1.0
PENGENALAN
Proses penerbitan ayat sebenarnya berasal daripada konsep Tatabahasa TransformasiGeneratif, iaitu menukar dan menerbitkan ayat. Tatabahasa Transformasi-Generatif merupakan aliran transformasi generatif, iaitu satu aliran mazhab pengkaji bahasa yang telah dikemukakan oleh Noam Chomsky. Beliau merupakan seorang profesor linguistik yang telah menyumbangkan buah fikirannya berkaitan transformasi-generatif di Massachusetts Institute of Technology. Transformasi-generatif yang dikemukakan oleh Chomsky telah diperkenalkan pada tahun 1957 melalui penerbitan sebuah tesisnya yang bertajuk Syntactic Structure. Kemudiannya, teori transformasi-generatif ini telah diperbaiki dan diperluas oleh Chomsky dalam bukunya, Aspect of the Theory of Syntax yang memberi tumpuan pada makna dan ayat. Teori ini berpendapat bahawa setiap ayat yang dihasilkan mengandungi dua peringkat, iaitu struktur dalaman dan struktur permukaan. Struktur dalaman ialah struktur yang mengandungi ayat dasar atau ayat inti, manakala struktur permukaan pula ialah struktur yang telah mengalami perubahan daripada struktur dalaman dan juga merupakan bentuk ayat yang dituturkan oleh seseorang penutur. Mengikut hukum transformasi-generatif, struktur dalaman dan struktur permukaan diterbitkan oleh dua rumus tatabahasa. Rumus-rumus tersebut ialah Rumus Struktur Frasa dan Rumus Transformasi. Rumus Struktur Frasa akan membentuk ayat pada struktur dalaman, manakala Rumus Transformasi pula akan menerbitkan ayat pada peringkat permukaan. Ayat-ayat yang terhasil daripada kedua-dua bentuk tersebut biasanya tidak mempunyai persamaan. Ayat yang terhasil daripada struktur dalaman akan menjadi input kepada penerbitan ayat pada peringkat permukaan.
1
2.0
PROSES PENERBITAN AYAT Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008:538), penerbitan sesuatu ayat
dimaksudkan sebagai hasil daripada terlaksananya suatu proses gramatis, iaitu melibatkan pelaksanaan rumus transformasi yang berfungsi mengubah aturan atau struktur ayat serta memperluas sesuatu unsur dalam ayat atau frasa. Dalam bahasa Melayu, proses penerbitan ayat melibatkan proses pengguguran, proses penyusunan semula dan proses peluasan.
2.1
Proses Pengguguran
Proses pengguguran adalah satu proses transformasi yang berlaku pada struktur ayat yang mengakibatkan pengguguran unsur-unsur atau konstituen tertentu seperti pengguguran subjek, predikat dan sebagainya daripada binaan ayat asalnya. Proses pengguguran dalam bahasa Melayu ini mempunyai beberapa istilah lain yang digunakan oleh tokoh-tokoh bahasa. Asmah Haji Omar (1993:369) menggunakan konsep penghilangan bagi proses pengguguran ini. Beliau mendefinisikan penghilangan sebagai proses yang menghilangkan binaan-binaan tertentu daripada pola dasar. Menurut Arbak Othman (1980:77) pula, pengguguran juga disebut sebagai delesi. Abdullah Hassan et al. (2006:114) dan Nik Safiah karim et al. (2008:538) masing-masing bersetuju bahawa proses pengguguran utama dalam bahasa Melayu melibatkan pengguguran frasa nama sebagai subjek dan pengguguran frasa predikat. Walau bagaimanapun, Nik Safiah karim et al. (2008:538) berpendapat bahawa ada dua lagi jenis pengguguran utama, iaitu pengguguran frasa nama yang mendahului frasa relatif dan pengguguran kata nama yang berfungsi sebagai inti dalam frasa nama. 2.1.1
Pengguguran Frasa Nama sebagai Subjek Menurut Nik safiah karim et al. (2008:538), Arbak Othman (1980:82) dan
Abdullah Hassan et al. (2006:114), proses pengguguran frasa nama sebagai subjek boleh berlaku dalam ayat perintah yang melibatkan pengguguran subjek kata ganti nama diri orang kedua. Walau bagaimanapun, terdapat lagi penambahan proses pengguguran frasa nama sebagai subjek ini. Abdullah Hassan et al. (2006:115) menambah proses pengguguran juga boleh berlaku melalui pengguguran subjek kata
2
ganti nama orang ketiga dan pengguguran frasa nama. Nik safiah karim et al. (2008:538) juga ada menambah bahawa subjek yang serupa dalam ayat majmuk boleh digugurkan. Dapatlah disimpulkan di sini bahawa pengguguran frasa nama sebagai subjek terbahagi kepada empat jenis, iaitu pengguguran subjek kata ganti nama diri orang kedua dalam ayat perintah, pengguguran subjek kata ganti nama diri orang ketiga, pengguguran frasa nama dan pengguguran subjek frasa nama yang serupa dalam ayat majmuk. i.
