Menelusuri Bahasa Kathartik Dalam Ungkapan Adat Melay1

  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Menelusuri Bahasa Kathartik Dalam Ungkapan Adat Melay1 as PDF for free.

More details

  • Words: 6,265
  • Pages: 29
Menelusuri Bahasa Kathartik dalam Retorik Ungkapan Adat Melayu Muhammad Jailani Bin Abu Talib Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Pengenalan Adat memainkan peranan yang besar dalam kehidupan masyarakat Melayu. Perihal tersebut jelas terpancar dalam ungkapan “hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.” Hukum adat diturunkan ataupun diwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain secara lisan dan sekali gus merangka pola pemikiran dan tindakan mereka. Sebagai orang Melayu, segala apa yang dilakukan seharusnya berteraskan nilai-nilai yang ditetapkan oleh adat Melayu. Kepentingan hukum adat bagi masyarakat Melayu turut jelas diperhatikan dalam ungkapan “biar mati anak, jangan mati adat.” Natijahnya, adat menjadi paksi segala semangat, jiwa, nyawa, ilmu, tertib dan gaya kehidupan orang Melayu. Malahan lagi, adat “merupakan struktur yang menghubung seluruh kehidupan manusia Melayu, yang menegaskan sifat, diri, keperibadian, identiti atau jati diri manusia, masyarakat dan budaya Melayu.”

Persoalan Melayunya seseorang ataupun tidak terletak pada kefahamannya akan konsep adat Melayu. Daripada itu, dapat dirumuskan bahawa manusia Melayu itu sebenarnya tidak ditentukan oleh keturunan ataupun warna kulit individu dan sebaliknya ditentukan oleh keupayaan individu tersebut untuk membudayakan citra bangsa yang ideal melalui adat Melayu.

Namun begitu, dalam setiap perkara yang berjaya untuk kesan pada kehidupan manusia, pastinya terdapat ciri-ciri khusus yang menjadi teras kepada keberkesanan perkara tersebut. Dalam hal ini, adat Melayu, sebagai sebuah entiti yang diwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain menggunakan bahasa Melayu sebagai wahana penyampaian. Dalam erti kata yang lain,

terdapat ciri-ciri khusus pada bahasa yang digunakan dalam ungkapan adat Melayu untuk menghadirkan kesan katharsis ataupun impak kepada pembaca ataupun pendengar. Latar Belakang Kajian Kajian ini telah diusahakan atas kesedaran bahawa ungkapan adat Melayu masih belum pernah dikaji secara eksplisit. Perkara tersebut berpangkalan daripada kerumitan untuk mendapatkan bahan-bahan yang sekali gus dapat digunakan sebagai rujukan bagi ungkapan adat Melayu. Dalam hal ini, pengkaji akan menggunakan dua pendekatan utama dalam perlaksanaan kajian, iaitu kajian kepustakaan dan kajian lapangan.

Kajian ini akan meneliti penggunaan kata dalam adat Melayu untuk mengenal pasti ciriciri keberkesanan ungkapan adat Melayu sebagai agen pencorak manusia Melayu. Dalam hal ini, pengkaji akan meneliti gaya bahasa ungkapan adat Melayu, khususnya dalam penggunaan katakata yang memberikan kesan kathartik pada orang Melayu. Kajian neuroestetika ataupun bagaimana minda manusia bertindak balas dengan seni dapat lazimnya dapat dibahagikan kepada tiga bidang utama, yakni (1) pewakilan, (2) emosi, dan (3) kreativiti. Namun begitu, bagi tujuan kajian ini, pengkaji akan mendekati subjek kajian dengam memberikan tumpuan yang lebih terhadap pewakilan sesuatu perkara pada bahasa yang digunakan dalam ungkapan adat Melayu dan kesan emosi karya tersebut dalam penjanaan katharsis pada diri penerima. Metodologi Kajian Kajian ini dilaksanakan dengan menggunakan kaedah kepustakaan dan kaedah analisis tertumpu, yakni dengan meneliti ungkapan adat Melayu. Analisis tertumpu dilakukan dengan memberikan perhatian kepada penggunaan kiasan Melayu dalam teks tersebut. Selain itu, kajian ini turut

menggunakan kaedah kualitatif dan kuantitatif. Penyelidikan ini merujuk kepada kajian yang telah dibuat oleh Za’ba (1995) dan Lim Kim Hui (2003) sebagai asas kerangka fikiran dalam menghuraikan daya retorik dalam ungkapan adat Melayu. Konsep Kajian Dalam rangka kajian yang ditetapkan, terdapat dua perkara penting yang mendasari kajian berikut, iaitu bahasa kathartik dan ungkapan adat Melayu. Pengkaji daripada itu akan memberikan tafsiran awal akan kedua-dua konsep tersebut seperti berikut : Retorik Retorik merujuk kepada kesenian berhujah serta keberkesanan sesuatu subjek untuk mempengaruhi khalayak penerima akan isu yang diketengahkan. Di samping tatabahasa dan dialektik ataupun logic, retorik merupakan salah satu daripada tiga cabang kesenian dalam bidang hujahan. Dari sudut etimologi, istilah retorik berasal daripada rhetorikos, yakni sebuah perkataan daripada bahasa Yunani yang merujuk kepada penghujah ataupun pembicara. Istilah tersebut terkait rapat dengan istilah rhetor yang merujuk kepada keberkesanan berhujah dan rhema yang merujuk kepada sebarang perkara yang diucap serta menggunakan bahasa sebagai wadah utamanya. Menurut Quintilian, pemeringkatan seni retorik dapat dibahagikan kepada lima perkara utama seperti berikut :

Inventio – Proses yang menjalin perkembangan dan penajaman sesebuah hujahan Dispotio – Proses pengolahan semula segala isi dan fakta bagi tujuan impak yang paling berkesan Elocutio – Proses penggayaan hujah.

Memoria – Penghujah mengimbau kembali segala proses di atas. Actio – Penghujah membentangkan hujahannya dalam bentuk yang sesuai dengan khalayak pendengar.

Sesuai dengan gagasan tersebut, ungkapan adat Melayu turut dapat dibahagikan kepada kelima-kelima perkara tersebut, iaitu proses penciptaan, pengolahan, penggayaan, pengimbauan dan hujahan. Kenyataan yang harus diterima ialah ungkapan adat Melayu tidak pernah hadir dalam ruang vakum dan dicipta daripada pemerhatian dan pengamatan yang mendalam akan segala fenomena yang melanda kehidupan manusia, khususnya dalam kehidupan masyarakat Melayu. Segala fenomena tersebut dikembangkan dalam bentuk yang figuratif. Dalam erti kata yang lain, pemerhatian masyarakat Melayu diikembangkan dalam bentuk ungkapan yang seterusnya diwariskan dari zaman ke zaman.

