Multibunyi dan Multibentuk Mempelbagai Sebutan Bahasa Melayu Oleh : Haji Rusli bin Haji Morni Jabatan Bahasa Melayu dan Linguistik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Brunei Darussalam
Abstrak Dalam memenuhi fungsinya sebagai alat komunikasi, baik dalam situasi rasmi mahupun dalam situasi tidak rasmi, bahasa Melayu kini seolah-olah mengizinkan kewujudan bunyi dan bentuk yang beragam di dalam pengucapan dan pertuturan. Keberagaman ini adalah akibat daripada pengaruh bahasa dan dialek, sama ada serumpun atau tidak serumpun dengannya. Pengaruh itu mungkin sahaja berlaku melalui aktiviti-aktiviti seperti penghijrahan, penyebaran kepercayaan, penjajahan atau peluasan wilayah politik, peluasan ilmu pengetahuan dan perdagangan dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti ini mungkin sahaja berlaku secara satu hala dan mungkin sahaja lebih, dan ia dijangkakan telah berlaku sejak bangsa dan bahasa Melayu itu wujud. Aktiviti ini telah membawa kepada berlakunya pertembungan budaya dan sekali gus juga telah membawa kepada pertembungan bahasa.
PROSIDING SETALING II
Kertas ini cuba memaparkan pengaruh perkembangan yang berlaku terhadap bahasa Melayu sebagai akibat daripada pertembungan antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa dan dialek-dialek lain. Tumpuan perbincangan akan difokuskan kepada pengaruh bunyi dan bentuk yang dikira sebagai kepelbagaian yang dominan dalam Bahasa Melayu, terutama dalam bentuk lisan. Apakah kepelbagaian ini dapat diterima sebagai gejala multibahasa dalam bahasa Melayu, sehingga membolehkan ia lebih mudah diterima untuk berfungsi sebagai ‘….pencerna dan pewahana ilmu pengetahuan?’ Atau mungkinkah ada sebutan bahasa Melayu yang khusus untuk diletakkan atau ditempatkan sebagai bahasa pengantar ilmu? -------------------------------------Pendahuluan. Ahli bahasa pernah mengandaikan bahawa bahasa manusia pada semua peringkat dikawal oleh rumus (prinsip). Setiap bahasa yang diketahui mempunyai rumus sistematik yang mengawal sebutan, pembentukan kata, dan konstruksi tatabahasa.1 Hal seumpama itu setentunya ada pada bahasa Melayu, yang juga mempunyai rumus-rumus sistematik yang mengawal sebutan, pembentukan kata, dan konstruksi tatabahasanya. Bahasa Melayu dikatakan sebuah variasi bahasa yang terbina daripada beberapa bahasa dan dialek. Namun pembinaan itu bukan berlaku dalam jangka masa yang pendek. Ahli pengkaji bahasa Melayu memperakui bahawa bahasa Melayu dibina selama ratusan, malah ribuan tahun. Pembinaan itu bukan dibuat secara sedar atau terancang. Ia berkembang selari dengan perkembangan kehidupan yang ditempuh oleh penutur dan penggunanya. Nik Safiah (1986 : 2) mengatakan bahawa “Pada amnya bahasa itu berkembang dan maju selaras dengan taraf perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat bahasanya“.2 Demikianlah halnya dengan yang berlaku ke atas bangsa dan bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, perkembangan itu berlaku melalui proses yang agak lama. Ia berlaku secara perlahan-lahan, sebagai satu proses evolusi.3 Dalam proses tersebut bahasa Melayu membentuk variasinya yang tersendiri sehingga layak dijadikan
2
PROSIDING SETALING II lingua franca, baik di kalangan penutur daerah kepulauan Melayu atau Nusantara mahupun di kalangan penutur yang datang dari luar daerah tersebut. Variasi tersebut terbentuk melalui proses penyesuaian dan penyerapan daripada pelbagai bahasa dan dialek tempatan dan bukan tempatan. Inilah salah satu faktor yang memungkinkan bahasa Melayu itu mudah difahami, dikuasai dan diterima oleh ramai orang. Hampir keseluruhan keperluan hidup seharian dapat diungkapkan dengan menggunakan variasi itu. Sebab itulah hampir semua Negara Melayu telah memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi apabila Negara-negara berkenaan membentuk identitinya setelah mencapai kemerdekaan masing-masing.
