1. 0 Pengenalan
Kebelakangan ini para guru sering terdedah dengan isu yang melibatkan mahkamah di mana sebarang kejadian yang menimpa pelajar akan dibawa ke mahkamah. Pengetua sekolah, guru-guru dan kakitangan lain di sekolah terdedah kepada dakwaan atas berbagai tuduhan seperti kegagalan melaksanakan tanggungjawab, kecuaian, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang mungkin berlaku. Di antara punca-punca dakwaan tersebut, kecuaian merupakan bidang yang amat luas dan pihak sekolah paling berkemungkinan didakwa atas tuduhan ini. Faktor kecuaian ini jugalah yang
menyebabkab setiap hari guru disaman
sehingga menyebabkan mereka berada dalam trauma dan takut untuk mengajar. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyatakan setiap hari pihaknya menerima laporan guru disaman oleh ibu bapa pelajar sehingga menyebabkan mereka berada dalam keadaan trauma dan takut untuk mengajar.
Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, antara saman yang difailkan ke atas guru ialah kerana didakwa cuai dan melakukan tindakan melampaui batas ketika mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar. “Keadaan ini amat membimbangkan kerana guru kini semakin takut dan berada dalam trauma untuk melakukan tugas-tugas yang diamanahkan oleh kerajaan. Apa yang menyedihkan, NUTP adalah satu-satunya saluran bagi guru mendapatkan bantuan dan nasihat jika mereka disaman oleh ibu bapa pelajar,” (Utusan Malaysia, 3 Febuari 2007).
Kecuaian dijadikan isu utama oleh ibu bapa dan penjaga untuk mengemukakan saman terhadap guru dan pihak sekolah. Dalam kes saman menyaman, biasanya guru akan dijadikan
sebagai defendan utama dalam kes yang dibawa oleh ibu bapa plaintif, pengetua sebagai defendan kedua dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga (Tie, 2004,m.s 64). Keadaan ini memerlukan semua pihak yang berada di dalam sesebuah sekolah terutamanya pengurus sekolah peka dengan peraturan-peraturan, akta dan pekeliling-pekeliling dari pihak Kementerian Pelajaran untuk tujuan perlindungan.
2.0 Definisi Kecuaian
Kecuaian (negligence) dikaitkan dengan “kewajiban berjaga-jaga” (duty of care). Semua sekolah mempunyai kewajiban berjaga-jaga (owe a duty of care) kepada pekerjapekerja dan anak-anak muridnya. Ini bermakna pengurus sekolah atau pengetua perlu melindungi kesihatan dan keselamatan para guru dan muridnya. Ini termasuk mengambil langkah-langkah untuk mengenal pasti dan seterusnya mengurangkan risiko-risiko yang boleh dijangka (forseeable risks) daripada berlaku (Ling,2001).
Kecuaian di dalam bidang pendidikan boleh dibezakan antara ‘kecuaian guru’ dan ‘kecuaian pendidikan’. Kecuaian guru berpunca daripada konsep tanggungjawab berjaga-jaga daripada segi undang-undang yang dipertanggungjawabkan kepada guru. Biasanya kecuaian guru dikaitkan dengan kemalangan dan kecederaan fizikal yang menimpa pelajar. Guru terpaksa membayar denda dalam bentuk ganti rugi jika mahkamah memutuskan wujud liabiliti guru dalam sesuatu keadaan. Biasanya ganti rugi dibayar kepada ibu bapa pelajar berkenaan.
Kecuaian pendidikan pula merujuk kepada kegagalan guru mendidik pelajar. Ada beberapa faktor yang menyebabkan kegagalan pelajar memperoleh ataupun menguasai sesuatu kemahiran dalam pendidikan. Tetapi usaha membuktikan sesuatu kecederaan intelek berpunca daripada pengajaran guru yang kurang baik adalah amat menyukarkan.
Oleh itu, kamus Random House (1997) mendefinisikan kecuaian adalah kegagalan mengambil tindakan berjaga-jaga untuk melindungi individu lain sepertimana yang dikehendaki oleh undang-undang (Tie,2004,m.s 1). Menurut Webster’s New Dictionary & Thesaurus, kecuaian bermakna “careless, disgraceful, forgetful, inattentive, indifferent, lax, neglectful, thoughtlessness, uncareful, uncaring, unmindful, unthinking” (Suresh,2006.m.s 1)
Sementara Compact Oxford DictionaryThesaurus & Word Power Guide, Indian Edition, mendefinisikan kecuaian sebagai “carelessness, dereliction of duty, disregard, inadvertence, inattention, indifference, negligence, oversight, slackness, failure to give a proper care or attention to, fail to do something” (Suresh,2006.m.s 1).
Kesimpulannya kecuaian boleh didefinisikan sebagai melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh seseorang yang waras dalam satu masa dan keadaan atau tidak melakukan sesuatu yang biasanya dilakukan oleh seseorang yang waras dalam satu masa dan keadaan.
3.0 Undang-undang Tort dan kecuaian
Kemalangan yang sering berlaku di dalam persekitaran sekolah selalunya dihubungkaitkan dengan kecuaian pihak guru. Situasi ini akan membawa kepada masalah perundangan yang berkait rapat dengan Undang-undang Tort.
Tort berasal daripada perkataan latin iaitu “tortus” yang bermaksud “tidak lurus” dan di dalam Bahasa Inggeris ianya merujuk kepada suatu kesalahan. Apabila undang-undang ini dikaitkan dengan kecuaian dalam pendidikan Tort boleh ditakifkan sebagai satu perbuatan salah di mana mangsa mengalami kecederaan fizikal, reputasi atau pada hartanya dan mangsa yang cedera boleh menuntut ganti rugi. Perbuatan yang sengaja juga boleh dikaitkan dengan Tort tetapi kemalangan di sekolah selalunya terjadi dengan tidak sengaja di mana kecederaan yang dialami adalah daripada hasil kecuaian.
Yang Arif Hakim Lord Wright (1934) mentakrifkan kecuaian sebagai satu Tort sebagai “ kecuaian bukan setakat tidak mengambil peduli atau perlakuan cuai......tetapi menampilkan konsep yang kompleks mengenai kewajipan, kemungkinan dan kerugian yang dialami oleh orang” (Tie,2004,m.s 33).
