Soalan 1: Jelaskan makna bagi konsep teknologi dan media untuk pengajaran dan pembelajaran dan kepentingan konsep (TPACK) diaplikasikan oleh guru untuk menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Jawapan: 1. Mengikut Galbraith (1967), ‘technology is the systematic application of scientific or other organised knowledge to practical tasks’. Manakala merujuk Finn (1960); Heinich, Molenda dan Rusell (1989); Romizowski (1988) dalam buku Yusup Hashim dan Razmah Man (2006) yang bertajuk Teknologi Instruksional: Teori dan Aplikasi telah menjelaskan bahawa teknologi membawa dua maksud:
Teknologi sebagai proses : Penggunaan pengetahuan sains dan lain-lain cabang ilmu untuk menghasilkan tugas-tugasan pembelajaran yang praktikal. Suatu proses ke arah penyelesaian kepada masalah-masalah dengan menggunakan teknik, kaedah, reka bentuk atau alat yang berkesan dan teruji.
Teknologi sebagai produk atau bahan : Penghasilan perkakasan dan perisian hasil dari proses teknologi itu sendiri. Contohnya, projektor (perkakasan) dan filem, (perisian) adalah hasil teknologi.
2. Teknologi dapat ditafsirkan sebagai keupayaan dalam menggunakan pengetahuan sama ada pengetahuan saintifik atau pengetahuan lain yang tersusun dan digunakan secara teratur. 3. Media pengajaran adalah segala sesuatu yang dapat digunakan untuk menyalurkan pesanan daripada pengirim kepada penerima sehingga dapat merangsang fikiran, perasaan, perhatian, minat serta perhatian pelajar dan seterusnya terjadinya proses pembelajaran. 4. Ngui Kuan Sang (1989), berpandangan bahawa ia adalah satu pengalaman yang melibatkan penggunaan penglihatan atau pendengaran seseorang serta teknik-teknik pengajaran, termasuk juga proses pengalaman, persediaan dan perasaan. Ini bermakna ia adalah satu proses pengalaman yang total. 5. Media merupakan penghubung antara pelajar dan guru, antara pelajar dengan pelajar dan setiap orang yang terlibat dalam proses P&P.
TPACK memainkan peranan penting dalam menyediakan guru yang boleh mengintegerasikan pengetahuan tiga komponen ini iaitu teknologi, pedagogi dan kandungan dalam amalan pengajaran. TPACK adalah asas pengajaran yang berkesan dengan teknologi, ia memerlukan pemahaman konsep menggunakan teknologi; teknik pedagogi yang menggunakan teknologi dengan cara yang konstruktif untuk mengajar kandungan; apakah pengetahuan yang membuatkan konsep sukar atau mudah untuk belajar dan bagaimana teknologi boleh membantu menyelesaikan masalah P & P dan membina pengetahuan baru berasaskan pengetahuan sedia ada. Sebagai contoh penggunaan internet dalam pembelajaran dalam talian memaksa guru memikirkan isu pedagogi seperti memuat turun kandungan dalam ‘Learning Management System’ (LMS) dan bagaimana menggalakkan interaksi pelajar dengan bahan dan melibatkan mereka dalam forum dalam talian. TPACK terdiri daripada 7 komponen iaitu; 1- CK - Content Knowledge atau Pengetahuan Kandungan 2- PK - Pedagogical Knowledge atau Pengetahuan Pedagogi 3- TK - Technological Knowledge atau Pengetahuan Teknologi 4-
PCK - Pedagogical Content Knowledge atau Pengetahuan Pedagogi Kandungan
5-
TCK - Technological Content Knowledge atau Pengetahuan Teknologi Kandungan
6- TPK - Technological Pedagogical Knowledge atau Pengetahuan Teknologi Pedagogi 7-
TPACK - Technological Pedagogical Content Knowledge atau Pengetahuan Teknologi Pedagogi Kandungan
TPACK adalah pengintegrasian pengetahuan teknologi dalam pengajaran yang dilakukan mengikut disiplin ilmu pengetahuan guru di mana ia perlu difahami secara mendalam dari sudut CK, PK, TK, PCK, TCK dan TPK (Koehler, 2011). Menurut Koehler dan Mishra (2008), integrasi pengetahuan teknologi, pedagogi dan kandungan dalam pengajaran akan menghasilkan P&P yang efektif dan sempurna bagi seorang guru atau pengajar. Pengetahuan Kandungan (Content Knowledge - CK) CK merupakan pengetahuan pengajar terhadap kandungan yang akan disampaikan kepada pelajar. Sehubungan dengan itu, pengajar perlu menguasai kandungan seperti konsep, teori, idea-idea, rangka kerja, keterangan dan bukti serta amalan-amalan yang diperlukan ke arah membangunkan pengetahuan itu (Koehler & Mishra, 2009). Pengetahuan Pedagogi (Pedagogical Knowledge – PK) PK merupakan pengetahuan tentang jenis-jenis pedagogi yang boleh digunakan sebagai menyokong pengajaran berkesan. Menurut Koehler dan Mishra (2008),
PK merangkumi pengetahuan tentang proses serta amalan yang digunakan dalam pengajaran. Selain itu, guru perlu membuat kajian terhadap teori-teori pedagogi secara khusus agar mereka tidak lesu dalam memperkasa kaedah pengajaran bagi menghasilkan suasana P&P yang berkualiti (Archambault & Barnett, 2010). Dalam konteks kajian ini, pengajar perlu mengetahui teknik dan kaedah yang harus digunakan dalam pengajaran pengaturcaraan komputer. Pengetahuan Teknologi (Technology Knowledge - TK) Domain TK meliputi pengetahuan terhadap jenis-jenis alatan, perkakasan atau perisian termasuk dengan boleh mengendalikannya dengan baik sehingga membantu atau memudah cara pekerjaan seorang pengajar (Koehler, 2011). Hal ini merangkumi apa sahaja pengetahuan seorang pengajar terhadap teknologi yang biasa digunakan dalam pengajaran sama ada teknologi berbentuk analog (mikroskop, papan putih, video dan lain-lain) mahupun digital (telefon pintar, internet, persidangan video dan lain-lain). Pengetahuan Pedagogi Kandungan (Pedagogical Content Knowledge - PCK) CK apabila diintegrasikan dengan PK menjadikan PCK iaitu pengetahuan teras pengajaran yang meliputi kurikulum, penilaian dan pedagogi (Koehler & Mishra, 2009). PCK masih mengambil kira konsep yang diperkenalkan oleh Shulman (1986) di mana ia merangkumi pengajaran, pembelajaran, kurikulum, pentaksiran, dan laporan yang melatari cara penyampaian pengajaran kepada para pelajar. Shulman turut menyatakan bahawa guru yang mengajar tanpa mengetahui aspek-aspek seperti kurikulum dan pentaksiran tidak mampu memenuhi keperluan pembelajaran. Pengetahuan Teknologi Kandungan (Technological Content Knowledge - TCK) CK apabila diintegrasikan dengan TK menghasilkan domain TCK. Domain TCK merupakan pengetahuan terhadap teknologi tertentu yang paling sesuai untuk menangani hal pembelajaran dan bagaimana ia membantu kandungan yang sesuai apabila berlaku perubahan pada teknologi tersebut (Koehler & Mishra, 2009).