UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS SEMANTIK DAN PRAGMATIK BML 4103 TUGASAN INDIVIDU SEMANTIK : PELUASAN DAN PERUBAHAN MAKNA DARAH
MD HASRUL BIN JA’AFAR D20061025488
KUMPULAN B PENSYARAH : DOKTOR ABDULLAH YUSOF
Peluasan dan Perubahan Makna Darah Oleh Md Hasrul Ja’Afar Darah manusia kebiasaannya berwarna merah, tetapi kebiasaan ini mula bertukar setelah kisah lagenda Mahsuri mula menular dalam kalangan masyarakat Melayu yang mengatakan darahnya berwarna putih. Perkataan darah sebenarnya telah mengalami evolusi seiring dengan peredaran masa iaitu secara diakronik, makna perkataan boleh berubah secara sinkornik. Abdul Hamid Mahmood (2004), menyatakan makna perkataan boleh berubah mengikut perkembangan zaman dan kebudayaan serta perkembangan sains dan teknologi. Perubahan makna merupakan fenomena yang sering kali berlaku kepada setiap bahasa di dunia. S. Nathesan (2001), pula memberikan makna konotasi tidak tetap dan sentiasa berubah-ubah mengikut konteks penggunaan dan sosiobudaya sesebuah masyarakat pengguna. Menurut Abdulah Chaer (1994), kemungkinan perubahan sesebuah makna kata disebabkan oleh beberapa faktor iaitu: 1. Perkembangan dalam bidang ilmu dan teknologi; 2. Perkembangan sosiobudaya; 3. Perkembangan pemakaian kata; 4. Pertukaran tanggapan pancaindera; dan 5. Adanya asosiasi. Oleh hal yang demikian, dapat diringkaskan erti perubahan makna adalah salah satu bentuk perkembangan bagi sesuatu bahasa untuk memperkayakan sudut sesuatu bahasa supaya tidak ketandusan dan ditelan zaman. Perubahan makna sesuatu perkataan atau istilah seharusnya seiring dengan perkembangan semasa dan berdasarkan konteks penggunaannya. Jika kita meneliti Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:314), kita akan mendapati bahawa kata darah mempunyai empat makna umum, iaitu: 1. cecair berwarna merah yang mengalir dalam tubuh manusia atau binatang; 2. keluarga, sanak saudara, keturunan; 3. sifat (kebolehan) semula jadi, bakat; 4. semangat, jiwa.
Daripada makna darah yang pertama, kita dapat menarik beberapa maksud penting yang mampu memberikan gambaran yang jelas berkaitan maksud darah iaitu cecair, merah, mengalir dan tubuh. Keempat-empat perkataan ini memberikan maksud sebenar kepada darah itu sendiri. Sila perhatikan makna-makna empat perkataan ini di bawah: Perkataan
Makna Perkataan
1. cecair
tidak keras dan tidak spt gas (boleh mengalir seperti air), encer dan tidak pekat.
2. merah
warna seperti warna darah
3. mengalir
bergerak berterusan (bukan air, cecair, tenaga dan elektrik).
4. tubuh
keseluruhan jasad manusia atau binatang yang kelihatan (terdiri daripada kepala, badan dan anggota).
