Cerpen : Kebaya Pendek Warna Biru

  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Cerpen : Kebaya Pendek Warna Biru as PDF for free.

More details

  • Words: 2,332
  • Pages: 9
Cerpen : Kebaya Pendek Warna Biru HARI RAYA menjelang lagi. Aku masih seperti dulu, berkebaya pendek, pastinya bewarna biru. Sudah empat tahun aku berhari raya dengan berkebaya pendek. Ramai yang merasa pelik dengan sikapku. Kaum keluarga tidak putus-putus menanyakan tentang bajuku yang seolah-olah tidak bertukar saban tahun. Biarlah ibu bertanya, biar Kak Long dan Kak Ngah mencebik baju baruku. Yang penting aku puas. Hanya aku yang mengerti apa yang aku lakukan. Setiap tahun aku bertukar baju. Cuma warna dan fesyennya sahaja yang tidak berubah. Kerana apa? Kerana aku tidak pernah berubah. Sama seperti kasih sayang yang pernah aku tanamkan. Tak mungkin hati aku akan berubah. Lamunanku terhenti apabila mendengar bunyi deruan enjin kereta. Aku mengintai daripada jendela rumahku. Sebuah kereta Mercedes berwarna hitam megah berteduh di bawah pepohon ceri. Dua buah kereta mewah mengekori Mercedes hitam. Aku tahu siapa yang bertandang ke rumahku. Sudah lama mereka tidak ke mari. Biasanya hari raya beginilah baru berpeluang untuk bertandang ke rumah saudara mara. "Mak! Mak Long, Kak Midah, Abang Halim dengan Kak Rina datang." Aku menjerit kecil memanggil ibu yang sibuk di dapur. Sementara itu aku menyambut Mak Long dan anak beranaknya di muka pintu. "Pak Long, Mak Long, Kak Midah, Kak Rina, Abang Halim Abang Man masuklah. Dah lama tak datang. Eh.. eh Suffian, Jeffri dengan Nina pun ada. Masuklah". Aku tersenyum. Kuhulur salam kepada semua yang bertandang. "Hai Su, apa khabar". Sapa Mak Long sambil menjeling ke arahku. "Baik," aku hanya tersenyum tawar. Aku bagaikan sudah terfikir apa yang bakal tersembur keluar dari bibir Mak Long Eton. Aku hanya tertunduk, malas untuk

bertembung mata dengannya. Takut benci tumbuh menjalar ke dalam diri. "Dah muak aku tengok baju kau ni Su. Kau tak beli baju raya ke? Nak kata tak berduit, kerja cikgu!" sindir Mak Long. Aku hanya terdiam. Bibirku bagai terpaku. Biarlah Mak Long fikir apa saja tentang diriku. Aku tidak mahu kemesraan yang mula terjalin antara keluargaku dengan Mak Long terlerai begitu saja. Aku tidak mahu pisang berbuah dua kali. Cukuplah sekali aku diaibkan. Ibuku merana dan keluargaku menanggung malu sepanjang tahun. Aku ingin terus berlalu. Tapi Mak Long seakan tidak mahu melepaskan aku. Mungkin dia belum puas menyakiti hatiku. "Su, kau ni bila lagi nak berumahtangga? Umur dah lanjut. Nak kata tak cantik, ramai yang cuba nak dekat. Takkan kau nak tunggu putera raja kot?" Bersirap darahku mendengar sindiran Mak Long. Tak mengapalah, aku masih mampu bersabar. Bersabarkan separuh daripada iman. Biarlah Mak Long terus menghinaku. Dia masih berdendam dengan aku agaknya. Bisik hati kecilku. Bohonglah jika aku katakan aku tidak sedikitpun menyimpan perasaaan terhadap kata-kata Mak Long Eton. Telah lama hati aku membengkak. Hari ini aku dapat rasakan hatiku kian bernanah. Tapi aku masih mampu bersabar dan InsyaAllah aku akan terus bersabar. Aku masih ingat pesanan kekasih hatiku. "Su, Su mesti janji dengan abang, Su mesti bersabar, Su jangan mengalah dengan caci maki orang, Su jangan melatah dengan sindiran dan Su jangan terpedaya dengan pujukan orang. Su mesti bersabar, Su mesti tunggu abang, walau apa cara sekalipun Su. Su mesti!" "InsyaAllah abang, Su akan cuba." Sememangnya telah lama Su mencuba dan sehingga kini Su telah berjaya di dalam percubaan Su. Tapi Su bingung! Bingung memikirkan abang!

