PRINSIP PENGURUSAN ISLAM Prinsip ialah asas atau dasar yang menjadi pokok sesuatu pemikiran, tindakan atau pelaksanaan. Dalam kontek pengurusan Islam, prinsi[ bertindak selaku landasan dalam melaksanakan kegiatan pentadbiran atau pengurusan untuk mencapai sesuatu matlamat yang telah dirancang dan ditetapkan. Pentadbiran dan pengurusan Islam berdasarkan al-Quran dan alSunnah di samping tidak mengenepikan daya pemikiran manusia. Lantaran itu prinsip pengurusan Islam bersifat global, universal dan kekal. Di antara prinsip pengurusan Islam: Kepatuhan kepada Keesaan Allah Kepatuhan kepada Keesaan Allah menjadi teras kepada Islam. Seluruh aktiviti manusia terikat dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa Allah Yang Maha Agong mentadbir dan mengurus segalagalanya. Kepatuhan manusia kepada keesaan dan kekuasaan Allah akan melahirkan para pekerja, pentadbir dan pengurus yang sedar tentang tanggungjawab mereka yang sebenarnya. Justeru pentadbiran atau pengurusan akan menjadi perantaraan serta alat yang boleh memartabatkan kemanusiaan dalam diri manusia. Ia boleh menyusun dan mengagihkan segala nilai yang diperlukan oleh manusia secara adil dan saksama. Inilah hasrat yang ingin dicapai oleh sesuatu pengurusan atau pentadbiran. Mengimplementasikan Amalan Syura Islam menjadikan amalan syura sebagai suatu pendekatan yang perlu diterapkan dalam segala bidang kehidupan. Proses syura yang dijalankan akan memberi peluang kepada yang terlibat untuk mengemukakan pandangan secara bebas dan pada
masa yang sama menghargai pandangan pihak lain. Akhienya keputusan yang terbaik akan dapat dicapai melalui penyertaan pelbagai pihak. Mementingkan Persamaan (al-Musawah) Para pentadbir, pengurus, ketua dan lain-lain adalah sama di sisi peraturan dan undang-undang Islam. Tiada sesiapa yang boleh dilucutkan hak asasinya melainkan mengikut undang-undang. Setiap pekerja adalah sama dari segi: i. Tanggungjawab terhadap undang-undang. ii. Tanggungjawab terhadap hukuman. iii. Agihan dan penerimaan kemudahan-kemudahan. Mendaulatkan keadilan (al-‘Adalah) Keadilan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempat dan keadaan yang betul. Ia mesti dipatuhi di dalam setiap aktiviti. Skop keadilan teramat luas, meliputi Keadilan dalam: i. urusan persendirian ii. menguruskan harta iii. pertuturan iv. proses perbicaraan dan penghukuman v. melayani mereka yang tidak sealiran pendapat. Dalam konteks pentadbiran dan pengurusan keadilan boleh berlaku dalam hal-hal-hal seperti berikut: i. Keadilan dalam bentuk persamaan – semua kakitangan dibayar gaji pada hari yang sama. ii. Keadilan dalam bentuk yang berbeza – jumlah imbuhan atau gaji diberi berbeza mengikut kepakaran atau profesion masing-masing. iii. Keadilan dalam bentuk hak keistimewaan – ketua boleh menetapkan peraturan dalam pejabat demi kebaikan jabatannya. Mengtumakan Kebebasan (al-Hurriyyah)
Mengikut undang-undang, setiap orang berhak untuk mendapat kebebasan dalam perkara berikut: i. Kebebasan diri ii. Kebebasan beragama iii. Kebebasan bergerak iv. Kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat v. Kebebasan mencari dan memiliki harta dengan cara yang halal
MALAN PENGURUSAN ISLAM DI MALAYSIA1 Oleh Roslan Abd Jelani Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Pendahuluan
Sebelum kita dapat membincangkan perkara di atas, perlulah jelas dalam pemikiran kita tentang apakah sebenarnya yang cuba kita perkatakan. Ini memandangkan tajuk di atas kelihatan begitu umum dan dari satu segi, tidak begitu releven untuk dihuraikan jika yang hendak disentuh di sini adalah pengurusan Islam itu sendiri sebagai satu korpus ilmu baru yang telah dibangunkan dengan rapi dan sistematik lalu dijadikan sebagai premis utama dalam pengamalan pengurusan di Malaysia. Sebenarnya, semenjak negara kita mengecapi kemerdekaan sehinggalah pada alaf baru ini, belum banyak lagi usaha yang dilakukan dengan giat dan sistematik oleh mana-mana pihak sama ada pusat pengajian tinggi awam atau mana-mana institusi kerajaan bagi membangunkan disiplin pengurusan yang benar-benar dilandaskan kepada kesatuan dua bentuk ilmu iaitu ilmu naqli dan ilmu aqli2 yang boleh dicapai melalui empat saluran ilmu3 yakni: i. ii. iii. iv.
Pancaindera (kaedah empirikal); Khabar Sadiq (al-Qur’an, al-Hadith, dan Khabar Mutawatir); ‘Aql Salim; dan Ilham (penampakan tentang hakikat sesuatu yang dipancarkan oleh Allah atas jiwa yang mutma’innah).
Usaha-usaha Awal Pembangunan Disiplin Pengurusan Islam
Dalam aspek membangunkan disiplin pengurusan Islam, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) misalnya telah memulakan langkah awalnya dalam hal ini dengan menerbitkan buku yang berjudul Kecemerlangan Pentadbiran: Dasar dan Amalan dalam Islam pada tahun 1990 yang diselenggarakan oleh Shafie Hj. Mohd. Salleh dan Mohd. Affandi Hassan; disusuli kemudiannya pada tahun 1992 dengan penerbitan buku The Tawhidic Approach in Management and Public Administration: Concepts, Principles and an Alternative Model yang dikarang oleh Mohd. Affandi Hassan, dan penerbitan Buletin Pengurusan Islam; muncul selepas itu buku Citra Karya: Falsafah, Nilai dan Etika dalam Perkhidmatan Awam yang diterbitkan pada tahun 1994; dan kemuncaknya apabila diadakan satu bengkel di peringkat kebangsaan pada 21 hingga 22 September 1995 yang dihadiri oleh wakil-wakil penting dari semua institusi-institusi latihan kerajaan dan institusi-institusi pengajian tinggi awam bagi tujuan membincangkan tiga perkara penting yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran dari perspektif Islam iaitu: i. ii. iii.
cadangan mewujudkan kurikulum kursus pentadbiran dan pengurusan dari perspektif Islam; usaha-usaha bagi meningkatkan tahap kepakaran/kemahiran tenaga pengajar/pensyarah di institusi-institusi latihan di seluruh negara dalam bidang yang berkaitan; dan penubuhan sebuah pusat sumber maklumat pengurusan dan pentadbiran Islam.
Ekoran daripada bengkel tersebut, beberapa siri kursus pengurusan dan pentadbiran Islam yang berbentuk latihan untuk jurulatih dan beberapa seminar umum telah diadakan. Kursus dan seminar yang diadakan ini lebih menjurus ke arah memberi pendedahan awal kepada para peserta tentang kerangka dasar pentadbiran dan pengurusan Islam yang menyentuh perkara-perkara penting seperti prinsip al-Tawhid sebagai teras pembangunan organisasi, mu’amalat Islam sebagai asas dalam metodologi pengurusan, kepemimpinan Islam berlandaskan hakikat iman, ilmu, amal dan ihsan, pemupukan semangat syura, dan konsep ikhtiar sebagai asas pembinaan kreativiti. Walau bagaimanapun, usaha yang kelihatan dilakukan secara bersungguhsungguh di peringkat awal ini akhirnya mulai malap, mungkin disebabkan oleh beberapa faktor: i.
usaha ini, walaupun berlaku di peringkat organisasi, tetapi ia lebih merupakan inisiatif perorangan yang penuh ikhlas, beristiqamah, bersemangat ilmu, berani, dan yakin bahawa prinsip Islam dapat diolah untuk dilahirkan sebagai satu sistem pengurusan yang beradab. Patut diingat bahawa tidak sekelumit pun timbul dalam jiwa orang yang sebegini matlamat
ii.
iii.
iv.
