Pengajaran Kemahiran Bahasa Melayu.docx

  • Uploaded by: Mei Mun
  • 0
  • 0
  • August 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Pengajaran Kemahiran Bahasa Melayu.docx as PDF for free.

More details

  • Words: 2,434
  • Pages: 16
1.0 PENGENALAN Membaca merupakan kemahiran yang paling penting dalam pembelajaran. Tanpa pembacaan, sesuatu pembelajaran tidak akan menjadi bermakna. Menurut Zamri (2015), membaca merupakan aktiviti atau kemahiran yang sukar diterjemahkan kerana aktiviti ini melibatkan pelbagai proses dalam diri dan minda seseorang individu. Husin dan Nazariyah (2013) pula menyatakan bahawa proses membaca melibatkan kebolehan mengenal lambang dan menterjemahkan lambang itu semula kepada bunyi suara dan memahami makna atau tanggapan yang disampaikan oleh tulisan itu. Tegasnya, membaca merangkumi aspek bahasa dan komunikasi. Oleh itu, guru memainkan peranan yang penting untuk membimbing murid untuk meningkatkan kemahiran membaca. Masalah membaca dalam bahasa Melayu sering wujud dalam kalangan murid sekolah rendah. Guru perlu mengesan kelemahan membaca murid dan seterusnya menjalankan pengajaran pemulihan bacaan dengan segera. Hal ini demikian kerana Abdul (2013) berpendapat bahawa pengajaran bahasa Melayu yang berkesan dihasilkan daripada proses pengajaran yang baik sehingga mencapai objektif tertentu. Dalam trend PdP bahasa kini, guru perlu menguasai ilmu bahasa dan melengkapkannya dengan kemahiran mengajar bahasa dengan baik dan berkesan. (Yahya, 2005). Oleh itu, pelbagai kaedah mengajar kemahiran membaca yang sesuai dengan kebolehan murid boleh digunakan oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran. 2.0 MASALAH PENGAJARAN KEMAHIRAN MEMBACA Berdasarkan artikel daripada Jurnal Pembelajaran dan Pembangunan Guru yang bertajuk ‘Pembelajaran Kemahiran Membaca dalam Kalangan Murid Pemulihan’, oleh Norfishah dan Faridah (2012), murid pemulihan tahun 1 di sebuah sekolah di luar bandar di Pulau Pinang telah mengalami masalah membina dan membaca suku kata tertutup KV, suku kata terbuka KVK, dan membina dan membaca perkataan KV+KV dan perkataan KV+KVK. Murid-murid tidak dapat mengingat ciri dan lambang huruf dan tidak dapat membezakan simbol-simbol huruf. Mereka juga menghadapi masalah tidak dapat mengaitkan sebutan setiap abjad apabila diadunkan menjadi suku kata dan perkataan. Zulkifley (2005) berpandangan bahawa kemahiran membaca tidak akan dimiliki oleh seseorang murid jika tidak dapat mengenali dan membezakan fonem dan menggabungkan simbol fonem untuk membentuk perkataan. Kelemahan tersebut akan mengakibatkan murid-murid untuk mengalami kesukaran semasa membaca perkataan KV+KV dan KV+KVK. Selain itu, mereka tidak dapat membezakan bunyi huruf dalam ejaan kerana abjad tidak berkaitan langsung dengan sebutan. Murid mengalami kesukaran untuk membatangkan 1

