Rentetan Sejarah Kedatangan Kaum India Oleh Melati Mohd Ariff (Rencana ini adalah bahagian pertama daripada dua bahagian) KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Banyak pihak mengutarakan komen dan reaksi terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf). BERNAMA telah mewawancara Datuk Haji Omar Hashim, Pengerusi, Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) untuk mendapatkan komen antaranya mengenai kedatangan orang India ke Semenanjung Tanah Melayu, kehidupan masyarakat tersebut sebelum dan selepas merdeka serta tindakan yang perlu diambil supaya isu perkauman yang dimainkan oleh Hindraf tidak menggugat kestabilan negara ini. Ikuti wawancara wartawan BERNAMA, Melati Mohd Ariff dengan Datuk Haji Omar yang juga Fellow PSM dan pernah berkhidmat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Kementerian Pelajaran dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia. 1. Boleh Datuk ceritakan bagaimana orang India mula datang ke Semenanjung Tanah Melayu? OMAR: Bercakap mengenai buruh dari India, kita sebetulnya merujuk kepada buruh kaum Tamil India yang datang sebagai buruh sukarela pada akhir kurun ke-19 dan bukan secara paksa kerana India ketika itu menghadapi masalah kemiskinan. Sebelum ini, mereka pernah datang ke sini sebagai peniaga atau pendakwah tetapi tidak pernah menetap di negeri ini. Malah 'Penempatan Hindu' di Lembah Bujang (Kedah) itu sebenarnya diduduki orang Melayu yang ketika itu beragama Hindu sebelum kedatangan agama Islam, bukan orang dari India yang datang dan menetap di situ. 2. Bila pula mereka mula menetap di negeri ini? OMAR: Mereka datang selepas Inggeris menduduki Penang. Selepas Bencoolen (Bangkahulu iaitu British garrison di Pulau Sumatera) diserah balik kepada Belanda pada 1824, Inggeris telah memindah masuk ke Penang ramai 'buruh banduan' dari India. Buruh banduan ini dihimpunkan di Penang dan kemudian dipasar ke negeri lain selain Penang yang memerlukan buruh kuat dan murah ini bagi ladang-ladang yang rancak berkembang ketika itu. Kerja-kerja PWD (Public Works Department) di Negeri-Negeri Selat pada waktu itu diselenggara seluruhnya oleh pekerja banduan yang berakhir cuma
tahun 1873. Kemudian timbul bermacam-macam pemikiran tentang buruh ini sebelum Kerajaan British dan Malaya memutuskan untuk membuat satu dasar terperinci bertujuan mengemas serta menyusun sistem yang lebih baik bagi menjamin kesejahteraan dan kebaikan dua pihak. Ini disebabkan pengalaman-pengalaman pahit yang dialami oleh buruh-buruh India di Mauritius, Afrika dan West Indies. Juga ditetapkan buruh dari India cuma terhad kepada kaum Tamil dan Nagapatam menjadi pelabuhan pemerosesannya. Selepas 1900 apabila getah menjadi satu perusahaan yang mula berkembang dan ladang-ladang getah dibuka selepas itu serta keperluan untuk mendapatkan buruh menjadi satu kemestian. Orang-orang Melayu ketika itu juga tidak gemar untuk berladang getah. Kemasukan beramai-ramai orang India dan orang Cina untuk bekerja di lombonglombong bijih timah pada satu ketika menjadikan bilangan mereka pada akhir 1920-an lebih ramai daripada orang Bumiputera sendiri. Keadaan ini membimbangkan British sendiri tetapi mujurlah apabila berlaku kemelesetan ekonomi ramai orang India dan Cina kembali atau dihantar balik ke negara masing-masing. Orang Melayu selepas itu kembali menjadi majoriti sehingga sekarang. 