PENGENALAN.
Islam Hadhari merupakan gabungan dua perkataan Bahasa Arab yang sedang hebat diperkatakan dewasa ini. Perkataan Islam itu sendiri telah begitu biasa didengar dan sebut manakala perkataan Hadhari pula menjadi begitu asing bagi sesetengah golongan masyarakat Islam sendiri. Disebabkan asingnya perkataan Hadhari ini bagi sesetengah golongan, maka wujudlah dua golongan yang gemar membicarakan dan membahaskan tentang Islam Hadhari ini.
Golongan yang faham makna Islam Hadhari itu dari segi bahasanya sibuk membahaskan akan apakah keperluan Islam itu ditambah Hadhari. Mereka mempersoalkan apakah kelebihan Islam Hadhari itu berbanding Islam tanpa Hadhari. Manakala mereka yang tidak memahami perkataan Hadhari pula heboh bertanyakan apa dia Islam Hadhari itu tanpa menghiraukan akan apakah yang terkandung pada Islam Hadhari.
Penulisan yang pendek ini akan menjelaskan apakah maksud sebenar Islam Hadhari ini serta menghurai serba ringkas apakah inti pati yang terkandung dalam konsep Islam Hadhari dan bagaimana ianya boleh membawa masyarakat Islam Hadhari ini boleh lebih maju terkehadapan daripada masyarakat Islam yang ada hari ini. Penulisan ini juga akan membincangkan peranan
yang patut dipikul oleh pemimpin-pemimpin Islam bagi memastikan konsep ini terlaksanakan sebagaimana kehendak Islam yang sebenar.
1.1.
Pengertian.
Islam Hadhari boleh didefinisikan kepada dua pecahan yang akan dirangkumkan menjadi satu definisi Islam Hadhari yang lebih jelas dan bertepatan dengan konsep Islam Hadhari itu sendiri.
1.1.1. Pertama kita pergi kepada pengertian Islam itu sendiri iaitu membawa maksud berserah, tunduk dan patuh kepada Allah Tuhan Semesta Alam yang dilakukan secara redha tanpa paksaan.
1.1.2. Kedua kita pergi pula kepada pengertian Hadhari. Hadhari yang pada asalnya disebut sebagai Hadhara yang membawa maksud Tamadun. Tamadun pula dimengertikan sebagai kehidupan manusia yang merangkumi kebudayaan, peradaban, kemajuan material dan spiritual serta sopan santun.
Kedua-dua pengertian yang dirangkumkan tadi telah membawa maksud Islam Hadhari itu sebagai satu kelompok besar manusia yang hidupnya sentiasa tunduk dan patuh kepada ajaran Islam yang ada bersama-samanya nilai dan taraf kehidupan yang tinggi dan berkualiti. Ianya lebih dikenali sebagai Tamadun Islam. Namun itu adalah pengertian dari segi penggunaan istilah sahaja.
2.
KONSEP ISLAM HADHARI.
Islam Hadhari telah mula diperkatakan dan diperbincangkan di Malaysia ini sebaik sahaja Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi mengambil alih kepimpinan Negara sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Memandangkan ianya telah dimulakan oleh seorang Tokoh Politik, maka ianya telah digambarkan sebagai modal politik atau dengan perkataan yang lebih mengelirukan lagi, Islam Hadhari telah dicap sebagai kewujudan satu bentuk ‘Mazhab Baru’ dalam Agama Islam tajaan Kerajaan Malaysia.
Sebelum kita berbincang dengan lebih jauh lagi, adalah perlu untuk kita memahami dengan jelas apakah itu Islam Hadhari mengikut konsepnya yang sebenar agar kita tidak terus diburu kekeliruan dan dikelirukan oleh mereka yang sebenarnya keliru dengan apa yang dimaksudkan dengan Islam Hadhari ini.
