Pembetulan Persepsi Terhadap Konsep Ilmu

  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Pembetulan Persepsi Terhadap Konsep Ilmu as PDF for free.

More details

  • Words: 1,799
  • Pages: 6
UMAT ISLAM KINI DAN PEMBETULAN PERSEPSI TERHADAP PROSES KEILMUAN

Kewajiban menuntut ilmu sudah amat termaklum kepada kita umat Islam. Pada teorinya, umat Islam dan ilmu tidak dapat dipisahkan. Tidak ada agama yang lebih menekan dan memberi galakan agar umatnya menuntut ilmu lebih dari agama Islam. Penuntut dan pengajar ilmu mendapat tempat yang istimewa di sisi Islam. Namun pada realitinya kita dapati umat Islam begitu terkebelakang dalam perlumbaan menguasai ilmu pengetahuan moden. Memang benar umat Islam pada suatu masa dalam sejarah pernah menguasai tamaddun dan keilmuan, tetapi kebanggaan masa lalu seolah-olah tiada kesinambungannya dengan realiti umat Islam sekarang. Mengapakah perkara ini terjadi? Secara umumnya kita dapat katakan antara sebab utama ialah kerana umat Islam tidak lagi benar-benar mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Namun jika kita perhalusi mungkin terdapat kesilapan besar dalam kita menafsirkan cara memenuhi tuntutan ilmu di dalam Islam. Di sini penulis ingin kemukakan beberapa contoh tentang bagaimana berlakunya silap penafsiran tentang ilmu dan tuntutan ilmu di kalangan umat Islam yang menjadi antara faktor kelemahan umat Islam sekarang. Sebagai contohnya pernah suatu ketika di mana umat Islam menganggap ilmu yang dituntut dalam Islam hanya berupa ilmu fardhu ain seperti ilmu syariat, usuluddin, tafsir dan hadis sahaja. Ilmu-ilmu lain seperti Ilmu sains dan teknologi, ilmu perniagaan, ilmu pengurusan, ilmu psikologi dan sepertinya menjadi suatu yang terasing kerana di anggap ilmu keduniaan semata-mata serta “tidak menghampirkan diri kepada Allah”. Tanggapan demikian pada pemerhatian penulis berlaku selepas berakhirnya era kegemilangan tamaddun umat Islam iaitu selepas berakhirnya Khilafah Islamiah di Turki dan bermulanya era penjajahan Negara-negara umat Islam oleh Barat. Setelah kebanyakan Negara umat Islam bebas dari penjajahan, ilmu-ilmu fardhu kifayah juga diakui kepentingannya demi kesinambungan ummah. Namun kegemilangan ilmu masih lagi belum dapat dicapai oleh umat Islam bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa umat Islam ketinggalan lebih tiga puluh tahun kebelakang dari sudut pencapaian ilmu dibandingkan dengan bukan Islam khususnya negara-negara barat. Itupun jika dibandingkan di antara negara maju dengan negara membangun seperti Malaysia bukan lagi negara-negara dunia ketiga yang majoriti rakyatnya masih belum mengenal komputer mahupun internet. Sebagai contohnya negara-negara Barat sudah meneroka angkasa lepas lebih tiga puluh tahun yang lalu sedangkan tiada sebuahpun negara umat Islam yang mampu menerbangkan sendiri angkasawan kita untuk meneroka angkasa sehingga sekarang.

1

Selain dari itu, apabila merujuk kepada pencapaian dan perolehan ilmu, umat Islam lebih mementingkan kepada penghafalan dari bentuk-bentuk lain dalam proses pengilmuan. Proses penganalisaan, kritikan, penilaian, kreativiti dan inovasi kurang diambil berat dan diberi ‘weightage’ yang sewajarnya oleh umat Islam. Tradisi ilmu umat Islam amat menekankan kepada penghafalan. Penghafal Al-Quran amat disanjung dan dimuliakan di dalam Islam. Para ulama mesti menghafal beribu-ribu hadis barulah dianggap ulama muktabar. Setiap individu muslim Islam diwajibkan menghafal sekurang-kurangnya surah Al-Fatihah dan At-Tahiyyat barulah dapat melaksanakan rukun Islam yang kedua dengan sempurna. Perawi hadis tidak akan dipercayai sekiranya diketahui bahawa beliau mempunyai ingatan yang lemah dan hadis riwayatnya dianggap hadis yang lemah. Tradisi penghafalan ilmu ini dapat difahami dan diwajarkan memandangkan tradisi keilmuan umat Islam sudah bermula pada ketika penggunaan kertas belum dikenali oleh masyarakat Arab ketika itu. Lebih-lebih lagi penghafalan adalah kaedah paling berkesan bagi memelihara Al-Quran sehingga ke akhir zaman terutamanya di peringkat awal penurunannya. Justeru, tradisi tersebut terus kekal kepada umat Islam dan diberi keutamaan dari proses-proses ilmu yang lain walaupun setelah meluasnya penggunaan kertas dan penulisan sehinggalah kepada zaman komputer sekarang ini. Penulis amat menyokong budaya dan keunggulan penghafalan umat Islam dikekalkan kerana ini adalah suatu kelebihan kepada umat Islam. Namun amat malang sekiranya umat Islam kurang menumpukan kepada segmensegmen lain dalam proses keilmuan. Penekanan kepada penghafalan semata-mata akan menjadikan umat Islam umat yang jumud, bertaqlid buta, tidak kreatif dalam menyelesaikan masalah dan tidak inovatif mencipta barangan-barangan baru keperluan umat Islam. Umat Islam juga silap dalam memahami proses pemerolehan ilmu. Sebagai contoh bagi menggalakkan seseorang menuntut ilmu, para ulama akan segera merujuk kepada ayat pertama surah Al-Alaq iaitu Iqra’ yang bererti ‘Bacalah’. Dengan demikian umat Islam digalakkan membaca sebanyak-banyaknya. Ironinya lagi, mereka mungkin membaca berbagai bahan bacaan hasil seruan Iqra’ tetapi lupa membaca Al-Quran, sumber utama di mana Iqra’ diwartakan. Apakah dengan membaca sahaja umat akan jadi berilmu? Di dalam Al-Quran selain seruan Iqra’ (bacalah) terdapat lagi seruan-seruan lain bagi menghasilkan bukan sahaja umat berilmu bahkan beriman dan beraqwa. Perhatikan saja ayat-ayat berikut;

