Duhai Saudaraku,
“Utamakanlah KeredhaanNya” Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t., lantaran kekerdilan diri yang sedia ada, masih diberi kekuatan olehNya untuk tampil lagi memberi peringatan buat renungan dalam melalui perjalanan yang pastinya terbentang dengan ranjau dan duri. Sebelum pena ini terus mencoret, keampunan dipohonkan ke hadrat Allah s.w.t. seandainya melewati batasanNya. Saudaraku yang dihormati, Didoakan semoga saudara sentiasa berada dalam keimanan dan ketakwaan yang tinggi terhadap Allah s.w.t. Sama-sama kita insafi, betapa asal kejadian kiat hanyalah daripada setitis air mani yang jijik dan hina. Namun, sesungguhnya manusialah yang paling mulia di sisiNya, dengan nilaian iman dan takwa yang kukuh dan kental. Akan tetapi, manusia juga pasti jatuh darjatnya lebih hina daripada haiwan, akibat nafsu yang berjaya menguasai diri. Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tandatanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Terjemahan Al-A’raaf:179) Saudaraku yang diingati, Pembentukan peribadi adalah langkah pertama dalam menuju matlamat menjadi muslim yang hakiki. Perhiasan diri dengan akhlak yang terpuji merupakan pancaran ilmu dan iman seseorang yang terserlah daripada hati. Lantaran itulah, Rasulullah s.a.w. hadir ke dunia untuk memperindahkan akhlak manusia dan menjadikan diri baginda sebagai ikutan. Benarlah sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya adalah aku diutuskan untuk menyempurnakan akidah.” Namun begitu saudara, amat malang. Apa yang nyata kini kitalah makhluk yang paling mendustakan nikmat yang Allah kurniakan. Akal yang diberikan oleh Allah s.w.t. menjadi lemah, seolah-olah tidak mampu berfungsi apabila berhadapan dengan nafsu yang menggila. Keseronokan dan keindahan dunia benar-benar mencengkam kita tanpa mampu menilai kebaikan yang hakiki. Keyakinan pada Hari Pembalasan dan pertemuan dengan Rabbul Jalil juga semakin pudar, semakin malap tanpa dihinggapi sebarang penyesalan lantaran semakin keras dan hitamnya hati. Semakin hari, semakin lalailah hati, matilah jiwa… terus terhanyut diperkotak-katik oleh syaitan durhana. Justeru saudaraku, kembalilah merenungi hakikat kewujudan diri. Pujuklah hati dengan keindahan Islam dan lembutkanlah ia dengan kelazatan ibadah. Semoga hati-hati kita akan bersinar dengan sinaran iman dan tenang dengan kelazatannya. Semoga hati-hati ini akan kembali menggeruni kebesaran Allah s.w.t. dan bergetar sebaik sahaja dialunkan ayat-ayat Allah s.w.t., sebagaimana yang telah digambarkan oleh Allah s.w.t. dal firmanNya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.” (Terjemahan Al-Anfaal:2) Saudaraku yang dikasihi, Hayati dan renungi kembali kisah generasi-generasi terdahulu, sebagaimana yang terukir dalam lipatan sejarah, betapa kekentalan iman menyelubungi diri mereka hingga menjadikan mereka pahlawan nan gagah perkasa pada siang hari demi menegakkan risalah Ilahi serta hamba yang sentiasa menangis di hadapan khaliqnya tatkala malam hari.
Pohonlah bantuan daripada Allah s.w.t., semoga Allah membantu kita dalam mujahadah dan menetapkan kita dalam istiqamah.
