PROFESION PERGURUAN DAN CABARAN-CABARAN 1. Konsep kerjaya profesional Jacques (2003), sesuatu kerjaya dikatakan bertaraf profesional jika penjawatnya mempunyai autonomi profesional; bertanggung jawab; berorganisasi; adil; berpendidikan; berkemahiran; berperaturan diri; bebas; terbuka; nutral; akauntabel dan terpelajar. Lieberman pula, sesuatu profesion bertaraf profesional ialah, memberi perkhidmatan penting dan mempunyai matlamat yang jelas; menggunakan keupayaan serta kebolehan intelek semasa menjalankan tugas-tugas profesionalnya; mendapat latihan yang khusus dalam bidang kemahiran ikhtisas dalam tempoh masa tertentu; mementingkan mutu serta dedikasi yang tinggi dengan tidak mementingkan keuntungan wang atau saraan semata-mata; pakar dalam bidang masing-masing serta mempunyai kuasa autonomi dalam tugas dan tanggung jawabnya; mempunyai organisasi yang berkuasa menentukan kriteria untuk kemasukan dan mengawal mutu perkhidmatan ahli-ahlinya; dan mempunyai etika perkhidmatan yang perlu dipatuhi oleh setiap ahli dalam profesion itu (Amir Hassan Dawi, 2002 dan Sufean Husin, 1996). Menurut Kizlik (2000), sesuatu kerjaya yang bertaraf profesional perlu boleh memberi perkhidmatan kepada masyarakat; boleh membuat keputusan ke atas pelanggan; mempunyai bidang pengkhususan yang tertentu; mempunyai ketinggian pengetahuan; kemahiran dan tingkahlaku yang tidak dipunyai oleh non-profesional; mempunyai organisasi profesionalnya sendiri; mempunyai standard kriteria untuk dipenuhi oleh ahli baru; mempunyai program bagi penyediaan ahli baru; dipercayai dengan yakin oleh pihak awam; dan mempunyai autoriti dalam amalannya. Musgrave (1972), pula menganggap bahawa sesuatu kerjaya adalah bertaraf profesional jika pengamal kerjaya tersebut menggunakan ilmunya hanya untuk faedah pelanggan. Flexner (1915), kerjaya profesional adalah dirujuk kepada enam ciri. Pertama adalah berkait dengan penglibatan operasi intelektual di dalam tugasnya. Kedua adalah berkait dengan keilmuan yang dipunyai dan dipraktikkan. Ketiga adalah kejelasan matlamat yang praktikal. Keempat merujuk kepada kemahiran yang berasas kepada ilmu. Kelima adalah berorientasikan kepada keperluan masyarakat. Keenam ialah tidak untuk kepentingan diri sendiri dengan mengenepikan kepentingan sosial.
2. Profesionalisme Socket dalam Hawke & Hawke (2002), profesionalisme adalah amalan berkualiti dan pekerjaan yang berstatus dalam masyarakat. Lebih-lebih lagi dalam arus pembangunan masa kini yang mendesak kepada peningkatan kualiti dalam semua bidang perkhidmatan sosial (Wan Mohd. Zahid, 1993). Hammond, Wise & Klein (1999), profesion yang memberi khidmat kepada orang awam perlu kepada kawalan kualiti. Ini kerana orang awam yang mendapat perkhidmatan jarang mengetahui perkara-perkara yang menjadi amalan dalam sesuatu profesion tersebut. Perkhidmatan yang tidak sesuai yang diberikan akan membawa akibat buruk kepada pelanggan.
3. Mekanisme Pengekalan Kualiti Profesionalisme Antara yang biasa digunakan ialah sistem akreditasi, perlesenan dan pensijilan lanjutan (Hammond, Wise & Klein, 1999). Contohnya Di Amerika Syarikat, National Board of Medical Examiners Examination adalah peperiksaan bagi bidang perubatan manakala Architecture Registration Exam ialah bagi bidang seni bina untuk jaminan kualiti profesion masing-masing. Mempunyai badan profesionalnya masing-masing, badan ini biasanya telah menetapkan standard kompetensinya sendiri bagi menjaga standard profesion mereka selaras dengan tahap
profesionalismenya (Amir Hassan Dawi, 2002; Kizlik, 2000; Sufean Hussin; 1996).