3. Apakah ada satu sistem yang lebih tersusun untuk membawa masuk buruh India ke Tanah Melayu? OMAR: Untuk beberapa lama mereka datang sebagai buruh kontrak (indentured labour) tetapi banyak penganiayaan dan pemerasan berlaku. Oleh itu, ada sistem yang dimajukan selepas itu untuk membawa masuk buruh India dengan penggunaan apa yang dipanggil sebagai Sistem Kanggani. Kanggani ini semacam 'mandor' di mana Kanggani akan merekrut anak-anak buah mereka dari kampung mereka sendiri di India menerusi ketuaketua kampung dan membawa mereka ke Semenanjung Tanah Melayu. Sistem Kanggani ini lebih baik dan kemas kerana ada kebertanggungjawaban kepada seorang ketua pengurus. Sistem ini digunakan agak lama sehingga perang meletus. 4. Bagaimana kehidupan masyarakat India ketika itu dan sekarang? OMAR: Diukur dari perspektif sekarang, memang keadaan ketika itu tidak memuaskan yakni begitu susah dan timbul masalah lain seperti tabiat meminum todi (tuak) dan ini disediakan oleh British sendiri. Ada usaha untuk memperbaiki kehidupan mereka menerusi kesatuan sekerja tetapi taraf hidup menjadi semakin buruk sehingga meletus Perang Dunia ke-2. Para pemimpin India sendiri maklum tentang perkara ini dan pernah satu ketika Pandit
Jawaharlal Nehru yang kemudian menjadi perdana menteri India Merdeka yang pertama, datang sebelum perang untuk melihat kedudukan anak-anak buahnya. Disebabkan India ketika itu pun belum merdeka lagi, beliau dengan cara yang bijak menasihatkan orang India supaya memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada negeri ini yang menjadi tempat mereka bermastautin. Ramai orang India ketika itu belum lagi menjadi warganegara. Ketika itu kira-kira 80 peratus orang India tinggal di estet, sekarang kira-kira 60 peratus tinggal di bandar. Berdasarkan statistik rasmi yang disiar di media terutamanya sejak 20 tahun kebelakangan ini, jelas menunjukkan kehidupan mereka telah melonjak ke depan dan lebih maju berbanding kaum Bumiputera. Orang Melayu lebih tersisih sekali kemaraan menuju kebahagiaan dan kemajuan ekonomi. Ia umpama, bagi setiap seringgit yang diperolehi orang Melayu daripada pendapatan isi rumah, Orang Cina mendapat dua ringgit dan hampir seringgit suku diperolehi orang India. Pada 2004 pendapatan isi rumah mengikut kaum menunjukkan kaum Cina memperoleh RM4,427 sebulan, Melayu (RM2,711) dan India (RM3,456). Data membuktikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang ditentang beberapa pihak bukan Melayu sebetulnya menguntungkan kaum China dan India. Dari segi kemiskinan juga, orang Bumiputeralah yang paling ramai kadar kemiskinan tegar. Ini bermakna meskipun negara telah menikmati 50 tahun Kemerdekaan dengan meraih pelbagai kemajuan, orang Melayu balik ke takuk paling bawah. Jadi segala tohmah dan tuduhan yang dibuat Hindraf adalah satu pembohongan dan ini menyayatkan hati orang Melayu yang sebetulnya patut memberontak namun tidak sanggup berbuat demikian kerana mereka adalah satu kaum yang bertanggungjawab, penyabar dan terkawal serta rela bertolak ansur demi kesejahteraan negara seluruhnya. Mereka juga sedar kerajaan membuat pelbagai tindakan yang lambat-laun akan menguntungkan seluruh negara termasuk masyarakat minoriti seperti orang India dan masyarakat majoriti iaitu orang Melayu. Tetapi kesabaran mereka ada hadnya dan padah jika mereka bingkas kerana selalu didesak dan dipermainkan. 5. Bagaimana pula dengan peluang pendidikan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk masyarakat India? OMAR: Pendidikan di estet kebanyakannya dibiayai pengusaha-pengusaha estet dan ini tidak begitu baik. Ketika itu, British memandang pendidikan orang India dan pendidikan orang Cina bukanlah tanggungjawab terus Kerajaan British tetapi dibenarkan beroperasi di luar kerajaan.