Duhai Saudaraku,
“Dunia Ini Hanya Tempat Persinggahan…..” Saudara se-Islam yang kuhormati dan muliakan, Assalamualaikum warahmatullah, “Ingatlah, sesungguhnya dunia ini adalah tempat sementara sahaja dan akhirat jualah tempat yang kekal.” Begitulah kata nasihat oleh orang ramai khatib tatkala membaca khutbah hari Jumaat. Walau bagaimanapun, malang sekali, apa yang zahir pada ramai umat Islam sekarang adalah bertentangan sekali dengan semangat kenyataan ini. Dunia ini diibaratkan seolah-olah kampung halaman yang kekal. Secara tidak langsung, menjadikan diri sendiri sebagai hamba untuk meraih kekayaan sebanyak-banyak. Menurut Islam, dunia ini sebagai tempat persinggahan yang sementara yang bererti bahawa manusia itu seolah-olah sedang mengembara ke arah suatu destinasi yang jauh. Dalam perjalanan itu, dia singgah berhenti untuk mengambil segala keperluan bagi meneruskan perjalanannya. Tempat persinggahan yang singkat itu sebenarnya merupakan satu medan yang dipenuhi dengan pelbagai cubaan. Akibatnya, terbentuklah beberapa puak di kalangan pengembara tadi. Ada sebahagian yang leka dan lupa asal tujuan mereka singgah. Ada juga sebahagian yang lain tidak lupa pedomannya dan menetapkan hati menempuh kehidupan di tempat persinggahan yang mencabar ini. Saudara yang dikasihi, Kisah-kisah golongan pengembara ini banyak diceritakan dalam al-Quran. Ada golongan yang hidup intik dunia sahaja. Mereka berpegang kepada kefahaman kebendaan, baik dari segi akidah mahupun dari sudut kehidupan sehari-harian. Golongan yang kedua merupakan golongan yang terkeliru antara dunia dan akhirat. Ramai umat Islam terjerumus dalam golongan ini. Akidah mereka sentiasa bergelora dan berubah-ubah dalam menjalani kehidupan dunia. Mereka menyangka bahawa mereka telah melakukan perkara yang baik, tetapi sebenarnya bercanggah daripada hukum syarak. Pada hakikatnya, golongan ini masih lagi bersifat kebendaan walaupun pada zahirnya mereka masih melakukan ibadat-ibadat rohani. Golongan yang ketiga ialah golongan yang menganggap dunia ini sebagai ladang akhirat. Inilah golongan orang-orang mukmin yang tahu hakikat hidup ini. Mereka memahami bahawa dari satu segi mereka digalakkan berusaha, bekerja, mencari segala perbendaharaan yang terdapat di bumi ini untuk kemajuan manusia. Tetapi dari segi yang lain, mereka menjadikan dunia ini matlamat akhir sehingga lalai dengan segala urusan dunia. Saudara yang mulia, Ada manusia yang singgah di dunia ini selama sehari, ada yang sebulan, setahun dan ada yang menjangkau seratus tahun. Semuanya bergantung pada usia yang telah ditetapka oleh Allah. Tetapi yang pasti, mereka tetap akan menemui maut, sama ada cepat atau lambat. Kebanyakan manusia masa kini hidup selama lebih kurang 60 tahun. Jika dibandingkan usia ini dengan perjalanan seterusnya, ternyata ia bagaikan kilat di langit sahaja. Ini telah dinyatakan oleh Nabi Nuh a.s apabila apabila malaikat maut dating untuk mengambil nyawanya. Sekalipun Nabi Nuh hidup selama seribu tahun, namun pada waktu malaikat maut bertanya kepadanya baginda merasakan singkatnya kehidupan. “Wahai nabi yang terlalu panjang umur! Bagaimana dapat kamu rasakan dengan umur kamu yang panjang itu?” Nabi Nuh menjawab, “Seperti sebuah rumah yang mempunyai pintu depan dan pintu belakang. Aku masuk ke dalamnya melalui pintu hadapan dan keluar melalui pintu belakang!” Di sini dapat dibayangkan bahawa waktu persinggahan atau jarak antara hidup dan mati itu merupakan satu jarak yang dekat. Setiap saat pada masa hidup ini adalah penting. Ia perlu dimanfaatkan dan diisikan dengan kerja-kerja yang mendatangkan kebaikan. Kerana ini sajalah masa untuk mencari bekalan yang akan menjadi bukti bagi amalan yang akan membela kita pada hari akhirat kelak. Demikianlah, sedikit nasihat yang kutujukan kepada diriku dan juga diri saudara sekalian. Semoga tulisan ini memberi kebaikan kepada kita semua.