"Su! apa kena dengan kau ni kita becakap dengan dia, dia boleh buat tak dengar pula! Kau tak suka aku datang ke? Kalau dah macam tu kau cakap jelah. Jangan aku bercakap mata kau ke bawah, telinga kau tutup, fikiran kau melayang," bentak Mak Long mematikan lamunanku. "Ish Mak Long ni. Bukan begitu maksud Su. Su, Mak, kakak dan abang memang seronok bila Mak Long datang ke rumah. Sampai hati Mak Long cakap macam tu." Nada suaraku mula menurun. Ada getar tangis di dalamnya. Tapi kucuba untuk membuatkan nada tangisku tidak kedengaran begitu ketara. Tetapi jika pendengaran Mak Long tajam, pasti dia dapat mengagak aku sedang merintih di dalam hati. "Dah lah Mak long, jom kita masuk ke sana. Tahun ni Su tak buat banyak kuih, tapi kuih samperit tetap ada. Mak Long suka kuih samperit kan?" aku cuba menjernihkan keadaan. "Ha...ah!" Mak Long menjawab malas sambil mengekoriku ke ruang tamu yang telah tersedia juadah hari raya. "Kak Long," ibu yang tampak berseri-seri dengan kebaya labuh berwarna hijau pilihanku itu bergegas-gegas menyambut kedatangan satu-satunya kakak kesayangannya. Begitulah kasih ibuku kepada Mak Long. Maklumlah dia sajalah saudara kandung ibuku. Buruk baik Mak Long terpaksa ditelan jua. Bukan aku tidak tahu, ibu terlalu sayangkan Mak Long. Apa-apa hal sekalipun ibu akan mengalah jika lawannya ialah Mak Long. Cuma Mak Long yang tidak pernah menghargai pengorbanan ibu. Ibu diperlakukan sesuka hati Mak Long. Apatah lagi kelima-lima anak Mak Long semuanya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading dan menjawat jawatan tinggi. Mudahlah Mak Long memperkotak-katikkan ibu. Aku sudah muak dengan sikap Mak Long. Tetapi apa yang mampu kulakukan. Ibuku hanyalah manusia biasa. Kehidupan ibu yang sentiasa dirundung malang mungkin

