Uitmstss

  • Uploaded by: Ngan Ling
  • 0
  • 0
  • October 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Uitmstss as PDF for free.

More details

  • Words: 5,653
  • Pages: 10
IMPAK PEMBANGUNAN TERHADAP KUALITI AIR DI HILIR SUNGAI KERIAN, PERAK

Mohd. Azlan Abdullah Sarimah Binti Saad Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, FSSK, UKM, 43600 Bangi, Selangor

Abstrak: Kawasan hilir Sungai Kerian merupakan sebuah kawasan yang mengalami proses pembangunan sektoral yang dinamik. Pembangunan yang berlaku di kawasan ini bukan sahaja bersifat tempatan malah turut dipengaruhi oleh kawasan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT). Oleh itu pertumbuhan sektor industri, perkhidmatan, perdagangan dan perumahan amat menggalakkan. Dari aspek yang lain, pembangunan ini sedikit sebanyak telah menghasilkan kesan negatif kepada alam sekitar khasnya kualiti air Sungai Kerian. Kertas ini berminat membincangkan impak pembangunan terhadap kualiti air sungai serta pengurusannya di bahagian hilir Sungai Kerian. Analisis data primer yang melibatkan parameter DO, BOD, COD, SS, NH3-N, suhu, pH dan E.Coli berpandukan IKAN bersama data sekunder menunjukkan bahawa kualiti air di bahagian hilir Sungai Kerian boleh dikategorikan sebagai sederhana tercemar. Walaupun pada amnya kualiti air sungai ini agak selamat, tetapi kemerosotan kualiti air sungai ini akan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa jika usaha awal pengurusan dan perancangan pembangunan tidak dilakukan pada masa kini. Masalahnya, pengurusan kualiti air sungai di kawasan ini amat kompleks memandangkan lokasi kawasan kajian melibatkan tiga pihak pentadbiran negeri iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang. Keadaan ini seringkali mencetuskan konflik di dalam pengurusannya. Justeru itu ia memerlukan satu bentuk pengurusan yang bersepadu dan mantap. Usaha ini perlu diwujudkan secara berterusan supaya pembangunan yang dilakukan itu tidak akan menjejaskan kehidupan manusia serta alam sekitar.

Katakunci: Pembangunan, pencemaran air dan pengurusan.

PENGENALAN

Isu pencemaran air sebenarnya sudah lama wujud seiring dengan proses pembangunan negara. Pada peringkat awal pembangunan, pencemaran daripada sektor pertanian khasnya kilang memproses kelapa sawit dan getah mendominasi pencemaran air di Malaysia. Misalnya pada tahun 1976, sebanyak 42 batang sungai di Semenanjung Malaysia dianggap tercemar, 16 sungai mula tercemar dan tujuh sungai mempunyai potensi untuk dicemari. Keadaan ini semakin serius pada tahun 1980-an apabila aktiviti pembangunan semakin pesat berkembang meliputi penerokaan tanah baru, sektor pembuatan, perkilangan, pembinaan dan infrastruktur. Pada tahun 1987, daripada 37 batang sungai yang dimonitor oleh Jabatan Alam Sekitar, empat batang sungai didapati amat tercemar, sementara tiada sungai yang dianggap bersih (Jamaluddin 1996). Pada tahun 1990-an pula, konflik antara proses pembangunan dan isu alam sekitar semakin ketara. Mengikut laporan Jabatan Alam Sekitar, pada tahun 1992, daripada 87 sungai yang dimonitor, sebanyak 4 batang sungai amat tercemar, 44 sederhana tercemar dan 37 bersih. Pada tahun 1997, jumlah sungai tercemar di Malaysia meningkat dua kali ganda berbanding tahun 1996 di mana jumlah sungai yang bersih telah berkurangan dari 42 kepada 24. Pada tahun 1998 pula, jumlah sungai bersih berkurangan kepada 33 buah, 71 buah sungai mengalami pencemaran yang sederhana serta 16 buah sungai tercemar (termasuk sungai Miri/Lutong, Balok, Merbok, Air Baloi, Buloh, Dangas, landas, Jimah, Kelang, Juru, Segget, Tukang Batu, Sepang, Kempas dan Sungai Pinang) (Jabatan Alam Sekitar 1993; 1997; 1998; 1999). Keadaan bertambah buruk apabila hutan di kawasan tadahan dimusnahkan untuk tujuan pembalakan dan pertanian yang akhirnya mempengaruhi sumber dan bekalan air domestik (Jamaludin Md. Jahi 2001). Dalam tempoh 1997-1998 krisis alam sekitar iaitu jerebu dan defisit bekalan air bersih barangkali telah menyedarkan banyak pihak bahawa pembangunan yang tidak terancang akan mengancam alam sekitar serta penghidupan manusia sendiri.

Seminar kebangsaan Sains, Teknologi & Sains Sosial, Kuantan, 27 & 28 Mei, 2002

1

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini telah dijalan pada November, 2001 menggunakan dua sumber data utama iaitu pencerapan di lapangan dan pengumpulan data sekunder dari Jabatan Alam Sekitar Malaysia dan Alam Sekitar Malaysia Sdn Bhd. (ASMA). Pencerapan di lapangan melibatkan parameter DO, BOD, COD, SS, NH3-N, suhu, pH dan E.Coli di sembilan stesen yang telah ditetapkan. Kemudian beberapa sampel air dianalisis di makmal. Pencerapan persampelan air dilakukan di bahagian hilir Sungai Kerian antara Bandar Parit Buntar, Perak hingga ke perkampungan nelayan di muara Sungai Udang, Seberang Perai Selatan. Data primer dianalisis berpandukan Indeks Kualiti Air Negara (IKAN) untuk mendapatkan status kualti air Sg. Kerian. Sementara penggunaan data sekunder pula bertujuan memberi gambaran menyeluruh terhadap aspek pencemaran air di lembangan Sungai Kerian. Kawasan kajian terdiri daripada tiga daerah pentadbiran yang meliputi tiga negeri iaitu Daerah Kerian (Perak), Daerah Bandar Baharu (Kedah) dan Daerah Seberang Perai Selatan (Pulau Pinang).

