Sejarah

  • Uploaded by: artub anida
  • 0
  • 0
  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Sejarah as PDF for free.

More details

  • Words: 3,554
  • Pages: 14
ME 2733: Pengantar Arkeologi

BAB 2 SEJARAH PERKEMBANGAN ARKEOLOGI

OBJEKTIF -

Membincangkan sejarah perkembangan disiplin arkeologi dari tahap Purbawanisme hinggalah tahap Arkeologi Baru.

-

Melihat perubahan-perubahan utama dalam ilmu arkeologi sejak 300 tahun ianya diperkenalkan sebagai satu ilmu yang mengkaji masa lampau khususnya prasejarah manusia.

ME 2733: Pengantar Arkeologi

11

2.1 KEGIATAN PURBAWANISME SEBELUM ABAD KE 19 MASEHI Arkeologi telah berkembang dari satu kegiatan pengumpulan barangan antik dan ianya dikenali sebagai Purbawanisme. Catatan terawal tentang Purbawanisme ialah minat terhadap barangan antik Raja Babylon yang dikenali sebagai Nabonidus (555-539 Sebelum Masehi). Baginda telah mengalicari Kuil Naram-Sin hingga ke lantai asas yang dibina 2200 tahun sebelum pemerintahanya. Hasil dari penemuan galicari tersebut telah di tempatkan di sebuah muzium khas di kota Babylon. Di zaman pemerintahan Julius Caeser, askar Rom telah mengeledah kubur-kubur purba di tanah jajahan empayar Rom seperti di Itali dan Greece. Artifak seperti tempayan, senjata purba dan barangan gangsa telah curi dari kubur dan didagangkan di bandaraya Rom. Kegiatan ini merupakan contoh terawal kegiatan pemburuan harta karun dan perdagangan antik. Malah ianya tidak terhad kepada artifak sahaja tetapi juga barangan yang unik seperti tengkorak haiwan laut dan darat yang dianggap sebagai rangka raksasa oleh masyarakat ketika itu. Ini jelas di catatkan oleh Suetonius seorang sejarawan Rom yang menyebut tentang kegiatan pengumpulan barangan purba oleh Emperor Augustus. Di zaman Pertengahan (Abad ke 14 hingga 17 Masehi), masyarakat Eropah telah dilanda dengan perasaan ingin tahu dan minat untuk mengumpul barangan antik. Fenomena cabinets of curiosities ini telah menyebabkan mereka amat menghargai barangan antik purba dan sebarang spesimen ganjil dalam ilmu sains hayat. Golongan atasan dan para ahli gereja telah menggunakan barangan antik sebagai perhiasan rumah dan menjalankan perdagangan barangan antik. Antara mereka yang terlibat ialah seperti Paus Alexander VI dan Paus Sixtus IV yang telah menjalankan pengalian di tapak-tapak bersejarah di Pompeii dan Herculaneum, Thomas Howard yang menjelajah dan membeli barangan antik dari Itali, Mesir dan Timur Tengah, Claudius Rich pengumpul duit syiling, manuskrip dan tembikar purba di Baghdad serta Henry Crewick Rawlinson seorang pengumpul tulisan-tulisan purba yang menjelajah ke seluruh Iran.

Fenomena

cabinets

of

curiosities

yang

digambarkan pada Musei Wormiani Historia, 1655.

