Remaja dan Tidur Ramai antara kita yang mengetahui bahawa tidur memainkan peranan penting dalam hidup manusia termasuk remaja. Namun tidak ramai yang benar-benar mengetahui sejauh mana tidur mampu mempengaruhi kehidupan seseorang remaja. Penyelidik mempercayai bahawa tidur dikawal oleh suatu sistem yang dipanggil kawal atur tidur-jaga. Kawal atur ini menyebabkan seseorang itu akan berasa terdesak untuk tidur apabila berjaga lebih lama. Ini menjadi punca mengapa seseorang berasa mahu tidur apabila mereka terlalu letih. Tidur seolah-olah mengecas tenaga yang telah hilang pada hari tersebut. Walaubagaimanapun, menurut kajian oleh Mary Carskadon, kitar tidur-jaga remaja adalah melawan hukum jam biologi manusia. Remaja didapati menjadi kurang mengantuk selepas 12 jam berjaga walaupun sebelum 12 jam tersebut, mereka berasa mengantuk. Malah selepas 14 jam berjaga, remaja menjadi lebih kurang perasaan mengantuk. Ini menunjukkan jam biologi seseorang boleh melawan hukum kitar tidur-jaga pada satu peringkat umur iaitu remaja. Inilah punca mengapa mereka tetap berjaga walaupun berasa sangat letih. Oleh itu ibu bapa seharusnya peka dan memahami mengapa anak-anak remaja mereka sering tidur lewat walaupun setelah melakukan pelbagai aktiviti pada siang hari. Ini sangat berbeza dengan jam biologi golongan yang lebih muda daripada remaja. Pada kanak-kanak pula, tiada apa yang dapat menahan mereka daripada tidur di waktu petang. Mereka memerlukan tidur sekejap di waktu petang. Oleh itu, ibu bapa seharusnya tidak menghalang kanak-kanak untuk belajar di waktu petang di saat mereka sangat mengantuk. Kalau pun kanak-kanak ini belajar pada waktu itu, mereka akan mendapat ilmu yang sangat kurang disebabkan jam biologi mereka telah terganggu. Keadaan ini berterusan sehingga kanak-kanak tersebut berusia 10 tahun di mana kanak-kanak ini sudah tidak mampu untuk tidur lebih awal daripada jam 10 malam. Walaupun tidur pada waktu yang tepat adalah penting dan digalakkan namun ibu bapa harus memahami mengapa anak mereka yang baru meniti usia remaja menghadapi masalah sukar untuk melelapkan mata pada jam sebelum 10 malam. Penyelidik juga menemui corak penting dalam tidur remaja. Sebenarnya, remaja memerlukan kuantiti tidur yang sama seperti ketika mereka kanak-kanak iaitu 9 jam 15 minit. Walaubagaimanapun, kebanyakan remaja tidak mendapat jumlah tidur yang mereka perlukan. Apa yang membimbangkan adalah situasi yang dipanggil hutang tidur yang berlaku dikalangan remaja. Setiap hari, semakin banyak jumlah masa tidur yang dikorbankan oleh para remaja. Ini disebabkan waktu persekolahan yang bermula agak awal dan juga tabiat remaja yang suka
tidur lewat. Kekurangan tidur ini akan menyebabkan timbulnya perasaan mengantuk. Ini boleh menjurus kepada bahaya jika seseorang remaja itu menunggang motosikal atau memandu pulang dari sekolah. Mereka berisiko terlelap semasa memandu. Tumpuan terhadap pelajaran semasa di sekolah juga akan terjejas sama. Tidur juga mempunyai kesan terhadap proses pembelajaran dan kemampuan mengingat. Ibu bapa sememangnya mengetahui bahawa tidur memainkan peranan dalam membantu pembelajaran tetapi tidak ramai yang tahu bagaimana sebenarnya tidur membantu remaja dalam proses mengingat. Hakikatnya, otak memproses dan mempraktikkan pelajaran yang diajar sehari sebelum itu. Ini bermakna pembelajaran berterusan walaupun semasa remaja tersebut itu tidur. Malah kajian yang dibuat juga menunjukkan remaja yang tidur lebih lama selepas diajar sesuatu perkara akan menguasai perkara tersebut lebih baik berbanding remaja yang tidak mendapat tidur yang mencukupi atau tidak tidur langsung. Tidur yang mencukupi pada malam sebelum sebarang ujian atau peperiksaan adalah penting bagi seseorang pelajar. Membentuk tabiat tidur yang baik dikalangan remaja adalah sukar. Mereka menghadapi masalah untuk tidur awal serta tidak dapat mengawal masa untuk bangun pagi. Terdapat cara untuk mengubah keadaan ini tetapi ini memerlukan kejasama remaja itu sendiri. Ada yang berpendapat bahawa mendapat cahaya yang mencukupi semasa hari siang dan menutup lampu semasa tidur pada waktu malam dapat membantu remaja memperoleh kitar tidur-jaga yang seimbang. Waktu tidur yang sebaik-baiknya adalah pada pukul 10 malam. Pada masa yang sama, suasana tidur hendaklah tenang, tanpa muzik dan televisyen supaya tidur yang sempurna dapat diperoleh. Salah satu tabiat tidur di kalangan remaja yang wajar dielak ialah bangun lewat sehingga ke waktu tengahari pada hari hujung minggu. Ini akan menjejaskan kitar tidur-jaga remaja tersebut. Ini adalah antara penyebab waktu tidur remaja berbeza dengan ibu bapa mereka iaitu kerana jam biologi diri mereka telah keliru akibat lebihan masa tidur di waktu hujung minggu. Masyarakat terutamanya ibu bapa harus peka bahawa tanggapan bahawa remaja memerlukan tidur yang sedikit adalah salah. Sebaliknya, remaja juga memerlukan tidur yang sama banyak semasa mereka kanak-kanak bagi memastikan mereka mendapat tenaga dan tumpuan yang mencukupi bagi aktiviti hari esok mereka. Kesimpulannya, kitar tidur-jaga yang seimbang adalah penting bagi menjamin kecerdasan otak dan kecergasan tubuh badan remaja.