HASIL KAJIAN DAN PERBINCANGAN

Profail Pembangunan: Kawasan lembangan Sungai Kerian khasnya di bahagian hilir mengalami proses pembangunan yang pesat dalam usaha meningkatkan taraf hidup penduduk. Salah satu strategi yang dilakukan ialah dengan meningkatkan peranan bandar-bandar seperti Parit Buntar (Perak), Bandar Baharu (Kedah) dan Nibong Tebal (Seberang Perai Selatan) selain kawasan baru seperti Transkrian (Seberang Perai Selatan) dengan harapan bahawa bandar-bandar ini akan menjadi pusat pertumbuhan dan pemangkin pembangunan bagi kawasan tersebut. Asas perekonomian kawasan tersebut turut dimajukan meliputi sektor sekunder dan tertieri di samping sektor primer. Banyak kegiatan ekonomi baru dan berpotensi muncul seperti sektor perindustrian terutamanya dalam kategori Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan industri desa, sektor pelancongan yang berasaskan keindahan semula jadi dan pertanian dan juga sektor perdagangan dan perkhidmatan. Trend pembangunan yang berlaku sejak tahun 1990-an menunjukkan kecenderungan terhadap proses pembandaran dengan tumpuan kepada perkembangan petempatan bandar, industri dan perdagangan. Keadaan ini telah mewujudkan beberapa koridor pembangunan atau pusat pertumbuhan baru terutamanya di sepanjang Jalan Persekutuan dan Lebuh Raya Utara Selatan. Berdasarkan perkembangan ini tidak mustahil bahawa bandar-bandar seperti Bagan Serai, Parit Buntar, Bandar Baharu, Nibung Tebal dan Butterworth akan bergabung membentuk bandar metropolitan pada suatu masa nanti. Pada masa kini, bandar-bandar seperti Parit Buntar dan Nibung Tebal telah menjadi nadi pertumbuhan sektor perindustrian dan perdagangan, sementara bandar Bagan Serai dan Bandar Baharu menjadi pusat penyediaan perkhidmatan, institusi dan perumahan. Petunjuk ini boleh digunakan untuk melihat tahap pembangunan di kawasan ini berdasarkan aktiviti guna tanahnya. Dalam sektor perindustrian, aktiviti ini tertumpu di daerah Kerian dan Seberang Perai Selatan. Di Daerah Kerian kawasan perindustrian meliputi kawasan seluas 880.8 hektar dengan tumpuan kepada industri makanan dan minuman (41 %), industri kayu dan perabot (11 %), tekstil dan pakaian (9%), keluaran logam (8%) dan industri hasil getah (8%). Daripada 149 pertubuhan indsutri di daerah Kerian, sebahagian besarnya terletak di Parit Buntar (48 %) diikuti Kuala Kurau (21%), Bagan Serai (19%) dan Tanjung Piandang (11%) (Majlis Daerah Kerian 1998). Sementara di Seberang Perai Selatan pula, aktiviti ini tertumpu kepada industri berasaskan elektronik, tekstil dan pakaian, dan makanan. Perkembangan sektor industri di kawasan ini adalah lanjutan daripada koridor pembangunan industri Permatang Tinggi-Nibong Tebal meliputi Tasek, Simpang Ampat, Valdor, Sungai Baong, Batu Kawan, Nibong Tebal dan Bukit Panchur (Majlis Perbandaran Seberang Perai 1998). Letakan indsutri yang agak berselerak di kawasan ini telah mencetuskan konflik guna tanah dan alam sekitar. Aktiviti perdagangan juga berkembang pesat dengan tumpan kepada aktiviti pemborongan dan peruncitan. Parit Buntar dan Nibong Tebal telah menjadi pusat perdagangan utama bagi kawasan ini. Dalam sektor perumahan pula, aktiviti guna tanah ini mencatatkan perkembangan yang menggalakkan di Daerah Kerian dengan tumpuan di mukim Parit Buntar serta di daerah Seberang Perai Selatan. Misalnya pada tahun 2000 jumlah keseluruhan unit kediaman di Daerah Kerian ialah 36732 unit di mana 8,803 unit terletak di Mukim Parit Buntar. Perumahan di kawasan ini meliputi rumah jenis teres, sesebuah, berkembar dan perumahan awam yang dibangunkan oleh pihak kerajaan mahupun swasta. Manakala Seminar kebangsaan Sains, Teknologi & Sains Sosial, Kuantan, 27 & 28 Mei, 2002

2

perkembangan sektor perumahan di daerah Seberang Perai Selatan tertumpu di koridor Permatang Tinggi-Nibong Tebal. Misalnya dalam tahun 1995, jumlah unit kediaman di dalam Majlis Daerah Seberang Perai ialah sebanyak 142 172. Sektor pertanian merupakan kegiatan utama di bahagian hulu lembangan Sungai Kerian. Bagi daerah Bandar Baharu (di pertengahan lembangan Sg. Kerian) keluasan guna tanah ini mencapai 77.5 peratus pada tahun 1996 (Majlis Daerah Bandar Baharu 1996). Tumpuan diberi kepada penanamanan tanaman eksport khasnya getah dan kelapa sawit. Sektor pertanian semakin berkurangan di bahagian hilir lembangan Sungai Kerian kerana kepesatan aktiviti pembandaran dan perindustrian. Misalnya di Daerah kerian keluasan guna tanah pertanian hanya meliputi 41 % sahaja daripada keseluruhan guna tanahnya. Walaupun perkembangan sektor pertanian semakin merurun, namun terdapat kemajuan dalam sektor yang berasaskan agro pelancongan, penternakan dan akuakultur.