ME 2733: Pengantar Arkeologi

12

Penaklukan Napoleon ke atas Mesir dalam tahun 1789 telah memesatkan kegiatan Purbawanisme di utara Afrika khususnya sekitar Sungai Nil. Kegiatan Purbawanisme di Mesir dilakukan dengan cara yang merosakan seperti penggunakan bahan letupan untuk membuka tapak dan pemindahan tiang-tiang batu dan patung-patung ke Perancis. Seorang pengumpul terkenal yang dianggap sebagai wira pemburu harta karun di Mesir ialah Giovanni Belzoni (1778-1823) yang banyak menemui dan merompak kubur-kubur purba. Malah beliau sendiri mengakui kegiatan beliau sebagai perompak kubur dan barangan antik Mesir dalam buku beliau yang bertajuk Narrative of the Operations and Recent Within the Pyramids, Temples, Tombs and Excavation in Egypt and Nubia. Pada Abad ke 17 dan 18 Masehi juga bermulanya minat para sarjana Barat untuk mengkaji dan mengumpul artifak purba malah bukan hanya tertumpu kepada kebudayaan Rom dan Yunani tetapi juga kebudayaan temapatan mereka. Antaranya yang terkenal ialah William Camden (15511623), John Aubery (1626-1696), Edward Lhwyd (1660-1708), Henry Rowlands (1655-1723) dan Williem Stukeley (1687-1765). Tertubuhnya Dilettanti Society pada tahun 1714 yang diasaskan oleh Camden telah menjadikan kegiatan Purbawanisme di Britain lebih tersusun dan dilandaskan dengan pengkajian ilmiah. Pada tahun 1586, Camden telah menerbitkan buku bertajuk Britainia yang menyentuh tentang tapak-tapak purba di England. Beliau juga banyak menghasilkan laporan-laporan tentang kajian beliau mengenai syiling Rom dan tapak Megalitik Stonhenge di Avebury. Kajian terhadap tapak Megalitik di Avebury menurut konteks pengkajian arkeologi telah dimulakan oleh John Aubery dan telah menghasilkan buku mengenai kajian beliau bertajuk Monumenta Brittanicca. Kajian beliau diteruskan kemudian oleh Stukeley yang bertanggungjawab menengahkan kajian proto sejarah England.

Lakaran mengenai Stonehenge yang dihasilkan oleh William Stukeley pada Abad ke 18 Masehi. Seorang lagi tokoh Purbawanisme England abad ke 17 Masehi yang penting ialah Edward Lhwyd, kurator pertama Ashmolen Museum University of Oxford. Beliau telah banyak mengembara di seluruh England dan menerbitkan catatan-catatan tentang sejarah bahasa, barangan antik, adat-adat

ME 2733: Pengantar Arkeologi

13

kaum Driud, sains hayat dan tinggalan-tinggalan fosil di Britain di dalam buku Achaeology and Natural History of Celtic of Britain Island and France pada tahun 1699 dan Archaeologia Britannica pada tahun 1707. Rakan beliau iaitu Henry Rowlands juga telah mengkaji sejarah awal Britain dan menghasilkan penerbitan bertajuk Mona Antiqua Restaurata: An Archaeology Discourse on the Antiquities, Natural and Historical of the Isles of Anglesey, the Ancient Seat of the British Druids pada tahun 1723. Pada tahun 1784, galicari yang pertama di Amerika Syarikat telah dilakukan oleh Thomas Jefferson (1743-1826), Presiden Amerika Syarikat yang ketiga. Galicari tersebut dilakukan ke atas tapak burial mound di Virginia. Di Eropah hanya pada dekad pertama Abad ke 19 Masehi barulah wujud satu bentuk kajian dan galicari yang sistematik dilakukan. Kajian tersebut telah dilakukan oleh Richard Colt Hoare (1738-1838) ke atas burial mound di Selatan Britain.

Galicari awal oleh Richard Colt Hoare dan William Cunnington di Utara Stonehenge pada tahun 1805.

Umumnya kegiatan Purbawanisme lebih tertumpu kepada pengumpulan dan pengalian tapak arkeologi untuk tujuan mendapatkan barangan antik manakala aspek teoritikal dan metodologi kajian masih belum diutamakan atau diketengahkan

berbanding dengan perkembangan Arkeologi Lama

pada Abad ke 19 Masehi. Antara muzium yang menjadi tempat pameran barangan antik dari kegiatan ini ialah British Museum yang dibuka pada 15 Januari 1759 dan antara koleksinya ialah artifakartifak dari Mesir seperti mumia dan Batu Rosetta yang diperolehi pada tahun 1756 dan 1802, koleksi tempayan Yunani yang dibeli dari Sir William Hamilton pada tahun 1772, 1789 dan 1790 dan galeri koleksi peribadi terbesar barangan antik dari tamadun Yunani dan Rom milik Charles Townley yang dibuka pada tahun 1808.

