Tajuk: Ulasan Kritis tentang Konsep dan Teori Pembelajaran serta Kepentingan Seni Dalam Pendidikan Seni Dalam Pendidikan didefinisikan sebagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran seni dalam pendidikan yang melibatkan tiga elemen seni iaitu seni visual, seni muzik dan seni pergerakan yang diintegrasikan ke dalam pendidikan (Faridah Nazir et al., 2015). Elemenelemen seni ini akan membolehkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih dinamik, imaginatif dan kreatif (Mohd Jamel Ismail et al., 2015). Dengan kata lain, jika pengisian elemen-elemen ini dilakukan mengikut tatacara dan tataatur yang betul, pembelajaran sesuatu mata pelajaran dapat dioptimumkan ke arah yang lebih cemerlang dan berimpak tinggi. Hal ini kerana melalui Seni Dalam Pendidikan, pelajar akan diberikan peluang meneroka, memperoleh pengalaman dan mengekspresi menggunakan deria untuk meningkatkan kreativiti, sensitiviti, daya imaginasi dan estetika dalam pembelajaran (Md. Nasir Ibrahim, 2003). Oleh itu, Seni Dalam Pendidikan perlu diadaptasi ke dalam sesuatu mata pelajaran yang diajar oleh guru agar generasi yang celik budaya, berestetika, berimaginasi, kritis dan inovatif dapat dilahirkan. Terdapat tiga teori pembelajaran yang menyokong Seni Dalam Pendidikan iaitu Teori Kecerdasan Pelbagai, Teori Konstruktivisme dan Teori Hoka Hoki. Berdasarkan Teori Kecerdasan Pelbagai, seseorang mempunyai lapan kecerdasan yang berbeza yang boleh digunakan untuk memproses maklumat iaitu kecerdasan linguistik, logik matematik, visual ruang, muzik, kinestetik, interpersonal, intrapersonal dan naturalis (Gardner, 2004). Teori ini juga mencadangkan pelbagai haluan pengajaran dan pembelajaran ke arah pemahaman pelajar yang pelbagai kecerdasan iaitu naratif, logik, kuantitatif, eksistensialisme, pendekatan eksperimental, pendekatan estetik dan pendekatan kolaboratif (Gardner, 2006). Seni Dalam Pendidikan merupakan salah satu daripada pendekatan inter-discipline yang dicadangkan melalui haluan pendekatan estetik yang membolehkan pelajar yang pelbagai profil kecerdasan menguasai sesuatu ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang yang diceburi (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2015). Hal ini kerana Seni Dalam Pendidikan akan mendorong pelajar yang pelbagai kecerdasan untuk menggunakan bidang dan kecergasan masing-masing untuk memahami isi kandungan pembelajaran. Sebagai contoh, ketika mengajar tajuk Tokoh-Tokoh Terbilang Kesultanan Melayu Melaka, guru mengaplikasikan aktiviti Seni Dalam Pendidikan dengan meminta pelajar untuk melakonkan watak-watak tokoh terbilang Kesultanan Melayu Melaka seperti Hang Tuah dan Tun Perak. Melalui aktiviti lakonan, pelajar yang mempunyai kecerdasan visual ruang akan membina dan membentuk sesuatu yang berkaitan tema lakonan seperti tanjak dan keris manakala pelajar kecerdasan muzik pula boleh meneroka cara menghasilkan bunyi yang
1
diperlukan semasa lakonan dengan menggunakan suara vokal, perkusi badan dan bahan kegunaan seharian. Untuk pelajar kecerdasan kinestetik pula, mereka dapat meneroka pergerakan atau stail bersesuaian dengan watak seorang pahlawan yang dilakonkan. Aktiviti lakonan ini juga akan melibatkan kecerdasan-kecerdasan yang lain selain kecerdasan yang telah dinyatakan seperti kecerdasan linguistik, interpersonal dan intrapersonal. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa pengaplikasian aktiviti seni dalam proses pengajaran dan pembelajaran akan membantu melibatkan setiap pelajar yang mempunyai kecerdasan yang berbeza untuk menguasai ilmu dan kemahiran yang diajar oleh guru. Teori seterusnya ialah Teori Hoka Hoki iaitu teori berkaitan pemisahan otak. Menurut Hermann (1991), dalam hemisfera otak, otak kanan disebut hoka manakala otak kiri disebut hoki. Kedua-dua hemisfera otak ini amat berpengaruh terhadap gaya pemikiran setiap manusia. Gaya pemikiran otak kanan adalah lebih bebas dan rawak, lebih menyeluruh, intuisi, sintesis dan abstrak manakala gaya pemikiran otak kiri pula lebih menjurus kepada logik, rasional, analitik, objektif, berturutan dan spesifik (Amir Awang, 1989). Justeru itu, dapat disimpulkan bahawa setiap pelajar tidak sama dari segi pemikirannya. Akan ada pelajar yang menggunakan gaya pemikiran otak kanan dan menerima pelajaran secara holistik manakala ada pula pelajar yang menggunakan gaya pemikiran otak kiri yang menerima pelajaran secara analitik.