Status Kualiti Air Sungai Kerian: Jadual 1 di bawah menunjukkan ringkasan kualiti air di bahagian hilir Sungai Kerian yang telah dianalisis berdasarkan hasil pencerapan di lapangan meliputi lapan parameter. Parameter Oksigen Terlarut (DO) merupakan parameter yang merujuk jumlah kehadiran ogsigen yang terlarut di dalam air. Bekalan DO dalam air diperolehi melalui tindakan fotosintesis tumbuhan-tumbuhan akuatik seperti rumpair dan lumut. Sementara jumlahnya di dalam air bergantung kepada suhu air, kemasinan dan tekanan atmosfera. Kawasan yang mempunyai bekalan DO yang kurang menunjukkan air tersebut tercemar dan tidak sesuai bagi hidupan air yang sensitif. Kajian ini menunjukkan konsentrasi DO di kawasan kajian berada pada purata 2.33 mg/l lebih rendah daripada piawai sementara kualiti air Kelas III yang disarankan oleh Jabatan Alam Sekitar iaitu 3-5 mg/l. Keadaan ini menunjukkan bahawa terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada berkurangnya DO dalam air misalnya peningkatan suhu di bahagian muara hingga mencapai 30°C serta kegiatan bakteria pengurai aerobik dan anaerobik yang semakin giat (Kadaruddin 1998). Bagi kawasan ini, kehilangan DO dikaitkan dengan basuhan air dari tapak pelupusan sampah sarap. Apabila hujan lebat, tapak pelupusan yang sudah luput penggunaan ini akan mengalirkan bahan-bahan organik bersama sisa sampah ke dalam sungai seterusnya dimendapkan di dasar sungai. Bakteria pengurai terpaksa menggunakan oksigen dengan banyak untuk menguraikan bahan tersebut. Jadual 1. Purata kualiti air di bahagian hilir Sungai Kerian mengikut parameter yang diukur di lapangan. Stesen

DO BOD (mg/l) (mg/l) 1 1.03 0.48 2 2.16 2.08 *3 2.53 1.20 4 2.52 1.32 5 2.32 1.68 6 2.47 1.04 *7 2.80 1.60 8 2.69 1.68 9 2.48 3.52 Purata 2.33 1.62 Piawai 3-5 6 Sumber: Kerja lapangan 2001. *Stesen pemonitoran JAS

COD (mg/l) 70 70 60 64 137 53 66 86 77 75.89 50

SS (mg/l) 4.0 38.0 38.4 21.6 42.4 31.6 28.8 37.2 57.6 33.29 150

Suhu (°C) 28.50 27.26 27.18 27.41 27.42 27.66 27.68 29.60 28.55 27.91 Normal

pH (unit) 4.06 5.93 5.90 6.46 6.30 5.87 5.81 6.46 6.61 5.93 5-9

E.Coli (MPN/100ml) 0.0 0.0 0.0 0.0 0.0 2419.2 0.0 0.0 9.8 269.89 100

NH3-N (mg/l) 0.132 0.156 0.072 0.0 0.048 0.0 0.0 0.024 0.024 0.048 0.9

Permintaan Oksigen Biokimia (BOD) pula merupakan ukuran bahan organik yang boleh diurai oleh bakteria aerobik di dalam air. BOD ditentukan dengan mengira jumlah oksigen yang diperlukan oleh bakteria untuk mengurai bahan organik. Semakin banyak oksigen yang digunakan oleh mikro organisma untuk mengurai bahan ini di dalam air, semakin tinggi nilai BOD. Semakin tinggi nilai BOD semakin tinggi tahap pencemaran air dari segi kandungan organik di dalam air tersebut (Kadir Arifin & Ainon Hamzah 2001). Sekiranya nilai BOD melebihi 5.0 mg/l, keupayaan sungai menyangkal pencemaran adalah rendah dan boleh mengakibatkan kemudaratan kepada ekosistem sungai. Manakala BOD yang melebihi 10 mg/l pula boleh mengakibatkan masalah bau (Mohamad Ismail Yaziz 1993). Piawaian sementara air kelas III yang ditetapkan JAS, mestilah mencatat bacaan kurang daripada 6 mg/l. Seminar kebangsaan Sains, Teknologi & Sains Sosial, Kuantan, 27 & 28 Mei, 2002