Daripada empat makna perkataan di atas, jelas menunjukkan maksud sebenar perkataan darah itu sendiri iaitu cecair merah yang tidak keras dan tidak seperti gas, serta tidak pekat yang mengalir berterusan di dalam jasad manusia atau binatang. Walau bagaimanapun, makna sebenar ini mengalami perubahan berdasarkan diakronik. Perubahan ini seterusnya akan memperluaskan makna darah itu sendiri contohnya darah juga bererti keluarga, sanak saudara dan keturunan. Saudara-mara yang mempunyai pertalian darah iaitu keturunan yang sama dianggap sebagai saudara sedarah contohnya pak cik, mak cik, sepupu, anak saudara, datuk, nenek dan moyang. Dalam erti kata lain, darah merujuk kepada orang-orang yang seketurunan, sekerabat dan orang-orang yang sekaum keluarga. Jika dahulu darah dikaitkan dengan sesuatu cecair yang mengalir di dalam badan, tetapi kini penggunaannya meluas kepada sistem kekeluargaan dan aspekaspek yang lain. Maksud ketiga yang diberikan dalam Kamus Dewan adalah darah merujuk kepada sifat atau kebolehan semula jadi serta bakat. Makna ini membawa maksud kebolehan dan
sifat yang mengalir dalam diri seseorang. Maksud perkataan mengalir ini merujuk kepada darah kebolehan atau darah seni yang diturunkan daripada generasi sebelumnya. Contohnya: 1. Darah seni memang sudah lama mengalir di dalam jiwanya. Berdasarkan contoh di atas, perkataan ini boleh dibahagikan kepada tiga perkara pokok yang memberi makna utama dalam perkataan ini. Perkara pokok ini adalah makna darah yang didefinisikan dalam Kamus Dewan. Perkara pokok itu adalah: 1. Darah merujuk kepada bakat atau kebolehan yang diwarisi oleh generasi sebelumnya. 2. Mengalir memberikan penekanan yang memberikan gambaran darah itu adalah cecair yang mebalir seperti air yang bergerak berterusan. 3. Jiwa merujuk kepada tubuh atau keseluruhan jasad manusia. Jiwa dan semangat juga diberikan gambara kepada maksud darah. Dalam Kamus Dewan, jiwa merujuk kepada nyawa atau roh. Darah merupakan kelompok maksud jiwa yang dimaksudkan berada di dalam tubuh badan manusia. Semangat pula adalah roh yang terdapat dalam segala makhluk yang dipercayai mempunyai kuasa-kuasa tertentu. Secara umumnya perkataan jiwa dan semangat sering kali dikaitan dengan erti perkataan darah yang membawa maksud perasaan, kekentalan dan kekuatan. Untuk lebih jelas, sila lihat contoh dalam ayat di bawah : 1. Ahmad merasakan semangatnya/kekuatannya kembali berkobar-kobar ketika menjelangnya musim kemerdekaan. 2. Jiwanya/Perasaannya mula berubah ketika cintanya berpaling arah. Dalam ayat 1 di atas, perkataan semangat dan kekuatan boleh ditukar ganti sesuai dengan konteks ayat. Begitu juga dengan ayat 2, perkataan jiwa dan perasaan juga boleh ditukar ganti. Oleh hal yang demikian, ini membuktikan bahawa perkataan jiwa dan semangat dapat memberikan gambaran kepada roh, nyawa atau sesuatu yang terdapat di dalam tubuh badan manusia sama ada benda itu maujud seperti jantung, darah atau hati atau benda itu bukan maujud seperti jiwa, semangat, perasaan, kekuatan atau kekentalan.
Perkara ini seterusnya dapat memberikan gambaran yang jelas dan maksud yang serupa dengan perkataan darah yang mengalir di dalam badan atau jasad manusia atau haiwan. Perubahan makna bagi sesuatu perkataan atau istilah sering kali dikaitkan dengan pengaruh daripada unsur-unsur asing. Perkataan darah juga mengalami perubahan makna sekaligus memperluaskan makna perkataan darah itu sendiri. Mislanya makna yang diertikan dalam ajaran agama Islam. Secara umumnya darah memang dikaitan dengan cecari merah yang mengalir dalam jasad seseorang atau haiwan. Tetapi darah juga merujuk kepada haid, nifas dan istihadhah. Jenis-jenis darah ini ditunjukan pada contoh di bawah: Perkataan
Makna Perkataan
1. haid
Darah bulanan yang biasa keluar melalui kemaluan wanita dalam keadaan suci ketika berusia 9 tahun Qamariah ke atas.
2. nifas
Nifas dari segi syarak ialah darah yang keluar selepas beranak.
3. istihadhah
Darah yang keluar dari bawah rahim yang bukan pada waktu haid dan nifas.
Berdasarkan contoh di atas, jelas menunjukkan perubahan makna perkataan darah telah mengalami perluasaan makna akibat daripada pengaruh-pengaruh bahasa luar seperti bahasa Arab. Perubahan makna darah yang mengalir dalam tubuh badan seseorang dipelbagaikan maknanya. Contohnya, masyarakat dahulu hanya mengetahui darah itu hanya cecair merah yang mengalir dalam tubuh badan, tetapi dengan adanya makna perkataan haid, nifas dan istihadhah ini akan memberikan kepelbagaian makna darah itu sendiri. Masyarakat mula mentafsir makna darah itu bukan darah yang hanya mengalir dalam tubuh badan, tetapi juga darah juga merujuk kepada cecair merah yang keluar melalui kemaluan wanita, cecair merah yang keluar selepas beranak dan cecair merah yang keluar dari bawah rahim. Masyarakat mula menganggap ketiga-tiga istilah ini merujuk kepada darah.