Walaupun Undang-undang Tort menyatakan dengan jelas plaintif atau pelajar boleh menuntut setiap kerugian yang mereka alami, pelajar mesti membuktikan empat perkara atau unsur sekiranya mereka ingin menang iaitu:
(a) Guru mempunyai kewajipan berjaga-jaga terhadap pelajar untuk memastikan keselamatan pelajar. (b) Guru telah memungkiri kewajipan berjaga-jaga. (c ) Pelajar mengalami kecederaan fizikal (d) Terdapat perhubungan rapat di antara kecederaan pelajar dengan tingkahlaku guru.
4.0 Kes-kes kecuaian dalam pendidikan Sehingga kini, terdapat beberapa kes yang telah diadili di mahkamah yang telah berpihak kepada pelajar dan juga guru. Antara kes yang berpihak kepada guru ialah:
4.1 Kes Zazlin Zakaria Haji Kamarulzaman dan satu lagi lawan Louis Marie Neubert Ambrose a/l J Ambrose dan lain-lain. 4.1.1Senario kes Kejadian berlaku pada 19 Mac 1985. Plaintif Pertama yang pada masa itu berumur lebih kurang tujuh tahun, pelajar Darjah 1T di Sekolah Kebangsaan Taman Selayang, Selayang. Beliau baru sahaja tiga bulan masuk ke sekolah tersebut. Pada hari tersebut di sebelah pagi beliau berada di bilik darjah untuk kelas muzik yang diajar oleh Defendan Pertama. Tidak dipertikaikan bahawa kelas muzik adalah satu mata pelajaran di dalam darjah tersebut apabila sistem KBSR diperkenalkan ke semua sekolah pada tahun 1984. Juga tidak dipertikaikan bahawa Defendan Pertama adalah seorang guru muzik yang terlatih setelah
menghadiri beberapa kursus di sekolah-sekolah dan maktab-maktab apabila sistem KBSR akan dan telah diperkenalkan. Defendan Pertama juga telah dilatih cara-cara mengajar muzik di sekolah-sekolah. Beliau juga seorang guru lepasan maktab yang menunjukkan ia seorang yang terlatih. Juga tidak dipertikaikan murid yang berada di dalam Kelas 1T berjumlah 39 orang. Mengikut keterangan, yang juga tidak dipertikaikan,bahawa pada hari tersebut Defendan Pertama telah mengajar muzik bertajuk “Gerabak Keretapi” dimana semua murid darjah 1T mengambil bahagian. Defendan Pertama telah memberi arahan bagaimana pergerakan murid-murid mengikut rentak muzik. Adalah jelas dari keterangan kedua-dua belah pihak bahawa Defendan Pertama telah mengarahkan murid-murid memasukkan bangku tempat duduk di bawah meja tulis masing-masing dan pergerakan “Gerabak Keretapi” mengelilingi meja-meja murid dan bukan mencelah di antara meja. Semasa muzik dimainkan murid-murid memulakan pergerakan gerabak keretapi dari belakang bilik darjah berjalan keliling bilik darjah. Apabila tamat satu pusingan dan semasa gerabak keretapi berada di belakang bilik darjah iaitu tempat permulaan, Plaintif Pertama telah terjatuh dan akibatnya tangannya telah patah.
Apabila Defendan Pertama sedar bahawa Plaintif Pertama terjatuh dan cedera serta menangis Defendan Pertama telah membantu Plaintif Pertama untuk berdiri dan memimpinnya ke meja guru di mana tangan Plaintif Pertama telah diletakkan di atas meja guru. Dia ke mudian meminta bantuan dari seorang lagi guru untuk membungkus tangan Plaintif Pertama dengan suratkhabar supaya jangan bengkok. Defendan Pertama juga telah memberitahu guru besar sekolah tersebut yang telah mengarahkan Defendan Pertama dan
guru yang seorang lagi membawa Plaintif Pertama ke Hospital Besar Kuala Lumpur. Guru besar sekolah tersebut telah memberitahu ibu bapa Plaintif Pertama. Di hospital Plaintif Pertama telah dimasukkan ke wad kecemasan ditunggu oleh Defendan Pertama dan guru yang seorang lagi sehingga ibu bapa Plaintif Pertama sampai. Selepas itu Defendan Pertama dan guru yang seorang lagi balik ke sekolah untuk meneruskan tugas mereka.
4.1.2Keputusan mahkamah
Mahkamah telah memutuskan :
a. Sebagai seorang guru, defendan pertama mempunyai kewajipan berjaga-jaga ke atas plaintif dan berkewajipan bertindak dengan cara yang munasabah bagi menjaga keselamatan murid-murid di bawah penyeliaannya.
b. Dalam kes ini, fakta menunjukkan tidak ada perkakas merbahaya diberikan kepada muridmurid oleh defendan pertama, dan oleh hal yang demikian, tidak ada alasan mengatakan kelas berkenaan adalah kelas yang merbahaya yang memerlukan penjagaan yang luar biasa rapinya.
c. Pada setiap kali kelas hendak dimulakan adalah memadai pengawasan biasa dibuat oleh guru berkenaan. Defendan sudah mengingatkan murid-muridnya supaya jangan tolakmenolak, berlari ataupun keluar dari barisan. Arahan-arahan ini cukup dan memadai untuk tidak berlaku kecuaian dipihak defendan.
d. Tuntutan ditolak. 4.2 Kes Kerajaan Malaysia & Org melawan Jumat b.Mahmud & satu lagi. 4.2.1Senario kes Dalam kes ini seorang pelajar berumur 11 tahun bersekolah di Sekolah Dato’ Kelana Maarof Seremban, dalam darjah lima tercedera kerana tercucuk pensel yang dipegang oleh kawannya bernama Azmi. Azmi seorang pelajar yang nakal dan sering mengganggu rakanrakannya di dalam kelas. Kelas itu diajar oleh Puan Kenny. Azmi telah menggunakan pin yang tajam mencucuk paha plaintif dan kesan cucukan menyebabkan plaintif bertindak balas dengan berpusing ke belakang lalu mata kanannya bertembung dengan bahagian pensil yang tajam.
