LAMBAIAN SYAHDU DI AIDILFITRI KICAU burung diiringi hembusan bayu pagi mengiringi kemunculan sang mentari di ufuk timur. Kokok-kokok ayam menandakan satu hari lagi perlu ditempuhi. Tangan lincah Nek Yah sudah lama mengirai daun mengkuang yang berwarna-warni sejak subuh berlalu. Niatnya, bukan kerana hendak mencari duit lebih atau bukan kerana ingin mengisi masa lanjutnya, bukan juga kerana terpaksa tetapi kerana minat dan darah seni yang mengalir dalam tubuhnya. Seninya bukan terletak pada berus cat bukan juga pada suara dan paras rupa tetapi pada kehalusan tangannya menari dengan pantas untuk menghasilkan anyaman yang begitu cantik dan teliti buatannya. Kadang-kadang terlintas di fikirannya akan orang jauh di rantauan. Sudah 25 tahun tidak bersua. Sebak rasa di dada. Segera dia mematikan lamunan itu. Dia tidak mahu mengundang air mata. Setelah kehilangan orang yang tersayang lima tahun dulu, tiada lagi penyeri hidupnya kecuali anak cucunya yang tinggal berhampiran. Keluarganya bukan orang sembarangan tetapi merupakan saudara dekat kaum kerabat, anak cucu pendekar Melaka. Namun, pangkat dan darjat tidak mampu mengumpulkan kesemua anak cucunya. 25 tahun dulu kedegilannya telah menyebabkan salah seorang anak kesayangannya, anak pertama yang dipangkunya setelah bergelar isteri telah merajuk membawa diri hingga beribu-ribu batu jauhnya dari kaum keluarga yang lain. Dengar khabar beritanya pasangan yang ditentangnya dulu itu merupakan satu-satunya pasangan anaknya yang berjaya melahirkan zuriat yang gagah. Satu-satunya cucu lelakinya. Cucu yang tidak pernah bersua muka dengannya apatah lagi hendak bermanja. "Assalamualaikum. Nenda..." suara gemersik Patin mematikan lamunan Nek Yah. Segera disapunya air mata yang mengalir tanpa disedari.
"Nenda buat apa tu?" "Buat apa lagi. Nak harapkan orang muda, tak luaklah daun-daun mengkuang kat belakang rumah tu!" bidas Nek Yah. "Engkau kenapa ke sini? Pergilah pegang buku. Tak lama lagi nak periksa." "Shhh.... diam-diamlah nenda. Dengar dek orang malulah saya." Patin ambil STPM buat kali kedua tanpa diketahui keluarga angkatnya. Dia tak mahu diejek kakak-kakak angkatnya. Hanya Nek Yah seorang saja yang diberitahunya. Semua perbelanjaannya ditanggung Nek Yah. Sudah 15 tahun dia mengenali keluarga Nek Yah. Selama itulah dia telah dapat menilai hati budi kesemua anak cucu Nek Yah. "Eh, nek Patin ada kerja sikitlah. Mak pesan petang nanti buka puasa sama-sama. Jangan nenda buka puasa kat masjid pulak." Nek Yah angguk saja. Hari ini genaplah sepuluh pucuk surat yang dihantar Patin Ke London. Sembilan pucuk sebelum ini tidak pernah terbalas namun Patin tidak pernah putus asa. Patin tidak tahu sama ada suratnya dibaca atau tidak oleh si penerimanya. Yang pastinya dia telah berusaha untuk menyatukan semula Nek Yah dengan keluarga yang dirinduinya. Melihatkan kegembiraan Nek Yah adalah misi utamanya. Sebelum memasukkan surat itu ke dalam kotak pos, Patin berselawat tiga kali. Moga-moga surat di alaf baru ini membawa perubahan. 7.45 petang, London Amir meletakkan beg berisi fail-fail pejabat yang perlu disemaknya malam nanti di atas meja dalam bilik bacaan. Matanya menangkap sampul surat bersaiz A4 berwarna coklat, tepat di tengah-tengah