Setelah mengalami pengaruh asing, masyarakat mula mengembangkan makna perkataan darah dan mengembangkannya sesuai dengan perkembangan zaman dan penggunaan konteks. Berikut adalah contoh-contoh perubahan dan perluasan makna darah yang terdapat dalam Kamus Dewan dan seterusnya menjadikan makna darah itu berlainan daripada makna asalnya: Perkataan
Makna Perkataan
1. darah gemuruh
mudah gugup, cepat hilang ketenangan
2. darah manis
mudah mendapat bahaya atau kecederaan
3. darah muda
semangat atau perasaan orang muda
4. darah panas
pemarah, cepat marah
5. darah putih
keturunan orang bangsawan
6. darah raja
keturunan raja-raja
7. darah tinggi
sejenis penyakit yang menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi
Darah gemuruh menunjukkan keadaan yang binggung, kehilangan akal, berdebardebar, gementar dan gagap. Seseorang akan merasakan semua itu daripada dalam diri atau lahir secara lahiriah. Aliran darah yang tidak sekata akan menyebabkan gemuruh disamaertikan dengan darah iaitu menjadi darah gemuruh. Darah manis pula memberi maksud mudah mendapat bahaya atau kecederaan. Ini bermakna seseorang akan mudah mengalami kecederaan disebabkan kulit yang agak sensitif atau sesuatu penyakit contohnya hemofilia. Penyakit kulit hemofilia merupakan penyakit keturunan yang menyebabkan darah pesakit sukar untuk membeku hingga mengakibatkan pendarahan yang teruk apabila terluka. Dalam bahasa ringkasnya, pesakit bagi penyakit ini tergolong dalam darah manis. Darah muda sama maksud darah yang tertulis dalam Kamus Dewan iaitu mengambarkan jiwa dan semangat, atau dalam bahasa mudahnya mengambarkan perasaan orang muda. Konsep darah muda ini sesuai untuk golongan muda yang sedang mengalami peringkat pertumbuhan dari alam remaja ke alam dewasa. Darah muda sering disamaertikan dengan panas baran, terburu-buru atau masa keseronokan. Darah panas
pula menunjukkan seseorang itu bersikap pemarah, panas baran, dan cepat marah. Darah putih pula merujuk kepada keturunan dan golongan bangsawan. Darah putih dapat diberikan gambaran terhadap darah mahsuri yang dibunuh kerana difitnah. Setelah dijalani hukuman, darah yang keluar dari badannya bukanlah berwarna merah tetapi sebaliknya berwarna putih. Dalam bidang perubatan pula darah putih itu disamaertikan dengan sel-sel darah yang terdapat dalam darah manusia. Darah putih terbahagi kepada beberapa iaitu neutrofil, eosinofil, basofil, monosit, limfosit dan makrofag. Penyakit yang sering kali dikaitan dengan darah putih adalah leukimia atau kanser darah. Perubahan makna darah mula berlaku apabila dikaji oleh pakar perbuatan. Makna darah tidak hanya cecair merah yang mengalir dalam tubuh tetapi juga darah yang mengalami dalam badan juga ada yang berwarna putih yang sedikit komposisinya. Definisi darah mula berubah dan diperluaskan dengan perkembangan dunia bahasa akibat pengaruh bahasa asing, perubatan, atau bidang lain. Darah putih yang diguna pakai untuk menggambarkan golongan bangsawan seperti yang tercatat dalam Kamus Dewan perlu diubah kerana darah putih juga membawa maksud darah yang mengalir dalam tubuh badan manusia atau haiwan. Darah juga diperluaskan maknanya kepada darah raja iaitu darah dari golongan keturunan diraja. Walaupun sama darah golongan keturunan diraja dengan rakyat jelata, tetapi disebabkan perbezaan status dan pangkat, peringkat itu dibezakan dengan golongan darah seperti darah raja untuk golongan raja dan darah putih hanya untuk golongan bangsawan. Darah tinggi juga merupakan salah satu cabang perluasan makna dan perkataan darah itu sendiri. Hakikatnya darah merah yang mengalir dalam tubuh badan manusia yang mengalami satu tekanan akibat sesuatu kesan contohnya seperti makanan atau perbuatan kesan ini akan dipanggil sebagai darah tinggi. Darah tinggi adalah kadar tekanan darah yang meningkat lebih tinggi daripada kadar biasa secara kronik. Pesakit yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90 mmHg semasa berehat dijangka mempunyai keadaan darah tinggi. Perubahan makna darah semakin meluas mengikut perubahan zaman dan semasa. Sesuai dengan konteks