4.2.2Keputusan mahkamah
Dalam keputusan yang dibuat di Mahkamah Tinggi Hakim menyebelahi plaintif, tetapi setelah rayuan dibuat di Mahkamah Rayuan, Hakim (Raja Azlan) memihak kepada perayu dengan alasan:
a. Guru tidak mendedahkan plaintif kepada kecederaan yang boleh dijangkakan. Sebatang pensil bukanlah benda yang berbahaya dan semua murid menggunakan pensil di dalam kelas.
b. Andaian yang mengatakan kecuaian guru mengawasi kelas telah menyebabkan kecederaan pelajar tidak boleh diterima kerana: i) Pengawasan guru belum pasti dapat mengelakkan kecederaan ii) Apabila murid nakal menyebabkan kecederaan, ini tidak bererti pengurusan pada pihak guru tidak wujud sama sekali . iii) Hubungan kurangnya pengawasan dan kecederaan yang dilakukan ke atas murid bukanlah bererti kemungkinan, tetapi perkara itu adalah andaian sematamata.
Yang Arif Hakim Raja Azlan memutuskan: The duty of care owed by (the teacher) required only that he should take such measures as in all the circumstances were reasonable to prevent physical injury to (the pupil). This duty not being one to insure against injury, but to take reasonable care to prevent it, required no more than the taking of reasonable steps to protect the plaintiff against risks of injury which (the teacher) should reasonably have foreseen. 4.3 Kes Chen Soon Lee melawan Chong Voon Pin dan Lain-lain (O.C.J. Lee Hun Hoe J) 4.3.1 Senario kes Peristiwa berlaku pada hari Ahad, 6 Disember 1964. Kes ini merupakan kes yang dilaporkan berkenaan kecuaian guru dalam menguruskan aktiviti kokurikulum. Tindakan diambil disebabkan oleh kecuaian pada pihak defendan. Defendan terdiri daripada seorang pengetua dan dua orang guru di sebuah sekolah di Miri, Sarawak. Mereka mengiringi beberapa orang pelajar sekolah itu untuk aktiviti perkelahan di tepi pantai di Tanjong Lobang.
Semasa pelajar-pelajar bermain bola di dalam air, ada di antara mereka yang pergi ke tempat yang dalam dan mereka tenggelam. Guru-guru dan pelajar lelaki cuba menyelamatkan mereka dan didapati seorang daripada mereka hilang. Akhirnya pelajar itu dijumpai dan tidak dapat diselamatkan. Waris mangsa menuntut ganti rugi atas alasan bahawa defendan bertindak cuai. Defendan pertama ialah Guru Besar Sekolah Chung San, Riam Road, Miri, Sarawak. Defendan kedua dan ketiga adalah kedua-dua orang guru di sekolah yang sama.
4.3.2 Keputusan mahkamah
Yang Arif Lee Hun Hoe berpendapat, perkelahan itu dikelolakan oleh pelajar sendiri pada hari Ahad. Defendan berhak menolak permintaan pelajar mengiringi mereka ke perkelahan itu. Pelajar mungkin meneruskan aktiviti mereka walaupun tanpa penyertaan defendan. Aktiviti perkelahan itu dijalankan pada hari Ahad. Oleh itu, guru besar dan guru tidak berkewajipan membuat penyeliaan yang cukup kepada mereka. Dalam kes ini, tiada seorang pun yang tahu atau sedar bahawa mereka sedang berkelah di suatu kawasan yang merbahaya. Yang Arif juga menyatakan defendan mempunyai kewajipan menjaga pelajarpelajarnya. Defendan didapati sudah mengambil langkah tertentu bagi memastikan pelajarpelajar itu mematuhi arahan mereka. Menurut defendan pertama, pelajar-pelajar tahun 6 sudah memohon melalui guru darjah mereka untuk pergi berkelah di Tanjong Lobang dan dia membenarkan. Dia mengeluarkan arahan kepada tiap-tiap pelajar. Daripada jumlah dua belas orang guru di sekolah itu, enam orang bersetuju menyertai perkelahan itu. Pelajar-pelajar dibahagikan kepada tiga kumpulan yang diselia oleh guru dan guru besar. Semasa bermain di dalam air, guru dan guru besar ada bersama menyelia murid-murid. Tujuannya adalah bagi
memastikan murid-murid tidak bergerak ke kawasan perairan yang dalam. Permainan di dalam air diselia dengan rapi. Tidak ada bukti yang menunjukkan guru besar dan guru cuai dalam tanggungjawab mereka yang menyebabkan kematian pelajar itu kerana penyeliaan yang berterusan sudah diberikan sepanjang permainan itu. Yang Arif menyatakan, pihak pendakwa gagal menunjukkan bukti yang kukuh defendan cuai dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
4.4 Kes Yogeswari Nadarajah dan satu lagi melawan Kerajaan Malaysia 4.4.1 Senario kes Berlaku pada 7 November 1975 lebih kurang pukul 7.25 pagi, iaitu sebelum sekolah bermula, plaintif pertama, seorang murid tahun dua SRJK (T) Gemas, Negeri Sembilan sedang berdiri di padang sekolah. Pada masa itu dua orang murid lelaki sedang bermain membaling ranting kayu bunga raya. Ranting bunga raya itu terkena plaintif tadi dan mencederakan mata kirinya sehingga matanya itu terpaksa dikeluarkan. Plaintif pertama dan ibunya mendakwa defendan pertama iaitu kerajaan Malaysia, Lembaga Pengurus Sekolah dan guru besar sekolah berkenaan. Pihak defendan mengatakan dalam kes ini, tidak terdapat alasan yang kukuh untuk membolehkan plaintif membuat dakwaan. Bukti daripada plaintif adalah, dia merupakan seorang murid tahun dua sekolah itu. Apabila dia pergi ke sekolah pada 7 November, dua orang murid lelaki membaling ranting kayu dan terkena mata kirinya. Selepas kejadian itu, matanya terpaksa dikeluarkan. Bukti juga menunjukkan ranting pokok bunga raya dipotong dan dibiarkan berselerak di bawah pokok. Sebelum kejadian itu berlaku, murid-murid bermain dengan ranting kayu pokok itu. Peguam bela plaintif mengusulkan,
defendan sepatutnya membuang semua ranting kayu dari kawasan sekolah. Kegagalan berbuat demikian adalah suatu kecuaian pada pihak defendan kerana mereka mempunyai tanggungjawab memastikan kawasan sekolah sentiasa dalam keadaan selamat. Daripada bukti yang didapati, perkara yang perlu diberi pertimbangan adalah sama ada defendan sudah melepaskan tanggungjawab menjaga plaintif, iaitu ada ataupun tidak pihak defendan memikirkan risiko yang mungkin ditanggung oleh murid. Sekiranya ada, apakah langkahlangkah yang diambil bagi mengelakkan daripada risiko berkenaan. Bukti yang jelas adalah dua orang murid sedang membaling ranting kayu di antara satu sama lain di belakang tandas dalam kawasan sekolah. Dan ranting kayu tadi terkena mata kiri plaintif.
