Dr. Al-Qaradhawi: Al-Ikhwan dan Al-Asya'irah Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkata dalam fatwa beliau: "Al-Asya'irah sepertimana yang dikhabarkan dalam Al-Mausu'ah Al-Muyassarah fi Al-Adyan wa Al-Mazahib Al-Mu'asharah: mereka adalah golongan ulama' kalam dalam kalangan ahlussunnah wal jamaah, yang menisbahkan diri mereka kepada Imam Abu Al-Hasan Al-Asy'ari yang telahpun meninggalkan fahaman golongan muktazilah. Golongan Al-Asya'irah menjadikan dalildalil dan pembuktian-pembuktian secara aqli (dengan logik akal yang sihat) dan kalamiyah (tersusun secara teratur dengan ilmu mantik dan ilmu bahasa) sebagai wasilah dalam berhujah dengan para penentangnya dari kalangan golongan muktazilah, ahli falsafah dan sebagainya untuk menetapkan hakikat agama dan aqidah Islamiyyah. Antara perkara yang membimbangkan ahli ilmu ialah, di sana ada sebahagian penuntut ilmu dan mereka yang terlibat dalam usaha dakwah memperkecilkan keagungan golongan AlAsya'irah dan meragui aqidah mereka (seperti mempertikaikan ilmu sifat 20 dan sebagainya).[1] Lebih buruk dari itu lagi, mereka mengaitkan syubhat tertentu[2] kepada golongan Al-Asya'irah dalam rangka untuk memperkecilkan keagungan (kedudukan) golongan yang lain tersebut (iaitulah Al-Asya'irah), sedangkan Al-Asya'irah sendiri berlepas tangan daripada apa yang mereka nisbahkan kepada mereka (Al-Asya'irah) tersebut sebagaimana serigala berlepas tangan daripada darah Nabi Yusuf ibn Nabi Ya'qub a.s.. Imam Al-Asy'ari mempunyai kitab Al-Ibadah 'An Usuli Ad-Diyanah yang merupakan buku terakhir karangan beliau menurut pendapat paling kuat[3] telah berpatah balik daripada banyak pendapat beliau yang bersifat kalamiyyah kepada manhaj Salaf (bukan Salafi zaman moden ini) iaitu isbat[4] dan tidak ta'wil…[5] Dr. Al-Qaradhawi berkata lagi: "Mengaitkan Al-Ikhwan Al-Muslimun[6] dengan Al-Asya'irah tidak pernah mengurangkan kedudukannya (Al-Ikhwan Al-Muslimun). Adapun umat Islam itu sendiri, majoritinya adalah AlAsya'irah dan Al-Maturidiyyah. Dan merekalah dalam kalangan ahlus-sunnah wal jamaah yang mana imam-imam mereka adalah Imam Abu Al-Hasan Al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur AlMaturidi. Para ulama' mazhab As-Syafi'e dan mazhab Al-Maliki adalah bermazhab al-asy'ari (dalam aqidah). Golongan Hanafiyyah (bermazhab Al-Hanafi) pula adalah maturidiyyah.[7] Universiti-universiti Islam dalam dunia Islam sendiri samada Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyyah dalam aqidah: Universiti Al-Azhar di Mesir berpegang dengan aqidah Al-Asya'irah[8]. Universiti Zaitunah di Tunis mengikut aqidah Al-Asya'irah. Universiti di Maghribi juga bermazhab Al-Asya'irah. Begitu juga dengan Deoband di India yang bermazhab Maturidiyyah. Begitulah juga madrasah-madrasah diniyyah dan universiti Islam yang lain.[9] Kalau kita katakan bahawasanya Al-Asya'irah itu bukan dalam kalangan ahlus-sunnah[10], maka kita telahpun menghukum umat ini (umat Islam) seluruhnya, atau hampir keseluruhannya sebagai sesat, lalu kita juga pada hakikatnya akan jatuh dalam kesesatan golongan-golongan sesat yang lain (seperti muktazilah, jabariyyah dan sebagainya, kerana golongan tersebut juga
menyesatkan golongan Al-Asya'irah yang merupakan majoriti umat Islam/As-sawadh AlA'zhom). Siapakah yang mengibarkan panji "membela sunnah" dan menentang golongan-golongan yang menjadi penentang sunnah sejak zaman berzaman, kalau bukan golongan AlAsya'irah dan Al-Maturidiyyah[11]. Semua ulama' agung kita dari kalangan mereka (Al-Asya'irah) iaitulah: Imam Al-Baqillani, Imam Al-Isfarayini, Imam Abu Al-Ma'ali Al-Juwaini (Imamul Haramain), (Hujjatul Islam) Imam Abu Hamid Al-Ghazali r.a., Imam Fakhruddin Al-Razi, Imam Al-Baidhowi, Imam Al-Amidi, Imam As-Syahristani, Imam Al-Baghdadi, Imam Ibn Abdul Salam (sultonul 'ulama'), Al-Hafiz Ibn Daqiq Al-Id, Ibn Sayyid An-Nas, Imam Al-Bulqini, Imam Al-Hafiz Al-'Iraqi, Imam Al-Hafiz AlMuhaddith An-Nawawi, Imam Al-Rafi'ie, Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqollani (Amirul Mu'minin fi Al-Hadith), Al-Hafiz As-Suyuti, Imam At-Turtushi, Imam Al-Mazri, Imam Al-Baji, Imam Ibn Rusyd Al-Jadd (datuk kepada Ibn Rusyd Al-Hafid/cucu. Adapun aqidah Ibn Rusyd AlHafid dikritik oleh ramai ulama' kerana terpengaruh dengan fahaman ahli falsafah), Ibn Al-Arabi (Al-Qadhi Ibn Al-'Arabi), Al-Qodhi 'Iyadh (pengarang kitab As-Syifa), Imam Al-Qurtubi, Imam Al-Qarafi, Imam As-Syatibi dan sebagainya. Adapun dari kalangan ulama' Al-Hanafiyyah (yang mengikut mazhab Al-Maturidiyyah): Imam Al-Karkhi, Imam Al-Jashosh, Imam Ad-Dabusi, Imam Al-Sarokhsi, Imam As-Samarwandi, Imam Al-Kasani, Imam Ibn Humam, Imam Ibn Nujaim, Imam At-Taftazani (penulis Syarh AlMaqosid), Imam Al-Bazdawi dan sebagainya. Adapun saudara kita dari kalangan salafiyyun (pengaku salafi zaman moden ini), yang mencela golongan Al-Asya'irah secara mutlak, maka mereka salah (dalam menghukum) dan melampaui batasan. Adapun Al-Asya'irah adalah salah satu golongan daripada ahlus-sunnah wal jamaah yang diredhoi oleh seluruh umat Islam, kerana mereka (al-asya'irah) menjadikan Al-Qur'an dan As-Sunnah sebagai sumber mereka, dan kalaupun ada salah dalam beberapa masalah (menurut pendapat Al-Qaradhawi) tidak mengurangkan keagungan mereka, walaupun jika mereka memilih pendapat yang lemah dan salah, itu kerana mereka juga manusia yang berijtihad, bukan ma'shum (terpelihara daripada dosa dan kesalahan). Tiada satu golongan pun yang sejahtera daripada kesalahan dan kekurangan dalam ijtihad mereka, samada dalam masalah cabang mahupun dalam masalah usul. Setiap manusia samada diambil kalam mereka ataupun ditolak kalam mereka kecualilah Rasulullah s.a.w. yang ma'shum s.a.w.." Demikian sebahagian perkataan Fadhil Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, dalam fatwa beliau yang dikeluarkan pada 5 Ogos 2001 di bawah tajuk Al-Ikhwan Al-Muslimun wa Al-Asya'irah (Ikhwan Muslimin dan Golongan Al-Asya'irah) yang mana, tajuk himpunan fatwa tersebut: Al-Firaq wa Al-Adyan. Diterjemahkan dengan sedikit catatan, dengan bantuan Allah s.w.t. oleh: Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari
-'AmalahuLlahu bi AltofiHi Al-KhofiyyahDipetik dari laman blog beliau: http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/251 Semoga Allah s.w.t. mengampuni kekurangan penterjemah yang faqir ini dalam menterjemahkan karangan ini. Amin… [1] Alfaqir
berkata dengan bantuanNya: Amat malang di mana sesetengah pemuda yang kononnya menisbahkan diri kepada jemaah tertentu yang kononnya mengikut manhaj Al-Ikhwan dan menjadikan Dr. Al-Qaradhawi sebagai rujukan mereka, namun dalam masa yang sama bersikap mempertikaikan, meragui dan mempersoalkan manhaj AlAsya'irah sehingga ada yang bersifat merendah-rendahkan ilmu sifat 20 dan sebagainya. Golongan ini sebenarnya jahil dengan Al-Asya'irah dan jahil juga dengan dasar perjuangan Al-Ikhwan yang sebenar, biarpun menisbahkan diri kepada AlIkhwan. Seperti mendakwa bahawasanya golongan Al-Asya'irah berlebih-lebihan dalam menggunakan akal, mengutamakan akal daripada Al-Qur'an dan sebagainya. Ini suatu fitnah terhadap golongan Al-Asya'irah. [2]
Alfaqir berkata dengan bantuanNya: "Namun di sisi Imam Muhammad Zahid AlKauthari, kitab Al-Luma' adalah yang terakhir di karang oleh Al-Imam Al-Asy'ari dan inilah pendapat yang paling kuat di sisi kami. Rujuk risalah-risalah beliau." [3]
Alfaqir berkata dengan bantuanNya: Isbat di sisi salafus-soleh adalah: menetapkan lafaz mutasyabihat tersebut tanpa makna yang difahami, bukan seperti manhaj salafi (atau wahabi) dewasa ini yang menetapkan makna lafaz tersebut dari sudut bahasa. AlQaradhawi turut membezakan antara manhaj isbat para salafus-soleh dengan manhaj isbat Ibn Taimiyyah yang ditaqlid oleh salafi hari ini dalam buku beliau fusulun fil aqidah. Dalam buku tersebut, beliau mengakui Ibn Taimiyyah agak keterlaluan dalam masalah mutasyabihat ini di muqoddimah buku beliau. [4]
Isbat lafaz dan tafwidh makna tidak bercanggah dengan ta'wil kerana pada hakikatnya, tafwidh itu sendiri adalah ta'wil tetapi tanpa memberi makna lain kepada perkataan tersebut, namun cuma menyerahkan makna lain tersebut kepada Allah s.w.t., sedangkan ta'wil dalam manhaj sebahagian Al-Asya'irah adalah dengan memberi makna lain kepada perkataan tersebut sesuai dengan kaedah bahasa Arab dan aqidah Islam yang murni. Sila rujuk buku Sheikh Dr. Al-Qaradhawi bertajuk fusulun fil aqidah, di mana dalam buku tersebut, Al-Qaradhawi sendiri menegaskan perkara tersebut. [5]
Suatu jemaah yang diasaskan oleh Imam Hasan Al-Banna Al-Husofi, seorang sufi yang mengambil tarbiah daripada seorang mursyid tarikat yang agung iaitu, Sheikh Abdul Wahab Al-Husofi, dan mengambil bai'ah tarikat Al-Husofiyyah As-Syazuliyyah. Pemikiran tajdid beliau jelas sejak beliau masih remaja lagi, kerana keprihatinan beliau [6]
terhadap masalah masyarakat Islam pada zaman beliau. Beliau adalah seorang sufi berpegang dengan mazhab Al-Asya'irah dalam bab aqidah. Adapun golongan Hanabilah pula, maka sebahagian golongan yang ghullu dari kalangan mereka mengikut fahaman tasybih, demikian menurut Imam Ibn Al-Jauzi dalam buku beliau Daf' Syubah At-Tasybih. Sehingga hari ini, ramai yang mengaku sebagai Hanabilah tetapi mengikut fahaman tajsim. Oleh kerana itulah, Dr. AlQaradhawi tidak menyebut golongan Al-Hanabilah di sini kerana sememangnya pertentangan antara golongan ahlus-sunnah wal jamaah dari kalangan Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyyah dengan sebahagian golongan ghullu dalam hanabilah suatu perkara yang diketahui umum menerusi perjalanan sejarah umat Islam. Walaubagaimanapun, sebahagian ulama' agung dalam kalangan Hanabilah masih berpegang dengan aqidah ahlus-sunnah seperti Imam Ibn Al-Jauzi sendiri dan sebagainya. [7]
Amat malang bagi sesetengah lepasan Al-Azhar yang sanggup mengkhianati AlAzhar, tempat di mana mereka mengambil ilmu suatu ketika dahulu, sehingga sanggup memperkecilkan manhaj Al-Asya'irah dan tidak bersikap berdiam diri takkala manhaj AlAsya'irah diperkecilkan dan dikritik, sedangkan Al-Azhar sendiri berpegang dengan manhaj Al-Asya'irah dalam bab aqidah. [8]
Kecuali universiti-universiti dan madrasah-madrasah di Arab Saudi yang bercanggah dengan aqidah ahlus-sunnah al-asya'irah dan al-maturidiyyah. Mereka mendakwa berpegang dengan aqidah Imam Ahmad bin Hanbal r.a. padahal Imam Ahmad bin Hanbal tidak pernah menetapkan tempat bagi Allah s.w.t., sedangkan manhaj mereka (yang mengajar di kebanyakkan madrasah dan universiti di Arab Saudi) menetapkan tempat bagi Allah dengan mendakwa Tuhan berada di atas langit dek kejahilan mereka dalam berinteraksi dengan nas-nas mutasyabihat secara sahih. [9]
[10]
Seperti yang didakwa oleh sesetengah penuntut ilmu terutamanya di Arab Saudi
Bahkan pada ketika itu, tidak pernah wujud golongan yang dikenali sebagai salafiyah seperti yang dikenali pada hari ini yang bertindak melawan kesesatan golongan penentang sunnah di masa tersebut. [11]