ejaan perkataan dan membunyikan perkataan yang dieja. Kelemahan dalam kemahiran membaca murid tahun 1 yang dinyatakan dalam artikel jurnal tersebut berpunca daripada kegagalan murid menguasai suku kata KV dan KVK yang menyebabkan murid-murid sukar mengeja dan membaca perkataan KV+KV dan perkataan KV+KVK. Hal ini juga menyebabkan murid-murid lambat menguasai kemahiran membaca kerana kebolehan membaca suku kata merupakan kemahiran asas membaca yang perlu dikuasai oleh setiap murid. 3.0 CADANGAN KAEDAH MENGATASI MASALAH PENGAJARAN MEMBACA Pengajaran kemahiran membaca dalam bahasa Melayu melibatkan pelbagai kaedah yang boleh digunakan semasa mengajar. Tuan Jah dan Faridah (2011) berpendapat bahawa kaedah merupakan suatu prosedur yang membolehkan pelaksanaan satu pengajaran yang teratur, kemas dan sistematik. Menurut Mahzan (2003) pula, sesuatu bahan dapat dibaca oleh murid dengan pelbagai kaedah berdasarkan kemampuan mereka dan tahap penguasaan kemahiran membaca mereka. Sehubungan itu, terdapat dua kaedah yang sesuai untuk mengatasi masalah membaca yang telah dinyatakan dalam artikel jurnal yang dipilih, iaitu kaedah fonik dan kaedah pandang sebut. 3.1 KAEDAH FONIK Kaedah fonik merupakan kaedah yang memerlukan murid untuk mengenal dan mengingat bentuk huruf dan bunyi huruf tanpa mengingat nama huruf. Sofiah Hamid (1983) menyatakan bahawa kaedah ini berasaskan kepada teori bahawa kemahiran membaca melibatkan kebolehan mengenal lambang huruf, hubungan antara bunyi dan lambang yang dilihat dan menterjemahkan bentuk huruf kepada bunyi-bunyi dan kemudian maknanya. Kaedah fonik dapat membantu murid-murid mengenal huruf dari segi bentuk, rupa dan cara menulis huruf tersebut. Dengan ini, kaedah fonik dapat membantu murid-murid pemulihan untuk mengingat ciri-ciri huruf dan membezakan huruf-huruf. Di samping itu, murid-murid tidak diajar dengan nama-nama huruf, sebaliknya mereka akan diajar dengan bunyi-bunyi huruf. Pelaksanaan kaedah ini dapat membantu murid-murid untuk mengaitkan lambang huruf dan bunyinya, seperti huruf ‘a’ akan dibunyikan ‘aaa...’. Murid-murid juga akan dilatih untuk membunyikan huruf-huruf secara terasing dan kemudiannya menggabungkan dengan bunyi-bunyi huruf yang lain bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan. Kaedah fonik memberikan penekanan kepada hubungan antara simbol huruf dengan bunyi. Kaedah ini sangat sesuai digunakan untuk mengajar murid-murid yang 2

baru mengenal huruf. Kaedah ini juga dapat membantu murid-murid pemulihan untuk membunyikan perkataan yang dieja. Hal ini demikian kerana murid-murid akan diajar pembinaan suku kata setelah mengetahui hubungan setiap huruf dengan bunyinya. Naimah et.al. (2014) berpandangan bahawa kaedah fonik membantu murid-murid mendiskriminasi bunyi dan bentuk huruf untuk mengecam perkataan. Apabila murid dapat melihat hubungan simbol dan bunyi huruf, maka mereka dapat membaca perkataan baharu yang ditemuinya. Contohnya, ‘ba’, ‘sa’, ‘tu’ dan sebagainya. Seterusnya murid diajar pula menggabungkan suku kata menjadi perkataan, seperti [da] + [du] = [dadu] dan [sa] + [tu] = [satu]. Lanjutan daripada itu, kaedah ini dapat mengatasi masalah murid pemulihan yang tidak dapat mengaitkan sebutan setiap abjad apabila diadunkan menjadi suku kata dan perkataan. Dari segi kekuatan kaedah fonik dalam mengatasi masalah membaca, muridmurid tidak akan tersangkut semasa membaca perkataan suku kata tertutup kerana mereka akan membaca sesuatu perkataan dengan cara membunyikan suku kata demi suku kata. Hal ini dapat membantu menyelesaikan masalah murid-murid pemulihan tahun 1 untuk membaca perkataan KV+KVK. Selain itu, kaedah fonik juga dapat mengurangkan bebanan kepada memori murid kerana mereka tidak perlu diperkenalkan dengan semua huruf konsonan dan huruf vokal dalam satu masa. Murid juga dapat membaca apa-apa sahaja perkataan baharu yang ditemuinya apabila dapat melihat hubungan antara simbol dan bunyi huruf. Dengan itu, mereka dapat membaca ayat-ayat yang mudah dengan lancar. Antara contoh aktiviti yang boleh dilaksanakan dengan menggunakan kaedah fonik termasuklah aktiviti membunyikan huruf vokal dan huruf konsonan. Murid dikehendaki untuk menyebut dan menghafal huruf-huruf vokal dan konsonan. Seterusnya, aktiviti asosiasi benda dengan bunyi huruf vokal dan konsonan juga boleh dilaksanakan. Murid perlu meneliti gambar dan menyebut huruf dengan betul. Contohnya, huruf ‘a’ bersamaan dengan gambar api, huruf ‘k’ bersamaan dengan gambar kasut dan sebagainya. Aktiviti yang paling berkesan bagi murid untuk membaca perkataan KV+KV ialah aktiviti membatang suku kata dan perkataan. Suku kata dibahagikan mengikut huruf konsonan dan huruf vokal. Misalnya, ‘ba’, ‘be’, ‘bi’, ‘bo’ dan ‘bu’. Selepas itu, murid perlu mengeja dan membaca perkataan seperti ‘madu’, ‘gigi’, ‘suci’ dan kemudian membaca perkataan berdasarkan gambar yang berkaitan. Aktiviti yang boleh juga dilaksanakan ialah aktiviti membaca frasa dan ayat, iaitu murid perlu membaca secara kuat frasa dan ayat yang diberikan. Lembaran kerja contoh aktiviti telah disertakan dalam bahagian lampiran. 3

