Search: The Web Tripod
Report Abuse « Previous | Top 100 | Next »
Select Rating
share: del.icio.us | digg | reddit | furl | facebook
EKONOMI Utusan Malaysia 19 mac 2001 Mengenali perniagaan sistem francais KATA orang tak kenal, maka tak cinta. Dua puluh tahun dahulu, tidak ramai di antara kita mengenali apa itu francais. Bahkan sebahagian daripada kita mungkin tidak pernah pun mendengar dan menyebut perkataan tersebut. Suatu ketika dulu emak saudara saya di kampung pernah menegur saya apabila mendengar saya hendak melibatkan diri dalam perniagaan francais, engkau nak jual perencah (sepatutnya disebut francais) apa?. Terdapat sedikit perbezaan definisi francais, dari satu negara ke negara yang lain. Begitu juga dengan pendekatan mereka dalam mengiktiraf sesuatu sistem francais dan cara mereka mengkategorikan jenis-jenis francais. Definisi francais di dalam Akta Francais 1998 adalah sangat luas dan agak terperinci mencakupi aspek-aspek perjanjian kontrak, pemberian hak, penggunaan harta intelektual, pembayaran yuran dan royalti serta tanggungjawab asas francaisor dan francaisi. Apa bezanya francais? Populariti penggunaan perkataan francais akhir-akhir ini dalam mengaitkan hubungan perniagaan, telah mengundangkan salah fahaman dan penggunaan yang tidak tepat. Fenomena ini berlaku di kalangan bentuk perniagaan yang melibatkan pelesenan (licensing), pelantikan wakil pengedar (distributorship) atau wakil jualan/ejen (agency).
Sementara itu, ada juga sesetengah pihak yang masih tidak dapat membezakan di antara sistem francais dengan sistem pemasaran bertingkat (multi-level marketing). Bahkan, ada juga yang berpendapat bahawa, menjadi francaisi adalah tidak lebih seperti bekerja makan gaji. Berikut adalah beberapa persamaan dan perbezaan di antara sistem francais dengan pendekatanpendekatan lain, sebagai perbandingan; Bezanya francais dengan makan gaji. Perbezaan utama di antara francaisi dan pekerja adalah pelaburan. Francaisi perlu mengeluarkan modal sendiri (atau sering kali juga perlu membuat pinjaman), sementara pekerja tidak perlu melakukan perkara ini; Walaupun kedua-dua francaisi dan pekerja yang makan gaji tertakluk kepada arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh francaisor/majikan, namun francaisi selalunya mempunyai lebih kebebasan menggunakan idea dan inisiatif sendiri; Francaisor mempunyai lebih tanggungjawab dalam memastikan francaisi disediakan sistem operasi serta mendapat program latihan dan khidmat sokongan secukupnya, dibandingkan dengan hubungan pekerja-majikan; Francaisi memiliki perniagaan, memungkinkan meraih keuntungan dan juga menanggung risiko kegagalan, tetapi sebaliknya pekerja tidak terlibat dalam soal-soal ini. Perbandingan francaisi dengan pengedar Francaisor mempunyai lebih tanggungjawab mendidik dan melatih francaisi bagaimana menguruskan perniagaan, mengendalikan produk dan perkhidmatan, sedangkan pengedar selalunya hanya dipertanggungjawabkan mengedar barangan tanpa perlu sangat terikat kepada prosedur atau manual operasi tertentu; Francaisi berurusan dengan satu syarikat sahaja (francaisor), sedangkan pengedar selalunya berurusan dengan banyak syarikat pembekal; Hubungan francais selalunya bersifat jangka panjang, mengambil kira kepentingan jangka panjang kedua-dua pihak, maka selalunya francaisi memperoleh hak pengedaran yang lebih eksklusif dan hak kewilayahan yang lebih jelas dibandingkan dengan pengedar. Perbandingan francais dengan pelesenan (licensing) Walaupun kedua-dua francais dan pelesenan melibatkan hubungan kontraktual, namun hubungan francais lebih merupakan hubungan yang aktif di mana francaisor secara signifikan bukan sahaja mempunyai bidang kuasa yang lebih bagi mengawal operasi perniagaan francaisi, bahkan juga mempunyai tanggungjawab yang lebih besar memastikan perjalanannya mengikut sistem yang ditetapkan. Sementara dalam pelesenan, pemberi lesen selalunya lebih berminat untuk mengutip
royalti dan mengawal selia penggunaan lesen agar dibuat dengan betul, tetapi tidak mempengaruhi operasi harian perniagaan pemegang lesen; Perbezaan francais dengan pemasaran bertingkat (MLM) Perbezaan di antara francais dan sistem pemasaran bertingkat adalah jelas, di mana sistem francais hanya melibatkan dua peringkat hubungan sahaja, iaitu francaisor dan francaisi (atau mungkin dalam sesetengah kes melibatkan tiga peringkat, jika hak diberikan kepada francaisi induk), sedangkan sistem pemasaran bertingkat selalunya melibatkan bilangan peringkat yang tidak terhad. Perniagaan francais juga tidak melibatkan jualan dari pintu ke pintu, tidak mempromosikan pendaftaran keahlian ataupun memberi peluang dan galakan kepada setiap ahli untuk berusaha mencapai peringkat yang lebih tinggi dalam struktur pelan pemasaran yang selalunya berbentuk piramid, sebagaimana dalam sistem MLM. Hubungan