Pengguguran subjek kata ganti nama diri orang kedua dalam ayat perintah Menurut Abdullah Hassan et al. (2006:114), ayat perintah atau dikenali sebagai
ayat suruhan merupakan ayat yang digunakan untuk memberi perintah atau arahan. Dalam ayat perintah, kata ganti nama diri orang kedua seperti engkau, awak, kamu dan sebagainya menjadi unsur pengisi dalam konstituen subjek. Contohnya: (1a)
Kamu, berhenti!
(1b)
Berhenti!
Dalam contoh ayat perintah di atas, subjek kata ganti nama diri orang kedua kamu telah digugurkan. Lazimnya, kata ganti nama diri orang kedua kamu berada di hadapan ayat perintah dan pengguguran konstituen subjek yang terdiri daripada kata ganti nama diri orang kedua tidak akan menimbulkan kekaburan kepada siapa ayat tersebut ditujukan. ii.
Pengguguran subjek kata ganti nama diri orang ketiga Menurut Abdullah Hassan et al. (2006:115), kata ganti nama diri orang ketiga
sebagai pengisi kepada konstituen subjek dalam ayat juga boleh digugurkan sekiranya konteks membenarkan. Hal ini bermaksud bahawa kata ganti nama diri orang ketiga itu sudah memberi maksud yang jelas daripada konteks sebenar ayat dan tidak perlu disebut atau dinyatakan dalam ayat lagi. Pengguguran subjek kata ganti nama diri orang ketiga ini dapat dijelaskan lagi berdasarkan contoh ayat di bawah: (2a)
Dia tidak akan ke sana lagi.
(2b)
Tidak akan ke sana lagi.
Subjek kata ganti nama diri orang ketiga dia dalam ayat (2a) boleh digugurkan kerana ayat (2b) telah membawa maksud yang jelas tanpa kehadiran subjek kata ganti nama diri orang ketiga dia.
3
iii.
Pengguguran frasa nama Menurut Abdullah Hassan et al. (2006:115), frasa nama juga dapat digugurkan
sekiranya konteks ayat sudah jelas dan tidak menimbulkan kekaburan pada ayat. Penerangan ini dapat dijelaskan lagi berdasarkan contoh ayat di bawah: (3a)
Rumah setinggan terbakar hangus.
(3b)
Terbakar hangus.
Dalam contoh ayat (3a), rumah setinggan merupakan frasa nama yang mengisi konstituen subjek dalam ayat. Frasa nama rumah setinggan boleh digugurkan seperti dalam ayat (3b) kerana sudah membawa maksud yang jelas dan boleh difahami. iv.
Pengguguran subjek yang serupa dalam ayat majmuk Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008:540), jika terdapat beberapa frasa nama
sebagai subjek yang serupa atau beridentiti sama dalam ayat-ayat yang bergabung menjadi ayat majmuk, maka subjek frasa nama yang serupa itu boleh digugurkan kecuali subjek frasa nama yang terdapat pada awal ayat majmuk. Contohnya: (4a)
Encik Sulaiman telah berjaya dalam perniagaan. Encik Sulaiman bekerja keras.
(4b)
Encik Sulaiman telah berjaya dalam perniagaan kerana bekerja keras.
Dalam contoh ayat (4a), terdapat subjek frasa nama Encik Sulaiman yang serupa dalam ayat yang berpotensi untuk bergabung bagi membentuk ayat majmuk. Jadi, subjek frasa nama Encik Sulaiman dalam ayat kedua yang serupa tersebut boleh digugurkan bagi membentuk ayat majmuk dengan menggunakan kata hubung kerana dalam ayat (4b). 2.1.2
Pengguguran Frasa Predikat Menurut Abdullah Hassan et al. (2006:116) dan Nik Safiah Karim et al.
(2008:542), pengguguran frasa predikat dalam bahasa Melayu melibatkan dua jenis, iaitu pengguguran seluruh frasa predikat dan pengguguran bahagian-bahagian tertentu dalam frasa predikat sahaja. i.