meja. Melihatkan tarikh hari itu dia telah dapat mengagak kandungan surat tersebut. Surat pertama yang diterimanya melahirkan rasa benci. Surat kedua tidak diendahkan isi kandungannya. Surat yang ketiga, ditunjukkan kepada papanya. Papanya hanya diam apabila melihatkan kandungan surat itu. Papanya meninggalkan surat itu di depannya tanpa bersuara. Surat keempat menyebabkan tidurnya terganggu. Surat kelima tidak dibukanya menyebabkan dia tertanya-tanya kandungannya. Selepas membuka surat itu, dia mula ternanti-nanti surat yang seterusnya. Surat keenam menyebabkan air matanya mengalir. Surat ketujuh menyebabkannya tersenyum. Surat kelapan amat dinantinantinya. Surat kesembilan menyebabkan jantungnya berdebar- debar. Dan surat kesepuluh... Dia mengeluh. Masih tiada nama pengirimnya. Pengenalannya hanya, `cucu nenda'. Melalui surat-surat itu juga tersenarai 18 orang cucu seorang wanita bernama Nek Yah. 18 orang cucu perempuannya. Bermakna dia merupakan cucu tunggal lelaki Nek Yah. Cucu yang tidak diakuinya 25 tahun dulu. Kini, betulkah apa yang ditulis cucu nenda itu? Betulkah Nek Yah merindui mereka? Betulkah Nek Yah tidak lagi bencikan mama, pelakon opera Inggeris yang berjaya menambat hati papa sekaligus merampas papa daripada Nek Yah? Bergetar tangan Amir apabila membaca perenggan akhir surat itu. ...Jika kali ini tiada juga apa-apa berita daripada tuan di sana, anggaplah ini surat terakhir. Nenda dah terlalu uzur. Menunggu panggilan Ilahi. Jika masih ada belas ihsan daripada tuan, lupakanlah perkara silam. Jumpalah nenda buat kali terakhir. Hapuskanlah air mata yang mengalir tiap-tiap kali laungan takbir raya di pagi raya. Jika bukan kerana sayang, anggaplah sebagai hutang susu ibu yang belum terjelas. Pulang-lah... 10.45 pagi, Malaysia "Kak Patin! Kak Patin!," termengah-mengah Ina Latifa mendapatkan Patin.
"Eh! engkau ni kenapa?" "Ada orang datang rumah..." jelas Ina Latifa. "Kita seriuslah, Kak Patin. Orang jauh... Orang Londonlah, Kak Patin." Tersentak Patin. Orang London? Setahunya orang London hanya orang itu dan keluarganya. Betulkah mereka datang? "Err... Ina balik dulu. Kejap lagi Kak Patin susul, ya." "Ala... balik samalah. Ha, waktu berbuka pun dah tak lama ni. Bolehlah kita berbuka puasa dengan orang London. Jomlah!" Ina Latifa tersengih melihat reaksi Patin. Kakak Ina, Ima Farahanim bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat besar di ibu kota. Orangnya cantik dan bergaya. Cakapnya pun petah. Umi Fazila, kakak kedua pada Ina Latifa. Dia cikgu sekolah menengah. Kakak ketiga Ina Latifa pula tak kurang hebatnya. Dia baru saja selesai buat penggambaran filem. Dua orang lagi iaitu Ila Marhana dengan Ifa Dalila, sudahpun berkahwin. Seorang lagi ialah kakak angkatnya iaitu Fatihanul Izwa. Tak lain tak bukan, Kak Patin. Nek Yah yang ambilnya sebagai cucu ang kat tapi makan minumnya dan tempat berteduhnya adalah bersama-sama keluarga Ina Latifa. Ibu Ina Latifa adalah adik kepada Pak Long London mereka. Pak Ngah, Mak Cik dan Pak Su semuanya mempunyai anak-anak yang belum diisytiharkan sebagai anak dara yang dah boleh kahwin. Maka, pilihannya akan berkisar kepada keluarga mereka sahaja. "Ina pergilah balik dulu. Kak Patin susul kejap lagi. Pergilah..."