2.2 PERKEMBANGAN ARKEOLOGI LAMA SEHINGGA TAHUN 1920 Pertengahan Abad ke 19 Masehi merupakan era kemunculan arkeologi sebagai satu disiplin ilmu yang dikenali sebagai Arkeologi Lama. Perkembangan ini telah diperkukuhkan dengan penerapan idea-idea revolusi dalam disiplin geologi yang dipelopori oleh para ahli geologi Britain dan Sistem Tiga Zaman yang diperkenalkan oleh C.J. Thomsen (1788-1865) seorang ahli arkeologi Denmark. Idea lapisan

ME 2733: Pengantar Arkeologi

14

tanah oleh ahli geologi James Hutton (1726-1797) dalam buku beliau bertajuk Theory of the Earth (1785) dan Charles Lyell (1797-1875) dalam bukunya Principles of Geology (1833)

telah

diaplikasikan dalam mengkaji perkembangan kepurbakalaan manusia. Idea perlapisan tanah ini membuktikan bahawa usia bumi jauh lebih lama berbanding dengan pandangan golongan Injil yang berpandangan bahwa kewujudan manusia ialah 4002 Sebelum Masehi. Pandangan awal yang membuktikan kepurbakalaan manusia jauh lebih lama dari 6004 tahun ialah oleh Jacques Boucher de Perthes (1788-1868) pada tahun 1841, berdasarkan pada penemuan alat batu dan tulang binatang yang pupus yang berada jauh di lapisan mendapan tanah banjir besar yang diceritakan dalam agama Kristian. Kajian berdasarkan lapisan tanah atau kajian stratigrafi telah diperkembangkan oleh William Smith (1786-1839) berdasarkan kajian beliau di Kents Cavern, England. Dalam mengkaji kepurbakalaan manusia, istilah prasejarah mula digunakan pada tahun 1865 oleh John Lubbock dalam bukunya Prehistoric Times. Idea ini juga telah mencetuskan teori evolusi oleh Charles Darwin (1809-1882) yang telah mengemparkan masyarakat dengan idea beliau tentang proses evolusi manusia daripada spesies primat primitif kepada manusia moden hari ini. Buku beliau bertajuk The Descent of Man yang diterbitkan pada tahun 1871 telah memberi implikasi yang besar dalam kajian asal usul manusia. Secara langsung idea beliau ini telah menyebabkan kajian terhadap kepurbakalaan manusia dilakukan berdasarkan tinggalan kebudayaan. Abad ini juga menyaksikan pelbagai kajian hasil dari penemuan tapak-tapak tamadun purba di Mesir, lingkaran kebudayaan Mediterannean, Mesopotamia, tamadun Maya di Mexico dan tamadun Aztec di Amerika Selatan. Antara sumbangan awal kajian arkeologi pada abad ini ialah seperti:1. Teknik pemahaman tulisan hieroglyphic berdasarkan kajian terhadap Batu Rosetta oleh Jeanfrancois Champollion (1790-1832) pada tahun 1822. 2. Penemuan ukiran-ukiran besar Assyrian dan perpustakaan kepingan-kepingan cunieform di Kuyunjik yang merupakan tinggalan tamadun Mesopotamia oleh Paul Emile Botta (18021870), Austen Henry Layard (1817-1894) pada tahun 1840an dan kajian lanjut oleh Henry Rawlinson (1810-1895). 3. Penemuan dan kajian terhadap tinggalan kebudayaan Maya di Yucatan Mexico pada tahun 1840an oleh John Lloyd stephens (1805-1852). 4. Galicari di tapak Awamoa di Utara Otago, New Zealand oleh seorang jurukur tempatan iaitu Walter Mantell pada tahun 1852. 5. Galicari ke atas tapak-tapak Haram ash-Sharif dan Kuil Herod di Juresalem oleh ahli arkeologi British iaitu Charles Warren pada tahun 1867.

ME 2733: Pengantar Arkeologi

15

6. James Dawson dan ahli arkeologi amatur Australia telah menjalankan galicari di salah sebuah Low Mound di Barat Victoria, Australia pada tahun 1869.

