Novel Konserto Terakhir

  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Novel Konserto Terakhir as PDF for free.

More details

  • Words: 2,366
  • Pages: 10
Novel ini mengisahkan kegigihan hidup seorang anak muda kampung, berkelulusan darjah empat sekolah Melayu yang bernama Hilmi. Hilmi merantau ke bandar untuk mencari pekerjaan setelah didesak oleh bapanya. Di bandar, Hilmi tinggal di rumah pakciknya, iaitu Datuk Johari. Dia bekerja sebagai tukang kebun. Pada peringkat awal, kehadirannya tidak disenangi oleh mak ciknya, Datin Salmah dan sepupunya, Hayati. Perasaan Hilmi sering tertekan, tetapi dia gembira menguruskan bunga-bunga dan kebun sayur pak ciknya. Hatinya juga sentiasa tenang dan gembira apabila mendengar bunyi piano yang dimainkan oleh Hayati walaupun dia sering dihina dan disindir oleh Datin Salmah kerana kemiskinan dan tahap pendidikannya yang rendah. Hilmi yang begitu meminati alunan piano telah belajar muzik daripada Encik Bakar. Kebolehan Hilmi bermain piano secara spontan telah menyebabkan Hayati berubah sikap dan mula berbaik-baik dengan Hilmi. Keakraban Hilmi dan Hayati tidak disenangi oleh Datin Salmah dan Hilmi dihalau secara halus dari rumah pak ciknya. Selepas peristiwa itu, Hilmi bekerja dan tinggal di stesen minyak Shell di Jalan Setapak, Kuala Lumpur. Dia terus gigih belajar piano dengan Encik Bakar. Peluang keemasan Hilmi untuk memenuhi hasratnya tertunai apabila Encik Bakar mengambilnya bermain biola menggantikan ahli kumpulan orkestranya yang berhenti secara tiba-tiba. Dia diterima sebagai ahli tetap kumpulan orkestra Encik Bakar dan akhirnya berjaya menjadi pemain muzik profesional. Bermula dari saat itu, bintang Hilmi semakin terserlah sehingga berjaya memenangi pesta muzik RTM tiga tahun berturut-turut. Hilmi diberikan penghargaan mengadakan pertunjukan Orkestra Perdana anjuran RTM.

Novel ini bertemakan kegigihan dan kecekalan seorang pemuda dalam perjuangan mencapai cita-cita. Hilmi digambarkan mempunyai bakat luar biasa dalam bidang seni muzik dan menggunakan kelebihannya sebaik mungkin sehingga berjaya berada di puncak tertinggi sebagai ahli muzik dan penggubah lagu.

Antara persoalan yang terkandung dalam novel ini ialah gigih berusaha akhirnya mencapai kejayaan. Contohnya, Hilmi yang begitu meminati muzik telah berusaha bersungguh-sungguh akhirnya berjaya menjadi pemuzik tanah air yang terkenal. Persoalan seterusnya ialah ikhlas dalam tugas dan bertanggungjawab. Contohnya, walaupun menjalankan kerja sebagai tukang kebun di rumah pak ciknya sendiri, namun Hilmi tidah pernah berkecil hati malah menjalankan tugas dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab. Selain itu, persoalan yang lain ialah kesombongan manusia kerana mempunyai pangkat dan harta yang banyak. Contohnya, Datin Salmah tidah pernah menghargai kehadiran Hilmi, sebaliknya angkuh dengan harta dan pangkat yang dimilikinya. Dia sering menghina Himi. Persoalan yang terakhir ialah percintaan yang terhalang. Contohnya, hubungan cinta Hilmi dan Hayati tidak direstui oleh Datuk Johari dan Datin Salmah menyebabkan kedua-duanya kecewa.