Islam Hadhari mengikut konsepnya bukanlah membicarakan Tamadun Islam itu secara terus. Islam Hadhari dari konsepnya seperti yang sedang diperjelaskan oleh Kerajaan Malaysia ialah “Memahami Islam Dari Perspektif Ketamadunan”. Dengan ini kita akan dapat kembali kepada asas Islam yang melihat Islam dari perspektif yang lebih luas iaitu perspektif ketamadunan. Dalam konteksnya di Malaysia ini, bagi memastikan masyarakat Islam Hadharinya terus membangun dengan Ilmu, Moral Dinamik, Maju dan Bertamadun, maka ianya telah diperincikan melalui Visi, Misi, Matlamat dan Objektif yang jelas.
2.1
Visi, Misi, Matlamat Dan Objektif.
Apabila kita membincangkan mengenai Masyarakat Islam Hadhari, kita kena kembangkan skop masyarakat itu sendiri kepada skop negara atau kerajaan atau jika kita ingin lebih meluas, kita kena kembangkan kepada skop umat Islam itu sendiri. Namun bagi tujuan penulisan kertas ini, saya akan membincangkan mengenai masyarakat Islam Hadhari
mengikut konteksnya di Malaysia. Visi, Misi, Matlamat Dan Objektif pula perlu dihuraikan dengan jelas bagi memudahkan konsep ini difahami. Apabila ianya telah difahami, maka tidak sukar untuk masyarakat itu melaksanakan dan menghayatinya.
2.1.1. Visi.
Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dengan mengikut acuannya sendiri dan mampu menghadapi sembilan cabaran yang merintanginya.
2.1.2. Misi.
Memberi makna kepada pembangunan negara mengikut konsep Islam Hadhari yang terbina dengan acuan sendiri untuk mencorak kemajuan negara.
2.1.3. Matlamat Dan Objektif.
Beriringan dengan slogan Cemerlang, Gemilang Dan Terbilang, konsep Islam Hadhari akan mensasarkan kepada perkara berikut sebagai matlamat dan objektif.
3.
-
Kerajaan yang berkesan, efisien dan adil.
-
Rakyat yang berjiwa bebas, kental, kreatif dan inovatif.
-
Masyarakat berbudaya, berdaya juang dan memiliki moral awam yang teguh.
-
Kualiti hidup yang tinggi
-
Menguasai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.
-
Menguasai alam semulajadi.
-
Benteng pertahanan negara yang kukuh.
PEMBANGUNAN MASYARAKAT ISLAM HADHARI.
Masyarakat Islam Hadhari perlu dibangunkan untuk menjadi maju sejajar dengan konsepnya sendiri. Perlu ada penguasaan dalam beberapa bidang utama sebagai teras pemacu kemajuan. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada perkara-perkara ritual sebagaimana yang telah diwariskan oleh tokoh-tokoh ilmuan Islam silam.
Islam itu sendiri sebenarnya telah melalui proses perjalanan sejarah yang panjang bermula dari zaman Rasulullah S.A.W.. Tamadun Islam telah bermula dengan baik di mana tiada perselisihan dan percanggahan hukum serta pendapat yang kronik sehingga Tamadun Islam pada ketika itu boleh berkembang dengan baik sehingga menjadi begitu gemilang dan terbilang.
Hanya selepas wafatnya Rasulullah S.A.W banyak berlaku perselisihan hukum dan pendapat di kalangan pemerintah, ilmuan dan ulamak Islam hingga timbulnya Islam Sunni, Islam Syiah dan sebagainya seperti lahirnya mazhab-mazhab yang menjadi pedoman umat Islam. Bermula dari situlah Tamadun Islam telah semakin merosot walaupun masih kelihatan gagah. Selepas dari itu, Tamadun Islam terus merosot sehingga menyebabkan satu demi satu negara Islam dijajah akibat tiada penghayatan ketamadunan sebenar oleh umat Islam ketika itu.
