Soalan temubual : Puan Siti Hadalyhton binti Mokhtar (GPK Pentadbiran dan Kurikulum SKSP.) Tempoh perkhidmatan sebagai Pentadbir sekolah : 8 tahun
Pengalaman ringkas dalam bidang keguruan : Berkhidmat dalam bidang pendidikan selama 24 tahun. Mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni Visual Tahun 6. Menjadi Pk Hal Ehwal Murid selama 4 tahun dan Pk Pentadbiran selama 4 tahun hingga kini.
Soalan 1 : Pada pendapat puan, apakah ciri-ciri pemimpin akademik yang profesional ? Adakah ciri-ciri tersebut merangkumi elemen-elemen Tonggak 12 seperti menghargai masa, keseronokan bekerja, keutamaan kesabaran, kewajipan menjalankan tugas dan sebagainya. Jawapan 1 : Sudah semestinya seorang pemimpin akademik perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman supaya beliau mampu memimpin orang lain. Elemen Tonggak 12 pastinya menjadi pegangan dan panduan dalam memimpin. Elemen Tonggak 12 juga telah lengkap dijadikan panduan untuk seseorang menjadi insan yang komited dalam perkhidmatan. Contohnya menghargai masa, seseorang akan menjadi lebih komited dan efisyen sekiranya dia sentiasa mematuhi masa dalam apa jua tindakan yang perlu dilakukan.
Soalan 2 : Apakah isu dan cabaran yang dihadapi oleh puan berkaitan perundangan kerjaya guru? Contohnya, masalah salahlaku penjawat awam (dalam kalangan guru) seperti penyalahgunaan wang dan pemalsuan resit, tidak hadir tanpa sebab munasabah, keluar negara tanpa kebenaran KSU, terlibat dengan jenayah dan sebagainya. Kemudian, apakah tindakan yang dilakukan bagi mengatasi cabaran tersebut? Jawapan 2 : Buat masa ini saya belum pernah menghadapi masalah/kes yang berkaitan dengan perundangan. Untuk memastikan perkara ini, pihak pentadbiran perlulah sentiasa memberi peringatan kepada guru-guru tentang tatacara/SOP sesuatu tindakan yang perlu dilakukan. Guru-guru juga dingatkan untuk merujuk pekeliling dan surat siaran serta personel yang pakar dalam bidang tersebut agar
tindakan mereka mengikut SOP yang digariskan. Walau bagaimanapun, sekiranya perkara ini berlaku, pihak pentadbiran perlulah mengambil tindakan sewajarnya seperti merujuk pihak yang berkenaan seperti pihak Pejabat Pendidikan Daerah Dan Jabatan Pendidikan Negeri, Polis dan sebagainya mengikut kes.
Soalan 3 : Apakah peranan puan dalam pelaksanaan strategi PdPc yang inovatif dalam kalangan guru? Jawapan 3 : Saya sentiasa memberi galakan kepada guru-guru yang berminat seperti menggalakkan mereka menyertai pertandingan dan kursus. Selain itu, pihak sekolah juga sentiasa mengadakan kursus dalaman untuk guru-guru agar mereka sentiasa bersedia untuk membuat perubahan dan penambahbaikan pdpc mereka dari semasa ke semasa.
Soalan 4 : Adakah SK Seri Permaisuri pernah menyertai pertandingan inovasi ? Jika ya, apakah impak penyertaan pertandingan tersebut kepada pihak sekolah? Jawapan 4 : Ya. Pihak sekolah ada menghantar murid-murid untuk menyertai pertandingan inovasi yang diadakan di peringkat negeri. Selain itu, pihak sekolah juga telah terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi Pameran Pertandingan Inovasi dan Teknologi peringkat Kebangsaan selama 2 tahun berturut-turut ( tahun 2017 dan 2018 ). Pihak sekolah telah pun menggalakkan murid untuk hadir ke pameran dan pertandingan tersebut. Salah seorang guru SKSP juga telah menyertai dan memenangi pertandingan Inovasi di peringkat antarabangsa. Pastinya peluang ini memberi impak yang besar kepada murid dan guru untuk lebih berminat dalam bidang inovasi.