Pengguguran seluruh frasa predikat Nik Safiah Karim et al. (2008:542) dan Abdullah Hassan et al. (2006:116) masing
masing berpendapat bahawa pengguguran seluruh frasa predikat berlaku apabila
4
terdapat penggunaan frasa predikat yang serupa dalam ayat majmuk gabungan. Pengguguran frasa predikat yang serupa tersebut terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif atau frasa sendi nama. Kesemua frasa predikat yang serupa ini kecuali yang terakhir boleh digugurkan. (a)
Pengguguran seluruh predikat bagi frasa kerja yang serupa: Pengguguran frasa kerja yang serupa dalam ayat majmuk perlu dilakukan untuk
mengelakkan pengulangan frasa kerja yang serupa dalam ayat. (5a)
Hidayah tidak pernah bergaduh dan Shautha tidak pernah bergaduh.
(5b)
Hidayah dan Shautha tidak pernah bergaduh.
Contoh ayat (5a) mengandungi pengulangan predikat frasa kerja yang serupa dalam ayat majmuk gabungan, iaitu tidak pernah bergaduh. Oleh itu, predikat tidak pernah bergaduh dalam klausa pertama ini telah digugurkan seperti dalam ayat (5b). (b)
Pengguguran seluruh predikat bagi frasa nama yang serupa dalam ayat majmuk: Pengguguran frasa nama yang serupa dalam predikat berlaku apabila terdapat
penggunaan frasa predikat yang sama dalam ayat majmuk gabungan. Hal ini dapat dijelaskan lagi berdasarkan contoh di bawah: (6a)
Shuhada pegawai pertanian dan Hasina pegawai pertanian.
(6b)
Shuhada dan Hasina pegawai pertanian.
Ayat majmuk gabungan (6a) mengandungi penggunaan frasa nama pegawai pertanian yang serupa dan kesemua frasa predikat pegawai pertanian tersebut boleh digugurkan kecuali yang terakhir. Dalam ayat (6b), pegawai pertanian daripada ayat pertama telah digugurkan untuk mengelakkan pengulangan frasa nama yang serupa sebagai unsur pengisi predikat dalam ayat majmuk. (c)
Pengguguran seluruh predikat bagi frasa adjektif yang serupa dalam ayat majmuk: (7a)
Durian sangat manis dan manggis sangat manis.
(7b)
Durian dan manggis sangat manis.
Ayat (7a) mengandungi frasa predikat, iaitu frasa adjektif sangat manis yang serupa dalam ayat majmuk gabungan. Oleh itu, frasa adjektif sangat manis dalam klausa yang pertama telah digugurkan seperti dalam ayat (7b).
5
(d)
Pengguguran seluruh predikat bagi frasa sendi nama yang serupa dalam ayat majmuk: (8a)
Ibu di dapur dan nenek di dapur.
(8b)
Ibu dan nenek di dapur.
Dalam contoh ayat (8b), predikat frasa sendi nama di dapur dalam klausa pertama telah digugurkan kerana mengandungi frasa predikat yang sama dalam ayat majmuk (8a), iaitu frasa sendi nama di dapur. ii.
Pengguguran bahagian-bahagian frasa predikat Proses pengguguran boleh juga dialami oleh beberapa bahagian daripada frasa
predikat. Antaranya ialah oleh + FN dalam ayat pasif, kata bantu yang serupa dalam ayat, FN sebagai objek yang serupa dalam ayat dan FN sebagai objek selepas kata kerja yang membawa makna adjektif dalam ayat. Contohnya dalam ayat-ayat berikut: (9)
Perompak itu telah ditembak oleh polis. → Perompak itu telah ditembak.
(10)
Nenek tua itu masih hidup dan masih sihat. → Nenek tua itu masih hidup dan sihat.
(11)
Dia memanggil kami dan melambai kami. → Dia memanggil dan melambai kami.
(12)
Filem itu amat menyeramkan kami. → Filem itu amat menyeramkan.