salah satu penyebab dua orang abangku tidak berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Bagaimanapun, aku merasa bangga kerana akhirnya aku mampu menjejak kaki ke salah sebuah pusat pengajian tinggi di bandar berkat dorongan dan kesabaran ibu. Aku masih ingat dua bulan sebelum pemergianku ke sana, aku bertemu dengan abang Lan. Banyak nasihat dan peringatan yang diberikan kepadaku. Sehingga kini aku masih menyimpan kemas kata-katanya jauh ke dalam kotak hatiku. Abang Lan turut menghadiahkan sehelai sejadah berwarna biru dan sepasang telekung untukku. Aku menerimanya dengan hati yang gembira. Dalam kegembiraanku itu, aku juga merasa sayu untuk berpisah dengan abang Lan. Apatah lagi apabila abang Lan menyatakan hasratnya untuk menyambung belajar di negara matahari terbit dalam masa terdekat. Aku bagaikan dapat meneka bahawa aku tidak dapat bertemu dengannya untuk kali terakhir kerana pada ketika itu aku pasti sibuk dengan pelajaranku. Tidak semenamena air mataku jatuh berguguran. Satu persatu manik jernih membasahi pipiku. Ingin kuseka airmata yang berguguran itu, tetapi abang Lan terlebih dahulu berbuat demikian. Kubiarkan sahaja abang Lan menyentuh mesra pipi gebuku. Aku lupa pada dosa, aku lupa pada ibu yang bertungkus lumus membesarkan aku setelah arwah ayah meninggal dunia sewaktu aku baru mula belajar bertatih. Aku lupa pada akhirat. Apa yang kuingat pada ketika dan saat itu hanyalah Abang Lan. Aku tidak sanggup berpisah dengan Abang Lan. Airmataku bagaikan tidak tertahan lagi. Aku terpaksa membiarkan ia membasahi jemari abang Lan yang masih setia memenyeka lembut titisan kasih-sayangku. "Su, bagaimana kalau abang hantar rombongan meminang ke rumah Su? Su setuju tak?" Biarlah kita ada ikatan yang sah sebelum kita berpisah. Abang Lan takut sesuatu yang buruk akan terjadi selama perpisahan kita. Su, Setuju tak?" Abang Lan mencengkam erat wajahku sambil memandang tepat mataku yang semakin berair. "Abang, Su.... " Selebihnya aku hanya tersenyum. Senyuman di dalam tangis.

"Cantik Su senyum", Aku tertunduk malu. Tidak mampu kulihat panahan cinta daripada anak matanya lagi. "Abang... sudah lama Su di sini, Su rasa elok Su balik nanti mak tercari-cari pulak. Jangan lupa janji abang ya!" Aku bingkas bangun meninggalkan Abang Lan yang masih menagih kasih daripadaku. Aku tahu dia mengerti dengan kegembiraanku ini. Aku mengerti Abang Lan faham dengan kehendak dan kemahuanku. Aku berlari girang. Terasa seluruh dunia ini telahpun menjadi milikku. Milik aku....dan juga Abang Lan. Ah... malu bila kukenangkan kembali peristiwa manis itu. "Su! Apa yang kau tercegat lagi di situ. Pergilah sediakan ketupat untuk Mak Long. Pak Long kau pun dah tak sabar-sabar nak rasa rendang yang kau masak. Hai... Kak Long macam tulah si Su tu, asyik mengelamun tak sudah-sudah. Suruh kahwin tak nak. Bukan tak ada yang masuk meminang. Semua dia tolak mentah-mentah. Usu pun tak faham dengan sikap dia". lancar bicara ibu menceritakan karenahku. "Tunggu anak rajalah si Su tu Mak Su." Amboi, berdesing telinga aku mendengar usikan Kak Midah menantu kesayangan Mak Long. Tapi aku seperti biasalah, sabar tak sudah. Aku terus mengatur langkahku malas menuju ke dapur. Banyak kerja yang hendak kubuat daripada melayan cakap-cakap mereka yang tidak berasas itu, bisik hati kecilku. Keriuhan suara anak saudaraku makin jelas terdengar. Aku yang sejak tadi berteleku mendengar perbualan ibuku dengan Mak Long dan anak-anaknya hanya mampu tersenyum tanpa memahami butir bicara yang diperbualkan. Biarlah. Membisu lebih baik daripada bersuara kerana ada kalanya bersuara itu bisa mendatangkan masalah jika tiada hadnya. Tiba-tiba fikiran merasa sedikit terganggu apabila mendengar nama Abang Lan diperbualkan. Aku yang tidak berminat untuk mendengar perbualan mereka mula tertarik untuk mengikutinya.

