Bukhari

  • November 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Bukhari as PDF for free.

More details

  • Words: 1,715
  • Pages: 5
Muhammad Bukhari Lubis

KECEMERLANGAN TOKO BUKU/PERPUSTAKAAN DALAM PERADABAN ISLAM — MUHAMMAD BUKHARI LUBIS1

Mukadimah Dalam peradaban Islam, seruan “bacalah” mendahului segala-galanya dalam kamus seseorang Muslim, ketika hidup di dunia ini dan diharap hasilnya berbuah ranum (hasanah) di akhirat kelak. Dengan kata-kata lain, seruan atau perkataan wahyu pertama itu, iqra’, menjadi asas dan dasar dalam hidup dan kehidupan manusia. Sebenarnya kelahiran Islam membuka satu tradisi baru dalam dunia pembukuan. Oleh sebab wahyu diturunkan dalam bahasa Arab, tentulah umat Arab yang awal sekali bertindak dalam selok-belok pembukuan ini. Pembukuan pula sama sekali tidak boleh dipisahkan daripada penulisan. Jadi tidak hairanlah apabila Rasulullah S.A.W pernah bersabda: Qayyidu al-‘ilm bi al-kitabah (ikat dirimu dengan penulisan) dan al-‘Ilm sayd wa al-kitabah qayd (ilmu itu buruan sementara penulisan itu ikatannya). Sebagai umat pertama yang mendengar dan bertindak ke arah pembukuan ini, sebagai hasil kita menelusuri sejarah pemikiran mereka, kita dapati bahawa sastera Arab merupakan sastera klasik dunia yang paling banyak mengumandangkan, menyukai, mencintai, menggalakkan, dan membicarakan buku sehingga buku dipandang seolah-olah sebagai kekasih yang jauh tempat tinggalnya. Hati pun tertuju dan cinta kepadanya. Renungkanlah buah fikiran Ahmad Ismail ini (As-Siba:‘i 2002: 203): Bukulah teman bicara tak mendahuluimu tika kau sebok tak memanggilmu tika kau sedang bekerja tak memaksamu agar berdandan untuknya Bukulah teman duduk yang tak menyanjungmu sahabat yang tak membujukmu teman yang tak membosankanmu penasihat yang tak mencari kesalahanamu!

1

Seminar Pencinta Buku Malaysia 2007, 22 April, 2007 Menurut perancangan seminar ini, saya diminta membicarakan kecemerlangan toko buku dalam peradaban Islam. Ada beberapa perkara penting harus saya jelaskan dahulu di sini. Apabila merujuk peradaban Islam, yang cepat terlintas dalam akal budi saya adalah zaman awal Islam dan mungkin hingga zaman keemasan Islam (terbayang segera Zaman Abbasiyyah dan Zaman Othmaniyyah). Oleh sebab hambatan masa dan amat sukar mencari bahan yang betul-betul memperkatakan ‘toko buku’, maka kerana terlalu sedikit bahan yang membicarakan toko buku, maka saya menambah satu unsur lagi, iaitu perpustakaan, ke dalam tajuk bahasan saya ini. Atas pelanggaran arahan ini saya memohon maaf sebesar-besarnya. Saya kira kedua-dua unsur tadi (melalui proses pembukuan) tetap berfungsi sama, demi mencerdaskan bangsa atau umat Islam. Dengan skop begini, tentulah konsep buku di sini tidak sama dengan konsep zaman sekarang, khasnya konsep yang diketengahkan oleh UNESCO., bahawa sesebuah buku adalah lembaran kertas bercetak, lebih 49 halaman, mempunyai kulit, dijilid, lebih 50 naskhah yang sama, dan terbuka untuk jualan (Hamedi 2007: 2-4). Toko Buku Dalam banyak buku yang saya cari, hanya sebuah turut mencatatkan kegiatan toko buku. George Makdisi (1990: 63) menyatakan bahawa toko buku pada zaman awal dan pertengahan Islam (Zaman Umayyah dan Abbasiyyah) merupakan kelab untuk kegiatan sastera. Qifti, seorang pengarang, ada menyebut bahawa toko buku di Baghdad, kepunyaan seorang dalam bidang kemanusiaan (adab atau humanistic studies) yang bernama ‘Abdu’Llah al-Azdi (selepas 230H/845M), menjadi tempat pertemuan sesiapa sahaja yang meminati bidang kemanusiaan ini. Di situ juga diadakan perdebatan dan perbincangan yang terbanyak, tiada kelab kemanusiaan (andiyat al-adab) lain yang dapat menandinginya. Di sini jugalah seorang khatat yang ternama, Azdi, menyalin banyak karya tentang pelbagai subjek yang berkaitan dengan kemanusiaan. Qifiti juga menjelaskan bahawa dia berjaya mendapatkan salinan beberapa subjek berkenaan untuk perpustakaan peribadinya, khasnya Kitab al-Amthal oleh Abu ‘Ubayd (m. 224H/838M), yang disunting dengan cara-gaya yang lebih baik daripada sebarang karya yang pernah dilihatnya. Qifti turut memberitahu tentang pakarpakar penilai dalam kalangan pencari manuskrip yang membuat bida yang terlalu tinggi untuk memperoleh pelbagai manuskrip Azdi, dari kira-kira tahun 230 H (845M), hinggalah 630H (1233M). Perpustakaan Selain toko buku, ternyata perpustakaan memainkan peranan yang amat penting dalam usaha mentamadunkan sesuatu bangsa.