Dalam ayat (9), oleh polis yang mengisi predikat dalam ayat pasif tersebut telah digugurkan. Kata bantu masih yang kedua dalam ayat (10) telah digugurkan sehingga tinggal satu sahaja. Ayat (11) pula mengandungi dua objek yang diisi oleh frasa nama kami yang sama. Oleh itu, objek kami yang hadir selepas kata kerja transitif memanggil telah digugurkan. Dalam ayat (12), objek yang diisi oleh frasa nama kami selepas kata kerja transitif menyeramkan yang membawa makna adjektif telah digugurkan. 2.1.3
Pengguguran Frasa Nama yang Mendahului Frasa Relatif Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008:557), frasa nama yang serupa yang
mendahului frasa relatif boleh digugurkan apabila dua ayat digabungkan dengan satu ayat dipancangkan ke dalam ayat yang satu lagi sebagai frasa relatif. Dalam bahasa Melayu, proses pengguguran jenis ini boleh berlaku dalam kedudukan frasa nama
6
sebagai subjek dan frasa nama yang mendahului frasa relatif dalam kedudukannya sebagai objek. Contohnya: (13)
Lelaki itu bapa saudara saya. Lelaki itu memandu kereta. → Lelaki yang memandu kereta itu bapa saudara saya. → Yang memandu kereta itu bapa saudara saya.
(14)
Abang membeli cincin pertunangan itu. Cincin pertunangan itu cantik. → Abang membeli cincin pertunangan yang cantik itu. → Abang membeli yang cantik itu.
Contoh dalam ayat (13) merupakan pengguguran frasa nama lelaki yang mendahului frasa relatif yang dalam kedudukan frasa nama sebagai subjek. Proses yang sama seperti itu turut berlaku terhadap frasa nama cincin pertunangan yang mendahului frasa relatif yang dalam kedudukannya sebagai objek seperti dalam contoh ayat (14). 2.1.4
Pengguguran Kata Nama yang Berfungsi sebagai Inti dalam Frasa Nama Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008:560), kata nama yang terkandung dalam
binaan frasa nama, KNinti + penerang, boleh digugurkan sehingga yang tertinggal dalam frasa nama itu hanya bahagian penerangnya, yang mungkin bukan daripada kelas kata nama. Contohnya dapat dilihat dalam ayat berikut: (15a) Kegiatan bersenam boleh menyihatkan badan. (15b) Bersenam boleh menyihatkan badan. Dalam ayat (15a), kegiatan bersenam berfungsi sebagai frasa nama yang mengandungi kata nama inti kegiatan dan bersenam (kata kerja) sebagai unsur penerang. Jadi, kata nama inti kegiatan dalam frasa nama kegiatan bersenam boleh digugurkan sehingga membentuk ayat (15b) dan kata kerja bersenam dalam (15b) berfungsi sebagai frasa nama setelah menghilangkan ciri-ciri tipikalnya. 2.2
Proses Penyusunan Semula Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008:562), bentuk perkataan dalam ayat asal
diubah susunannya dan diterbitkan semula dalam satu struktur ayat gramatis yang baharu dalam proses penyusunan semula. Secara asasnya, makna pada ayat tidak mengalami perubahan apabila melalui proses ini. Terdapat istilah lain yang digunakan
7
bagi proses penyusunan semula ini, iaitu Arbak Othman (1980:77) menyebut proses penyusunan semula ini sebagai proses pergerakan yang bermaksud pergerakan unsurunsur dari satu tempat dalam satu struktur ke satu tempat lain dalam struktur yang lain. Nik Safiah Karim et al. (2008:562) dan Abdullah Hassan et al. (2006:117) masing-masing sependapat dalam membahagikan proses penyusunan semula dalam bahasa Melayu kepada tiga jenis, iaitu penyusunan semula frasa nama sebagai subjek, penyusunan semula frasa nama sebagai objek dan penyusunan semula melalui ayat songsang. Walau bagaimanapun, Arbak Othman (1980:80) ada menambah satu lagi proses penyusunan semula, iaitu transformasi relatif. Asmah Haji Omar (1993:371) pula tidak membuat pecahan-pecahan kecil dalam proses penyusunan semula ini seperti Nik Safiah Karim dan Abdullah Hassan. 2.2.1
