Archive for the 'Alam Sekitar' Category Kesedaran Alam Sekitar Untuk Generasi Ketiga Thursday, April 23rd, 2009 Hari ini saya telah diamanahkan untuk menyampaikan ceramah berkaitan alam sekitar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahuddin Seksyen 2 Shah Alam. Pihak syarikat tempat saya bekerja telah dijemput oleh pihak penganjur iaitu Persatuan Alam Sekitar Selangor bagi menyampaikan ceramah bertajuk Kesan Pencemaran Sungai Terhadap Proses Rawatan Air Di Loji Air Sg Semenyih. Buat pertama kali saya diberi peluang untuk berceramah kepada masyarakat luar yang terdiri dari pelajar-pelajar sekolah dan guru-guru. Saya menggunakan kesempatan yang diberikan untuk menyampaikan ceramah dengan sebaik mungkin serta berusaha menjawab persoalan-persoalan yang diutarakan oleh para pelajar dengan sejelas mungkin dengan harapan ia dapat menanamkan kesedaran mengenai kepentingan sungai sebagai sumber air minum di Selangor khasnya. Selesai sesi ceramah, wartawan dari Akhbar Sinar Harian telah menemuramah saya mengenai isu kepentingan penjagaan sungai dan isu pengggunaan alat penapis air di rumah-rumah. Tahniah diucapkan kepada penganjur program iaitu Persatuan Alam Sekitar Selangor, begitu juga pihak sekolah serta semua agensi kerajaan seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) serta syarikat saya yang turut serta menjayakan usaha murni ini demi memastikan alam sekitar terus terpelihara dan dicintai oleh generasi ketiga yang terdiri dari kanak-kanak dan remaja. Cintailah Alam Sekitar yang kita kongsi bersama generasi seterusnya. Ingatlah bahawa tugas memelihara alam yang indah ini adalah amanah dari Allah yang perlu dilaksanakan oleh kita semua sebagai hamba dan khalifahNya didunia. Amalkan amalan mesra alam seperti kitar semula, mengurangkan pembaziran tenaga elektrik dan air serta mengurangkan penggunaan plastik dalam amalan harian. “Alam Sekitar Terpelihara, Hidup Sejahtera”.
Posted in Alam Sekitar | No Comments »
Dialog Alam Sekitar Wednesday, October 8th, 2008
Minggu hadapan 14 Oktober 2008 syarikat tempat saya bekerja akan menganjurkan program dialog dengan pihak pengurusan industri/kilang yang berpotensi mencemarkan sumber air di kawasan tadahan Sg Semenyih. Program ini adalah hasil kerjasama antara syarikat kami dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Kajang. Seperti biasa saya diamanahkan untuk menerajui projek ini bermula dengan perbincangan awal dengan pihak JAS, menyediakan bahan taklimat dan juga ucapan aluan Pengurus Besar Operasi syarikat. Oleh kerana ketua seksyen saya masih dalam cuti sakit maka saya juga diamanahkan untuk menyampaikan taklimat dan bersedia untuk berdialog dengan wakil pengurusan industri. Semoga program dialog ini nanti akan berjalan lancar dan turut menyumbang kepada pemuliharaan sumber air di kawasan tadahan Sg Semenyih Berikut adalah sebahagian teks ucapan yang telah di karang untuk program tersebut. ————————————————————————————Sebagaimana kita sedia maklum air merupakan keperluan asas dalam kehidupan manusia, binatang dan tumbuhan. Tanpa air maka sukar untuk kita semua meneruskan kehidupan di mukabumi ini. Justeru semua pihak wajar memelihara sumber air agar tidak tercemar dan tidak boleh digunakan sebagai sumber air minum. Kita juga sedia maklum bahawa kemajuan dan kepesatan pembangunan sesebuah negeri dan negara pasti memberi kesan kepada sumber air. Kawasan tadahan air semakin berkurang dan tercemar akibat aktiviti penerokaan tanah untuk projek perumahan, penternakan, pengorekan pasir, tapak pelupusan sampah dan sebagainya. Pertumbuhan kawasan industri di kawasan tadahan turut berpotensi menjadi antara punca pencemaran air jika tidak dikawal oleh pihak berkuasa. Kewujudan kawasan-kawasan perumahan baru berhampiran sungai juga akan menambahkan risiko pencemaran sungai melalui loji-loji kumbahan jika tidak diselenggara dengan baik. Sukar untuk kita menghalang kemajuan dan pembangunan di kawasan tadahan kerana ia bersifat ‘push and demand’. Apa yang boleh dilakukan hanyalah perancangan yang mengambilkira faktor alam sekitar sebelum pembangunan dilakukan dan kawalan pencemaran alam sekitar yang berterusan selepas sesuatu kawasan dibangunkan. Pepatah ada menyatakan Mencegah lebih baik dari Mengubati atau ‘prevention is better than cure’. Justeru untuk mengubati/mengawal pencemaran sungai/sumber air bukanlah sesuatu yang mudah. Kesan langsung dari pencemaran sungai tidak begitu dirasakan sehinggalah orang ramai terputus bekalan air secara tiba-tiba apabila loji rawatan air terpaksa ditutup akibat pencemaran air mentah/sungai. Statistik pencemaran sungai dan penutupan loji menunjukkan peningkatan sekitar tahun 2001-2006 dan menurun mulai tahun 2007-2008. Loji Air Sg Semenyih terpaksa ditutup sebanyak 11 kali untuk tempoh antara tahun 2001-2006 (2002 -1 kes, 2003 – 3 kes, 2004 – 2 kes, 2005 – 1 kes dan 2006 – 4 kes). Bagi tahun 2007-2008 setakat ini tiada kes penutupan loji akibat pencemaran.