3.2 KAEDAH PANDANG DAN SEBUT Kaedah pandang dan sebut juga dikenali sebagai kaedah seluruh. Hal ini demikian kerana pengajaran menggunakan kaedah ini dimulakan dengan guru terus memperkenalkan perkataan. Pengenalan kepada nama huruf tidak dipentingkan dalam pelaksanaan kaedah ini. Menurut Khairuddin dan Zaridah (2015), kaedah pandang sebut memberikan penekanan kepada kebolehan murid menyebut perkataan dan ayat yang bermakna. Pengajaran menggunakan kaedah ini dimulakan dengan guru menunjukkan gambar dan murid dikehendaki meneliti gambar tersebut. Selepas itu, guru akan menyebut perkataan yang berkaitan dengan gambar tersebut dan kemudian murid akan mengikutnya. Guru hendaklah memastikan sebutan murid tepat dan jelas. Kaedah ini sangat sesuai digunakan semasa mengajar murid-murid pemulihan kerana dapat mengatasi masalah mereka untuk membunyikan perkataan yang dieja. Menurut Amat Tarop Sumo (2013) berpendapat bahawa kaedah pandang sebut juga memerlukan guru untuk memperkenalkan huruf-huruf yang membentuk sesuatu perkataan satu persatu. Sebagai contoh, selepas melihat gambar buku dan menyebut perkataan ‘buku’, guru akan menunjukkan satu per satu huruf yang membentuk perkataan buku, iaitu b+u+k+u. Seterusnya guru akan membentuk suku kata daripada huruf tersebut, iaitu bu+ku. Selanjutnya, murid akan dilatih menyebut perkataan tersebut berulang kali supaya mereka mengenal perkataan tersebut. Dengan itu, murid dapat membatangkan ejaan perkataan dengan lebih mudah. Di samping itu, guru perlu mengaplikasikan latih tubi semasa menggunakan kaedah ini. Adenan dan Khairuddin (2012) menyatakan bahawa teknik latih tubi boleh digunakan untuk mencapai sesuatu kemahiran seperti kemahiran menyebut perkataan dan ayat. Justeru, guru perlu membuat latih tubi menyebut perkataan yang berkaitan dengan gambar. Murid perlu diperlihatkan dengan cara berulang-ulang kad-kad imbasan yang mengandungi sesuatu perkataan dan mereka diminta menyebut perkataan itu beramai-ramai bersama-sama guru. Langkah ini diikuti dengan membaca bahan yang sama daripada buku teks. Pelaksanaan kaedah ini dapat membantu murid-murid pemulihan untuk mengeja dan membaca perkataan KV+KV dan perkataan KV+KVK. Antara kekuatan kaedah pandang dan sebut termasuklah murid dapat menyebut perkataan dan memahami makna perkataan secara serentak. Semasa menggunakan kaedah ini, guru akan memastikan murid dapat menyebut perkataan 4

