PERMAINAN TRADISIONAL
CONGKAK Congkak merupakan sejenis permainan tradisional yang sering dimainkan sebagai aktiviti dalaman atau sebagai pertandingan.
Latar belakang Congkak yang dipercayai berasal daripada dunia Afrika atau Arab, bergantung kepada teori mana yang anda percayai. Bagaimanapun, bukti tertua yang dijumpai oleh cari gali purba yang dibiayai oleh Persatuan National Geographic menjumpai kepingan batu kapur yang mempunyai dua liang selari bertarikh semenjak 5000 hingga 7000 SM di masa kini Jordan. Dari Timur Tengah, permainan ini tersebar ke Afrika. Congkak tersebar ke Asia melalui pedagang-pedagang Arab. Di Asia Tenggara, congkak mungkin berkembang dari Melaka memandangkan negeri ini merupakan pusat perdagangan pada waktu dahulu. Kanak-kanak di Kepulauan Caribbean juga bermain congkak. Congkak dipercayai sampai ke sana melalui perdagangan hamba. Di sana, congkak dikenali sebagai warri atau awari. Di Indonesia, congkak dikenali dengan nama congklak, di Filipina, sungka. Pada zaman dahulu, golongan istana bermain congkak dengan menggunakan papan congkak yang berukir mewah, sementara di kalangan rakyat jelata, ia sekadar dimainkan dengan mengorek lubang di dalam tanah. Pada hari ini, congkak dimainkan di seluruh dunia.
Congkak begitu popular dan diminati sehingga peminat-peminatnya mencipta pelbagai laman web di internet. Dalam laman-laman web ini disenaraikan pelbagai maklumat tentang congkak dalam budaya dan bangsa di seluruh dunia. Terdapat juga permainan congkak dalam talian.
Asas permainan Permainan congkak melibatkan pengiraan. Mereka yang cekap mencongak mempunyai kelebihan mengumpul mata dan seterusnya memenangi permainan. Papan congkak berbentuk bangau menyudu. Dalam permainan congkak, terdapat dua bahan iaitu papan congkak dan buah congkak. Papan congkak boleh diperbuat daripada pelbagai jenis kayu dan terdapat lima atau tujuh lubang sebaris yang dikenali sebagai 'kampung' dan di kedua-dua hujungnya terdapat lubang ibu yang dikenali sebagai 'rumah'. Panjang papan congkak tujuh lubang biasanya sekitar 80 cm dan lebanya 18 cm. Dalam permainan ini, pemain akan memulakannya dengan serentak. Mereka akan mengambil buah congkak dan dimasukkan secara satu persatu buah congkak ke dalam setiap 'kampung' menuju ke rumah masing-masing menurut arah pusingan jam, sehingga salah seorang berhenti di lubang yang kosong dan dianggap mati. 'Rumah' kepunyaan sendiri terletak di lubang hujung sebelah kiri pemain. Pemain yang seorang lagi akan terus berjalan sehingga dia berhenti di lubang yang kosong. Dan selepas itu setiap pemain akan bergilir berjalan sehingga buahnya mati. Setiap pemain akan meneruskan permainan sehingga kehabisan buah congkak, dan pemain akan mengisi lubang dengan buah yang terdapat dalam lubang ibu. Pemain yang tidak cukup buah akan ditutup lubangnya, dan pemain yang menang dalam giliran sebelumnya akan memulakan permainan. Ini akan diulang sehingga salah seorang pemain tidak cukup buah bagi mengisi satu lubang sekalipun dan dianggap kalah, atau apabila kedua-dua pemain sudah bosan.
Sekiranya pemain telah membuat satu pusingan, iaitu melepasi lubang ibu dan kembali ke lubang sebelah pemain, ia boleh mengambil buah di sebelah lubang bertentangan sekiranya ia mati di sebelah sendiri. Ini dikenali sebagai "tembak".
Peraturan permainan Berikut merupakan peraturan permainan congkak yang paling biasa. 1. Dua orang pemain duduk berhadapan menghadap papan congkak, dimulakan dengan kedua-dua pemain serentak mencapai buah di kampung masing-masing dan memasukkan buah satu demi satu di dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan. 2. Gerakan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti, sekiranya buah itu jatuh atau mati di kampung sendiri. Pemain itu boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut, hanya selepas membuat satu pusingan. 3. Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati. Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil buah yang masih banyak di mana-mana kampung sendiri. Sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga mati. 4. Sekiranya tidak terdapat sebarang buah di kampung pemain sungguhpun giliran berada dipihaknya, maka giliran untuk menggerakkan buah akan berpindah kepada pihak lawan. 5. Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap terbakar. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah.