Antara kemungkinan faktor utama pengurangan masalah pencemaran ialah penguatkuasaan yang berkesan dengan penubuhan cawangan Jabatan Alam sekitar Kajang dan juga Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Cawangan Hulu Langat. Syabas dan tahniah diucapkan atas usaha-usaha yang dilakukan oleh JAS dan LUAS dalam memastikan sumber air terus terpelihara. Sebagai pihak yang terlibat secara langsung dengan sumber air sungai/mentah dalam merawat air tersebut supaya bersih dan selamat digunakan maka pihak kami telah menubuhkan Seksyen Sumber Air & Kawalan Kualiti pada tahun 2003 di Loji Air Sg Semenyih bagi memantau air mentah di kawasan tadahan dan melaporkan sebarang pencemaran kepada pihak JAS dan LUAS untuk tindakan selanjutnya. Selain penguatkuasaan, kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan sumber air amatlah penting terutama di kalangan pihak yang berpotensi mencemarkan alam sekitar amnya dan sungai khasnya. Justeru dengan program dialog seumpama ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab semua pihak agar tidak memandang mudah isu alam sekitar dan pencemaran sungai yang akan memberi impak ekonomi dan sosial yang besar kepada lebih sejuta penduduk di Selatan Selangor termasuk Putrajaya, Cyberjaya dan KLIA yang menerima bekalan air dari Loji Air Sungai Semenyih. Sehubungan itu pihak industri dan pengendali loji rawatan kumbahan domestik serta pihak berkuasa tempatan yang mengendalikan pelupusan sisa pepejal perlu melaksanakan tanggungjawab bersama untuk menjaga sumber air mentah di kawasan tadahan Sg Semenyih agar tidak tercemar akibat pelepasan effluen yang tidak dirawat dengan sempurna di premis masing-masing. Pihak kami juga berharap kerjasama yang erat dengan JAS dan LUAS khasnya akan berterusan dalam menangani masalah pencemaran sumber air di kawasan tadahan Sg Semenyih pada masa akan datang.
Pemandangan indah Empangan Semenyih yang mendamaikan Posted in Alam Sekitar | No Comments »
Peliharalah Sumber Air Kita Friday, June 6th, 2008 Dalam kehangatan isu kenaikan harga minyak mungkin ramai yang tidak menyedari tentang sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia semalam 5 Jun 2008. Justeru saya ingin menulis sedikit pengalaman saya tentang alam sekitar berdasarkan pengalaman bekerja dalam bidang pengurusan dan rawatan air selama lebih 13 tahun.