Penyusunan Semula Frasa Nama sebagai Subjek Nik Safiah Karim et al. (2008:562), Abdullah Hassan et. al (2006:117) dan
Asmah
Haji
Omar
(1993:371)
masing-masing
bersependapat
bahawa
proses
penyusunan semula boleh berlaku melalui proses transformasi pasif. Dalam proses ini, struktur ayat aktif berubah menjadi pasif, manakala objek pula menjadi judul ayat. Contohnya dalam ayat-ayat berikut: (16a) Ayah memandu kereta besar itu. (16b) Kereta besar itu dipandu oleh ayah. (17a) Shahnon Ahmad telah menyiapkan novel terbaharu. (17b) Novel terbaharu telah disiapkan oleh Shahnon Ahmad. Kereta besar itu dalam ayat (16b) dan novel terbaharu dalam ayat (17b) merupakan objek yang telah disusun semula menjadi judul ayat melalui proses transformasi pasif daripada ayat aktif (16a) dan (17a), sementara subjek asal ayah dalam (16a) dan Shahnon Ahmad dalam (17a) pula berpindah kepada kedudukan selepas kata kerja dipandu (16b) dan telah disiapkan (17b). Selain ragam ayat pasif di atas, terdapat satu lagi ragam ayat pasif dalam bahasa Melayu yang melibatkan penggunaan kata ganti nama diri orang pertama dan kedua sebagai subjek dalam ayat aktif. Contohnya dalam ayat-ayat di bawah: (18a) Kami menentang pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
8
(18b) Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kami tentang. (19a) Kamu belum melangsaikan hutang saya. (19b) Hutang saya kamu belum langsaikan. Imbuhan meN- pada kata kerja menentang dalam (18a) dan melangsaikan dalam (19a) tidak boleh digantikan dengan di- apabila ayat tersebut mengalami transformasi pasif seperti dalam (18b) dan (19b). 2.2.2
Penyusunan Semula Frasa Nama sebagai Objek Nik Safiah Karim et al. (2008:566), Abdullah Hassan et al. (2006:117) dan Arbak
Othman (1980:78) masing-masing bersependapat dalam membahagikan proses penyusunan semula dalam bahasa Melayu kepada penyusunan semula frasa nama sebagai objek. Walau bagaimanapun, Arbak Othman (1980:78) menyebut proses penyusunan semula jenis ini sebagai pergerakan objek (datif). Asmah Haji Omar (1993:371) pula tidak mengelaskan proses penyusunan semula kepada jenis penyusunan semula frasa nama sebagai objek, namun beliau ada menyatakan bahawa proses penyusunan semula akan menyebabkan susunan struktur ayat berubah. Penyusunan semula frasa nama sebagai objek ini berlaku dalam ayat aktif transitif yang mengandungi dua objek, iaitu objek tepat dan objek sipi. Contohnya dalam ayat-ayat di bawah: (20a) Kami sekeluarga membacakan nenek Surah Yaasin. (21a) Yang Dipertuan Agong menganugerahi Azhar Mansor bintang kehormatan. Ayat-ayat di atas mengandungi objek tepat dan objek sipi, iaitu nenek (20a) dan Azhar Mansor (21a) sebagai objek tepat serta Surah Yaasin (20a) dan bintang kehormatan (21a) sebagai objek sipi. Ayat-ayat di atas boleh disusun semula dengan menukar ganti kedudukan kedua-dua objek ini, iaitu dengan mengubah objek sipi Surah Yaasin (20a) dan bintang kehormatan (21a) pada kedudukan selepas kata kerja mambaca (20b) dan menganugerahkan (21b) untuk menjadikannya objek tepat yang baharu dan kedudukan objek tepat nenek dan Azhar Mansor dalam ayat asal diubah ke bahagian akhir dengan didahului oleh kata sendi untuk (20b) dan kepada (21b) supaya dapat berfungsi sebagai keterangan dalam ayat (20b) dan (21b). (20b) Kami sekeluarga membaca Surah Yaasin untuk nenek.