Penguasaan retorik dalam tradisi lisan ataupun tulisan sebenarnya dapat dibuat dengan tiga teknik utama, yakni dengan teknik induktif, deduktif atau analogi. Dalam teknik induktif, penulis ataupun pengucap akan mengemukakan fakta dan maklumat-maklumat khusus sebelum membuat kesimpulan atau rumusannya sendiri. Teknik tersebut lazimnya sering digunakan para ilmuan dan akademia dalam pelaksaan tugas ataupun kajian. Teknik kedua, yakni deduktif memberikan sebuah penyataan yang umum namun dituruti oleh fakta dan maklumat yang khusus. Kaedah tersebut sebenarnya lebih sering digunakan oleh para politikus dalam mempengaruhi minda pengundi ataupun rakyat. Sementara itu, teknik ketiga merupakan teknik analogi, iaitu teknik yang menggunakan kiasan atau perbandingan untuk menunjukkan persamaan atau perbezaan antara dua perkara atau senario.

Selaras dengan penjelasan di atas, retorik turut dapat dirujuk sebagai seni penggunaan ataupun pemakaian bahasa dalam bentuk tulisan ataupun lisan yang bertujuan untuk menyampaikan sesuatu maksud atau gagasan dengan lebih berkesan dan efektif. Dalam erti kata lain, retorik merupakan strategi yang digunakan penulis ataupun pengucap untuk mempengaruhi sikap atau pendirian khalayak penerima. Secara umumnya, kemahiran retorik melibatkan empat aspek, iaitu (1) penguasaan tatabahasa, (2) penggunaan pelbagai ragam bahasa, (3) penyampaian pemikiran secara teratur dan sistematik, dan (4) penguasaan corak dan bentuk penulisan. Strategi yang digunakan dalam pengolahan sesebuah teks lisan ataupun tulisan dapat diterapkan dengan penghayatan empat cara utama, yakni naratif (penceritaan), deskriptif (pemerian), eksposisi (pendedahan), atau penghujahan. Keempat-empat pendekatan tersebut mempunyai daya kekuatan yang berbeza dan harus disesuaikan dengan beberapa faktor termasuk khalayak pendengar atau pembaca, keadaan persekitaran dan sebagainya. Daya kekuatan dan kelemahan setiap pendekatan di atas dapat diperhatikan dalam rajah berikut : Naratif

- Gaya naratif boleh ditemui pada laporan akhbar, laporan aktiviti, minit mesyuarat, atau seramah syarahan yang menerangkan sesuatu.

Deskriptif

Eksposisi

-Menerangkan atau memerikan sesuatu

- Mendedahkan sesuatu isu, perkara

- Menggunakan pemerhatian dan pengamatannya untuk menerangkan sesuatu hal. Di tahap yang lebih halus, penulis ada kalanya menggunakan pancainderanya, di samping perasaan hati dan pandangannya.

- Cara ini sesuai digunakan untuk menjelaskan konsep, pandangan, cadangan, proses, atau sejarah sesuatu, dengan menggunakan mana-mana teknik sama ada deduktif, induktif atau analogi.

- Penulis menggambarkan peristiwa, contoh kiasan dan sebagainya. - Pengalaman seseorang, watak-watak dalam novel, drama dan sebagainya. - Dengan cara deskriptif

Penghujahan - Cara penulis menunjukkan kebenaran pendapat sama ada menentang, menyokong atau menunjukkan sikap berkecuali. - Kebenarang yang hendak ditunjukkan mestilah berasaskan fakta atau bukti yang konkrit. - Kebenaran tidak berasaskan emosi sahaja.

ini, penulis boleh menggunakan teknikteknik induktif, deduktif atau analogi.

Rajah 1 : Empat Pendekatan Retorik dalam http://www.tutor.com.my/stpm/retorik.htm Di suatu sudut yang lain, dari sudut etimologi, budaya retorik dalam alam Melayu hanya bertapak selepas kedatangan Islam. Perkara tersebut dapat diperhatikan daripada korpus leksikografi bahasa Melayu. Budaya retorik, dalam bahasa Melayu, paling dekat dikaitkan dengan istilah hujah ataupun hujahan yang berpangkalan daripada bahasa Arab. Sedangkan istilah penalaran turut dapat menggantikan istilah hujah, istilah penalaran turut berpangkalan daripada bahasa Arab. Namun begitu, adakah perkara tersebut mengisyaratkan bahawa masyarakat Melayu tidak mempunyai keupayaan dalam bidang retorik sebelum kedatangan Islam? Budaya retorik dalam masyarakat Melayu pra-Islam sebenarnya amat bergantung pada pepatah, bidalan, ungkapan, pantun dan sebagainya. Pola retorik masyarakat Melayu lama amat berbeza daripada pola retorik masyarakat barat. Sedangkan proverbs dalam budaya masyarakat Eropah berperanan sebagai pengungkap citra sesebuah zaman melalui mesej dan falsafah yang tersirat dalamnya, pepatah, bidalan, ungkapan, pantun, dan sebagainya turut digunakan masyarakat Melayu sebagai “pematah bicara”. Kemahiran seseorang dalam bidang tersebut sekali gus meletakkannya di tahap yang tinggi pada mata marhaen dan memberikannya mandat yang lebih dalam sebarang perbalahan atau perbicaraan. Malahan, Tee (2000) turut percaya bahawa budaya retorik masyarakat Melayu telah bermula pada zaman awal lagi. Menurutnya : “Bukan kali pertama Melayu berdebat sesama sendiri dalam sejarah tentang sesuatu perkara. Bukan juga Melayu ini suatu bangsa yang terbentuk pada alaf kedua. Orang Melayu sebenarnya dapat dikesani telah mula berdebat selewatlewatnya pada akhir alaf pertama.”

Namun begitu, keberkesanan seseorang individu untuk beretorik dengan ungkapan adat Melayu amat bergantung pada tiga perkara pertama1, yakni Ethos, Pathos dan Logos ataupun perawakan individu yang menyampaikan ungkapan adat Melayu, kebolehan ungkapan dan individu yng terbabit untuk memancing emosi khalayak penerima, dan nilai logika yang terdapat pada ungkapan adat yang dimaksudkan.

Retorik pada dasarnya merupakan seni atau kecekapan berpidato untuk mempengaruhi khalayak. Namun begitu, terdapat kesukaran untuk memberikan tafsiran yang jelas dan kukuh akan konsep tersebut atas maknanya yang tidak jelas dan sering berubah-ubah menurut individuindividu yang menggunakannya sama ada secara khusus mahupun secara umum. Becker (1976) walau bagaimanapun mentafsirkan retorik sebagai penggarapan wacana secara sistematik demi membina sebuah persefahaman mutual antara penerima mesej dan pemberi mesej. Rumusannya, retorik merujuk kepada strategi komunikasi yang baik, mahupun dalam bentuk lisan ataupun tulisan. Bahasa Kathartik Bahasa kathartik merujuk kepada ciri-ciri yang terdapat dalam sesebuah bahasa untuk menghadirkan rasa katharsis ataupun spiritual cleansing. Katharsis, menurut tafsiran Aristotle merujuk kepada proses purgation of emotion untuk menyadarkan manusia akan segala kesilapan, kejayaan, keberkesanan, kesedihan, keriangan, kemuraman, keresahan dan kebelengguan yang tersirat dalam jiwa manusia. Dalam erti kata lain, bahasa kathartik berupaya untuk mengusik nilai perasaan manusia lewat pengamatan dan kefahaman akan nilai-nilai yang tersirat dalam

1

Ketiga-tiga perkara utama dalam retorik, yakni Pathos, Ethos dan Logos telah diketengahkan oleh Aristotle.

sebuah teks.