Dalam ruangan Minda Lestari Berita Harian 4 Jun 2008 Prof. Datuk Zaini Ujang, Timbalan Naib Canselor (Akademik) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut menyentuh tentang pengurusan air di Malaysia. Saya sependapat dengan beliau bahawa kos rawatan air akan terus meningkat dan membebankan pengguna jika sumber air di kawasan tadahan tidak dipelihara dan diuruskan dengan baik. Orang ramai terutama di negeri yang maju seperti Selangor mungkin tidak menyedari bahawa sumber air utama yang diproses di Loji Pembersihan Air datangnya dari beberapa sungai utama seperti Sg Selangor, Sg Langat dan Sg Semenyih. Sungai-sungai ini semakin terancam dengan berbagai pembangunan seperti projek perumahan, perindustrian dan penternakan yang ‘tidak mesra alam sekitar’. Alhamdulillah beberapa isu telah dapat diselesaikan setelah media mendedahkan isu penternakan khinzir dan tapak pembuangan sampah di kawasan tadahan Sg Semenyih beberapa tahun lalu. Kini yang masih membimbangkan ialah pencemaran dari kawasan industri. Ini kerana walaupun Jabatan Alam Sekitar mempunyai Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 namun pemantauan tidak mampu dilakukan 24 jam. Kilang-kilang biasanya melepaskan effluen tidak terawat diluar waktu bekerja iaitu waktu malam dan hujung minggu. Beberapa penduduk kampung di sekitar kawasan Industri Beranang dan Nilai pernah mengadu kepada saya tentang hal tersebut ketika kami melakukan persampelan air di Sg Beranang dan Sg Batang Benar yang merupakan antara anak Sg Semenyih. Sg Semenyih merupakan sungai utama yang membekalkan air mentah kepada Loji Pembersihan Air Sg Semenyih yang terletak di Presint 19 Putrajaya yang mempunyai rekabentuk memproses air sebanyak 545 juta liter air sehari. Air yang diproses dibekalkan kepada lebih sejuta penduduk di sekitar Selatan Selangor yang semakin pesat membangun termasuk Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Baru Bangi, Serdang, Kuala langat dan Sepang. Sebelum ini saya pernah mencadangkan 10 cara menangani isu alam sekitar dan disiarkan oleh Berita Harian. Hari ini saya ingin menambah beberapa cadangan lagi iaitu pemasangan CCTV di tempat effluen di keluarkan oleh kilang yang berpotensi mencemarkan alam sekitar. Dengan itu pemantauan boleh dilakukan sepanjang masa oleh pihak JAS. JAS juga wajar memberi respon yang segera dan mempunyai unit pemantau 24 jam bagi mengambil tindakan jika terdapat aduan orang ramai. Galakan dalam bentuk hadiah wang mungkin boleh diberikan kepada orang ramai yang membuat aduan pencemaran alam sekitar. Moga dengan itu sumber air akan semakin terpelihara. Alam Sekitar Terpelihara.. Hidup Sejahtera Di Bumi Tercinta Posted in Alam Sekitar | 6 Comments »
Demi Cintaku Padamu
Monday, November 26th, 2007 Aku tak menyangka aduanku berharga setinggi itu. Aku mengadu atas dasar sesuatu yang suci dan segar telah dinodai. Sudah lama aku melihat peristiwa itu tetapi aku masih sabar hinggalah saat kesabaranku tidak mampu dibendung lagi. Semuanya berlaku ketika aku dalam perjalanan menuju sebuah tempat dalam tanggungjawabku di sebuah Empangan. Kira-kira 1 kilometer lagi untuk sampai ke lokasi aku melihat parit itu yang pekat dengan tanah merah mengalir ke sungai yang bersih dan segar lagi menyejukkan. Lalu aku terus menelefon pihak berkuasa iaitu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) cawangan Hulu Langat. 30 minit selepas itu kami bertemu dan berjaya memasuki Tanah Perkuburan Nirvana Kristian yang disyaki membuang lumpur merah yang pekat itu. Hasil tinjauan kami mendapati kawasan hutan yang luas telah digondolkan lalu bakal dijadikan tanah perkuburan kristian nirvana. Pintu masuknya kelihatan begitu indah dan menarik tetapi rupa-rupanya kerja-kerja penerokaan tanah itu dilakukan dengan sambil lewa lalu mencemarkan sungai yang masih suci di bahagian hulunya. Hasil aduanku kepada pihak atasan melalui Ketua Pegawai Operasi kami akhirnya menyebabkan satu notis saman dikeluarkan oleh pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada 16 November 2007 lalu mengarahkan agar kerja-kerja tanah itu dihentikan dalam tempoh seminggu atau saman bernilai RM 500,000 atau penjara 10 tahun akan dikenakan kepada pencemar tersebut. Aku tidak menyangka betapa berharganya aduanku itu. Segala yang ku lakukan ikhlas ‘demi cintaku padamu’ iaitu salah satu unsur alam ini (air) agar ia tidak dinodai dan dicemar sesuka hati. Posted in Alam Sekitar | No Comments »
Hukuman Penjara Menanti Pencemar Friday, August 10th, 2007 Hukuman penjara mandatori terhadap mereka yang terlibat mencemarkan alam sekitar menerusi pindaan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (AKAS), semakin hampir untuk dikuatkuasakan. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Azmi Khalid berkata, pindaan itu sudah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan kini sedang diperhalusi oleh Dewan Negara sebelum dibawa untuk ditandatangani oleh Yang di Pertuan Agong dan dikuatkuasakan. Di bawah akta ini, semua pihak yang terlibat, dari pemilik syarikat, tuan tanah sehingga ke pemandu lori yang didapati bersalah membawa dan membuang sisa toksik akan dikenakan hukuman penjara mandatori.