Tapak Wor Barrow, Cranborne Chase di Selatan England telah digalicari oleh Pitt-Rivers antara tahun 1887 hingga

1898

telah

dilakukan

bersesuaian dengan piawaian galicari arkeologi. Sumbangan terbesar dalam penyelidikan Arkeologi Lama ialah teknik galicari sistematik oleh General Agustus Lane-Fox Pitt- Rivers (1827-1900) ke atas tapak Wor Barrow, Cranborne Chase di Selatan England pada tahun 1887 hingga 1898. Beliau telah memperkenalkan teknik tinjauan dan teknik galicari yang teratur serta menghasilkan empat volume penerbitan yang menepati piawai penulisan disiplin arkeologi. Bermula dari tahun 1880an, kajian arkeologi dengan galicari yang lebih sistematik telah dilakukan oleh para ahli arkeologi Eropah dan Amerika Syarikat yang melibatkan pelbagai tahap prasejarah manusia dan di serata dunia. Usaha tinjauan dan galicari yang terkenal antara tahun 1880 hingga 1920 ialah:1. Tinjauan dan galicari ke atas tinggalan-tinggalan Perang Trojan di Turki dan Greece oleh Henrich Schliemann (1822-1890) pada tahun-tahun 1870an dan 80an. 2. Pada tahun 1880, Archaeological Institute of America telah menghantar Adolf Bandelier untuk melakukan tinjauan arkeologi ke atas tinggalan-tinggalan pribumi Indian di Arizona dan New Mexico. 3. Ahli arkeologi Jerman bagi pihak Berlin Kaiserliches Museum telah menjalankan galicari ke atas tinggalan-tinggalan monumen Megalitik di Pulau Easter pada tahun 1882. Ianya diikuti pula oleh ahli arkeologi Amerika Syarikat pada tahun 1886 dan seorang ahli arkeologi wanita Britain iaitu Katherine Routledge ketika Perang Dunia Pertama. 4. Galicari ke atas tapak-tapak kebudayaan Awal Mesopotamia dan Elamite di Selatan Iran oleh ahli arkeologi Perancis iaitu Marcel Dieulafoy antara tahun 1884 hingga 1886. 5. Galicari di tapak Parthenon di Athens yang dijalankan oleh ahli arkeologi Jerman iaitu Ludwig Ross antara tahun 1885 hingga 1891. 6. Galicari di tapak Babylon oleh ahli arkeologi Jerman juga iaitu Robert Koldeway antara tahun 1899-1917. 7. Galicari di tapak Kuil Ramesseeum di Thebes, Mesir oleh ahli arkeologi Yahudi British iaitu Flinders Petrie (1853-1942) pada tahun 1895.

ME 2733: Pengantar Arkeologi

16

8. John Marshal (1876-1958), Direktor General Archaeological Survey of India yang menjalankan banyak tapak di India antara tahun 1902 hingga 1936 antaranya ialah Tapak Bhita tinggalan Period Mauryan di Uttar Pradesh, India. 9. Galicari di tapak Atzcapotzalco, Mexico oleh Manuel Gamio pada tahun 1911. Tumpuan kepada kepada artifak dan bukan metodologi kajian telah menyebabkan perkembangan Arkeologi Lama sebelum tahun 1880an lebih banyak merosakkan tapak-tapak bersejarah khususnya di Mesir dan Mediterannean. Namun tidak dinafikan aktiviti-aktiviti yang menyerupai kegiatan pemburuan harta karun ini sedikit sebanyak membantu kepada pemantapan arkeologi lama khususnya selepas Perang Dunia Pertama. Antara sumbangan tersebut ialah kemunculan idea-idea baru tentang prasejarah manusia khususnya di Eropah, jumpaan artifak-artifak bernilai dan penemuan tapak-tapak utama tamadun awal manusia di Mesir, Eropah America Tengah dan Amerika Selatan antara tahun 1860 hingga 1920 yang dianggap sebagai the golden age of discovery dan tertubuhnya banyak muzium dan badan penyelidikan arkeologi di England, Jerman, Perancis dan Amerika Syarikat walaupun kebanyakan koleksinya merupakan penemuan para pemburu harta karun, rampasan perang dan dari tanah jajahan. Antara institusi atau perkumpulan penyelidikan arkeologi dan muzium yang ditubuhkan seiring dengan perkembangan ini ialah:1. 1844 – British Archaeological Association. 2. 1852 – Romisch-Germanisches Zentralmuseum. 3. 1855 – Smithsonian Institution, Washington DC. 4. 1866 – Peabody Museum, Harvard. 5. 1882 – Egypt Exploration Society. 6. 1882 – Naturhistorisches Museum, Vienna. 7. 1886 – Museum fur Volkerkunde, Berlin.