Duhai Saudaraku…
“Hargailah Pemberian Orang” Assalamualaikum warahmatullah, Saudaraku yang dikasihi dan dihormati, Semoga setiap detik yang saudara tempuhi, saudara dilimpahi oleh Allah s.w.t. dengan nur keimanan. Semoga hati kita terus hidup untuk mensyukuri setiap nikmat Allah yang dikurniakan-Nya kepada kita. Saudaraku, Hubungan kita dengan Allah menuntut kita sentiasa bersyukur ke atas nikmat-Nya yang tidak terhitung itu. Di samping itu saudaraku, kesempurnaan juga bergantung kepada hubungan kita sesama manusia. Hubungan sesama manusia ini juga merangkumi konsep memberi dan menerima sesama kita. Pepatah Melayu berbunyi ‘orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’. Dari itu, kita berkewajipan menerima pemberian orang lain dan menghargainya dengan penuh ikhlas dan syukur walaupun ia mungkin hanya sebesar biji sawi. Setiap pemberian hendaklah kita terima dengan muka yang manis dan gembira walaupun mungkin kita tidak memerlukannya. Wajah yang manis itu sebenarnya membayangkan bahawa kita benar-benar ikhlas dan menghargai pemberiannya. Kecil tapak tangan nyiru kita tadahkan. Bukankah Rasulullah s.a.w. sendiri menggalakkan kita saling bertukar-tukar hadiah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim? Apabila pemberian sudah digalakkan sudah tentulah penerimaannya lebihlebih lagi digalakkan. Saudaraku, janganlah kita lupa beberapa adab yang sepatutnya menghiasi tingkah laku kita ketika menerima pemberian sesuatu daripada seseorang. Berilah perhatian kepada pemberi yang mungkin sedang menceritakan tentang barangnya. Berusahalah menyatakan kesukaan kita terhadap barang tersebut dan bertanyalah lebih lanjut tentangnya. “Oh, terima kasih”, “subhanallah, cantiknya” mungkin menjadi kalimah-kalimah yang sesuai diucapkan. Saudara yang dihormati, Berusahalah untuk menghargai pemberian orang sama ada orang itu rapat atau tidak dengan kita. Kadangkala kita mungkin mampu untuk menunjukkan penghargaan kita kepada orang lain tetapi kita sering gagal untuk berterima kasih dengan pemberian orang yang rapat denagn kita. Duhai saudaraku, amalkanlah ucapan berterima kasih walau kepada sesiapa sahaja. Terkadang ucapan ringkas itu boleh mengeratkan lagi hubungan ukhuwah yang sedia ada. Kita boleh melihat rentetan peristiwa harian, adanya suami yang berkecil hati dengan sikap isterinya yang tidak berterima kasih dengan pemberiannya. Kita juga melihat hubungan persahabatan yang renggang kerana tidak adanya sikap saling berterima kasih sesama sahabat. Alangkah sedihnya. Sedarilah setiap manusia mempunyai perasaan. Justeru, ia amat mudah berkecil hati seandainya pemberiannya tidak dihargai. Menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga hati orang-orang di sekeliling kita. Saudara yang disayangi, Menghargai pemberian orang lain bermakna kita menghargai dan mensyukuri nikmat Allah yang kita terima itu. Sedarilah setiap nikmat itu datangnya dari Allah s.w.t. dan orang yang memberi itu hanyalah perantaraannya. Sesungguhnya sahabatku, kita tidak mahu menjadi orang yang digolongkan oleh Allah di kalangan orang-orang yang rugi kerana diberikan mata tetapi tidak digunakan untuk melihat nikmat Allah. Dianugerahkan telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar nikmat Allah dan dianugerahkan juga hati tetapi tidak digunakan untuk mensyukuri nikmat-nikmat Allah. Saudaraku sekalian, Marilah kita sama-sama menasihati diri kita agar sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diterima. Terimalah apa sahaja yang diberikan kepada kita dengan hati yang puas dan ikhlas. Itulah tanda orang yang beriman. Wallahua’lam.