Perbezaan peraturan Walaupun permainan congkak kelihatan sama dengan permainan lain yang berasaskan lubang dan buah seperti Manchala dan Sungka, terdapat beberapa perbezaan dari segi peraturan. Perbezaan utama ialah semasa permulaan permainan di mana permainan congkak bermula serentak antara kedua-dua pemain. Pengagihan buah dalam permainan congkak juga bergerak mengikut arah jam berbanding dengan permainan lain yang bergerak secara melawan arah jam.
Cara membuat congkak Lazimnya dibuat dari kayu hutan seperti merbau, keruing, balau dan sebagainya. Terdapat juga papan congkak yang dibuat dari kayu rambutan, nangka dan sebagainya, mengikut kemampuan si tukang pembuat congkak. 1. Kayu ditebang menggunakan kapak dan dipotong mengikut kepanjangan papan congkak yang bergantung kepada lubang rumah yang dihasilkan kelak. 2. Kayu yang masih buah dibelah dua bahagian. Hanya satu bahagian sahaja yang diperlukan dalam membuat congkak. 3. Setelah dibelah, gergaji digunakan untuk mengerat lebihan kayu yang tidak terpakai. Parang atau pahat digunakan untuk melicinkan batang kayu tersebut. 4. Kayu tersebut akan dipahat untuk membuat lubang. Lubang-lubang ditebuk dalam dua baris dan dinamakan ‘kampung’ yang mempunyai jumlah bilangan tertentu. 5. Ditebuk satu lubang besar di kedua-dua hujung yang dikenali sebagai ‘rumah’. 6. Pahat bermata halus digunakan untuk melicinkan lubang tersebut. Ini penting supaya tidak menggelikan jari-jari pemain sewaktu bermain.
7. Setelah siap, papan tersebut akan diukir dengan pelbagai hiasan seperti bentuk tumbuh-tumbuhan, kosmos, geometri dan sebagainya.
8. Papan congkak divarniskan dengan warna perang kekuningan, perang kemerahan, perang atau hitam. Congkak juga dihasilkan daripada logam ataupun tanah di kawasan pendalaman. Tempurung kelapa digunakan supaya tangan tidak kotor terkena tanah. Buah congkak yang paling biasa digunakan ialah guli, namun apa-apa biji atau batu kecil yang agak bulat boleh digunakan.
Papan Congkak
Memasukkan buah kelubang kampung
Konda-kondi Konda-kondi juga dikenali sebagai Perik Mata memerlukan fikiran yang tajam dan kekuatan pemain, iaitu ketika memikir arah yang selamat untuk menguis kayu dan mengejar kayu yang dikuis untuk mematikan pihak lawan. Permainan ini memerlukan kawasan lapang. Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada:
Dua batang kayu kecil berukuran, l5cm dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini berbentuk bulat dan berukuran 2cm garis pusat. Kayu yang pendek dipanggil anak dan yang panjang dipanggil ibu. Lubang sedalam 15cm juga dikorek bagi meletakkan kayu panjang. Undian secara 'wan to som' dijalankan bagi membentuk pasukan dan menetapkan pasukan mana yang harus memainkan terlebih dahulu.
Permainan Pertama Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang, kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara, setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang sementara itu, ahli pasukan lawan hendaklah cuba menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambil alih
pula oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang ataupun mengena kayu panjang. Jika kayu itu masuk ke dalam lubang atau pun terkena kayu panjang yang diletakkan melintang tadi, cuma pemain itu sahaja yang dikira mati. Sebaliknya, jika kayu yang dibaling oleh pemain lawan itu tidak mengenai lubang atau kayu panjang itu, pemain tersebut boleh mendapatkan mata dengan mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu panjang dikira satu mata.
Permainan Kedua Pemain tadi akan mengambil kayu pendek dan melambungkan ke udara, kemudian memukulnya kuat dengan kayu panjang. Dia diberi peluang sebanyak tiga kali jika pukulan pertama atau keduanya tidak kuat.
Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut jika tidak berjaya. Pemain tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi.
Permainan Ketiga Seterusnya, pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk ular. Pemain menyandarkan kayu pendek di tepi lubang, kemudian mengetuk hujung kayu pendek itu dengan kayu panjang. Jika pukulan dibuat dengan baik, kayu pendek akan melentik ke udara. Pemain itu hendaklah bersedia untuk memukul kayu pendek itu sebelum jatuh ke tanah, dengan menggunakan kayu panjang. Tempat kayu pendek itu jatuh dikira mata, iaitu mengiranya dengan menggunakan kayu panjang, kiraan mata tetap sama seperti sebelumnya. Pasukan yang mempunyai mata tertinggi memenangi perlawanan ini.