Penyesuaian dan penyerapan bunyi bahasa dan dialek rumpun Melayu. Umumnya, dikatakan bahasa Melayu yang telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi itu adalah bahasa Melayu Standard. 4 Tentunya maksud standard itu sesuatu yang bersifat neutral, tidak berpihak kepada mana-mana bahasa dan dialek yang sebahagianya telah menjadi sumber perkembangan dan pembentukannya. Sifat neutral itu pula diharapkan tidak akan wujud lagi dakwaan daripada sebagai milik asal bahasa dan dialek yang terserap di dalam variasi yang dinamakan bahasa Bahasa Melayu. Antara bunyi bahasa Melayu yang pernah diperbincangkan ialah bunyi yang diwakili oleh huruf “a” dan “r”, yang letaknya pada lingkungan akhir kata5 , demikian juga halnya dengan bunyi “ə” (e pepet) dan bunyi “a”. Taburan penyebutan bunyi-bunyi hurufhuruf tersebut, dari segi geografi, ternyata berbeza sedikit jika dirujuk kepada bahasa dan dialek tertentu. Akan tetapi atas dasar kestandardan, penyesuaian dan penyerapan bunyi-bunyi cuba dineutralisasikan dengan membunyikannya sebagai bunyi yang standard dan mudah dikuasai dan dan diterima. Oleh itu, mana-mana perkataan yang ejaan huruf akhirnya dilambangi dengan grafem
, yang pada sesetengah bahasa dan dialek dibunyikan sebagai e pepet iaitu [ə], akan
3
PROSIDING SETALING II distandardkan bunyinya sebagai [a] iaitu vokal tengah. Contohnya ejaan <saya> tidak disebut [sayə] tetapi [saya], <siapa> tidak disebut [siapə] tetapi [saya], <suka> tidak disebut [sukə] tetapi [suka] dan seterusnya. Demikian juga halnya dengan perkataan yang huruf akhirnya “r”. Kalau dalam bahasa dan dialek bukan standard terdapat pelbagai bunyi yang disebut bagi huruf “r“, akan tetapi apabila ia distandardkan, bunyi huruf tersebut dibunyikan sebagai [r]. Ejaan bagi perkataan , yang disebut sebagai [bəsaR] atau [bəsaγ] disebut sebagai [bəsar] sahaja, ejaan perkataan tidak dibunyikan dengan [lapaR] atau [lapaγ] tetapi [lapar] dan seterusnya. Keadaan ini menyebabkan kedua-dua bunyi tersebut seolah-olah sudah terseragam dalam semua lingkungan perkataan untuk bahasa Melayu standard.
Penyesuaian dan penyerapan bunyi bahasa bukan serumpun. Selain pengaruh daripada bahasa dan dialek serumpun, bahasa Melayu juga dikatakan telah menerima pengaruh daripada bahasa-bahasa yang bukan serumpun dengannya seperti bahasa Sanskrit, bahasa Tamil, bahasa Arab, bahasa-bahasa Eropah (terutama bahasa Inggeris) dan bahasa-bahasa yang berasal daripada Tanah Besar China.
Bahasa Sanskrit dan Tamil. Setakat yang berhubung dengan bahasa Sanskrit dan Tamil, S. Singaravelu (dalam Juriah Long dan rakan (ed), 1992 : 205) melihat perkembangan kehadiran bahasa-bahasa tersebut ke dalam bahasa Melayu sebagai kesan daripada kemungkinan wujudnya hubungan-hubungan kebudayaan antara para saudagar, sami, pendita, dan orang perseorangan Melayu dan India. Hubungan ini dikatakan telah mengakibatkan pula istilah-istilah India yang menandakan pelbagai unsur budaya seperti ketatanegaraan, keluarga, perniagaan, bahasa, sastera dan agama masuk ke dalam perbendaharaan bahasa Melayu.
