Langkah pertolongan cemas
Dalam apa saja situasi kecemasan, beliau mengingatkan umum supaya sentiasa memastikan diri dalam keadaan selamat, jauh daripada sebarang ancaman atau risiko yang boleh memburukkan lagi keadaan. Sentiasa beri perhatian kepada langkah berikut:
1. Sekiranya kejadian berlaku akibat kebakaran, bawa mangsa keluar daripada tempat terbakar. Jika keadaan tidak mengizinkan, penyelamat tidak seharusnya masuk ke kawasan terjejas.
2. Jika ada api atau haba panas, alihkan sumber berkenaan dari tubuh mangsa. Contohnya, jika baju terbakar, buka baju mangsa. Terdapat beberapa kaedah yang boleh dilakukan untuk membantu memadamkan kebakaran pada baju mangsa. Satu daripadanya adalah teknik ‘Stop, Drop and Roll’ (berhenti, jatuhkan tubuh dan berguling)
Mangsa perlu berhenti bergerak untuk mengelak risiko api marak. Kemudian, jatuhkan diri dengan selamat ke tanah atau lantai dan berguling untuk memadamkan api. Pastikan teknik ini dilakukan dengan selamat dan tidak mencederakan bahagian tubuh lain termasuk muka.
3. Sejukkan kawasan terbakar atau melecur dengan menggunakan air bersih. Pilihan terbaik adalah air paip atau sumber air bersih yang mengalir. Jika tidak ada, gunakan air botol. Lalukan air ke atas kesan lecur atau terbakar.
Langkah ini penting untuk mengurangkan kesan kerosakan akibat adanya tenaga haba di dalam kulit yang terbakar. Dalam situasi ini, usah gunakan ais untuk menyejukkan kerana ia boleh merosakkan lagi sel kulit.
4. Selepas dicuci, sapu krim rawatan terbakar dan balut menggunakan kain bersih. Pilihan terbaik adalah kain kasa atau plastik pembungkus makanan. Elakkan menggunakan tuala, tisu atau kapas kerana fabrik sebegini cenderung melekat di kawasan terbakar. Apabila luka kering, ia lebih sukar untuk dibersihkan.
Hospital atau klinik?
Ramai yang mungkin tertanya-tanya sama ada mereka perlu merujuk ke hospital terus atau singgah dulu di klinik untuk melihat sama ada kesan terbakar memerlukan rawatan lanjut.
Ada juga yang memilih klinik walaupun mengalami kesan lecur teruk kerana takut ditahan di wad, dimomokkan dengan pelbagai risiko jangkitan serta kaedah rawatan menyakitkan.
Pokok pangkalnya, kita perlu ke hospital jika mengalami kecederaan dalam, teruk atau diklasifikasikan sebagai tahap tiga. Antara tanda-tanda lain yang perlu dirujuk terus ke hospital apabila:
a. Kesan kecederaan membabitkan wajah, kemaluan, jari kaki atau tangan.
b. Mengalami kesan kebakaran mengelilingi badan atau anggota.
• Dalam kes sebegini, pembentukan parut boleh menyekat pergerakan saraf dan darah jika kesan kebakaran berlaku di bahagian anggota. Mangsa juga mungkin tidak dapat bernafas dengan baik jika berlakunya pembentukan parut di sekeliling dada (boleh mengganggu proses pernafasan).
c. Mangsa yang terbakar dalam umur kurang 10 tahun atau lebih 50 tahun.
• Kumpulan umur ini lebih terdedah kepada kesan yang lebih teruk.
d. Kebakaran berpunca daripada bahan kimia atau elektrik.
• Dalam kes kebakaran elektrik, selain kecederaan kebakaran, mangsa mungkin mengalami masalah denyutan jantung.
• Bagi kes membabitkan bahan kimia, ia perlu dirujuk kerana sifatnya yang mungkin sangat menghakis.
e. Kebakaran membabitkan bahagian muka
• Tanda-tandanya boleh dilihat apabila terbakar bulu kening, bulu mata atau bulu hidung. Apabila ada tanda begini, mangsa mungkin mengalami masalah saluran pernafasan dalam waktu terdekat. Hal ini boleh berlaku disebabkan saluran pernafasan membengkak sehingga mengganggu fungsi pernafasan.