Ulama dan ilmuan Islam hanya berminat bercakap soal Islam secara ritual sahaja sehingga buku-buku ilmu Islam secara ritual ini boleh dikeluarkan sehingga berjilid-jilid banyaknya berbanding dengan ilmu-ilmu yang menghurai soal ketamadunan. Keadaan ini berlangsung begitu lama sehingga ke hari ini.
Malaysia sebagai sebuah negara Islam telah mula sedar dan mengorak langkah untuk sama-sama membawa semua umat Islam kepada pemahaman Islam yang sebenar. Langkah pertama dengan mengajak umat Islam di Malaysia melakukan anjakan pemikiran untuk melaksanakan konsep Islam Hadhari.
3.1.Membangun Dengan Ilmu.
Ilmu merupakan satu elemen yang amat penting dalam membina asas kekuatan Islam itu sendiri. Nabi Muhamad S.A.W sebagai Rasul yang membawa ajaran Islam telah menerima wahyunya yang pertama menerusi “Ayat Iqra” yang membawa maksud bacalah. Pada peringkat awal penurunan wahyu lagi, ilmu telah diletakkan sebagai perkara yang paling utama oleh Islam.
Dengan konteks membangun dengan ilmu oleh Islam Hadhari, membawa maksud segala bentuk kejayaan dan kemajuan tidak akan dapat dicapai tanpa ilmu pengetahuan. Ilmu yang dimaksudkan oleh konsep ini bukanlah semata-mata ilmu ritual sahaja malah mencakupi juga ilmu-ilmu moden dan teknologi.
Ramai yang beranggapan ilmu, selain daripada ilmu ritual merupakan ilmu sekular dan tidak Islamik. Inilah yang menjadi kubu kebal yang menghalang kemajuan umat Islam. Kebanyakan dari lupa bahawa ilmu-ilmu bukan ritual seperti sejarah dan tamadun manusia, sains, astronomi, elektrikal, kejuruteraan, perubatan, teknologi, sosiologi, falsafah, bahasa dan banyak lagi adalah merupakan Ilmu Allah. Ianya berkait rapat dengan konsep kesepaduan ilmu agama (Dinullah) dan Sunnatullah yakni ilmu yang berhubung dengan perjalanan alam ini mengikut keentuan Ilahi.
Manusia memperolehinya daripada hasil kajian dan penyelidikan terhadap alam dan cakerawala yang jelas mengambarkan kehebatan ilmu Allah sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Baqarah ayat 164 mafhumnya “Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, pada penggantian malam dan siang, pada kapal yang belayar di lautan yang berguna bagi manusia, dari air yang diturunkan Allah dari langit berupa hujan, Ia hidupkan bumi dengannya sesudah mati, Ia tebarkan di dalamnya dengan berbagai binatang, pada
perkisaran angin dan awan dikendalikan antara langit dan bumi, pada semua itu ada tanda-tanda kebesaran bagi orang yang menggunakan fikiran”. Ayat yang jelas yang mengarahkan umat Islam untuk mengkaji kehebatan Ilmu Allah. Begitu juga dengan beberapa ayat yang terkandung dalam Surah Al-Ghasiah ayat 17 hingga 21 yang meminta manusia mengkaji kehebatan ilmu Allah menjadikan bumi dan cakerawala.
Kita telah melihat betapa umat Islam di Malaysia telah didedahkan dengan ilmu moden tadi semenjak kita bebas daripada belenggu penjajah kuffar pada tahun 1957. Umat Islam telah diberi kemudahan dan keutamaan oleh kerajaan dalam mengejar berbagai cabang ilmu melalui dasar-dasar kerajaan yang digubal pada ketika itu. Hari ini umat Islam di Malaysia telah memiliki dan menguasai berbagai cabang ilmu yang mana jika digabungkan dan dimanipulasi dengan sebaiknya sudah mampu untuk membawa negara Malaysia dan umat Islam menjadi maju. Namun penguasaan ilmu sahaja belum memadai untuk menjadikan konsep Islam Hadhari itu sebagai satu kenyataan. Rajah 1 menunjukkan Menguasai Ilmu Pengetahuan mengikut Islam Hadhari.