2.3 PERKEMBANGAN ARKEOLOGI LAMA ANTARA TAHUN 1920-1960 Selepas Perang Dunia Pertama, disiplin arkeologi mengalami perubahan yang drastik khususnya dalam teoritikal dan metodologi. Penemuan yang penting juga banyak dibuat dalam tempoh ini seperti kubur Tutankhamen, perkuburan Ur di Chalees dan gua prasejarah Lascaux. Dari segi teknik tinjauan pula, aplikasi fotoudara mula diperluaskan seperti oleh O.G.S Crawford yang menerbitkan buku Wessex from the Air dalam tahun 1928. Dari segi teknik galicari pula ianya lebih teliti, baik dari aspek pengalian, perekodan, ilustrasi dan interpretasi seperti yang ditekankan oleh Mortimer Wheeler pada galicari di tapak-tapak di selatan England dan utara Perancis antara tahun 1934 hingga 1937. Perkembangan kearah penyelidikan yang saintifik bermula antara tahun 1930an dan 1940an apabila pakar-pakar dari sains persekitaran terlibat dalam projek galicari di Britain dan Perancis.

ME 2733: Pengantar Arkeologi

17

Analisis debunga, perubahan cuaca, pertumbuhan hutan mula diambil kira dalam membuat interpretasi masa lampau. Seperti yang dilakukan oleh ahli botani Scandinavia iaitu Lennart von Post yang membangunkan teknik merekonstraksi tumbuh-tumbuhan purba dengan beredasarkan kajian debunga dalam tahun 1930an. Di Britain teknik ini telah diperkenalkan oleh Grahame Clarke dan pendekatan aspek ekonomi digunakan dalam memahami komuniti masyarakat prasejarah dalam tahun 1949 hingga 1951 pada galicari di tapak Star Carr, Yorkshire, utara England. Antara projek galicari yang telah memantapkan teknik-teknik pengalian ialah seperti di: 1. Tapak Lelang dan Kyongju di Korea oleh ahli arkeologi Jepun antara tahun 1910 hingga 1945. 2. Tapak Zhoukoudian dan Yangshao-cun di China oleh Johan Andersson dalam tahun 1921. 3. Tapak Devon Downs di Australia Selatan oleh Norman Tindale dalam tahun 1929. 4. Tapak Gua Tabun dan el Wad di Mount Carmel Palestine oleh Dorothy Garrod dan Dorothea Bate antara tahun 1929 hingg 1934. 5. Tapak Koln-Lindenthal, Jerman oleh Werner Buttler antara tahun 1931 hingga 1934. 6. Tapak terbuka Trelleborg, Denmark oleh Paul Norlund dalam tahun 1934. 7. Tapak Sutton Hoo di timur England oleh Charles Phillips dalam tahun 1939. 8. Tapak Little Woodbury di Selatan England oleh Gerhard Bersu antara tahun 1938 hingga 1939. 9. Tapak Harappa dan Mohenjo-daro di India oleh Daya Ram Sahni dalam tahun 1920, R.D. Banerji dalam tahun 1922 dan Mortimer Wheeler antara tahun 1944 hingga 1946. 10. Tapak Lembah Viru di Peru oleh Gordon Willey dalam tahun 1946. 11. Tapak Karanovo di selatan Bulgaria oleh Georgi Geogiev dalam tahun 1947. 12. Tapak Heuneburg di selatan Jerman oleh Kurt Bittel dalam tahun 1950. 13. Tapak Vix, Burgundy di timur Perancis oleh Rene Joffroy dalam tahun 1953. 14. Tapak Hazor di Israel oleh Yigael Yadin antara tahun 1955 hingga 1958. 15. Tapak Olduvai Gorge, Tanzania oleh Louis dan Mary Leakey dalam tahun 1959. Selepas Perang Duna Kedua, kaedah pentarikhan mutlak untuk bahan organik mula diperkenalkan. Pentarikhan Karbon 14 yang diperkenalkan oleh Willard Libby (1908-1980) merupakan kaedah pentarihkan yang banyak merubah maklumat tentang masa lampau. Antara seperti tapak Period Gangsa Aegean di Vinca, Belgrade yang sebelumnya dianggap sebagai tapak Period Neolitik Akhir pada galicari dalam tahun 1908 hingga 1912. Kaedah pentarikhan Karbon 14 ini diterima dan diperakui ketepatannya menjelang tahun 1970. Menjelang tahun 1960, displin arkeologi merupakan satu disiplin yang kukuh baik dari segi teknik galicari mahupun bahan kajiannya. Ianya