Jika mangsa hanya mengalami kecederaan kecil, dia mungkin boleh merawat sendiri di rumah. Tetapi, pastikan kes itu dirujuk sekurang-kurangnya ke klinik berhampiran jika terdapat tanda jangkitan terhadap kesan terbakar.
“Ia mungkin bermula dengan kemerahan, bernanah, demam dan sakit berpanjangan. Jadi, dapatkan pemeriksaan lanjut dan ubat tahan sakit. Sekiranya wujud gelembung, jangan pecahkan. Rujuk doktor di klinik untuk rawatan segera.
“Gelembung yang dipecahkan sendiri boleh mendatangkan risiko jangkitan, seterusnya memburukkan lagi keadaan mangsa, khususnya mereka yang mempunyai sejarah penyakit berbahaya,” katanya.
Kata Dr Shahrul, satu persoalan yang jarang ditanya umum, tetapi penting untuk diketahui semua adalah mengenai kiraan peratus terbakar pada tubuh mangsa.
“Satu tapak tangan mangsa bersamaan satu peratus kawasan kecederaan tubuh akibat melecur atau terbakar. Jadi, sama ada merujuk hospital atau klinik, ia bergantung kepada saiz kecederaan mengikut ukuran tapak tangan mangsa itu sendiri.
“Bagi orang dewasa, kesan kecederaan melebihi 15 peratus sudah dianggap serius dan mereka perlu ke hospital. Mangsa kanak-kanak pula perlu dirujuk ke hospital apabila kecederaan lebih 10 peratus (kiraan mengikut saiz tapak tangan mangsa). Jika kesan terbakar lebih daripada 30 peratus, ia dikira kebakaran teruk atau parah,” katanya.
Jauhi mitos
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya meninggalkan pelbagai amalan dan petua yang kononnya mampu mengurangkan kesan terbakar atau melecur dialami mangsa.
“Usah gunakan telur, kicap, kopi, ubat gigi, tepung, minyak atau apa saja cadangan tidak munasabah sebagai rawatan awal terbakar. Jangan gunakan ais hanya kerana bersandarkan teori ‘mampu menyejukkan’ kerana ia akan merosakkan lagi sel kulit.
“Tidak digalakkan menggunakan cecair alkohol untuk bersihkan kawasan terbakar kerana ia boleh menyebabkan kecederaan lebih buruk pada sel-sel yang sudah rosak. Kaedah terbaik adalah menggunakan air bersih sebagai rawatan awal,” katanya.
Tip pencegahan
1. Pastikan keselamatan terutama jika kanak-kanak berada di dapur.
2. Pastikan pemegang periuk tidak menghala keluar sehingga mudah dicapai kanak-kanak.
3. Pastikan alas meja tidak boleh dicapai kanak-kanak.
4. Simpan pemetik api dan mancis di tempat selamat.
5. Pastikan wayar elektrik tidak dapat dicapai kanak-kanak.
6. Pastikan peti pertolongan cemas sentiasa dalam keadaan lengkap. Periksa alatan seperti kain kasa, krim rawatan terbakar dan pembalut luka ada.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 3:19 PM
2019 © Harian Metro. New Straits Times Press
Melecur akibat periuk panas, tertumpah air panas mahupun simbahan minyak umpama mimpi ngeri buat ibu bapa terutama jika mangsa anak sendiri atau keluarga terdekat. Dalam situasi ini, sesiapa saja mudah panik. Apalagi jika berdepan insiden kebakaran besar, renjatan elektrik dan sebagainya.
Sekalipun risiko melecur atau terbakar ini diketahui boleh berlaku di mana-mana dan tanpa mengira masa, masih ramai yang enggan mengambil tahu kaedah rawatan kecemasan terbaik untuk membantu mengurangkan beban kesakitan dihadapi mangsa.