yang berkepentingan peribadi yakni sama ada untuk mengejar kedudukan, kuasa dan pangkat. Contoh usaha dan keperibadian yang dipancarkan oleh individu-individu ini sebenarnya tidak dipupuk dengan sewajarnya dalam diri pegawai-pegawai awam yang lain, ditambah pula dengan kurangnya pengiktirafan organisasi terhadap hasil usaha yang sebegini hingga mengakibatkan terbantutnya perjalanan program tersebut; kurangnya keutamaan yang diberikan oleh peringkat pengurusan terhadap aspek pembinaan disiplin pentadbiran dan pengurusan Islam lalu program yang sebegini dibiarkan dalam keadaan terumbang-ambing. Akibatnya, amanah bagi melaksanakan program tersebut diletakkan atas bahu orang yang tidak beradab terhadap ilmu, selekeh dari segi mengolah bidang yang diceburi, atau melaksanakan tanggung jawab tersebut dengan ala kadar sahaja sehigga mengakibatkan usaha yang bersepadu dalam hal yang berkaitan tidak dapat dilaksanakan; terpahatnya budaya kerja kebendaan yang bersifat anti ilmu yang berpaksikan “hawa” dan zann atau rasa agak-agak di peringkat individu; tuntutan sosio-politik dan desakan ekonomi jangka pendek di peringkat institusi dan negara.4 Ini sebenarnya menjadi punca kepada lahirnya pemimpin organisasi yang rakus jiwanya yang hanya berlumba-lumba mengejar kedudukan dan pangkat hinggakan komitmen yang jitu tidak dapat diberikan kepada program di atas yang secara zahirnya seolah-olah tidak dapat menjanjikan apa-apa keuntungan kebendaan; dan lahirnya kelompok pentadbir dan pengurus yang begitu pragmatik terhadap sistem pemikiran Barat yang sekular yang bilangan mereka lebih ramai berbanding dengan kelompok yang mempunyai ilmu dan keyakinan yang kukuh terhadap Islam. Kelompok tersebut sebenarnya mengendong pemikiran beku , bebal dan penuh keraguan (sceptic) hinggakan tidak terbit pada jiwa mereka hakikat dan kebenaran sesuatu. Bagi mereka, perkara seperti metafizik, tasawwuf, tawhid, dan prinsip fiqhiah amat tidak releven untuk diketengahkan dalam konteks pengurusan masa kini.
Usaha bagi membangunkan disiplin pengurusan Islam ini juga turut dilaksanakan oleh Akademi Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) dengan menggunakan prinsip al-Tawhid sebagai teras dalam latihan. Usaha yang baru dimulakan ini dan berterusan sehingga kini lebih tertumpu kepada soal menerapkan semangat keIslaman sejati dalam konteks pengurusan dan pembangunan organisasi. Program yang sebegini, walaupun pada dasarnya tidak lagi bersifat apologatik atau akomodatif terhadap sistem pengurusan Barat tetapi masih di peringkat permulaan kerana subjek-subjek utama dalam kursus yang ditampilkan ini hanya berkisar pada elemen-elemen teras yang menjadi tunjang kepada
pembinaan disiplin pengurusan Islam. Banyak lagi usaha yang perlu dilakukan dalam hal ini misalnya menyenaraikan istilah-istilah dan konsepkonsep utama pentadbiran Islam sambil pada masa yang sama membina teori dan sistem pentadbiran dan pengurusan Islam. Amat malang sekali, usaha sedemikian masih belum dapat dilakukan secara kolektif atau secara gabungan dengan institusi-institusi “unggul” yang lain kerana program sebegini lahir bukan atas dasar minat dan kesedaran bersama tetapi masih dalam lingkungan inisiatif individu yang begitu yakin dan berazam tinggi bagi menampilkan prinsip pentadbiran Islam sebagai landasan utama sistem pengurusan. Keadaan ini menggambarkan betapa ceteknya fahaman para pengamal pengurusan tentang Islam; hanya memberi perhatian terhadap aspek ritualnya semata-mata sehingga Islam sanggup dijadikan sebagai alat untuk bersandiwara. Mereka alpa terhadap hakikat dan kebenaran kukuh yang menandai Islam yang secara batin menghendaki kita supaya menyuburkan satu bentuk kehidupan yang membolehkan kita, pada setiap detik dan ketika, menghadirkan diri ke hadrat Illahi. Kehidupan subur yang dinyatakan di atas, pada hakikatnya, perlu dimulakan di peringkat diri terlebih dahulu. Keaiban, kadaifan, dan kemaksiatan diri hendaklah senantiasa diperhitungkan (muhasabah); kemahabesaran mu’jizat Illahi yang ditajallikan dalam diri hendaklah tidak boleh tidak direnung dan difikirkan (tafakkur); dan, pengawasan diri dalam maksud diri aqali mengawali dan seterusnya menakluki diri hayawani sudah semestinya setiap masa dilakukan (muraqabah). Perlu diingat bahawa amal-amal yang terkandung dalam aspek pengurusan dan pentadbiran jika dilakukan bukan atas tujuan untuk menyucikan jiwa, membaiki laku perangai dan budi pekerti, serta mencapai rasa dan pengalaman rohani yang boleh menghampirkan diri kepada Allah, kelak ia akan menfasadkan diri dan membutakan mata hati. Berwaspadalah! Barang siapa yang buta (mata hati kerohaniannya) dalam dunia ini akan butalah juga ia di akhirat kelak, bahkan lebih sesat lagi jalannya.5Oleh itu kita dapat perhatikan bahawa ramai pengurus dan pentadbir yang asyik menyuarakan slogan kecemerlangan dan kemajuan organisasi sebaliknya diri mereka semakin terbantut dan jiwa mereka pula semakin keroh;banyak melakukan helah terhadap hukum agama dan banyak mengeluarkan dalil-dalil palsu; sering merobek kesusilaan dan kesopanan insaniah; hinggakan hakikat iman, Islam dan ihsan ditanggapi sebagai tiada kaitan dan keserasian dengan sains pengurusan moden. Hakikat Sistem Pengurusan Moden
Akibat daripada pengabaian terhadap pembangunan disiplin pentadbiran dan pengurusan Islam maka apa yang terhidang kepada kita pada masa kini hanyalah sistem pengurusan yang diwarisi dari Barat yang secara zahirnya kelihatan enak tetapi terselit dalamnya racun yang bakal mengundang bencana pada jiwa dan kefasadan pada aqal. Jika dinukilkan sebagai satu misalan, disiplin pengurusan Barat itu ibarat sebatang pohon palsu yang dihiasi dengan daunan yang indah warnanya dan buah-buahan yang rupanya
mempersonakan tetapi sayang, isinya tidak dapat dikecapi malah jauh sekali daripada memberi kelazatan pada batin. Kebaikannya hanya semata-mata terhad sebagai hiasan belaka yang bakal diubah-ubah rupanya dan kedudukannya sejajar dengan keinginan nafsu yang jahil tentang batasan ma’na keindahan kerana butanya terhadap maksud ilmu. Sains pengurusan Barat serta sistem yang turut serta bersamanya, jika direnung melalui hati nurani yang hening, menampilkan penafian secara halus terhadap beberapa prinsip teras agama. Ini diakibatkan oleh beberapa faktor:
i.