Jika diukur dengan perkembangan sekarang, ada beberapa jenis

perpustakaan yang memainkan peranan untuk mencerdaskan bangsa, seperti perpustakaan sekolah, perpustakaan awam, perpustakaan kebangsaan/nasional, perpustakaan universiti, dan perpustakaan bidang/spesialisasi (Qasim t.th: 15-23). Masyarakat Islam (Arab) pada zaman dahulu lebih mengutamakan membaca buku daripada mendatangi orang-orang tertentu di majlis mereka. Misalnya, Sahid bin ‘Abbas lebih suka tinggal di perpustakaannya daripada memegang jawatan yang tertinggi di istana Nuh bin Mansur as-Samani. Ini kerana dia sangat mencintai perpustakaannya. Perpustakaannya itu tidak bergerak, tidak boleh dibawa ke mana pun dia pergi. Maka lebih baik dia tinggal di sisi perpustakaannya (As-Siba’i 2002: 202).

2

Muhammad Bukhari Lubis Ringkasnya, dengan semangat keilmuan ini, para ulama, hartawan, dan raja sangat mencintai buku. Mereka mengumpul buku, sehingga berpandangan bahawa bencana yang menimpa harta dan rumah mereka adalah lebih ringan jika dibandingkan dengan bencana yang tertimpa ke atas buku-buku mereka. Dari semangat keilmuan ini jugalah tersebar ratusan perpustakaan di seluruh pelosok Dunia Islam. Jaranglah sekolah yang tidak mempunyai perpustakaan, semantara hampir tiada desa yang tidak memiliki perpustakaan. Perpustakaan Umum Perpustakaan jenis ini didirikan oleh khalifah, amir, ulama, dan hartawan. Untuk perpustakaan ini, mereka juga mendirikan bangunan-bangunan khas dan sesekali digabungkan pula dengan masjid dan sekolah. Di samping itu, bukan sahaja kemudahan merujuk buku disediakan, ada kalanya disediakan pula ruang makan dan tidur. Misalnya di perpustakaan Ali bin Yahya bin Munjim dikunjungi oleh pelawat dari negeri-negeri lain. Mereka tinggal di situ dan mempelajari pelbagai disiplin ilmu. Di Musil sebuah gedung yang dibina oleh Abu al-Qasim Ja’far bin Muhammad bin Hamdan al-Musili, dianggap gedung ilmu dan tempat khazanah buku dari semua bidang ilmu sebagai wakaf untuk penuntut ilmu. Siapa sahaja boleh mendapatkan kemudahan di situ. Malah orang asing yang terlantar (biaya hidupnya), akan diberikan bukubuku dan sejumlah wang. Dan gedung seperti itu dibuka setiap hari. Perpustakaan umum begini mempunyai ramai pustakawan yang diketuai oleh seorang pustakawan yang juga merupakan ulama tersohor pada zamannya. Disediakan pula petugas khas dan penterjemah yang menterjemahkan buku-buku asing. Ada juga penyalin buku yang juga khatat berketerampilan, di samping penjilid dan khadam untuk tugas-tugas lain. Bagi peminjam orang kebanyakan yang membawa buku keluar, harus membayar jaminan atas buku itu. Tidak perlu bayaran begini bagi ulama dan orang yang mempunyai keutamaan. Sumber yang menjadi nadi perpustakaan ini antara lain datang dari wakaf yang khusus untuk ini. Terdapat juga buku-buku hasil hadiah daripada amir, hartawan, dan ulama yang mendirikan perpustakaan berkenaan. Dalam sejarah peradaban Arab Islam, dicatat bahawa Muhammad bin ‘Abd al-Malik az-Zayyat memberi 2000 dinar setiap bulan kepada penterjemah dan penyalin buku. Khalifah al-Ma’mun sering memberi emas kepada Hunayn bin Ishaq seberat buku-buku