ME 2733: Pengantar Arkeologi

18

juga menyaksikan ketidapuasan hati

ahli arkeologi khususnya di Britain dan Amerika Syarikat

terhadap pendekatan tradisional khususnya dalam aspek teoritikal.

2.4 PERKEMBANGAN ARKEOLOGI BARU 1960-1990 Istilah Arkeologi Baru telah diperkenalkan oleh Lewis Binford seorang ahli arkeologi Amerika Syarikat dan David Clarke di Britain pada pertengahan tahun 1960an. Namun iannya mula digunakan dalam merujuk kepada teknik galicari yang mementingkan aspek stratigrafi dan saintifik oleh Wissler dalam tahun 1917, Richard Woodbury dalam tahun 1954 dan Haag dalam tahun 1959. Perkembangan dalam tempoh tiga dekad ini merupakan perubahan kepada asas dalam matlamat dan praktikal disiplin arkeologi. Dalam merekonstruksikan masa lampau, ahli Arkeologi Baru haruslah memahami organisasi sosial, ekonomi, kepercayaan dan konsep-konsep falsafah masyarakat lampau. Untuk mecapai hasrat tersebut satu pemahaman lengkap harus wujud tentang bagaimana masyarakat dalam kebudayaan masa lampau hidup dari semasa ke semasa. Umumnya terdapat empat perbezaan penekanan antara Arkeologi Lama dan Arkeologi Baru (rujuk jadual 4.1). Peranan antara kedua-dua pendekatan ini adalah saling melengkapi dan saling berguna dalam mengungkap masa lampau. Penekanan

Arkeologi Lama

Arkeologi Baru

Falsafah

Sejarah

Ujikaji

Pendekatan

Kualitatif

Kuantitatif

Perincian

Generalisasi

Kesusasteraan

Simbolik

Naratif

Jargon

Dasar Pemencilan

Disiplin yang kontra berunsur

Autoritarian

anarki

Pengungkapan Sikap

Jadual 2.1. Perbezaan Penekanan antara Arkeologi Lama dan Arkeologi Baru. Idea-idea yang dititikberatkan dalam Arkeologi Baru berdasarkan pandangan Binford dalam bukunya New Perspective in Archaeology yang diterbitkan dalam tahun 1968 ialah:1. Kegunaan teknik baru seperti komputer dalam statistik dan matriks data, konsep tentang ekosistem untuk pemahaman dalam ekonomi dan asas sara hidup masyarakat prasejarah. 2. Pandangan perkembangan evolusi kebudayaan.

ME 2733: Pengantar Arkeologi

19

3. Kegunaan modal dalam mencorak kebudayaan, pandangan sebagai suatu sistem, pengabungan segala evolusi daripada kebudayaan. Daripada tiga idea ini dapat dilihat Arkeologi Baru menekankan teknik-teknik aplkasi media saintifik dan juga pendekatan analisis kebudayaan yang menjurus kepada pendekatan pendekatan antropologi. Idea-idea

ini juga dikenali sebagai revolusi pemikiran oleh sesetengah pengkaji.