Duhai Saudaraku…
Jauhilah Daripada Mencari-cari Keburukan Orang Lain… Manusia mudah melihat kesalahan orang lain tetapi gagal menilai dirinya sendiri Saudaraku, Kudoakan semoga kita bersama sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t. untuk tetap di atas jalanNya. Juga terpelihara daripada sebarang ajakan syaitan yang sentiasa mencari temanteman untuk bersamanya di Hari Pembalasan kelak. Saudara yang kusayangi, Sebagai manusia, kita tidak dapat hidup menyendiri kerana fitrah kejadian manusia itu menuntut kehidupan bersama. Lantaran itu, hubungan kita dengan orang lain hendaklah dibajai dengan keikhlasan agar ia terhindar daripada sebarang kecacatan. Satu perkara yang perlu kita lakukan bagi menjaga hubungan baik ialah menjauhkan diri daripada sifat suka mencari-cari keburukan orang lain. Sesungguhnya saudaraku, manusia amat mudah tertipu dengan ajakan syaitan, sehingga ia mudah melihat keburukan orang tetapi gagal melihat kelemahan diri sendiri. Dari itu, kawallah diri, ikhlaskanlah hati dan jiwa dalam menilai orang lain agar kita sentiasa terpelihara dari sikap suka mencari-cari keburukan orang lain. Allah s.w.t. melarang kita dari mempunyai buruk sangka terhdap saudara-saudara yang lain: “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain…” (Terjemahan Al-Hujurat:12) Sabda Rasulullah s.a.w.: “Hai golongan orang-orang yang beriman hanya dengan lisannya tetapi belum lagi beriman dengan hatinya, janganlah kamu semua mengumpat orang-orang Islam dan janganlah pula meneliti cela-cela mereka. Sebab barangsiapa yang meneliti cela saudaranya, maka Allah akan meneliti celanya dan barang siapa yang diteliti celanya oleh Allah, maka Allah akan menampakkannya sekalipun ia berada didalam rumahnya.” (Maksud hadis riwayat Ibnu Abiddunya dan Abu Dawud). Begitulah wahai saudaraku, Allah dan rasulnya meletakkan perbuatan mencari keburukan orang lain itu sebagai satu perbuatan dosa yang mesti dijauhi. Kita dilarang untuk mencari keburukan orang lain, lebih-lebih lagi niat untuk bermegah-megah dengan diri sendiri. Orang yang suka meneliti keburukan orang lain akan sentiasa merasakan kelebihan diri sendiri. Dalam keadaan demikian syaitan akan memainkan peranannya lalu hati kita merasa ujub dan riya”. Saudaraku, Ada pula di antara kita yang apabila melihat keburukan seseorang menceritakan keburukan tersebut kepada sahabatnya yang lain. Allah s.w.t. amat benci perbuatan tersebut. Kepada mereka Allah s.w.t. mengingatkan: “..Dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu akan merasa jijik kepadanya…” (Terjemahan Al-Hujurat:12) Perbuatan mengumpat adalah satu perbuatan yang sangat keji di sisi Allah s.w.t. Saudara yang kukasihi, Ubat yang paling mujarab untuk mengatasi sifat cela ini ialah dengan selalu membuat penelitian ke atas diri sendiri sebelum kita melihat kesalahan dan kekurangan orang lain. Janganlah kita biarkan diri kita merasakan yang kita ini lebih sempurna daripada mereka. Sekiranya sahabat kita membuat kesalahan, nasihatilah mereka dengan ikhlas, tidak dengan niat untuk mendedahkan kelemahan sahabat tadi kepada orang lain. Ingatlah, sebagai manusia kita juga tidak tersembunyi dari melakukan kesalahan. Saudaraku, Apabila terlintas sahaja niat buruk di hati kita tentang orang lain, hendaklah kita bersungguhsungguh mengikiskannya. Benarlah ingatan Ibnu Abbas r.a. yang dipetik oleh Imam Al-Ghazali dalam bukunya Bimbingan Mukmin: “Jika engkau hendak menyebut-nyebut cela orang lain, maka cubalah dulu engkau ingat-ingat dan sebut-sebutkan cela yang ada dalam diri engkau sendiri.”
Itulah sedikit peringatan buat diriku yang selalu lupa dan untuk saudara-saudara semua. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya, InsyaAllah.