Watak utama: Hilmi Walaupun dia berasal dari kampung dan tidak mempunyai kelulusan akademik yang tinggi, namun dia mempunyai cita-cita yang tinggi, iaitu ingin belajar muzik di bandar. Dia juga tidak malu untuk bekerja sebagai tukang kebun di rumah pak ciknya sendiri dan juga pernah bekerja di stesen minyak. Sifat sabar dan tabah yang dimilikinya menjadikan dia berjaya mencapai cita-citanya sebagai seorang pemuzik. Walaupun cintanya dihalang, namun dia mampu menangani kekecewaan itu dengan cara positif, iaitu meluahkan segala kekecewaannya melalui lagu-lagu ciptaannya. Sikapnya yang rendah diri dan rajin bekerja itu menjadikan Hilmi disukai oleh kawan-kwannya. Penglibatannya dalam bidang muzik telah mendapat sokongan dan pengiktirafan daripada peminat-peminatnya sehingga dia telah diberikan kepercayaan dan penghormatan untuk memimpin pertunjukan Orkestra Perdana anjuran RTM yang dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong. Watak sampingan: Hayati Datin Salmah Encik Bakar Hayati merupakan anak tunggal kepada Datuk Johari dan Datin Salmah. Dia sebenarnya ialah adik Hilmi daripada ibu yang berlainan. Hayati juga seorang pelajar yang pintar kerana dia berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Hayati memberikan layanan yang baik kepada Hilmi dan tidak pernah menghinanya. Dia tidak pernah mengambil kira perbezaan pangkat walaupun dia anak orang kaya dan berpengaruh. Hayati digambarkan sebagai gadis yang mudah tersinggung dan merajuk. Dia tidak pernah membantah kehendak mereka walaupun kadangkala dia tidak sependapat dengan mereka. Dia juga berkeyakinan tinggi. Datin Salmah ialah isteri Datuk Johari dan ibu kepada Hayati. Umurnya dalam lingkungan 4-an dan berasal daripada keluarga berada. Datin Salmah sering menghina dan merendahkan Hilmi yang berasal dari kampung dan tidak berpelajaran. Datin Salmah digambarkan sebagai seorang yang pemarah. Dia menjadi barang dan menjerit-jerit setelah mengetahui bahawa Hilmi menggangu piano Hayati. Dia tidak taat pada agama, mementingkan cara hidup Barat, tidak menghormati suaminya, dan percaya pada ramalan bomoh. Encik Bakar ialah ayah Azizah dan bapa mentua Hilmi. Dia berperanan sebagai guru muzik dan sahabat Hilmi. Encik Bakar diberikan watak seorang yang baik hati dan pemurah. Dia sanggup mengajar Hilmi tentang ilmu muzik secara percuma. Dia juga tidak pernah memandang rendah kepada pekerjaan Hilmi, malah memberikan layanan yang baik dan mesra setiap kali Hilmi datang ke rumahnya. Dia juga seorang yang berkeyakinan tinggi.

Pada bahagian permulaan, kisah bermula dengan kehadiran Hilmi di rumah pak ciknya yang bergelar ‘Datuk’ dan berjawatan tinggi dalam kerajaan. Hilmi bekerja sebagai tukang kebun dan bersungguh-sungguh dengan pekerjaannya walaupun dibayar gaji yang sangat rendah. Plot berkembang semasa kehadiran Hilmi tidak disenangi oleh Datin Salmah dan Hayati. Hilmi sering menerima pelbagai penghinaan kerana tidak berpelajaran tinggi dan miskin. Walau bagaimanapun, Hilmi mempunyai semangat yang kuat untuk berjaya. Hilmi belajar muzik dengan bersungguh-sungguh. Hayati telah berubah sikap terhadap Hilmi dan bibit-bibit percintaan telah mekar dalam hati kedua-dua anak muda ini. Pada bahagian konflik, kisah bermula semasa Datin Salmah tidak suka pada Hilmi dan berasa malu mempunyai saudara yang miskin dan rendah pendidikannya. Hayati tidak senang dengan tindakan ibunya yang cuba menghalang hubungannya dengan Hilmi. Encik Bakar diberikan amaran keras akan digantung lesen bermain muzik oleh Persatuan Pemain Muzik Kebangsaan dan kontraknya akan ditamatkan sekiranya dia terus mengambil Hilmi bermain dalam orkestranya. Hayati melayan Mohsin dengan sikap acuh tak acuh kerana telah mula suka pada Hilmi. Plot mencapai tahap kemuncak atau klimaks apabila Hilmi telah lewak tiba di Dewan Tunku Canselor, tempat dia akan mengadakan pertunjukan perdananya. Pengarah konsert tersebut amat bimbang dan mencari Hilmi di rumahnya, tetapi tidak berjaya. Hilmi terjatuh di luar rumahnya dan cedera parah. Dia telah dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana keadaannya amat kritikal. Pengarah persembahan perdana tidak dapat mencari pengganti Hilmi untuk meneruskan persembahan kerana semua calon yang difikirkan sesuai tidak dapat dihubungi. Seluruh keluarga Datuk Johari, bapa Hilmi, dan isterinya, Azizah berada dalam keadaan cemas menanti keputusan rawatan kecemasan terhadap Hilmi. Plot menurun ke tahap peleraian apabila pengarah persembahan telah mendapat maklumat daripada jiran Hilmi bahawa dia telah dihantar ke hospital kerana terjatuh dan mengalami cedera parah. Akhirnya, persembahan perdana tersebut berjaya dipimpin oleh Hayati. Bapa Hilmi datang dari Kedah telah mendedahkan suatu rahsia yang amat mengejutkan Datuk Johari. Hilmi ialah anak kandungnya daripada isteri yang ditinggalkan pada malam perkahwinan pertamanya.

