Oum Assignment

  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Oum Assignment as PDF for free.

More details

  • Words: 2,702
  • Pages: 13
1. Zaman pemerintahan British telah meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada penduduk di Tanah Melayu. Selain mengambil hasil-hasil ekonomi penduduk di Tanah Melayu, mereka juga telah merubah epistemologi masyarakat di Tanah Melayu, yang mana berbeza dengan zaman pemerintahan Portugis dan Belanda yang hanya mengambil hasil ekonomi tetapi tidak campur tangan dalam pemerintahan negara. Terdapat beberapa perubahan yang dilakukan oleh pihak British dari segi sosio-politik dan ekonomi masyarakat.

Pada zaman pemerintahan British, system beraja telah ditukar kepada konsep Residen. Ini telah mengurangkan kuasa Sultan dan digantikan kepada kuasa Residen untuk memerintah. Residen menguasai satu negara manakala Sultan hanya diberi kuasa dari segi agama dan adat istiadat sahaja. Sebelum pemerintahan British, kedudukan Raja adalah yang tertinggi dalam sesebuah negara. Raja dianggap sebagai pemerintah yang diagung-agungkan dan tidak boleh dipertikaikan kuasanya sama sekali. Raja mempunyai kuasa mutlak dari segi agama, politik dan social masyarakat. Penduduk di Tanah Melayu amat patuh kepada kuasa raja sebelum digantikan dengan konsep Residen oleh British. Contoh raja-raja sebelum pemerintahan British ialah Sultan Mahmud dan Sultan Muzaffar Syah di Melaka.

Pemerintahan British bukan sahaja telah mengubah kuasa Sultan malah mengubah dasar susun lapis masyarakat. Residen berkuasa penuh dalam pemerintahan dan mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan Sultan. Sebelum pemerintahan British, selepas kedudukan raja-raja, pembesar duduk di lapisan kedua masyarakat dan mempunyai peranan membantu raja dalam pemerintahan dan pengurusan sumber ekonomi. Sebagai contoh, pembesar-pembesar mempunyai pengaruh yang kuat sebelum dinafikan hak mereka dalam pemerintahan oleh British. Syahbandar berperanan menasihati raja, Laksamana berperanan dalam keselamatan negara dan Temenggung turut mempunyai peranan penting pada zaman kesultanan Melayu Melaka.

Dari segi masyarakat, pada zaman pemerintahan British, mereka telah mengamalkan dasar “pecah dan perintah” untuk memisahkan kaum-kaum yang ada di Tanah Melayu : Melayu, Cina dan India menurut konsep kerjaya. Ini adalah untuk mengelakkan mereka bersatu-padu menentang British. Dasar ini telah membangkitkan semangat perkauman di antara 3 kaum terbesar tersebut. Sebelum kedatangan British, konsep asimilasi antara penduduk dan warga luar berlaku secara berencana dan teratur serta mereka boleh bergaul dengan baik. Malah, ada di antara penduduk di Tanah Melayu berkahwin dengan warga luar yang datang ke Tanah Melayu. Contoh yang kita dapat lihat ialah semasa pemerintahan Melaka di mana perdagang-pedagang datang dari seluruh pelusuk dunia ke Melaka yang digelar tempat pertemuan pedagang atau “Venince of the East”. Pedagang-pedagang dari China contohnya telah berkahwin dengan gadisgadis tempatan dan telah melahirkan kaum baru iaitu Baba dan Nyonya.

Selain mengubah epistemologi masyarakat, British, seperti mana penjajah-penjajah sebelumnya yang menjajah Tanah Melayu, mengaut keuntungan dari sumber ekonomi Tanah Melayu. Penjajah mengambil semua sumber ekonomi yang kita ada untuk kepentingan mereka sendiri. Sebelum penjajahan, pembahagian sumber ekonomi adalah secara adil dan saksama. Sultan berkuasa mengagih-agihkan pendapatan negara hasil daripada sumber ekonomi kepada rakyatnya dan semua pihak mendapat manfaat daripadanya. Sebagai contohnya, Tanah Melayu kaya dengan hasil bumi seperti emas, bijih timah, getah dan minyak yang mana menjadi sumber pendapatan penduduk untuk menyara hidup dan juga sumber kekayaan negara.