Bahasa kathartik dihuraikan oleh pengkaji melalui dua dimensi yang sekali gus membentuk rangka pemikiran, kepercayaan dan psikologi orang Melayu, yakni budi dan badi. Sementara budi dan badi merujuk kepada dua pola yang bertentangan dari segi ciri dan sifatnya, tidak dapat dinafikan bahawa budi dan badi merupakan dua elemen yang saling melengkapi. Ketiadaan salah satu daripada nilai tersebut turut menjejas dan mencacatkan kosmologi manusia Melayu. Sifat buruk dan baik yang saling melengkapi malah turut dapat diperhatikan pada perkataan ‘tu-han’ (tuhan) dan ‘han-tu’ (hantu) yang merupakan penyusunan semula suku kata ‘tu’ dari hadapan ke belakang. Kefahaman akan konsep baik dan buruk dalam psikologi orang Melayu dijelaskan Lim Kim Hui (2003:46) : “Elemen buruk dan baik tidak terbatas pada pohon dan haiwan sahaja tetapi turut hadir dalam kefahaman mereka terhadap ruang dan waktu. Orang Melayu percaya bahawa di mana sahaja beliau berada, terdapat ruang yang ditetapkan bagi makhluk halus, lantas menjadikannya kurang sesuai untuk membina rumah..Kefahaman umum terhadap konsep semangat yang positif dan negatif dalam masyarakat Melayu dikembangkan lagi dalam konsep budi dan badi.” Konsep budi dan badi merupakan dua pola kontrastif yang mewakili sistem dualiti yang terdapat pada gaya pemikiran masyarakat Melayu. Orang Melayu percaya bahawa nilai kebaikan tidak dapat hadir secara bersendirian. Malahan pula, manusia Melayu sebenarnya merupakan penyatuaan jasad, atma dan semangat (baik dan buruk). Menurut Md. Salleh Yaspar (1985) : “Pohon dan objek mungkin berbeza dari sudut struktur fizikal, namun keduaduanya mempunyai elemen dalaman yang sama, iaitu semangat. Dalam hal yang berlainan pula, manusia tidak terlampau berbeza dengan tuhan kerana asalusulnya tetap datang dariNya. Dia juga tidak dapat dibezakan seratus peratus daripada alam memandangkan elemen-elemen alam mencerminkanNya.” Kepekaan serta keakuran pada kepentingan konsep budi dan badi sebagai semangat

dalaman sesebuah karya sekali gus membolehkan pembaca untuk menelusuri isi hati orang Melayu. Budi Budi merupakan suatu falsafah yang kompleks dalam kosmologi orang Melayu. Bagi orang Melayu, kepentingan nilai budi pada seseorang dapat diperhatikan dalam perbendaharaan kata Melayu seperti berbudi, budi bahasa, budiman, budi daya, akal budi dan sebagainya. Dari sudut etimologi, ‘budi’ berpangkalan daripada bahasa Sanskrit, iaitu ‘buddhi’ yang merujuk kepada nilai keintelektualan yang tinggi. Nilai tersebut dapat kita teliti dengan lebih mendalam lagi pada beberapa variasi kata tersebut seperti ‘buddha’ dan ‘bodhi’. Kedua-dua perkataan tersebut membawa konotasi spiritual yang tinggi. Konsep dan nilai budi sebagai sebuah elemen yang bersifat spiritual turut disentuh dalam kitab Jawa kuno, Serat Centhini (1998:249-253) : “Perkara ini yang tidak nyata hadir di antara dua kenyataan. Ianya berdiri di pertengahan dua landasan yang bernama budi. Budi itu hampir sama dengan sifat ketuhanan. Ianya dapat dikaitkan dengan kerohanian Muhammad. Ianya manifestasi kebatinan. Budi itu zahir kebatinan dan suci. Budi adalah tempat keamanan.” Budi digambarkan kitab tersebut sebagai sebuah entiti suprahuman yang berupaya untuk menjalinkan hubungan kukuh antara manusia dan tuhan. Masyarakat Melayu percaya bahawa ketiadaan nilai budi dalam diri manusia sekali gus memungkinkan kehadiran sebuah fenomena yang negatif. Perihal tersebut disebut dalam adat Melayu sebagai hukum rimba. Hukum rimba menjadi konsep yang berlawanan dengan hukum alam yang melandasi segala fenomena kehidupan. Dalam erti kata yang lain, budi memanusiakan manusia. Tafsiran akan konsep hukum rimba dapat diteliti pada puisi berikut2 :

2

Puisi merupakan tulisan Muhammad Jailani Abu Talib dan diterbitkan dalam akhbar Berita Harian pada 14 Mac 2009.

“Hukum rimba Tiada adab Tiada adat Tiada budi Tiada akal Nescaya musnah Hancur berkecai Makhluk taksub Pelarian mencari rumah Atas usaha siapa? Kau diusir kluar Pasir bertabur di mata Pisau mencucuk telinga Kononnya Menurut adat Menjunjung titah Lestari sumpah Budaya manusia Menggeletar mawar ditinggalkan duri Rebah insan tiada berbudi Mati harimau bersembunyi Laksana makhluk lupa diri” Budi mewakili ruang positif dalam psikologi orang Melayu. Penghayatan konsep budi dalam bidang penulisan dan kesusasteraan sekali gus meletakkan penulis, penutur dan pengguna karya tersebut pada tempat yang ideal bagi mempengaruhi minda dan perawakan penerima. Senada dengan itu, nilai budi turut menjadi elemen tunggak dalam ungkapan adat Melayu. Kehadiran nilai dan kata-kata yang mempamerkan konsep budi bertujuan untuk menganjak proses katharsis pada diri pembaca dan penerima ungkapan tersebut. Badi Sementara budi merujuk kepada nilai positif dalam ruang psikologi orang Melayu, badi merujuk kepada nilai negatif dalam ruang psikologi yang sama. Badi merupakan pertentangan konsep

budi yang menitikberatkan nilai-nilai keindahan, kebaikan, kesenangan, keriangan dan sebagainya. Kehadiran nilai-nilai badi dalam karya persuratan menghadirkan rasa negatif seperti gerun, seram, marah, sedih dan sebagainya.