Saudaraku,
“Hayati Keindahan Alam, Ingatlah Kepada Allah” Saudaraku yang dikasihi dan dihormati, Kudoakan semoga saudara sentiasa berada di dalam kesejahteraan iman dan takwa kepada Allah s.w.t. Semoga bertambah cekal hati saudara dalam mengahdapi sisa-sisa kehidupan yang masih tinggal. Semoga hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Saudara, Seorang mukmin yang sedar dan insaf, tidak melihat alam ini dengan pandangan yang kosong semata-mata. Penglihatannya penuh dengan ingatan terhadap Allah s.w.t. Gementarlah hatinya mengingati firman Allah: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tangda bagi orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikir tentang penciptaan langit dan bumi, seraya berkata: “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Terjemahan Ali Imran:190-191) Langit tersergam indah tanpa tali, tanpa kaki. Sang suria dengan wajah cerah cemerlang menyinari seluruh alam beserta hembusan bayu yang menyamankan. Semua itu cukup untuk hati-hati yang celik berfikir dan menginsafi hakikat kehidupan ini. Wahai hati-hati milik Allah, Lihatlah dan bacalah lagi panorama-panorama alam yang terpampang di hadapan kita ini. Betapa tumbuh-tumbuhan yang pelbagai jenis itu memberikan keredupan dan kenyamanan suasana, kita sebagai manusia mengecapi keselesaan itu. Betapa pula bekalan pernafasan kita, oksigen, yang telah dibekalkan melalui hembusan dari pepohon dan tumbuhan sehingga berpaut pula dua keperluan, tumbuhan juga memerlukan karbon dioksida daripada kita. Ah… terlalu akrab hubungan itu wahai saudaraku. Hati yang segar dengan ingatan kepada Allah s.w.t., akan merasakan hubungannya dengan alam ini terlalu dekat. Sehingga peredaran bumi mengelilingi matahari ini adalah merupakan peredaran usianya dari detik ke detik dan membawa dirinya ke garis penamat hidup. Matahari pergi bulan datang, meskipun dengan cahaya bulan yang tidak segarang matahari, malam tetap menyaksikan segala tingkahlaku-tingkahlaku manusia. Pendek kata, seluruh isi alam maya ini sentiasa menyaksikan gelagat manusia yang lupa dan seringkali alpa. Cukuplah detik ini untuk sama-sama kita menghisab diri, menghitung amal-amal baik yang belum mencukupi untuk menjadi bekalan menuju mati. Seorang mukmin yang insaf, bila menghayati alam akan kembali menyedari bahawa dirinya terlalu daif dan sangat sedikit mengingati Allah, sedangkan dia mendengar suara-suara unggas dan cengkerik yang bersahut-sahutan bertasbih memuji Allah s.w.t. Terlihatlah keindahan rumput-rumput menghijau menyejukkan pandangan. Ingatlah bahawa rumput-rumput yang menerima terjahan kasut kita itu sentiasa bertasbih kepada Allah s.w.t. Hakikatnya mereka semua itu hidup. Dan tiada bahasa lain bagi mereka kecuali tasbih dan pujian untuk Allah s.w.t. Saudaraku yang mempunyai mata hati, Melihat alam yang indah, tidakkah dapat dirasakan bahawa jiwa ini sebenarnya terlalu hampir dengan Pencipta? Tidakkah kita sedar bahawa alam inii mendidik jiwa manusia yang seni untuk mengenal hakikat diri sendiri, mengenal Pencipta dan mengenal tujuan hidup ini? Kalau makhluk lain tidak berakal hidupnya memuji Allah s.w.t., kenapa manusia yang istimewa ini pula seringkali lalai dan leka, malah snggup derhaka kepada hulum-hukum Allah. Di antara pemandangan alam dan hati manusia, sebenarnya saudaraku, berlangsung pula bahasa rahsia tanpa suara yang membisikkan: “Wahai anak Adam, inilah tanda-tanda kebesaran dan keagungantuhanmu, yang menghidupkan makhluk dan mempertautkan hati-hati manusia, mengapa kamu tidak tunduk dan patuh walhal kami semua sujud.” Begitulah hakikat alam yang rafiq, teman dekat dan setia untuk beriman kepada Allah s.w.t. Sudah cukup untuk menginsafkan hati-hati yang sedar dan siuman untuk kembali tunduk kepada Allah s.w.t. Renungilah gidup ini, kita tidak punya apa-apa selain daripada jasad yang mengalir di dalamnya
sekepal nyawa yang bila-bila masa akan direntap oleh Allah s.w.t. Bila-bila masa hubungan kita dengan dunia ini akan terputus. Insaflah. Sedarlah sebelum bertaut kaki kanan dengan kaki kiri, sementara pintu taubat masih terbuka.