Rajah 1
3.2
Membangun Dengan Moral Dinamik.
Tidak lengkap bagi sebuah masyarakat yang berilmu dalam berbagai cabang ilmu sekiranya tidak memiliki nilai-nilai murni dan dinamik dalam kehidupannya. Keadaan fizikal dan suasana landskap sesebuah negara yang nampak maju tidak ada ertinya jika masyarakatnya tidak terarah memiliki moral yang dinamik. Seperti apa yang sering kita lihat hari ini sehingga lahirnya ungkapan sinis yang menyatakan Malaysia kini memiliki kemudahan standing negara maju tetapi masyarakatnya memiliki pemikiran dan sikap yang setanding dengan negara dunia ketiga.
Penekanan konsep Islam Hadhari menjurus ke arah pembentukan nilai moral yang dinamik. Ianya berpaksikan kepada pembentukan akhlak yang dituntut oleh Islam melalui iman yang mantap, ilmu yang teguh dan amal yang soleh. Mencontohi bentuk akhlak dan sifat-sifat mahmudah yang dimiliki oleh Rasulullah S.A.W. Jika kita menoleh kepada zaman kegemilangan Islam semasa dan selepas zaman Rasulullah, kehebatan tamadunnya jelas dipacu oleh pemimpin-pemimpinnya yang berakhlak mulia dan bermoral dinamik. Tamadun Islam
kemudiannya telah melalui zaman kesuramannya apabila rata-rata pemimpin-pemimpin yang memimpin negara Islam telah hilang sifat-sifat mulia tadi daripada diri mereka yang telah berganti kepada sifat-sifat mazmumah. Kayanya pemimpin-pemimpin tadi dengan sifat-sifat mazmumah inilah yang telah menjadikan Tamadun Islam mundur dan tidak dihormati lagi.
Atas kesedaran inilah, konsep Islam Hadhari telah menekankan peri pentingnya nilai-nilai masyarakat yang dinamik perlu dimiliki oleh anggota masyarakatnya. Islam Hadhari amat menolak akan sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat yang mementingkan kebendaan dan keduniaan sahaja.
Bagi mencapai tujuan ini, program-program bagi membentuk kesedaran kepada masyarakat telah diadakan seperti Kursus Bina Insan, Seminar Pemahaman Islam Hadhari, Forum Perdana dan banyak lagi program yang dianjurkan secara berterusan oleh pihak berkuasa. Apabila setiap anggota masyarakat telah membudayakan sifat-sifat mulia ini dalam kehidupan akan wujudlah rakyat yang berjiwa bebas yang boleh membentuk kerajaan yang berkesan dan adil. Rajah 2 memaparkan pendekatan yang digunakan untuk membentuk masyarakat Islam Hadhari.
Setiap urusan akan diputuskan secara telus melalui musyawarah. Inilah bentuk masyarakat yang diinginkan oleh Islam Hadhari bagi digembeling untuk membangun dan memajukan umat Islam. Jelas menunjukkan bahawa moral yang dinamik juga merupakan antara pemacu utama kepada ketamadunan Islam yang tinggi.
Rajah 2
3.3
Membangun Terus Maju Dan Bertamadun.
Gandingan antara penguasaan ilmu dan pemilikan nilai-nilai hidup yang mulia dan dinamik tadi, maka akan terhasillah satu bentuk masyarakat Islam yang benar-benar utuh. Masyarakat Islam Hadhari akan dilihat sebagai masyarakat yang bebas, berani dan bermaruah. Mempunyai hubungan yang cukup erat antara sesama manusia. Hubungan yang kental dengan penciptaNya dan mempunyai hubungan yang amat baik dengan alam semulajadi.