Kepentingan nilai badi dalam karya-karya kesusasteraan Melayu, termasuk ungkapan adat Melayu banyak bergantung kepada penggunaan kata-kata yang berunsur negative. Contoh tersebut dapat diteliti dalam pantun adat berikut3 : “Jebat4 melukut dalam dulang Buka sanggul cari kutu Sebab takut akal pun hilang Segata tunggul disangka hantu.” Kata-kata yang ditebalkan merujuk kepada perkataan yang mempunyai pengaruh nilai badi yang kuat. Dapat diperhatikan bahawa perkataan-perkataan seperti melukut, kutu, takut dan hantu menjadi komponen yang penting dalam ungkapan di atas dan tidak dapat digantikan dengan sebarang perkataan yang lain. Penggunaan kata-kata tersebut malah turut bersesuaian dengan penyataan Coleridge yang mentafsirkan puisi sebagai “perkataan yang terbaik dalam susunan yang terbaik”. Pemaujudan ungkapan adat dalam bentuk puisi menghadirkan keperluan untuk menggunakan bahasa kathartik sebagai kata kunci dalam penghayatan puisi dan ungkapan adat. Dalam hal ini, bahasa kathartik yang berunsurkan badi memainkan peranan penting dalam penjanaan katharsis pada diri pembaca.

Namun begitu, penggunaan bahasa yang berteraskan badi tidak bertujuan untuk menganjak proses katharsis yang negatif pada diri pembaca. Penggunaannya dalam konteks 3

Dipetik daripada Muhammad Ariff Ahmad. (2007:103). Nilam : Nilai Melayu Menurut Adat. Singapura : Majlis Pusat 4

ungkapan adat lebih sebagai pemangkin rasa negatif bagi tujuan melahirkan reaksi positif pada diri pembaca. Ungkapan Adat Melayu Adat Melayu memainkan peranan yang genting dalam kehidupan masyarakat Melayu. Dari sudut etimologi, istilah ‘adat’ berasal daripada ‘adah’ yang dalam bahasa asalnya, bahasa Arab, merujuk kepada sebarang amalan yang telah menjadi kelaziman. Namun begitu, dalam konteks penggunaanya dalam bahasa Melayu, pengertian adat diperluaskan lagi seperti berikut : “Istilah adat Melayu kerapkali mengelirukan atau ada salah faham, semata-mata bererti kelaziman, kebiasaan dan tradisi orang Melayu. Ini sebahagian besarnya adalah tidak benar. Adat ialah institusi dalam mana undang-undang dan kebiasaan mengatur sosial, politik dan corak perlembagaan bagi pemerinta hari itu. Undangundang itu adalah melahirkan pepatah-pepatah yang sangat lama dan bernilai.” Pada asasnya, sistem adat Melayu dapat dipecahkan kepada dua cabang utama, yakni Adat Pepatih dan Adat Temenggong. Sementara Adat Pepatih lebih sering diamalkan di daerahdaerah yang mempunyai pengaruh masyarakat Minangkabau, Adat Temenggong diamalkan dengan lebih meluas di seluruh alam Melayu. Sejarah dan asal-usul kedua-dua sistem adat tersebut dapat diperhatikan seperti berikut (1965:17) : “Maka turutlah Dato’ Seri Maharaja di Raja Membawa Penghulu yang dua silai Iaitu Dato’ Temenggong dan Dato’ Pepatih Nan Sebatang Turun ke laut ke Bandar Rokan Tempat perahu yang bersusun-susun Tempat galah yang bersilang seli Di situlah pembahagian Dato’ Temenggong Dengan Dato’ Pepatih Nan Sebatang Menghilir ke Kampar Kiri dan menghulu ke Kampar Kanan” Kedua-dua sistem adat tersebut berakar daripada satu asal-usul yang sama. Namun begitu, perbezaan pada ciri-ciri adat antara Adat Temenggong dan Adat Pepatih mempunya

perbezaan yang ketara, khususnya pada sistem pewarisan tanah dan harta. Adat merupakan sebuah institusi perlembagaan yang mengawal sistem kehidupan masyarakat Melayu. Organisasi dan kuasa yang terdapat pada adat Melayu dapat diperhatikan pada ungkapan berikut (1965:20) : “Bulat anak buah menjadi Buapak Bulat Buapak menjadi Lembaga Bulat Lembaga menjadi Undang Bulat Undang menjadi Raja Raja memerintah alam Undang memerintah luak Lembaga memerintah suku Buapak memerintah anak buahnya Laki memerintah bini” Adat Melayu diterjemahkan masyarakat Melayu sebagai nara sumber fenomena kehidupannya. Nescaya, segala tindak-tanduk, reaksi dan tindak balas masyarakat Melayu terhadap alam sekeliling dapat dihuraikan dengan pemerhatian dan pemahaman terhadap konsep dasar adat Melayu. Namun begitu, sebagai sebuah institusi sosial yang dihadirkan secara lisan dan diwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain, adat Melayu memerlukan sebuah wadah kukuh untuk menyempurnakan peranan tersebut. Atas kesedaran tersebut, adat Melayu disemadikan dalam bentuk ungkapan yang kemudiannya diwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain. Retorik Analogi dalam Ungkapan Adat Melayu Ungkapan adat Melayu menggunakan beberapa kaedah tertentu dalam memastikan keberkesanannya sebagai sebuah sumber ilmu bagi masyarakat Melayu. Dalam hal ini, antara teknik yang paling ketara dalam ungkapan adat Melayu adalah teknik analogi, iaitu teknik menggunakan perbandingan ataupun kiasan bagi menunjukkan persamaan atau perbezaan antara dua perkara atau senario. Seperti yang telah dijelaskan di antara, ruang psikologi manusia Melayu dapat dipecahkan kepada dua, yakni ruang budi dan ruang badi. Dalam erti kata yang

lain, ruang psikologi orang Melayu dapat dibahagikan kepada dua kutub yang bertentangan. Bagi setiap tunjuk ajar positif yang diberikan, sebuah contoh perbandingan yang negatif turut disertakan sekali. Perihal tersebut jelas dapat diperhatikan seperti berikut (2004:25): “adat hidup tenggang menenggang adat mati kenang mengenang tenggang tidak bilang membilang kenang tidak kelang berkelang kalau pahit ke awak tak kan manis ke orang salah besar diperkecil salah kecil dihabisi sakit tidak diungkit senang tidak dipantang” Namun begitu, sebelum perbincangan tentang kaedah analogi yang hadir dalam ungkapan di atas, maka wajarlah bagi pengkaji memberikan tafsiran akan konsep analogi. Analogi ditafsirkan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:52) sebagai “kias, perbandingan”. Walau bagaimanapun, Gertner (1989:212) menjelaskan : “An analogy is a mapping of knowledge from one domain (the base) into another (the target), which conveys that a system of relations that holds among the base objects also holds among the target objects.” Berdasarkan penjelasan yang diberikan Gertner, beliau mengusulkan bahawa analogi merupakan kaedah merangkaikan maksud utama dengan penggunaan istilah ataupun rujukan yang berlainan. Istilah ataupun rujukan tersebut sebenarnya turut dapat dikenali sebagai metafora. Penggunaan metafora dalam ungkapan adat semestinya merupakan antara elemen yang penting. Bahkan, penggunaan metaforalah yang memberikan ungkapan adat identitinya yang unik dan menambahkan nilai keberkesanannya buat masyarakat Melayu.