4
PROSIDING SETALING II Penutur Melayu telah menerima perkataan-perkataan Sanskrit dan Tamil dengan mengubah bunyi dan bentuk asal dengan menyesuaikan bunyi yang sememangnya ada di dalam bahasa Melayu. Bunyi konsonan yang beraspirasi seperti /bh/ dan /dh/ telah disesuaikan dengan menggugurkan bunyi aspirat [h] dan mengekalkan bunyi [b] dan [d] sahaja. Contoh bagi perkataan Sanskrit /bhumi/ dan /bhakti/ disebut sebagai [bumi] dan [bakti] sahaja dan dieja dengan dan . Ada juga unsur aspirat itu dikekal tetapi ditukar kedudukannya melalui proses metatesis. Proses ini telah memberi bentuk baru apabila dimasukkan ke dalam Bahasa Melayu. Contoh bagi perkataan Sanskrit /bhasha/ dibunyikan sebagai [bahasa] dan dieja dengan , /argha/ disebut [harga] yang kemudiannya dieja dengan , manakala /artha/ dibunyikan [harta] dan kemudian dieja sebagai . Penyesuaian bunyi dan bentuk juga dilakukan ke atas perkataaanperkataan bahasa Tamil yang diterima menjadi bahasa Melayu. Misalnya bunyi klastar konsonan /tt/ dalam perkataan /petti/ disebut sahaja dalam bahasa Melayu [peti], bagi klastar /kappal/ disebut sebagai [kapal]. Bunyi klastar vokal [aa] dari bahasa Tamil disebut dengan satu [a] sahaja misalnya [maalai] disebut [malai]. Selain daripada itu, penutur bahasa Melayu mengubah bunyi vokal [a] pada suku awal perkataan bahasa Tamil kepada [ə] Misalnya perkataan /kadai/ disebut [kədai] dan dieja dengan , perkataan /maappillai/ diberi bentuk dan sebutan baru iaitu [məmpəlai] yang dieja dengan <mempelai>. Kemampuan penutur bahasa Melayu tidak setakat menggugur atau mengubah kedudukan bunyi bahasa yang masuk ke dalam bahasa Melayu tetapi juga mampu melakukan penambahan bunyi kepada kata asal atau sumber yang diterimanya. Bagi perkataan daripada bahasa Tamil /ayyaa/ disebut sebagai [ayah] dan dieja dengan , perkataan /ammaa/ disebut sebagai [əma?] dan dieja dengan <emak> dan perkataan /akkaa/ disebut dengan [kaka?] yang kemudian diberi ejaan .
5
PROSIDING SETALING II
Bahasa Arab. Pengaruh bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu memberi makna yang amat besar terhadap perluasan perbendaharaan kata bahasa Melayu. Bahasa tersebut dikatakan seiring dengan kedatangan dan perkembangan Islam di Kepulauan Melayu. Seperti beberapa perkataan tertentu bahasa Sanskrit dan Tamil, bahasa Melayu juga telah mengubah bunyi dan bentuk beberapa perkataan tertentu bahasa Arab. Mungkin pada peringkat permulaan penutur Melayu berusaha menyebut dengan betul perkataanperkataan yang diambil daripada bahasa Arab. Akan tetapi lama kelamaan, sebutan tersebut berubah sehingga tidak lagi memperlihatkan bunyi asalnya, dan perkataan-perkataan tersebut sudah mantap dan akhirnya dianggap milik bahasa Melayu. Antara bunyi-bunyi yang terserap dan telah disesuaikan dengan bahasa Melayu ialah bunyi fonem uvular /q/ seperti dalam perkataan /qada?