JALA ITIK
Permainan ini bertujuan menentukan pasukan mana yang mempunyai bilangan ahli paling ramai. Tiada sebarang alatan diperlukan, cuma sebuah lagu yang menarik dinyanyikan untuk mengiringi setiap langkah permainan.
Cara Bermain Dua orang dipilih menjadi ketua, kebiasaanya bertubuh besar dan menggunakan nama samaran yang hanya diketahui oleh mereka berdua sahaja. Kedua-dua ketua ini akan berhadapan antara satu sama lain dengan memegang tangan masing-masing yang diangkat keatas, bagi memudahkan para ahlinya melintasi dibawahnya. Semasa ini sebuah nyanyian dialunkan 'Jan-jan jala Jala itik jala ayam. Berapa lubang kancil? Seratus lima puluh. Singgah Cik Dayang singgah. Makan sirih mulut merah." Sebaik sahaja lagu itu selesai dinyanyikan, ketua-ketua itu akan menangkap pemain terakhir yang sedang melintas.
Menentukan Pemain Setelah itu, pemain yang ditangkap tadi dibawa ke tempat lain oleh ketua-ketua itu untuk disoal. Kemudian mereka menyebut nama samaran yang telah ditetapkan sebelum permainan. Pemain yang ditangkap itu dikehendaki memilih salah satu nama tersebut. Pemain-pemain tadi dikehendaki berdiri di belakang ketua yang mana namanya dipilih oleh ahli tadi dengan merahsiakan nama pilihannya kepada ahli yang lain. Kemudian permainan dimulakan semula seperti awal tadi, sehinggalah semua pemain selesai memilih ketua masing-masing.
Pertukaran Pemain Jika ada kumpulan mempunyai jumlah ahli yang lebih ramai daripada kumpulan yang satu lagi, rayuan boleh dibuat untuk pertukaran ahli bagi mengimbangkan jumlah ahli setiap pasukan. Bagaimanapun, pertukaran hanya boleh dibuat setelah persetujuan di
antara kedua-dua belah pihak dicapai. Jika tidak mahu membuat pertukaran, permainan akan tamat di situ dan ketua itu dikira menang, kerana mempunyai ahli yang paling ramai.
Menentukan Pemenang Sebaliknya jika ini terjadi, satu perlumbaan dilakukan. Untuk itu, satu garisan dibuat bagi membolehkan kedua-dua pasukan beradu kekuatan. Kedua-dua ketua pasukan berdiri sama jauh dari garisan dan tangan mereka berpaut antara satu sama lain. Pemainpemain lain beratur di belakang ketua masing-masing sambil memegang pinggang. Kedua-dua ketua pasukan berusaha menarik antara satu sama lain supaya melangkah garisan itu, dengan ahli lain membantu, seperti tarik tali. Jika pasukan yang kurang ahlinya itu berjaya menarik pasukan lawan melintasi garisan itu, pasukannya dianggap menang. Maka dia boleh meminta sejumlah pemain yang dikehendakinya untuk mengimbangi pasukannya dengan pasukan yang satu lagi itu. Sebaliknya, jika pasukannya gagal berbuat demikian, maka dia dianggap kalah.
PERMAINAN KECIL
BALING BOLA (HANTARAN BOLA JARING) Baling bola ini diambil daripada pergerakkan kecil cara balingan yang terdapat dalam permainan bola jarring. Ia bertujuan melatih pelajar tentang beberapa teknik hantaran atau balingan yang boleh dilakukan dalam permainan bola jaring. Terdapat beberapa teknik balingan yang boleh dilakukan seperti : Balingan paras dada Balingan tinggi Balingan sisi Balingan bawah Sebelum memulakan aktiviti ini, guru dikehendaki membentuk beberapa kumpulan kecil. Seterusnya, setiap kumpulan diberikan sebiji bola. Kumpulan boleh dibentuk dalam bulatan atau pun mengadap secara berpasangan. Jika kumpulan dibentuk dalam bentuk bulatan, seorang pelajar dikehendaki duduk di bahagian tengah bulatan begi membuat hantaran kepada pelajar lain secara pusingan. Jika kumpulan di bentuk dalam keadaan menghadap, pelajar dihendaki menghadap pasangan mereka. Hantaran bola biasanya dalam bentuk zig zag.