4. Perguruan sebagai kerjaya bertaraf profesional Perguruan adalah kerjaya yang bertaraf profesional (Jacques, 2003; Sachs, 2003; Menteri Pendidikan, 2000; BPPPDP, 1996; Ibrahim Bajunid, 2000; Kamarudin Kachar, 2000; Amir Hassan Dawi, 2002; Elliot, 2002; Abdul Rahman dan Zakaria, 2001; Squires, 1999; Hammond, Wise & Klein 1999; Soetjipto & Raflis Kosasi, 1999; Wan Mohd Zahid, 1997; Sufean Hussin, 1996; Ornstein & Levine 1984). 5. Hujah bahawa guru adalah profesional Kementerian Pendidikan Malaysia melihat profesion perguruan sebagai ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan profesion yang lain kerana khidmat golongan pendidik adalah melewati ruang tempat, masa dan ketika (Menteri Pendidikan, 2000). Sufean Hussin (1996) berpendapat, terdapat banyak kriteria yang menunjukkan bahawa perguruan adalah bertaraf profesional dan kesemua kriteria tersebut adalah selaras dengan apa yang digariskan oleh Lieberman. Guru-guru terlatih dalam tempoh latihan yang mencukupi, mampu menjalankan tanggung jawabnya sebagai pendidik profesional yang cekap; dengan menggunakan sumber-sumber yang ada sebaik mungkin (Kamarudin Kachar, 2000; Sufean Hussin, 1996). Latihan perguruan adalah setara dan bermutu sebagai yang ditentukan oleh badan penilai yang mempunyai autoriti serta mempunyai pengalaman dalam profesion perguruan. Sebagai contoh Di England dan Wales, Teacher Training Agency (TTA) adalah badan yang bertanggung jawab menjaga ketinggian martabat profesion perguruan (Elliot, 2002). Perkhidmatan perguruan adalah diasaskan oleh satu kod etika yang menggariskan tatasusila dan tingkah laku guru dalam perkhidmatan yang bermatlamatkan aspirasi dan kehendak negara. Di Malaysia perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam Falsafah Pendidikan Guru (FPG) yang dijadikan asas kepada penetapan Kriteria Guru Yang Unggul (Malaysia Ministry of Education, 1982). Falsafah Pendidikan Guru adalah untuk melahirkan guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menjunjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. (Malaysia Ministry of Education, 1982) THE IDEAL MALAYSIAN TEACHER Taking into consideration our social and cultural milieu in which national unity and social cohesiveness is of prime importance, we believe that the ideal Malaysian teacher is one who is noble in character has deep moral and religious conviction is human, yet progressive and scientific in outlook upholds the aspirations of the nation cherishes the national cultural heritage has a positive attitude towards learning, the school and society; and, being endowed with these attributes promotes the all-round development of the child
is loyal to his profession; and ensures the preservation of a united, democtaric and progressive and diciplined society.
Mempunyai badan persatuan yang mengawal tindak-tanduk ahli-ahli. Kesatuan Guru-guru Melayu Bersatu (KGGMB) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) adalah antara badan yang terlibat dalam hal yang berkaitan di negara ini. Terdapat empat puluh lapan buah persatuan guru di negara ini yang boleh disertai oleh guru-guru (Menteri Pendidikan , 2000). Selain daripada itu Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (SPP) adalah suruhanjaya bebas yang bertindak sebagai badan mengawal kemasukan dalam profesion perguruan.
