Objektiviti Dalam Sejarah.docx

  • Uploaded by: nur rara
  • 0
  • 0
  • July 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Objektiviti Dalam Sejarah.docx as PDF for free.

More details

  • Words: 2,924
  • Pages: 11
1.0 PENDAHULUAN Permulaan abad ke 19 telah menyebabkan munculnya satu pengenalan kaedah objektiviti dalam penulisan sejarah secara meluas. Ahli sejarah tersebut tidak lain tidak bukan ialah Leopold Von Ranke yakni seorang ahli sejarah dari Jerman. Objektiviti dalam makna yang mudah ialah satu keadaan yang tidak dipengaruhi oleh perasaan dan prasangka sendiri. Ranke dalam fikirannya melihat matlamat sejarah ialah memaparkan kejadian-kejadian lalu sebagaimana ia benar-benar berlaku atau “wie es eigentlich gewesen”.1 Ia bermaksud fakta sejarah yang bercakap tanpa sebarang penglibatan ahli sejarah. Tanggapan bahawa Ranke sebagai pencetus objektiviti dalam sejarah tidaklah tepat kerana fakta sebelum itu menunjukkan ahli sejarah seperti Herodotus, Thucydides dan Ibnu Khaldun telah pun menjadikan objektiviti dalam sejarah sebagai satu perkara yang penting. Herodotus misalnya menyedari kepentingan menapis bahan bukti bagi menjamin kesucian sesebuah kajian tersebut. Begitu juga dengan sarjana Islam yang hidup pada abad ke 14 iaitu Ibnu Khaldun menyarankan bahawa lunas sejarah perlu diikuti oleh ahli sejarah demi menghasilkan karya sejarah yang objektif. Maka, ia sudah jelas memperlihatkan kepada kita bahawa konsep objektiviti dalam sejarah sudah lama diamalkan dalam kalangan ahli sejarah. Dalam penulisan ini, penulis akan membincangkan secara kritis mengenai perdebatan antara dua aliran iaitu objektif dan relatif mengenai soal objektiviti dalam penulisan sejarah. Dalam penulisan ini juga, penulis akan turut menyelitkan beberapa pandangan penulis mengenai kemampuan ahli sejarah untuk menulis sejarah yang bersifat objektiviti. Di akhir penulisan ini, para pembaca akan dapat menilai sejauh mana kemampuan objektiviti dalam sejarah itu dapat dihasilkan oleh golongan ahli sejarah.

1

R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, Kuala Lumpur: Merican & Sons, 1985, hlm. 120.

1

2.0 ISU OBJEKTIVITI DALAM SEJARAH Kaedah yang diperkenalkan Ranke pada awalnya berjaya menyakinkan ahli sejarah dan sehubungan itu, pelbagai usaha dilakukan untuk melatih bakal ahli sejarah untuk menulis sejarah secara objektif. Mengikut Ranke, objektiviti dalam sejarah boleh dicapai sekiranya ahli sejarah menggunakan semua fakta yang ada, menguji kesahihan fakta, menggunakan fakta tanpa pilih kasih dan mengelakkan pengadilan moral dalam penulisan sejarah. Sumbangan Ranke yang telah menarik minat ramai ahli sejarah dari pelbagai negara Eropah seperti Amerika Syarikat telah membawa penghargaan kepada beliau di mana Ranke telah dilantik sebagai ahli kehormat American Historical Asssociation yang pertama.2 Sokongan terhadap aliran sejarah objektif mula tergugat apabila sarjana Relatif seperti Carl Becker, Charles Beard, Benedetto Croce, Walsh dan sebagainya telah mempersoalkan kewajaran dan keupayaan ahli sejarah menulis sejarah secara objektif. Tumpuan aliran relativisme hanya merujuk kepada Carl Becker dan Charles Beard sahaja memandangkan mereka berdua merupakan ahli sejarah yang mempunyai kredibiliti yang hebat dalam menyampaikan pengetahuan mengenai aliran relativis. Carl Becker mengatakan bahawa begitu sukar untuk merealisasikan impian menghasilkan objektiviti dalam sejarah kerana pembawaan sesuatu sumber itu bergantung pada pemilihan ahli sejarah. Beliau menambah lagi bahawa kemungkinan besar penulisan sejarah itu bergantung pada pemikiran dan pengalaman mereka sendiri sehingga menyebabkan hasil penulisan sesuatu peristiwa sejarah bagi dua orang ahli sejarah kebiasaannya adalah tidak sama.3 Kenyataan beliau ini sebenarnya menunjukkan beliau sebenarnya kurang memahami mengenai kajian sejarah. Kajian sejarah tidak akan pernah mempunyai satu jawapan yang tetap. Jika ia mempunyai lebih satu penafsiran, itu dianggap 2