Penggunaan retorik analogikal dalam ungkapan adat Melayu menggambarkan sebuah ekspresi dan persepsi masyarakat Melayu terhadap konsep yang dibentuk dan diperolehi daripada pemerhatian mereka terhadap alam persekitarannya. Namun begitu, kekuatannya sebagai sebuah alat retorik hanya terserlah apabila metafora tersebut digandingkan dengan cebisan-cebisan kata yang bersifat literal. Seperti yang telah dijelaskan di atas, keberkesanaan retorik ini sebenarnya dipengaruhi pelbagai faktor. Antara faktor yang turut mempengaruhi keberkesanaannya ialah faktor khalayak penerima mesej yang terkandung dalam teks lisan ataupun tulisan. Dalam hal ini, khalayak yang menerima mesej tersebut adalah khalayak bangsa dan masyarakat Melayu.

Masyarakat Melayu merupakan sebuah bangsa yang bijak beralas dan berkias dalam perbicaraan seharian. Malahan, kelembutan dalam berbahasa itulah yang memberikan sebuah dimensi yang dalam sifatnya bagi konsep analogi dalam alam Melayu, khususnya dalam teknik retorik analogical pada ungkapan adat Melayu. Penggunaan kias dalam budaya retorik ungkapan adat Melayu membawa masyarakat “hanyut dalam keindahan dan kedalaman maknanya”. (Tenas Effendy, 2004:v).

Selain daripada itu, pembaca turut harus akur bahawa ungkapan adat Melayu lazimnya telah tercipta sejak berzaman dahulu, maka tidak keterlaluan untuk mengatakan kebarangkalian bahawa seseparuh daripada ungkapan tersebut dicipta sejak berabad lamanya. Sekiranya teori tersebut diambil kira, maka perlulah difahami bahawa keadaan sosio-budaya masyarakat Melayu lampau amat berbeza dengan konteks masyarakat Melayu hari ini. Semakin peradaban Melayu

melalui proses kematangan ekoran masa, masyarakat Melayu turut menjadi lebih berpelajaran tinggi ekoran jumlah anak-anak Melayu yang berjaya ke menara gading serta lebih terdedah dengan pelbagai ragam dunia. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu lampau yang kurang pendedahannya dengan dunia sekeliling melainkan segala fenomena yang mengelilingi hidup mereka, penggunaan analogi dan metafora merupakan sebuah alat yang sesuai. Berdasarkan pengamatan pengkaji terhadap unsur retorik analogical dalam ungkapan adat Melayu, pengkaji dapat merumuskan bahawa teknik retorik analogical digunakan atas lima sebab utama, yakni (1) bagi mengembangkan sesuatu idea ataupun gagasan, (2) mengungkapkan perasaan), (3) menghiburkan perasaan, (4) mencetuskan kesedaran dan (5) membekamkan nilai dan keperibadian Melayu. Budi sebagai Teras Ungkapan Adat Melayu Ungkapan adat Melayu memainkan peranan yang penting dalam pengolahan budaya kehidupan sesebuah masyarakat. Sebagai sebuah institusi sosial yang melakarkan hukum, pantang larang serta perkara-perkara yang diperbolehkan dalam sesebuah masyarakat, ungkapan adat Melayu sarat dengan unsur didaktik. Dapat dirumuskan daripada kenyataan tersebut bahawa budi menjadi teras kepada ungkapan adat Melayu. Ungkapan adat Melayu dihadirkan untuk mempengaruhi masyarakat Melayu ke arah kebaikan. Namun begitu, beberapa kaedah dan pendekatan utama digunakan dalam ungkapan adat Melayu bagi mencapai matlamat tersebut. Antara kaedah yang digunakan ialah dalam penglahiran rasa gerun, takut, dan seram pada diri penerima ungkapan tersebut di samping melahirkan rasa keinsafan demi menganjak perubahan. Hal tersebut dapat diteliti dalam ungkapan berikut (2006:293-294) : “wahai ananda peliharalah diri, Perbuatan jahat engkau jauhi

Berkata bohong jangan sekali Jujur dan ikhlas sebarang peri Wahai ananda peliharalah lidah Janganlah suka berkata salah Luruskan hati elokkan tingkah Jujur dan ikhlas jangan berobah Wahai ananda jagalah mulut Jauhkan sifat dengki dan belot Berkata jujur janganlah takut Kepada yang benar engkau mengikut Wahai ananda peliharalah laku Jujur dan setia tempat tegakmu Rajin belajar menambah ilmu Supaya hidupmu tak dapat malu” Perkataan-perkataan yang ditebalkan memainkan peranan yang penting dalam melahirkan rasa seram pada diri penerima ungkapan tersebut. Sebagai contoh, perkataan-perkataan seperti perbuatan jahat, berkata bohong, berkata salah, dengki dan belot, takut, dan malu membawa konotasi yang negative. Hal tersebut menjadi inti terhadap bahasa badi. Biarpun begitu, frasa yang benar, pada bentuk asal sebenarnya merujuk kepada perkara ataupun makhluk yang lebih sempurna daripada diri penerima. Biarpun frasa tersebut tidak dapat diterima secara keseluruhannya sebagai frasa yang menepati ciri-ciri bahasa badi, frasa tersebut dilahirkan dalam ungkapan di atas untuk menghadirkan rasa keinsafan pada penerima. Ungkapan tersebut mengingatkan penerima akan kekerdilan manusia yang tidak lepas daripada cacat dan cela dan sentiasa dikelilingi oleh perkara yang lebih sempurna daripada dirinya.. Asalkan insan tersebut akur akan keterbatasannya sebagai hambaNya.

Selain daripada itu, keberkesanaan penggunaan bahasa badi dalam penganjakan kesan katharsis pada diri penerima turut bergantung pada kata, frasa dan ayat yang menjadi komplemen

ataupun frasa pendamping terhadap bahasa badi. Perkara tersebut dapat diperhatikan pada katakata yang dicondongkan seperti peliharalah diri, engkau jauhi, jangan sekali, jujur dan ikhlas sebarang peri, peliharalah lidah, Janganlah suka, Luruskan hati elokkan tingkah, Jujur dan ikhlas jangan berobah, jagalah mulut, Berkata jujur janganlah, engkau mengikut, peliharalah laku, Jujur dan setia tempat tegakmu, dan Rajin belajar menambah ilmu.