dan mengetahui maknanya secara langsung berdasarkan gambar yang ditunjukkan. Murid-murid pemulihan dapat menguasai sebutan dan ejaan perkataan dengan lebih cepat berpandukan gambar yang berkaitan. Tambahan pula, kaedah pandang sebut dapat membantu murid membina asas yang kukuh untuk menyebut perkataan dengan tepat dan betul. Hal ini demikian kerana melalui kaedah ini murid dikehendaki mengenal perkataan terlebih dahulu sebelum aspek lain diajarkan. Dengan ini, murid akan difokuskan kepada satu perkara sahaja. Selain itu juga, kaedah ini boleh menjimatkan masa murid untuk belajar membaca kerana mereka didedahkan dengan perkataan lebih awal. Guru terus memperkenalkan perkataan berpandukan gambar yang ditunjukkan dan boleh meminimakan kesilapan dalam sebutan perkataan tersebut. Murid juga akan mempelajari bentuk huruf selepas dapat menyebut perkataan. Secara ringkasnya, kaedah pandang dan sebut amat bersesuaian bagi murid-murid pemulihan disebabkan mereka perlu diberikan pendedahan yang betul dan tepat mengenai sebutan sesuatu perkataan dengan berpandukan gambar. Gambar-gambar yang berkaitan dapat merangsang pemikiran murid dan mengukuhkan lagi peringatan murid mengenai sebutan sesuatu perkataan itu. Terdapat pelbagai contoh aktiviti yang boleh dijalankan menggunakan kaedah pandang sebut. Antaranya ialah aktiviti melihat gambar dan menyebut perkataan. Murid akan ditunjukkan beberapa kad bergambar dan perkataan yang berkaitan gambar. Murid perlu menyebut perkataan tersebut mengikut sebutan guru dengan betul. Contohnya, guru menunjukkan kad gambar ‘roti’. Guru membunyikan perkataan ‘roti’ dan diikuti oleh murid-murid. Guru perlu memperbetul kesalahan sebutan murid dan menerangkan bentuk-bentuk huruf dalam perkataan tersebut. Seterusnya, guru menunjukkan dua kad yang ditulis suku kata ‘ro’ dan ‘ti’. Selepas itu, guru boleh membina perkataan dan menyebut semula perkataan yang sama. Guru boleh mencantumkan kedua-dua kad tersebut dan menyebut semula perkataan ‘roti’ dengan sebutan yang betul. Guru juga boleh melaksanakan aktiviti membina ayat menggunakan perkataan yang telah dipelajari dan seterusnya membimbing murid untuk membaca ayat tersebut. Aktiviti yang dilaksanakan dengan berpandukan kaedah pandang sebut lebih mementingkan aspek latih tubi dan ulangan bagi membolehkan murid membaca perkataan dengan lancar.

5

4.0 RUMUSAN Kesimpulannya, kaedah fonik dan kaedah pandang sebut merupakan kaedah yang sangat sesuai dilaksanakan untuk mengatasi masalah pengajaran kemahiran membaca yang telah dikenal pasti dalam artikel jurnal yang dipilih. Terdapat pelbagai kekuatan kaedah yang boleh dimanfaatkan oleh guru-guru bahasa Melayu semasa mengajar kemahiran membaca kepada murid-murid di sekolah. Pengajaran bahasa melayu secara umumnya melibatkan pelbagai kaedah yang boleh digunakan di bilik darjah. Guru perlu bijak memilih kaedah yang sesuai dengan mengambil kira tahap kemahiran membaca murid yang berbeza dan disertakan dengan aktiviti yang menarik dan berkesan untuk memastikan murid-murid menguasai kemahiran membaca. Hal ini demikian kerana kemahiran membaca merupakan kemahiran yang menjadi asas kepada pembelajaran yang berkesan dalam pelbagai bidang.