"Lan sekarang dah nak habis belajar. Katanya tiga minggu lagi baliklah dia. Lepas ni Kak Long kena cari menantu lah pulak. Lan tu bukannya tahu nak cari sendiri. Semuanya Kak Long lah yang kena uruskan," lancar mulut Mak Long bercerita tentang abang Lan. "Macam tulah Mak Usu, kalau dah anak mak, manja pulak, semua nak mak yang pilihkan," sindir Kak Rina menjeling tajam ke arahku. "Bagus lah tu Kak Long. Barulah kena dengan selera Kak Long. Kak Long dah pilih ke? Siapa orangnya?" tanya ibuku bagaikan berpura-pura. "Ha.. Kak Long dah risikkan untuk Lan anak Pak Lah Kampung Pinang. Cantik orangnya berbudi bahasa, berpangkat pula tu. Cuma sekarang ni, Kak Long tunggu Lan balik saja. Kalau dia setuju Kak Long tak mahu berlengah lagi. Maklumlah Lan pun bakal menjawat jawatan besar, buat apa nak tunggu lagi," jelas terdengar suara riak Mak Long ke corong telingaku. Biarlah. Jika itu kemahuan Mak Long, jika itu kemahuan Abang Lan aku hanya mampu akur. Aku tidak menyesal dengan penantianku selama ini. Sememangnya Mak Long tidak pernah menyukaiku. Kehadiran Mak Long pada hari inipun hanyalah semata-mata untuk menyakitkan hatiku yang semakin bernanah. Tepat sekali tekaanku. Mak Long, tidak cukupkah seksaan yang aku alami selama ini. Fikiranku kembali melayang teringatkan Abang Lan. "Su, abang minta maaf kerana abang tidak berdaya untuk menunaikan janji abang kepada Su. Tapi kasih sayang abang terhadap Su masih tidak berubah. Biarlah Mak Long tidak merestui kita tetapi abang amat berharap agar Su dapat bersabar. Tak lama Su, hanya empat tahun. Abang berjanji suatu hari abang akan pulang untuk menunaikan janji abang. Ketika itu abang akan pastikan kita berdua akan disatukan. Mak Long tidak berhak untuk menentukan hidup abang! Su mesti ingat. Abang pasti akan kembali untuk menyunting Su untuk dijadikan suri hidup Abang. Su hanya perlu menunggu. Sanggup tak?" Aku

hanya mengangguk lesu. Aku bangun malas daripada bangku buluh, tempat pertemuan aku dan bang Lan. Ku atur langkah perlahan-lahan. Kegembiraanku di awal pertemuan kini telah hancur berderai. Kini retak-retak kekecewaan makin terpancar di kaca mataku. Abang Lan masih mengekoriku dengan ekor matanya. Aku tahu dia faham akan penderitaanku. Aku menoleh ke arahnya. Kulihat wajahnya juga diselubungi duka. Hanya kami berdua yang bisa mengerti kesedihaan dan kekecewaan itu. Ibuku pasti tidak akan mengerti. Mak Long pula sudah pasti enggan mengerti. Teruk ibuku dimaki hamun setelah Abang Lan menyatakan hasrat hatinya untuk mengambilku sebagai isterinya. Mujur ibuku hanya mendiamkan diri. Biasalah... ibu sentiasa mengalah jika lawannya adalah Mak Long, kakak kesayangannya. "Su. Abang suka Su berbaju kebaya pendek. Apatah lagi kalau warnanya biru laut sesuai dengan kelembutan peribadi Su." Aku hanya mampu tersenyum pahit pada ketika itu. Sedikit rasa bangga tersembul di balik sanubariku. Tapi mungkin masanya tidak sesuai. Aku masih tertunduk pilu. Kaki menguis butiran pasir. Menanti butir bicara Abang Lan ibarat menanti bulan jatuh ke ribaanku. Namun aku tetap menunggu. Moga ada bicara Abang Lan yang bisa mengubat kekecewaanku. "Ni untuk Su. Walaupun Abang tidak dapat pulang hari raya kali ini, Abang harap Su akan memakainya. Itupun jika Su masih sayang dan percayakan Abang." Kulihat Abang Lan menghulurkan sepasang kebaya pendek berkain batik lepas kepadaku. Warnanya biru laut. Warna kesukaan Abang Lan. "Terima kasih Abang." Aku terus berlari pulang. Ingin aku terbang supaya aku cepat sampai ke bilikku. Aku ingin menghenyakkan tubuhku yang malang ini sekuat-kuatnya ke tilam empukku. Aku ingin menangis sepuas-puasnya. Biar hilang kesedihanku ini.

