3 Oktober 2009 Laman Utama
UMNO2003 :: LAPORAN KHAS
19/06/2003
`Tongkat' Melayu bukan untuk selama-lamanya 19/06/2003 9:21 a.m.
Oleh JOHARDY IBRAHIM KONGLOMERAT minyak negara, Petronas adalah manifestasi pencapaian orang Melayu yang unggul dalam dunia perniagaan antarabangsa. Membawa kibaran Jalur Gemilang ke serata pelusok dunia dan ditunjangi pakar-pakar carigali Melayu, ini membuktikan orang Melayu boleh berdaya saing di peringkat global. Dan inilah matlamat Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad supaya lebih banyak syarikat Melayu muncul di arena antarabangsa. Beliau memainkan peranan besar dalam membentuk dan membina sahsiah diri orang Melayu untuk memiliki kemahuan dan ketahanan untuk menjadi seorang usahawan atau ahli perniagaan. Ketua Persatuan Pentadbir Perniagaan Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Zainul Fithri Datuk Othman berkata, kejayaan paling besar Dr. Mahathir ialah meningkatkan bilangan usahawan Melayu terutama dengan dasar penswastaan Malaysia pada 1982. Katanya, dasar-dasar ekonomi Dr. Mahathir membuka ruang kepada usahawan Melayu yang dulunya hanya berperanan sebagai pekerja di dalam syarikat multinasional (MNC) tetapi kini menjadi rakan kongsi MNC di peringkat global. ``Dr. Mahathir adalah arkitek pembangunan ekonomi moden Melayu. Peluang yang disediakan adalah luas untuk orang Melayu. Walaupun memang ada yang tergelincir tetapi ramai juga yang berjaya, misalnya Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad yang mengemudi Proton dan membeli syarikat Lotus International. Ini membuktikan orang Melayu boleh bersaing di peringkat global,'' ujarnya. Dasar-dasar yang diilhamkan oleh Dr. Mahathir bukan diadakan begitu saja sebaliknya adalah tersusun, sistematik, dikawal selia rapi agar kejayaannya terjamin. Dalam sesebuah organisasi, kata Mohd. Zainul, dua fungsi sangat penting iaitu sumber manusia dan kewangan. Begitu juga konsep pemerintahan sesebuah negara. Kewibawaan rakyat dan ekonomi negara adalah penentu kecemerlangannya. ``Kecenderungan Dr. Mahathir mengutamakan aspek ekonomi sama ada dalam ucapan dasar atau penggulungan dalam setiap perhimpunan UMNO menunjukkan pemikiran beliau bahawa orang Melayu mesti menguasai bidang ekonomi sebagai syarat untuk maju. Sekarang orang Melayu mesti mempunyai keyakinan diri dan tidak perlu bergantung kepada `tongkat' untuk maju ke hadapan. Mereka hendaklah berani menongkah arus dan bersaing secara terbuka di peringkat global,'' ujarnya. Pengarah Urusan NCB Resources Sdn. Bhd. Ir. Mohd Ezani Mohd. Nor berkata, sumbangan paling penting Dr. Mahathir dalam bidang ekonomi ialah menjadikan orang Melayu percaya kepada kemampuan diri sendiri. Dr. Mahathir menyediakan platform seluas-luasnya kepada orang Melayu untuk bertapak dalam dunia perniagaan. ``Peluang meneroka projek disediakan, tiada wang kemudahan pembiayaan diwujudkan, asalkan ada kemahuan pada orang Melayu untuk memulakannya,'' kata beliau. Masalahnya, jelas beliau, orang Melayu seperti sudah dijangkiti penyakit negara maju iaitu cepat selesa dengan apa yang disediakan oleh kerajaan dan mudah lupa bahawa kemudahan itu tidak akan kekal selama-lamanya. Menurutnya, keterlaluan berpolitik juga menyumbang kepada masalah orang Melayu tidak
© Utusan Melayu (M) Bhd. 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur. E-mel:
[email protected]
maju-maju apabila mereka seolah-olah menunggu nasi dihidang dan disuap ke mulut semata-mata. ``Sepatutnya orang Melayu menginsafi bahawa dalam dunia perniagaan tidak ada jalan pintas dan tidak ada sesiapa yang boleh kaya sekelip mata tanpa berusaha,'' katanya. Dengan sebab itu misalnya, setelah Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan, kemajuan ekonomi Melayu masih lagi tidak mencapai sasaran, hanya sekitar 19 peratus sahaja. Orang Melayu yang lain masih belum dapat mencapai sasaran yang dikehendaki terutama di negeri-negeri Pantai Timur. Ada beberapa halangan mengapa terjadinya pembangunan yang tempang seperti itu. Halangan utama ialah yang bersifat tingkah laku, bukan wang, program, projek atau bantuan. Misalnya halangan dari segi politik, menurut Profesor Madya Dr. Ahmad Atory Hussain, disebabkan Melayu berpecah-belah kerana atas nama demokrasi tadi, mereka telah memilih parti yang tidak kondusif dan tidak tahu hendak berekonomi dan bernegara. ``Maka lambatlah orang Melayu hendak maju terutama di negeri-negeri tersebut. Dari segi ekonomi, dasar-dasar ekonomi kita terhadap orang Melayu berbanding bukan Melayu masih tidak banyak berubah ke arah kemajuan pesat. ``Ini banyak berkait dengan budaya-budaya negatif Melayu yang menghambat pencapaian ekonomi. Antaranya, budaya tidak kisah, budaya kehidupan secukup hidup, budaya bergantung kepada kerajaan yang melampau,'' katanya. Sementara itu, Pedagang Maybank Securities, Abdul Aziz Abdul Hamid berkata, apabila diajukan persoalan sumbangan Dr. Mahathir kepada orang Melayu dari segi ekonomi, lazimnya orang akan berbicara apa yang tersurat tetapi melupakan apa yang tersirat. ``Dr.Mahathir sebenarnya telah lama nampak orang Melayu pincang dalam menterjemahkan maksud dan hasrat isi hati beliau. ``Orang Melayu menjadi tamak, dengki, lupa diri dalam segala hal. Sesuatu yang tersirat diperlekehkan kerana ia tiada berkepentingan kepada golongan tertentu mahupun individu. Pada hal yang tersirat itulah fokus beliau untuk orang Melayu dan UMNO bagi jangka panjang,'' katanya. Menurutnya, dasar ekonomi Melayu menerusi UMNO telah disalah tafsirkan oleh golongan `munafik ekonomi' yang datang bukan dari pihak pembangkang tetapi dari dalam UMNO itu sendiri. ``Orang Melayu hendaklah sedar bahawa UMNO bukan parti pemberi saham, bantuan derma dan sedekah. Ia adalah satu perjuangan bagi menaikkan martabat orang Melayu,'' ujar Abdul Aziz.