6

RUJUKAN

Abdul Hamid Mahmood. (2013). Pengajaran Bahasa Melayu Berkesan. Perak Darul Ridzuan: Persatuan Penulis Budiman Malaysia. Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad. (2012). Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu. Selangor: Oxford Fajar Sdn Bhd. Amat Tarop Sumo, Abu Bakar Ahmad, Thahir Nuruddin, Patarai Haji Cholen, Azhar Sabil, Hasizan Dahalal dan Anuar Md. Amin. (2013). Literasi Bahasa. Kuala Lumpur: Freemind Horizons Sdn Bhd. Husin Fateh Din dan Nazariyah Sani. (2013). Bahasa Melayu II Akademik. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn Bhd. Khairuddin Mohamad dan Zaridah Ramli. (2015). Literasi Bahasa Melayu. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn Bhd. Mahzan Arshad. (2003). Pendidikan Literasi Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Naimah Yusoff, Nor Hashimah Hashim dan Hashim Othman. (2014). Kemahiran Bacaan Awal Bahasa Melayu Prasekolah. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia. Norfishah Mat Rabi dan Faridah Ahmad. (2012). Pembelajaran Kemahiran Membaca dalam Kalangan Murid Pemulihan. Jurnal Pembelajaran dan Pembangunan Guru, 1, 139151. Sofiah Hamid. (1983). Pendekatan Mengajar Bacaan Bahasa Malaysia di Peringkat Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Tuan Jah Tuan Yusof dan Faridah Nazir. (2011). Pengajaran Kemahiran Bahasa Melayu. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn Bhd. Yahya Othman. (2005). Trend dalam Pengajaran Bahasa Melayu. Pahang Darul Makmur: PTS Professional Publishing Sdn Bhd. Zamri Mahamod . (2015). Strategi Pembelajaran Inventori Cara Belajar Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Zulkifley Hamid. (2005). Penilaian Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

LAMPIRAN Langkah Pelaksanaan Kaedah Fonik

Mengenal dan mengingat bunyi huruf vokal dan konsonan

Membunyikan huruf dengan berpandukan gambar

Membina suku kata

Menggabungkan suku kata menjadi perkataan

Langkah Pelaksanaan Kaedah Pandang dan Sebut

Menyebut perkataan

Mencerakinkan perkataan

Membina perkataan dan menyebut semula perkataan yang sama

Membina dan membaca ayat

Contoh Aktiviti Kaedah Fonik Aktiviti 1 : Membunyikan Huruf Vokal Arahan : Sebut dan hafal huruf vokal berikut. a

e

i

o

u

Aktiviti 2 : Membunyikan Huruf Konsonan Arahan : Sebut dan hafal huruf konsonan berikut. b

c

f

g

h

Aktiviti 3 : Asosiasi Benda dengan Bunyi Huruf Vokal Arahan : Teliti gambar dan sebut huruf dengan betul.

a

e (e pepet)

i

o

u

Aktiviti 4 : Asosiasi Benda dengan Bunyi Huruf Konsonan Arahan : Teliti gambar dan sebut huruf dengan betul.

p

j

k

r

s

Aktiviti 5 : Membatang Suku Kata dan Perkataan Arahan 1 : Bunyikan suku kata yang berikut.

Konsonan/ Vokal B C D M K

a ba ca da ma ka

e be ce de me ke

i bi ci di mi ki

o bo co do mo ko

u bu cu du mu ku

Arahan 2 : Eja dan bunyikan suku kata yang berikut B K C P S

+ + + + +

a e i o u

= = = = =

Arahan 3 : Eja dan baca perkataan yang berikut

a+pi

api

gi+gi

su+ci

suci

ma+du

gigi

madu

Ba Ke Ci Po Su

Arahan 4 : Eja dan baca perkataan yang berikut

ro ti

la da

pa ku

na si Aktiviti 6 : Membaca Frasa dan Ayat Arahan 1 : Baca dengan kuat (frasa)

ba ju

bi ru

gu la

ba tu

a pi

bi ru

bu ku

li ma

Arahan 2 : Baca dengan kuat (ayat)

Ini baju Abu. Baju Abu ini baharu. Baju Abu ini biru. Abu selalu cuci baju ini.

Ini bola Abu. Ini bola baharu Abu. Baba Abu beli bola ini. Abu main bola tiap-tiap hari.

Ini buku Ali. Ali suka baca buku. Tiap-tiap hari Ali baca buku. Ali simpan buku dalam beg.

Contoh Aktiviti Kaedah Pandang dan Sebut Aktiviti 1 : Menyebut Perkataan Arahan : Menyebut perkataan berdasarkan gambar.

Aktiviti 2 : Mencerakinkan perkataan

roti

= ro + ti

lada = la + da

Aktiviti 3 : Membina Perkataan dan Menyebut Semula Perkataan yang Sama

ba

+

ju

=

baju

gu

+

ru

=

guru

ka

+

wan

=

kawan

Aktiviti 4 : Membina dan Membaca Ayat

1. Ibu makan nasi. 2. Ibu dan nenek makan nasi. 3. Ibu dan nenek makan nasi di meja makan.

Related Documents


More Documents from "Bejo"