3

Menurut Nemerow (1974), klasifikasi sungai yang sederhana tercemar mempunyai paras BOD antara 1.0 mg/l hingga 8.0 mg/l. Secara amnya, konsentrasi BOD menepati standard yang ditetapkan, dengan purata 1.62 mg/l di mana ia dikategorikan sebagai bersih. Bagi parameter Permintaan Oksigen Kimia (COD), ujian parameter ini dapat menentukan kemerosotan kualiti air akibat pencemaran bahan buangan (Manahan 1979). Ia juga boleh menentukan kekuatan organik air buangan dan pencemaran dengan mengukur kandungan oksigen yang diperlukan bagi pengoksidaan kimia bahan-bahan organik dalam air. Lazimnya nilai COD adalah lebih tinggi berbanding nilai BOD. Berdasarkan had piawai sementara kualiti air kelas III, JAS menetapkan nilai COD haruslah tidak melebihi paras 60 mg/l. Berdasarkan hasil kajian, konsentrasi COD di hilir Sungai Kerian mengatasi had piawaian kualiti air kelas III dengan purata 75.89 mg/l. Bacaan yang tinggi ini dikaitkan dengan kehadiran bahan organik dan bukan organik terlarut kesan aktiviti pembandaran, perindustrian, kumbahan domestik dan pertanian. Ia turut dikaitkan dengan kejadian tanah runtuh yang terdapat di sekitar tebing sungai sekaligus mendedahkan regolit pasir kepada badan air dan juga mungkin berpunca dari sisa air buangan perkampungan nelayan di tebing sungai. Nilai pH ialah ukuran aktiviti ion hidrogen dan merupakan logaritma salingan kepada kepekatan ion. Ia dapat menggambarkan beberapa ciri kualiti air seperti kehadiran asid karbonik bebas dan hidrogen sulfida bebas (Ahmad Ismail & Ahmad Badri Mohamad 1994). Piawaian sementara JAS kelas III menetapkan julat pH antara 5 hingga 9. Dalam keadaan air yang tidak tercemar, keasidan adalah disebabkan kehadiran asid karbonik dan asid organik yang terbit dari tanah, hutan paya bakau dan paya gambut. Kajian ini menunjukkan konsentrasi pH berada pada purata 5.93 iaitu keadaan berasid. Bacaan yang diperolehi menunjukkan bahawa nilai pH air meningkat apabila menghampiri muara sungai iaitu di stesen 8 dan 9. Keadaan berasid ini disebabkan penggunaan dan pembebasan karbon dioksida di dalam air serta pertambahan asid humik dan asid tanih yang terluluh larut daripada daun dan bahan organik di bawah permukaan air. Sementara itu, kandungan asid mineral kuat pula berpunca daripada pengoksidaan besi pirit, kandungan asam sulfat pada dasar tanah dan effluen industri. Tanah lempung sulfida yang terdapat di kawasan ini turut mempengaruhi nilai pH kerana sebatian sulfida akan teroksida apabila terdedah kepada udara bagi menghasilkan asid sulfurik. Di samping itu kadar kemasinan air yang semakin pekat apabila menghampiri laut terutamanya tindakbalas garam mineral karbonik akan mempengaruhi nilai pH air. Suhu memainkan peranan yang amat penting dan berpengaruh ke atas parameter kualiti air yang lain. Mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi piawaian A, nilai suhu yang dibenarkan adalah tidak melebihi 40°C (Rosli Mohamed Noor 1997). Bacaan suhu bagi semua stesen pencerapan berada pada purata 27.91°C iaitu keadaan normal. Bacaan suhu tertinggi dicatatkan di stesen 8 (29.60°C) dan terendah di stesen 3 (27.18°C). Suhu air sungai lazimnya lebih rendah di bahagian hulunya berbanding dengan bahagian hilir atau muara. Suhu berhubungan positif dengan DO di mana kenaikan suhu mampu meningkatkan kadar metabolik mikro organisma bagi proses penguraian menyebabkan berlakunya peningkatan keperluan oksigen terlarut di dalam air. Dalam kajian ini, bacaan suhu bagi setiap stesen adalah stabil kerana tiada perbezaan nilai yang ketara. Oleh itu, bahagian hilir Sungai Kerian bebas daripada pencemaran terma bersuhu tinggi. Pepejal terampai (SS) merupakan petunjuk pencemaran air yang sebahagian besarnya berpunca daripada efluen dan pembukaan kawasan baru selain aktiviti hakisan tanah secara semula jadi. Ia boleh hadir dalam bentuk zooplankton, mendakan, efluen domestik, efluen industri dan sisa flora dan fauna. Menurut piawaian JAS bagi air kelas III, kandungannya di dalam air mestilah kurang daripada 150 mg/l untuk rawatan air minuman. Berdasarkan hasil kajian, konsentrasi SS di hilir Sungai Kerian berada di bawah paras yang ditetapkan oleh JAS iaitu antara 4.0 mg/l hingga 57.6 mg/l atau dengan purata 33.29 mg/l. Keadaan ini disebabkan bahagian hilir sungai ini mempunyai kelebaran dan kedalaman yang lebih berbanding kawasan hulunya. Tambahan pula kecerunan sungai yang rendah menyebabkan tenaga air berkurangan untuk menggerakkan SS berikutan arus yang tenang. Dalam keadaan ini, kandungan SS yang biasanya terdiri daripada lumpur, pasir dan kelodak akan dimendapkan di dasar sungai. Secara mikro, bacaan SS di stesen yang berhampiran muara sungai agak tinggi berbanding stesen-stesen di bahagian hulunya. Bacaan tertinggi dicatatkan di stesen 9 iaitu 57.6 mg/l. Keadaan ini boleh dikaitkan dengan aktiviti penduduk nelayan setempat yang menggunakan bot. Kegeloraan yang diwujudkan oleh bot pada badan air mampu menggerakkan partikel SS pada dasar sungai. Selain itu kawasan ini juga mengalami penerobosan air laut apabila berlakunya air pasang menyebabkan sedimen dari laut di bawa masuk ke sungai. Namun apabila air surut, sungai menjadi kurang upaya untuk membawa kembali bebanan itu ke laut menyebabkan ia terkumpul di satu kawasan.

Seminar kebangsaan Sains, Teknologi & Sains Sosial, Kuantan, 27 & 28 Mei, 2002

4

Konsentrasinya Ammonia Nitrogen (NH3-N) di dalam air merupakan petunjuk pencemaran buangan organik, najis, efluen industri dan domestik ke dalam badan air yang menyebabkan berlakunya penyusutan oksigen, pengeluaran toksin dan pertumbuhan rumpai atau alga yang berlebihan. JAS telah menetapkan had piawai air kelas III bagi parameter ini ialah di bawah aras 0.9 mg/l. Kajian ini mendapati nilai NH3-N berada antara 0 mg/l hingga 0.156 mg/l atau purata 0.048 mg/l yang menggambarkan bahagian hilir Sungai Kerian tidak tercemar oleh parameter tersebut. Walaupun paras NH3-N berada di bawah piawaian, secara mikronya bacaan tertinggi dicatatkan di stesen 2 yang boleh dikaitkan dengan sisa kumbahan dan buangan domestik dan perindustrian serta penggunaan baja pertanian yang meluas di sekitar kawasan Parit Buntar. Keadaan ini menyebabkan berlakunya proses pengoksidaan biologi aerobik atau anaerobik terhadap bahan organik nitrogen seperti dalam bentuk protein, asid amino dan urea. Secara keseluruhannya, pola bacaan Ammonia Nitrogen menunjukkan penurunan apabila menghampiri muara Sungai Kerian yang boleh dikaitkan dengan kemasukan air dari Sungai Kecil serta pengrauh proses pasang surut sekaligus merendahkan nilai parameter ini melalui proses pencairan. Parameter Escherichia Coliform (E. Coli) pula merupakan petunjuk kehadiran bakteria koliform dan lazimnya dikaitkan dengan najis manusia. Najis manusia dewasa mengandungi kira-kira 2,000 juta bakteria koliform yang dikeluarkan dalam sehari. Terdapat dua jenis kumpulan besar koliform iaitu koliform najis (E.Coli) dan koliform bukan najis (Enterobakter) (Duncan Mara 1994). Punca utama kewujudannya ialah dari kumbahan domestik, industri dan sanitasi yang tidak mempunyai sistem rawatan yang sempurna. Jumlah E.Coli di dalam air dipengaruhi oleh kecerunan, arus, suhu, kedudukan tandas awam dan jenis sistem kumbahan yang digunakan. Piawaian had bersih sementara yang ditetapkan oleh JAS adalah 100 MPN/100 ml. Berdasarkan kajian ini, terdapat dua sampel air yang positif terhadap E.Coli iaitu di stesen 6 dan 9 dengan bacaan 2419.2 MPN/100 ml dan 9.8 MPN/100 ml. Bagi stesen 6, nilainya jauh melebihi piawaian yang ditetapkan disebabkan kumbahan domestik dan industri berhampiran yang dilepaskan ke Sungai Kecil seterusnya memasuki Sungai Kerian. Manakala bacaan di stesen 9 pula lebih rendah daripada piawaian memandangkan kawasan ini merupakan muara sungai yang mempunyai isipadu air yang lebih banyak.