Dengan
pengaplikasian
seni
dalam
pendidikan,
maka
dapatkan
guru
menyeimbangkan penggunaan otak kiri dan kanan agar setiap pelajar dapat memahami isi kandungan pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh, di bawah tajuk Kita Rakyat Malaysia, guru meminta pelajar untuk membuat corak dan rekaan sehelai baju yang menonjolkan dan menggabungkan ciri-ciri penting pakaian tradisional di Malaysia. Dalam proses menghasilkan baju tersebut, pelajar akan menggunakan otak kanan untuk menjana idea baharu, imaginatif dan pertimbangan moral. Dalam masa yang sama, pelajar turut menggunakan otak kiri mereka untuk membuat pertimbangan rasional, analitikal dan membanding beza agar mereka dapat menghasilkan corak dan rekaan baju yang seimbang, pelbagai dan bersesuaian dengan arahan yang diberikan oleh guru. Selain pengaplikasian elemen seni visual, guru juga boleh meminta pelajar mencipta lagu dan melakukan pergerakan asas sama ada melibatkan lokomotor, bukan lokomotor atau manipulatif alatan untuk menerangkan hasil corak dan rekaan mereka yang akan turut membantu pelajar menggunakan kedua-dua hemisfera otak mereka. Teori Konstruktivisme yang dipelopori oleh Lev Vygotsky mengatakan perkembangan konsep kanak-kanak berkembang secara sistematik, logikal serta rasional dengan bantuan dan bimbingan verbal orang lain (Faridah Nazir, Norhiza Mohd Salleh & Zairinah Mohd Shukur, 2014). Hal ini kerana manusia dalam konteks sosial berkongsi dan saling membina
2
pengetahuan baharu untuk meningkatkan pengetahuan. Antara prinsip-prinsip pembelajaran secara konstruktivisme ialah menekankan proses berpusatkan pelajar, pembelajaran berlaku melalui interaksi dengan orang lain dan pembelajaran bermula daripada pengetahuan sedia ada (Noriati, Boon, Sharifah Fakhriah, 2009). Seni Dalam Pendidikan dapat membantu perkembangan
konsep
kanak-kanak
kerana
ianya
mengaplikasikan
prinsip-prinsip
pembelajaran secara konstruktivisme. Contohnya, untuk tajuk Bunga Kebangsaan, guru menjalankan aktiviti menggambar bunga kebangsaan iaitu bunga raya dengan menggunakan teknik kolaj untuk mengenal bunga kebangsaan dengan lebih terperinci. Aktiviti seni visual ini menekankan pembelajaran berpusatkan pelajar kerana pelajar perlu meneroka sendiri alatan yang digunakan untuk menggambar dengan teknik kolaj seperti gunting, gam dan kertas warna. Pembelajaran yang berlaku juga berpusat kepada pelajar dan memerlukan pelajar berinteraksi dan bekerjasama dengan rakan sekelas di samping mendapat bantuan daripada guru ketika aktiviti dijalankan. Aktiviti ini juga mengambil kira pengetahuan sedia ada pelajar yang sememangnya sebagai rakyat Malaysia sudah mempunyai pengetahuan mengenai rupa bentuk bunga raya sebelum guru memperkenalkan pengetahuan baharu iaitu menggambar bunga raya menggunakan teknik kolaj. Antara kepentingan Seni Dalam Pendidikan ialah wujudnya penggunaan strategi yang pelbagai dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran (Yaakob, 2007). Contohnya, guru akan menggunakan strategi pengajaran yang berbeza bersesuaian dengan isi kandungan pengajaran sama ada berdasarkan teori Kecerdasan Pelbagai, Teori Hoka Hoki atau Teori Konstruktivisme. Sebagaimana huraian di atas, guru menggunakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang berbeza bersesuaian dengan tajuk yang diajar. Contohnya, guru menggunakan teknik menggambar bunga raya sebagai strategi pengajaran untuk tajuk Bunga Kebangsaan. Penggunaan strategi yang sesuai dengan isi kandungan pengajaran adalah digalakkan untuk memupuk minat pelajar (Hassan, 2003). Selain itu, Seni Dalam Pendidikan secara tidak langsung akan memupuk kemahiran seni seseorang pelajar sama ada seni visual, pergerakan mahupun muzik. Sebagai contoh, melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang mengaplikasikan seni visual seperti membuat corak dan rekaan baju bertemakan pakaian tradisional, kemahiran menvisualisasi ruang iaitu kebolehan mengesan dan menggambarkan bentuk, ruang, warna dan garisan, termasuklah kebolehan mempersembahkan idea visual dan ruang secara grafik dapat dipupuk dalam diri seseorang pelajar (Gardner, 2007). Kemahiran ini penting untuk dimiliki oleh seseorang pelajar kerana ianya memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian dan mampu membuka peluang kepada pelbagai pilihan kerja.
3
Seni Dalam Pendidikan juga penting untuk mendorong pelajar menggunakan imaginasi, ekspresi dan kecerdasan pelbagai (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2003). Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, aktiviti lakonan yang dijalankan di dalam kelas akan mendorong pelajar menggunakan imaginasinya untuk membayangkan watak pahlawan yang dibawa dan seterusnya mengekspresikan watak tersebut kepada penonton. Secara tidak langsung, pelajar akan menggunakan kecerdasan yang pelbagai dalam proses mempersembahkan lakonan mereka kepada penonton. Kesimpulannya, Seni Dalam Pendidikan perlulah diintegrasikan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan setiap pelajar menerima ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sepatutnya. Diharapkan pengintegrasian Seni Dalam Pendidikan sebagai alat pembelajaran akan dapat membantu meningkatkan kreativiti dan ekspresi kendiri pelajar dan seterusnya melahirkan generasi akan datang yang holistik.
4