4.4.2 Keputusan mahkamah
Yang Arif Wong Kim Fatt, J.C mengatakan, ranting kayu itu bukanlah benda yang merbahaya sama juga seperti kerusi, meja yang terdapat di sekolah. Adalah tidak munasabah meletak seorang guru menyelia aktiviti-aktiviti permainan murid. Dalam kes itu, tidak terdapat bukti yang menunjukkan defendan mengetahui risiko kecederaan yang ditanggung oleh plaintif.
4.5 Kes Silvadurai lawan Kerajaan Malaysia 4.5.1 Senario kes Dalam kes ini seorang murid terjatuh kerana tersandung batu selepas turun dari bermain jongkang-jongkit. Murid tersebut akhirnya mati akibat kemalangan tersebut.
4.5.2 Keputusan mahkamah
Hakim mahkamah memutuskan guru dan pihak sekolah tidak bersalah kerana pelajar telah selalu dinasihati tentang bahaya bermain jongkang-jongkit dan kecederaan yang diakibatkan oleh murid berkenaan sebenarnya bukan disebabkan oleh permainan jongkangjongkit. Ianya merupakan satu kemalangan yang disebabkan oleh kecuaian murid sendiri. Walaupun guru dan pihak sekolah tidak dipertanggungjawabkan, tetapi kita mesti mengambil iktibar dari kes ini dan mengambil langkah-langkah untuk memastikan kawasan berhampiran kemudahan sukan dan permainan adalah bebas dari kemungkinan berlakunya kecederaan kepada murid-murid. Jika kerja pembinaan sedang dijalankan atau terdapat bahan pembinaan yang dilonggokkan, kawasan tersebut perlu dipagari dan dijadikan kawasan larangan. Muridmurid perlu diberitahu tentang bahaya di kawasan tersebut.
Kes-kes yang berpihak kepada pelajar.Antaranya ialah:
4.6 Kes Mohamed Raihan Bin Ibrahim dan lagi satu lawan. Kerajaan Malaysia dan lain-lain. 4.6.1 Senario kes Seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Port Dickson mengalami kecederaan di kepala kerana terkena cangkul yang digunakan oleh rakannya semasa kelas amali Sains Pertanian. Beliau mendakwa kecederaan berlaku kerana responden, guru mata pelajaran Sains Pertanian gagal membuat penyeliaan ke atas pelajar yang mengikuti kelas perkebunan dan gagal memberi penerangan berkenaan penggunaan cangkul.
Kejadian berlaku apabila pelajar-pelajar tingkatan satu yang terdiri daripada 37 atau 38 orang mengikuti kelas amali pertanian di bawah pengawasan guru perempuan Puan Hau Kan Yong. Selepas berbaris bagi mengambil peralatan pertanian dari setor, mereka terus ke kebun.Pelajar-pelajar dibahagikan kepada enam kumpulan dan setiap kumpulan diberikan satu batas. Ukuran batas adalah 15 kaki panjang dan 3 kaki lebar. Plaintif meninggikan batasnya dengan menggunakan penyodok dan rakannya, Raja Aminuddin membuat kerja yang sama di batas sebelah dengan menggunakan cangkul yang pemegangnya sepanjang 5 kaki.Oleh sebab jarak mereka terlalu dekat, plaintif memberitahu Raja Aminuddin supaya jangan menggunakan cangkul sehingga beliau selesai kerjanya. Akan tetapi, Raja Aminuddin terus mengangkat cangkul tanpa menghiraukan kata-kata plaintif.Akhirnya cangkul Raja Aminuddin terkena kepala plaintif dengan luka 2 ½ inci dan retak pada tulang tengkorak
kanan. Semasa kemalangan, guru sedang duduk di bawah pokok, beberapa ela dari batas pertanian.
4.6.2 Keputusan mahkamah
Tuntutan beliau ditolak oleh Mahkamah Tinggi. Plaintif membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan, Kuala Lumpur. Kesimpulan daripada hujah dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan, terdapat kecuaian dan gagal mengambil tindakan munasabah dan langkah-langkah yang sepatutnya bagi mengelakkan perayu yang di bawah jagaan beliau daripada menanggung kecederaan. Guru tidak memeriksa peralatan kebun dan tidak menyediakan sistem keselamatan semasa kelas pertanian. Guru mempercayai pelajar dan tidak menguruskan peralatan kebun dengan baik. Guru tidak memberi peringatan dan tidak mengambil langkah-langkah keselamatan mengikut keadaan pelajar termasuk jarak antara mereka, bagi mengelak berlakunya kecederaan. Hakim Salleh Abas F.J menegaskan,
It is a settled law that a school teacher is under a duty to exercise supervision over his pupils when they are in the school premises, either in the classroom or the playground. The degree of supervision depends on the circumstances of each case, such as the age of the pupils and what they are doing at the material time. If the teacher knows that the pupils are engaged in doing acts which are likely to cause injuries to one another, the teacher is under a duty to take steps to ensure the safety of the acts.
4.7 Kes Headmistress, Methodist Girls School & Ors v. Headmaster, Anglo-Chinese Primary School & Anor.
4.7.1 Senario kes
Dalam kes ini seorang murid berumur sembilan tahun dilanggar oleh bas sekolah semasa berjalan di dalam kawasan sekolah, Anglo-Chinese Primary School untuk pulang ke rumahnya. Oleh sebab dia mengalami kecederaan yang teruk, pihak pelajar tersebut menyaman pemandu bas dan pemiliknya serta menuntut kerugian. Pemilik bas kemudian membawa responden (guru besar dan kerajaan) sebagai orang ketiga untuk sama-sama bertanggungjawab membayar ganti rugi. Ini adalah kerana membenarkan bas memasuki kawasan sekolah.
4.7.2 Keputusan Mahkamah
Hakim memutuskan untuk dibayar ganti rugi kepada murid tersebut berjumlah RM20,000.00 dan tidak membenarkan sekolah sama-sama membayar. Pemilik bas merayu keputusan tersebut dan kes ini di bawa ke Mahkamah Federal. Hakim mendapati sekolah tidak terlepas dari tanggungjawab menjaga keselamatan dalam kawasannya. Keputusan yang diambil adalah pihak sekolah membayar 30% sebagai ganti rugi dan pemilik bas membayar 70%.