Meskipun idea-idea sains telah wujud ketika Perkembangan Arkeologi Lama, namun penerimaan idea-idea ini agak lambat kerana pelopor perkembangan arkeologi ketika itu adalah terdiri daripada para ahli arkeologi atau prasejarah yang tidak dilatih sebagai ahli sains ujikaji mahupun teoritikal walaupun kebanyakkan dari mereka berpengetahuan dalam bidang sains induktif dan sains semulajadi. Penekanan penggunaan istilah Arkeologi Baru diperdebatkan dalam tempoh sedekad ianya diperkenalkan. Pengamal arkeologi baru seperti Taylor, Willey dan Phillips tidak bersetuju jika perkembangan Arkeologi Baru yang hanya diterajui dengan penggunaan istilah-istilah sainstifik seperti yang ditekankan oleh Binford. Genarasi baru dalam Arkeologi Baru telah mencapai satu kedudukan yang penting dalam tempoh sedekad khususnya dalam membicarakan dengan lantang tentang potensi arkeologi saintifik dan tentang perkara-perkara yang menyamar sebagai kerja-kerja saintifik. Kritikan ini telah menimbulkan tindakbalas daripada genarasi tua Arkeologi Baru yang mempertahakan idea mereka. Selepas tahun 1970an, impian dan tatacara genarasi baru Arkeologi Baru telah mencapai penerimaan yang meluas walaupun dalam bentuk yang sederhana daripada yang dijangkakan. Mereka berpendapat jika istilah Arkeologi Baru digunakan, ia seharusnya merujuk kepada arkeologi saintifik akan tetapi ahli arkeologi tidak semestinya menjadi seorang ahli sains. Hal ini dijelaskan oleh Watson, LeBlanc dan Redman dalam mereka bertajuk Explanation ini Archaeology: An Explicit Approach yang diterbitkan dalam tahun 1971. Dari segi aplikasi dan pengenalan teknik-teknik sains dalam Arkeologi Baru ini, ianya menjadi pengesahan kepada maklumat-maklumat yang sedia ada dan baru. Teknik-teknik tersebut antaranya ialah pemantapan kaedah pentarikhan mutlak seperti Karbon 14, thermoluminescence (TL), teknik apungan dalam penyaringan debunga, penggunaan komputer dalam menganalisis data-data statistik dan matrik stratigrafi dan aanalogi-analogi etnografi dari maklumat disiplin antropologi. Sumbangan terbesar Arkeologi Baru dalam teknik galicari ialah pemantapan teknik galicari bawah air daripada penggunaan teknik penyelaman scuba hinggalah penggunaan kenderaan kawalan jauh (ROV) di akhir era Perang Dingin menjelang tahun 1990an.

ME 2733: Pengantar Arkeologi

20

Tiga dekad perkembangan Arkeologi Baru telah menghasilkan projek-projek tinjauan dan galicari yang mencerminkan keteguhan disiplin arkeologi yang bukan sahaja terhad di tapak-tapak daratan tetapi juga bawah air, antara ialah:1. Projek galicari dan pemuliharaan kapal Mary Rose di England antara tahun 1956 hingga 1986. 2. Projek galicari dan pemuliharaan kapal Vasa di Sweden antara tahun 1957 hingga 1961. 3. Projek galicari bawah air tapak Yassi Ada di Turki oleh George F. Bass dalam tahun 1960. 4. Projek galicari tapak bawah air di tapak Cape Gelidonya pada tahun 1960. 5. Projek tinjauan di Chaco Canyon di New Mexico, Amerika Syarikat oleh Remote Sensing Division of the Chaco Center dalam tahun 1970an. 6. Projek galicari dan pemuliharaan kapal Batavia di Australia Barat oleh Western Australian Maritime Museum pada tahun 1972. Kesimpulannya, pengisian perkembangan Arkeologi Baru bukan sahaja pada aspek teoritikal tetapi juga perubahan teknik galicari khususnya peralatan yang digunakan. Pendekatan teoritikal saintifik dan teknologi peralatan telah menjadikan Arkeologi Baru sebagai disiplin antara-disiplin yang mencakupi hampir kesemua disiplin ilmu dari kajian etnografi hinggalah kejuruteraan genetik. Latabelakang ahli-ahli arkeologi juga kini tidak terhad kepada disiplin arkeologi tetapi juga disiplin ilmu lain seperti matematik, sains persekitaran, kejuruteraan, arkitek malah perubatan.