2

“Maka hendaklak manusia itu memperhatikan makanannya.” (Surah ‘Abasa : 24)

“Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembang dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu.” (Al_Mulk : 19)

“Maka apakah mereka tidak melihat akan langit yang berada di atas mereka, bagaimana Kami meninggikannya dan menghiasinya dan langit itu tidak mempunyai retak-retak sedikitpun?” (Qaaf : 6)

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata); ‘Ya Tuhan kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Ali ‘Imran : 190)

“Katakanlah; ‘Berjalanlah di muka bumi kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan itu.” (Al-An’am : 187)

Bagi membuka fikiran manusia agar menerima keesaan Allah, ayat-ayat Al-Quran di atas telah menyeru manusia agar melihat, memerhati, mengembara serta memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah iaitu alam itu sendiri. Umat Islam di zaman kegemilangan telah berjaya menanggapi maksud seruan ayat-ayat di atas dengan baik sekali. Mereka telah membina balai cerap yang pertama di Maragha, selatan Tabriz (yang menjadi prototaip balai cerap di Barat) untuk melihat dan memerhatikan langit serta segala fenomena angkasa dengan begitu tekun. Mereka juga memerhatikan haiwan-haiwan serta fisiologi manusia bagi meneroka kebesaran Allah. Aktiviti pengembaraan pula tidak asing bagi ulama-ulama Islam kerana mereka sanggup mengembara ratusan batu semata-mata untuk mempelajari sebuah hadis. Ibnu Khaldun umpamanya mengembara dari sebuah negara ke sebuah negara sambil mencatat segala aspek sosiologi dan geografi tempat yang dilawatinya.

3

Dua perkataan moden yang paling sesuai menggambarkan aktiviti di atas adalah penyelidikan (research) dan penerokaan ilmu (explore) di mana masih kurang di kalangan negara Islam sekarang. Di universiti memang banyak penyelidikan dijalankan namun sebahagian dari apa yang dinamakan penyelidikan itu hakikatnya bukan penyelidikan tetapi sebaliknya yang lebih banyak terhasil adalah plagiarisme dan pencedukan ilmu (terutamanya bagi peringkat Diploma dan Sarjana Muda). Tidak hairan ramai mahasiswa kita yang tidak dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di universiti bila keluar dari institusi tersebut kerana kerja ‘di luar sana’ adalah lebih dari sekadar berasaskan ‘kertas kerja’ semata-mata. Di pusat pengajian tradisional iaitu pengajian pondok ilmu-ilmu dari kitab kuning dipelajari secara menghafal dan diterima seratus peratus. Ilmu tersebut dihuraikan dan difahamkan namun proses analisa, ujian, perbandingan (dengan pendapat ulama lain), penerokaan kreatif dan inovasi tidak berlaku. Tidak ada penyelidikan dan penerokaan ilmu. Di sekolah-sekolah memang ada usaha melahirkan pelajar yang inovatif dan kreatif dengan menerapkan berbagai kaedah pembelajaran seperti akses dan penemuan kendiri serta dibantu dengan aktiviti ko-kurikulum namun kekangan sistem peperiksaan menyebabkan segala ilmu perguruan yang dipelajari hanya kekal sebagai teori sematamata maka hasil yang dituai tidak seperti yang diharapkan. Umat Islam seharusnya ingat bahawa proses memperkasakan ilmu tidak harus terhenti setakat membaca sahaja kerana dari pembacaan adalah sebenarnya ilmu peringkat kedua (ilmu sekunder) melainkan membaca Al-Quran sahaja yang boleh dianggap merupakan ilmu primer (Ayat Maqru’ah). Sumber ilmu primer yang lain hanyalah dapat diperolehi dari penyelidikan di lapangan atau di makmal (Ayat Manzurah). Data-data dan maklumat di lapangan tersebut seterusnya diolah, dianalisis, dibanding dan diuji. Menggunakan kekuatan fikiran, ilmu baru diteroka dengan menerbitkan formula-formula dan penemuan baru. Jika umat Islam sekarang sekadar diajar dan diasuh dengan membaca iaitu sumber sekunder sahaja, mereka hakikatnya hanya mengkaji hasil kajian orang lain di lapangan orang lain. Hasilnya, umat Islam mudah saja membenarkan ilmu yang dibaca sekalipun banyak teori-teori dan hipotesis karut dikeluarkan semata-mata kerana teori tersebut disulami dengan fakta-fakta yang mungkin saja diada-adakan atau dimanipulasikan bagi membenarkannya. Terkadang teori yang dikemukakan bercanggah dengan ilmu primer (Al-Quran) yang dianugerahkan kepada kita tetapi

