadi masih tidak kelihatan. Memang bijak, dia menyembunyikan diri fikirnya. Dia tidak ada pilihan lain. Dia terpaksa bergerak sekarang sebelum lebih ramai manusia menyedari kehadirannya di denai itu. Perlahan-lahan dengan langkah yang terhencot-hencot dia menyeberangi denai dan masuk semula ke dalam belukar. Dia perlu mencari mangsa secepat mungkin kerana perutnya sudah terlalu lapar. Dia berharap agar dalam perjalanannya nanti dia akan menemui bangkai binatang. Mudah baginya kerana tidak perlu lagi dia bersusah payah untuk menangkapnya. "Tetapi adakah aku akan bernasib baik seperti itu" Fikirnya. Dalam bot pancung semua peserta ekspedisi nampak segar. Selepas berehat sebentar setelah meredah hutan dalam perjalanan balik mereka membersihkan diri di jeti Kg. Dusun. Mereka semua nampak ceria walaupun telah melalui denai yang becak berlumpur dan berjalan tanpa henti selama satu setengah jam. Cuma Halim yang kelihatan senYan dan mukanya masih juga pucat. Akmar tahu Halim telah terlihat sesuatu dalam perjalan balik tadi. Akmar sengaja berjalan dengan pantas kerana dia telah dapat mengesan bau hamis dan kehadiran agas yang berlebihan daripada biasa. Akmar kurang pasti sama ada peserta dalam kelompok yang pertama dapat mengesan tanda-tanda itu atau tidak. Tetapi kerana cuaca yang agak lembab dan tidak berangin bau hamis harimau agak sukar dikesan oleh mereka yang kurang berpengalaman. Akmar pasti tekaannya tepat kerana majoriti daripada para peserta kelihatan sangat gembira. Akmar juga tahu tekaannya tentang Halim terlihat sesuatu juga tepat. Sebaik sahaja tiba di Kg.

9

Hillel

Harimau

Dusun, kelompok yang kedua sibuk bercerita tentang bau hamis yang sangat kuat dan agas yang tidak alang kepalang banyaknya mengigit mereka. Paling jelas sekali, mereka menemui kesan tapak kaki harimau di denai yang mereka lalui. Akmar pasti semasa mereka melalui denai itu dia tidak ternampak pun sebarang kesan tapak kaki harimau. Ini bermakna harimau itu melalui denai itu selepas kelompok yang pertama dan sebelum kelompok yang kedua. Diantara keduadua kelompok itu pasti Halim sedang berjalan seorang diri. "Syukurlah! Dia selamat." Bisik hati Akmar. Hillel 25 1615 JAN 03 © HAK CIPTA TERPELIHARA

10

Related Documents

Harimau
November 2019 32
1 Harimau
May 2020 28
Harimau Dan Srigala
December 2019 39
Harimau Kemala Putih
November 2019 42