Apa Sebenarnya Terjadi Di Iran

  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Apa Sebenarnya Terjadi Di Iran as PDF for free.

More details

  • Words: 1,482
  • Pages: 5
Adjust font size:

Apa sebenarnya terjadi di Iran? Hishamuddin Rais | Jun 25, 09 2:01pm

Salah kalau kita mengatakan bahawa tunjukan perasaan di Tehran dan kota-kota lain di Iran sebagai protes hanya tentang pilihanraya sahaja. Hakikatnya Mahmoud Ahmadinejad telah menang. Juga salah untuk mengatakan bahawa tunjuk perasaan ini antara golongan liberal yang menentang golongan konservatif alias kolot. Hakikatnya kedua-dua kumpulan yang sedang bertelagah sama-sama mewakili theocracy yang kolot. Mir Hossein Mousavi sebelum ini pernah menjadi perdana menteri dari 31 Oktober 1981 hingga 3 Ogos 1989. Kemudian jawatan perdana menteri dilupuskan. Memang betul Amerika Syarikat semenjak dari zaman George W Bush menganjurkan dan mengeluarkan dana untuk membuat kerja-kerja jahat terhadap Iran. Amerika Syarikat menyokong kumpulan-kumpulan dan parti-parti politik yang menentang kerajaan di Tehran. Ia memang tugas kuasa imperial Amerika Syarikat. Tetapi Mousavi dan Ahamadinejad tidak pro-Amerika - ini amat jelas. Mereka bukan boneka Amerika. Amerika Syarikat masih dianggap sebagai "setan dunia" oleh kelas pemerintah di Iran. Tidak ada pemimpin politiknya secara terang-terangan yang akan berani membuat dasar pro-Amerika kerana sebab-sebab sejarahnya. Pada 1953, Mohammed Mosaddeq memenangi pilihanraya dan dilantik sebagai perdana menteri Iran. Mosaddeq yang menjalankan dasar nasionalis telah memiliknegarakan semua telaga minyak Iran. Mosaddeq akhirnya telah ditendang keluar. Rampasan kuasa menendang Mosaddeq ini perancangan agensi perisikan CIA. Setelah Mosaddeq ditendang, syarikat minyak Anglo-Amerika dibawa masuk kembali. Untuk menggantikannya, Shah Ahmad Reza Pahlavi dinobatkan oleh CIA sebagai raja sehingga tahun 1989 apabila revolusi Iran melupuskan sistem beraja di Iran. Maklumat ini fakta sahih. Pada 4 Jun lalu, presiden Amerika Syarikat yang baru Barack Obama sendiri mengakui perkara ini dalam ucapan di Kaherah. Ucapan Obama kepada "warga Islam" sejagat dibuat dalam usaha Amerika ingin berbaikbaik kembali dengan Iran. Mari kita memahami siapa penyokong Ahmadinejad dan siapa pula penyokong Mousavi.

Semua yang menyokong Mousavi dan Ahmadinejad adalah orang Iran atau Parsi. Mereka semua beragama Islam – aliran Syiah. Hanya wujud kumpulan kecil di beberapa wilayah seperti di Baluchistan yang bermazhab Sunni. Mereka ini amat bersedia untuk menjadi khadam Amerika. Dua minggu sebelum pilihanraya dijalankan, ada letupan bom di Zehdan – ibu kota Baluchistan. Pengeboman ini kerja barua Amerika. Hakikatnya mazhab Sunni amat kecil untuk dapat melakukan apa-apa perubahan sosial. Jadi apa sebenarnya yang berlaku di Tehran? Semua analisis akhiranya menjurus kepada kepentingan ekonomi dan kelas. Ahmadinejad mewakili golongan bawahan – kaum tani di kampung-kampung dan kaum buruh di kota. Wajib difahami bahawa Iran bukan Tehran sama seperti Kuala Lumpur bukan Malaysia. Kaum tani dan kaum buruh ini dimanifestasikan melalui organisasi Basij. Basij asalnya kumpulan anak-anak muda kampung dan anak muda miskin kota yang direkrut ketika Iran dan Iraq berperang – 1980-1988. Basij berasal dari kumpulan sukarelawan tetapi dua tahun lalu ia diserap dalam pentabiran Ahmadinejad, sebagai presiden. Basij mendapat kontrak pembangunan, lesen-lesen dan memegang jawatan di lembaga-lembaga di beberapa pusat pentabiran kerajaan yang ditubuhkan oleh Ahmadinejad. Lembaga ini samalah seperti perbadanan kemajuan ekonomi negeri atau SEDC yang ditubuhkan oleh perdana menteri Razak Hussein dahulu. Ahmadinejad juga mendapat sokongan Pasdaran atau soldadu Penjaga Revolusi. Ia adalah pasukan tentera yang muncul di zaman Ayatolah Khomeini untuk memantapkan revolusi. Pasukan ini muncul sesudah revolusi untuk membersihkan tentera Iran di bawah pentadbiran Shah yang banyak menjadi tali barut Amerika Syarikat. Pasukan Pasdaran ini mendewasa dalam kancah perang Iran-Iraq. Basij dan Pasdran kini asas sokongan yang amat kuat untuk Ahmadinejad di kawasan luar bandar dan kawasan miskin di kota. Kuasa ekonomi baru Basij yang telah dilembagakan ini mula menghakiskan dua kumpulan kelas ekonomi lama. Kumpulan pertama adalah kelas borjuis industri yang diwakili oleh Rafsanjani, seorang multibilionaire. Rafsanjani – wakil kelas borjuis nasional - melihat dasar Ahmadinejad telah mengetatkan lagi sekatan ekonomi yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat terhadap Iran. Rafsanjani taukeh kacang Pastichio ini sedang melihat bertan-tan kacangnya tidak

dapat dieksport. Kelas ini juga ingin berkembang luas – dari borjuis nasional untuk menjadi pemodal yang besar – multinasional - untuk mencari pasaran dunia. Mereka juga bercita-cita untuk menjadi kelas industri tetapi telah gagal kerana wujudnya sekatan ekonomi. Kumpulan kedua pula adalah apa yang dikenali sebagai Bazaari – ini kelas lama yang mucul dari zaman feudal. Bazaari adalah peniaga tradisional. Kalau di Malaysia mereka ini peniaga-peniaga Cina yang memiliki jaringan kedai-kedai perniagaan. Bazaari muncul sebagai kelas ekonomi yang kuat kerana mereka memonopoli dan mengendalikan jual beli di Iran. Ketika gerakan anti-Shah dahulu, kumpulan Bazaari ini menyokong Ayatolah Khomeini sehinggkan Iran menjadi lumpuh dan Ahmad Reza Pahlavi lari. Kelas bazaari ini juga memiliki pertalian yang amat kuat dengan struktur Syiah yang berpusat di Qum, kota suci penganut Syiah. Mereka memerlukan satu sama lain. Golongan agamawan di Qum memerlukan sokongan ekonomi alias duit kelas bazaari. Kelas ini pula memerlukan fatwa untuk "menghalalkan" apa sahaja perniagaan mereka, termasuk pelacuran yang ditafsirkan sebagai "nikah sementara". Kelas peniaga kecil ini melihat perniagaan di bazar mereka terbantut dan kelas mereka tidak dapat berkembang. Pelancong tidak masuk. Permaidani mereka tidak terjual dan tidak dapat dieksport. Kelas bazaari yang komprador - yang bergantung perniagaan dengan peniaga luar kini melihat barangan mereka amat susah untuk diimport atau dieksport kerana sekatan ekonomi. Justeru amat jelas ada pertentangan kelas di sini. Ada pertentangan kepentingan ekonomi. Kumpulan borjuis lama - borjuis nasional dan kelas komprador yang diwakili oleh Rafsanjani-Mousavi sedang bertempur dengan kumpulan ekonomi kelas baru – kapitalis daulah yang diwakili oleh Ahmadinejad. Justeru, keadaan ini membuktikan bahawa apa yang berlaku di Iran sekarang tidak ada sangkut-paut dengan Islam, dengan mazhab Syiah atau dengan agama. Krisis di Iran hari ini adalah pertentang kelas dan perebutan ekonomi. Jangan kita lupa, ada lagi satu kumpulan – monarki – saki-baki penyokong Shah Ahmad Reza Pahlevi. Mereka ini kelas feudal yang sedang menggelabah seperti polong tidak bertuan.