Jika masyarakat Islam Hadhari ini telah lengkap dengan cirri-ciri yang perlu bagi satu-satu tamadun maka mereka juga akan memilih pemimpin-pemimpin daripada individu yang terbaik dari kalangan mereka bagi menjamin kejayaan dan kekuatan Islam itu terus bertahan dan terpelihara.
Dengan ilmu pengetahuan yang tinggi dan sifat-sifat mulia yang dimiliki, sudah pastinya masyarakat Islam Hadhari mampu untuk membina satu negara bangsa yang maju dan bertamadun. Maju dari segi pembangunan fizikal yang terhasil dari penguasaan semua ilmu duniawi dan ukhrawi yang digabungkan. Bertamadun dengan memiliki cara hidup dan berbudaya mulia yang menjadi contoh ikutan oleh bangsa lain di dunia.
Hasil dari ini juga akan wujudnya kekuatan ekonomi dan politik masyarakat Islam Hadhari itu sendiri yang turut menyumbang kepada kekuatan pertahanan dan menikmati kualiti hidup yang tinggi berbanding masyarakat lain.
3.
KESIMPULAN.
Islam Hadhari jelas menampakkan satu keadaan di mana ketamadun Islam itu dihayati oleh masyarakat mengikut pemahaman konsep ketamadunan Islam yang sebenar di mana ianya berbeza dengan pengertian Tamadun Islam. Masyarakat Islam yang dilahirkan berkonsepkan Islam Hadhari juga akan menjadi masyarakat yang ingin sentiasa berubah dengan membawa imej Islam yang sebenar. Masyarakat Islam Hadhari itu sendiri akan menjadi masyarakat yang sentiasa bersedia untuk berubah daripada keadaan yang sedia baik kepada keadaan yang bertambah baik. Ianya terhasil daripada penekanan yang dibuat terhadap masyarakat oleh pemimpin untuk membawa perubahan utama terhadap pemikiran dan sikap masyarakat itu sendiri.
Apabila pemikiran sudah mula bebas, berkembang dan daya intelektualnya meningkat, sudah tentu dengan sendirinya terbentuk satu masyarakat yang maju dan bertamadun. Begitu juga dengan perubahan sikap yang telah dijana. Apabila semua
individu telah mengamalkan sikap ingin kepada perubahan, bermoral dinamik dan bernilai mulia, pastinya sesuatu masyarakat yang dihuni oleh individu-individu seperti ini akan menjadi contoh dan teladan kepada lain-lain bangsa yang baru hendak membina tamadun. Di sinilah masyarakat maju Islam Hadhari boleh membantu umat Islam yang lain untuk sama-sama maju atas landasan Islam yang sebenar melalui perkongsian pintar.
Apa yang pasti, kehidupan masyarakat Islam Hadhari ini nanti hendaklah dipimpin dan dipandu oleh mereka yang benar-benar terbaik dikalangan mereka agar kemajuan Islam Hadhari yang dikecapi boleh dinikmati secara berterusan dan istiqomah. Kelemahan-kelemahan yang menyebabkan runtuhnya tamadun Islam silam hendaklah dijadikan iktibar dan pedoman agar Islam Hadhari ini tidak menuruti teori evolusi yang menyatakan bahawa kehidupan tamadun manusia ini umpama roda yang akan mengalami zaman kegemilangan dan kemundurannya silih berganti.
14.
BIBLIOGRAFI.
Buku.
Mohd Nakhaie Ahmad, Dato’ (2004) Islam Hadhari Sebagai Teras Pemacu Kemajuan Negeri Maju, INMIND, Petaling Jaya.
Majalah.
Majalah Al Islam, Kuala Lumpur, Januari 2005/Zulkaedah 1425 Fokus : Islam Hadhari.
Surat Khabar.
Berita Harian, Jumaat 11 Februari 2005, Temu Bual Bersama Perdana Menteri, Muka 12.
Utusan Malaysia, Khamis 10 Februari 2005, Muka Depan.
Utusan Malaysia, Khamis 24 Februari 2005, Rencana, Muka 6.