5. Ciri-ciri Perguruan Sebagai Kerjaya Profesional Terdapat empat ciri umum sehingga perguruan dianggap sebagai kerjaya profesional iaitu pengetahuan guru tentang perguruan yang melebihi pengetahuan orang kebiasaan yang bukan guru; profesion yang mempunyai piawaian kemasukan tertentu atau perlesenan; autonomi dalam membuat keputusan; dan martabat atau status ekonomi yang kukuh (Ornstein, 1995; Ornstein & Levine,1984). Ciri-ciri tersebut adalah kesemuanya dipunyai oleh guru. Robert & Joanne (2001), yang menjadikan guru sebagai profesion ialah “the range of demands placed on educators, the numbers of people involved in the enterprise, and the public’s common knowledge of life in classroom combine to make teaching what might be called people profession”
6 Perkembangan kriteria profesional keguruan Beberapa dekad yang lalu, profesion perguruan di negara ini adalah profesion yang disanjung dan dipandang tinggi dalam masyarakat (Ibrahim Bajunid, 2000; Hasnah & Shamsudin, 2000; Abd. Rahim Abd. Rashid, 2000; Robiah Sidin, 1998; Sufean Hussin, 1996). Ibu bapa menghantar anak-anak mereka untuk dididik oleh guru dengan penuh harapan dan keyakinan yang tinggi dengan kata-kata antara lain seperti berikut. ‘Please educate my child and make him/her a person. Treat my child like your own. Do what you will with my child, punish when necessary in any way that does not involve blinding the child or breaking his bones’
(Ibrahim Bajunid, 2000) Guru adalah dianggap sebagai gedung ilmu yang serba mengetahui dengan keupayaan tersendiri serta kualiti peribadi yang diterima oleh masyarakat. Di dalam bilik darjah, peranan guru adalah seperti ‘sage on stage’ (Ibrahim Bajunid, 2000). Pengikhtirafan tentang kriteria guru adalah bersifat tempatan oleh masyarakat setempat. Maksudnya tiadalah tersurat dengan rasmi akan kriteria bagi seseorang guru di peringkat kebangsaan. Semenjak tahun 1980, hala tuju profesion perguruan adalah berasaskan syor dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dikeluarkan pada tahun 1979 (Ratnavadivel, 2000). Mulai 1982 pula, kriteria guru di negara ini adalah dengan rasminya ditetap berasaskan Falsafah Pendidikan Guru (FPG). Di peringkat pra perkhidmatan lagi, bakal-bakal guru dididik ke arah menepati hasrat FPG (Malaysia Ministry of Education, 1982). Falsafah Pendidikan Guru adalah untuk melahirkan guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menjunjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. (Malaysia Ministry of Education, 1982)
Othman Lebar (2002), profesion perguruan sedang bergerak kearah pragmatisme dan konstruktivisme. Oleh yang demikian kriteria tradisional guru iaitu ‘sage on stage’ jelas sudah tidak sesuai lagi, sebaliknya guru adalah ‘the guide by the side’ (Othman Lebar, 2002; Ibrahim Bajunid, 2000). Atau kriteria tradisional ‘teacher as a rational autonomous agent’ yang ala Platonik diganti dengan kriteria baru yang lebih memberi penekanan kepada ‘standards driven professional development’ (Elliot, 2002). Bagi tujuan ini banyak saranan telah diajukan oleh para sarjana. Umpamanya, semasa dalam perkhidmatan, seseorang guru akan melalui proses on the job training (Eraut, 1994). Konsep ini adalah selaras dengan konsep pendidikan sepanjang hayat. Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, soal profesionalisme guru dalam profesion perguruan adalah sangat dititikberatkan. Di Minnesota, Amerika Syarikat, sebuah badan profesional bagi profesion perguruan iaitu Minnesota Board of Teacher (MBOT) adalah bertanggung jawab memastikan pengeluaran lesen guru. Di Scotland, United Kingdom pula, Quality Assurance Agency for Higher Education (QAAHE) ialah sebuah badan professional yang bertanggung jawab sama seperti MBOT.
7. Cabaran guru sekolah dalam abad ke-21 Guru-guru khasnya dan profesion perguruan amnya, adalah tidak terkecuali daripada terlibat dengan keadaan perubahan akibat daripada internationalisme dan globalisasi (Ibrahim Abu Shah, 2002; Rohaty Majzub, 2000; Wan Liz Ozman, 2000; Kim, 1995). Ini memandangkan guru adalah agen perubahan.
Cabaran dalam bilik darjah Menurut Wan Mohd. Zahid (1993), pada abad ke-21, para pelajar perlu dikembangkan potensinya yang ada di hemisfera otak kanan dan di hemisfera otak kirinya secara seimbang. Dari sudut proses pengajaran dan pembelajaran pula, dalam abad ke-21 para pelajar akan mendapat
pelbagai kemudahan, termasuk kemudahan ICT sebagai yang dirancang untuk membantu mereka dalam proses pembelajaran bestari. Dalam proses penilaian pelajar pula, penilaian kemajuan berasaskan sekolah (PKBS); penilaian hasil pembelajaran (learning outcomes); pelaksanaan penanda aras (bench marking); dan ujian atau peperiksaan secara talian terus (on-line) akan menjadi perkara biasa untuk dilaksanakan dalam abad ke21. Menurut Wise (1999) ‘Increasingly, technology is poised to revolutionize teaching, learning and assessment’.