Balingan Paras Dada Pelajar dikehendaki membuat hantaran balingan bola separas dengan dada. Pelajar meletakkan bola separas dengan dada kemudian membaling bola tersebut kepada pelajar lain dengan cara satu kaki kehadapan. Ia bertujuan untuk melatih pelajar memberi bola pada jarak yang dekat.
Balingan Tinggi Pelajar dikehendaki membuat hantaran balingan bola tinggi kepada pelajar lain, dengan memberikan sedikit daya kepada hantaran tersebut. Ia bertujuan untuk melatih pelajar memberi bola pada jarak yang jauh.
Balingan Sisi Pelajar dikehendaki membuat hantaran balingan bola samada dari sisi kiri atau kanan kepada pelajar lain. Ia bertujuan untuk melatih pelajar memberi bola pada sisi yang berlainan dan sekaligus boleh mengelirukan pihak lawan.
Balingan Bawah Pelajar dikehendaki membuat hantaran balingan bola dari bahagian bawah kepada pelajar lain. Ia bertujuan untuk melatih pelajar memberi bola pada jarak yang dekat dan sukar di kenal pasti jaraknya oleh pihak lawan. Ini akan mengelirukan pihak lawan.
JAMBATAN SUDAH ROBOH
Permainan ini tidak menggunakan sebarang alatan. Ianya hanya memerlukan pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan. Cara permaianan ini dijalankan ialah dua orang pelajar menjadi jambatan dan sekumpulan pelajar yang lain bakal menjadi mangsa jambatan roboh.
Peraturan Dua orang pelajar yang menjadi jambatan, hendaklah menyanyikan sebuah lagu. ‘ Jambatan sudah roboh, sudah roboh, sudah roboh…… Jambatan sudah roboh, sudah roboh, sudah roboh… Hari ini…’ Pelajar yang berada dalam kumpulan lain perlulah melalui bawah tangan dua orang pelajar tadi sepanjang nyanyian berkumandang, Selesai menyanyikan lagu ini orang last dari kumpulan lain yang melalui pengangan tangan tadi hendaklah di peluk, menandakan dia adalah mangsa jambatan roboh. Pelajar yang di peluk dikehendaki duduk di belakang orang yang menjadi jambatan. Begitulah seterusnya, sehingga semua menjadi mangsa jambatan roboh.
JAN JAN JALA Ia lagu yang dimainkan bersama oleh kanak-kanak masyarakat Melayu. Lazimnya, permainan ini perlu dimainkan lebih dari empat orang. Dua orang akan saling berpaut pada bahu masing-masing atau memegang tangan masing-masing dan meninggalkan ruang tengah untuk memberi laluan. Pemain lain akan memasuki ruangan itu ketika lagu dinyanyikan dan sebaik sahaja lagu habis dinyanyikan, pemain yang masih di ruangan tengah itu akan ditangkap dan dikira kalah dan didenda.
Lagu Janjanjala Jalaitikjalaayam Dimanalubangkancil Seratuslimapuluh CikCikGayah Makan sirih mulut... me... me...merah
Cara Bermain Dua orang 'ketua /Kepala' yang dipilih, memilih nama benda atau lain-lain yang berlainan antara satu sama lain tanpa diketahui oleh para pemain yang lain. Ketika lagu dinyanyikan, pemain lain akan berbaris dan berjalan melalui lorong kedua-dua ketua tadi. 'Lorong' merupakan perlakuan kedua-dua ketua menemukan tapak tangan masing-masing dan diangkat ke atas, membentuk lorong bagi membolehkan pemain lain melaluinya.
Apabila lagu selesai dinyanyikan, kedua-dua ketua tadi akan menurunkan tangan masing-masing dan mengurung pemain yang tidak melepasi lorong selepas tamat lagu. Kedua-dua ketua tadi akan membawa pemain yang terperangkap jauh daripada pemain lain dan meminta memilih nama benda atau lain-lain yang menjadi pilihan kedua-dua ketua sebelum permainan dimulakan tadi. Pilihan pemain tadi menentukan dia akan menjadi pengikut ketua yang mana satu. Pemain akan berada di belakang ketua yang dipilihnya dengan memegang pinggang ketuanya. Hal ini akan diulang kepada pemain lain sehingga habis semuanya. Jika bernasib baik ketua akan mempunyai jumlah pengikut yang lebih ramai di belakangnya. Ketua akan saling menarik tangan dan dibantu oleh pengikut yang menarik di belakangnya. Satu garis pemisah akan dibuat antara dua kumpulan dan ahli kumpulan yang tertarik ke sebelah dianggap menjadi pengikut. Begitulah
seterusnya sehingga habis semua ahli kumpulan ditarik ke sebelah dan dianggap sebagai pemenang.