K. Anbalakan, Objektiviti Dalam Sejarah : Bukan Satu Impian, dalam Abu Talib Ahmad dan Cheah Boon Kheng (ed), Isu-isu Pensejarahan, Pulau Pinang : Universiti Sains Malaysia, 1995, hlm. 45. 3 Ibid., hlm. 46.

2

sebagai satu keistimewaan kajian sejarah. Sebagai contoh, perdebatan antara ahli sejarah John Bastin dengan John Smail berkenaan isu sentrik dalam penulisan sejarah, walaupun penafsiran kajian antara dua individu ini berbeza, namun kita tidak boleh menafikan bahawa salah seorang dari mereka adalah tidak bersifat objektif. Kajian sejarah hanya akan menjadi tidak objektif jika tidak disertakan oleh bukti yang kukuh. Perbezaan ini berlaku disebabkan ahli sejarah sentiasa mencari jawapan bagi setiap persoalan yang berlainan. Tambahan, pemilihan sumber yang berat sebelah oleh ahli sejarah yang dikatakan oleh Relativis tidaklah bermakna sesuatu penulisan itu tidak objektif. Itu hanyalah anggapan golongan tersebut sahaja. Kassim Ahmad dalam Sumber, Pengesahan dan Penafsiran Sejarah menyatakan “… harus juga diingat bahawa apabila sejarawan berusaha menghasilkan penulisan sejarah yang boleh membawa pemahaman yang jitu dan menyeluruh dia mungkin tidak melibatkan semua maklumat terbabit dengan tajuk yang dibincangkan tetapi hanya yang difikirkan penting sahaja… .”4 Pastinya hanya ahli sejarah yang mengetahui mengapa sesuatu sumber itu diterima dan ditolak. Tidak sesuai dalam bidang sejarah untuk menulis semua perkara termasuk perkara sampingan yang tidak berapa penting. Pendapat sama diutarakan oleh Profesor Charles Beard dalam Written History as an Act of Fait’ di mana beliau mengatakan sejarah ialah satu pemikiran mengenai zaman lampau. Tunjang masalah kepada isu objektiviti sejarah ini ialah ahli sejarah dikatakan tidak adil dalam pemilihan fakta dan penyusunan bahan tersebut sehingga beliau dalam pada masa yang sama menyatakan tulisan Ranke sendiri sudah menunjukkan sikap berat sebelah yang lebih mencerminkan pandangan kelas berkuasa di Eropah. Itulah yang dikatakan dalam buku Sejarawan dan Pensejarahan bahawa hakikatnya perlu ahli sejarah tahu keadaan sebegini sudah pasti akan berlaku walau pada asalnya sumber tersebut yang asas dan objektif tetapi

4

Kassim Ahmad, Sumber, Pengesahan Fakta dan Pentafsiran Sejarah dalam Abu Talib Ahmad dan Cheah Boon Kheng (ed), Isu-isu Pensejarahan, Pulau Pinang : Universiti Sains Malaysia, 1995, hlm. 60.