5. Tindakan pengetua sekolah bagi mengelak berlakunya kecuaian “Kewajipan berjaga-jaga” (duty of care) merupakan elemen utama di dalam pendakwaan kecuaian di sekolah. Sejauh manakah tahap elemen ini diperlukan agar tidak dianggap cuai dalam menjalankan tugas? Mengikut keputusan hakim mahkamah dalam kes Blyth v. Birmingham Waterworks Co. (1856), tahap berjaga-jaga yang munasabah yang akan diambil oleh seseorang dalam situasi berkenaan adalah memadai. Berjaga-jaga pada tahap munasabah membawa maksud berjaga-jaga yang diharapkan adalah pada tahap biasa (Tie, 2004,m.s 42).
Beberapa faktor yang akan diambil kira oleh mahkamah untuk menentukan kelakuan yang munasabah termasuk (Ling,2001). •
Adakah sesuatu kejadian boleh dijangka akan berlaku (forseeability)?
•
Adakah sesuatu kejadian mungkin mengakibatkan kecederaan (likelihood of harm)?
•
Apakah keseriusan kecederaan jika ianya dijangka berlaku (seriousness of accident)?
•
Setakat manakah langkah-langkah pencegahan boleh diambil secara praktik (practicality of precautions)?
•
Adakah aktiviti yang menyebabkan kecederaan atau kerugian merupakan amalan yang biasa (common practice)?
•
Adakah aktiviti yang menyebabkan kecederaan atau kerugian merupakan sesuatu yang memenuhi kewajiban untuk mengambil risiko yang lebih tinggi (neccessity to take greater risks)?
Walaupun kemalangan yang diangap cuai tidak boleh dijangka ataupun dihapuskan, pihak sekolah terutamanya pengetua mestilah cuba untuk mengurangkan atau meminimumkan kemalangan tersebut. Kecuaian yang membawa kepada pendakwaan boleh dielak sekiranya pengurus sekolah atau pengetua mematuhi segala arahan serta peraturan semasa menjalankan tugas-tugas harian dan melaksanakan “kewajiban berjaga-jaga” (duty of care) yang wajar, maka beliau harus selamat dan telah dilindungi dari sebarang dakwaan yang mungkin berlaku. Hubungan antara sekolah dan ibu bapa mestilah dieratkan supaya kerjasama dapat dijalinkan dalam menyelesaikan masalah yang timbul sebelum ianya dibawa ke mahkamah. Beberapa langkah boleh dilakukan untuk cuba mengelak dari pihak sekolah dan guru-guru di dakwa. Antaranya ialah :
5.1 Mengetahui dan menyebarkan undang-undang dan peraturan-peraturan berkaitan sekolah
Pengetua berperanan untuk memahirkan diri dengan undang-undang dan peraturanperaturan supaya menjadi penyelamat apabila berlakunya sesuatu perkara yang boleh memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk mengambil tindakan mahkamah. Dengan demikian pengetua perlu mengetahui, menyebarkan maklumat dan memahami dan melaksanakan dengan sewajarnya kandungan •
Ordinan Pelajaran 1957
•
Peraturan Disiplin 1959
•
Akta pelajaran 1961
•
Akta Pendidikan 1996 ( Sek 130)
•
Pekeliling Iktisas Kementerian Pelajaran Antara pekeliling yang perlu diketahui oleh pengetua dan guru-guru untuk
keselamatan sekolah ialah :
a.Pekeliling mengenai kebersihan dan keceriaan sekolah. •
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/ 1985 -Rancangan Mencantik dan Mengindahkan Sekolah dan Kawasannya (Landscaping).
•
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 14/ 1989 -Kebersihan Sekolah Keselamatan Pelajar Oleh sebab sekolah adalah ‘loco parentis’, keselamatan pelajar di sekolah adalah tanggungjawab guru dan pengetua sekolah selagi mana mereka berada di dalam kawasan sekolah. Adalah menjadi tanggungjawab pengetua juga bagi keselamatan pelajar di luar kawasan sekolah apabila pelajar-pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum di luar atau terlibat dalam kes-kes jenayah ataupun disiplin di luar kawasan sekolah.
b. Pekeliling ikhtisas Kementerian Pelajaran mengenai keselamatan pelajar. •
Surat Pekeliling Ikhtisas No. 1/ 1974 -Keselamatan Dalam Makmal.
•
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/ 1988 -Keselamatan Diri Pelajar Di Sekolah.
•
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1991- Pelaporan Kejadian Tidak Diingini Di Sekolah.
•
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1995-Keselamatan Diri Pelajar Semasa Pengajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Serta Kegiatan Kokurikulum dan Sukan Di Dalam dan Di Luar Kawasan Sekolah.
•
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 21/1998-Persediaan Menghadapi Bencana Alam.
•
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1999 -Keselamatan Diri Murid Dalam Perjalanan Pergi dan Balik Sekolah.
•
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/2000-Panduan Keselamatan Diri Pelajar Semasa Pengajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta Kegiatan Kokurikulum dan Sukan Di Dalam dan Di Luar Kawasan Sekolah.
•
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/1992-Pengharaman Pensil Berbentuk Alat Suntikan (Syringe) Di Sekolah-Sekolah.
5.2 Memahami tatasusila profesion perguruan Pengetua sebagai pengurus sekolah mestilah memahami tatasusila profesion perguruan yang meliputi empat bidang tanggungjawab iaitu:
5.2.1 Tanggungjawab terhadap pelajar termasuk mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar, bersikap adil terhadap setiap pelajar, merahsiakan maklumat ikhtisas, membimbing seseorang pelajar dan menunjuk tingkahlaku yang menjadi contoh kepada pelajar.
5.2.2 Tanggungjawab terhadap ibu bapa seperti menghormati tanggunjawab utama ibu bapa, mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama erat serta merahsiakan maklumat yang diberikan oleh ibu bapa.
5.2.3 Tanggungjawab terhadap masyarakat seperti mengelakkan diri daripada menyebarkan ajaran yang merosakkan kepentingan pelajar, memupuk dalam diri dan pelajar sikap
dan nilai yang membantu mereka menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna.
5.2.4 Tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion perguruan iaitu mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan yang mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa, sentiasa bersedia membantu rakan sejawat dan sentiasa mengawasi diri supaya tidak mencemarkan nama baik profesion.