"Yalah...yalah. Jangan lama sangat tau. Menyesal nanti." gelak Ina Latifa. Dalam termenung sambil memikirkan cara-cara untuk mengelakkan identitinya terbongkar, waktu berbuka sudah hampir tiba. Bergegas Patin pulang. Dia tidak ikut pintu depan kerana dia bimbang terserempak dengan orang London tu. "Apa yang terintai-intai ni, Patin. Dah! Jangan nak mengarut. Masuk cepat. Siap-siap. Kita ada tetamu." sergah maknya. "Tetamu mak? Err... siapa?" "Ina tak cakap ke? Pak Long kamu dengan keluarganya. Hmm... balik jugak mereka akhirnya. Dah! pergi masuk." Wah! bukan main gembiranya lagi Nek Yah dengan kehadiran orang baru, sampaikan Patin sendiri rasa tersisih. Tapi dia tidak rasa kecil hati kerana hajatnya dan hajat Nek Yah sudah tercapai. Malam tu Patin berbuka puasa dengan anak-anak Pak Ngah dan Pak Su. Saja tidak mahu mengganggu konsentrasi Nek Yah dengan 'hadiah' hari rayanya. "Abang Amir kata dia nak kahwin dengan orang yang hantar surat padanya kat London!" tiba-tiba tajuk perbualan mereka berubah. Tersedak Patin. "Mana kau tahu Ami? Mesti curi dengar ni..." soal Ika, anak ketiga Pak Ngah juga seusia dengan Ina Latifa. Ami tersengih. "Tapi betul. Kan Ina?"
Ina Latifa angguk. Nasi disuap ke mulut. Dikunyahnya beberapa kali kemudian segera membuka cerita yang didengarnya pula. "Kak Fara kata dia ada hantar surat. Tapi tak tahulah. Kak Fara tak pernah pula tipu..." "Entah-entah surat lain kot..." celah Patin tiba-tiba. "Kenapa? Kak Patin ada kirim surat jugak ke?" gelak Ina Latifa. Merah muka Patin. "Tak da lah. Saja Kak Patin cakap macam tu..." "Tapi betul. Ada hari tu Kak Fara suruh Ina tolong poskan. Alamatnya memang alamat Pak Long..." Dahi Patin berkerut. Dia tidak tahu kenapa tiba-tiba hatinya kecewa. Dia tahu tidak sepatutnya dia berperasaan sedemikian tapi dia tidak dapat menghalang dirinya daripada berasa sedih. "Patin, pergi ambil barang-barang Pak Usu kau suruh cari tu..." pinta maknya. "Hmmm..." angguk Patin. Sewaktu dia hendak keluar, dia terserempak dengan seorang lelaki. Lama mereka saling merenung. Perlahan-lahan bibir Amir mengukir senyuman. Merah wajah Patin apabila menyedari perlakuannya. "Ini mesti Fatihanul. Mmm... berjumpa juga kita akhirnya. Ceritanya dah banyak saya dengar, baru sekarang dapat bersua empunya badan." Makin merah padam wajah Patin. Bimbang dengan kata-kata Amir itu. "Ha! dah jumpa kan? Sekarang tepi, kita nak lalu. Kita ada kerja nak cepat!" Patin cuba
melintasi Amir tetapi dihalang olehnya. "Kita nak berkenalan dengan awak. Nak eratkan silaturrahim!" ucap Amir, lembut. Senyumannya seolah-olah menyindir Patin. Entah kenapa senyuman itu menambahkan lagi rasa geram Patin. "Mungkin Fatihan tahu siapa yang tulis surat-surat tu?" "Oh, surat tu... Kan Kak Fara yang tulis..." "Surat terakhir itulah menyebabkan kami sekeluarga pulang ke Malaysia." "Habis, surat-surat sebelum tu?" "Mmmm... surat mana ya? Tak de pulak saya terima surat lain. Seorang saja yang hantar surat pada saya yang bersetemkan Malaysia..." Sah! Dia tidak terima suratnya. Betullah kerana surat Kak Fara dia pulang. Sebak Patin dating tiba-tiba. Ah! pedulikan. "Amir tolong bawa barang-barang ni bagi kat Pak Su, Mak Uda dan Mak Ngah. Aa.... lepas tu tangkap dua ekor ayam kat reban tu, bagi kat Pak Ngah." Patin menyerahkan senarai barang-barang ke tangan Amir. "Pandai baca kan?" soal Patin. Ish, budak ni sengaja menguji keimanan aku. Tak apa, aku tengok sejauh mana dia nak bermain. Detik hati Amir. Dia tersenyum tanpa menjawab. "Dengar betul-betul ya!" Patin bersuara seperti cikgu sekolah tadika yang sedang berdepan dengan salah seorang daripada anak muridnya.