3

berada di dalam tangan sejarawan belum tentu ia akan dapat terus bertahan sedemikian.5 Pandangan Beard juga menjurus kepada kelemahan objektiviti itu sendiri di mana beliau menyatakan objektiviti sejarah sukar dilaksanakan akibat perbezaan kaedah kajian dan ahli sejarah gagal memisahkan diri secara mutlak berbanding ahli sains. 6 Sains semula jadi sebenarnya bukanlah satu bidang mutlak yang boleh terus diberi jawapan yang tepat malah ia juga perlu melalui satu proses ke satu proses. Menurut Bury, sejarah seperti di dalam sains, proses yang biasa bagi pemikiran itu adalah sesuatu yang disimpulkan iaitu ia bermula dengan satu penekanan dan seterusnya pembuktian.7 Pandangan ini membuktikan ahli sains juga mempunyai satu sikap perasaan terhadap sesuatu teori dan kajian yang dijalankan selepas itu hanyalah bertujuan membuktikan kebenaran sesuatu teori itu. Ini juga boleh menafikan kenyataan Walsh dalam Pengenalan Kepada Sejarah yang menyatakan bahawa bidang sejarah tidak berupaya untuk mengenepikan kajiannya daripada unsur prasangka. 8 Walhal kita sebenarnya perlu melihat dari aspek yang meluas bahawa mana-mana bidang ilmu sekalipun termasuklah sains akan mempunyai satu pemikiran dan anggapan mengenai sesuatu perkara. Hakikatnya masalah ini merupakan satu lumrah kepada mana-mana bidang sekalipun walau Beard sedaya upaya untuk meletakkan bidang sains lebih unggul berbanding bidang sejarah. Hujahan yang dikemukakan oleh Beard dan Becker kelihatan ada asasnya namun ia memperlihatkan satu pandangan yang negatif terhadap objektiviti sejarah. Penulis ingin membawa pembaca kepada istilah sains yang sering disamakan dengan sejarah. Kita perlu mengetahui bahawa sejarah dan sains adalah dua bidang yang sangat berbeza. Skop kajian sains hanya meliputi bahan yang tidak bernyawa dan berjiwa berbanding sejarah yang 5

Mohd Yusuf Ibrahim & Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, hlm. 18. 6 K. Anbalakan, Objektiviti Dalam Sejarah : Bukan Satu Impian, hlm. 45. 7 R.G Collingwood, Terj. Muhd Yusuf Ibrahim, Idea Sejarah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985, hlm. 313. 8 R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, hlm. 127.

4

meliputi tindakan manusia yang terjadi pada masa lampau akibat pemikiran manusia itu sendiri. Oleh itu, ahli sejarah terpaksa mengkaji pemikiran dalaman manusia untuk menilai sesuatu tindakan manusia dahulu yang sebenarnya tidak dapat diaplikasikan mengguna kaedah sains semula jadi. Itulah yang dimaksudkan oleh Collingwood “… semua sejarah adalah sejarah pemikiran dan maka pemikiran itu adalah jiwa dan dinamik penggerak bagi perjalanan sejarah melalui ruang dan waktu… .”9 Falsafah beliau ini menunjukkan bahawa sejarah bukanlah seperti sains di mana sesuatu bahan itu dikaji untuk menggunakan sesuatu alat tetapi sebaliknya menggunakan pemikiran ahli sejarah itu sendiri. Tambahan, pemikiran yang dikatakan itu tidak bererti seorang ahli sejarah bebas melakukan penulisan secara membuta tuli dan dikawal oleh perasaan peribadi. Sifat manusia yang sentiasa penuh dengan kelemahan tetapi ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk penyebab kegagalan menulis secara objektiviti. Ahli sejarah seharusnya sedar bahawa keburukan akan menanti jika penulisan sejarah itu dicemari dengan unsur pengalaman peribadi. Ahli sejarah dikatakan oleh E.H Carr bahawa tidak dapat membebaskan diri dengan sepenuhnya daripada pengaruh sezaman dan nilai budayanya. Carr mengatakan dalam bukunya Apakah Sejarah bahawa ; “pemikiran ahli-ahli sejarah seperti pemikiran manusia lain adalah dibentuk oleh persekitaran waktu dan tempat”. 10

Beliau juga menambah bahawa ; “Sebelum anda mengkaji sejarah, kajilah sejarah dan sebelum anda mengkaji ahli sejarah, kajilah persekitaran sejarah dan sosialnya.”11

9

Muhd Yusuf Ibrahim, Ilmu Sejarah : Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 64. 10 E.H Carr, Terj. Abdul Rahman Haji Ismail, Apakah Sejarah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984. hlm. 43. 11 Ibid., hlm. 44.