Pada zaman pemerintahan British juga kita dapat melihat kaum-kaum lain lebih menguasai sumber ekonomi yang kita ada. British telah membahagikan kerja mengikut kaum untuk mengelakkan kaum-kaum ini bertemu seterusnya bekerjasama menentang penjajahan British. Kaum Melayu duduk di kawasan pedalaman bekerja sebagai petani dan nelayan, kaum India di ladang-ladang sebagai peladang dan kaum Cina bekerja di lombong bijih timah dan Bandar sebagai peniaga. Senario sebegini tidak pernah wujud sebelum zaman penjajahan British. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, Melayu dan kaum pribumi yang lain mempunyai kuasa

sendiri dalam ekonomi. Ada yang menjadi petani sekadar untuk menyara diri malah ada di antara mereka yang menjadi pedagang membawa perniagaan ke luar negara.

Kesimpulannya, zaman pemerintahan British telah banyak mengubah keadaan di Tanah Melayu. Nenek moyang kita telah mengalami banyak perubahan dan juga tertekan di bawah pemerintahan yang bukan dari negara kita sendiri. Kita seharusnya bersyukur dengan apa yang kita ada dan sedar yang banyak telah berkorban untuk merampas kembali hak milik kita dan membebaskan diri dari cengkaman penjajah. Kita seharusnya mengambil iktibar dari pengajaran lalu dan berusaha menjaga serta mempertahankan negara daripada ancaman luar untuk mengelakkan perkara yang sejarah berulang kembali.

2. Zaman pemerintah British merupakan zaman yang telah mengubah Tanah Melayu secara keseluruhannya. Selain membawa konsep kolonialisme di mana mereka mengambil sumber ekonomi Tanah Melayu, mereka juga mengamalkan konsep imperialisme di mana mereka telah mengubah keseluruhan strukutur pemerintahan dan juga struktur politik dan social masyarakat pada zaman dahulu. Pada pendapat saya, campur tangan British di Tanah Melayu tidak pernah membawa kepada keamanan dan ketenteraman di kalangan penduduk di Tanah Melayu malah

mendatangkan sikap tidak puas hati dan marah di kalangan penduduk tempatan dan kaum-kaum dari luar. Hal ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor.

Faktor yang pertama ialah pemerintahan mutlak oleh British. Mereka telah memperkenalkan konsep Residen. Konsep ini pada mulanya diwujudkan untuk menasihati rajaraja dari segi pemerintahan negara tetapi lama-kelamaan telah meluaskan pengaruhnya. Pada zaman pemerintahan British, kebanyakan keputusan dan undang-undang berkaitan negara adalah diuruskan oleh Residen yang dilantik oleh British untuk mewakili raja di negara tersebut. Malah, pemerintahan oleh pembesar-pembesar juga telah dimansuhkan oleh British untuk membolehkan mereka mempunyai kuasa yang mutlak dalam pemerintahan negara. Sebagai contohnya, kita dapat melihat peluasan kuasa yang bermula daripada wakil British, Francis Light yang menggunakan tipu-helah untuk mendapatkan kuasa mutlak ke atas pemerintahan negara. Pembesar-pembesar juga kehilangan hak dalam ekonomi seperti memungut cukai dan dari segi pertahanan telah digantikan oleh wakil British sendiri. Ini telah membangkitkan kemarahan penduduk di Tanah Melayu yang tidak puas hati dengan ketidakadilan dan sekatan ke atas pemerintahan negara sendiri.