Analisis Kualiti Air Berdasarkan Indeks Kualiti Air (IKA) dan Mengikut Sub Indeks Kualiti Air (SIKA): IKA ialah satu kaedah bagi menentukan kualiti air menggunakan sistem pangkat sama ada baik atau buruk. Kualiti air setiap parameter yang digunakan kemudiannya membentuk sub indeks bagi menggambarkan kualiti air bagi parameter itu sahaja. Nilai sub indeks ini diberi julat antara 0 hingga 100 di mana 0 dianggap paling buruk dan 100 dianggap paling baik. Kajian mendapati kualiti air di stesen 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8 dan 9 adalah dalam kategori sederhana tercemar (Jadual 2). Manakala nilai IKA di stesen 1 berada di dalam status tercemar disebabkan berlakunya basuhan tanih dari tapak pelupusan sampah yang sudah tamat penggunaannya di kawasan Dennistown, Parit Buntar. Longgokan sampah sarap ini melebihi ketinggian 5 meter dari aras bumi. Keadaan ini menjejaskan kualiti air sungai terutamanya apabila berlakunya hujan lebat yang mampu mengangkut partikel dan lechate memasuki sistem sungai. Jadual 2. Tahap pencemaran bagi setiap stesen di bahagian hilir Sungai Kerian Stesen IKA 1 57 2 62 3 69 4 71 5 62 6 71 7 70 8 69 9 66 Piawai IKA: > 80 Bersih; 60-80 Sederhana Tercemar & <60 Tercemar

Tahap Pencemaran Tercemar Separuh tercemar Separuh tercemar Separuh tercemar Separuh tercemar Separuh tercemar Separuh tercemar Separuh tercemar Separuh tercemar

Manakala pencemaran di stesen-stesen dalam kategori separuh tercemar kebanyakannya berpunca daripada proses pembangunan, pembandaran dan perindustrian yang mengeluarkan sisa pepejal mahupun sisa organik. Pada keseluruhannya, kualiti air sungai di bahagian hilir Sungai Kerian dianggap sebagai separuh tercemar dengan IKA antara 62 hingga 71. Seminar kebangsaan Sains, Teknologi & Sains Sosial, Kuantan, 27 & 28 Mei, 2002

5

Berdasarkan formula IKA, nilai Sub Indeks Kualiti Air (SIKA) dihasilkan berdasarkan tiga parameter utama iaitu BOD5, NH3-N dan SS (Jadual 3). Berdasarkan SIKA-BOD5, hanya satu daripada stesen yang dikaji berada di dalam kategori sederhana tercemar (SIKA-BOD5: 80 hingga 90) dan selebihnya dikategorikan sebagai bersih (SIKA-BOD5: 91 hingga 100). Jadual 3 : Sub indeks bagi parameter BOD5, NH3-N dan SS di hilir Sungai Kerian Stesen BOD5 Bersih Bersih Bersih Bersih Bersih Bersih Bersih Bersih Separuh tercemar

Sub Indeks NH3-N Separuh tercemar Separuh tercemar Bersih Bersih Bersih Bersih Bersih Bersih Bersih

SS 1 Bersih 2 Separuh tercemar 3 Separuh tercemar 4 Bersih 5 Separuh tercemar 6 Bersih 7 Bersih 8 Bersih 9 Tercemar Sumber: Kerja lapangan 2001. Piawai: BOD (>90 Bersih; 80-90 Tercemar; < 80 Amat Tercemar); NH3-N ( >35 Bersih; 20-35 Tercemar; <20 Amat Tercemar); SS (>75 Bersih; 70-75 Tercemar; <75 Amat Tercemar) Bagi parameter NH3-N pula, dua stesen dikategorikan sebagai sederhana tercemar (SIKA-AN: 71 hingga 91) dan tujuh stesen selebihnya adalah bersih (SIKA-AN: 92 hingga 100). Manakala bagi parameter SS pula, satu stesen dikenal pasti sebagai tercemar (SIKA-SS: 0 hingga 69), tiga stesen adalah sederhana tercemar (SIKA-SS: 70 hingga 75) dan lima stesen dalam keadaan bersih (SIKA-SS: 76 hingga 100). Secara keseluruhannya sub indeks bagi ketiga tiga parameter adalah di dalam keadaan bersih.

Punca Pencemaran Air Sungai Kerian: Punca pencemaran air di kawasan kajian terdiri daripada dua kategori utama iaitu sumber berpunca dan sumber tak berpunca. Sumber berpunca terhasil melalui aktiviti industri, efluen domestik dan kawasan penternakan. Manakala sumber tak berpunca terdiri daripada larian air permukaan yang melalui kawasan pertanian dan bandar, kawasan pembangunan, atmosfera dan pengairan. Sistem kumbahan yang tidak sempurna di kawasan kajian menyebabkan berlakunya kemerosotan kualiti air dari aspek BOD, COD dan E.Coli. Kebanyakan taman perumahan tidak mempunyai sistem pembentungan dan pengolahan yang sempurna sebelum dialirkan ke sungai. Selain itu penggunaan tangki septik dan tangki curah memburukkan keadaan kerana hanya terdapat satu sahaja sistem mekanikal yang meliputi proses enapcemar teraktif di kawasan ini. Dijangkakan jumlah pertambahan air kumbahan akan mencapai 43645 m3 sehari pada tahun 2010. Oleh yang demikian, sistem tangki septik dan kolam perlu dinaiktarafkan kepada sistem mekanikal berudara seperti ‘activated slude’ atau ‘modified imhoff tank’ dan sistem pembentungan berpusat (komunal). Jumlah air kumbahan dan beban pencemar yang dihasilkan di kawasan ini ialah 31059 m3 sehari dengan beban BOD sebanyak 7000 kg sehari (Majlis Daerah Kerian 1998). Selain itu industri pertanian terutama kilang kelapa sawit dan getah merupakan punca pencemaran air yang utama di kawasan kajian terutamanya dari segi BOD dan COD. Letakan industri yang berjajar dengan sungai memburukkan lagi keadaan sungai kerana sebahagiannya terdiri daripada industri haram yang tidak mempunyai sistem rawatan efluen. Terdapat kira-kira 70 buah industri yang beroperasi di luar zon perindustrian di sekitar kawasan Parit Buntar yang berasaskan kerja-kerja besi, bengkel, kilang plastik, kilang perkakas, bahan bukan logam dan industri yang berasaskan tangkapan laut. Di samping itu, aktiviti penternakan khinzir terutamanya di sekitar Nibong Tebal dan Dennistown, Parit Buntar yang terterletak berhampir dengan Sungai Kerian turut menyumbang pencemaran air dari segi BOD, DO, NH3-N dan E.Coli. Penggunaan baja dan racun makluk perosak seperti DDT di ladang-ladang pertanian juga menghasilkan peningkatan konsentrasi NH3-N di dalam badan air.