5

Antara ciri sejarah yang objektif ialah tiada unsur berat sebelah. Penulisan sejarah tidak boleh dipengaruhi perasaan ahli sejarah itu sendiri. Walau bagaimanapun, unsur peribadi dan emosi sememangnya diakui oleh kebanyakan sarjana terutamanya golongan relativis bahawa ia merupakan perkara yang boleh menjejaskan objektiviti dalam sejarah. Setiap ahli sejarah mempunyai emosi dan pendirian masing-masing serta dikatakan perkara ini akan mempengaruhi gaya penulisan sejarah. Masalah ini yang dikatakan oleh Relativis bahawa sejarah tidak akan mampu menjadi objektiviti sekiranya unsur peribadi ini tidak dikikis. Penulis mengambil contoh gaya penulisan karya Red Star over Malaya hasil tulisan Cheah Boon Kheng. Beliau misalnya menyatakan pendudukan Jepun di Tanah Melayu telah menyebabkan penderitaan oleh masyarakat Cina. Beliau turut menyatakan bahawa kaum India mengalami penderitaan yang kurang berbanding kaum Cina disebabkan layanan baik yang diberikan oleh pihak Jepun dan perasaan balas dendam Jepun kepada orang Cina sejak konflik antara dua pihak sebelum kedatangan Jepun ke Tanah Melayu lagi.

12

Cheah Boon

Kheng dikatakan mempunyai sifat empati yang tinggi terhadap kaumnya sendiri mengenai penderitaan semasa penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Walaupun apa yang dikatakan oleh beliau itu mempunyai bukti yang sahih dan benar tetapi perasaan sayang terhadap bangsanya sendiri terlalu kuat sehingga mengaburi gaya penulisannya sendiri. Itulah yang diperkatakan oleh golongan Relativis bahawa emosi ahli sejarah ini menyebabkan kegagalan objektiviti sejarah itu untuk dicapai. Penulis ingin menyuarakan pendapat bahawa tugas untuk mengelakkan unsur berat sebelah amatlah sukar sebenarnya tetapi tidak mustahil jika ahli sejarah dapat menyedari ketidakupayaan diri untuk memisahkan diri secara mutlak dengan perkara yang dikaji dan hasilnya akan mampu menghasilkan penulisan yang objektif walaupun sedikit. 12

Cheah Boon Kheng, Red Star Over Malaya : Resistance and Social Conflict During and After the Japanese Occupation of Malaya 1941-1946 , Singapura : Univerisiti Singapura, 1983, hlm. 41.

6

Penulis tidak menafikan penulisan Cheah Boon Kheng ini kerana ia ditulis berdasarkan fakta dan sumber yang sahih tetapi berdasarkan kenyataan Mandelbaum dalam buku The Anatomy of Historical Knowledge iaitu “… a person may be said to be objective if he is not prejudiced for or against specific individuals because of their class, their nationality, their religion or their race…”13 sepatutnya sudah memberi pembaca satu ruang lingkup penjelasan yang jelas dan terang. Bagi penulis, unsur emosi ini diakui sukar untuk dihapuskan tetapi ia tidak bermakna objektiviti tidak boleh dihasilkan dengan mengambil langkah berhati-hati dan mempunyai kesedaran mengenainya serta cuba mengurangkan unsur emosi itu dalam penulisan. Sikap subjektif dalam diri ahli sejarah juga memainkan peranan penting. Sikap subjektif ini sebenarnya telah wujud dalam diri semua manusia sejak awal-awal lagi. Ia bermaksud bagaimana seseorang ahli sejarah itu mempunyai hasrat dan tujuan tertentu dalam penulisannya. Sikap subjektif dalam penulisan boleh dilihat dalam kebanyakan hikayat tradisional Melayu. Kita akan melihat gaya penulisan Sulalatus Salatin yang dikarang oleh Tun Sri Lanang. Berikut ialah kata-kata dalam Sulalatus Salatin mengenai Maharaja China ;

“… Maka ada seorang tabib tua berdatang sembah pada raja China, demikian sembahnya,“ Tuanku seri kopiah, adapun penyakit kenohong ini tiada akan terubati oleh patik-patik sekalian; kerana penyakit ini bersebab datangnya. Maka titah raja China,” Apa sebabnya penyakit ini?” Maka sembah tabib tua itu, “ Tuanku ini tulah, kerana raja Melaka berkirim sembah itu. Jikalau tiada air basuh kaki raja Melaka, tuanku santap dan dibasuhkan muka tuanku yang telah kedal anjing itu, tiadalah akan sembuh penyakit tuanku ini …” 14

13

Maurice Mandelbaum, The Anatomy of Historical Knowledge, London : The Johns Hopkins University, 1977, hlm. 146. 14 A. Samad Ahmad, Sulalatus Salatin, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2010, hlm. 136.