Faktor Pandang Alam (Worldview)
Sains pengurusan itu lahir dalam kerangka pandang alam sekular yang biasa digelar dengan nama humanisme. Faham inilah yang menobatkan manusia sebagai penentu utama nilai kehidupan dunyawi ini dan pada masa yang sama meletakkan kebendaan pada satu kedudukan yang paling istimewa.6 Proses menduniakan manusia ini dilakukan dengan keadaan yang begitu licik melalui perancanaan disiplin pengurusan yang bersifat rasional dan liberal sehingga sampai pada tahap mematikan iman lalu pengurusan itu muncul dalam keadaannya yang bebas dari petunjuk ilmu wahyu. Walaupun perkara-perkara yang menyangkut tentang agama munkin diperkatakan, tetapi ianya berlaku atas dasar ‘utiliti ‘ dalam kaitannya dengan faedah ekonomi dan politik dan agama itu sendiri hanya dianggap sebagai salah satu cabang budaya yang senantiasa perlu disesuaikan dengan order baru kehidupan. Perkembangan yang tidak sihat ini berlaku sejajar dengan peringkat kematangan yang kononnya dicapai oleh Barat dalam faham mereka tentang Tuhan. Peringkat kematangan ini mengandaikan bahawa manusia telah berupaya untuk mengetahui segala rahsia yang terkandung di sebalik kejadian alam ini melalui pendekatan yang bersifat empirik dan rasional yang boleh terhasil daripada penggunaan panca indera.7 Peringkat inilah yang menandai kemunculan doktrin yang menyisihkan manusia daripada kekangan agama, mengandaikan bahawa tidak ada alam lain kecuali alam nyata ini, menetapkan bahawa manusialah yang layak menentukan nasibnya sendiri, berpegang bahawa prinsip taqdir Illahi tidak berlaku atas manusia, dan menthabitkan bahawa tanggung jawab kepada Tuhan telah beralih sepenuhnya kepada tanggung jawab kepada manusia.8 “Kematangan” inilah yang digunakan oleh Barat bagi mematangkan disiplindisiplin ilmu yang lain, salah satunya adalah pengurusan. Ini terbukti melalui kemunculan pemikiran dan teori pertama dalam pengurusan yang dianggap sebagai klasik yang tertumpu kepada pendekatan yang bersifat saintifik dan rasional. Teori ini mulai diperkenalkan oleh Frederick Taylor (1856 – 1915), seorang jurutera daripada Amerika Syarikat. Teori pengurusan yang diperkenalkan oleh Taylor ini telah secara nyata merendahkan martabat
kemanusiaan dengan mengandaikan manusia sebenarnya tidak lebih daripada faktor pengeluaran seperti mesin dan modal yang tenaganya perlu dimanipulasikan supaya sesuai dengan aspirasi dan matlamat industri. Teori ini dimantapkan kemudiannya oleh Henry Fayol dengan menggariskan beberapa rangka dasar pengurusan saintifik yang berkisar pada fungsi perancangan, penyusunan, urusan kakitangan, kepimpinan, dan pengawalan. Dalam perkembangan ini, akan terzahir pada pandangan akalbudi kita bahawa golongan pragmatis dalam disiplin pengurusan ini semakin menonjolkan keangkuhan mereka dengan mencanangkan unsur kenisbian (relativity) dalam persoalan nilai. Ini disebabkan persoalan nilai dalam rangka penyusunan sistem pentadbiran, bermula daripada peringkat perencanaan hinggalah ke peringkat pelaksanaan, dihuraikan dalam konteks perkadaran (kuantitatif) yang banyak bergantung kepada faktor-faktor keberhitungan (quantifiable factors), yang pada hakikatnya lebih bersifat fungsian (functional). Oleh sebab itu, nilai yang diletakkan pada setiap aspek pengurusan itu tidak lagi mengandungi makna yang mutlak sebaliknya makna-makna itu senantiasa diubah suai mengikut ciri dan suasana perubahan sesuatu industri. Pada tahap akhir pembentukan teori pengurusan yang dianggap klasik ini, Max Weber muncul bagi memperkenalkan teori organisasi yang berasaskan birokrasi. Teori ini sebenarnya muncul sejajar dengan usaha yang dilakukan oleh para pemikir Barat ke arah mengubah sepenuhnya (transformation) ideologi Kristian supaya sesuai dengan rasionaliti teknologi dan ekonomi. Rasionaliti inilah nanti yang dipakai sebagai asas dalam kajian dan pembentukan organisasi sambil pada masa yang sama mengenakan pengaruh saintisme dan modernisme. Nilai kerohanian tidak lagi dijadikan kriteria utama dalam mengukur kemanusiaan seseorang sebaliknya banyak bergantung kepada pengetahuan, kemahiran dan ketrampilan teknikal. Ekoran daripada itu, lahirlah satu bentuk hubungan dalam organisasi yang bersifat vertikal yang menampakkan penyataan kehendak golongan atasan bagi mengukuhkan kuasa mereka yang perlu dilaksanakan oleh golongan bawahan. Akibatnya, beberapa fenomena yang tidak menyenangkan jiwa kelihatan muncul dalam persekitaran organisasi seperti pergelutan mencari kuasa, semangat puak atau kelompok (cronisme), paksaan pendapat tanpa pensahihan, konflik kepentingan, kecenderungan melakukan fasad sama ada pada aspek rohani dan jasmani, cemburu dan berhasad ke arah menghilangkan peluang yang dikecapi oleh seseorang, pengaturan dan perundangan yang menjurus ke arah memuaskan nafsu kelompok minoriti yang memegang autoriti tertentu (oligarchy), dan pembentukan wawasan dan matlamat yang menghanyutkan. Secara umum, kita dapat menthabitkan bahawa teori-teori pengurusan yang dihasilkan pada fasa pertama ini pada hakikatnya tertumpu pada dua aspek dasar sekularisme, iaitu: i.
penyuburan semangat positivisme yang membawa kepada penafian hakikat kerohanian daripada alam semesta. Semangat ini kemudiannya dibangunkan dalam akal manusia yang terbukti
ii.
melalui teori-teori pengurusan yang dibentuk lalu dinyatakan melalui amalan-amalan pengurusan yang berkaitan; dan pemantapan aspek existencialisme dalam erti kata menyatakan maksud kewujudan manusia di atas muka bumi ini tanpa dikaitkan dengan akhirat. Akibatnya, ketetapan agama dan adab kerohanian telah dipinggirkan lalu diganti dengan prinsip kebebasan dan autonomi yang berteraskan akal hayawani. Hakikat ini terpampang pada setiap nilai yang disandarkan pada faham- faham dan sistem-sistem pengurusan yang ditampilkan.
Oleh sebab itu, tidak hairanlah pada ketika itu, muncul tokoh-tokoh birokrat yang berperi laku songsang, tidak bermaruah, dan tidak berjiwa, tetapi pada pandangan Weber, sifat sebegini amat berfaedah kepada organisasi.9 Apa yang cuba ditekankan hanyalah kecenderungan diri hayawani ke arah mencapai keselesaan tubuh, mengisi kepuasan nafsu, dan memperolehi kuasa. Kesemua keinginan ini terangkum dalam prinsip hedonisme (inti pati kepada budaya hawa nafsu) yang tertumpu pada aspek utilitarian bagi tujuan memaksimumkam atau mengoptimumkam keuntungan ekonomi. Pendekatan pengurusan ini juga menerbitkan satu budaya kerja yang bersifat totalempirical yang mengenepikan unsur-unsur non-factoral seperti maruah dan adab insani. Budaya pengurusan yang sebegini disuburkan sampailah ke peringkat di mana fungsi akal manusia dianggap semata-mata sebagai gerak balas kimia yang terangsang melalui keinginan terhadap kebendaan. Di sinilah mulanya bertapak pemikiran pengurusan yang kedua sebagai satu kelangsungan daripada pendekatan saintifik dalam pengurusan. Pada peringkat ini, tumpuan utama dialihkan kepada aspek tingkah laku dan motivasi yang dipengaruhi oleh teori-teori hasilan ahli psikologi Barat yang bergelar behaviourist, antaranya B.F. Skinner, A.H. Maslow, dan Sigmund Freud. Pendekatan humanistik dalam pengurusan ini dimulai dengan uji kaji yang dilakukan oleh Elton Mayo dan rakan-rakannya di Hawthorne (the Hawthorne Experiments) pada akhir tahun 1920-an, yang merumuskan bahawa kepentingan sosial dalam organisasi perlulah lebih diutamakan berbanding dengan kepentingan individu manakala para pengurus hendaklah bertindak sebagai perantara dalam hubungan pekerja dengan pihak pengurusan. Rumusan ini membawa kepada lahirnya kajian-kajian seterusnya dalam pengurusan yang menumpukan aspek dorongan manusia yang berdasarkan prinsip rangsangan (stimulus response) dan gerak balas lazim (conditioned reflexes) terhadap perkara-perkara yang menyenangkan dan menimbulkan keghairahan pada nafsu. Kesemuanya ini dibincangkan dalam skop kebahagiaan jasadiah dan kebahagiaan emosi sebagai faktor utama bagi membangkitkan motivasi para pekerja. Keperibadian yang kukuh sama ada bagi pekerja atau bagi mana-mana manusia hanya digambarkan dalam bentuk perasaan keamanan yang mencukupi, hubungan yang berkesan dengan faktor-faktor zahiriah, dan kepuasan jasmaniah,10 yang secara umumnya, ke arah melahirkan manusia saintifik. Di sekitar perkembangan