9
(21b) Yang Dipertuan Agong menganugerahkan bintang kehormatan kepada Azhar Mansor. 2.2.3
Penyusunan Semula Melalui Ayat Songsang Nik Safiah Karim et al. (2008:568) dan Abdullah Hassan et al. (2006:117)
masing-masing bersependapat bahawa proses penyusunan semula berlaku juga pada ayat songsang. Menurut Abdullah Hassan et al. (2006:117), proses penyusunan semula melalui ayat songsang melibatkan penjudulan predikat atau adverba (frasa keterangan). Arbak Othman (1980) pula tidak mengaitkan langsung proses penyusunan semula ini melalui ayat songsang. Asmah Haji Omar (1993:371) tidak menyebut proses ini secara langsung dalam proses penyusunan semula, tetapi beliau ada memberikan beberapa contoh berkaitan dengan penyusunan semula melalui ayat songsang. Asmah ada memberikan contoh seperti berikut: (22a) Lambat-lambat dia mengemaskan kedudukannya. (A-S-P-O) Ayat (22a) ini telah disongsangkan daripada ayat (22b) di bawah yang mengandungi pola subjek-predikat-objek-ajung (adverba atau keterangan). Ajung berasal daripada “ adjuncts ” dalam bahasa Inggeris. Menurut Keith Brown dan Jim Miller (1991:336), “ adjuncts “ lazimnya berfungsi sebagai keterangan sama ada frasa adverba, frasa sendi nama, kata adverba atau sebahagian daripada klausa yang menerangkan masa, tempat, cara dan sebagainya yang berfungsi sebagai keterangan. Dalam ayat (22a), keterangan lambat-lambat (frasa adverba) telah dikedepankan. (22b) Dia mengemaskan kedudukannya lambat-lambat. (S-P-O-A) Penyusunan semula melalui ayat songsang ini dalam bahasa Melayu berlaku apabila predikat dan keterangan (frasa sendi nama atau frasa adverba) hendak difokuskan atau diberi penekanan. Contohnya dalam ayat-ayat yang berikut: (23)
Tinggal di desa Terenas mereka. (pendepanan seluruh predikat)
(24)
Semalam bapa memukul abang Suman. (pendepanan frasa adverba)
(25)
Kerana dia hendak mengeluarkan wang, Aminah ke Maybank. (pendepanan frasa sendi nama)
Dalam ayat (23), predikat tinggal di desa Terenas telah dikedepankan apabila disusun semula melalui ayat songsang. Begitu juga dengan ayat (24) dan (25), frasa adverba semalam (24) dan frasa sendi nama kerana dia hendak mengeluarkan wang
10
(25) yang berfungsi sebagai keterangan telah dikedepankan untuk memberi penekanan kepada keterangan dalam ayat. Selain ketiga-tiga proses penyusunan semula ini, Arbak Othman (1980:80) dan Asmah Haji Omar (1993:371) ada menambah beberapa proses penyusunan semula lagi. Asmah Haji Omar (1993:371) berpendapat bahawa proses penyusunan semula tidak terbatas pada pemindahan tempat tetapi juga meliputi pemisahan unsur, iaitu terdapat selaan pada unsur berkenaan oleh unsur lain. Unsur-unsur yang mengalami pemisahan di sini ialah predikat dan ajung (adverba atau keterangan). Contohnya dalam ayat-ayat berikut: (26)
Dia tidak pernah dari dahulu memberitahu mereka tentang hal itu.
(27)
Semangatnya betul-betul terbang waktu itu.
Ayat (26) menunjukkan pemisahan unsur predikat pernah memberitahu mereka tentang hal itu disebabkan penyelaan ajung dari dahulu dan ayat (27) menunjukkan pemisahan ajung betul-betul waktu itu oleh predikat terbang. Arbak Othman (1980:80) pula ada menambah proses transformasi relatif dalam proses penyusunan semula ini. Suatu ayat dalam bahasa Melayu boleh berlaku dengan urutan FN + ayat yang boleh tertakluk kepada satu FN, dan jika ayat menakluki satu frasa nama yang sama dengan FN dalam urutan FN + ayat, maka FN yang tertakluk itu akhirnya menjadi yang (Arbak Othman, 1980:80). Contohnya: (28a) Kereta yang besar itu milik Dato’ Shahidan. Ayat di atas terhasil melalui proses transformasi relatif daripada ayat berikut: (28b) [ kereta[ kereta itu besar ] milik Dato’ Shahidan ] Ayat (28a) mengalami transformasi relatif kerana mempunyai frasa nama kereta yang sama seperti dalam (28b) dan frasa nama kereta yang tertakhluk itu perlu digantikan dengan yang, manakala frasa adjektif besar dalam (28b) perlu dipindahkan daripada kedudukan selepas kata penentu belakang itu kepada kedudukan sebelumnya melalui transformasi pergerakan adjektif seperti dalam (28a). Sebenarnya, proses transformasi relatif ini ada disebut oleh Nik Safiah Karim et al. (2008:557 dan 569-575) dan Asmah Haji Omar (1993:368-369) dalam proses pengguguran dan peluasan, manakala Abdullah Hassan et al. (2006:118) menyentuhnya dalam proses peluasan. Ketiga-tiga tokoh ini tidak menggolongkan proses ini dalam proses penyusunan semula ayat seperti yang dilakukan Arbak Othman.
