BOLEH SOLAT JENAZAH TANPA WUDHU’? Jumaat lepas saya tunaikan tanggungjawab menyampaikan kuliah maghrib mingguan di sebuah surau sebagaimana biasa. Kuliah saya di surau tersebut satu-satunya pengajian menyentuh fiqh. Surau dan masjid lain, biasanya membicarakan kitab hadis atau aqidah. Itupun atas permintaan Jawatankuasa surau itu sendiri. Berbezanya kuliah saya di surau tersebut, jamaah surau sentiasa kemukakan soalan-soalan fiqh berkaitan tajuk yang dibincangkan. Kekadang mencabar minda saya yang masih muda dengan ilmu fiqh ini. Kitab yang saya gunakan ialah Terjemahan Fiqh Manhaj Mazhab Syafie karangan Dr Mustafa Bugho, Mustafa Khin dan Dr Ali Syarbaji. Bagusnya kitab ini kerana ia disertakan dengan dalil2 qur’an dan hadis. Waaubagaimanapun, saya sentiasa terpaksa mengulangkaji dengan menyemak kitab2 yg lebih tebal dan detail seperti majmuk syarah muhazzab, sabila muhtadin, furu’ masa’il, fathul mu’in untuk berhadapan soalan2 yg bakal diterima waktu berkuliah. Jadi, Jumaat lepas, saya menyambung kuliah yang masih berlegar dalam bab mandi yang diwajibkan. Tiba pada bab mandi kerana berlaku kematian, saya mengingatkan jamaah surau bahawa akan ada satu bab khusus membincangkan tentang jenazah pada masa akan datang, dengan hasrat ahli jamaah tak payahlah tanya terlalu detail dalam bab itu. Tapi memandangkan sikap ahli jamaah surau yang suka bertanya menyebabkan saya tidak mampu menyekat pertanyaan2 mereka. Antara soalan yang ditanya ialah; 1. Ada orang kata selepas memandikan jenazah, tak boleh lagi sentuh kulit jenazah itu takut batal wudhu’, betulkah? Jawapannya: Yang batal wudhu’ ialah orang yang hidup, bukannya orang yang sudah mati. Itupun orang yang tertentu sahaja. Kalau anak, adik beradik, ibu bapanya dan orang2 yang tidak batal wudhu’nya jika bersentuh kulit ketika hidup. Adapun isteri dan ajnabi yang berlainan jantina, sudah tentu batal wudhu’ orang yang menyentuh. 2.Ada ustaz yang kata solat jenazah tak wajib ada wudhu’. betulkah? Jawapannya: Tidak betul. Setakat yang saya tahu, tidak sah solat apa sekalipun tanpa wudhu’. Tak tahulah ulama’ mana yang dia ambil pendapat itu. Kena tengok kitab dahulu… Ada beberapa soalan lagi yang saya lupa. Yang menarik ialah soalan kedua. Saya teringat ada seorang Ustaz muda yang sedang meningkat naik namanya, sentiasa dijemput menyampaikan ceramah2. Asalnya dari Besut. Pernah saya tonton secara kebetulan berada di sebuah kedai makan yang memasang vcd ceramah ustaz yang dikenali sebagai Ustaz Budak dari Besut (bukan Ustaz Budak dari Kelantan). Dalam pada beliau sampaikan ceramah, beliau ada menyebut bahawa solat jenazah tak payah ada wudhu’. Sudah menjadi lumrah dalam diri saya apabila ada masalah dalam agama yang saya sendiri musykil, saya akan rujuk kitab2 untuk mencari jawapannya.
Jawapan yang saya temui dalam Majmuk syarah muhazzab jilid 5, mukasurat 222 hingga 223karangan Imam Nawawi rahimahullah; “Telah sepakat nas-nas Syafie dan ashab(nya) bahawasanya disyaratkan bagi sahnya solat jenazah akan suci dari hadas, dan suci dari najis pada badan, pakaian, tempat, dan (wajib) tutup aurat dan menghadap kiblat …”(m/s 222) Dan di sisi mazhab2 ulama’, Imam Nawawi menyebutkan ; “Telah kami sebut bahawa dalam mazhab kami, solat jenazah tidak sah tanpa taharah, dan maknanya sekiranya boleh berwudhu’, tidak sah (solat jenazah) tanpa wudhu’. Sekiranya tiada air, digantikan dengan tayammum. Dan tidak sah tayammum dalam keadaan ada air walaupun sekiranya takut luput waktu sekalipun. Inilah pendapat Malik(bin Anas), Ahmad(bin Hanbal), Abu Tsaur, dan Ibnul Munzir. Dan Imam Abu Hanifah berkata harus tayammum dalam keadaan ada air walaupun takut luput waktu sekiranya sibuk berwudhu’(kerana panjang masa ambil wudhu’). Dan (pendapat Abu Hanifah) diceritakan juga oleh Ibnul Munzir daripada Atta’, Salim, Az Zuhri, Ikrimah, An Nakha’ie, Saad bin Ibrahim, Yahya Al Ansari, Rabi’ah Al Laith, As Tsauri, al Auza’ie, Ishaq, Ashabur Ra’yi(Ulama2 Hanafiah), dan satu riwayat dari Imam Ahmad. Dan berkata As Sya’bi, Muhammad bin Jarir at Tabari dan puak Syiah bahawa HARUS SOLAT JENAZAH TANPA TAHARAH walaupun dlam keadaan mampu untuk berwudhu’ dan bertayammum kerana ianya(solat jenazah) adalah doa. Berkata tuan kitab al Hawi dan lainnya,”Inilah (pendapat)yang dikatakan oleh As Sya’bi sebagai PENDAPAT YANG BERCANGGAH DENGAN IJMA’, MAKA JANGAN MENILIK KEPADANYA.” (M/S 223). Cukuplah setakat itu sahaja sebagai bukti bahawa BERSUCI adalah syarat sah solat jenazah. Imam Nawawi berhujjah lagi selepas itu dengan membawa dalil Qur’an dan hadis yang menunjukkan bahawa solat jenazah memang dipanggil solat, bukan setakat do’a yang menjadi hujjah Syiah dan beberapa ulama’ yang sealiran dengan mereka. PESANAN BUAT USTAZ PENGKULIAH Sepatutnya kita sebagai ustaz yang mengajar orang awam harus menginsafi bahawa betapa besarnya tanggungjawab kita dalam menyampaikan ilmu yang benar. Jangan pakai hentam semberono sahaja tanpa menyebutkan siapakah yang berpendapat begitu. Ia akan ditanggapi oleh orang awam seolah-olah itulah pegangan kita ahli sunnah wal jamaah. Lebih-lebih lagi dalam masyarakat Malaysia yang masih lagi merasakan mereka mengikuti fiqh Mazhab Syafie. Ingat!! Orang awam jadi sesat kerana guru agamanya sesat!! YA ALLAH, JAUHIKANLAH AKU DARIPADA TERJEBAK DALAM MENFATWAKAN MASALAH YANG PELIK-PELIK…AMIN.