idea inilah, banyak sekali teori yang dihasilkan melalui uji kaji makmal terhadap haiwan telah dialihkan untuk dipakai pada manusia. Sebagai mana yang dijelaskan oleh J.B. Watson, (behaviorism) attempts to do one thing: to apply to the experimental study of man the same kind of procedure and the same language of description that many research men had found useful for so many years in the study of animals lower than man. We believe then, as we believe now, that man is an animal different from other animals only in the types of behavior he displays.11 Sebagai rumusan, secular reductionist view yang menjadi tunjangan dalam pemikiran pengurusan di peringkat ini akhirnya mengakibatkan kejatuhan pada martabat kemanusiaan (dehumanisation). Pendekatan yang dianggap objektif dan tidak berat sebelah dalam memahami persoalan tingkah laku ini sebenarnya disejajarkan dengan ideologi Barat yang bersifat kebendaan dan menganggap agama sebagai satu khayalan yang perlu dibuang kerana ia dianggap menyekat kebebasan akal.12 Tidak hairanlah ketika berleluasanya gejala behaviorisme dalam pemikiran pengurusan ketika itu, perkataanperkataan seperti kesedaran, kepercayaan, dan roh dianggap sebagai sebahagian daripada perkataan yang menjijikkan.13 Oleh sebab itu, segala teori sama ada yang menyentuh tingkah laku atau motivasi pekerja hanya berkisar pada gejala yang dapat dikesan oleh panca indera semata-mata sehinggakan aspek nilai yang terbentuk dalam diri seseorang pekerja itu dianggap berlaku atas dasar kemungkinan yang didokong oleh faktor pengukuhan positif atau pun negatif. Agenda pembentukan manusia saintifik sebagaimana yang terkandung dalam faham behaviorisme dan yang kemudiannya disebatikan dengan pendekatan tingkah laku dalam pengurusan, kelihatannya semakin dimajukan pada tahap ketiga pemikiran pengurusan yang menggunakan pendekatan sistem. Dalam pendekatan ini, manusia bukan sahaja dianggap saintifik tetapi pada masa yang sama, dianggap sebagai pemproses maklumat. Andaian yang dipakai pada ketika itu ialah perkembangan setiap organisasi bukan sahaja bergantung kepada faktor dalaman tetapi juga saling berkait dengan rangsangan yang ditonjolkan oleh sesuatu faktor luaran khususnya faktor pembangunan sosio-budaya yang berlaku sejajar dengan perkembangan teknologi. Kesalingberkaitan antara faktor dalaman dan faktor luaran bagi sesuatu organisasi dimisalkan seperti interaksi yang berlaku antara unsur karbon, hidrogen dan oksigen dalam proses photosynthesis tumbuh-tumbuhan. Oleh sebab itu, setiap faktor luaran hendaklah turut diberi tumpuan dan perlu dianggap sebagai fakta yang perlu difikirkan,diklasifikasikan dan disaring sebagai manfaat bagi melancarkan fungsi dan mengembangkan lagi sumber dalam organisasi. Ahli-ahli teori pengurusan yang muncul ketika itu telah mengkritik pendekatan saintifik yang diperkenalkan oleh Taylor, sistem birokrasi Weber, dan pendekatan humanistik kerana mengandaikan organisasi sebagai sistem
yang tertutup sehingga menyebabkan sesuatu objektif, prosedur, dan proses dibangunkan hanya berdasarkan pemboleh ubah dalaman (internal variables) semata-mata. Oleh itu, mereka menetapkan bahawa organisasi perlulah dianggap sebagai sistem yang terbuka yang perlu mengambil kira tentang kesan yang turut dibawa oleh pemboleh ubah luaran (external varibles)14 walau pun pada hakikatnya sistem itu lebih tertutup kerana masih tidak memberi pengiktirafan yang sewajarnya terhadap unsur kerohanian yang menjadi pendorong utama pada tingkah laku manusia. Dalam mengaitkan setiap pemboleh ubah dengan sesuatu masalah yang timbul dalam organisasi, muncullah aspek pengurusan operasi yang tertumpu kepada kaedah saintifik dan matematik . Ekoran daripada itu,pendekatan kuantitatif dalam pengurusan mula diberi penekanan utama. Segala penyelesaian masalah bersifat kebetulan (contingency) kerana berdasarkan semata-mata kepada hasil penyelidikan yang bertunjangkan hipotesis yang diandaikan. Di samping itu, skop pengurusan yang sedemikian lebih banyak tertumpu kepada aspek perkhidmatan berteraskan pelanggan (consumer-driven services), peningkatan imej (image-based campaigning), autoriti yang bersifat sementera dan mengikut konteks (temporal-contextual and rule-bound authority), dan persekitaran sama ada mikro atau makro serta transformasi yang perlu dilakukan ke atasnya. Oleh sebab itu, kita akan dapati bahawa teori-teori pengurusan yang muncul ketika itu amat mementingkan soal menghasilkan makna15 pada sesuatu objek dan tindakan serta soal hubungan kuasa yang terzahir dalam sesuatu proses dan sistem pengurusan. Tindakan manusia hanya dimisalkan seperti teks sastera yang tertakluk kepada analisis dan kaedah kritikan yang terhasil melalui sesuatu teori sastera (literary theory). Ini menunjukkan bahawa spekulasi berperanan sebagai faktor penting dalam aspek penilaian sesuatu tindakan, manakala pada masa yang sama, persoalan yang paling utama yang perlu senantiasa difahami iaitu hakikat amal semakin tidak diendahkan. Hasil daripada fungsi meletakkan makna pada setiap objek dan tindakan, maka dalam dua dekad kebelakangan ini, kita dapat perhatikan bahawa persoalan nilai mula dibincangkan dengan serius dalam pengurusan. Persoalan nilai yang dibincangkan ketika itu sering dikaitkan dengan matlamat untuk melahirkan budaya korporat yang nampaknya menepati ciriciri post-capitalist . Ini disebabkan budaya korporat dengan nilai-nilai yang ditanam bersamanya itu didorong oleh cita rasa stakeholder yang bersifat eclectic16 dan senantiasa ingin menyerlahkan apa yang boleh dipanggil sebagai expressive individualism. Walau pun apa yang dilakukan itu bertujuan untuk menjamin kelangsungan (survival) organisasi tetapi apa yang terhasil akhirnya adalah suasana yang tidak tenteram bukan sahaja dalam ruang lingkup organisasi tetapi juga luar organisasi. Anasir yang sering muncul dalam suasana yang sedemikian adalah eksploitasi oleh peneraju sesebuah organisasi bagi memenangi persaingan dan menyerlahkan kehebatan organisasinya. Tenaga dan perbelanjaan organisasi banyak dihabiskan secara tidak wajar untuk membentuk imej, menampilkan daya penarik (glamour), dan supaya menjadi tarikan media atau awam (media or public
figure) manakala istilah yang sering disalahgunakan untuk menjustifikasi perkara ini adalah objektif strategik. Keadaan sebegini tidak ubah seperti menjadikan organisasi sebagai sebuah sarkas yang ahlinya sentiasa berada dalam tragedi untuk menyempurnakan pertunjukannya dan mendapat tepukan gemuruh dari para penonton.17 Apa yang penting untuk kita perhatikan di sini adalah maruah manusia dalam organisasi masih belum dikembalikan, yang terbukti melalui apa yang dikatakan oleh Charles Handy, …..people are regarded as a competative asset to be led, motivated, deployed and developed, together with the firm’s other resources….18 Secara umumnya, perkembangan budaya korporat yang berlaku itu berkait rapat dengan perkembangan yang pesat dalam bidang sosial, ekonomi, politik, dan teknologi. Perubahan pesat ini disebut oleh J.F. Lyotard sebagai “postmodern condition”19 yang membawa perubahan yang fundamental dari segi pengalaman manusia bukan sahaja kepada negara-negara Barat tetapi juga kepada negara-negara yang sedang membangun. Postmodern condition ini juga dianggap oleh J. Habermas20 sebagai melengkapkan lagi agenda Enlightenment yang dirasakan tidak dapat disempurnakan dalam era kemodenan. Jika pengaruh pengurusan yang sebegini, menurut Tuan Haji Mohd. Affandi Hassan, berjaya melahirkan tiga kelompok penjawat awam iaitu kolonialpragmatik, birokratik-nasionalis, dan tradisional-moralis,21 maka saya ingin mengukuhkan lagi kenyataan beliau itu dengan merangkumkan ketiga-tiga kelompok tersebut sebagai new petit bourgeoisie.22 Bagi kelompok ini, imej merupakan perkara yang amat dipentingkan sehingga kadangkala sampai pada peringkat mengorbankan matlamat dan inti pati utama organisasi malah agama sekalipun. Dari satu segi, kelompok ini sebenarnya memancarkan simbol postmodern yang memuja dan mendewakan keinginan hawa nafsu (hedonisme) dan pada masa yang sama mewakili satu klas elit masyarakat antarabangsa sebagaimana yang dihasratkan dalam proses globalisasi. Akibatnya, keseluruhan proses pengurusan yang dikendalikan oleh kelompok ini, bermula daripada peringkat matlamat sehinggalah ke peringkat pelaksanaan, semuanya bersifat artificial dan palsu. Apa yang jelas kelihatan di sini ialah terkongkongnya amalan pengurusan itu pada tiga bentuk keutamaan yang berteraskan keinginan hawa nafsu yang sentiasa meluapluap iaitu: i.