11
2.3
Proses Peluasan Ayat Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008:569), proses peluasan ayat ialah proses
yang menambahkan unsur-unsur dalam ayat baharu. Terdapat istilah lain yang digunakan untuk merujuk proses peluasan ini. Arbak Othman (1980:81) menggunakan konsep penambahan bagi menerangkan proses peluasan ayat. Proses penambahan ini melibatkan penambahan unsur be-en dan by dalam bahasa Inggeris atau di dan oleh dalam bahasa Melayu bagi membentuk ayat pasif. Nik Safiah Karim et al. (2008:569) dan Abdullah Hassan et al. (2006:118-119) berpendapat bahawa proses peluasan ayat dalam bahasa Melayu boleh berlaku melalui peluasan frasa nama sebagai subjek, peluasan frasa predikat, peluasan dengan kata hubung, dan peluasan melalui proses komplementasi. Walau bagaimanapun, Abdullah Hassan et al. (2006:119) ada menambah satu lagi jenis peluasan, iaitu peluasan dengan frasa adverba. 2.3.1
Peluasan Frasa Nama sebagai Subjek Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008:569) dan Abdullah Hassan et al.
(2006:118), frasa nama sebagai subjek boleh diluaskan melalui proses relativisasi, iaitu memancangkan frasa relatif pada klausa induk. Frasa relatif ini terbina dengan menggunakan kata relatif yang. Asmah Haji Omar (1993:368) menyebut proses ini sebagai pelapisan terbatas. Contohnya: (29a) Baju baharu adik itu dilepaskan. (29b) Baju baharu adik itu masih erat dipegangnya. (29c) Baju baharu adik yang masih erat dipegangnya itu dilepaskan. Ayat (29b) dipancangkan pada klausa induk (29a) melalui
proses relativiasi.
Ayat (29b) telah dipancangkan pada ayat (29a) dan menghasilkan satu ayat baharu (29c). Dalam
ayat
(29c), subjek
baju baharu adik telah diluaskan dengan
memancangkan frasa relatif yang masih erat dipegangnya pada ayat (29a). 2.3.2
Peluasan Frasa Predikat Menurut Abdullah Hassan et al. (2008:118) dan Nik Safiah Karim et al.
(2008:572), frasa nama yang berfungsi sebagai predikat juga boleh diperluas dengan
12
syarat frasa nama dalam ayat pertama mestilah menjadi subjek dalam ayat yang ingin dipancangkan. Contohnya dalam ayat berikut: (30a) Mama menjual kerongsang itu. (30b) Kerongsang itu cantik. (30c) Mama menjual kerongsang yang cantik itu. Dalam ayat (30a), kerongsang itu berfungsi sebagai predikat dan boleh diluaskan dengan memancangkan ayat (30b) pada ayat (30a) melalui proses relativisasi untuk membentuk ayat baharu. Frasa relatif yang cantik telah dipancangkan pada predikat menjual kerongsang itu dalam ayat (30a) dan membentuk ayat (30c) yang baharu. Asmah Haji Omar (1993:368) juga menamai proses ini sebagai pelapisan terbatas. 2.3.3
Peluasan dengan Kata Hubung Abdullah Hassan et al. (2006:119), Nik Safiah Karim et al. (2008:575) dan
Asmah Haji Omar (1993:369) menyatakan bahawa proses peluasan ini berlaku apabila ayat yang mempunyai konstituen yang sama digabungkan menggunakan kata hubung seperti dan, tetapi, kerana, jika, dan sebagainya. Setiap kata hubung ini boleh digunakan untuk menggabungkan dua ayat atau lebih bagi menghasilkan ayat terbitan yang bersifat peluasan. Peluasan dengan kata hubung ini juga disebut oleh Asmah Haji Omar (1993:369) sebagai penggabungan. Proses peluasan jenis ini dapat dilihat dalam contoh berikut: (31a) Abangnya pandai bermain bola sepak. (31b) Adiknya tidak pandai bermain bola sepak. (31c) Abangnya pandai bermain bola sepak tetapi adiknya tidak pandai. Ayat (31c) di atas telah diluaskan dengan menggabungkan ayat (31a) dan (31b) dengan menggunakan kata hubung tetapi bagi membentuk ayat terbitan yang baharu. 2.3.4
Peluasan Melalui Proses Komplementasi Peluasan melalui proses komplementasi ini bermaksud proses mengubah
sesuatu ayat menjadi frasa nama, dan memancangkannya pada suatu ayat lain sehingga menghasilkan peluasan dalam ayat tersebut. Contoh ayat: (32a) Azri memberitahu sesuatu. (32b) Salina telah berkahwain.