Seminar kebangsaan Sains, Teknologi & Sains Sosial, Kuantan, 27 & 28 Mei, 2002

6

Pengurusan sisa buangan pepejal juga tidak memuaskan di kawasan kajian. Misalnya di Parit Buntar terdapat sesetengah perumahan seperti di Taman Damai, Taman Sri Wangsa dan Taman Kerian tidak mempunyai tempat pembuangan sampah yang khusus dan saliran yang baik. Longgokan sampah ini akan diangkut ke dalam sungai apabila berlakunya hujan lebat. Lokasi tapak gerai yang terletak di pinggir Sungai Kerian memburukkan lagi keadaan kerana segala sisa dan hasil pembersihan penyelenggaraan makanan dialirkan terus ke dalam sungai. Selain itu tapak pelupusan sampah secara ‘control tipping’ di kawasan Dennistown, Parit Buntar tidak selamat dan mendatangkan masalah bau busuk dan seterusnya menjejaskan kualiti air sungai apabila 'lechate' memasuki sistem sungai. Selain itu sistem pelupusan sampah secara longgokan dan pembakaran terbuka di tapak pelupusan sekitar Bandar Baharu turut memburukkan kualiti alam sekitar (Majlis Daerak Bandar Baharu 1996). Penjanaan sampah sarap di kawasan ini khasnya bandar dan kediaman dijangka meningkat daripada 94 tan sehari pada tahun 1995 kepada 156 tan sehari pada tahun 2010. Manakala sampah sarap dari kawasan perdagangan dan perindustrian dijangka bertambah daripada 12 tan sehari pada tahun 1995 kepada 41 tan sehari menjelang 2010 (Majlis Daerah Kerian 1998). Di Seberang Perai Selatan jumlah penjanaan sisa pepejal akan terus meningkat daripada 23 tan sehari pada tahun 1990 kepada 77 tan sehari pada tahun 2010 (Majlis Perbandaran Seberang Perai 1998). Oleh itu tapak pelupusan yang ada sekarang perlu dinaikkan taraf agar mampu menampung isipadu sisa buangan berkenaan pada masa depan. Kualiti air di kawasan ini juga turut dipengaruhi oleh aktiviti pembangunan tanah seperti projek-projek perumahan dan infrastruktur. Kerja-kerja tanah ini telah menyediakan beban kelodak sekaligus meningkatkan kandungan SS di dalam badan air. Tambahan pula, terdapat sesetengah pemaju tidak menyediakan kolam pemendakan untuk menghalang kelodak mengalir keluar dari tapak pembangunan. Larian air semasa hujan lebat akan mengangkut bersamanya regolit tanih yang terdedah dan seterusnya dimendapkan di dasar sungai. Walau bagaimanapun pembangunan tanah di kawasan ini masih terkawal.

CADANGAN STRATEGI PENGURUSAN PENCEMARAN AIR LEMBANGAN SUNGAI KERIAN

Pencemaran air di kawsan ini wujud akibat ketidakseimbangan pembangunan dan langkah-langkah pengurusan alam sekitar. Dalam usaha mengawal pencemaran air, beberapa strategi dicadangkan seperti berikut bagi mengekalkan keseimbangan antara pembangunan dan keharmonian alam sekitar. i.

Meminimumkan sisa buangan: Meminimumkan sisa buangan dilihat berdasarkan pengurangan konsentrasi dan jumlah bahan buangan ataupun mengurangkan sejumlah ketoksikan di dalam bahan buangan terutamanya efluen industri melalui pengawalan sumber dan program kitar semula. Antara pendekatan yang boleh dilaksanakan ialah menempatkan semula beberapa peralatan pengeluaran seperti tangki bilasan, melengkapkan peralatan kawalan pencemaran yang baru di samping menggunakan semula air dalam proses tertentu. Bagi industri yang mengeluarkan sisa kumbahan, bahan berbahaya dan toksik, pakatan kerjasama perlu dalam membina loji rawatan air kumbahan di mana ia dirawat terlebih dahulu melalui proses penapaian, penyulingan, pengoksidaan dan sebagainya sehingga memenuhi piawaian yang ditetapkan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sebelum ianya disalirkan ke dalam sungai.

ii.

Menempatkan semula industri haram atau tidak tersusun: Pola susunan industri yang berselerak dan beroperasi secara haram di kawasan ini telah menyukarkan pengawalan pencemaran air. Oleh yang demikian pihak berkuasa tempatan (MDK,MDBB dan MPSP) perlu menyusun semula penempatan industriindustri berkenaan bagi mewujudkan guna tanah yang sistematik dan terancang. Dalam hal ini beberapa insentif perlu diberikan kepada pihak industri berkenaan seperti pemberian pampasan dan pengecualian cukai bagi proses pemindahan danpengezonan semula gunan tanah.

iii.