5.3 Keselamatan struktur fizikal sekolah
Undang-undang menghendaki tuan punya premis (bangunan dan kawasan tanah) memastikan premisnya adalah selamat digunakan atau didiami oleh semua pihak yang mempunyai hak menggunakannya atau berada di situ. Jadi keadaan fizikal sekolah hendaklah sentiasa diselenggarakan dengan baik kerana segalah kerosakan dan ketidak sempurnaan yang terdapat pada kemudahan fizikal tidak selamat untuk digunakan oleh semua pihak. Contohnya tangga dan serambi bangunan mesti mempunyai pelindung yang sesuai dan kukuh untuk memastikan tiada murid berkemungkinan terjatuh ke bawah. Siling yang setengah terjatuh dan bumbung yang bocor mesti dibaiki dengan kadar segera. Dalam bilik darjah, kipas, wayar elektrik uzur, kerusi lama dan lain-lain perlu diperiksa dari masa untuk memastikan keselamatan penggunaannya. Suis dan soket yang rosak mesti diganti. Semak-semak panjang di kawasan sekolah mesti di tebas untuk mengelak segala bentuk bahaya seperti menjadi tempat perlindungan ular yang boleh mendatangkan kemudaratan. Pokok juga boleh mendatangkan bahaya sekiranya ianya tumbang ditiup angin.
Peraturan di dalam Schools (General) Regulations, 1951 masih digunapakai sehingga kini. Ianya sesuai dijadikan rujukan oleh pengetua supaya keadaan fizikal sekolah berada dalam keadaan yang selamat. Penekanan yang diberikan dalam peraturan ini adalah antara lain:
5.3.1. Keperluan untuk bangunan sekolah
Dalam peraturan ini, semua aspek yang berkaitan dengan bangunan sekolah seperti keluasannya, bilangan bangunan, bilik darjah serta tempat rekreasi sama ada dalam bentuk pelan ataupun gambar hendaklah diberi kepada pendaftar sekolah apabila dikehendaki. Bangunan itu hanya boleh digunakan apabila ia didaftarkan dan sesuai digunakan. Apabila sekolah itu didaftarkan, nama sekolah yang didaftarkan itu hendaklah ditulis dengan jelas di depan pintu masuk sekolah itu. Bangunan tambahan untuk sekolah tidak boleh dibuat selagi tidak mendapat kebenaran daripada pendaftar sekolah. Tandas untuk bangunan hanya akan dibenarkan sekiranya ia sesuai pada pandangan pendaftar atau pegawai perubatan.
5.3.2 Keperluan kesihatan
Tiap-tiap bilik darjah hendaklah sesuai pembinaannya agar udara dan cahaya dapat masuk dengan senang melalui tingkap atau lubang, dan ruang terbuka ini hendaklah luasnya satu perlima daripada keluasan lantai. Peraturan ini juga menentukan kawasan tempat duduk seseorang itu tidak boleh kurang daripada 15 kaki persegi, dan sekiranya ketinggian siling
bilik itu kurang daripada 12 kaki, maka sijil pengesahan daripada pegawai perubatan hendaklah diperolehi bagi mengesahkan penggunaan bilik itu agar tidak menjejas kesihatan pelajar. Penggunaan bilik darjah Di bahagian depan tiap-tiap bilik darjah hendaklah ditandakan dengan jelas nombor atau huruf pengenalan bilik itu. Bilangan pelajar yang dapat dimasukkan ke dalam tiap-tiap bilik hendaklah dikira pada 180 kaki padu ruang dalaman untuk setiap pelajar. Cahaya untuk bilik darjah hendaklah mencukupi supaya tidak mengganggu penglihatan pelajar. Peraturan ini juga memerlukan sijil supaya dipaparkan di tiap-tiap kelas yang menunjukkan bilangan pelajar yang dimasukkan ke dalam kelas itu. Mengikut peraturan ini juga tidak lebih daripada 40 orang yang boleh diajar pada satu-satu masa oleh seorang guru kecuali untuk pengajaran Pendidikan Jasmani atau Nyanyian atau kegunaan lain yang di luluskan oleh pendaftar.
5.4 Memastikan keselamatan sewaktu kelas
Guru, mengikut undang-undang common law, dikehendaki membuat penyeliaan yang munasabah (reasonable degree of supervision) ke atas murid-murid di bawah jagaannya sewaktu kelas berjalan. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan beliau didakwa jika murid tercedera akibat kecuaiannya. Sebagai contohnya dalam kes Kerajaan Malaysia & dan lain-lain. lawan Jumat Bin Mahmud & lagi satu. Kecuaian pengawasan bilik darjah menyebabkan seorang pelajar telah menjadi buta. Namun keputusan mahkamah telah berpihak kepada guru kerana kecuaian tersebut tidak boleh dijangka.
5.5 Memastikan keselamatan kewaktu kelas yang menjalankan amali dan pertukangan (Sains, Sains Pertanian, Teknik, Vokasional, Muzik, Ekonomi Rumah Tangga dan Kemahiran Hidup)
Mata pelajaran yang disebutkan di atas merupakan mata pelajaran yang berisiko untuk mengalami kecuaian. Oleh itu bengkel atau makmal kerja amali yang berkaitan dengan mata pelajaran tersebut mestilah mempunyai peraturan yang jelas. Peraturan bertulis mestilah diedarkan kepada setiap murid pada hari pertama mereka menggunakan makmal atau bengkel tersebut. Penerangan yang jelas perlu diberikan dan ianya perlu dipamerkan dan pelajar perlu diingatkan dari masa ke semasa. Kelas-kelas amali atau kelas praktikal hanya boleh dikendalikan oleh guru-guru terlatih dalam mata pelajaran yang berkenaan sahaja.