Faktor yang kedua ialah penafian hak golongan pribumi di Tanah Melayu. Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar di Tanah Melayu. Namun begitu, hak mereka tidak diberikan sewajarnya, malah British mengamalkan dasar pilih kasih. Pihak British lebih memberikan keutamaan kepada kaum Cina dan India berbanding kaum asal di tanah Melayu. Ini dapat dibuktikan melalui pembahagian kerja mengikut kaum di mana Cina menduduki tempat teratas dengan sumber ekonomi yang lebih baik diikuti dengan kaum India dan kaum Melayu menduduki tempat terbawah dan terpaksa hidup miskin di negara sendiri berbanding kaum Cina dan India. Konsep pembahagian kerja mengikut kaum telah membawa kepada rasa tidak puas hati kaum Melayu kepada kaum Cina dan India dan akhirnya membawa kepada pertelingkahan di antara kaum yang masih tidak boleh diselesaikan sehingga ke hari ini. Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi contoh bahawa dasar yang diamalkan oleh British masih memberi kesan selepas penjajahan. Pada tarikh hitam tersebut, kaum Melayu dan Cina bergaduh disebabkan

ketidakpuashatian antara kekayaan dan sumber ekonomi kaum lain sehingga mengakibatkan darurat pada tarikh tersebut.

Faktor yang ketiga ialah penghapusan kuasa pemerintah dan kerajaan. Penduduk di Tanah Melayu menganggap golongan pemerintah sebagai golongan yang perlu dihormati dan dipatuhi. Apabila British datang ke Tanah Melayu dan mengambil alih pucuk pemerintahan serta menggantikan pengurusan negara dengan pengurusan British, ini telah menyebabkan penduduk di Tanah Melayu marah dan menentang British. Ini adalah kerana British telah menafikan hak pemerintahan Raja dengan mengambil kesemua bidang kuasa raja kecuali yang berkaitan dengan agama dan budaya orang Melayu. Selain itu, pembesar-pembesar juga telah kehilangan kuasa dalam keselamatan negara dan hak memungut cukai. Tindakan British yang campur tangan dalam pemerintahan negara bukan sahaja menaikkan rasa marah di kalangan pemerintah dan rakyat, malah membangkitkan semangat nasionalisme yang tidak pernah putus-putus bagi menuntut kembali hak mereka dan kemerdekaan di Tanah Melayu. Penduduk di Tanah Melayu amat marah dengan British terutamanya pada pengenalan Malayan Union di mana tindakan Sir Harold MacMichael untuk mendapatkan tandatangan raja-raja untuk meluluskan Malayan Union dengan cara mengugut akan memecat mereka sekiranya mereka tidak bekerjasama.

Faktor yang terakhir ialah kerana pencurian dari segi ekonomi Tanah Melayu. Negara kita terkenal dengan sumber-sumber alam semulajadi seperti bijih timah, kayu balak, emas, minyak dan getah. Di antara sebab British ingin menjajah Tanah Melayu adalah untuk menguasai sumber ekonomi di Tanah Melayu untuk kepentingan mereka sendiri. Ini adalah kerana di Eropah pada masa itu sedang di ambang zaman perindustrian dan mereka memerlukan banyak sumber alam untuk penjanaan ekonomi mereka. Tindakan British datang ke Tanah Melayu dan mencuri sumber ekonomi penduduk untuk kepentingan sendiri telah mendatangkan rasa marah dan tidak puas hati penduduk. Malah, apabila British mencuri sumber ekonomi Tanah Melayu, mereka tidak mengagihkan sumber tersebut kepada rakyat di Tanah Melayu. Selain itu, sumber ekonomi bukan sahaja diambil-alih oleh British, malah diambil-alih juga oleh kaum Cina dan India yang dibawa masuk oleh British untuk bekerja di Tanah Melayu. Ini telah menyebabkan

kaum Melayu miskin meskipun berada di negara sendiri. Contoh yang terbaik kita dapat lihat ialah melalui penguasaan ekonomi mutlak oleh British dan pengenalan cukai yang tinggi kepada penduduk serta penguasaan kaum Cina dan India dalam bidang yang lebih baik dari kaum Melayu seperti dalam bidang perniagaan dan pelombongan.