ii.
keutamaan untuk merebut autonomi tertentu dalam sistem pentadbiran sehingga membolehkan lahirnya kebebasan untuk bertindak sepenuhnya bagi mencapai matlamat yang berteraskan hedonisme; keutamaan ke arah mengukuhkan kuasa dalam bentuk penyataan kehendak pengurusan atasan yang senantiasa dipaksakan untuk dilaksanakan oleh golongan bawahan walaupun kehendak tersebut mengandungi unsur-unsur syubahah dan kadang-kadang bertentangan secara jelas dengan prinsip Islam; dan
iii.
keutamaan pada soal pengagihan kuasa, fungsi dan sumber sehingga melalaikan aspek yang lebih penting untuk sentiasa dititikberatkan iaitu bagaimana kuasa, fungsi dan sumber tadi, dari segi penggunaannya, berupaya menepati prinsip keutamaan yang telah digariskan dalam Syari’ah supaya kemuliaan manusia di sisi Allah S.W.T. akan terus dapat dipelihara manakala fitrah kemanusiaan akan dapat diisi dengan sebaik-baiknya.
Secara jelas juga boleh dikatakan di sini bahawa inti pati pengurusan Barat yang disajikan dalam sistem pengurusan negara ini lalu dimamah dengan lahapnya oleh sebahagian pentadbir yang menduduki tampuk pentadbiran kerajaan, sebenarnya membawa satu aspek kebebasan dalam amalan pengurusan yang bertentangan sama-sekali dengan makna sebenar kebebasan dalam Islam yang dapat difahami melalui konsep ikhtiyar. Kebebasan dalam Islam merujuk kepada keadaan bebasnya diri natiqah daripada cengkaman dan penguasaan diri hayawaniyyah yang cenderung mengajak kepada kejahatan; bebasnya aql daripada dikuasai oleh nafsu yang lazimnya jahil tentang had kebenaran; dan pada masa yang sama bebas daripada sebarang bentuk keraguan sama ada zann, syakk dan wahm. Penghuraian yang jelas tentang makna kebebasan ini telah diberikan oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagaimana berikut: The activity that is called ‘freedom’ is in ikhtiyar, which is an act, not in hurriyah, which is a condition. The act that is meant in ikhtiyar is that of making a choice, not between many alternatives, but between two alternatives: the good or the bad. Because ikhtiyar is bound in meaning with khayr, meaning ‘good’, being derived from the same root khara (khayara), the choice that is meant in ikhtiyar is the choice of what is good, better, or best between two alternatives. This point is most important as it is aligned to the philosophical question of freedom. A choice of what is bad of two alternatives is therefore not a choice that can be called ikhtiyar, in fact it is not a choice, rather it is an act of injustice (zulm) done to one self. Freedom is to act as one’s real and true nature demands --that is, as one’s haqq and one’s fitrah demands – and so only the exercise of that choice which is of what is good can properly be called a ‘free choice’. A choice for the better is therefore an act of freedom, and it is also an act of justice (‘adl) done to oneself.23 Ekoran daripada ketidakfahaman tentang makna kebebasan, kebanyakan amalan pengurusan yang dilaksanakan telah mencerminkan kesempurnaan manusia sebagai haiwan yang semakin ghairah ditunggangi oleh syaitan. Ini mengakibatkan dunia pengurusan dipenuhi dengan nilai-nilai palsu yang bertunjangkan nafsu, emosi, dan khayalan yang tidak menampakkan lagi kesederhanaan dan keadilan manakala pada masa yang sama menyisihkan nilai-nilai iman, ilmu dan amal saleh. Apabila nilai-nilai ini tersisih, maka hati akan menjadi keras dan mula terpalam dengan wajah syirik, kufur dan nifaq. Oleh itu, tidak hairanlah jika kebanyakan amalan pengurusan ditampilkan dengan pola dan gaya yang bersesuaian dengan nilai yang ditetapkan oleh
masyarakat umum atau stakeholder yang sebahagiannya berintipatikan prasangka dan kepura-puraan terhadap agama. Akibatnya, ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya yang wajib dijadikan sebagai tunjang dalam segenap aspek pengurusan seolah-olah dianggap sebagai perkara yang bersifat sampingan, yang ditekankan hanyalah aspek ritualnya sahaja. Pengorbanan semata-mata kerana Islam dalam setiap khidmat yang ditaburkan telah beralih kepada “pengorbanan” untuk mendapat nama, pangkat, dan kedudukan. Penghormatan kepada al-Qur’an, al-Hadith, dan pendapat para ulama yang mutawatir sebagai sumber ilmu terutama dalam aspek pengurusan dan pentadbiran, telah mula lenyap. Karya-karya para ulama yang mu’tabar yang pada satu ketika dulu menjadi landasan dalam pembangunan tradisi ilmu Islam yang begitu cemerlang telah tidak dijadikan rujukan utama oleh para pengurus kini, kononnya tidak praktikal dan pada pendapat mereka, perlu ditafsirkan semula. Pengiktirafan yang sewajarnya tidak diberikan kepada para ulama dan ilmuwan Islam masa kini, dengan anggapan bahawa mereka hanya pandai berteori dan tidan layak untuk dilibatkan dalam mana-mana perencanaan pengurusan dan pentadbiran negara kecuali yang hanya menyangkut dengan agama sematamata. Akhirnya, para pengurus ini menjalankan setiap urusan pentadbirannya dalam keadaan seolah-olah Tuhan itu tidak wujud atau Tuhan seperti tidak mengetahui apa yang dilakukannya atau yang difikirkannya. Keadaan yang digambarkan di atas berlaku dalam dunia pengurusan masa kini kerana sebahagian daripada para pengamal pengurusan di negara ini tidak sedar betapa palsunya gagasan Pengurusan Barat yang menjadikan hawa nafsu sebagai asas peri laku manusia. Hal ini terpampang jelas dalam kata-kata seorang ahli psikologi, Abraham Maslow, dalam bukunya Eupsychian Management, yang besar pengaruhnya dalam disiplin pengurusan Barat: My work on motivations came from the clinic, from a study of neurotic people…. I would like to see lot more studies of this kind before feeling finally convinced that this carry-over from the study of neurosis to the study of labour in factories is legitimate.24 Hakikat pengurusan yang sedemikian rupa nampaknya telah menghalang manusia daripada mencapai pengertian yang sebenar tentang matlamat ia dizahirkan di atas muka bumi ini. Jika aspek kegilaan inilah yang menjadi asas dalam pengurusan, terutama dalam mengisi keinginan shahwat yang tidak mengerti suatu pun akan batas kebenaran, tidak hairanlah jika semakin ramai manusia telah menghumban jauh kemuliaan martabat kejadian yang dianugerahi oleh Allah S.W.T. padanya. Tidak hairan juga jika semakin ramai manusia telah berubah kedudukannya daripada al-hayawan al-natiq kepada hayawan hedonistik sehingga ghaflah akan maksud ‘ubudiyyah kerana ‘ashiq dan khayal dalam kemashghulannya mengejar kebendaan. Dalam keadaan yang sebegini, manusia akan mula ditunggangi oleh unsur shahwaniyyah dan ghadabiyyah yang lepas bebas yang bakal menjunamkannya ke dalam jurang kecelakaan lalu akan terus membiarkan jiwanya duduk dalam keadaan murung (huzn) dan menderita (ghummah). Penderitaan jiwa ini kemudiannya
