Jelaskan tentang kaedah ‘top-down’ dan ‘bottom-up’. Model ‘top-down’ Model ini merujuk kepada pandangan oleh Goodman (1967) yang menyatakan pembaca membawa bersama mereka pengetahuan, jangkaan, andaian dan soalan pada teks dan memberikan pemahaman yang asas berhubung dengan perbendaharaan kata. Mereka membaca sehinggalah jangkaannya diperakukan. Model ini mencadangkan pemprosesan teks bermula dalam minda pembaca. Menurut perspektif ini, pembaca mengenal pasti huruf dan perkataan hanya bagi memastikan andaian yang dibuat ke atas isi kandungan teks itu wujud. Pengkaji bersetuju pemahaman adalah asas bagi kemahiran mengekodkan grafikyang terdapat dalam teks. Makna dibawa ke dalam teks dan bukannya berpunca daripada cetakan teks itu. Model ini menghuraikan beberapa perkara penting sebagi panduan. Antaranya ialah : a) Model ini menegaskan perkara atau makna yang pembaca bawa pada teks yang dibaca. b) Menyatakan pembaca membaca teks dengan dipandu oleh makna. c) Timbul daripada aspek keseluruhan teks pada bahagian-bahagian yang akhirnya mewujudkan makna. d) Dikenali juga sebagai model ‘Dalam ke Luar’, ‘Berpandukan Konsep’ atau ‘Keseluruhan ke Bahagian’. Frank Smith merumuskan terdapat beberapa ciri yang berkaitan dengan model membaca ini iaitu : a) Membaca bukan hanya mengekodkan bahasa tulisan pada bahasa lisan b) Membaca tidak melibatkan memproses setiap huruf dan setiap kata. c) Membaca adalah proses membawa makna dalam teks dan bukannya mengeluarkan makna daripada teks bacaan.
Matlamat model membaca ini mementingkan pembinaan makna bagi memberikan tindak balas daripada teks. Ini memerlukan penggunaan pembacaan secara interaktif dengan menggunakan grafemik, sintaksis dan isyarat semantik bagi membina makna. Selain daripada itu, model ini menganjurkan aktiviti membaca bersifat interaktif iaitu seseorang yang menggunakan teks yang dicetak sebagai input dan makna sebagai hasil. Di samping itu, pembaca juga menetapkan input semasa berinteraksi dengan teks. Model ‘Bottom-up’ Model ini dibincangkan dengan meluas oleh beberapa pengkaji. Antaranya adalah Gough (1972, 1985) iaitu tokoh utama teori ini. Model ini menyatakan
individu
memulakan proses membaca apabila matanya mengenal pasti maklumat visual yang tertera dalam teks yang dibaca melalui suatu siri perlakuan yang berurutan. Berdasarkan dapatan pemerhatian, tumpuan mata pembaca ke atas teks menghala kepada maklumat secara relatif. Gough juga mengandaikan bagi setiap penetapan membaca teks, masa yang diambil oleh seseorang pembaca adalah 100 milisaat bagi memproses 15 sehingga 20 huruf dan ruang sebelum maklumat bagi penetapan seterusnya diproses. Pemprosesan bergerak secara linear, iaitu dimulai degan mengecam huruf, mengekodkan pada tahap fonem, mengecam perkataan-perkataan dan akhirnya hubunga sintaksis dan semantik. Ini bermakna maklumat yang baru diterima sebelum itu ditransformasikan dan direkodkan selanjutnya. Bagi menginterpretasikan dan memahami ayat, pembaca perlu memproses huruf, perkataan, frasa, klausa dan ayat secara berturutan bagi mendapatkan makna teks. Keadaan ini kelihatan menyusahkan kerana tidak melihat kepentingan peranan pengetahuan lalu pelajar dalam membina makna. Walau bagaimanapun, model ini sangat berguna dalam usaha menghuraikan tabiat membaca bagi kebanyakan pembaca bahasa pertama dan kedua yang lemah. Golongan pembaca itu lebih memfokuskan tahap perkataan bagi teks daripada makna secara global.