Pengawalan guna tanah dan pengawalan punca pencemar bukan poin oleh Pihak Berkuasa Tempatan: Perancangan gunatanah oleh pihak berkuasa tempatan penting dalam mengawal pencemaran air melalui perancangan yang teliti dan penggubalan undang-undang kecil berkaitan. Selain itu Pihak Berkuasa Tempatan perlu mewujudkan sistem rawatan kumbahan terpusat, sistem pelupusan sisa pepejal dan sistem pengairan yang baik dan cekap. Zon-zon industri harus diletakkan jauh sumber air agar efluen industri berkenaan tidak memasuki sistem sungai. Pemaju-pemaju projek pula disyaratkan untuk melakukan

Seminar kebangsaan Sains, Teknologi & Sains Sosial, Kuantan, 27 & 28 Mei, 2002

7

penanaman tutup bumi, peneresan cerun dan pembinaan kolam takungan sedimen di kawasan pembinaan untuk mengurangkan aliran mendakan tanih memasuki sungai. iv.

Konsep pembangunan sisi hadapan sungai: Pembangunan sisi hadapan sungai boleh melibatkan pembangunan bahagian sisi di sepanjang sungai ataupun di muara sungai dengan tujuan meningkatkan nilai estetika. Antara perkara yang boleh diterapkan ialah pembinaan taman rekreasi, penyewaan bot, kedai kraftangan dan sebagainya di mana hasil kutipan digunakan untuk penyelenggaraan sungai. Bagi mengelak berlakunya pencemaran, bangunan yang didirikan khasnya gerai-gerai makan harus ditempatmkan lebih jah dari tepi sungai di samping menyedikana sistem pengurusan sisa buangan yang sempurna.

v.

Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS)-ISO 14000: Sistem ini mula menjadi piawaian antara bangsa sejak tahun 1996 dalam usaha menyeragamkan sistem pengurusan alam sekitar yang boleh diterima pakai oleh semua negara di dunia. Ia merupakan suatu sistem yang terancang dan mengandungi dasar organisasi, audit alam sekitar, penilaian prestasi alam sekitar, analisis kitar hidup, perlabelan alam sekitar dan penilaian semula aspek pengurusan. Perlaksanaan piawaian ini oleh individu sememangnya mendatangkan pelbagai faedah kepada proses kawalan alam sekitar secara umum dan pencemaran air secara khusus. Ia melibatkan kawalan dari peringkat awal pemprosesan bahan mentah sehinggalah produk tersebut sampai kepada pengguna yang melibatkan penggunaan bahan mentah yang sesuai, penggunaan tenaga yang efisyen serta rawatan sisa yang ideal. Konsep ‘source reduction’ dititikberatkan di mana ia mementingkan penggunaan semula sisa untuk proses pengeluaran lain yang sesuai. Keberkesanan pelaksanaan sistem ini dilihat berdasarkan kejayaan mengurangkan tenaga, ketoksikan sisa dan jumlah sisa yang mematuhi standard yang ditetapkan. Sistem ini mampu diterapkan bagi kawasan tempatan seperti lembangan Sugai Kerian

vi.

Pelancongan sebagai konsep dan kod perilaku mesra alam: Pelancongan di lembangan Sungai Kerian mampu meningkatkan kesedaran orang awam untuk menghargai khazanah alam. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah seperti Boat Joy-Ride, Nature Trail dan Fishing Trip. Kod perilaku ini melibatkan pelancong atau pengguna perkhidmatan, pemaju projek, usahawan industri pelancongan, pihak kerajaan dan orang ramai amnya. Panduan perilaku ini boleh dilakukan melalui peringatan dan papan tanda yang diletakkan di tempat awam dan tempat khusus seperti hotel, khemah, bot, arah jalan dan sebagainya. Tujuannya ialah sebagai peringatan dan kawalan pencegahan dengan menyenaraikan tindakan mesra alam. Antara ungkapan yang praktik adalah seperti, "Tetamu yang dihormati, Kami menulis kepada anda untuk mengajak anda menyertai usaha kami bagi memelihara alam sekitar. Terima kasih kerana menyokong kami untuk menjimatkan air, tenaga dan mengurangkan penggunaan bahan kimia bagi mewujudkan alam sekitar yang harmoni".

v.

Penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS): Sistem maklumat geografi merupakan suatu perisian yang dicipta sebagai alat yang menggunakan data yang merujuk kepada koordinat spatial atau geografi dan digunakan untuk memperagakan data. GIS menyimpan maklumat dalam bentuk peta tematik yang boleh diunjurkan bersama peta spatial. Kekuatan GIS terletak pada keupayaannya untuk memperagakan maklumat secara spesifik yang diperlukan pada satu-satu ketika. Contohnya pengguna boleh melihat peta yang menunjukkan kedudukan industri dari sungai dan sistem saliran yang ada di sesebuah kawasan. Namun perisian ini tidak akan berfungsi tanpa data yang diperolehi dari agensi kerajaan dan kerajaan tempatan (Ahmad Fariz Mohamed 1999). Namun penggunaan GIS masih terhad dalam program pencemaran air di mana ia hanya tertumpu di sesuatu kawasan sahaja berdasarkan data dari agensi kerajaan atau penyelidik perseorangan. Keperluan penggunaannya dilihat berdasarkan kemampuannya membuat pemodelan bagi menentukan jumlah bahan cemar yang dijangkakan untuk tempoh sepuluh tahun akan datang ataupun menentukan kesesuaian kegunaan industri sekarang dan perancangan untuk pembangunan industri di masa hadapan. Oleh itu, ia dapat membantu agensi kerajaan dalam program pengawalan pencemaran air sekaligus meningkatkan kecekapan pengurusan. Program ini sepatutnya diperluaskan ke peringkat kerajaan tempatan dan kerajaan negeri supaya tindakan pengawalan dan pencegahan dapat dilakukan.

vi.

Kesepaduan tanggungjawab antara pihak berkuasa tempatan / negeri: Oleh kerana lembangan Sungai Kerian dikongsi oleh tiga buah negeri iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang, maka adalah penting bagi ketiga-tiga pihak berkenaan menjalin hubungan dan menyelaras pengurusan alam sekitar secara bersepadu Seminar kebangsaan Sains, Teknologi & Sains Sosial, Kuantan, 27 & 28 Mei, 2002

8

agar tidak timbul konflik dan percanggahan tanggungjawab, akta dan peraturan yang digubal dan dikuatkuasakan. Sebuah jawatankuasa khas perlu diwujudkan melibatkan pegawai dari ketiga-tiga kawasan berkenaan bagi menyelaras tindakan dan aktiviti pengurusan yang hendak dilakukan.