Keadaan di estet amat menyedihkan tetapi di sebaliknya keadaan sekolah Cina yang mendapat pembiayaan dan sokongan masyarakat dermawan Cina yang mempunyai tradisi yang lebih lama adalah amat baik. Tetapi harus diingat, British telah berikrar dalam perjanjiannya dengan Raja-Raja Melayu apabila mereka mengadakan Federated Malay States iaitu mereka akan melindungi dan memajukan kepentingan dan hak-hak orang Melayu. Sesuai dengan perjanjian itu, British telah memberi pendidikan percuma kepada orang Melayu dengan penubuhan banyak sekolah Melayu di Straits Settlement dan negeri-negeri Federated Malay States dan bukan Federated Malay States. Oleh sebab sekolah-sekolah India ini dengan bahasa pengantar Tamil dibiayai pengurus estet biasanya terbiar dan guru-gurunya dibawa dari India menggunakan kurikulum yang diadaptasikan dari India. Jadi sekolah-sekolah tersebut tidak ada aliran, semangat atau isi kandungan Malaysia langsung. Cuma dengan kewujudan 'Laporan Razak 1956', sekolah-sekolah India ini dibawa masuk ke bawah naungan aliran perdana, diwajib menggunakan kurikulum di Malaysia dan diberi pembiayaan dan sokongan sesuai dengan kedudukannya sebagai sekolah rendah jenis kebangsaan. Ketika itu, kerajaan memikirkan sekolah-sekolah yang menggunakan selain daripada bahasa kebangsaan secara beransur-ansur akan pupus dan cuma satu sistem sahaja akan kekal sesuai dengan dasar kita untuk menyatupadukan semua bangsa di Malaysia ini menjadi satu bangsa yang utuh dan tunggal. Bagaimanapun, peredaran masa dan tawar-menawar politik serta kekurangan ketegasan dasar kerajaan yang terlalu banyak tawar-menawar di antara parti-parti politik yang mendokong kerajaan menyebabkan perlaksanaan dasar sistem tunggal ini sukar dikawal, dilaksanakan dan terus menerus terhakis. Oleh itu, dalam Akta Pelajaran 1995 pendidikan India seperti pendidikan Cina juga dibenarkan hidup selagi ada bulan dan matahari.Kerajaan telah banyak sekali memberi bantuan untuk mempertingkatkan infrastruktur sekolah Tamil, pembangunan sekolahsekolah baru yang diberi kuasa kepada parti MIC sendiri untuk merancangnya dan ini semua menyebabkan sekolah-sekolah India di antara sekolah paling moden di kalangan sekolah-sekolah rendah lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah rendah di Sabah dan Sarawak. Kerajaan juga memberi perwakilan politik dalam Parlimen dan Kabinet lebih ramai daripada nisbah sebenar orang-orang India. Tiada satu kawasan sebetulnya di Malaysia yang mempunyai penduduk kaum India yang ramai yang boleh menentukan kemenangan seseorang calon India malah kemenangan mereka sehingga kini adalah kerana mereka adalah calon Barisan Nasional dan diberi undi sebahagian besarnya oleh orang Melayu yang tidak pernah memandang bulu.
-- BERNAMA Bahagian kedua
Pelbagai Usaha Untuk Memajukan Kaum India Oleh Melati Mohd Ariff (Bahagian Akhir daripada dua bahagian) KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Pelbagai usaha dilaksanakan Kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan kaum dan seterusnya menjamin kestabilan negara agar ia tidak mudah goyah oleh sebarang desakan, ancaman atau anasir baik dalaman atau luaran. Dalam merealisasikan hasrat murni itu, Pengerusi, Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (PSM), Datuk Haji Omar Hashim, menyuarakan beberapa pandangan mengenai tindakan yang perlu diambil supaya isu perkauman seperti yang dimainkan oleh Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) tidak menggugat kestabilan negara ini. Ikuti sambungan wawancara wartawan BERNAMA, Melati Mohd Ariff dengan Datuk Haji Omar. 1. Ramai pihak telah memberikan komen berhubung dakwaan Hindraf kononnya berlaku penghapusan etnik (ethnic cleansing) di Malaysia? Bagaimana pandangan Persatuan Sejarah Malaysia? OMAR: Ini merupakan satu dakwaan yang karut. Penghapusan etnik itu sendiri adalah konsep baru apabila terjadi Perang Bosnia di mana ribuan orang Islam Bosnia dibunuh atau dihalau. Begitu juga di Palestin di mana tanah orang-orang Palestin telah dicerobohi dan dirompak. Perkara seperti ini tidak pernah terjadi di Malaysia, sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, zaman British dan di zaman kemerdekaan. Keadaan dan layanan buruk yang berlaku kepada kaum India di Burma, Kenya atau Uganda di mana mereka dihalau ke luar negeri sehelai sepinggang tidak pernah berlaku di bumi bertuah ini. Malahan saya berani menyatakan kepada sesiapa pun untuk menunjukkan kepada saya mana negeri di dunia yang memberi begitu banyak layanan yang baik dan saksama kepada orang pendatang yang diterima sebagai warganegara sendiri. Layanan dari semua aspek seperti kemudahan dan kesaksamaan dalam peluang
