Peranan Hukuman dan Balasan Pada dasarnya hukuman-hukuman yang dikenakan ke atas pesalah-pesalah dalam undangundang Islam mempunyai tujuan yang sama dengan undang-undang positif iaitu untuk melindungi masyarakat daripada perlakuan jahat dan juga untuk memberi pengajaran kepada pesalah supaya tidak mengulangi perbuatan jahatnya.Peranan yang utama hukuman dalam Islam adalah sebagai pembalasan ke atas perbuatan jahat seperti yang diterangkan di dalam al-Quran : Maksudnya : “Dan pencuri lelaki dan perempuan maka potonglah tangan mereka sebagai pembalasan ke atas perbuatan mereka. Selain itu ia juga boleh menjadi pencegah (preventive), sama ada untuk mencegah penjenayah daripada mengulangi perbuatan jahatnya setelah menerima hukuman yang berat atau menahan orang yang bercadang melakukan kejahatan daripada meneruskan cadanganya setelah mengetahui adanya hukuman yang berat atau menghalang orang lain daripada melakukan kejahatan setelah mengetahui adanya balasan-balasan yang diterima oleh pesalah. Hukuman-hukuman dalam Islam juga boleh dianggap sebagai pemulihan (reformative) atau pembetulan kepada penjenayah. Ini bererti walaupun Islam mengenakan hukuman yang berat kepada pesalah-pesalah tetapi di samping itu Islam tidak mengenepikan kepentingan pesalah. Tegasnya Islam akan mengenakan hukuman hanya setelah mengkaji dan meneliti tiap-tiap pesalah dari segi status dan tanggunjawab masing-masing. Sebagai contohnya dalam kesalahan zina maka hukumnya telah diasingkan di antara pesalah yang telah berkahwin dengan yang belum berkahwin. Begitu juga hukuman bagi kesalahan yang sama itu berbeza di antara pesalah dewasa dengan pesalah yang belum cukup umur dan sebagainya. Dengan mengenakan hukuman ke atas penjenayah maka perbuatan-perbuatan seperti menuntut bela dan membalas dendam dapat dikawal. Ini adalah kerana dasar hukuman dalam Islam adalah persamaan yang bererti bahawa hukuman yang dikenakan adalah setimpal dengan jenayah yang dilakukan.
Menghindar Kesalahan Dalam Islam terdapat beberapa cara yang dapat menghindarkan atau menegah seorang atau masyarakat daripada melakukan kesalahan atau kejahatan. Di antaranya ialah : 1. Melalui latihan jiwa dan rohani sebagai asas terpenting. Semua amal ibadat yang diwajibkan dalam Islam adalah bertujuan untuk melatih dan
mendidik jiwa muslim supaya tahu dirinya sebagai hamba Allah, berbaik-baik makhluk Allah dan tidak boleh menzalimi dan mengianaya. Sebagai contohnya, sembahyang lima waktu sehari semalam, selain daripda ia merupakan suatu kewajiban yang mesti ditunaikan ia juga dapat melatih diri seorang dan dapat membersihkannya dari sifat kekotoran. Dalam ibadat sembahyang dan ciri-ciri persamaan, tawaduk dan rendah diri. Jadi jika ia dikerjakan pada waktu-waktu yang telah ditetapkan dengan mengikut syarat-syarat rukuknya dengan betul nescaya terhindarlah seorang itu daripada perkara-perkara keji dan munkar sebagaimana firman Allah : Maksudnya : Sesungguhnya sembahyang itu menghalang daripada perbuatan keji dan munkar. Ibadat puasa juga boleh menjadi pendinding terhadap perbuatan jahat sebagaimana keterangan sabda Rasullulah : Maksudnya : “Puasa itu adalah pendiding”
Ini adalah kerana apabila seseorang itu berpuasa maka kuranglah tenaganya dan juga apabila berasa lapar maka akan timbul perasaan simpati kepada orang miskin yang kelaparan. Zakat juga dapat melatih orang Islam supaya saling bantu membantu dan tolong menolong. Orang yang berada disuruh membantu saudara-saudaranya yang kurang bernasib baik. Dengan adanya latihan-latihan seperti ini, maka hilanglah jurang perbezaan dan perpisahan yang akhirnya timbul pula kasih sayang dan berbaik sangka di antara satu dengan yang lain. Begitulah seterusnya ibadat-ibadat yang lain. 2. Melalui pembentukan masyarakat yang luhur dengan cara nasihat menasihat dan tegur menegur demi untuk kebaikan masyarakat seluruhnya. Adalah menjadi tanggungjawab anggota masyarakat yang baik untuk memperbaiki mana-mana anggotanya yang kurang baik dan pihakpihak yang terlibat mestilah sanggup menerima teguran yang membina demi untuk kebaikan bersama. Oleh sebab itu Allah menghendaki supaya ada di kalangan umat Islam orang yang sanggup mengajak masarakatnya untuk berbuat kebajikan dengan menyuruh mereka berbuat kebajikan dan menegah mereka melakukan perbuatan terkutuk sebagai firman Allah : Maksudnya : dan hendaklah ada di antara kamu satu umat yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat makruf dan menegah daripada perbuatan munkar. Mereka itulah yang beroleh kejayaan.
3. Jalan yang akhir yang boleh mencegah berlakunya kejahatan ialah melalui hukumanhukuman yang terdapat dalam undang-undang Islam. Hukuman-hukuman yang disyariatkan oleh
Allah tidak diturunkan dengan sia-sia. Ia diadakan untuk keadilan semua orang dan bukan untuk kepentingan sesuatu golongan.