akan terjelma dalam reaksi-reaksi yang bersifat neurotic dan psychotic sehingga menakibatkan seseorang itu akan terus diselubungi dengan zulm dan fasad. Punca kepada berlakunya tragedi yang sebegini sekurangkurangnya telah dinyatakan oleh Scott Peck, seorang ahli psychiatrist Amerika, seperti berikut: The major reason for this strange state of affairs is that the scientific and religious models have hitherto been considered totally immiscible – like oil and water, mutually incompatible and rejecting.25 Kenyataan sebegini dapat didokong seterusnya oleh kenyataan Benson yang mengaitkan masalah ini dengan keadaan dunia moden yang didominasi dengan semangat saintisme. Menurutnya: Even when we (as scientist) acquire new information, even when we conquer mysteries, we feel empty and unfulfilled. And faith is the only long-term solace.26 Ciri-ciri pengurusan sebagaimana yang dinyatakan di atas, jika dipakai dalam konteks pembangunan, adalah bertepatan dengan apa yang telah dinyatakan oleh Prof. Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud, akan menghasilkan zero-sum development27 yakni pembangunan yang semakin melambangkan keangkuhan manusia. Walaupun amalan pengurusan tersebut menerbitkan satu bentuk pembangunan yang berjaya dari segi kebendaan tetapi ia semakin menjauhkan manusia daripada kesederan “keberhutangan”28 kepada Allah S.W.T.; menjadikan nafsu al-ammarah 29 semakin bermaharajalela; dan melahirkan peri laku yang diistilahkan sebagai schizophrenia atau split personality ( yakni keadaan fikiran atau emosi yang kacau-bilau akibat tidak mempunyai tujuan yang sehala) sehingga membawa kepada konflik kejiwaan yang disebut oleh Emile Durkheim sebagai anomie atau normlessness30. Bencana yang sebeginilah yang mungkin mengakibatkan penyakit yang dinamai oleh Dr. V.E. Frankl sebagai noogenic neurosis31 iaitu sejenis penyakit mental yang berlaku disebabkan oleh konflik di antara jiwa dengan nilai yang pelbagai. Ini berpunca daripada kegagalan manusia mengenali makna sebenar kehidupan atau mengenali hakikat diri yang sebenar.32 Kegagalan ini telah mengakibatkan faham liberal demokrasi Barat terpampang jelas dalam matlamat pengurusan yang memberi perhatian kepada sains dan teknologi dalam membina masyarakat. Hakikat sebegini akan dapat dilihat dengan jelas jika kita sedari bahawa sains pengurusan Barat sebenarnya telah dan semakin hebat mendakyahkan satu pandangan hidup yang mengutamakan tragedi dan nilai kebangsaan yang menepati jiwa Barat dan kebudayaannya lalu dipaksakan untuk dialami oleh bangsa-bangsa lain melalui ilmu-ilmu baru yang dibentuk bermula dari terpancarnya anasir saintisme di Barat. Disiplin-disiplin baru yang dimunculkan oleh Barat juga, tidak terkecuali pengurusan, secara halus menyatakan kekecewaan mereka dalam pengalaman beragama dan menggambarkan rasa tidak senang serta prasangka mereka terhadap prinsip kewujudan Tuhan. ii. Faktor Epistemologi
Kebatilan sains pengurusan Barat juga dapat diselami melalui falsafah ilmu yang dijadikan sebagai landasan dalam penggubalan disiplin tersebut. Kita perlu sedar bahawa pembinaan disiplin pengurusan berlaku dalam keadaan pemikiran para pemikir pengurusan Barat mengendong sikap saintifik yang secara jelas menentang ilmu wahyu dan meragui sepenuhnya terhadap ma’na kerohanian. Landasan pemikiran yang tidak bertitik tolak daripada kesedaran tentang hakikat wujud dan kewujudan ini kemudiannya telah menerbitkan pelbagai bentuk kejahilan yang bermula daripada zann, syakk dan berakhir dengan wahm. Bentuk-bentuk kejahilan inilah yang “mewarnai” segala teori dan prinsip pengurusan, lalu jika dipegangi, akan meranapkan kemuliaan dan martabat kemanusiaan. Oleh itu, akan terlihatlah dalam dunia pengurusan khususnya, ramai manusia yang tubuhnya atau rupa zahirnya sahaja manusia tetapi jawhar diri yang dikendongnya itu, yang pada asalnya bersifat kemalaikatan, telah bertukar sifat sama ada sebagai hayawan, syaitan, atau taghut (pewaris utama sifat fasad Fir’aun, Hamman, Qarun dan Namrud). Tidak hairanlah jika amalan pengurusan itu dijalankan dengan penuh bernafsu yang bercapurbaur dengan perasaan dengki, dendam, hasad, iri hati, angkuh, riya’, ‘ujub, takabbur dan penuh dengan matlamat peribadi. Asas ketenangan dan kedamaian dalam organisasi yang berteraskan semangat jihad dan pengorbanan jiwa raga bagi melaksanakan keadilan dalam setiap aspek pengurusan mula diabaikan. Prinsip mewaqafkan seluruh hidup dan tenaga bagi mencapai maslahah ummah melalui amalan pengurusan tanpa rasa terikat kepada sesiapa kecuali kepada hukum Allah dan sunnah Rasul-Nya, telah tidak dipegangi. Maqam yaqin kelihatannya tidak banyak dicapai oleh para pengurus masa kini. Maqam yaqin ini pada hakikatnya terpancar melalui kesediaan seseorang pentadbir dan pengurus itu bertaubat apabila ia sedar telah membuat keputusan yang salah; sabar jika belum sampai maksud yang dihajati; shukur setelah mencapai sesuatu kejayaan; ridha dengan natijah yang diperolehi; takut (khauf) akan melakukan kebatilan dan kezaliman; berkeadaan mengharap (raja’) untuk senantiasa dapat melaksanakan kebenaran dan menyempurnakan ‘ubudiyyahnya kepada Allah S.W.T.; dan tidak putus bermunajat dan bertawakkal kepada Allah S.W.T. dalam melakukan sesuatu ikhtiyar. Dalam hal ini, benarlah sebagaimana yang sering diungkapkan oleh Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam tulisan-tulisan dan syarahansyarahan beliau tentang ilmu bahawa kekacauan dan kefasadan yang dilakukan dalam aspek keilmuan akan mengakibatkan keadaan kacau-bilau dari segi adab sehingga sesuatu itu tidak disusun dengan tertib dalam sistem kewujudan berdasarkan martabat dan darajatnya masing-masing sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T.. Dalam disiplin pengurusan yang banyak berkisar pada pengkajian tentang tingkah-laku manusia dalam kehidupan berorganisasinya, kebenaran ini terbukti apabila teori-teori pengurusan itu dihasilkan melalui kaedah sains tabii (natural scientific method) yang penuh dengan ideologi saintismenya ke arah melahirkan kebenaran yang bersifat objektif. Apabila terpakainya kaedah ini, maka dengan jelas terjadinya pemisahan antara fenomena kerohanian dan jasmani. Keadaan ini sinonim dengan gerakan logical positivism yang
menobatkan akal hayawani manusia sebagai sumber untuk mencapai ilmu dan pada masa yang sama menghancurkan wibawa ilmu wahyu sebagai sumber utama ilmu. Inilah juga yang dinyatakan oleh Syed Hossein Nasr sebagai reductionist , iaitu label kepada sains Barat kerana ia bukan sahaja memisahkan antara akal dan wahyu bahkan menolak sama sekali wahyu sebagai punca dasar ilmu. Berdasarkan kepada suasana ilmu yang sebegini, Barat menetapkan bahawa kebenaran sesuatu teori itu bergantung kepada sejauh mana teori tersebut menepati skala akal hayawani manusia dan sejauh mana teori tersebut berjaya membuahkan faedah-faedah kebendaan yang menyeronokkan hawa nafsu(hedonisme). Dalam kata lain, hujah bagi menetapkan kebenaran sesuatu teori itu bergantung kepada khayalan dan emosi yang penuh dengan kepalsuan nilai. Bagi Barat juga, teori pengurusan yang dihasilkan melalui kaedah ini dianggap begitu pragmatik dan begitu unggul kerana berjaya menggabungkan dalamnya kaedah logical dan empirical. Bagi kita pula sebagai orang Islam, kita sewajibnyalah menetapkan kaedah ini sebagai kaedah shirik kerana ternyata wujudnya pemisahan antara kaedah naqli dengan kaedah aqli.