Latar tempat: Latar tempat novel ini berlaku di sekitar Kuala Lumpur. Banyak peristiwa yang berlaku di rumah Datuk Johari. Anataranya kehadiran Hilmi, pekerjaan Hilmi sebagai tukang kebun, hubungan antara Hilmi dengan Hayati, krisis antara Hilmi dengan Datin Salmah, Hilmi bermain piano Hayati, hubungan Hayati dengan Mohsin, Datuk Johari mati dan lain-lain. Di rumah Dr.Nathan tempat Hilmi berhubung dengan Mamat. Di stesen minyak Shell Jalan Setapak tempat Hilmi bekerja selepas meninggalkan rumah Datuk Johari. Di sebuah kedai kopi berdekatan dengan rumah Encik Bakar tempat Hilmi menerima nasihat daripada Pak Amat Darwin. Di rumah Encik Bakar tempat Hilmi belajar alat-alat muzik dan menggubah lagu. Di sini, Hilmi berhubung dengan watak Azizah, anak Encik Bakar. Di Hotel Titiwangsa tempat Hilmi bermain muzik, menyampaikan lagu “Sebuah Intermeso”, lagu yang mengharumkan nama Hilmi. Di kelab-kelab malam tempat Hilmi bekerja sebagai permain muzik. Di Padang Bandaran, Kelantan tempat orkes Hilmi bermain semasa perayaan keputeraan Sultan Kelantan. Di Hospital Besar Kuala Lumpur tempat Encik Bakar meninggal dunia. Di Hospital Besar juga Hilmi terlantar sakit dan meninggal dunia. Di sini Datuk Johari sekeluarga bertemu dengan Pak Karim dan keluarga Azizah. Di hospital inilah Datuk Johari dan Datin Salmah insaf setelah mengetahui Hilmi sebenarnya adalah anak kandung Datuk Johari. Di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya tempat berlangsungnya Pertunjukan Orkes Perdana dengan Hayati menjadi pemimpin orkestra. Di sinilah Datuk Johari dan Datin Salmah mengalirkan air mata apabila mengenangkan nasib malang Hilmi.

Latar masa:

Latar masa novel ini ialah sebelum tahun 1980 atau pada zaman moden. Pada masa pegawai Inggeris masih bertugas di Malaysia. Contohnya, Tuan Milton diminta oleh Datuk Johari memberikan pekerjaan kepada Hilmi. Pada masa masyarakat kampung belum membangun, berlakunya penghijrahan ke bandar untuk mencari pekerjaan. Cerita berlaku pada waktu siang dan malam. Contohnya, pada waktu siang Hilmi tiba di rumah Datuk Johari. Pada waktu malam berlangsungnya Pertunjukan Orkes Perdana. Latar masyarakat: Masyarakat bandar yang tidak mengamalkan semangat kejiranan. Contohnya, hubungan antara Datuk Johari dengan Dr. Nathan. Datuk Johari dan Datin Salmah marah kepada Hilmi kerana mengambil tanah hitam yang diberi oleh Dr.Nathan. Datin Salmah melarang Mak Minah berbual dengan Mamat dan isterinya yang bekerja dengan Dr.Nathan. Masyarakat bandar yang mementingkan pangkat dalam pergaulan. Datin Salmah misalnya hanya bergaul dengan ahli keluarganya ayng berpangkat tinggi dan kawan-kawannya yang bergelar Datin. Masyarakat bandar memandang hina kepada orang kampung yang miskin. Datin Salamah misalnya tidak dapat menerima Hilmi walaupun Hilmi adalah anak saudara Datuk Johari. Masyarakat bandar tidak mementingkan agama dalam kehidupan. Datuk Johari dan Datin Salmah tidak pernah menunaikan sembahyang. Di rumah terdapat suatu sudut untuk meminum arak dan Datin Salmah sendiri meminum arak hingga mabuk. Buku-buku agama pula dianggap sebagai berunsur subversif. Masyarakat bandar yang sibuk dengan tugas sosial di luar rumah hingga melupakan tugas dan tanggungjawab di rumah. Datin Salmah sibuk dengan kawan-kawan yang semorning coffee. Datin Salmah mengabaikan tugasnya sebagai ibu di rumah terutamanya dalam mendidik anaknya, Hayati. Datuk Johari pula sibuk dengan tugasnya di pejabat. Di kalangan generasi muda, sudah ada yang insaf tentang tanggungjawab sebagai hamba Allah. Hayati misalnya sudah mula bersembahyang, membaca buku-buku agama, dan taat kepada ibu bapa. Dia menyedari bahawa menderhaka kepada ibu bapa adalah dosa besar. Generasi muda seperti Hayati sudah mula menganggap bahawa semua manusia adalah sama tanpa mengira darjat, sama ada orang berpangkat ataupun orang miskin. Masyarakat yang meminati seni muzik. Keluarga Encik Bakar adalah sebuah keluarga yang berminat dalam seni muzik. Encik Bakar dan anaknya bergiat dalam seni muzik. Begitu juga anggota masyarakat bandar yang lain, yang memberikan sambutan di luar dugaan dalam Pertunjukan Orkes Perdana. Hayati pula melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di London. Masyarakat yang ikhlas dalam memberikan pertolongan. Contohnya, Encik Bakar menolong Hilmi dengan mengajarkan cara bermain alat-alat muzik dan menggubah lagu secara percuma tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Di kalangan orang gaji dan drebar sudah ada perasaan simpati dan mengamalkan semangat tolong-menolong. Mak Minah sangat bersimpati terhadap Hilmi. Walaupun Datin Salmah tidak membenarkan Hilmi makan, Mak Minah tetap memberikan makanan kepada Hilmi kerana adanya perasaan simpati terhadap Hilmi. Mamat pula sanggup menolong Hilmi dengan cara membawa Hayati berjumpa dengan

Hilmi sebelum Hayati bertolak ke London. Masyarakat yang mendengar nasihat. Contohnya, nasihat Pak Amar Darwin kepada Hilmi supaya mencipta sesuatu kejayaan bagi dirinya yang masih muda itu, sungguh berkesan hingga Hilmi berjaya dalam bidang seni muzik yang diceburinya itu. Masyarakat yang gigih berusaha untuk mencapai kejayaan. Contohnya, Hilmi berusaha dengan bersungguh-sungguh hingga menjadi seniman tanah air yang terkenal. Masyarakat yang insaf setelah melakukan sesuatu kesalahan. Contohnya, Datuk Johari dan Datin Salmah insaf akan perbuatan mereka ayng menyeksa Hilmi hingga Hilmi hidup menderita. Masyarakat yang menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan. Contohnya, Hilmi bekerja dengan sungguh-sungguh sebagai tukang kebun. Begitu juga Ketua Pengarah RTM berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan Pertunjukan Orkes Perdana berjalan dengan lancar. Masyarakat yang penyayang. Contohnya, Datin Salmah sayang akan anaknya, Hayati. Encik Bakar sayang akan Hilmi. Hilmi sayang akan Hayati. Masyarakat kampung yang sanggup berkorban untuk kepentingan orang lain. Contohnya, Pak Karim sanggup berkahwin dengan bekas isteri Datuk Johari untuk mengelakkan pergaduhan dalam keluarga. Pak Karim sanggup juga merahsiakan Hilmi sebenarnya adalah anak Datuk Johari untuk mengelakkan keruntuhan rumah tangga yang telah dibina oleh Datuk Johari dan Datin Salmah.