francais Sebagaimana yang didefinisikan di dalam siri yang terdahulu, sistem francais melibatkan hubungan dua pihak, iaitu francaisor dan francaisi. Namun hubungan ini boleh dibahagikan kepada beberapa bentuk dan pendekatan, antaranya; Francaisi induk (master franchisee) Francaisi induk selalunya diberi hak oleh francaisor untuk sesuatu wilayah, negara atau negeri tertentu. Di dalam hak kewilayahan yang diberikan selalunya francaisi induk berhak untuk mewujudkan subfrancais sama ada dalam bentuk francaisi kawasan (area franchisee) atau francaisi unit (unit franchisee). Namun francaisi induk juga boleh memilih untuk tidak mempraktikkan subfrancais dan mengembangkan sendiri perniagaan mereka dan membuka sendiri outlet-outlet yang dimiliki sepenuhnya oleh mereka di dalam wilayah yang ditetapkan. Francaisor juga selalunya mengenakan syarat-syarat tertentu dalam soal-soal yang melibatkan berapa banyak outlet perlu dibuka dalam tempoh tertentu, penyediaan sistem sokongan bagi program subfrancais serta kriteria-kriteria pemilihan francaisi dan rakan kongsi. Sebagai contohnya; McDonalds Corporation selaku francaisor telah melantik Golden Arches Restaurant Sdn. Bhd. (GARSB) sebagai francaisi induknya di Malaysia. Oleh yang demikian, GARSB berhak membuka sendiri restoran-restoran McDonaldsnya, sebagaimana yang dibuat di sebelah Pantai Barat Semenanjung Malaysia atau melantik francaisi, sebagaimana yang dipraktikkan bagi kawasan tertentu Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Francaisi kawasan (area/regional franchisee) Seperti juga francaisi induk, francaisi kawasan juga diberikan hak kewilayahan oleh francaisor (atau francaisi induk), namun selalunya kawasan ini melibatkan wilayah yang lebih kecil jika dibandingkan dengan francaisi induk. Terdapat 2 pendekatan pelaksanaan francaisi kawasan, iaitu;
Francaisi kawasan diberi suatu hak eksklusif di mana francaisi kawasan dikehendaki menjalankan sepenuhnya perniagaan secara sendiri tanpa membabitkan subfrancais. Francaisi kawasan juga selalunya disyaratkan mematuhi jadual pembangunan outlet yang ditetapkan oleh francaisor, jika tidak, ianya memungkinkan hak ini dipindahkan kepada pihak lain. Pun begitu, selalunya francaisor memberi kelonggaran dalam soal penglibatan pelabur tambahan dalam pembangunan perniagaan yang dimaksudkan, selagi francaisi kawasan tersebut masih mempunyai kuasa mutlak terhadap keseluruhan operasi perniagaannya. Contoh francaisi kawasan bentuk ini adalah sepertimana yang dipraktikkan oleh KFC di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Francaisi kawasan juga boleh diberi hak eksklusif dan dibenarkan melaksanakan subfrancais. Contohnya dalam kes Fastway Couriers, Kurier Nasional Sdn. Bhd. yang diberi hak eksklusif oleh Fastway Global Ltd. sebagai francaisi induk bagi seluruh Malaysia bukan sahaja dibenarkan melaksanakan subfrancais dengan melantik francaisi kawasan, bahkan francaisi kawasan yang dilantik pula digalakkan melantik francaisi kurier (francaisi unit). Francaisi unit (unit franchisee) Francaisi unit adalah merupakan individu usahawan atau syarikat kecil yang diberi hak oleh francaisor untuk menjalankan operasi perniagaan francais tertentu di lokasi, kawasan atau premis sebagaimana yang ditetapkan sahaja. Francaisi unit juga tidak dibenarkan mempraktikkan subfrancais, namun francaisi unit selalunya digalakkan untuk mempunyai lebih daripada 1 unit outlet atau kawasan, berdasarkan prestasi perniagaan yang ditunjukkan. Jika sekali lagi contoh Fastway Couriers diambil. Fastway Couriers (Malaysia) telah melantik Farina Kurier Sdn. Bhd. sebagai francaisi kawasan di Selangor yang kemudiannya melantik Roslan Mohd Ibrahim sebagai francaisi unit (francaisi kurier) bagi kawasan di sekitar Kelana Jaya dan sebahagian dari Petaling Jaya. Roslan kemudiannya telah menubuhkan Vistro Saga Services bersama adiknya Rosman dan membeli hak dua kawasan lagi di sekitar Shah Alam dan Subang. Contoh pelantikan terus francaisi unit berasaskan outlet mudah didapati di negara kita, sebagaimana yang dipraktikkan oleh kebanyakan francaisor tempatan seperti EON, Marrybrown, Nelsons dan sebagainya. Jenis-jenis francais Secara umumnya terdapat 3 jenis francais yang popular, iaitu; Francais tanda nama atau francais cap dagangan Francais jenis ini lebih mirip kepada pelesenan (licensing) di mana francaisor memberi hak kepada francaisi mengeluarkan produk menggunakan jenama, tanda nama, cap dagangan, logo, karikatur dan sebagainya milik francaisor bagi sesuatu wilayah tertentu. Pendekatan francais jenis ini tidak memerlukan sistem yang lengkap, namun pengawalseliaan francaisor diperlukan bagi memastikan kualiti dan nama baik jenama terpelihara. Contoh francais jenis ini ialah pembotolan minuman Coca-Cola dan pengeluaran produk menggunakan watak kartun Walt Disney.
