1.0 PENGENALAN Untuk pengetahuan semua, masalah bahasa dan komunikasi ini kerap kali terjadi kepada kanak-kanak berkategori khas terutamanya kepada kanak-kanak masalah pendengaran. Hal ini terjadi kerana beberapa faktor utama seperti kehilangan deria pendengaran yang mana menyukarkan mereka untuk mempelajari bahasa. Oleh itu, terdapat banyak intervensi yang telah dilakukan bagi membolehkan mereka mempelajari dan menggunakan kemahiran berbahasa ini dengan betul bagi memudahkan komunikasi mereka dengan orang lain.
2.0 PENGENALAN MASALAH PENDENGARAN Menurut Hallahan dan Kaufman dalam Gargiulo (2003), masalah pendengaran dapat didefinisikan sebagai satu masalah dimana seseorang itu tidak dapat mendengar dengan jelas pada satu tahap kekuatan bunyi. Selain itu, menurut Asiah 2012 dalam nota kecacatan deria: masalah pendengaran, Kecacatan pendengaran ini dapat ditakrifkan sebagai satu penyakit yang terjadi apabila deria pendengaran seseorang terganggu daripada menerima atau mengamati sesuatu bunyi, perbuatan atau bisikan orang lain. Secara umumnya, masalah pendengaran ini dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu pekak dan separuh pekak. Pekak secara umumnya merujuk kepada satu kecacatan yang mana seseorang itu tidak mampu mendengar langsung walaupun dengan bantuan alat pendengaran. Manakala masalah separa pekak pula merujuk kepada masalah yang mana seseorang itu masih mempunyai sisa pendengaran dan mampu mendengar dengan bantuan alat. Bagi masalah separuh pekak, terdapat empat tahap iaitu ringan, sederhana, sederhana teruk dan teruk. Bagi masalah pendengaran tahap ringan, seseorang itu masih boleh mendengar dalam lingkungan 15dB-29dB tetapi dengan syarat dalam keadaan yang senyap. Bagi tahap sederhana pula, mereka mampu mendengar sesuatu bunyi dalam lingkungan 30dB-44dB. Masalah sederhana teruk pula, mereka mampu mendengar dalam keadaan bunyi tersebut berukuran 45dB-79dB sahaja. Bagi tahap teruk pula mereka biasanya akan mengalami masalah daripada segi pertuturan dan perbualan kerana mereka hanya mampu mendengar dalam lingkungan 80dB-90dB sahaja.
1
3.0 CIRI MASALAH BAHASA KANAK-KANAK MASALAH PENDENGARAN 3.1 MASALAH BAHASA KANAK-KANAK MASALAH PENDENGARAN DARI SEGI SEMANTIK Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, semantik merupakan satu ilmu yang berkaitan dengan makna atau erti kata dan penambahan mahupun perubahan makna kata. Berdasarkan andaian kedua dalam teori pemerolehan bahasa nativis, perkembangan bahasa kebiasanya berkembang mengikut sesuatu program biologikal dan kronologikal yang telah ditetapkan. Hal ini dipersetujui oleh Eric Lenneberg (1967) dalam Goh dan Silver (2004) melalui karyanya iaitu Hipotesis Tempoh Kritikal. Melalui karya ini, beliau berpendapat bahawa kanak-kanak yang sedang belajar bertutur hendaklah mendengar orang lain berbual dalam tempoh masa tertentu. Hal ini kerana terdapat suatu tempoh masa penting yang mampu membantu seseorang kanakkanak dalam mempelajari dan menguasai bahasa pertuturan. Namun perkara ini tidak terjadi kepada kanak-kanak masalah pendengaran. Masalah ini terjadi berikutan mereka memiliki kesukaran untuk mendengar dengan sempurna sama seperti bagaimana kanak-kanak normal mendengar dan sekaligus ini telah menyukarkan mereka untuk berkomunikasi secara berkesan dengan orang disekeliling mereka. Perkara ini dapat dibuktikan melalui dapatan kajian yang dibuat oleh Abdullah dan Che Rabiaah pada tahun 2000 yang mana kebanyakkan dari mereka kerap kali menghadapi masalah dalam memahami sesuatu makna ayat yang dituturkan biarpun telah dinyatakan secara berulang-ulang kali. Antara bentuk masalah yang dihadapi oleh mereka ialah mengalami kesukaran dalam memahami ayat majmuk. Hal ini kerana ayat majmuk yang mana memiliki lebih daripada satu subjek dan prediket, berbentuk ayat panjang serta memiliki makna yang kompleks telah
menyukarkan kanak-kanak masalah
pendengaran memahami maksud yang cuba disampaikan (Abdullah dan Che Rabiaah, 2000). Perkara ini juga telah disokong dengan wujudnya penemuan berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Abdullah (1993) yang mana beliau telah melakukan satu ujian pemahaman lisan terhadap 30 orang remaja masalah pendengaran. Berdasarkan kajian ini, beliau telah mendapati majoriti remaja yang menjalani ujian ini tidak dapat memahami ayat majmuk dengan baik. Menurutnya, antara faktor yang menyumbang kepada ketidakfahamanan ayat majmuk ini berlaku kerana sifat ayat majmuk itu sendiri yang berbentuk ayat panjang, mempunyai makna kompleks serta dihubungkan dengan pelbagai jenis kata hubung telah menyukarkan pelajar masalah pendengaran ini untuk mentafsir mesej dengan cekap (Abdullah,1993). Oleh itu berdasarkan
2
kedua-dua kajian ini maka benarlah bahawa kanak-kanak masalah pendengaran ini mengalami kesukaran dalam memahami ayat majmuk dengan baik. 4.0
INTERVENSI
MENGATASI
MASALAH
BAHASA
KANAK-KANAK
MASALAH
PENDENGARAN Antara intervensi yang boleh dilakukan bagi menyelesaikan masalah semantik diatas ialah dengan menggunakan bahasa isyarat. Secara umumnya bahasa isyarat adalah satu bahasa yang digunakan oleh mereka yang menghidapi masalah pendengaran untuk berkomunikasi. Bahasa isyarat ini dilakukan dalam komunikasi dengan menggunakan bantuan visual. Bagi melaksanakan bahasa isyarat ini, si penutur biasanya akan menggunakan pergerakan tangan, pergerakan badan dan juga melalui mimik muka bagi menyampaikan sesuatu input. Manakala orang yang di lawan bicara pula akan menggunakan deria penglihatan mereka untuk menerima dan memahami maksud isyarat yang dilakukan oleh si penutur. Berdasarkan kepada contoh masalah semantik dari segi kesukaran memahami ayat majmuk ini, penggunaan bahasa isyarat sememangnya dapat membantu mereka untuk memahami makna ayat majmuk dengan mudah. Hal ini kerana bahasa isyarat kebiasaannya mempunyai satu isyarat yang tersendiri bagi melambangkan setiap perkataan. Perkara ini amat memudahkan golongan masalah pendengaran ini untuk memahami ayat majmuk yang diungkapkan dengan lebih jelas. Bukan itu sahaja, penggunaan bahasa isyarat ini juga dapat memudahkan golongan masalah pendengaran memahami makna ayat majmuk dengan berkesan berikutan wujudnya simbol yang membantu memendekkan lagi sesuatu ayat majmuk yang panjang menjadi ayat tunggal yang mudah serta ringkas. Sebagai contoh, kanak-kanak masalah pendengaran boleh memahami simbol bahasa isyarat yang melambangkan “awak boleh tandas” yang digunakan oleh guru mereka sebagai gantian kepada ayat “saya benarkan awak untuk pergi ke tandas”. Bagi melaksanakan bahasa isyarat seperti ini dalam komunikasi, guru tersebut perlulah melakukan beberapa langkah yang berikut. Yang pertama guru tersebut perlulah menghadap murid masalah pendengaran. Kemudian guru boleh memilih simbol yang difahami oleh murid yang melambangkan perkataan “awak”, “boleh” dan “tandas”. Setelah itu, guru itu perlulah menyusun simbol tersebut mengikut urutan yang betul dalam menghasilkan ayat “awak boleh tandas”. Kemudian komunikasi ini akan berjaya apabila pelajar tersebut memberi respon seperti keluar ke tandas mahupun menganggukkan kepala sebagai isyarat memahami ayat terbabit.
3
Menerusi contoh penggunaan bahasa isyarat diatas, jelas sekali bahasa isyarat ini dapat memudahkan mereka memahami ayat tersebut kerana lambang yang dinyatakan jelas dan ringkas serta tidak memberi kekeliruan makna untuk difahami. Perkara sebegini amat bertepatan dengan teori pemerolehan bahasa interaksionalis yang dinyatakan oleh Vygotsky (1986), dimana beliau berpendapat bahawa orang dewasa mampu mengubah suai corak untuk berkomunikasi, mengubah suai intonasi bahasa, mempermudahkan struktur ayat, serta memperlahankan kadar pertuturan semasa menggunakan bahasa untuk berinteraksi bersama kanak-kanak bagi membolehkan seseorang kanak-kanak itu memahami maksud yang cuba disampaikan. Justeru, benarlah bahawa penggunaan bahasa isyarat ini mampu membantu kanak-kanak ini memahami dengan lebih jelas penggunaan ayat majmuk yang digunakan dalam komunikasi harian melalui pengenalan simbol yang diberikan.
5.0 KESIMPULAN Kesimpulannya, bahasa isyarat merupakan antara salah satu intervensi yang berkesan dalam melahirkan komunikasi yang berkesan. Namun begitu, bahasa isyarat ini kurang sesuai untuk dipraktikkan dalam keadaan yang formal seperti ketika mempelajari Bahasa Melayu di sekolah. Hal ini kerana bahasa isyarat ini mempunyai hukum tatabahasa yang kurang tepat dengan hukum tatabahasa yang digunakan oleh Bahasa Melayu Standard. Namun begitu, isu ini tidak seharusnya menjadi satu penghalang untuk di praktikkan dalam kehidupan seharian kita kerana bahasa isyarat ini sememangnya terbukti mampu membantu golongan masalah pendengaran berkomunikasi dengan orang lain secara berkesan. Justeru, saya berharap agar kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dengan golongan ini akan bersama-sama memahami dan mengguna pakai bahasa isyarat ini apabila kita berhadapan dengan golongan ini dalam kehidupan kita.
4
RUJUKAN : (Abdullah Yusoff dan Che Rabiaah Mohamed, 2000)
Abdullah Yusof. (1993). Struktur Ayat BM: Satu Kajian Kes terhadap Pelajar Pekak. Jurnal Dewan Bahasa. 37:3 hlm 516-524.
Abdullah Yusoff dan Che Rabiaah Mohamed. (2000). Penguasaan Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid Pekak : Suatu Sorotan dari Perspektif Linguistik. Jurnal Dewan Bahasa, 639–680.
Gargiulo, R. M. (2003). Special education in contemporary society An introduction to exceptionality. United State of America: R.R Donnelley and Sons, Willard.
Goh,C.C.M.&Silver, R.E.(2004). Language Acquisition and Development: A Teacher's Guide. Singapore: Longman.
Kamus Dewan Edisi Keempat.(2005).Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Kamus Pelajar Edisi Kedua.(2016).Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
KULIAH 8: KECACATAN DERIA: MASALAH PENDENGARAN. (n.d.). Retrieved from http://vodppl.upm.edu.my/uploads/docs/KULIAH 8 Kanak-Kanak Bermasalah Pendengaran.pdf
Vygotsky, L.S.(1986). Thought and Language. (A. Kozulin, Trans.). Cambridge, MA: MIT Press. (Original work published 1934)
5