Jika terdapat guru sementara, pengetua mesti memastikan bahawa mereka tidak melakukan atau menyuruh pelajar melakukan percubaan-percubaan yang ‘berbahaya’. Pengetua dengan bantuan Guru Kanan Sains harus menapis rancangan kerja guru-guru tersebut bagi kerja amali (Surat Pekeliling Ikhtisas No. 1/1974, bertarikh 8 Julai 1974). Selain daripada itu, guru-guru mesti memberi amaran terlebih dahulu kepada murid-muirid sebelum sebarang tunjukcara atau percubaan dijalankan dalam mana terdapat kemungkinan punca letupan atau bahaya. Langkah-langkah keselamatan yang lanjut dalam semua aspek pengurusan makmal (misalnya pengendalian silinder, paip dan saluran gas, suis, alat dan penghubung elektrik, pencegahan kebakaran; latihan kecemasan api, kelengkapan memadam api, penyimpanan bahan-bahan berbahaya, keadaan bilik-bilik makmal, dan lain-lain) adalah diberi dengan lengkap dan jelas dalam Surat Pekeliling Ikhtisas No. 1/1974. Pengetua mesti
memastikan semua guru sains mengetahui kandungan Surat Pekeliling Ikhtisas berkenaan dan mematuhi semua arahan dan panduan yang diberikan demi keselamatan semua pihak. Bukubuku panduan penyelenggaraan makmal yang berkaitan juga perlu difahami dan diguna sebagai panduan guru setiap masa.
Dalam kes Mohamed Raihan Bin Ibrahim & lagi satu lawan Kerajaan Malaysia dan lain-lain (kelas Sains Pertanian) guru kelas tersebut telah didapati bersalah kerana tidak memberi arahan dengan jelas kepada murid dan tidak menyelia perjalanan kerja dengan munasabah. Ini bermakna beliau telah gagal melaksanakan “kewajiban berjaga-berjaga” yang munasabah terhadap anak-anak muridnya.
Dalam kes Kamarulzaman Mohd Ali lawan Louis Marie Neube Rt Ambrose J Ambrose & lagi satu pula, guru didapati tidak bersalah kerana beliau memang terlatih mengajar muzik dan telah pun menyelia murid-muridnya dengan munasabah. Beliau juga didapati mengajar seperti yang telah dirancangkan dalam buku rekod mengajar dan bertindak segera dengan sewajarnya apabila kemalangan telah berlaku .
5.6 Memastikan keselamatan kemudahan sukan dan kegiatan ko-kurikulum
Sukan dan kegiatan ko-kurikulum merupakan aktiviti paling berisiko menyumbang kepada terjadinya kemalangan. Segala kemudahan sukan dan permainan mestilah dalam keadaan
sempurna
dan
selamat
untuk
aktiviti-aktiviti
ko-kurikulum.
Pengetua
bertanggunjawab memeriksa dan memastikan ianya di dalam keadaan selamat. Guru-guru
mesti memastikan bahawa padang, gelanggang, dan alat-alat sukan yang baik dan sempurna sahaja digunakan semasa menjalankan aktiviti. Stor sukan mesti diselenggarakan dengan sempurna dan selamat mengikut segala arahan dan peraturan yang ada kerana alat-alat sukan dianggap berbahaya. Murid-murid hendaklah diajar dengan teliti supaya mereka tahu menggunakan alat-alat dengan betul dan selamat. Dalam kes di mana tiang gol mudah alih terjatuh, nyawa murid terkorban (belum dibicarakan lagi di mahkamah). Ini menunjukkan dengan jelasnya alat sukan tersebut tidak selamat digunakan dan mesti diganti dengan segera. Murid-murid juga perlu diberitahu tentang segala peraturan dan arahan tentang langkahlangkah menjaga keselamatan yang perlu diambil pada setiap masa. Penjagaan rapi diperlukan semasa aktiviti diadakan untuk mengelakkan insiden-insiden yang serius seperti pelajar terlanggar tiang gol, terkena lontaran peluru, terjatuh dalam lubang, dan lain-lain (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/2000, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1995). Selain daripada itu, guru juga hendaklah:
•
Mengambil kira faktor cuaca/ musim supaya aktiviti yang dijalankan tidak mendatangkan bahaya.
•
Bertanggungjawab mengeluar, mengguna dan menyimpan alat-alat sukan walaupun boleh dibantu oleh murid.
•
Memastikan semua alat sukan dan permainan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum digunakan.
•
Murid mesti mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga dan pengetua untuk mengambil bahagian di dalam aktiviti kokurikulum di luar sekolah dan
mesti diiringi oleh guru. Jika ada murid perempuan, maka guru pengiring perempuan mesti ada bersama. •
Memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid diberi keutamaan seperti makanan dan minuman dan lain-lain lagi.
•
Murid yang cedera, lelah dan berpenyakit kronik tidak dipaksa dibenarkan/dipaksa mengambil bahagian.
•
Menggalakkan pelajar mengadakan skim perlindungan insurans yang sesuai.
•
Kawasan dan kemudahan yang berbahaya seperti dewan gymn dan kolam renang mesti dikawal penggunaannya dengan ketat.
•
Melaporkan segala kemalangan yang berlaku kepada pengetua dengan segera untuk tindakan selanjutnya.
Peraturan-peraturan dan panduan yang diberi dalam Surat Pekeliling 3/1984, Bil.7/1977, Bil. 7/1988, Bil 8/1995 dan Bil. 24/1998 berkenaan aktiviti kebudayaan, “walkaton”, penyertaan dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Menengah (MSSM), dan penglibatan aktiviti-aktiviti anjuran agensi kerajaan dan swasta hendaklah diikuti bagi menjamin keselamatan pelajar-pelajar dijaga dan memastikan persekolahan pelajar-pelajar tidak terjejas.
5.7 Melaksanakan Program Sekolah Selamat
Sekolah selamat ialah tempat pelajar-pelajar dapat belajar dan guru dapat mengajar dalam suasana yang selesa dan bebas dari persekitaran yang menakutkan. Ia juga merupakan tempat di mana iklim pembelajaran dapat menggalakkan penerimaan semangat dan perlindungan bagi setiap kanak-kanak.
Dalam usaha meminimumkan berlakunya kecuaian di sekolah, pengetua berperanan untuk Menubuhkan Jawatankuasa Sekolah Selamat peringkat sekolah. Antara aspek yang boleh diambil tindakan ialah:
5.7.1 Pengetua memaklumkan pencegahan kecuaian melibatkan semua warga sekolah
•
Pentadbir dan guru bertugas di pintu masuk dan kawasan bangunan sebelum dan selepas persekolahan.
•
Warga sekolah dapat membuat jangkaan awal apa jua masalah yang akan timbul.
•
Kehadiran guru di setiap kawasan tempat dan bilik khas.
•
Warga sekolah di minta membantu mengawal trafik di dalam dan di luar sekolah semasa dan selepas sekolah.
•
Warga sekolah digalakkan mengawasi dan makan di kantin sekolah
•
Guru diminta berada bersama pelajar pada setiap program dan aktiviti sekolah
•
Warga sekolah perlu memantau tandas, bilik-bilik khas dan kawasan-kawasan persekitaran sekolah sepanjang masa.