yang diterjemahkannya dalam bahasa Arab. Antara contoh perpustakaan umum adalah seperti berikut (As-Siba’i 2002: 207; Hasan 1404/1984; al-Khatib 1418/1997: 39-46). (1) Perpustakaan Darul Hikmah di Kaherah Didirikan oleh al-Hakim Bi-Amrillah (395H). Di sini ditempatkan para penanggungjawab, karyawan, dan petugas. Dihimpunkan di situ buku-buku yang tidak pernah dikumpulkan oleh mana-mana raja pun. Antara pengunjungnya , ada yang datang untuk membaca, menyalin (ingat sistem manuskrip - tiada bahan bercetak) atau belajar. Terdapat juga segala yang diperlukan untuk pembukuan seperti dakwat dan bekasnya, pena, dan kertas.

3

Seminar Pencinta Buku Malaysia 2007, 22 April, 2007 (2) Perpustakaan Baitul Hikmah di Baghdad Diasaskan oleh Khalifah Harun ar-Rashid dan mencapai kemuncak kegemilangannya di tangan Khalifah al-Ma’mun. Di situ disediakan para penyalin dan penterjemah, yang menterjemahkan buku-buku yang diperoleh ar-Rashid dan al-Ma’mun dalam penaklukan mereka di Ankara, Amuria, dan Cyprus. Setelah Raja Romawi berjaya dikalahkan, al-Ma’mun meminta Raja Romawi membenarkan buku-buku yang ada di segala almarinya diterjemahkan oleh para ulama yang dikirim al-Ma’mun. Syarat ini disepakati dan dilaksanakan. Beginilah kisah seorang penguasa yang menang dalam peperangan! Harga kemenangan itu tidaklah lebih mahal daripada buku-buku ilmu pengetahuan yang dialihkan kepada anak bangsa dan rakyat jelatanya. (3) Perpustakaan al-Hakam di Andalus Dengan kelengkapan seperti yang diperlukan ketika itu, dalam perpustakaan ini termuat 400 ribu buah naskhah. Antara katalog yang istimewa adalah katalog khusus antologi puisi Arab yang berjumlah 44 jilid. Pada zaman al-Hakam inilah terkumpulnya khazanah buku yang belum pernah dimiliki oleh sesiapa pun, sama ada sebelum ataupun sesudah baginda. Perpustakaan Peribadi Perpustakaan jenis ini terdapat di segenap negeri di kawasan timur dan barat Dunia Islam. Sudah menjadi lumrah, seseorang ulama itu memiliki perpustakaan yang berisi ribuan buku. Antara contoh perpustakaan peribadi adalah seperti berikut (As-Siba’i, 2002: 208-209; Hasan 1404/1984). (1) Perpustakaan al-Fath bin Khaqan (m. 247H) Beliau mengamanahkan seorang ulama dan sasterawan pilihan ketika itu, Ali bin Yahya al-Munjim, supaya mengumpulkan buku-bukunya. Di perpustakaan ini terkumpullah buku-buku “hikmah” yang sama sekali belum pernah terkumpul di perpustakaan “hikmah” (perpustakaan spesialisasi) sendiri. (2) Perpustakaan Ibnu Khashab (m. 567H) Sebagai pakar dalam ilmu tatabahasa, Ibnu Khashab juga mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang tafsir, Hadith, mantik, dan falsafah. Sangat gemar kepada buku hingga mencapai batas tamak. Kegemarannya ini memaksanya membuat kerja yang dihina masyarakat. Bayangkan! Dia sanggup mengoyakkan sebahagian kertas buku orang lain ketika orang itu sedang lalai, supaya dia boleh mendapatkannya dengan harga yang murah. Jika dia meminjam buku daripada seseorang, kemudian orang itu memintanya memulangkan buku yang dipinjam itu, dia berkata: “Adakah lahir kesangsian antara aku dengan buku-buku itu, sehingga aku dapat mengembalikannya?”