penggunaan, jika seseorang mengalami tekanan darah yang rendah daripada biasa atau kadar standard, pesakit akan mengalami tekanan darah rendah. Perbezaan makna dan penggunaan perkataan darah semakin meluas dan pelbagai. Perubahan yang berlaku ini harus dipersetujui oleh penutur dan pengguna kepada bahasa tersebut. Daripada satu makna yang khusus iaitu cecair merah yang mengalir dalam tubuh badan atau haiwan kepada satu makna yang lebih spesifik dan bercabang. Menurut Keraf (1986:87), menyatakan perluasan makna adalah sesuatu proses perubahan makna yang dialami oleh sesuatu perkataan yang mengandungi suatu makna yang khusus, kemudian makna tersebut meluas sehingga mencakupi sebuah kelas makna yang lebih umum. Perubahan makna darah ini juga mengalami kepelbagaian dan perluasan makna apabila bahasa Melayu itu sendiri mengalami perubahan dan perkembangan selaras dengan perkembangan bahasa global. Menurut Keraf (1986:97) lagi, perubahan makna juga ada yang tidak menyeluruh dan maknanya semakin sempit digunakan. Sesebuah proses yang dialami sebuah kata, iaitu makna yang lama lebih besar cakupnya daripada makna baharu. Perubahan makna darah juga mengalami makna yang semakin menyempit. Contohnya dalam bidang perubatan makna darah lebih meluas penggunaannya dan semakin sempit daripada makna sebenarnya. Terdapat pelbagai istilah, dan bentuk makna yang diberikan untuk memperluaskan makna darah itu sendiri. Selain mengelompokkan darah merah dan darah putih, pakar perubatan juga telah mengkelaskan jenis-jenis darah iaitu darah merah terdiri daripada darah berjenis A, B, O, dan AB. Darah yang dikonsepkan sebagai cecair merah kini telah menyempit maksudnya dan dikelaskan kepada beberapa jenis. Perubahan makna menyempit ini seterusnya akan memberikan makna yang semakin luas kepada erti kata darah itu sendiri. Darah bukan sahaja terdiri daripada cecair merah, tetapi juga terdiri daripada darah putih.
Jenis-jenis darah merah A A–
B A+ B-
AB B+
AB -
O AB + O -
O+
Berdasarkan carta di atas, jelas menunjukkan perubahan makna darah juga mengalami penyempitan makna. Dari makna umum kepada makna menjadi khusus. Masyarakat mengetahui darah adalah sejenis cecair merah yang mengalir dalam tubuh badan manusia. Kemajuan sains dan teknologi dalam bidang perubatan telah menyempitkan cecair merah itu kepada empat kelompok iaitu A, B, AB, dan O. Seterusnya kelompok itu disempitkan kepada lapan iaitu A -, A +, B -, B +, AB -, AB +, O - dan O +. Perkataan darah ini menjadi lebih spesifik dalam penggunaannya. Oleh hal yang demikian, perubahan makna darah itu sendiri juga mengalami persempitan makna, perluasan makna dan kepelbagaian makna. Dapatlah disimpulkan, perluasan makna darah dapat memberikan banyak definisi baharu terhadap perkataan tersebut. Dari makna umum kepada makna sempit dan dari satu makna kepada banyak makna. Perubahan berlaku akibat peredaran semasa dan faktor-faktor yang telah dikemukakan oleh Abdulah Chaer. Perubahan makna darah ini banyak membawa kebaikan dan perluasan bahasa Melayu dapat bergerak seiring dengan penggunaan bahasa global.
Bibliografi Abdul Hamid Mahmood (2004). Kuasai Sistem Ejaan Baharu Bahasa Melayu Melalui Latihan. Tanjong Malim : Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris. Chaer, Abdul (1994). Pengantar Semantik Bahasa Indonesia. Jakarta : Pt Rineka Cipta. Nathesan, S. (2001). Makna dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamus Dewan Edisi Keempat (2007). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Keraf, Gorys (1986). Diski dan Gaya Bahasa. Jakarta : PT Gramedia Pustaka Utama.