Cabaran di sekolah Persidangan Pendidikan ke-5 dalam tahun 1997 merumuskan bahawa cabaran besar dalam abad ke-21 selain daripada ledakan ilmu yang berbentuk global ialah masalah sosial yang perlu ditangani dan di atasi ke arah membentuk masyarakat madani (Mohamad, 1998). Perdana Menteri Malaysia menegaskan bahawa kepentingan sistem pendidikan menyediakan ‘generasi kedua’ atau ‘generasi wawasan’ memerlukan piawaian baru termasuk mengurangkan masalah gejala sosial pelajar seperti ponteng sekolah dan lepak serta salah laku yang lain (Wan Mohd. Zahid, 1997). Walau bagaimanapun permasalahan ini masih terus meningkat kerana kadar pertambahan bilangan pelajar yang terus meningkat. Untuk tempoh dari tahun 1990 hingga 2000, didapati tingkatan 1 mengalami pertambahan 34.0%, tingkatan 2 mengalami pertambahan 47.5%, tingkatan 3 mengalami pertambahan 44.2%, tingkatan 4 mengalami pertambahan 90.1% dan tingkatan 5 mengalami pertambahan 96.0% (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001). Berdasarkan analisis ini, pertambahan bilangan pelajar akan terus meningkat pada kadar 8.9% sehingga tahun 2010. Ini menjadi cabaran kepada sekolah dan guru-guru, kerana masalah kemudahan prasarana adalah tidak mencukupi. Sehingga tahun 2000, terdapat 40,021 bilik darjah bagi sekolah menengah yang menampung 57, 581 kelas, yang bermakna setiap bilik darjah adalah untuk 1.4 buah kelas (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001). Dengan kata lain masih wujud ‘kelas terapung’. Ini jelas tidak mencukupi dan boleh mendatangkan masalah lain seperti masalah displin, masalah sosial dan lain-lain selain daripada masalah pembelajaran. Jumlah pelajar yang terlibat dengan kes disiplin semakin hari semakin meningkat (Shahril @ Charil & Habib, 1999). Pada tahun 1993 sebanyak 36.7% daripada keseluruhan pelajar dikenakan tindakan amaran; 15.66% diberi nasihat; 16.8% dirotan sekali; 8.18% dirotan dua kali; 2.27% dirotan tiga kali; 0.90% dirotan lebih tiga kali; gantung sekolah 2.90%; buang sekolah 0.51% (Wan Mohd. Zahid, 1997). Mungkin dari segi angka peratus adalah kecil tetapi dari segi bilangan pelajar yang terlibat keseluruhannya adalah pada angka yang besar. Kaeadaan ini adalah sangat mencabar dan membimbangkan. Selain daripada itu kemudahan-kemudahan yang masih belum lengkap sepenuhnya. Sebagai contoh, daripada 1645 buah sekolah menengah yang ada pada tahun 2000, hanya 1340 sekolah yang ada makmal komputer; hanya 1406 sekolah yang ada bilik ekonomi rumah tangga; hanya 1452 sekolah yang ada bilik kaunseling; hanya 1463 sekolah yang ada pusat sumber dan hanya 1258 sekolah yang ada dewan perhimpunan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001). Statistik ini menunjukkan perlunya kreativiti dan ketrampilan guru di dalam menyerap segala kekurangan sebagai tersebut. Menurut Reighlath dalam Ornstein & Hunkins (1993), pihak pengurusan dan pentadbiran sekolah di zaman kepesatan teknologi banyak mengalami perubahan selaras dengan yang terkini. Ini memberi cabaran kepada guru di dalam mengikuti perkembangan terkini. Guru-guru perlu mahir dengan sistem teknologi yang ada (Shahril @ Charil & Habib, 1999).
Cabaran dalam sistem pendidikan Misi Kementerian Pendidikan Malaysia ialah membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia
bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara Malaysia. Kurikulum terus mengalami perkembangan dari semasa ke semasa. Perubahan-perubahan yang seperti ini tentunya mengubah harapan dan keperluan semua pihak ke atas kecekapan dan keterampilan guruguru agar impian sebagai yang diwawarkan menjadi kenyataan. Contoh pengenalan mata pelajaran vokasional (MPV).