/ (qada sembahyang)6 biasa disebutkan dengan [kada?], “Quran“ yang dieja dengan disebut dengan [kur?an], perkataan /qunut/ disebut dengan [kunut]. Bagi perkataan /ţalaq/ dibunyikan sebagai [talak]. Bunyi fonem uvular /γ/ disebut dengan dua cara iaitu [k] dan [h]seperti dalam perkataan /γamis/ disebut sama ada [kamis] atau [hamis], perkataan /γazanah/ dieja dengan tetapi disebut sebagai [kazanah] atau [hazanah]. Perkataan /γutbah/ yang dieja dengan disebut sebagai [kutbah] atau [hutbah]. Hal yang sama berlaku kepada perkataan bahasa Arab yang mengandungi huruf “”ع. Hampir keseluruhan perkataan bahasa Arab yang mengandungi huruf tersebut disebut dengan bunyi glotal [?] atau [k], walau di lingkungan mana ia hadir di dalam perkataan. Misalnya bagi perkataan / amal/ disebut sebagai [amal] dan ejaan bagi perkataan tersebut . Perkataan /la nat/ disebut [laknat] atau [la?nat] dan ejaannya dalam bahasa Melayu dibentuk .7 Sebagai hasil daripada langkah memperkenalkan sistem kewangan dan ekonomi Islam, masyarakat Melayu diperdedahkan dengan istilah-istilah Islam yang yang diperkirakan tidak pernah ditemui di dalam sistem kewangan kovensional. Bunyi yang terlibat ialah seperti bunyi-bunyi fonem
6
PROSIDING SETALING II /d/ seperti dalam /mudarbah/ disebut dengan [mudarabah], tidak disebut dengan [mudaRabah]. Bagi bunyi fonem /ff/ dalam /takafful/ disebut sahaja dengan [takaful] atau [takapul]. Di samping bunyi sebutan dan bentuk yang berbeza, sistem morfolgi Melayu juga telah memperlihatkan proses yang sama. Ini terutamanya berlaku apabila morfem terikat {meN}bertemu dengan kata dasar bahasa Arab yang bermula dengan huruf dan ,. Misalnya, apabila {meN}+ /fitnah/ akan terbentuk sebagai [mempitnah], [memfitnah] atau [memitnah] walaupun ejaannya dalam bahasa Melayu sebagai <memfitnah> dan bahasa Indonesia sebagai <memitnah>. Manakala bagi bentuk {meN}+ /tafsir/ akan terbentuk sebagai <mentafsir> atau <menafsir> dan disebut sebagai [məntapsir] atau [mənafsir]. Namun, setelah penguasaan dan pengetahuan bahasa Arab semakin meluas di kalangan penutur Melayu, sebagai akibat langsung daripada pendidikan Arab, sama ada diperolehi dari negara-negara Arab atau di dalam negara sendiri, maka timbul golongan yang menuntut supaya bunyi-bunyi perkataan yang berasal daripda bahasa Arab disebut atau dibunyi sebagaimana bunyi asalnya. Tuntutan ini diasaskan atas kebimbangan bahawa makna akan berubah sekiranya sebutan tidak dibunyikan seperti bunyi asalnya. Ia juga dikatakan amat penting dalam memelihara kepercayaan beragama seseorang. Antara perkataan yang sering dibangkitkan ialah perkataan “nikmat“. Pada sebutan dan pengetahuan orang awam yang tidak pernah mempelajari atau menguasai bahasa Arab pastinya tidak mengetahui bahawa tidak ada makna lain bagi perkataan tersebut, selain menyedari bahawa perkataan “nikmat“ hanyalah memiliki makna yang positif (tentunya makna “limpah kurnia“ dan bukannya bermaksud untuk mendapatkan “seksa“ ataupun “marah“) apabila diungkapkan di dalam bahasa Melayu. Akan tetapi pasti akan wujud sebutan yang berbeza jika perkataan seumpama itu semasa membaca al-Quran atau berdoa di dalam bahasa Arab. Maksudnya, untuk keperluan umum dan bukan untuk keperluan membaca al-Quran, sebutan [ni?mat] tidak janggal dan tidak bermaksud negatif, jika dibandingkan dengan
7
PROSIDING SETALING II apa yang didengar oleh orang Arab dan orang yang menguasai bahasa Arab, yang menyebutnya dengan [ni mat].