"Daun palas dengan daun kelapa ni nak buat rendang. Ingat R-E-N-D-A-N-G! Bagi kat Pak Su. Buluh ni... ni... omputih kata 'bamboo', bagi kat Mak Uda. Mak Uda nak buat ketupat, faham? Ha, beras pulut ni bagi Mak Ngah nak buat kerisik, OK? Ha, ayam tadi jangan lupa bagi kat Pak Ngah. Pak Ngah nak kacau dodol. Ingat jangan tak ingat, OK. Bye!" Dua tiga jam kemudian Amir kembali bersama-sama barang yang telah dicarinya. Waktu itu Patin tengah tolong maknya memerah santan. "Mak Uda ini dia barang yang Mak Uda pesan. Mak Uda nak buat ketupat, kan?" "Aaa... Amir. Ngko mesti tak pernah rasa ketupat Mak Uda buat. Ha, bak sini barang tu." Mak Patin berpaling untuk menyambut daun palas dengan pucuk daun kelapa. Dia terpaku apabila Amir meletakkan seikat buluh lemang yang telah dipotong di depannya. "Buluh ni nak buat apa bawak sini, Mir?" soal mak Patin. "Nak buat ketupatlah, Mak Uda." "Ha?" Tergelak mak Patin mendengarnya. Amir terpinga-pinga melihat perlakuan Mak Udanya. Patin yang mendengar segala-galanya cuba menahan ketawa. "Siapa yang suruh cari buluh ni?" soal mak Patin setelah ketawanya berbaki. "Fatihan, mak uda." "Apa lagi yang disuruhnya?" soal mak Patin yang seolah-olah sudah
dapat meneka apa yang dilakukan oleh Patin. "Daun palas dengan daun kelapa bagi kat Pak Su buat rendang. Ha, beras pulut bagi Mak Ngah nak buat kerisik, ayam bagi kat Pak Ngah. Pak Ngah nak kacau dodol. Kenapa Mak Uda gelak?" soal Amir melihatkan mak Patin makin kuat ketawanya. "Hai budak Patin ni..." gelak mak Patin. Amir turut ketawa apabila mak Patin menerangkan kegunaan sebenar barang-barang yang dicarinya itu. Sempat Amir menangkap gelak Patin dan berjaya menarik pandangan Patin. Dia tersenyum. Patin faham akan mesej senyuman itu... 'giliran saya akan tiba... Pagi raya Allahuakhbar... Allahuakhbar... Allahuakhbar... Takbir raya memuji kebesaran Ilahi menyebabkan mengalirnya air mata Nek Yah apabila anak menantu dan cucu yang lama merajuk kembali mencium tangannya di Hari Raya Aidilfitri yang mulia itu. Dia gembira kerana semua anak cucunya dapat berkumpul beramai-ramai begini. Patin turut tersenyum apabila Nek Yah tersenyum. "Selamat hari raya nenda!" ucap Amir setelah mencium tangan Nek Yah dan mengucup pipinya. "Selamat hari raya cu. Hmmm... selama ni hanya Patin sorang saja yang panggil nenda pada nen. Sekarang dah dua orang. Syukur alhamdulillah..." Patin di sebelah Nek Yah terkedu. Matanya membesar, jantungnya berdegup kencang. Amir yang memandang gelagat gadis manis bermata bulat itu tersenyum. Perlahan-lahan pipi basah Nek Yah disapunya. "Bagaimana Fatihan? Air mata yang mengalir pada pipi nenda setiap laungan takbir raya
bergema dah kita sapukan. Harap Fatihan pegang pada janji..." "Jan... janji? Ukh... mmm.. janji apa?" bisik Patin, gementar. "Janji yang Patin akan terus tulis surat ke-11 dan seterusnya kepada kita." Ya Allah! "Surat... surat Kak Fara?" "Ooo...surat tu. Surat undangan kahwin Ira Fazila..." Amir ketawa melihatkan wajah merah Patin. "Nenda, saya dah jumpa bakal isteri saya. Saya harap nenda tak ada apa-apa halangan?" ucap Amir. Nek Yah yang mengerti perasaan orang muda tersenyum. "Kalau nak sekarang juga nenda boleh kahwinkan." "Nenda!" jerit Patin. Semua yang ada di situ berpaling ke arah Patin. Kemudian mereka semua turut ketawa. Tahulah Patin yang dia telah diperangkap. Dalam hatinya berbunga kerana burung layang-layang yang terbang jauh kembali hinggap ke dahan tempatnya belajar terbang. Lambaian syahdu di aidilfitri tahun 2000 membawa kenangan bahagia. Ikatan suci telah terjalin tanda agungnya rahmat Aidilfitri...