2.5 KESIMPULAN Perkembangan disiplin arkeologi telah melalui tiga tahap utama iaitu kegiatan Purbawanisme, Arkeologi Lama dan Arkeologi Baru. Proses perubahan ini berlaku berkait rapat dengan perubahan dalam disiplin-disiplin ilmu lain yang meliputi idea, kaedah kajian, teknik analisis dan teknologi peralatan saintifik. Perkembangan aplikasi saintifik lambat sebelum 1920 adalah disebabkan penyerapan idea-idea sains yang hanya tertumpu kepada aspek istilah dan teknik galicari. Pengenalan kepada keadah pentarikhan saintifik seperti pentarikhan Karbon 14 hinggalah aplikasi kuantitatif dalam analisis data ketika perkembangan Arkeologi Baru telah melahirkan satu disiplin arkeologi yang saintifik. Teknologi santifik telah menjadi bahantara ahli arkeologi untuk merekonstraksi masa lalu manusia.

ME 2733: Pengantar Arkeologi

21

SOALAN-SOALAN PENILAIAN 1. Apakah yang anda faham tentang kepurbakalaan ? 2. Siapakah tokoh-tokoh utama Arkeologi Lama yang banyak merubah idea-idea kepurbakalaan manusia ? 3. Sumbangan utama Arkeologi Lama ialah ? 4. Apakah matlamat utama Arkeologi Baru ? 5. Apakah perbezaan utama antara Arkeologi Lama dengan Arkeologi Baru ?

ME 2733: Pengantar Arkeologi

22

BACAAN ASAS Bahn, Paul. 1996. Archaeology: A Very Short Introduction. Oxford: Oxford University Press. Bahn, Paul. 1997. Cambridge Illustrated History of Archaeology. Cambridge: Cambridge University Press. Bass, George F. 1966. Archaeology Under Water . Middlesex: Penguin Books. Cottrell, Leonard. 1974. The Concise Encylopedia of Archaeology. London: Hutchinson & Co. Daniel, G. 1967. The Origins and Growth of Archaeology. Harmondworth: Penguin. Daniel, G. 1975. 150 Years of Archaeology. London: Duckworth. Daniel, G. 1981. A Short History of Archaeology. London: Thames & Hudson. Hole, Frank & Heizer, Robert (terj.). 1990. Arkeologi Prasejarah: Satu Pengenalan Ringkas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Klindt- Jensen, O. 1975. A History of Scandinavian Archaeology. London: Thames & Hudson. Sklenar, K. 1983. Archaeology in Central Europe: The First 500 Years. Leicester: Leicester University Press. Willey, G.R. and Sabloff, J.A. 1993. A History of American Archaeology. New York: Freeman.

SUMBER INTERNET A History of Archaeology. http://archaeology.about.com/blhistory.htm Archaeology of Africa. http://archaeology.about.com/library/atlas/blafrica.htm Archaeology of Asia http://archaeology.about.com/library/atlas/blasia.htm Archaeology of Europe. http://archaeology.about.com/library/atlas/bleurope.htm Archaeology of Middle East. http://archaeology.about.com/library/atlas/blmiddleeast.htm

ME 2733: Pengantar Arkeologi

Archaeology of North America. http://archaeology.about.com/library/atlas/blnorthamer.htm Archaeology of Ocenia. http://archaeology.about.com/library/atlas/bloceania.htm Archaeology of South America. http://archaeology.about.com/library/atlas/blsouthamer.htm British Archaeology. http://www.britarch.ac.uk/ba/ba.html

23

Related Documents

Sejarah
May 2020 28
Sejarah
April 2020 49
Sejarah
April 2020 35
Sejarah
May 2020 35
Sejarah
June 2020 23
Sejarah
October 2019 63

More Documents from "PrizilaZila Gryntari"