Kesimpulannya, kedatangan British tidak pernah dipersetujui oleh penduduk apatah lagi campur tangan yang membawa kepada keamanan dan ketenteraman penduduk di Tanah Melayu. Semenjak dari awal pemerintahan British, segala tindakan British yang dilakukan demi kepentingan diri sendiri telah membangkitkan rasa marah dan ingin menggulingkan pemerintahan British. Campur tangan British masih lagi meninggalkan kesan negatif kepada masyarakat sehingga ke hari ini sepert peristiwa di kampung Medan yang membabitkan salah faham di antara majlis pengebumian kaum India dan majlis perkahwinan orang Melayu yang berlaku di perkampungan yang sama dan pada hari yang sama. Kita seharusnya belajar dari kesilapan lalu dan berusaha untuk mewujudkan ketenteraman di Malaysia pada hari ini yang telah British cuba elakan. Dengan mengamalkan sikap toleransi dan hormat-menghormati sesama kaum, kita boleh mewujudkan keamanan dan ketenteraman dan berusaha untuk bersama memajukan negara kita Malaysia.

3. Common law merupakan undang-undang di mana hakim menggunakan keputusan hakim yang terdahulu dalam kes yang sama. Ini termaktub dalam konsep duluan mengikat iaitu kes-kes yang dibicarakan terdahulu mesti digunakan keputusannya untuk sebarang kes-kes sama yang akan datang. Syariah pula bererti cara atau jalan dalam Islam. Oleh itu, pengunaan undangundang Syariah adalah berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah yang bertujuan dalam bidang kehakiman dan mengadili kes-kes di dalam negara. Cadangan ketua hakim negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim untuk menggunakan undang-undang Syariah di dalam proses kehakiman negara masih tidak boleh dilaksanakan secara terus di dalam negara ini. Ini adalah kerana beberapa faktor yang melibatkan penduduk di Malaysia secara keseluruhannya dan juga system perundangan di dunia yang masih lagi termaktub pada Common law.

Faktor yang utama ialah masih tidak ada lagi keseragaman undang-undang Syariah di setiap negeri di Malaysia. Setiap negeri mengamalkan undang-undang Syariah dan keputusan bukan dibuat berdasarkan kes-kes yang terdahulu tetapi dibuat berdasarkan keputusan hakim itu sendiri. Malah, terdapat persoalan adakah undang-undang diri atau undang-undang Syariah yang akan merangkumi aspek jenayah sepertimana yang terkandung di dalam Kanun Keseksaan. Cadangan ketua hakim untuk menggantikan Common law dengan undang-undang Syariah merupakan satu cadangan yang baik kerana Malaysia merupakan satu negara Islam tetapi ketidakseragaman dalam bidang keputusan mahkamah akan memungkinkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk di Malaysia. Sebagai contoh, dalam keputusan mahkamah Syariah kes penceraian suami isteri di Kelantan mungkin akan berbeza dengan dengan keputusan untuk kes yang sama di negeri-negeri lain. Ini adalah berbeza dengan konsep Common law di mana semua keputusan untuk kes yang terdahulu akan menjadi rujukan keputusan mahkamah dalam sebarang kes.

Selain itu, undang-undang Syariah tidak dapat dilaksanakan kerana keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara serta kredibiliti dan integriti hakim-hakim di negara ini masih di tahap yang rendah. Sebelum mengubah dasar kehakiman negara daripada Common law kepada undang-undang Syariah, kerajaan mestilah terlebih dahulu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara. Malah, keputusan negara Islam lain iaitu Mesir untuk mengambil konsep Common law dalam undang-undang mereka adalah kerana mereka masih lagi tidak mampu untuk mengaplikasikan undang-undang Syariah di negara mereka. Oleh yang sedemikian, pelaksanaan undang-undang Syariah di negara kita adalah masih tidak relevan kerana masih lagi terdapat golongan miskin dan tidak berkemampuan serta ekonomi mereka yang tidak stabil. Contoh kawasan yang masih dilanda kemiskinan di dalam negara kita ialah di kawasan Klang, Kelantan dan pedalaman Sabah dan Sarawak seperti di Semporna dan Bario. Untuk melaksanakan undang-undang Syariah secara keseluruhannya, taraf kemiskinan perlu dibasmi untuk menegakkan keadilan di dalam negara.