Nilai yang terkandung dalam novel Konserto Terakhir ini adalah nilai kasih sayang. Hilmi sayang akan Hayati. Hilmi berasa cemburu apabila melihat Hayati berjalan dengan Mohsin. Nilai kedua ialah nilai bersimpati. Hayati bersimpati terhadap Hilmi yang tidak memakan nasi kerana dilarang oleh ibunya, Datin Salmah. Hayati memujuk Hilmi supaya memakan nasi itu. Mak Minah bersimpati terhadap Hilmi. Dia memberikan nasi kepada Hilmi walaupun Datin Salmah tidak membenarkannya. Nilai ketiga ialah nilai tolongmenolong. Mamat menolong Hilmi dengan cara memperkenalkan Hilmi kepada Encik Bakar supaya Hilmi dapat mempelajari alat-alat muzik. Mamat turut menolong Hayati dengan cara membawa Hayati berjumpa dengan Hilmi. Nilai keempat ialah gigih berusaha. Tuan Pengarah RTM berusaha dengan gigih mencari Hilmi pada malam Pertunjukan Orkes Perdana. Setelah gagal, dia berusaha pula mencari pengganti Hilmi. Hilmi berusaha memepelajari alat-alat muzik hingga berjaya menjadi pemain muzik dan penggubah lagu yang terkenal. Nilai seterusnya ialah Amanah. Hilmi bekerja dengan baik sebagai tukan kebun kerana itu adalah tugas yang diberikan kepadanya. Tuan Pengarah RTM menunaikan tugasnya dengan amanah untuk memastikan persembahan Orkes Perdana RTM berjalan lancar. Nilai seterusnya ialah nilai insaf. Datin Salmah dan Datuk Johari akan perbuatan mereka yang menyeksa Hilmi. Datuk Johari berharap agar Allah akan memanjangkan usia Hilmi supaya dia berpeluang berbakti kepada Hilmi. Azizah menangis dan meratap di Hospital semasa Hilmi sakit kerana insaf akan perbuatannya meninggalkan Hilmi. Dia sedar bahawa tindakannya itu menyebabkan Hilmi sakit.

Pengajaran yang terdapat dalam novel ini ialah jangan mementingkan pangkat dan kedudukan hingga sanggup menghina orang lain. Contohnya, Datin Salmah memandang hina kepada orang kampung yang miskin kerana tidak setaraf dengan kaum keluarganya yang berpangkat tinggi. Pengajaran kedua yang terkandung dalam novel ini ialah jangan hanyut dengan kemegahan diri hingga sanggup melupakan kampung halaman sendiri. Contohnya, Datuk Johari tidak pulang ke kampung selama tujuh belas tahun. Dia sengaja melupakan kampungnya untuk membentuk jati diri sebagai orang yang ternama. Pengajaran ketiga ialah jangan mementingkan keseronokan hingga sanggup mengorbankan rumah tangga. Contohnya, Azizah sanggup meninggalkan Hilmi kerana bosan menjadi isteri dan ibu. Azizah ingin bebas dan tidak mahu terperap di rumah saja. Pengajaran seterusnya ialah jangan meminum arak kerana meminum arak dilarang oleh agama. Contohnya, Datin Salmah meminum arak hungga mabuk dan di rumahnya terdapat sudut untuk meminum arak(mini bar). Selain itu, pengajaran lain ialah jangan bertindak kejam terhadap seseorang sebaliknya berfikirlah dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan. Contohnya, Datuk Johari telah bertindak kejam terhadap isterinya dengan memujuk isterinya pada malam pertama dan esoknya isteri diceraikan. Pengajaran seterusnya ialah kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai sesuatu citacita. Contohnya Hilmi belajar dengan bersungguh-sungguh bermain alat muzik hingga berjaya menjadi penggesek biola dan penggubah lagu yang terkenal. Kita juga hendaklah ada rasa simpati dan belas kasihan terhadap seseorang yang bernasib malang. Contohnya, Hayati bersimpati terhadap Hilmi yang tidak makan kerana dilarang oleh emaknya. Hayati memujuk Hilmi supaya makan.

Related Documents