Francais pengedaran produk Francais jenis ini adalah membabitkan pemberian hak oleh francaisor kepada francaisi bagi menjual dan mengedar produk-produk yang dikeluarkan oleh francaisor. Menerusi francais pengedaran produk, francaisor selalunya menyediakan panduan dan latihan kepada francaisi tentang bagaimana mengendalikan pengedaran produk berkenaan, namun pembangunan sistem operasinya tidaklah begitu komprehensif. Francais jenis ini popular di kalangan industri automatif seperti pengedar kereta nasional EON dan rangkaian stesen-stesen minyak seperti Petronas, Shell, Esso, Caltex, Mobil dan seumpamanya. Francais format perniagaan (business format) Francais format perniagaan adalah jenis francais yang paling popular dan paling komprehensif. Menerusi francais format perniagaan, francaisi bukan sahaja diberi hak menggunakan jenama ataupun mengedarkan produk keluaran francaisor, bahkan menduplikasikan keseluruhan sistem perniagaan yang dipraktikkan oleh francaisor dan francaisi-francaisi di dalam rangkaian perniagaan yang sama. Dalam francais jenis ini francaisor bertanggungjawab menyediakan kepada francaisi bermula daripada pembangunan konsep dan pemilihan lokasi, sehinggalah kepada, manual operasi, latihan, sistem perakaunan, pakej pengiklanan dan promosi serta khidmat sokongan yang berterusan. Francais format perniagaan adalah jenis francais yang diterima pakai meluas dan diiktiraf di bawah Program Pembangunan Francais anjuran kerajaan. Contoh jelas francais jenis ini ialah sebagaimana yang dipraktikkan oleh McDonalds di seluruh dunia. Francais Multiunit Francais jenis ini melibatkan gabungan beberapa jenis produk atau perkhidmatan francais dan diuruskan oleh satu syarikat pengurusan francais. Syarikat pengurusan francais ini berperanan sebagai francaisor yang menawarkan berbagai pakej francais menggabungkan unit-unit sistem francais yang diuruskannya. Pendekatan jenis ini juga dipanggil francais di dalam francais. Contohnya ialah ServiceMaster Residential/Commercial Services yang menggabungkan sistemsistem francais dengan jenama Merrymaids, Terminix, Furniture Medic dan AmeriSpec bagi menyediakan perkhidmatan pembersihan dan pembantu rumah yang bersepadu kepada pelanggan. Syarikat yang mempunyai rangkaian francais di 30 negara seluruh dunia dan telah mencapai nilai jualan tahunan RM16 bilion ini menyediakan lima pakej francais, sesuai bukan sahaja kepada francaisi sepenuh masa, bahkan juga boleh dilakukan secara separuh masa. Francais jenis multiunit selalunya memberi peluang kepada francaisi sama ada untuk menjalankan perniagaan francais tersebut secara unit sistem individu atau pun dengan menggabungkan dua atau lebih unit sistem berkenaan. Selalunya francaisi yang memiliki hak bagi unit sistem pertama akan diberi keutamaan untuk memiliki unit sistem seterusnya. Francais bukan Skim Cepat Kaya
Namun perlu sekali lagi diingatkan bahawa, francais bukanlah satu bentuk perniagaan yang menjamin 100 peratus kejayaan tanpa komitmen dan usaha yang jitu, bahkan francais juga bukanlah satu lagi bentuk Skim Cepat Kaya! Awalan Abdul Aziz merupakan Setiausaha Agung Persatuan Francais Malaysia (MFA). Oleh: AWALAN ABDUL AZIZ
muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi