Menanti

  • November 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Menanti as PDF for free.

More details

  • Words: 1,409
  • Pages: 3
Hillel

Menanti

MENANTI Kenapa hindari aku yang sudah tiba saatnya ini. Ranum seperti buah. Bunting seperti padi. Sarat seperti pedati. Lama sudah aku tahu mentari kini makin mengufuk buatku. Pepohon juga sudah semakin mereput di hadapan mataku. Inderaku juga sudah semakin sirna. Gerakku tidak lagi sekilas sang teruna. Hanya langkah bertatih yang aku ada penuh dengan iringan detupan tulang perih tidak terkata. Terkadang aku tidak dengar suara. Terkadang aku tidak nampak cahaya. Malah terkadang aku tidak ada memori untuk wajah dan nama. Suapan tidak senikmat kenangan ketika dulu. Sukar kulumat nasi kusuapkan. Tawar dan hambar segala hidangan aku rasakan. Kematu sudah telapak tangan. Berkedut sudah kulit seluruh badan. Rambut hitam ikal tidak ada lagi menjadi perhiasan. Datanglah hari itu. Aku menantimu. Aku tidak suka bersendirian. Tapi kau yang telah pergi terlebih dahulu. Malah sudah bertahuntahun lamanya. Telah mengeras tanahmu, telah pudar tulisanmu. Tapi tidak pernah ditumbuhi semak kerana aku berjanji akan sentiasa menjagamu. Sehingga kini masih lagi kesalahan itu kubawa kesana kemari. Tidak pernah aku cuba menafikannya. Memang kau pergi kerana ajalmu telah tiba, tetapi akulah asbabnya. Bagaimana bisa kereta itu remuk teruk tapi yang pergi cuma kau. Kenapa tidak aku si pemandu yang tidak mahu dengar katamu jangan memandu melulu. Amin dan Aminah parah. Berbulan lamanya terlantar cuma mampu merenung jendela. Aku seorang sahaja yang mampu melilau kesini kesana. Sipemandu melulu. Rindunya aku padamu. Pada senyum, tawa dan jelingan manja. Masa mula-mula dulu setiap hari aku ziarahimu. Aku bersihkan tanah milikmu yang tidak seberapa. Kemudian aku semakin hilang maya, aku ziarahimu sekali seminggu. Aku bersihkan tanah milikmu yang tidak seberapa. Kemudian aku sudah semakin lesu dan lelah, aku ziarahimu sekali sebulan. Aku bersihkan tanah milikmu yang tidak seberapa. Apa akan tibakah masa bila aku cuma bisa menziarahimu sekali setahun. Ketika itu mampukah aku membersihkan tanahmu yang tidak seberapa itu? Setiap kali aku ziarahimu, aku doakan sejahtera buatmu. Aku ingin kau bahagia sehinggalah saat kau menyambutku bila saatku tiba untuk ke sana. Datanglah hari itu. Aku menantimu. Tahukah kau yang aku hampir gila selepas pemergianmu. Tidak aku tahu harus bagaimana aku terus menjalani hidup ini tanpamu. Hidupku kacau-bilau, fikiranku bercelaru. Hampir tidak tertanggung olehku realiti bahawa akulah yang menjadi asbab untuk pemergianmu. Kalau bukan kerana Amin dan Aminah yang membuatku sentiasa sedar, pasti sudah lama aku hidup di dalam alam indah ciptaan kusendiri. Alam indah kusendiri, tapi tinggal dikaki-kaki lima, pakaian buruk, tubuh busuk pada realiti. Amin dan Aminah menjadi pemangkin semangatku yang tinggal sekelumit cuma. Aku melihatmu pada mata, wajah, senyum, tangis, kata dan tingkah mereka. Aku berusaha sedaya upaya membiayai perubatan mereka dari kecederaan yang parah sehinggalah mereka sembuh sepenuhnya. Beratus ribu wang terbelanja. Wang insuransmu tidak sesen pun aku gunakan untuk peribadiku. Aku ingat pesanmu gunakan wang itu untuk perbelanjaan Amin dan Aminah. Didiklah mereka menjadi insan yang sempurna dengan masa depan yang cerah. Ketika itu aku tegah kau dari

1

Hillel

Menanti

meneruskan kata-katamu. Tidak sanggup aku memikirkan sesuatu seperti itu. Tetapi jauh di sudut hati aku simpan amanatmu dan ia menjadi sumpahku. Atas amanat itu aku bela dan aku belai Amin dan Aminah. Tetapi akibat kemalangan itu aku kehilangan pekerjaanku. Majikan mana yang mahukan pekerja yang sudah hampir sama sekali hilang pertimbangan. Majikan mana yang mahukan pekerja yang tidak ada lagi perhatian lain selain Amin dan Aminahnya. Usiaku yang semakin lanjut membuatkan majikan lain berfikir berkali-kali sebelum mengambilku. Akhirnya dari seorang pegawai berkedudukan aku cuma mendapat kerja sebagai buruh kasar. Tapi Amin dan Aminah telah kembali ke sekolah. Buruh kasar sahaja sumber rezeki kami. Dari satu tapak ke satu tapak aku bekerja. Peluang kerja lebih masa aku rebut dengan gembira. Hujan aku basah, panas aku kering. Bergurau aku ketawa, ditengking aku senyum. Semuanya demi amanatmu dan demi Amin dan Aminah. Amin dan Aminah aku jaga sebaik yang aku mampu. Masa terluang selalu aku bersama mereka. Bertanya khabar mereka. Bertanya tentang pelajaran mereka. Bertanya tentang kawankawan mereka. Mereka nampaknya membesar dengan penuh keazaman untuk memperbaiki hidup kami. Pencapaian mereka di sekolah tinggi. Pujian diberikan sering kali. Kawan-kawan mereka juga pula dari kalangan yang terpilih. Aku bangga dengan mereka. Bangga sekali. Aku tidak perlu terlalu khuatirkan mereka lagi. Mereka sudah pandai berdikari. Aku teruskan pendidikan mereka ke menara gading. Kedua-duanya mengambil bidang yang mempunyai masa depan yang cerah sekali. Amin mengambil bidang kedoktoran. Aminah mengambil bidang guaman. Dengan bantuan pinjaman pelajaran aku pujuk mereka berdua belajar di luar negara. Mulanya mereka enggan berpisah dan tidak mahu terlalu membebankan. Aku yakinkan mereka dan kami buat pertama kali berpisah. Tahukah kau betapa sedih hatiku tetapi dalam masa yang sama betapa gembiranya aku melihat Amin dan Aminah melangkah pergi pada hari itu. Aku pasti kau juga akan turut berbangga dengan mereka jika kau berada bersamaku ketika itu. Mereka peluk dan cium tanganku sebelum berpisah. Bertahun lamanya kami akan berjauhan, bertahun lamanya mereka akan berada di perantauan. Seperti sumpahku padamu, jadikan mereka insan yang sempurna dengan masa hadapan yang cerah. Nampaknya aku ketika itu aku sudah hampir berjaya. Pinjaman pelajaran tidak menjamin pembiayaan yang mencukupi bagi para peminjamnya. Banyak lagi yang perlu di tanggung oleh peminjam sendiri. Sebab itu aku selepas pemergian mereka aku terus bekerja sekeraskerasnya, walau dalam hujan, walau dalam panas, walau semasa sakit, walau semasa lelah. Tidak pernah aku khabarkan kepada mereka kesusahanku. Tidak pernah aku khabarkan kerinduanku. Tidak pernah aku khabarkan kepada mereka keadaanku. Biarlah mereka menumpukan sepenuh masa dan perhatian kepada pengajian mereka. Biarlah mereka kembali sebagai insan yang berjaya. Kini Amin dan Aminah telah menjadi insan berjaya. Hasil usaha penat lelah, letih jerih aku Amin dan Aminah. Kami tiga beranak. Amin telah menjadi doktor pakar jantung. Malah lebih dari itu dia berjaya menemui kaedah perubatan untuk penyakit jantung yang terkini. Sudah terkenal dia di banyak negara. Sudah ramai orang kenamaan yang diselamatkannya.

Amin sudah berkahwin

semasa dia menjalani latihan sebagai seorang doktor pakar di salah sebuah hospital di sebuah negara di Eropah. Aku sudah lupa nama negara itu. Pastinya dengan seorang wanita Eropah. 2

Hillel

Menanti

Aminah juga sama selepas tamat pengajiannya dia terus mendapat tawaran dari sebuah firma guaman di Kanada. Aku pasti tentu dia mendapat keputusan yang sangat cemerlang. Dia juga berkahwin di sana dengan seorang peguam juga. Aku datang hari ini untuk menyampaikan berita terkini tentang Amin dan Aminah. Maafkan aku kerana sudah hampir tiga bulan aku tidak menziarahimu. Aku terima berita dari Aminah dua bulan lepas kalau tidak silapku. Dalam suratnya Aminah mengatakan kini dia sedang mengandung. Mungkin akan bersalin dua tiga bulan lagi. Mereka tidak sabar menanti saat itu tiba. Aminah dan suaminya sibuk menyiapkan segala keperluan untuk menyambut bayi mereka. Aminah juga ada menceritakan tentang Amin di dalam suratnya. Katanya Amin masih tidak mempunyai cahaya mata. Mungkin kerana jadualnya yang sibuk merantau ke seluruh pelosok dunia. Membuat pembedahan dari satu hospital ke satu hospital dan memberi syarahan dari satu persidangan ke satu persidangan. Kali terakhir Amin dan Aminah bertemu ialah pada dua tahun lepas semasa majlis perkahwinan Aminah. Aminah juga mengirimkan cek untuk aku. Banyak sekali jumlahnya. Mungkin kerana dia cuma mengirim surat kepadaku sekali sekala. Itu sahaja berita dari mereka untuk kali ini. Itu sahaja jugalah yang aku perolehi sejak pemergian mereka keluar negara untuk meneruskan pengajian mereka. Cuma surat dan cek. Tidak pernah sekali pun mereka kembali menjenguk aku. Perkahwinan mereka aku cuma lihat di dalam gambar yang mereka kirim dengan surat mereka. Aku mendapat tahu Amin melangsung perkahwinan selepas sebulan selesai majlis mereka. Aminah pula ada menjemputku, katanya jika tidak ada berita dariku dalam masa dua bulan dia akan meneruskan perkahwinannya dengan berwalikan hakim. Tidak aku balas jemputannya. Tidak mampu lagi aku menulis surat dan menghantarnya ke pejabat pos. Aku benarkan dalam kebisuan kerana aku tidak mampu lagi merantau menyeberang benua. Tidak boleh aku katakan yang aku tidak punya apa-apa lagi. Kerana kau masih milikku. Aku masih memiliki Amin dan Aminah. Aku juga masih memiliki pondok buruk yang menjadi tempat aku berteduh semenjak pemergianmu. Rasa bersalah juga masih kekal bersamaku kerana menjadi asbab kematianmu. Tapi itu sahajalah yang aku ada. Itu sahajalah yang masih tinggal. Aku masih menanti. Bukan kepulangan Amin dan Aminah. Bukan cek dari mereka yang datang sekali sekala. Tapi aku menanti ketibaan hari dan saat itu untuk aku kembali bersamamu. Aku sudah menjalankan semua janjiku padamu. Aku tunaikan amanatmu padaku. Amin dan Aminah telah menjadi insan sempurna dan berjaya. Datanglah hari itu. Sudah lama kunanti ketibaanmu. Pasti aku sambutmu dengan tangan terbuka dan senyum bahagia. Tidak ada apa lagi yang inginkan selain segundukan tanah lembap serta sepasang batu penanda di sampingmu, sayangku.

Hillel 03 1358 Jun 2006 © HAK CIPTA TERPELIHARA

3

Related Documents

Menanti
November 2019 14
Menanti Di Barzakh
July 2020 18
Novel Menanti Regine Pulang
December 2019 13
Kgt Sri Menanti
May 2020 14