pekerjaan, memiliki hartanah dan rumah, peluang mengundi dan kebebasan beragama, sememangnya tidak mungkin dapat diperolehi di negeri atau negara lain. Malaysia yang didokongi majoritinya oleh kaum Melayu, begitu bermurah hati dan melayani semua kaum dengan penuh ihsan. Bagi satu minoriti kecil, 7.8 peratus daripada jumlah penduduk negara, kaum India telah memperkasa diri menjadi kuat dan berpengaruh dalam semua bidang kehidupan, waima politik, ekonomi, profesional sejak 20 tahun kebelakangan. Minoriti lain seperti Melayu di Singapura yang berjumlah 15 peratus, sesungguhnya akan berasa bertuah, selamat dan bersyukur jika mereka mencapai kedudukan sejahtera dan peluang serta perlindungan untuk meningkat seperti kaum India di Malaysia. 2. Apa yang Kerajaan perlu lakukan untuk menangani isu Hindraf ini? OMAR: Isu Hindraf adalah satu isu yang bermusim. Isu-isu seperti ini akan timbul menjelang satu pilihan raya yang besar kerana sesetengah pihak mahu memberi satu desakan kepada pihak yang berwajib untuk memberi lebih banyak calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kerana desakan-desakan begitu secara mendadak sekarang ini kerana sebelum itu tidak pernah kita dengar tuduhan-tuduhan yang tidak masuk akal ini. Saya sebetulnya takjub. Apa sebenarnya yang diperjuangkan? Siapakah mereka dan siapa gerangan yang mendalangi mereka. Ada udang besar di sebalik batu? Sebelum ini apa yang kita dengar ialah rungutan-rungutan yang disalurkan menerusi MIC kerana MIC adalah parti yang mendapat dokongan atau mewakili orang India dan merekalah sepatutnya menjadi benteng untuk mempertahankan kebenaran. Mereka tidak boleh berpeluk tangan dan tidak menangkis soalan-soalan ini kerana tuduhan yang dilemparkan oleh Hindraf ini adalah tuduhan yang merbahaya dan orang Melayu khasnya akan merasa tersinggung dan amat marah kepada kaum India. Amarah ini takut-takut tidak memberi apa-apa impak negatif dalam pembuangan undi nanti. Orang Melayu memang satu kaum yang tidak suka membuat rusuhan kecuali jika mereka terhimpit. Jika kaum lain atau kumpulan kecil kariah mereka cuba mengeluarkan isu-isu ini atau isu-isu ini tidak masuk akal, mereka akan mula bertindak dan bila kaum majoriti ini bertindak negara akan menjadi huru-hara. 3. Demonstrasi jalanan nampaknya semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Apa komen Datuk? OMAR: Bagi saya demonstrasi jalanan ini adalah sebahagian daripada pra-pilihan raya show
atau charade. Kalau kita perhatikan, demonstrasi besar-besaran ini terjadi di seluruh dunia, di Ukraine, Pakistan, Amerika Selatan dan Paris. Ini macam satu trend universal dan kita tak patut ikut. Bagaimanapun jika kita tengok siapa yang ada di dalam rusuhan? Kebanyakannya orang dari satu-satu kaum atau profesion dan mungkin dalam pemikiran mereka ada 'axe to grind'. Kalaulah keadaan ini tidak dikawal pada masa depan kita akan menghadapi masalah besar kerana mereka amat 'vocal' dan suka berkonfrontasi. 4. Datuk setuju jika Kerajaan bertindak tegas? OMAR: Kerajaan perlu bertindak tegas sekarang termasuk gunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ini akan memberi isyarat kepada mereka yang mahu merosakkan negara ini melalui cara-cara sebegini. Mereka tahu jika kerajaan membuat salah dalam langkahnya, bukan sahaja orang di dalam negeri ini akan kutuk tetapi dunia luar menerusi televisyen CNN atau Al Jazeera akan memaparkan keburukan negara ini. Kita kadangkala merasakan seolah-olah ada orang tidak suka melihat negara ini aman dan damai. Mereka suka melihat negara ini kacau-bilau. Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu banyak memberi tumpuan kepada pengisian untuk pembinaan bangsa, soal kekitaan, warisan, sejarah, kependudukan yang sama. Kita perlu memberi penekanan kepada taburan demografi di estet perumahan baru supaya ada nisbah kaum yang dapat mencerminkan kehidupan rakyat Malaysia yang sebenarnya. Begitu juga taburan pelajar di asrama. Ini boleh dipaksakan. Juga perlu difikirkan semula sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan satu sistem dan tidak boleh ada terlalu banyak sistem kerana pada akhirnya kepelbagaian sistem akan memecah-belahkan dan menyukarkan dan saya berani sebut ia akan memustahilkan usaha mengekalkan perpaduan. -- BERNAMA