Pengaruh bahasa Inggeris. Halimah Haji Ahmad (dalam Juriah Long dan rakan (ed), 1992 : 50) pernah mengatakan: “...Adalah tidak keterlaluan, jika pada masa akan datang, generasi muda bangsa Malaysia, yang menghayati Sistem Pelajaran bahasa Kebangsaan, akan menganggap yang bahasa Melayu dan bahasa Inggeris tersebut daripada satu rumpun yang sama. Hal ini boleh berlaku kerana dalam bidang-bidang yang tertentu banyak terdapat persamaan bentukbentuk leksis bahasa Inggeris yang terdapat dalam leksis bahasa Melayu“. Kemungkin berlakunya apa yang dikatakan itu adalah sesuatu yang tidak mustahil. Lebih-lebih lagi apabila pendidikan formal di sekolah-sekolah rendah dan menengah seterusnya pusat pengajian tinggi menjadikan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Antara akibat yang terjadi dari fenomena tersebut ialah seringnya terdapat percampuran penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di dalam percakapan umum, baik dalam situasi rasmi mahupun tidak rasmi. Dalam gerakan perancangan dan pembinaan bahasa Melayu, pihak bertanggungjawab telah menerapkan dan menyesuaikan banyak perkataan daripada bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain ke dalam bahasa Melayu. Gerakan diasaskan atas kesedaran bahawa dengan cara yang sedemikian itu sahajalah bahasa Melayu dapat menjadi bahasa moden dan dapat dijadikan bahasa pengantar bagi apa jua bidang ilmu pengetahuan moden. Perancangan itu tidak sahaja menyerapkan istilah-istilah bahasa Inggeris dan asing ke dalam bentuk sistem ejaan bahasa Melayu, 8
PROSIDING SETALING II tetapi juga ia melibatkan aspek sebutan. Namun, pihak perancang bahasa Melayu masih mempertahankan bentuk dan bunyi yang sekian lama dianggap sudah mantap dan tidak perlu diubah-ubah lagi. Misalnya perkataan-perktaan “botol“, “basikal“, “gelas“, “buku“ , “rekod“ , “pencen“ dan banyak lagi. Seperti halnya dengan pengaruh bahasa Arab, pada peringkat awal memang tidak ramai di kalangan orang Melayu mampu memperluas dan mengtahui bahasa Inggeris. Ini kerana peluang untuk memasuki sekolah berpengantarkan bahasa Inggeris amat terbatas dan terhad. Justeru, tidak ramai juga yang mengetahui “kejanggalan“ bunyi sebutan apabila orang Melayu tidak menyebut atau gagal menyebut bunyi-bunyi bahasa Inggeris sebagaimana orang Inggeris menyebutnya. Walau bagaimanapun, dalam pembentukan Sistem Ejaan bahasa Melayu, beberapa ketetapan tertentu dan terbaru telah dibuat. Ketetapan tersebut seolah-olah lebih banyak mengekalkan ciriciri bentuk asal, di samping menentukan perubahan pada bunyi sebutan. Oleh sebab ruang dan peluang orang Melayu untuk mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris semakin terbuka luas, bahkan dikuasai melalui sistem pendidikan yang dwibahasa atau sistem pendidikan yang sepenuhnya berpengantarkan bahasa Inggeris, maka secara langsung, ia telah memberi kesan yang amat menarik bagi bunyi-bunyi perkataan atau istilah yang diserapkan ke dalam bahasa Melayu. Ada bunyi perkataan yang sudah stabil atau mantap disebut di dalam bunyi bahasa Melayu disarankan supaya dibunyikan sebagaimana perkataan itu dieja. Misalnya, umum merasa janggal apabila mengubah bunyi perkataan /bank/ yang lazim disebut [bεnk] disaran supaya disebut [bank], /panel/ yang lazim disebut [penal] disaran dengan sebutan [panel], /forum/ yang lazim disebut dengan [foram], disaran disebut dengan [forum], perkataan /focus/ disebut dengan [fokas] tetapi disaran supaya disebut [fokus], dan banyak lagi. Demikian juga bagi perkataan Inggeris yang dieja dengan . Perkataan ini diterima ke dalam bahasa Melayu dengan mengubah ejaannya kepada dan disaran supaya disebut dengan [koir] yang bunyi asalnya [kowayə].