Tujuan utama adat Melayu adalah untuk mendatangkan faedah dan kebaikan pada generasi muka, atas dasar itu, tidak hairanlah sekiranya kelahiran ungkapan adat Melayu adalah sebagai ilmu yang dapat digunakan oleh penerima. Sesuai dengan gagasan tersebut, nilai budi sebenarnya menjadi teras kepada ungkapan adat Melayu. Nilai budi mempengaruhi ungkapan adat Melayu pada dua sudut utama, yakni sebagai pemangkin ciri-ciri positif pada penerima serta penghubung manusia dan tuhan5.

Nilai budi dan badi dapat dikesan jelas pada rentetan kata yang menjadi wahana penyampaian segala gagasan adat Melayu. Dalam hal ini, bahasa budi dan badi diterjemahkan dalam rangkaian satu atau lebih perkataan yang sekali gus membentuk sebuah frasa.

Kehadiran frasa pendamping pada bahasa badi menjadi sekali gus mengukuhkan kejituaan dan keutuhan budi sebagai teras ungkapan adat Melayu. Frasa dan kata-kata yang dicondongkan di atas memberikan landasan yang terarah bagi khalayak pembaca untuk menghayati ungkapan tersebut dengan lebih berkesan. Jelas bahawa penggunaan bahasa budi dan bahasa badi secara serentak melahirkan sinergi yang harmonis antara kedua-dua elemen tersebut. Trend yang sama turut dapat diperhatikan pada ungkapan-ungkapan berikut (2006:464, 5

Lihat kitab Serat Centhini.

2006:454) : “wahai anak dengarlah petuah Supaya hatimu tidak kemak Jauhkan sifat loba dan tamak Supaya matamu tidak buta Jauhkan sifat mabuk dunia Supaya dirimu tidak terlaknat Jauhkan sifat jilat menjilat Supaya dirimu tidak celaka Jauhkan sifat mengambil muka Supaya dirimu tak dapat malu Jauhkan sifat ampu mengampu Supaya dirimu tidak ternoda Jauhkan sifat mengada-ada Supaya dirimu tidak melengas Jauhkan sifat bermalas-malas Supaya dirimu tidak tergadai Jauhkan sifat berlalai-lalai” “wahai anak dengarlah amanah Jangan kusutkan rantau selesai Jangan keruhkan tepian jernih Jangan dicoreng arang ke kening Jangan mengoyak baju di badan Jangan menyingkap kain di pinggang Berkata pantang menjilat ludah Memberi pantang menjilat siku” Dalam penglahiran katharsis budi pada diri penerima ungkapan adat Melayu, bahasa budi menjadi teras kepada ungkapan adat Melayu. Penggunaan lenggok dan gaya bahasa puisi menambahkan nilai estetika ungkapan adat Melayu di samping melancarkan proses penerimaan segala teguran dan tunjuk ajar yang terpateri dalam ungkapan tersebut. Bahasa budi daripada itu

dapat ditelusuri dan diteliti pada lenggok bahasa puitis yang digunakan dalam proses pemaujudan adat Melayu ke dalam bentuk figuratif di samping kata-kata kunci yang berunsur positif. Sesuai dengan peranan yang dimainkan adat Melayu sebagai sebuah institusi sosial yang menjadi piawai terhadap budaya masyarakat Melayu, nilai budi menjadi teras kepada ungkapan adat Melayu. Bahasa Badi sebagai Psikologi Kontra Proses penjanaan budi ataupun kesan kathartik pada diri pembaca lazimnya menggunakan beberapa kaedah tertentu. Antaranya ialah dengan menggunakan bahasa budi bagi memberikan kesan psikologi kontrastif terhadap penerima. Bahasa badi, sebagai bahan representative terhadap nilai-nilai negatif mempengaruhi minda penerima dengan membolehkannya untuk menterjemahkan perceptual inputs (bahasa badi) kepada pelbagai jenis pewakilan mental (mental representations). Pewakilan mental tersebut adakalanya bertujuan untuk memomokkan perasaan dan minda penerima untuk menjauhkan diri daripada membudayakan amalan-amalan negatif. Hal tersebut dapat diteliti dalam ungkapan berikut : “panggang terubuk rencahnya sambal Sambal dibuat di lesung batu Orang perajuk mukanya tebal Tidak mengingat aib dan malu Parang bungkuk bawa menebas Tajam matanya karena diasah Orang perajuk hidupnya malas Kalau bekerja suka berkilah Parang bungkuk mata berkarat Hulunya pecah kerana lapuk Orang perajuk hati berukat Laku menyalah hati pun busuk Parang bengkok buruk besinya

Karena tidak ada bajanya Orang perajuk buruk pekertinya Kemana pergi tak ada yang percaya Parang bengkok menyencang tulang Karena keras matanya patah Orang perajuk hidupnya malang Kemana pergi orang menyunggah” Ungkapan di atas menggunakan bentuk pantun sebagai wadah untuk menunjuk ajar akan konsep menjadi orang menurut adat Melayu. Lebih khusus lagi, ungkapan di atas mengajarkan akan padah menjadi orang perajuk. Sesuai dengan konsep binaan pantun empat kerat yang terdiri daripada dua baris pembayang dan dua baris isi, pantun di atas terbina daripada dua baris pembayang dan dua baris frasa yang menggunakan bahasa badi. Frasa tersebut sekali gus menjadi isi kepada pantun yang dimaksudkan. Namun begitu, ketidakhadiran bahasa budi secara terang-terang tidak bererti bahawa nilai budi langsung tidak hadir pada ungkapan di atas.

Kehadiran nilai badi terletak pada kiasan pembayang maksud pantun di atas. Sebagai contoh, parang bungkuk bawa menebas, tajam matanya karena diasah. Ungkapan tersebut menjelaskan bahawa parang bungkuk yang digunakan dalam aktiviti menebas tidak mempunyai mata yang tajam secara semula jadi. Sebaliknya, ketajaman mata tersebut hanya bisa hadir selepas diasah. Dalam erti kata yang lain, parang tersebut tidak mungkin akan berguna andai matanya tidak diasah. Nescaya, besi yang buruk pun bisa menjadi tajam sekiranya besi tersebut diasah dan dicanai untuk menjadi parang yang bermata tajam.