•
Guru perlu membantu pelajar semasa dan selepas waktu persekolahan
•
Warga sekolah dilatih mengatasi sebarang krisis yang berlaku dan memahami tanggungjawab terhadap pencegahan dan menghadapi kecemasan
•
Guru berbincang dalam kelas dan setiap program dalam menerap kesedaran dan keselamatan di sekolah.
•
Warga sekolah bertanggungjawab melaksanakan polisi untuk menentukan keselamatan dalam setiap aktiviti kokurikulum sepanjang masa persekolahan.
•
Memastikan segala kemudahan yang disediakan berada dalam keadaan baik dan selamat.
•
Melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa ke atas alat-alat dan kelengkapan sekolah seperti kerusi meja, dapur, pendawaian elektrik, alat-alat pertukangan, termasuk struktur bangunan sekolah itu sendiri supaya kerosakan dan keadaan yang membahayakan dapat dikesan awal untuk dilakukan baikpulih.
•
Menyediakan peraturan-peraturan tertentu mengenai keselamatan misalnya untuk makmal sains, bengkel kemahiran hidup, setor sukan dan sebagainya yang perlu dipatuhi oleh semua orang. Pengawasan perlu dilakukan pada setiap masa supaya peraturan-peraturan tersebut tidak diengkari.
•
Memastikan bahawa pertolongan atau bantuan dalam menghadapi kecemasan atau kemalangan ada disediakan sama ada dalam bentuk ubatan atau tenaga manusia.
•
Menyebarkan maklumat dan pengetahuan mengenai keselamatan kepada murid dan ibu bapa dari semasa ke semasa melalui perhimpunan, mesyuarat, perjumpaan atau surat-surat siaran.
•
Menyelaras segala kegiatan di sekolah supaya faktor keselamatan sentiasa dapat dikawal.
•
Mewujudkan satu sistem penyimpanan rekod untuk mengumpul maklumat mengenai keselamatan di sekolah.
•
Menubuhkan sebuah jawatan keselamatan di sekolah yang bertanggungjawab merancang serta mengawasi pelaksanaan langkah-langkah sebagaimana dinyatakan di atas.
5.7.2 Melaksanakan kursus perkembangan staf berkaitan pencegahan kecuaian
Pengetua mengarahkan jawatankuasa Perkembangan staf melaksanakan program dan aktiviti bertujuan untuk memaklumkan warga sekolah berkaitan dengan plan, prosedur dan tanggungjawab dalam mengelak kejadian kecuaian. Pengetua perlu
memberikan
pertimbangan masa dan sumber dalam melaksanakan program ini. Antara maklumat yang boleh disampaikan ialah:
a. Tindakan mencegah kemalangan di beberapa tempat di sekolah •
Tempat Belajar - Bilik darjah, makmal sains, bengkel seni perusahaan, bilik sains rumahtangga, kebun sains pertanian, padang, gelanggang, gimnasium, pusat sumber dan lain-lain.
•
Tempat-tempat lain - Kantin, Dewan/Pentas, Tandas, Bangsal Basikal dan Motosikal, Perkarangan Sekolah, Asrama dan lain-lain.
•
Aktiviti Sekolah - Sukan, bergotong royong, perkhemahan, mandi laut/sungai.
b. Mencegah Kebakaran Perhatian kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan pencegahan kebakaran dan memastikan pelaksanaannya perlu diambil berat oleh pihak pentadbir sekolah dan semua guru.
c. Keselamatan Jalan Raya Pendidikan Keselamatan Jalan Raya perlu diperkenalkan kepada murid-murid dan pelajar sekolah memandangkan meningkatnya kemalangan di jalan raya. Oleh itu adalah wajar dari peringkat sekolah rendah lagi murid-murid mempunyai pengetahuan, kemahiran dan sikap yang perlu dalam menjaga diri mereka semasa menggunakan jalan raya.
5.7.3 Membina jaringan kerjasama dengan pihak luar
•
Perkongsian sekolah pintar sekolah dan komuniti untuk mencegah kecuaian contohnya kerjasama polis , bomba dan agensi belia untuk meningkatkan keselamatan sekolah.
•
Mendapat kerjasama dari pihak polis dan ibu bapa untuk membuat rondaan di kawasan- kawasan yang difikirkan berisiko dari segi keselamatan.
•
Bekerjasama dengan agensi yang mempunyai kepakaran dan kemahiran bagi mengelak kecuaian contohnya latihan mencegah kebakaran dari bomba.
5.7.4 Meningkatkan kawalan keselamatan
•
Kawalan Keselamatan adalah bermaksud persekitaran yang menunjukkan wujudnya kesedaran dan kawalan terhadap keselamatan serta mewujudkan rasa bebas dari kecuaian.Semua warga sekolah, jabatan, unit, pelajar dan ibubapa sedar akan perlunya kawalan keselamatan.
•
Pengawal keselamatan dan individu sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan berlaku.
•
Menyediakan Poster, buletin mengenai tatacara pelawat masuk ke kawasan sekolah
•
Pengenalan melalui pas pelawat melalui tanda nama dan uniform.
•
Kawalan kemasukkan ke sekolah dikawal melalui pengenalan diri.
•
Menyediakan Sistem komunikasi contohnya sistem interkom dan litar tertutup.
5.7.5 Pengetua menjalin kerjasama dengan Ibu Bapa
Pengetua melalui PIBG boleh meminta kerjasama Ibu bapa dan penjaga menunjukkan rasa sifat kepunyaan dan bangga terhadap sekolah melalui sokongan, penglibatan dan penyertaan sebagai rakan kongsi untuk mengelak kecuaian. Contoh perkongsian adalah merupakan program keibubapaan secara sukarela seperti rondaan keselamatan dan mengiringi pelajar apabila pelajar menyertai aktiviti di dalam atau di luar sekolah.
6.0 Kesimpulan
1. PTS Publications & Distributors Sdn Bhd - Pentadbiran Undang ... Pentadbiran Undang-Undang Dalam PendidikanDalam kes ini seorang pelajar berumur 11 tahun bersekolah di Sekolah Dato' ... kes-kes kecuaian di sekolah di mana kecenderungan menyabitkan pihak sekolah ... www.pts.com.my/modules.php?name=News&file=print&sid=80 - 60k - Cached