Duhai Saudaraku,
“Tunaikanlah Janjimu” Assalamualaikum, Alhamdulillah, dengan penuh khusyuk dan tawadduk, marilah kita persembahkan rasa syukur kita ke hadrat Ilahi yang masih mengizinkan kita terus bernafas. Kita bersyukur kerana Allah masih menaungi kita dengan bumbung Islam. Insya-Allah sama-samalah kita berharap dan bergantung kepada Allah s.w.t. agar melimpahkan rahmatNya kepada kita semua sehingga kita kembali mengadapNYa nanti. Saudaraku yang dihormati, Marilah kita sama-sama mengetuk pintu hati kita dengan membicara tentang janji dan tuntutan menepati janji. Marilah kita menyelami dan memainkan semula di kaca pemikiran kita akan segala janji yang telah dan biasa kita buat.
Menepati janji, suatu ungkapan yang begitu mudah disebut tetapi begitu sukar dilaksanakan. Cubalah fikirkan saudaraku, kenapakah pada kala akhir zaman ini manusia suka mengambil mudah janji yang dilafazkan. Kita juga mudah menyediakan seribu alas an jika kita gagal menunaikan janji. Sedarlah sahabatku, salah satu daripada cirri-ciri orang munafik adalah berjanji tetapi tidak pula menepatinya. Oleh itu, berhati-hatilah sebelum lidah kita mengungkapkan perkataan ‘saya berjanji’. Lembaran sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w. mencatatkan sifat baginda yang sangat mengambil berat soal menepati janji. Pernah pada suatu ketika Rasulullah s.a.w. berjanji dengan seorang pemuda untuk bertemu di suatu tempat. Malangnya, pemuda tersebut terlupa janjinya. Setelah tiga hari berlalu, barulah dia teringat akan janjinya lalu pergi ke tempat yang telah dijanjikan. Dia mendapati Rasulullah s.a.w. masih berada di sana. Lihatlah saudara, betapa setianya Rasulullah s.a.w. terhadap janji walaupun terpaksa menunggu selama tiga hari. Kita renungi pula kisah perjanjian Aqabah di antara penduduk Madinah dengan Rasulullah s.a.w.. Mereka berjanji untuk menuruti perintah Allah dan Rasul-Nya seperti yang tersebut dalam perjanjian itu. Dan Rasulullah s.a.w. telah bersabda setelah perjanjian tersebut yang bermaksud: “Jika kalian menepati janji, maka syurgalah yang akan kalian perolehi dan barang siapa menyalahi janji, walaupun hanya sebahagian, maka persoalannya aku serahkan kepada Allah. Jika Dia menghendaki akan diseksa-Nya dan jika Dia menghendaki akan diampuni-Nya.” Saudaraku yang dikasihi, Allah s.w.t telah berfirman dalam surah al-Fath, ayat 10 yang bermaksud: “Bahawasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu, sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, maka barang siapa yang melanggar janjinya, nescaya akibat ia melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri; dan barang siapa yang menepati janjinya pada Allah, nescaya Allah akan memberinya pahala yang besar.” Saudara yang disayangi, Dalam perjalanan kita mencari keredhaan Ilahi, sesungguhnya syaitan yang berada di sekeliling kita akan berusaha memujuk hati-hati kita agar lalai daripada menunaikan janji-janji itu. Kerana itulah antara jalan untuk kita dimurkai Allah. Sesungguhnya sahabatku, kita tidak mahu ditimpa kemurkaan Allah itu. Akhir kata, ketika kita ghairah menunaikan janji-janji kita sesama manusia, janganlah lupa janji kita kepada Allah s.w.t.. janji yang termeteri sejak azali lagi. janji untuk menegakkan Islam di muka bumi ini. Di serata pelusuk dunia, kita menyaksikan umat Islam yang semakin runtuh akhlaknya. Kita mendengar berita penindasan terhadap mereka. Kita juga disogokkan dengan cerita-cerita
kemunduran masyarakat Islam itu. Saudaraku, rintihan-rintihan umat ini tidak lain dan tidak bukan kerana mengabaikan janji-janji kepada Allah. Renungilah diri. Sudahkan kita menunaikan janji itu? Sama-samalah kita berdoa agar hatihati kita akan terus disirami hidayah dan petunjuk-Nya untuk melaksanakan janji-janji itu. Wallahua’lam.