Nilai badi daripada itu merupakan sebuah komponen yang integral dalam peradaban dan psikologi Melayu serta tidak dapat dipisahkan ataupun ditidakpedulikan dalam pencerakinan budaya Melayu. Nilai badi bertujuan untuk menghindarkan penerima ataupun pendengar

ungkapan daripada keperihalan-keperihalan yang negatif. Selaras dengan psikologi orang Melayu yang lazimnya dapat dipecahkan kepada nilai budi dan badi, nilai badi bertujuan untuk menggerunkan penerima ungkapan lewat mendekatkan diri penerima dengan ruang lingkup hantu berbanding dengan budi yang mendekatkan diri penerima ungkapan dengan ruang lingkup tuhan. Ethos, Pathos dan Logos dalam ungkapan adat Melayu Dalam budaya retorik masyarakat Melayu, ungkapan adat Melayu bukan sahaja bertujuan untuk mempengaruhi minda penerima namun turut penting sebagai “pematah bicara”. Ungkapan adat Melayu merupakan antara perkara yang diucapkan bagi mematahkan bicara lawan dalam sesebuah perdebatan. Dalam proses mencari kesimpulan daripada perkara yang didebatkan, masyarakat Melayu secara teoretis memilih penggunaan akal budi yang tersemat dalam ungkapan adat Melayu. Perkara tersebut dilakukan atas kepercayaan bahasa masyarakat lampau dapat dipercayai serta lebih bijaksana.

Dalam rangka perbincangan tentang ungkapan adat Melayu, terdapat tiga dimensi utama yang melandasi budaya retorik yang hadir dalam ungkapan adat Melayu, yakni dimensi ethos, pathos dan logos. Namun begitu, dimensi ethos, pathos dan logos dalam budaya retorik Melayu sebenarnya lebih rencam sekiranya dibandingkan dengan budaya retorik masyarakat lain. Sebagai contoh, ethos dan logos tidak dapat dipisahkan secara eksplisit dalam budaya retorik alam Melayu, khususnya dalam ungkapan adat Melayu. Hal tersebut disebabkan kepentingan nilai budi dalam ungkapan adat Melayu. Seperti yang telah dijelaskan di bahagian awal kertas kerja ini, nilai budi memainkan peranan yang besar dalam ungkapan adat Melayu, bahkan ilmu setinggi mana pun tidak bisa menandingi orang yang berbudi. Perihal tersebut dapat

diperhatikan seperti berikut : “Apa isi tunjuk ajar Melayu Kepalanya syarak, tubuhnya ilmu Apa isi tunjuk ajar Melayu Penyuci akal, penenang kalbu Apa isi tunjuk ajar Melayu Pendinding aib, penjaga malu Apa isi tunjuk ajar Melayu Sari akidah, patinya ilmu Mengekalkan tuah sejak dahulu” Bagi masyarakat Melayu, ilmu tidak bererti sekiranya tidak digandingkan dengan budi. Sebagaimana telah diterangkan dalam ungkapan di atas, sekiranya ilmu merupakan pati seseorang, maka akidah (budi) merupakan sarinya. Budaya retorik alam Melayu daripada itu merupakan penggarapan wacana emosi dan logika yang mementingkan peranan budi dan badi dalam bentuknya.

Bagi masyarakat Melayu yang sekali gus merupakan khalayak penerima utama ungkapan adat Melayu, ethos merujuk kepada perawakan dan keperibadian insan yang mengucapkannya. Dalam hal ini, ethos dapat dihadirkan dalam diri pengucap ungkapan tersebut dengan pemerhatian terhadap empat perkara utama, yakni :

1) Pengucap ungkapan adat merupakan seorang pakar dalam keperihalan adat. 2) Pengucap mempunyai minat yang mendalam terhadap subjek tersebut. 3) Pengucap mempunyai nilai logos yang tinggi sehinggakan beliau mampu untuk menyesuaikan keadaan semasa dengan ungkapan-ungkapan tertentu. 4) Pengucap merupakan seseorang yang berbudi tinggi.

Keempat-empat perkara tersebut merupakan antara perkara yang menyumbang kepada keberkesanan pengucap mengucapkan ungkapan adat Melayu. Bagi masyarakat Melayu, kepakaran tentang sesuatu bidang itu merupakan perkara yang penting serta memberikannya keupayaan dalam membincangkan persoalan adat, khususnya dengan mengucapkan ungkapan adat Melayu. Namun begitu, kepakaran tersebut tidak semestinya bererti bahawa individu tersebut merupakan seorang professor mahupun sarjana dalam bidang berkenaan. Bagi masyarakat Melayu, kepakaran tersebut turut dapat berada pada orang yang lebih berusia. Sebuah golongan yang turut dapat dirujuk sebagai pakar bidang tersebut adalah golongan yang dikenali sebagai budayawan. Sementara itu pula, individu yang menampilkan minat yang mendalam terhadap subjek yang dibicarakan turut berupaya untuk mengutarakan ungkapan adat Melayu dengan berkesan. Segolongan lagi yang turut mampu menggunakan ungkapan adat Melayu ialah golongan yang mempunyai nilai logos ataupun logika yang tinggi. Dalam hal ini, golongan tersebut mampu untuk menyesuaikan dirinya dengan keadaan serta mengungkapkan ungkapan-ungkapan tertentu yang bersesuaian dengan keadaan (pertengakaran, perkelahian, majlis dan sebagainya). Akhir sekali, individu yang mengucapkan ungkapan adat Melayu haruslah merupakan seseorang yang berbudi pekerti serta berakhlak mulia.

Kehadiran salah satu daripada perkara di atas seterusnya menyumbang terhadap keupayaan pengucap untuk menguasai perbincangan atau perdebatan dengan kehadiran nilai pathos. Nilai pathos dihadirkan dengan penggunaan dua kaedah utama, yakni dengan menggunakan unsur metafora dan simile dan melalui keupayaan pengucap untuk menjalinkan hubungan intrinsik dengan penerima ungkapan. Dalam hal ini, nilai pathos menjadi lebih ketara

sekiranya pengucap memahami nilai budi dan badi yang tersirat dalam citra pemikiran Melayu yang terpancar dalam ungkapan adat Melayu.

Akhir sekali, nilai logos ataupun logika sebenar merujuk kepada keupayaan pengucap untuk mengukuhkan perbicaraannya dengan penggunaan-penggunaan contoh yang dapat difahami khalayak penerima ataupun pendengar. Kewujudan logos sebenarnya turut menyumbang kepada nilai ethos dalam diri pengucap. Seperti yang telah dijelaskan di atas, logos merujuk kepada keupayaan pengucap untuk memberikan contoh ataupun ungkapan yang bersesuaian dengan sesuatu keadaan. Selain daripada itu, logos turut merujuk kepada keupayaan pengucap untuk memberikan contoh-contoh yang dapat digunakan untuk mengukuhkan keadaan. Sebagai contoh, sekiranya terdapat khabar angin yang tersebar luas dalam sesebuah kampung, maka logos yang bersesuaian dengan keadaan itu adalah pohon tak ditup takkan bergoyang.

Jelas daripada penjelasan di atas bahawa ethos, logos dan pathos turut memainkan peranan yang penting dalam budaya retorik Melayu. Nescaya, keberkesanaan pengunaan ungkapan adat Melayu sebagai “pematah bicara” hanya dapat dilakukan dengan kehadiran nilainilai tersebut sebagaimana yang diusulkan Aristotle.