Faktor yang ketiga ialah undang-undang Syariah akan menjejaskan agama Islam itu sendiri. Ini boleh dibuktikan kerana pelaksanaan undang-undang Syariah secara keseluruhannya akan melahirkan peguam-peguam Syariah yang bukan beragama Islam. Kaedah-kaedah fiqh jelas menyebut bahawa asas atau maqasid sesuatu peraturan dikanunkan adalah untuk melenyepkan kemudaratan. Tetapi, dengan pengenalan undang-undang Syariah, ia akan menambahkan lagi golongan bukan Islam menjadi peguam Syariah dan ini akan mendatangkan kemudaratan kepad agama itu sendiri. Sudah jelas pada pandangan masyarakat bahawa undangundang Syariah mestilah diadili oleh seorang yang beragama Islam dan mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang agama. Selain daripada itu, pengenalan undang-undang Syariah akan melenyapkan keistimewaan mahkamah Syariah itu sendiri. Kuasa yang tinggal bagi mahkamah Syariah hanyalah sepertimana yang terkandung dalam Senarai 2, Senarai Negeri dan terhad kepada soal-soal perkahwinan, perceraian, tuntutan nafkah dan sebagainya. Oleh itu, hak dan kepentingan yang sedikit ini perlu dipertahankan demi kepentingan seluruh umat Islam.

Faktor yang seterusnya ialah kerana Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan pelaksanaan undang-undang Syariah dalam sistem kehakiman negara akan menimbulkan rasa tidak puas hati kepad golongan bukan Islam. Ini akan menyebabkan mereka rasa disisih. Sebelum ini, rakyat dijanjikan tidak akan menggunakan mahkamah Syariah secara menyeluruh dalam negara. Namun, janji kerajaan itu mungkin tidak akan berlaku apabila pelaksanaan mahkamah Syariah dijalankan kelak. Golongan-golongan minoriti ini menyuarakan kerisauan mereka tentang hukum Syariah yang akan dilaksanakan apabila terdapat perbalahan di antara kaum Melayu dan bukan Melayu dan dari segi perkahwinan serta pembahagian harta di antara suami isteri. Sebagai contoh, bagaimana pembahagian harta suami isteri sekiranya suaminya yang masih tidak bercerai dengan isteri pertamanya tetapi berkahwin dengan perempuan yang beragama Islam?

Faktor yang terakhir ialah penggubalan semula undang-undang di Malaysia akan menelan kos yang tinggi, mengambil masa yang lama dan memerlukan persetujuan daripada rakyat untuk dilaksanakan. Apabila Perlembagaan Malaysia digubal sebelum merdeka, Suruhanjaya Reid dibentuk untuk membantu dalam penggubalan dan mendapatkan persetujuan rakyat di Tanah Melayu. Pelaksanaan undang-undang Syariah tidak perlu dibuat dalam masa yang singkat kerana penggubalan undang-undang baru berdasarkan hukum Syariah tentu sekali akan mengambil masa serta menelan kos yang amat besar di awal pelaksanaannya. Malah, belum tentu rakyat akan menyokong cadangan pelaksanaan ini terutamanya bagi golongan minoriti iaitu kaum Cina dan India. Badan kehakiman negara tidak boleh yakin bahawa semua penduduk di Malaysia akan setuju dengan pelaksanaan undang-undang Syariah daripada Common law.