Cabaran dalam Pelaksanaan Pengurusan Islam Melalui kenyataan di atas dan berdasarkan pengalaman pengurusan yang dilalui oleh negara kita semenjak kemerdekaan sehinggalah kini, sememangnyalah mustahil bagi kita untuk memperkatakan amalan pengurusan Islam yang telah dan sedang dilaksanakan di Malaysia. Cuma yang boleh difikirkan di sini adalah amalan pengurusan yang bermiripkan Islam yang tidak semestinya Islam, atau pun amalan pengurusan yang berperspektifkan Islam tetapi masih diletakkan dalam dominasi pemikiran pengurusan Barat yang akibat akhirnya, beberapa prinsip Islam diubah suai dengan tidak beradab sekali supaya menepati semangat sains pengurusan Barat tadi. Usaha yang dilakukan oleh kerajaan dengan mengenengahkan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran pada tahun 1985 dan menggubal Pekeliling Am tentang Garis Panduan bagi Mengadakan Ceramah Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Perkhidmatan Awam pada tahun 2001 bukanlah boleh dijadikan sebagai justifikasi utama bagi kita menthabitkan bahawa kita telah mengamalkan pengurusan Islam. Walau pun usaha tersebut merupakan usaha murni kerajaan bagi memastikan semua tanggung jawab dilaksanakan dengan sebaik-baiknya oleh semua penjawat awam, namun terdapat beberapa persoalan utama yang perlu dijawab terlebih dahulu sebelum kenyataan bahawa kita telah mengamalkan pengurusan Islam dapat dikeluarkan. Pertama, apakah matlamat kita sebenarnya di sebalik usaha penerapan nilainilai Islam. Adakah semata-mata mahu digunakan sebagai alat bagi mencapai maksud kenegaraan yang menumpukan kepada kepentingan
pragmatik ekonomi dan sosio-politik, atau sebagai teras bagi melahirkan insan adabi yang senantiasa sedar tentang amanah keinsanannya. Jika ianya dijadikan sebagai alat dalam maksud utilitarianisme bagi mencapai keinginan yang bersifat hedonistik, sudah tentu ini akan membantu menyemarakkan api kefasadan yang bakal merobek kalbu-diri yang selama ini telah dibekalkan dengan kalimah tawhid. Kelak, akan lahirlah anasir pendewaan diri yang membayangkan akibat pemikiran humanisme yang menetapkan bahawa Tuhan bersifat statik dan tidak layak mencampuri urusan-urusan keduniaan kerana kononnya akan menghilangkan kekudusan Tuhan. Di sinilah punca yang membawa kepada faham kenisbian (relativeness) nilai lalu ma’na pada sesuatu nilai itu senantiasa diubahsuai mengikut dorongan hawa nafsu. Alangkah baiknya jika pelaksanaan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran kerajaan sekarang dimulakan atas kesedaran untuk mengembalikan manusia kepada prinsip taklif yang benar-benar menepati fitrah kemanusiaan yang meliputi dua aspek amanah yakni amanah sebagai hamba Allah yang setiap detik wajib mengenal dan mengiktiraf kewujudan-Nya dalam setiap sudut kehidupan dalam konteks menthabitkan tawhid rububiyyah, dan amanah sebagai khalifah-Nya yang berperanan memakmurkan serta membangunkan kehidupan dunyawi ini menurut ketetapan Illahi iaitu dalam konteks menthabitkan tawhid uluhiyyah. Kedua, adakah kita telah melakukan usaha yang bersungguh-sungguh bagi menyisihkan (dewesternization) gagasan pemikiran Barat yang berteraskan Sekularisme yang mendominasi disiplin pengurusan. Adakah kita sudah cukup peka dan memahami setiap andaian (presupposition) yang dipakai oleh Barat dalam membentuk pelbagai teori pengurusan. Adakah kita sudah cukup sedar tentang akibat akhir yang bakal merundung kehidupan kita ekoran daripada sikap kita yang membuta tuli mengikut apa saja pemikiran yang dilambakkan oleh Barat yang membuaikan kita dengan dendangan lagu kejayaan yang mengalpakan yang muziknya dimainkan oleh pemusik-pemusik palsu. Tidakkah kita mahu mengambil i’tibar daripada peristiwa yang menimpa Sayyidina Adam ‘alaihi al-salam yang dipesonakan dan dialpakan oleh syaitan tentang buah pohon khuldi yang jika dikecapi konon-kononnya dapat mengekalkan kehidupan baginda di shurga, atau tidakkah kita sudah cukup diperingatkan oleh Rasulullah sallahhu ‘alaihi wa sallam tentang bahana lubang biawak yang kononnya dapat menyelamatkan dan membebaskan kehidupan kita tetapi sebenarnya bakal menggelapkan kalbu diri dan membebalkan akal-budi. Perlulah kita perhati dengan bersungguh-sungguh bahawa organisasi yang semata-mata digerakkan berteraskan falsafah pengurusan Barat sebenarnya tidak berupaya menzahirkan manusia sebenar yang benar-benar faham tentang ma’na dan hakikat insan sebaliknya hanya berupaya membanyakkan manusia sekular, manusia politik atau manusia ekonomi yang lalai
bertafakkur tentang asal-usulnya, hakikat kejadiannya, amanahnya di atas dunia ini, kedudukannya yang mulia sebagai makhluk pilihan, ke’aiban dirinya, hakikat amalnya, dan kesudahan hidupnya. Organisasi yang sebegini hanya membayangkan siyasah ‘akliah-hayawaniyyah yang senantiasa dikepungi kejahilan zann, shakk, dan wahm yang semakin meneguhkan penjara jiwa manusia yang berada dalamnya: mereka merasakan sudah cukup mengenali dunia tetapi sebenarnya mereka semakin diperdaya dan dimudaratkan oleh kehidupannya. Inilah akibat hati yang menjadi kerajaan di dalam tubuh itu tidak dijaga sebaliknya nafsu diangkat menjadi raja hinggakan agama tidak dapat dipegang sebaik-baiknya. Inilah api yang terselindung di dalam sekam pengurusan Barat yang begitu hedonistik matlamatnya sehingga membuat hati pengamalnya menjadi keras dan terpadam cahayanya, lupa daratan kerana asyik bergelumang dengan prinsip-prinsip pengurusan yang penuh khurafat, shubahah dan haram, cetek akal, dan hilang semangat peng’abdian. Ketiga, adakah dalam akal kita telah tertunjang pandang alam Islam yang sempurna sebagai landasan bagi melaksanakan Islamisasi dalam erti kata membebaskan diri daripada tradisi tahyul, mitos, animis, kebangsaan dan kebudayaan, dan selepas itu membebaskan akal dan bahasa daripada pengaruh sekularisme lalu kembali kepada kejadian asalnya yakni kepada fitrah, atau adakah kehidupan kita semakin suram diselubungi dengan prinsip dualisme, humanisme, dan tragedi yang menjadi inti pati utama pengurusan Barat yang diwarisi oleh kita selama ini. Haruslah disedari bahawa walaupun disiplin pengurusan Barat terkandung dalamnya aspek kebijaksanaan jasmaniyyah namun kekuatan tersebut tidak berupaya melahirkan kejayaan dalam konteks al-falah jika disiplin tersebut tidak ditundukkan kepada al-Din. Pembentukan pandang alam Islam dalam akal amatlah penting kerana ia kelak akan berfungsi sebagai acuan yang dapat menampilkan perspektif yang jelas dalam setiap tindak-tanduk yang kita lakukan khususnya dalam mengendalikan soal pengurusan. Tanpa adanya pandang alam Islam, kita akan cenderung menuruti nafsu dalam setiap pertimbangan dan keputusan serta sangat kurang memeliharakan yang sia-sia. Akibatnya, hati akan menjadi buta hinggakan akhirat tidak akan menjadi nyata. Lebih malang lagi, disiplin pengurusan pada masa kini banyak mengajar kita supaya masyghul teramat pada dunia sehingga secara tidak sedar terlepas pegang pada agama, lebih menjadikan kita jahil berbanding ma’rifat, sering menyalah suruh dan tegah Allah, tidak mengenali hakikat diri kerana asyik bergelumang dengan cita-cita dunia yang mudarat, dan lupa akan akhirat lalu kepada Islam amatlah khianat. Persoalan-persoalan yang dibangkitkan di atas perlulah dianggap sebagai cabaran yang terpaksa dihadapi dalam konteks penggubalan disiplin
pengurusan Islam kerana jawapan kepada setiap persoalan tersebut akan dapat sekurang-kurangnya menzahirkan ma’na dan maksud asasi tentang aspek pengurusan sebenar yang menepati prinsip dasar al-Din al-Islam. Apa yang wajib dielakkan ialah pengurusan itu janganlah ianya sampai ke peringkat pemujaan diri, akal dan nafsu sebaliknya hendaklah ia dibataskan sebagai hiasan yang memancarkan lagi keindahan sistem mu’amalah Islam dan pada masa yang sama, pelaksanaannya itu hendaklah dipastikan sejajar dengan hakikat iman, Islam dan ihsan. 1