4

kita dengan mudah menerima sebarang teori yang dikemukakan kerana kita tidak mempunyai kajian kita sendiri untuk membenar atau menafikannya teori yang dikemukakan. Sebagai contohnya Teori Evolusi Darwin dan banyak teoriteori ekonomi kapitalis yang terbukti tidak dapat menyelesaikan masalah kehidupan manusia namun mendapat tempat di kalangan pemikir-pemikir serta penggubal dasar umat Islam. Justeru, jati diri umat Islam hilang dan dengan mudah diserapkan dengan berbagai teori karut berbau moden dan intelek. Ilmuan Islam (maksud penulis bukan sekadar di bidang agama sahaja) tidak berani atau mampu mengeluarkan pendapat dan teori sendiri apatah lagi menyanggah teori yang sudah ‘establish’. Mereka seolah-olah hanya menunggu teori baru atau teori sedia ada dikembangkan oleh pakar-pakar dari Oxford dan Cambridge barulah ianya disebarkan di kalangan umat Islam. Walaubagaimanapun penulis bukan bermaksud bahawa kita seharusnya bermula dari kosong, kerana bukan semua ilmu-ilmu yang sekalipun dikemukakan oleh Barat dan Yahudi karut belaka bahkan banyak darinya yang terbukti benar (atau belum terbukti palsu) terutamanya ilmu sains dan teknologi. Kita juga berhak untuk “berdiri di atas gergasi yang sama” kerana hakikatnya semua ilmu itu ibarat barang yang tercicir dari umat Islam. Sebaliknya negara barat amat menitikberatkan penyelidikan dan kajian di lapangan. Contohnya para saintis ‘National Geografic’ sanggup tinggal bertahun-tahun di dalam hutan serta bergadai nyawa semata-mata untuk mengkaji sejenis haiwan atau fenomena tertentu. Berapa banyakkah buku-buku yang ditulis oleh cendekiawan Islam yang terbit dari penemuan baru atau idea / teori baru? Hakikatnya membaca semata-mata sahaja tanpa semangat meneroka ilmu (baru) tidak akan mengembalikan kegemilangan tamaddun Islam. Di samping itu, membaca (tanpa sifat yang kritis) juga ada sudut negatifnya. Itulah sebabnya Stephen Hawking pernah berpesan, “don’t believes everything that you read”. Beliau mengatakan demikian kerana setelah berada di kemuncak ilmu dalam bidang astronomi dan ‘melihat ke bawah’ serta membaca buku-buku fizik dan astronomi di pasaran mendapati banyak buku yang tidak menepati dan ‘separuh benar’ sahaja. Untuk melahirkan rakyat yang berilmu, membaca adalah satu kemestian. Namun untuk melahirkan negara yang bertamaddun, penyelidikan dan penerokaan ilmu perlu ditekankan. Rakyat mesti sentiasa didorong membaca kerana hanya rakyat berilmu dapat melahirkan penyelidikan bermutu dan teori-teori yang menakjubkan. Hanya rakyat yang berbudaya membaca dapat menghargai serta menghayati ilmu-ilmu baru tetapi alangkah baiknya sekiranya ilmuilmu yang baru diteroka itu lahir dari ilmuan Islam sendiri.

5

Maka, ulama-ulama hendaklah memainkan peranan untuk membetulkan persepsi terhadap ilmu di kalangan umat Islam. Tentunya gagasan ini mesti bermula di kalangan ulama-ulama dan cendekiawan Islam dahulu yang perlu membebaskan serta memberanikan diri untuk meneroka ilmu pengetahuan baru namun masih terikat dengan dasar dan roh Islamiah. Penulis yakin sekiranya persepsi terhadap ilmu diperbetulkan semula, umat Islam akan mencapai kembali kegemilangan ilmu seperti yang diidamkan. Sekalipun penulis mengatakan bahawa umat Islam telah ketinggalan lebih tiga puluh tahun kebelakang dalam bidang ilmu namun ianya bukan berarti kita memerlukan tiga puluh tahun lagi untuk mencapai tahap keilmuan yang dicapai oleh Barat sekarang namun dengan konsep dan kaedah yang betul umat Islam sebenarnya masih mampu membuat pecutan bergannda bagi mencapai tahap tersebut dengan lebih cepat.

ZIL AMRI 30/07/08

6

Related Documents