Rumusan Hasil daripada kajian yang dijalankan pengkaji dalam pelaksanaan kertas kerja ini, pengkaji mendapati bahawa budaya retorik dalam ungkapan adat Melayu sebenarnya dipengaruhi oleh empat criteria utama, yakni nilai budi dan badi serta ethos dan logos. Sementara itu, nilai pathos diwakili oleh ungkapan adat itu sendiri yang sarat dengan penggunaan metafora dan analogi

dalam usaha mengukuhkan dalil-dalil yang terdapat dalam ungkapan adat Melayu.

Di suatu sudut yang lain, nilai budi dan badi mencakupi ruang spiritual dan psikologi budaya Melayu yang bertindak untuk mendekatkan atau menjauhkan orang Melayu dari elemenelemen spiritual tertentu seperti tuhan dan hantu. Hasil daripada penelitian yang dijalankan pengkaji, berikut merupakan model yang merangkumkan penelitian di atas :

Rajah 2 : Model Locus Retorik Melayu

Jelas daripada rajah di atas bahawa ungkapan adat Melayu turut diolah secara strategik, sekali gus membentuk budaya retoriknya yang tersendiri. Dalam usaha menganjak katharsis masyarakat am, nilai budi dan badi diterapkan ke dalam ungkapan adat Melayu dengan penggunaan metafora dan analogi yang sekali gus merangkumi nilai pathos yang dibincangkan oleh Aristotle. Maka itu, dapatlah dirumuskan bahawa kekuatan ungkapan adat Melayu sebagai

sebuah bahan penggerak naluri dan jiwa social sebenarnya hadir pada penggarapan dan pengolahan nilai budi dan badi ke dalam bentuk-bentuk metafora dan analogi. Nescaya, ungkapan adat Melayu merupakan sebuah hasil pantulan budaya yang strategik dan melampaui perbatasan ilmu saintifik yang terdapat pada waktu ungkapan itu diabadikan.

Bibliografi Aliman Hassan. (2007). Sanggan Budaya. Singapura: Angkatan Sasterawan '50. Arbak Othman. (1981). Tatabahasa Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise. Asmah Haji Omar. (1992). Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. __________. (2008). Ensiklopedia Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. __________. (1993). Nahu Melayu Mutakhir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. __________. (1993). Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Gerald F. Elsa. (1957). Aristotle's Poetics: The Argument. Cambridge: Harvard University Press. Gentner, D. (1989). The mechanisms of analogical learning. In S. Vosniadou & A. Ortony (Ed.), Similarity and analogical reasoning (pp.199-241). New York : Cambridge University Press. Hairidin Harun. (2001). Kosmologi Melayu dalam Era Teknologi Maklumat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Md. Sidin Ahmad Ishak & Mohd. Saleeh Rahamad. 2008. Strategi Bahasa : Panduan Nahu dan Retorik untuk Penulisan. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya. Mohd. Din Bin Ali. 1963. Malay Customary Law/Family dalam Intisari, Jilid II, No. 4, hal 34.. Singapura : Malaysia Sosiological Research Institute. _____. 1965. Two Forces in Malay Society dalam Intisari. Jilid I, No. 3, hal. 16. Singapura : Malaysia Sosiological Research Institute. Michael Oakeshott. 1959. The Voice of Poetry in the Conversation of Mankind. London : Bowes and Bowes.

Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Gani. 2003. Penulis Manifestasi Warisan Jati Diri dan Jagat. Dlm. Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz. (Ed.), Sastera Melayu Warisan Jati Diri dan Jagat. Prosiding Pertemuan Sasterawan Nusantara XII pada 13-14 September 2003 di 03 di Hotel Meritus Mandarin, Singapura (m.s. 58-83). Singapura : Angkatan Sasterawan 50. Muhammad Ariff Ahmad. 2007. Nilam – Nilai Adat Melayu. Singapura : Majlis Pusat. __________. 1993. Bicara Tentang Adat dan Tradisi. Singapura : Pustaka Nasional Pte. Ltd. Muhammad Jailani Bin Abu Talib. (2009). Budaya Melayu dalam Era Sarwajagat. dlm. A. G. Abdullah, Dewan Budaya, Februari. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. _______. (2009, Mei). Kepercayaan Warisan Melayu : Dilema Tradisi dan Realiti. Kertas kerja dibentangkan dalam Sesi Bicara “Kepercayaan Warisan Melayu” di Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura. _______. (2008). Hikayat Purba Diberi Nafas Baru. Dlm. Endo Suanda, Gong : Media, Seni, dan Pendidikan Seni. Edisi 100/IX/2008. Yogyakarta: Yayasan Tikar Media Budaya Nusantara. Noorhaqmal Mohamed Noor. 2009. Representasi Puisi dalam Pelbagai Media dari Sudut Genetik. Dlm. Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz. (Ed). Aktivis, Jurnal Akademik Jilid IX, 2009. (ms. 71-72). Singapura : Persatuan Budaya Melayu Program Latihan Khas (Bahasa Ibunda), Institut Pendidikan Nasional. Noresah Baharom et. Al. 2007. Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Nik Safiah Karim. (2002). Peningkatan Estetik Bahasa Melayu. Prosiding Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu IV (pp. 9-19). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Pradopo, Djoko, Rachmat. 1993. Pengkajian Puisi. Analisis Strata Norma dan Analisis Struktural dan Semiotik. Yogyakarta: Gajah Mada University Press. Retorik. (t.t). Diperolehi Oktober 1, 2009, daripada http://www.tutor.com.my/stpm/retorik.htm. Rasiah Halil. 1997. Unsur Pemikiran dalam Puisi. Dlm. Anuar Othman. (Peny). Prisma Seni. (ms. 117-128). Singapura : Perkumpulan Seni. Sahlan Mohd. Saman. 2005. Persuratan Melayu: Tradisional ke Moden. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia Press. Sapardi Djoko Damono. 1999. Sihir Rendra : Permainan Makna. Jakarta : Penerbit Pustaka Firdaus.

Tee Boon Chuan. 2000. Debat Melayu Alaf Pertama dan Kedua. Utusan Online. 18 November 2000. (Utusan Malaysia). Diperolehi daripada wjsiwyg://143/http://www.utusan.com.my/c…oday/Utusan_Malaysia/Others/ot8_full.htm. Internet. Pada 20 Ogos 2009. Umar Junus. 2003. Simile dan Metafora dalam Wacana Puisi Sebelum Abad ke-20. Dlm. Abd. Razak Abu Bakar. (Ed.), Jurnal Bahasa, Jilid 2 Bil 2. (ms. 274-308). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Zainal Kling. 2003. Kesusasteraan Sebagai Jati Diri Melayu dan Jagat Manusia. Dlm. Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz. (Ed.), Sastera Melayu Warisan Jati Diri dan Jagat. Prosiding Pertemuan Sasterawan Nusantara XII pada 13-14 September 2003 di 03 di Hotel Meritus Mandarin, Singapura (m.s. 20-32). Singapura : Angkatan Sasterawan 50.

Related Documents