Pada pendapat saya, cadangan untuk pelaksanaan undang-undang Syariah memang baik namun penggabungan Common law dengan undang-undang Syariah lebih relevan dan boleh diterima baik masyarakat. Tidak dapat menafikan bahawa kita sudah bebas dari belenggu penjajah dan Malaysia merupakan negara Islam dan perlu bebas dari system perundangan Inggeris dan menggantikannya dengan undang-undang dalam Islam. Namun, perlu diingatkan semula bahawa Malaysia merupakan negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan hak-hak

mereka serta keputusan dalam perundangan tidak boleh dipertikaikan begitu sahaja. Walaupun kita sudah bebas dari belenggu penjajah, tidak semestinya badan perundangan yang diambil dari mereka merupakan sesuatu yang buruk. Malaysia telah 50 tahun mengamalkan Common law dan setakat ini, system perundangan Malaysia berjalan dengan lancar. Malah, cadangan penggabungan

Common

law

dengan

undang-undang

Syariah

bukanlah

bermaksud

mengenepikan agama Islam kerana Nabi Muhammad s.a.w. sendiri pernah berkatakan bahawa kita boleh mengambil pengetahuan daripada orang lain dan diaplikasikan kepada pengetahuan sendiri asalkan ianya bukan untuk tujuan yang buruk. Oleh yang demikian, cadangan ini boleh diterima bukan sahaja oleh golongan Melayu itu sendiri malah dari golongan bukan Islam juga.

Kesimpulannya, pelaksanaan undang-undang Syariah menggantikan Common law secara menyeluruh tidak boleh digunakapakai sama sekali. Cadangan untuk penggabungan oleh bekas ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad merupakan langkah yang terbaik dalam hal ini. Ini adalah kerana Malaysia tidak patut mengenepikan system perundangan yang telah digunapakai sejak sekian lama dan mengenepikan hak agama Islam dalam perundangan. Oleh yang sedemikian, ia merupakan langkah yang terbaik untuk menggabungkan kedua-dua undangundang tersebut. Ini adalah selaras dengan hasrat Malaysia untuk membina negara berdasarkan acuan sendiri iaitu dengan konsep kemajuan yang tidak mengikut 100% daripada pembaratan. Rakyat Malaysia haruslah bekerjasama dan melibatkan diri dalam bidang perundangan negara untuk membentuk system perundangan baru yang boleh diterima masyarakat.

RUJUKAN: Buku: Abu Bakar bin Abdullah.1996. Ke Arah Pelaksanaan Undang-undang Islam di Negeri-negeri di Malaysia: Satu Ulasan Ke Arah Merealisasikan Undang-undang Islam di Malaysia. Selangor: Thinker Library Sdn.Bhd.

Jurnal:

Nik Hassab Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Yahya Abu Bakar. 1987. ”Melaka as a Historic City”, dalam JEBAT 15 (1987). Abd.Monir Yaacob.Jun 1994. ”Syariah and Common Law in Malaysia”, dalam Jurnal IKIM Jilid 2 No.1. Institut Kefahaman Islam Malaysia, Kuala Lumpur.

Internet: Jksn.penang-gov-my/index2.php?option=com_content&do_pdf=1&id=131 Harakahdaily.net/bm/index.php?option=com_content&task=view&id=94497&itemid=85. Mahasiswakini.com/archives/542 Bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=371268. Mykhilafah.com?sautun-nahdah/334-sn136-mansuh_common_law_ganti_ilamic_law Malaysianbar.org.my/legal/general_news/minister_study_proposal_on_switch_to_syariah_law_t horoughly.html En.wikipedia.org/wiki/sharia En.wikipedia.org/wiki/common_law

Blog: Azfarmkh.blogspot.com/2009/08/undang-undang_syariah_vs_common_law.html Syafiqe.wordpress.com/2008/01/11/perundangan_syariah_di_malaysia_satu_analisis_sejarah.ht ml.

Related Documents

Oum Assignment
June 2020 6
Cover Oum
May 2020 4
Logo Oum
June 2020 5
Nota Smp-oum
June 2020 4
Iradio Oum Old Format
June 2020 2