KESIMPULAN

Kajian ini telah menunjukkan bahawa Sungai Kerian tergolong dalam kategori sungai yang sederhana tercemar. Keadaan ini sebenarnya disebabkan oleh proses pembangunan yang giat berlaku di sepanjang lembangan sungai tersebut terutamanya limpahan pembangunan dari kawasan utara dan selatannya. Di samping itu letakan Sungai Kerian antara tiga buah negeri mencetuskan persaingan dari segi pembangunan guna tanah sekaligus mewujudkan konflik pengurusan, konflik alam sekitar dan guna tanah. Walaupun proses pembangunan ini memberi banyak manfaat kepada penduduknya, namun pada masa yang sama telah mewujudkan impak negatif terhadap alam sekitar terutamanya pencemaran air. Sekiranya keadaan ini berterusan, bekalan sumber air bersih bagi kawasan ini kemungkinan akan terjejas malah terpaksa menanggung kos rawatan dan pemulihan air yang tinggi. Oleh itu bagi menjamin kualiti dan mutu sumber air sungai di kawasan ini kekal baik, langkah pengurusan dan pemuliharaan harus dilakukan. Pembanguan yang dilakukan seharusnya dirancang dengan teliti agar bersesuaian dengan konsep pembangunan lestari. Penguatkuasaan undang-undang dan peraturan tidak cukup bagi mendidik masyarakat umum khasnya ahli korperat yang mementingkan keuntungan, maka kerjasama dan kesedaran dari semua pihak amat diperlukan. Etika alam sekitar sepatutnya menjadi pegangan bagi memastikan agenda pembangunan berterusan dapat diwujudkan. Oleh itu, pengurusan yang bersepadu amat penting bagi mewujudkan mutu pengurusan kualiti air yang mantap di negara ini.

RUJUKAN

1.

Ahmad Fariz Mohamed.1999. Penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) di dalam program pengawalan pencemaran industri. Salam LESTARI, Februari: 5.

2.

Ahmad Ismail & Ahmad Badri Mohamad. 1994. Ekologi air tawar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

3.

Department of Environment. 1993. Environment quality report 1992. Kuala Lumpur: Ministry of Science, Technology and the Environment Malaysia.

4.

Department of Environment. 1997. Environment quality report 1995. Kuala Lumpur: Ministry of Science, Technology and the Environment Malaysia.

5.

Department of Environment. 1998. Environment quality report 1997. Kuala Lumpur: Ministry of Science, Technology and the Environment Malaysia.

6.

Department of Environment. 1999. Environment quality report 1998. Kuala Lumpur: Ministry of Science, Technology and the Environment Malaysia.

7.

Duncan Mara. 1994. Rawatan kumbahan dalam iklim panas. Terj. Mohd. Azraai Kassim, Mohd. Razman Salim & Mohd. Noor Othman. Sekudai: Unit Penerbitan Akademik UTM.

8.

Jamaluddin Md. Jahi. 1996. Impak Kebangsaan Malaysia.

9.

Jamaluddin Md. Jahi 2001. Pengurusan alam sekitar di Malaysia dari Stockholm ke Rio de Janero dan seterusnya. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

pembangunan terhadap alam sekitar. Bangi: Penerbit Universiti

10. Kadaruddin Aiyub. 1998. Pembangunan lembangan saliran Langat: Impaknya terhadap kualiti air. Dlm. Katiman Rostam, Abdul Rahim Md Nor, Junaidi Abu Bakar, Kadaruddin Aiyub & Mohd Ekhwan Toriman. Seminar kebangsaan Sains, Teknologi & Sains Sosial, Kuantan, 27 & 28 Mei, 2002

9

Pembangunan, pembandaran dan alam sekitar, hlm. 245-262. Bangi: Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan. 11. Kadir Arifin & Ainon Hamzah. 2001. Analisis pencemaran tinja di kawasan rekreasi Sungai Tekala dan Sungai Gabai, Hulu Langat, Selangor D.E. Kertas kerja seminar kebangsaan “Pengurusan persekitaran 2001, pembangunan semasa dan perancangan masa hadapan”. Program Pengurusan Persekitaran, Pusat Pengajian siswazah, Universiti Kebangsaan Malaysia. 12. Majlis Daerah Bandar Baharu. 1996. Rancangan Struktur Bandar Baharu 1990-2010. Majlis Daerah Bandar Baharu, Jabatan Perancang Bandar dan Desa. 13. Majlis Daerah Kerian. 1998. Draf Rancangan Tempatan Parit Buntar dan Bagan Serai 1995-2010. Majlis Daerah Kerian, Jabatan Perancang Bandar dan Desa. 14. Majlis Perbandaran Seberang Perai. 1998. Draf Rancangan Struktur (pengubahan). Majlis Perbandaran Seberang Perai, Jabatan Perancang Bandar dan Desa. 15. Manahan, S.E. 1979. Environmental chemistry. Ed ke 2. Massachusetts: Willard Grant Press. 16. Mohamad Ismail Yaziz. 1993. Sumber air dan pengurusannya di Malaysia. Dlm. Sham Sani, Abdul Samad Hadi & Jamluddin Md Jahi (pnyt.). Alam sekitar dan pengurusannya di Malaysia. hlm. 27-29. Bangi: UNESCO/UKM. 17. Nemerow, N.L. 1974. Scientific stream pollution analysis. Washington: Scripte Book Company. 18. Rosli Mohamed Noor. 1997. Tingkat kualiti air dan punca-punca pencemaran di bahagian hulu Sungai Langat (Ulu Pangsoon hingga perumahan West Country). Latihan ilmiah. Jabatan Geografi. Universiti Kebangsaan Malaysia (tidak diterbitkan).

Seminar kebangsaan Sains, Teknologi & Sains Sosial, Kuantan, 27 & 28 Mei, 2002

10

Related Documents

Uitmstss
October 2019 29

More Documents from "Ngan Ling"