7

Kita boleh melihat unsur subjektif yang ketara dalam penulisan ini di mana ia bertujuan menggembirakan hati sultan sekali gus penceritaan itu hanya berfokus kepada berlandaskan emosi Tun Sri Lanang yang menekankan pengaruh golongan atasan. Bagi penulis, unsur subjektif dan bias ini sebenarnya tidak akan membawa satu pemahaman cerita yang jelas tetapi hanya dipenuhi dengan unsur keagungan dan kehebatan sesuatu pihak sahaja. Kenyataan dalam buku The Modern Researcher iaitu “Bias is an uncontrolled form of interest. It is easily detected but its presence does not tell us all we need to know about an historical report.”15 Golongan Relativis amat risau akan tindakan sebegini kerana ia dilihat mampu meranapkan impian objektiviti sejarah itu sendiri. Bagi penulis, dalam penulisan sejarah kini, ahli sejarah mesti mengetahui selok-belok penulisan agar tidak mempunyai unsur subjektif dalam penghasilan sejarah yang objektif. Antara ciri untuk mewujudkan sejarah yang objektif ialah penolakan pengadilan moral. Pengadilan moral mengikut definisi Kasim Ahmad ialah perlakuan menjatuhkan hukuman atau tindakan mengenakan penilaian tertentu terhadap sesuatu peristiwa sejarah dan seseorang pelaku sejarah.16 Sebagai contoh, perkataan seperti zalim, baik dan membunuh sudah dianggap menjatuhkan satu penilaian tindakan kepada pelaku sejarah. Mengikut Benedetto Groce dalam History as The Story of Liberty, beliau menafikan tanggungjawab ahli sejarah sebagai mahkamah yang meneliti segala perbuatan pelaku sejarah dan menjatuhkan keputusan muktamad yang membezakan orang yang mulia dengan orang yang berdosa.17 Perbezaan nilai antara zaman dahulu dan kini dan ketidakmampuan ahli sejarah menembusi lubuk hati pelaku sejarah seharusnya dijadikan sebab penolakan pengadilan moral ini. Tambahan, jika diteliti dalam penggunaan bahasa kita akan melihat

15

Jacques Barzun, Henry F. Graff, The Modern Researcher, Amerika Syarikat : Harcourt Brace Jovanovich, 1977, hlm. 152. 16 Kassim Ahmad, Sejarah : Pendekatan dan Persoalan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, hlm. 35. 17 R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, hlm. 91.

8

bahawa penggunaan kata dan ungkapan tertentu tidak dapat dielakkan kerana sesetengah kata itu berperanan sebagai pelengkap kata. Penggunaan kata tersebut boleh disalah anggap oleh pihak tertentu sehingga boleh menyebabkan pergaduhan. Kassim Ahmad menyatakan bahawa “…pemilihan kata-kata dan ungkapan tertentu juga mungkin dipertikaikan kerana bagi sesetengah pihak sesuatu perkataan dan ungkapan tertentu mungkin membawa implikasi serta makna yang dipercayai boleh mengubah gambaran tentang peristiwa sejarah … .”18 Penulis mengakui pengadilan moral ini kadangkala mampu mengakibatkan penulisan menjadi berat sebelah sekali gus memberi kesan kepada objektiviti itu sendiri. Sebagai contoh, ayat seperti “kemaraan Jepun ke Tanah Melayu menyebabkan orang cina mengalami penderitaan”. Perkataan “penderitaan” itu dianggap telah menjatuhkan tindakan moral kerana seakan-akan telah memberi satu prejudis kepada pihak Jepun . Namun jika meneliti apa yang dikatakan oleh Ranke, beliau menyatakan bahawa pengadilan moral seperti pujian dan kutukan boleh dilaksanakan asalkan mempunyai sumber yang sahih.19 Beliau tidaklah menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap pengadilan moral kerana beliau tahu pengadilan moral mampu mengakibatkan objektiviti dalam sejarah terjejas jika ia dilakukan dalam peristiwa kurang masak dan disalahgunakan. Apa yang boleh dikatakan ialah pengadilan moral bukanlah satu perkara yang negatif kerana ia juga merupakan satu bidang ilmu dalam kajian sejarah tetapi ia bergantung pada pemikiran ahli sejarah yang mencorakkannya. Apa yang pasti, kenyataan yang memberi penilaian moral itu mestilah mempunyai bukti yang sahih dan mempunyai penerangan mengenai niat, jenis tindakan dan kesan tindakan tersebut kepada sesuatu pihak yang lain. Hal ini dapat menjamin ketulenan objektiviti dalam sejarah.