Tajuk di atas merupakan salah satu topik utama yang dibincangkan dalam Konvensyen Pengurusan Islam bertemakan Pengurusan dan Islam: Wahana ke Arah Memartabatkan Pembangunan Negara Abad 21 yang diadakan di Aseania Resort, Langkawi pada 18 – 19 November 2000, anjuran Universiti Utara Malaysia. Dalam membentangkan isu yang berkaitan, saya menampilkan semula sebahagian artikel yang ditulis oleh Tuan Hj. Mohd Affandi Hassan yang bertajuk “Pendekatan Tauhid dalam Pengurusan dan Pentadbiran Awam: Konsep, Prinsip, dan Model Alternatif “ untuk direnung dan difikir oleh para peserta konvensyen. Artikel ini telah dimuatkan dalam buku Kecemerlangan Pentadbiran: Dasar dan Amalan dalam Islam, diselenggarakan oleh Shafie Hj. Mohd. Salleh dan Mohd. Affandi Hassan (Kuala Lumpur: INTAN, 1991), m.s. 26 – 71. Tulisan yang saya usahakan ini tidak lain hanyalah sebagai syarah kepada tulisan beliau. 2
Usaha yang dinyatakan di atas hanya dilakukan secara individu oleh tokoh pentadbir dan tokoh akademik seperti Tuan Haji Mohd Affandi Hassan yang sering menghuraikan tentang pendekatan Tawhid dalam pengurusan, Profesor Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud yang sering memperkatakan tentang prinsip adab pengurusan, Profesor Dr. Muhammad Kamal Hassan yang sering menjelaskan tentang aspek perbandingan pengurusan, dan Saudara Mohd Zaidi Ismail yang acapkali secara bersungguh-sungguh mena’rifkan istilah tadbir dan adab sebagai inti pati utama teori pengurusan. 3
Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of the ‘Aqa’id of al-Nasafi (Kuala Lumpur: Dept. of Publications, The University of Malaya, 1988), p. 101. 4
Wan Mohd. Nor Wan Daud, “Budaya Kerja Bersepadu” , Kecemerlangan Pentadbiran: Dasar dan Amalan dalam Islam, diselenggarakan oleh Shafie Hj. Mohd. Salleh dan Mohd. Affandi Hassan (Kuala Lumpur: INTAN, 1992), m.s. 130. 5
Rujuk Surah al-Isra’: 73
6
Syed Muhammad Naquib al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin (Kuala Lumpur: ISTAC, 2001), para 9, ms. 18 – 22. 7
Ibid, para 15 ms. 42. Lihat juga Nicola Abbagnano, “Humanism”, The Encyclopedia of Philosophy, reprint edition 1972, vol. 4: 66 – 72. 8
Bagi memahami selanjutnya tentang aspek dasar Sekularisme,sila rujuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam and Secularisme (Kuala Lumpur: ABIM, 1978). 9
Kenyataan Weber ini telah ditentang oleh Merton, sarjana Barat yang terkenal dalam bidang pengurusan, dengan menyimpulkan bahawa budaya organisasi yang dibangunkan berdasarkan impersonal behaviour ini akan mengakibatkan lahirnya anggota organisasi yang tidak dapat memahami makna yang tersirat pada sesuatu fenomena dan situasi (tunnel vision) dan akan terikat dengan tradisi red-tape. (Rujuk Robert K. Merton et al. (eds.), Reader in Bureaucracy (New York: The Free Press, 1952), m.s. 364 – 371.
10
Untuk keterangan lanjut tentang hal ini, sila rujuk A.H. Maslow dan B.Mitteman, Principles of Abnormal Psychology (New York: Harper, 1957). 11
J.B. Watson, Behaviourism (London: W.Norton & Co., 1970), m.s. ix.
12
H.F. Ellenberger, The Discovery of the Unconscious (London: Allen Lane, the Penguine Press, 1970), m.s. 525. 13
Dalam menggambarkan era berleluasanya behaviorisme di Barat, John Eccles menyatakan, “ words like mind, consciousness, thoughts, purposes and belief were considered dirty words…..Ironically, the most prominent philosophical obscenities were a new class of fourletter-words – mind, self, soul, will.” Evolution of the Brain: Creation of the Self (London: Routledge Publishers, 1991) m.s. 225.
14
Bagi mengetahui keterangan lanjut tentang hal ini, lihat David Easton, A System Analysis of Political Life (Chicago: University of Chicago Press,1979). Lihat juga Charles W. Churchman, The System Approach (New York: Delacorte Press, 1968). 15
Perlu diingat bahawa makna yang cuba diberi terhadap setiap objek dan tindakan itu adalah bersifat relatif kerana ia dilahirkan melalui kerangka pemikiran secular-humanism dan merangkumi konsep tragedi yang menggambarkan kekecewaan terhadap agama. Dalam hal ini, keraguan telah dipakai dengan meluasnya bagi mencapai kebenaran yang sudah tentu merupakan satu perkara yang mustahil. Akibatnya, sesuatu makna yang diberi itu telah menimbulkan kacau-bilau pada adab terhadap diri, bahasa dan alam.Bagi melihat tentang makna tentang ‘makna’ (ma’na), lihat Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam and the Philosophy of Science (Kuala Lumpur: ISTAC, 1989), m.s. 15. 16
Menurut J.F. Lyotard dalam bukunya The Postmodern Condition: A Report on Knowledge (Manchester: Manchaster University Press, 1984): “Eclecticism is the degree zero of contemporary general culture” (m.s. 76). 17
Organisasi sebagai sebuah sarkas ini dihuraikan dengan begitu menarik sekali oleh Tuan Haji Mohd. Affandi Hassan dalam artikelnya Citra Organisasi: Nilai dan Etika dalam Pentadbiran, Buletin Nilai dan Etika, Jld. 1 Bil. 1/1992. 18
Charles Handy (ed.), The Making of Managers (London: NEDC/BIM/MSC, 1987), m.s. 13.
19
J.F. Lyotard, ibid.
20
J.Habermas, Modernity an Incomplete Project dalam H.Foster (ed), Postmodern Culture (London: Pluto Press, 1983). 21
Lihat kenyataan dan penjelasan beliau ini dalam artikelnya Pendekatan Tauhid dalam Pengurusan dan Pentadbiran Awam: Konsep, Prinsip, dan Model Alternatif, Kecemerlangan Pentadbiran: Dasar dan Amalan dalam Islam. Diselenggarakan oleh Shafie Hj. Mohd Salleh dan Hj. Mohd Affandi Hassan (Kuala Lumpur: INTAN, 1990) m.s. 29 – 31. 22
Sekadar meminjam istilah yang digunakan oleh P.Bordieu dalam bukunya Distinction: a Social Critique of the Judgement of Taste (London: Routledge & Kegan Paul).
23
Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prolegomena to The Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam (Kuala Lumpur: ISTAC, 1995), m.s. 33 – 34. 24
Petikan ini dipinjam daripada petikan yang dibuat oleh Hj. Mohd. Affandi Hassan, Pujangga Melayu (Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1977), m.s. 636. 25
M. Scott Peck, Denial of the Soul: Spiritual and Medical Perspectives on Euthanasia and Mortality (Hemel Hempstead, UK: Simon & Schuster, 1997), m.s. 129 dan 131. 26
Herbert Benson, Timeless Healing (London: Simon & Schuster, 1996), m.s. 202 dan 208.
27
Pandangan beliau yang amat menarik ini boleh dirujuk dalam artikelnya Some Basic Issues of Development, Malaysian Development Experience: Changes and Challenges (Kuala Lumpur: INTAN, 1994), m.s. 875 – 878. 28
Prinsip keberhutangan yang dimaksudkan di sini adalah salah satu inti pati utama yang dapat menyatakan konsep al-Din. Perkara ini dihuraikan dengan terperinci oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku beliau Islam: The Concept of Religion and the Foundation of Ethics and Morality (Kuala Lumpur: ABIM, 1976). 29
Keadaan ini merujuk kepada diri yang sentiasa terdorong untuk melakukan perkara-perkara keji (mazmumah) dan munkar dalam agama atau perkara-perkara yang melanggari fitrah insaniyyah. 30
Robert K. Merton, Social Theory and Social Structure, edisi semakan dan penambahan (Glencoe: Free Press, 1957), m.s. 136 nota 6. 31
32
Sila rujuk V.E. Frankl, Man’s Search for Meaning (London: Holder and Stoughton, 1964).
Dalam Surah al-Hasyr 59:19, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang melupai Allah, lalu Dia menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang yang fasiq.” Dalam ayat sebelum ini, Allah memerintahkan kita supaya menilai dan memerhatikan dengan pandangan mata hati kita sama ada setiap usaha yang kita lakukan itu membawa manfaat atau tidak kepada kita pada Hari Akhirat.