Paling tidak, mereka menerpa ke sinki untuk menyejukkan kesan terbakar. Itu memang langkah tepat, tetapi langkah kecemasan seterusnya yang menentukan sama ada mangsa mampu pulih dengan cepat atau mungkin berdepan risiko jangkitan lebih besar.
Menurut Pensyarah Kanan Perubatan dan Pakar Perubatan Kecemasan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Shahrul Nizam Ahmad Zamzali, melecur atau terbakar antara insiden yang kerap berlaku di rumah, terutama di dapur. Ia bukan saja berlaku disebabkan api, tetapi boleh jadi berpunca daripada cecair panas.
“Secara umumnya, kalau kita terkena air panas bersuhu 68 darjah Celsius selama satu saat sudah memadai untuk mendatangkan kesan kecederaan tahap satu terhadap kulit. Bagaimanapun, air yang kita minum seperti kopi, susu dan teh biasanya pada suhu sekitar 80 darjah Celsius. Sebab itulah melecur mudah terjadi,” katanya.
Tahap terbakar
Menjelaskan dengan terperinci, Dr Shahrul berkata, kulit manusia adalah organ penting yang berfungsi menghalang jangkitan dan melindungi cecair dalam tubuh.
“Ia terbahagi kepada tiga lapisan iaitu epidermis (lapisan kulit luar yang terdiri daripada beberapa lapisan sel), dermis (lapisan sebelah dalam kulit yang terdiri daripada saluran darah, tisu perantara dan lemak) dan hipodermis (lapisan sel kulit paling dalam yang terbentuk di bawah dermis).
“Apabila kecederaan terbakar atau luka berlaku, integriti kulit akan terganggu. Di situlah berlakunya kemasukan bahan bendasing dari luar sekali gus menyebabkan keluarnya air dari dalam badan,” katanya.
Bagi kebanyakan orang, kesan melecur atau terbakar mungkin dianggap sama. Asalkan merah, membentuk gelembung air dan mungkin terbakar, semuanya perlu dirujuk ke hospital. Di hospital, barulah kita mendengar penjelasan sama ada mangsa mengalami kesan terbakar tahap satu, dua atau tiga.
Sebenarnya, tidak sukar untuk kita mengenal pasti tahap kecederaan mangsa pada peringkat awal. Malah, jika setiap individu, khususnya ibu bapa mempunyai pengetahuan asas berkaitan insiden sebegini, ia mungkin mampu membantu mangsa melalui proses kesembuhan yang lebih pendek daripada biasa.
Kata Dr Shahrul, kesan kebakaran tahap satu biasanya membabitkan lapisan luar kulit sahaja. Antara tanda ketara adalah kulit menjadi merah. Keadaan ini lazimnya terjadi akibat selaran matahari atau berjemur di bawah cahaya terik terlalu lama.
“Kesan terbakar sebegini tidak memerlukan rawatan lebih lanjut. Mangsa mungkin berasakan permukaan kulit pedih sedikit, tetapi apabila lapisan epidermis bertukar baru, kesakitan itu akan hilang tanpa parut kekal.
“Berbeza dengan kebakaran tahap dua yang menjejaskan kawasan epidermis hingga ke sebahagian dermis. Kecederaan sebegini mungkin disebabkan air, wap panas, api atau minyak.
“Antara tandanya adalah sakit, kulit kemerahan dan adanya gelembung air (lepuh). Kecederaan tahap dua biasanya mengambil masa antara dua ke tiga minggu untuk pulih.
“Paling teruk jika mangsa mengalami kesan kebakaran tahap tiga. Kecederaan ini lebih dalam dan boleh menjejaskan ketiga-tiga lapisan kulit. Dalam keadaan ini, mangsa mungkin tidak lagi berasa sakit berikutan reseptor (tisu atau sel khusus yang peka terhadap rangsangan pada organ deria) sudah gagal menjalankan fungsinya. Kulit mangsa akan menjadi kering, garing dan kemungkinan ‘masak’.
“Tempoh pemulihan juga akan mengambil masa yang lebih panjang kerana epidermis dan folikel rambut sudah musnah. Dalam kebanyakan kes, pertumbuhan kulit baru akan menjadi lebih sukar atau mungkin tidak boleh,” katanya.