PENGGUNAAN RUANG SIBER DALAM POLITIK MALAYSIA: PILIHANRAYA UMUM KE 12 UKM-GUP-TKS-08-11-285
PROF MADYA SALIHA H. HASSAN, PROF MADYA MOHAMAD ZAIN MUSA, PROF MADYA DR BAHIYAH ABDUL HAMID, PROF MADYA FUZIAH KARTINI HASSAN BASRI, EN. SUHAIMEE SAAHAR@SAABAR, EN. MUHAMAD NADZRI BIN MOHAMAD NOOR
ABSTRAK
Pembangunan sosial dan pembinaan negara bangsa yang menjamin kedaulatan serta ketahanan nasional adalah matlamat setiap negara berdaulat dan merdeka. Mekanisme bagi pencapaian matlamat ini terletak kepada kestabilan serta kematangan sistem politik dan kerajaannya. Di Malaysia, kerajaan kita berlandaskan konsep raja berperlembagaan dan sistem politik berpaksikan demokrasi berparlimen. Demokrasi berparlimen pula mempunyai dua dimensi penting iaitu perundingan antara pihak yang berkepentingan dan penyertaan bebas oleh semua kalangan yang berminat dalam pembuatan keputusan, khususnya keputusan yang melibatkan dasar awam serta pemilihan pemimpin. Ruang siber yang bebas kekangan menawarkan peluang ini. Penggunaan ruang siber sebagai ruang untuk kebebasan bersuara yang menjurus kepada amalan participatory dan deliberative democracy, iaitu petanda demokrasi matang atau mature democracy, adalah paling signifikan semasa pilihanraya. Pada teorinya proses pilihanraya berjalan di atas prinsip pemikiran rasional, matlamat kebajikan am, dan sikap menghormati kebebasan individu. Dengan berdasarkan andaian-andaian tersebut, persoalan penyelidikan ini ialah apakah bentuk kandungan, kualiti dan impak penggunaan ruang siber terhadap pembanguanan budaya demokrasi di negara ini. Analisis ini menggunakan data
pilihanraya umum Malaysia yang ke 12, pada 8 March 2008 yang lalu. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengaruh maklumat politik di internet terhadap pengundi di Malaysia adalah suatu yang telah bermula semenjak akhir tahun 1990an, ia paling berperanan membentuk perspektif politik pengundi berumur 21-50 tahun, dan pada pilihanraya kali ini, pembelog bebas mendominasi wacana serta analisis politik semasa.