18 19

Kassim Ahmad, Sumber Pengesahan Fakta dan Pentafsiran Sejarah, hlm. 65. Mohd Yusuf Ibrahim & Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan, hlm. 291.

9

3.0 KESIMPULAN Kesimpulan yang boleh penulis simpulkan ialah penulisan sejarah mestilah bersifat objektif bagi menjaga ketulenan kandungan tersebut. Penulisan sejarah yang objektif dikatakan hanya membiarkan dokumen bercakap dengan sendiri. Antara ciri penulisan yang objektif ialah tidak berat sebelah, penyelidikan yang sistematik dan penganalisisan sumber secara kritis dan jujur. Ciri tersebut dikatakan menyamai penulisan sejarah oleh Herodotus dan Thucydides yang menitikberatkan kesucian tulisan sejarah sehingga Herodotus dianggap sebagai Bapa sejarah. Namun halangan kepada objektiviti dalam sejarah dilihat lebih kepada peranan dan kekuragan ahli sejarah itu sendiri. Melalui perbincangan yang ditunjukkan, jelas memperlihatkan bahawa objektiviti dalam sejarah ini mampu dihasilkan. Namun demikian, beberapa halangan yang menyebabkan objektiviti sejarah ini sukar untuk dilaksanakan. Halangan itu jika dilihat adalah berpunca daripada kelemahan ahli sejarah itu sendiri sebagai manusia. Jika ahli sejarah yang lemah, kenapa perlu mempertikaikan objektiviti dalam bidang sejarah. Objektiviti dalam sejarah merupakan salah satu cabang ilmu bidang sejarah dan ia sebenarnya tidak memperlihatkan kelemahan. Setiap ahli sejarah perlu percaya dan bertolak andaian bahawa objektiviti boleh dicapai maka penulisan yang adil juga dapat dihasilkan. Jika sebaliknya seperti yang terjadi pada golongan Relativis maka penghasilan penulisan sejarah itu juga akan menjadi lebih mundur dari hakikatnya.

10

4.0 SUMBER RUJUKAN Abu Talib Ahmad & Cheah Boon Kheng. 1995. Isu-Isu Pensejarahan. Pulau Pinang Universiti Sains Malaysia.

A. Samad Ahmad. 2010. Pustaka.

Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan

Barzun Jacques & F. Graff Henry. 1977. The Modern Researcher. Amerika Syarikat : Harcourt Brace Jovanovich.

Cheah Boon Kheng. 1983. Red Star Over Malaya : Resistance and Social Conflict During and After the Japanese Occupation of Malaya 1941-1946. Singapura : Universiti Singapura.

Carr, E.H. 1984. Apakah Sejarah?. Terjemahan oleh Abdul Rahman Haji Ismail. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Collingwood R.G. Terj. Muhd Yusuf Ibrahim. 1985. Idea Sejarah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kassim Ahmad. 1991. Sejarah : Pendekatan dan Persoalan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhd Yusuf Ibrahim. 1997. Ilmu Sejarah : Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Yusuf Ibrahim & Mahayudin Haji Yahaya. 1988. Sejarawan dan Pensejarahan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mandelbaum Maurice. 1977. The Anatomy of Historical Knowledge. London : The Johns Hopkins University. Suntharalingam, R. 1985. Pengenalan Kepada Sejarah. Kuala Lumpur: Merican & Sons. 11

Related Documents


More Documents from ""