4

Muhammad Bukhari Lubis (3) Perpustakaan Jamal al-Din al-Qifti (m. 646H) Tidak tergambar tentang buku yang dikumpulnya. Perpustakaannya selalu dilawati oleh orang dari pelbagai penjuru kerana mengharapkan kemurahan dan kedermawanannya. Tidak mencintai dunia selain buku-bukunya (itulah isteri pertamanya!). Ia mewakafkan dirinya untuk buku-buku. Malah mewasiatkan perpustakaanynya yang bernilai 50 ribu dinar itu kepada an-Nasir. Akhirul Kalam Demikian beberapa catatan sedikit tetapi penting untuk kita renungkan dalam menghayati kepentingan took buku dan perpustakaan dalam usaha mencerdaskan bangsa kita. Di sini saya tidak menyentuh langsung sudut akhlak atau fiqah ketika mengendalikan sesebuah took buku atau perpustakaan. Sama ada perkara yang bincangkan tadi berbentuk positif ataupun negatif, semuanya dapat diambil iktibar dalam kita membina peradaban kita, insya-Allah. Secara peribadi, saya mempunyai banyak pengalaman dalam mengunjung toko buku, khususnya di Kaherah, Tehran, Istanbul, Ankara, London, Chicago, Berkeley, San Francisco, dan Los Angeles. Ada yang dapat dijadikan tauladan, namun tidak kurang yang perlu dijadikan sempadan! Wa’Llahu a‘lam. Catatan 1. Kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Pencinta Buku Malaysia Ke-2 (2007), anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan bukuonline.org, dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara dan RTM, di PPAS Shah Alam, pada 22 April 2007. 2. Profesor di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), merangkap Pengarah Penerbit UPSI. Daftar Kepustakaan Al-Khatib, Muhammad ‘Ijaj. 1418/1997. Lamahat fi al-Maktabah wa al-Bahth wa al-Masadir. Beirut: Mu’assasat al-Risalah. As-Siba’i, Musthafa Husni. 2002. Khazanah Peradaban Islam. Terj. K.H. Abdullah Zakiy Al-Kaaf. Bandung: Pustaka Setia. Hamedi Mohd Adnan. 2007. Memahami Penerbitan Buku. Bandar Baru bangi: Medium Publications. Hasan, Sa‘id Ahmad. 1404/1984. Anwa‘ al-Maktabat fi al-‘Alamayn al-‘Arabi wa al-Islami. Amman: Dar al-Furqan. Makdisi, George. 1990. The Rise of Humanism in Classical islam and the Christian West. Edinburgh: Edinburgh University Press. Qasim, Hishmat. T.th. al-Maktabah wa al-bahth. Kaherah: Dar Ghurayb lil-Tiba’ah waq al-Nashr wa Tawzi‘.

5

Related Documents

Bukhari
November 2019 29
Bukhari
May 2020 7
Creed Bukhari
June 2020 7
Imam Bukhari
June 2020 17
Imam Bukhari
June 2020 25
Imam Bukhari
May 2020 27