9
PROSIDING SETALING II Bunyi-bunyi yang disarankan telah dianggap janggal dan ganjil oleh segelintir orang Melayu, yang rata-ratanya sudah menguasai bahasa Inggeris dengan fasih dan lancar mengungkapkan bunyi asal bahasa tersebut. Ini kerana bentuk dan bunyi asal telah diperkenalkan kepada mereka semasa sejak kecil, sejak mempelajari bahasa Inggeris atau melalui bidang-bidang lain yang diterima melalui bahasa Inggeris. Sebab itu, ada penutur Melayu yang berpendidikan Inggeris tidak akan merasa salah jika membunyikan perkataan-perkataan yang sedemikian itu dengan nada “keinggerisan“ apabila mereka bercakap menggunakan bahasa Melayu, baik dalam situasi rasmi ataupun tidak rasmi. Bagi mereka, bunyi-bunyi yang mereka sebut adalah bunyi sebenar.
Penutup dan saran. Memandangkan begitu banyaknya perkataan bahasa asing yang masuk ke dalam bahasa Melayu, maka secara langsung atau tidak langsung ia bukan sahaja memperkayakan khazanah perbendaharan kata bahasa Melayu, tetapi dalam masa yang sama telah membawa masuk bunyi-bunyi bahasa yang baru. Gejala ini, jika dilihat dari aspek fonolgi, adalah satu perkembangan terbaru dalam sistem fonologi, sistem ejaan dan sistem sebutan bahasa Melayu. Meskipun perkembangan ini tidak memberi implikasi dan signifikan yang nyata kepada sistem fonolgi bahasa Melayu, tetapi ia tetap menarik dan wajar diberi perhatian jika unsur bunyi dan sebutan tidak menjejaskan perkembangan bahasa Melayu, asalkan ia tidak melibatkan perubahan makna yang lain. Dalam hubungan ini, apakah tidak mungkin bahasa Melayu menerima juga bunyi yang bervariasi bagi sesuatu lambang fonetik/fonem, sebagaimana adanya variasi yang bersifat sinonim bagi perkataan-perkataan tertentu di dalam bahasa Melayu. Maksudnya, untuk memungkinkan agar bahasa Melayu masih tetap diterima oleh penuturnya, maka harus diizinkan kehadiran multibunyi dan multibentuk bagi perkataan-perkataan tertentu. Mungkin sahaja kestandardan bahasa Melayu boleh direalisasikan pada sistem ejaannya, tetapi wajar terbuka di
10
PROSIDING SETALING II dalam penyebutannya. Inilah antara pengorbanan yang mungkin membawa bahasa Melayu itu dapat menjadi “...pencerna dan pewahana ilmu pengetahuan?“. 1
Adrian Akmajian et al., 2002, Linguistik: Pengantar Bahasa dan Komunikasi , terjemahan Aishah Mahdi dan Azizah Hussein. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, m.s. 7 2 Nik Safiah Karim, 1986, Bahasa Melayu –Persoalan dan Pergolakan. Kuala Lumpur :Gateway Publishing House Sdn.Bhd., m.s. 2 3 Ibid 4 Asmah Haji Omar menyatakan bahawa penamaan bahasa standard adalah wujud daripada penamaan yang salah. 5 Asmah Hj. Omar, 1977, Kepelbagaian Fonologi Dialek-Dialek Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, m.s. 2 6 Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, Daftar Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu. m.s. 4 7 Ibid, m.s.11
11