Cabaran dalam masyarakat Profesion perguruan adalah berkait dengan kemasyarakatan. Semakin masyarakat dan negara bertambah maju dan bersifat global semakin banyak cabaran-cabaran yang dihadapi oleh guru; semakin meningkat taraf hidup dan status sosio ekonomi rakyat, semakin besar gelombang cabaran di hadapan guru-guru (Ramlan, 2002). Guru adalah agen perubahan yang membawa kemajuan kepada masyarakat (Wan Liz Ozman, 2000; Atan Long, 1980). Menurut Boyer (1994), dalam abad ke-21, cabaran dalam bidang pendidikan adalah tidak terhad kepada penemuan-penemuan baru sahaja. Namun ia termasuk juga penyesuaian penemuan-penemuan tersebut kepada perspektif yang lebih luas dan seterusnya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Oleh yang demikian, kaum guru perlulah mempunyai kesediaan menerima sebarang penemuan baru seterusnya berkemampuan untuk mengaplikasikan penemuan baru tersebut di dalam profesion bagi kepentingan masyarakat. Kepada masyarakat, guru adalah sumber maklumat dan pengetahuan, kemahiran dan keterampilan; sumber kebudayaan dan ilmu; sumber pemupukan kepercayaan dan sistem nilai; penyedia tenaga manusia untuk alam pekerjaan; dan penjagaan belia, remaja dan kanak (Wan Liz Ozman, 2000; Kementerian Pendidikan, 1996; Sufean Hussin, 1996; Wan Mohd Zahid, 1994).
Cabaran berasaskan Wawasan 2020 Tuntutan Wawasan 2020. Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia adalah dinyatakan seperti berikut : ‘Menjelang tahun 2020, Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang bersatu padu, dengan masyarakat Malaysia mempunyai rasa keyakinan diri, ditunjangi oleh nilai-nilai moral dan etika yang utuh, menikmati kehidupan dalam sebuah masyarakat yang demokratis, liberal lagi bertolak ansur, berbudi, adil dan saksama ekonominya, progresif dan makmur dan sepenuhnya menguasai ekonomi yang mampu bersaing, dinamis, tangkas serta mempunyai daya ketahanan.’
(Mahathir Mohamad, (1991), Malaysia Melangkah Ke Hadapan)
Guru ialah orang yang kerjayanya mempunyai implikasi yang jauh ke hadapan, tanggung jawabnya adalah bersifat futuristik di mana gurulah yang mendidik generasi yang akan hidup di masa hadapan. Oleh yang demikian guru perlu sentiasa peka dan sensitif akan tuntutan wawasan negara yang disuarakan bagi mengatur program-program perkembangan negara ini menjelang abad ke-21 ((Pengarah Pendidikan, 2000; Ibrahim Mamat, 2001; Wan Liz Ozman, 2000; Robiah Sidin, 1998; Sufean Hussin, 1996; Wan Mohd Zahid, 1993). Cabaran-cabaran yang terkandung dalam wawasan negara adalah meliputi proses pembangunan kognitif, afektif dan psikomotor serta penerapan nilai dan asas moral bagi membentuk sikap kanak-kanak atau pelajar. Generasi baru yang dihasilkan melalui proses ini perlu dapat memanifestasikan inovasi, daya cipta atau daya reka yang tinggi di samping perkembangan pesat dalam bidang teknologi
maklumat. Guru adalah sebagai orang yang bertanggung jawab secara terus kepada proses bagi mendapatkan hasil akhir ini baik pada dimensi instrinsik mahupun dimensi instrumental. Justeru itu guru perlu berketerampilan, inovatif, kreatif, reflektif, futristik, analitik di samping berpegang kepada nilai-nilai murni.
Cabaran globalisasi Naisbitt (1982) pula menegaskan dalam abad ke-21, salah satu aliran mega di peringkat global ialah kepakaran pendidikan secara global (global educational experties) selain daripada hubungan dalam bentuk rangkaian (networking). Bagi Rohaty Majzub (2000), ini dianggap sebagai sifat antara bangsa (international character) yang perlu ada pada guru kerana ini adalah avenue baru yang perlu diteroka dan diperkembangkan. Kesemuanya ini juga menjadi cabaran kepada guru. Pelaksanaan pengajaran dalam bahasa Inggeris adalah selari dengan arus globalisasi. Guru-guru perlu menyahut cabaran ini kerana generasi yang hidup pada abad ke-21 ini perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi hingga ke peringkat antarabangsa. Selain daripada itu kebanyakan sumber maklumat adalah berasaskan kepada bahasa antarabangsa iaitu bahasa Inggeris.
Wan Liz Ozman, (2000); Hasan Langgulung, (1997); dan Ghazali Basri, (1984) melihat guru adalah sebagai penyampai ilmu (mua’lim), pendidik (murabbi), pembentuk adab (mu’addib), pembentuk ciri kepimpinan (mursyid) dan pemberi kemahiran (mudarris). Oleh yang demikian kriteria guru adalah dilihat dari segi pengetahuannya, kemahirannnya serta nilai dan keperibadiannya. Posted by Suara Marhaenis at 4:14 PM