CONTOH 9-KARANGAN PENDAPAT Kebelakangan ini, kemerosotan mutu sukan negara sering diperkatakan. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini. Kebelakangan ini, kemerosotan mutu sukan negara sering menjadi tajuk berita dalam media massa. Kemerosotan mutu sukan negara amat ketara dalam sukan permainan dan juga olahraga. Hal ini dapat dilihat apabila pasukan bola sepak Malaysia kecundang dalam pusingan kelayakan Olimpik baru-baru ini. Pihak yang berkenaan haruslah mengambil inisiatif yang berkesan bagi meningkatkan mutu sukan negara dan seterusnya memartabatkan nama Malaysia di pentas dunia. Antara langkah untuk meningkatkan kualiti sukan negara adalah dengan memberi insentif kepada atlet yang memenangi sesuatu pertandingan.Hal ini berlaku demikian kerana ganjaran yang diberikan kepada atlet negara tidak setimpal dengan usaha yang dicurahkan oleh mereka. Dengan ini, pemain dan atlet yang diberikan insentif tadi akan lebih bersemangat untuk menempa kejayaan untuk negara. Tamsilnya, Majlis Sukan Negara boleh menganugerahkan hartanah, wang atau saham kepada kepada mereka yang berjaya. Selagi tiada insentif diberikan kepada mereka, sudah pasti hasrat untuk melonjakkan mutu sukan negara akan terbantut. Selain itu, bilangan jurulatih yang berkaliber hendaklah ditambah.Hal ini kerana kebanyakan jurulatih yang sedia ada tidak menunjukkan komitmen yang yang tinggi dan kurang berpengalaman dalam melatih atlet. Dengan penambahan jurulatih yang berkaliber, atlet-atlet akan menjadi lebih mahir dalam bidang sukan yang diceburi oleh mereka. Sebagai contoh, Misbun Sidek merupakan seorang jurulatih yang berkaliber kerana telah melahirkan jaguh dunia dalam sukan badminton seperti Datuk Lee Chong Wei. Jelaslah bahawa mutu sukan negara akan terus merosot sekiranya bilangan jurulatih yang berkaliber tidak ditambah. Langkah seterusnya adalah dengan menaik taraf prasarana sukan di seluruh negara terutama di kawasan luar bandar. Hal ini berlaku demikian kerana pada masa sekarang kemudahan prasarana sukan kurang disediakan di kawasan tersebut.
Prasarana sukan yang lengkap dapat membantu atlet berlatih dengan selesa dan efektif serta dapat mencungkil bakat dari kawasan tersebut. Sebagai contoh, kemudahan sukan seperti gimnasium, kolam renang, stadium dan sebagainya tidak disediakan di kawasan luar bandar. Selagi kemudahan sukan tidak disediakan secara menyeluruh di semua kawasan, selagi itulah isu ini akan terus berlanjutan tanpa penyelesaian yang konkrit. Konklusinya, pelbagai usaha dapat dilakukan bagi mengatasi masalah kemerosotan mutu sukan negara. Sehubungan dengan itu, para atlet haruslah meningkatkan disiplin diri dan bermotivasi tinggi semasa sesi latihan dijalankan. Jika semua pihak berganding bahu untuk menangani masalah ini, sudah tentu kualiti sukan negara akan dapat ditingkatkan.Jelaslah bahawa usaha yang proaktif perlu diambil segera demi meningkatkan mutu sukan negara. 350 patah perkataan Hasil penulisan pelajar-pelajar 3 Cempaka 2008