Tuannya Reza Pahlavi anak Shah kini tinggal di Kaherah kerana menjadi menantu Anwar Sadat, bekas presiden Mesir. Kumpulan feudal kelas elit atasan ini bersarang di bahagian utara Tehran – kawasan ini samalah seperti Bukit Kenny di Kuala Lumpur atau Country Height di Kajang. Kumpulan ini berkumpul bawah televisyen satelit yang dimiliki oleh Reza Pahlavi yang dipancarkan dari Kaherah. Kelas feudal dan elit atasan ini – kumpulan Gucci dan Louis Vuitton – ini tidak ada sangkut-paut dengan demokrasi. Mereka ini lintah darat yang hidup senang-lenang ber-shopping di hujung minggu di London dan Paris di zaman Shah dahulu. Mereka ini sama dengan kaum keluarga anak beranak kroni-kroni Mahathir Mohamad. Mereka melihat "gaya hidup" mereka menjadi kacau-bilau sesudah berlakunya revolusi tahun 1979. Jadi, siapakah pula yang berdemonstrasi di jalan raya yang membantah keputusan pilihanraya? Semua yang kepentingan ekonomi dan gaya hidup mereka tidak selari dengan dasar Ahmadinejad sedang turun bermandi darah di jalan raya. Mereka bersatu bawah bendera dan slogan "undur-undur Ahmadinejad". Ia sama seperti slogan zaman Reformasi (1998) ketika rakyat satu Malaysia berdemonstrasi untuk menjatuhkan regim Mahathir. Awas! Dari semua kumpulan ekonomi ini ada lagi satu kumpulan. Mereka ini kumpulan anak-anak muda yang tidak memiliki kepentingan ekonomi atau kelas. Mereka inilah yang gugur ditembak oleh peluru Basij. Mereka inilah yang sedang bertempur dengan tentera dan polis antirusuhan. Anak-anak muda ini datang dari semua kelas. Mereka adalah kaum pelajar muda. Mereka juga adalah "penanam anggur" yang tidak memiliki kerja dan masa depan. Mereka melihat Ahmadinejad sebagai musuh yang mengganggu-gugat gaya kehidupan muda mereka. Mereka adalah Mat Rock dan Mat Kool dari utara Tehran. Mereka juga Mat Rempit dari kawasan miskin wilayah selatan Tehran. Mereka sedang mendobrak segala nilai kolot yang menyusahkan kehidupan harian mereka. Mereka adalah generasi Myspace, Facebook dan Friendster. Ibu bapa mereka adalah Siti Internet dan Lebai Google. Bapa saudara mereka adalah Blogspot Dot Com. Mereka adalah pembuat filem di YouTube. Mereka adalah wartawan SMS dan Twitter.

Mereka bermazhab Ali Shariati, tokoh sarjana yang membakar semangat kebebasan. Mereka menganuti fahaman Mao, Lenin, Bakunin dan Che Guevara. Seperti biasa anak-anak muda inilah yang menjadi barisan hadapan untuk membawa perubahan. Mereka jugalah yang sedang bermandi darah membuka harapan baru untuk Iran. Mereka ingin membebaskan Iran daripada theocracy yang kolot. Hakikatnya dasar Ahamadinejad dan dasar Mousavi tidak ada bezanya. Dasar ini ingin men-tua-kan naluri muda mereka. Di tahap sejarah pada Jun 2009 ini, anakanak muda ini sedang berpayung bawah lambang Mousavi kerana pekikan perjuangan yang dilaungkan olehnya. Untuk sementara waktu, Ahmadinejad adalah presiden Iran yang terbukti telah menang dalam pilihanraya. Ahmadinejad akan terus berkuasa. Amerika Syarikat bawah Barack Obama – untuk kepentingan berjangka panjang – tidak akan menggugat Iran. Waspada! Iran memiliki tradisi perjuangan dan tamadun yang lama. Ia memiliki tradisi Tudeh yang memimpin kaum buruh di industri minyak. Iran, memiliki tradisi Fedayeen Al-Khalaq. Iran memiliki tradisi Mujahideen Al-Khalaq. Iran memiliki tradisi tempur Syiah yang dinobatkan sebagai Islam Kiri oleh Ali Shariati. Tiga kumpulan inilah penyusun dan penjana awal revolusi Iran 1979 sebelum dirampas oleh Ayatollah Khomenei yang dilihat oleh kuasa Anglo-Amerika pada ketika itu sebagai kuda yang lebih selamat. Akhirnya anak-anak muda ini akan mengundur dan menilai kembali garis perjuangan mereka. Yakinlah dalam masa yang tidak lama akan muncul kembali satu pertempuran yang lebih tersusun. Anak-anak muda di mana sahaja di dunia ini akan berkumpul apabila terdengar pekikan perjuangan. Ia adalah sifat dan naluri anak muda. Anak-anak muda di Iran memiliki waktu untuk menunggu.

Related Documents

Lobi Iran Di Amerika
June 2020 11
Iran
May 2020 39
Iran
May 2020 35