"Hai Su, tak habis lagi kau mengelamun. Kami dah nak balik dah pun." Sekali lagi lamunanku terhenti mendengar bicara Mak Long. "Eh Mak Long dah nak balik?" "Ye lah kau tu yang menyombong aje. Bukan selalu aku datang, sepatah haram kau tak nak cakap dengan aku." Lancang sungguh mulut Mak Long menghukumku. "Ish Mak Long ni. Tak lah. Su suka Mak Long datang. Ibu tu lagilah rindu dengan Mak Long." Aku mencuba sedaya upaya untuk membetulkan keadaan sambil menyambut mesra salam Mak Long. Kemeriahan hari raya telah lama berlalu. Seperti biasa aku berhari raya dengan penuh harapan. Harapan untuk bersama Abang Lan. Tapi kini aku rasakan harapanku semakin berkecai. Aku sendiri tidak pasti apakah Abang Lan masih menyintaiku. Apatah lagi kehadiran Mak Long yang bersemangat menceritakan tentang menantu pilihannya. Sedikit sebanyak aku merasa tergugat dengan keyakinan, pendirian dan kesabaranku sendiri. Sudah lama aku dan Abang Lan tidak berhubung, apatah lagi bersua muka. Aku hanya ada keyakinan. Dan aku percaya kepada keyakinanku. Tapi kini..... "Su!" Aku kenal suara itu, itulah suara yang aku tunggu-tunggu, suara yang aku rindu dan suara yang telah lama tidak menghiasi corong telingaku. Aku berlari ke muka pintu. Ku lihat sekujur tubuh berdiri tegak di halaman rumahku. Di tangannya ada bungkusan plastik berwarna kuning. Aku terasa seperti ingin memeluk tubuh sasa itu. Tapi apa kan dayaku. Aku mencuba sedaya upaya untuk mengawal diriku daripada memperlihatkan kerinduanku yang semakin tidak tertahan-tahan. "A.. . ba... bang La... lan." Suaraku semakin tersekat. "Assalamualaikum Su. Selamat Hari Raya Su. Apa khabar? Su sihat? Lama abang tak pandang wajah Su." Galak Abang Lan bertanya tentang diriku.

"Baik. Masuklah abang. Ibu ada di dalam." "Ibu, Abang Lan datang!" Aku menjerit memanggil ibu. Ada nada kegembiraan di situ. Belumpun sempat abang Lan melangkah masuk, dia menarik tanganku. "Su, ingat lagi janji abang? Abang akan kotakan biar apa sekali terjadi. Mak Long sekalipun takkan dapat pisahkan kita kali ini Su!" Aku tersenyum puas. "Su, ni untuk Su." Abang Lan menghulurkan bungkusan plastik berwarna kuning yang dibawanya kepadaku. Pantas aku mencapainya. Pasti sepasang baju kebaya pendek berwarna biru yang abang Lan hadiahkan untukku. Aku tersenyum riang. "Eh Lan.... masuklah. Apa yang kau tercegat lagi di situ." Riuh ibuku menyambut bakal menantunya. Bisik hati kecilku. "Marilah masuk bang." Suaraku semakin penuh harapan. Aku pasti kali ini jodohku dengan Abang Lan semakin hampir, hanya menunggu masa dan ketikanya sahaja. Onak dan duri yang bakal kami tempuhi tak bisa menghalang hasrat kami untuk bersama. TAMAT

Related Documents

Warna
December 2019 33
Warna
November 2019 34
Sudut Biru
November 2019 26