Azmi berkata, apabila pindaan akta itu dikuatkuasakan kelak, ia dijangka dapat menghalang mereka yang tidak bertanggungjawab daripada mencemarkan alam sekitar dan seterusnya membendung masalah pencemaran ekosistem sungai dan habitatnya Disunting dari Mingguan Malaysia 15 Julai 2007 Posted in Alam Sekitar | No Comments »
Antara El nino, La nina dan Newater Mana Satu Pilihan Anda Friday, February 23rd, 2007 “Fenomena El nino yang diramalkan berlaku tahun ini kemungkinan besar tidak ‘jadi’ berdasarkan data-data terbaru dari Jabatan Kajicuaca Malaysia” begitulah kenyataan akhbar Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi di muka depan sebuah akhbar arus perdana pada awal minggu ini. “Di Selangor ni kita dah minum newater” begitulah kata-kata ‘jenaka sinis’ seorang pegawai kanan Jabatan Alam Sekitar ketika kami ingin sama-sama menaiki lif selepas menghadiri Mesyuarat ‘Persediaan Menghadapi El nino’ di Lembaga Urus Air Selangor(LUAS) Shah Alam minggu lepas. Hampir sebulan tanda-tanda kemarau atau nama barunya ‘el nino’ menjelma menyebabkan air sungai berkurang lalu menyebabkan proses pencairan (dilution factor) turut berkurang. Air dari loji kumbahan dan longkang yang mengalir ke sungai akan mengotorkan sungai yang merupakan sumber utama air minum di Negara kita. Mungkin ramai masih merasakan bahawa ‘ayor dalam bosi’ yang diminum datang terus dari kawasan empangan, jernih bersih dan segar. Mungkin 10-20 tahun dahulu fenomena itu benar tetapi kini semua itu hanya tinggal kenangan. Dengan kemajuan pesat di Negeri Selangor maka banyak kawasan perumahan, perbandaran dan industri kecil di bangunkan di sepanjang sungai. Air kumbahan dan efluen dari kawasan tersebut mengalir ke sungai dan diproses kembali di loji pembersihan air yang terletak di ‘downstream’. ‘Newater’ singkatan nama dari ’new water’ telah diperkenalkan di Singapura beberapa tahun yang lalu bagi mengatasi kekurangan sumber air di Negara tersebut. Saya berkesempatan melawat sebuah loji Newater di ‘Kota Singa’ itu dua tahun lalu. Sebelum itu saya agak ‘geli’ dengan newater tetapi setelah melihat sendiri proses di loji tersebut maka saya dapat simpulkan newater tersebut adalah lebih bersih berbanding ‘newater’ di Selangor. Semasa pulang saya telah menerima cenderahati sebotol air ‘newater’ sebagai kenangan yang kini masih ada tersimpan dalam ‘muzium’ di tempat kerja saya.
Ini adalah kerana air kumbahan di sana diproses sehingga peringkat ‘ultra filtration’ atau ‘reverse osmosis’ sebelum dilepaskan ke kolam semulajadi seperti tasik dan empangan sebelum diproses semula di loji pembersihan air. Sedangkan kita di sini hanya melalui beberapa peringkat ‘biological treatment’ di IWK lalu dilepaskan kembali ke sungai. Maka dapat saya simpulkan memang benar kata-kata Pegawai JAS tersebut tetapi benar bersyarat iaitu jika ‘el nino’ melanda. Alhamdulillah dua tiga hari ini nampaknya El nino seperti malu untuk menjelma dengan kehadiran hujan atau nama barunya ‘La nina’. Bila hujan kembali membasahi bumi setelah sebulan merajuk pergi suasana kembali segar dan nyaman menggantikan panas yang membahang. Lalu dalam kesempatan cuti panjang tahun baru cina itu saya dan anak-anak sempat menikmati curahan ‘air dari langit’ dengan ‘bermain hujan’ sambil membersihkan halaman dan longkang.
Akhirnya sempat juga saya melihat titis-titis hujan yang ditinggalkan di dedaunan dan ranting bagaikan mutiara seperti lirik lagu allahyarham Sudirman.. “ hujan yang turun bagaikan mutiara..”