13
(32c) Azri memberitahu bahawa Salina telah berkahwin. Ayat (32c) telah diperluas melalui proses komplementasi. Ayat Salina telah berkahwin dalam (32b) berubah fungsinya menjadi frasa nama dan dipancangkan pada binaan Azri memberitahu sesuatu dalam (32a). Kata hubung komplemen bahawa dalam ayat (32c) menandakan berlakunya proses komplementasi. 2.3.5
Peluasan dengan Frasa Adverba Abdullah Hassan et al. (2008:119) juga ada menyatakan bahawa proses
peluasan ayat boleh berlaku melalui peluasan dengan frasa adverba, iaitu penambahan unsur keterangan dalam ayat dasar. Contohnya: (33a) Orang alim itu solat. (33b) Orang alim itu solat dengan khusyuk. Ayat dasar (33a) telah diperluas dengan menambah frasa adverba dengan khusyuk pada predikat frasa kerja solat dalam ayat tersebut. Frasa adverba dengan khusyuk dalam (33b) ini berfungsi sebagai keterangan bagi predikat solat.
3.0
KESIMPULAN
Proses penerbitan ayat terbentuk apabila beberapa unsur, sama ada unsur perkataan atau unsur frasa mengalami penambahan pada frasa subjek atau frasa predikat sesuatu ayat dasar (Ahmad Khair Mohd Nor, 2003:147). Terdapat tiga proses penerbitan ayat dalam bahasa Melayu, iaitu proses pengguguran, proses peluasan dan proses penyusunan semula. Pendapat Nik Safiah Karim et al. (2008), Asmah Haji Omar (1993), Abdullah Hassan et al. (2006) dan Arbak Othman (1980) berkaitan proses penerbitan ayat adalah hampir sama, namun agak berbeza dari segi penggunaan istilah dan pembahagiannya. Nik Safiah Karim et al. (2008) dan Abdullah Hassan et al. (2006) sependapat dalam penggunaan istilah pengguguran, penyusunan semula dan peluasan ayat. Asmah Haji Omar (1993) pula menggunakan istilah lain bagi proses pengguguran ayat, iaitu penghilangan. Selain itu, Arbak Othman (1980) pula menggunakan istilah delesi yang berasal daripada “delection” dalam bahasa Inggeris untuk proses pengguguran, pergerakan untuk proses penyusunan semula dan penambahan untuk proses peluasan.
14
Berdasarkan pendapat Abdullah Hassan et al. (2006) dan Nik Safiah karim et al. (2008) berkaitan dengan proses pengguguran ayat, dapatlah disimpulkan bahawa proses peluasan yang utama dalam bahasa Melayu terbahagi kepada empat, iaitu pengguguran frasa nama sebagai subjek, pengguguran frasa predikat, pengguguran frasa nama yang mendahului frasa relatif, dan pengguguran kata nama yang berfungsi sebagai inti dalam frasa nama. Dalam proses penyusunan semula pula, Nik Safiah Karim et al. (2008) dan Abdullah Hassan et al. (2006) masing-masing sependapat dalam membahagikan proses penyusunan semula dalam bahasa Melayu kepada tiga jenis, iaitu penyusunan semula frasa nama sebagai subjek, penyusunan semula frasa nama sebagai objek dan penyusunan semula melalui ayat songsang. Walau bagaimanapun, Arbak Othman (1980) ada menambah satu lagi proses penyusunan semula, iaitu transformasi relatif, manakala Asmah Haji Omar (1993) pula tidak membuat pecahanpecahan kecil dalam proses penyusunan semula ini seperti yang dibuat oleh Nik Safiah Karim dan Abdullah Hassan. Di samping itu, Nik Safiah Karim et al. (2008) dan Abdullah Hassan et al. (2006) juga bersependapat bahawa proses peluasan ayat dalam bahasa Melayu boleh berlaku melalui peluasan frasa nama sebagai subjek, peluasan frasa predikat, peluasan dengan kata hubung, dan peluasan melalui proses komplementasi. Walau bagaimanapun, Abdullah Hassan et al. (2006) menambah satu lagi bentuk peluasan, iaitu peluasan dengan frasa adverba (keterangan).
15
RUJUKAN
Abdullah Hassan, Seri Lanang Jaya Rohani, Razali Ayob dan Zulkifli Osman, (2006). Sintaksis Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd. Ahmad Khair Mohd Nor, (2003). Pengantar Sintaksis Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications Distributors Sdn. Bhd. Arbak Othman, (1980). Pengantar Teori Sintaksis: Satu Pengenalan Konsep Tatabahasa Transformasi-Generatif. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise. Asmah Hj. Omar, (1993). Nahu Melayu Mutakhir Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Keith Brown dan Jim Miller, (1991). Syntax: A Linguistic Introduction to Sentence Structure Second Edition. New York: Routledge. Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa & Abdul Hamid Mahmood (2008). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
16