PROGRAM SARJANA PENDIDIKAN EKSEKUTIF (SABAH SARAWAK) SEMESTER 2 SESI PENGAJIAN 2006/2007
G6213 TEORI DAN AMALAN KURIKULUM (TUGASAN TAMBAHAN) Tajuk : Nilai dengan memberikan contoh-contoh yang kongkrit sumbangan aliran pemikiran progressivism dalam pembentukan kurikulum pendidikan persekolahan di Malaysia
Oleh MICHEAL ANAK RINGGIT G74588
PENSYARAH : DR. SHARIFAH NOR PUTEH FAKULTI PENDIDIKAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
2
PENGENALAN Kurikulum pendidikan di negara kita telah mengalami pelbagai perubahan yang drastik iaitu selari dengan perkembangan semasa. Tahukah anda pengertian kurikulum? Kurikulum adalah tunjang utama kepada perancangan dan amalan pendidikan. Ia merupakan satu rancangan pendidikan yang membendung segala ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai dan norma serta unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang menjadi pilihan masyarakat untuk diwariskan kepada ahli-ahli dari satu generasi kepada generasi yang lain. Rancangan pendidikan ini bertujuan untuk memenuhi keperluan individu dan negara. Ada penulis yang menyamakan kurikulum dan sukatan pelajaran, kursus-kursus pengajian, mata pelajar mata pelajaran dan jadual waktu. Perancangan yang teliti dan tepat sangat perlu bagi menjamin perkembangan individu dari segi intelek, rohani, emosi dan psikomotor supaya berlaku keseimbangan sewajarnya. Justeru itu kurikulum sekolah hendaklah disusun dengan penuh teliti dengan mengambil kira semua aspek yang releven dan proaktif supaya dapat melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran. Kurikulum sekolah akan berjaya dan berfungsi sepenuhnya jika dapat menjadi garis panduan guru melaksanakan pengajaran untuk menghasilkan pembelajaran sebagaimana yang dituntut oleh falsafah pendidikan negara (FPN)
DEFINISI KURIKULUM Akta Pendidikan 1996 mentakrifkan kurikulum sebagai suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan. Menurut Tyler ( 1949 ) Kurikulum adalah alat berfungsi untuk pendidikan. Manakala Taba (1962) pula menyatakan bahawa kurikulum adalah suatu pelan bagi pembelajaran.
3 Stenhouse (1975) mendefinisikan kurikulum adalah suatu bentuk spesifikasi mengenai amalan pengajaran. Tanner & Tanner pula menyatakan kurikulum adalah pengalaman pembelajaran dan hasil pembelajaran yang dirancang dan dibimbing. Jadi, dapat kita rumuskan bahawa kurikulum adalah merupakan suatu pengalaman pembelajaran yang terancang ke arah mencapai hasrat penghasilan yang ditentukan. FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. IMBASAN SEJARAH PEMBENTUKAN KURIKULUM Penyata Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957 - Zaman Pengukuhan 1. Pembentukan satu system pendidikan kebangsaan 2. Pengakuan matlamat akhir Bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar utama 3. Permulaan kurikulum yang berorientasikan alam sekeliling Malaysia 4. Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua Laporan Rahman Talib dan Akta Pelajaran 1961 - Zaman Kemaskini 1. Penegasan kepada pendidikan asas 3M membaca, menulis dan mengira 2. Penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang diingini 3. Penegasan kepada kurikulum ala Malaysia 4. Pendidikan menengah atas melalui dua jurusan, akademik dan vokasional 5. Peluang melanjutkan persekolahan dari 9 tahun ke 11 tahun 6. Melicinkan tatacara pengurusan pelajaran meningkatkan mutu pelajaran keseluruhan
4 Laporan Kabinet 1979 1. Penegasan kepada pendidikan asas 3M membaca, menulis dan mengira 2. Penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang diingini 3. Penegasan kepada kurikulum ala Malaysia 4. Pendidikan menengah atas melalui dua jurusan, akademik dan vokasional 5. Peluang melanjutkan persekolahan dari 9 tahun ke 11 tahun 6. Melicinkan tatacara pengurusan pelajaran meningkatkan mutu pelajaran keseluruhan Rang Undang Undang Pendidikan 1995 1. Sistem pendidikan kebangsaan dicorakkan untuk menghasilkan pendidikan bertaraf dunia dari segi kualiti untuk mencapai aspirasi negara 2. Falsafah Pendidikan Negara dijadikan landasan kepada dasar pendidikan kebangsaan Tempoh pendidikan rendah adalah antara 5-7 tahun 3. Pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada system pendidikan kebangsaan 4. Pendidikan teknik & politeknik dipertingkatkan 5. Peruntukan diadakan bagi mengawal selia pendidikan swasta Kurikulum 1956 - General Syllabuses and Timetable Committee ditubuhkan 1964 - General Syllabuses and Review Committee ditubuhkan 1965 - -Pendidikan Komprehensif dimulakan 1967 - Report of the Committee on Curriculum Planning and Development 1973 – Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) ditubuhkan 1982 - KBSR dilaksanakan di 302 buah sekolah rendah sebagai percubaan 1983 - KBSR dilaksanakan di semua sekolah rendah 1988 - Pelaksanaan KBSR sepenuhnya dicapai 1988 - Pelaksanaan KBSM bermula untuk mata pelajaran bahasa 1989 - Pelaksanaan KBSM bermula untuk mata pelajaran lain 1989 - Kemahiran Hidup Program Peralihan dimulakan di tingkatan 1 1989 - Pelaksanaan PKBS di tahun 1 hingga tahun 6 di semua sekolah rendah
5 1989 - Mata pelajaran Kemahiran Manipulatif dilancarkan di 100 buah sekolah rendah 1991 - Mata pelajaran Kemahiran Manipulatif dilaksanakan di 1000 buah sekolah rendah 1991 - Kemahiran Hidup bersepadu dimulakan di Tingkatan 1 1992 - Mata pelajaran Kemahiran Hidup Manipulatif dilaksanakan di 3000 buah sekolah rendah 1993 - Kemahiran Hidup mula dilaksanakan di Tahun 4 di semua sekolah rendah. Sekolah yang telah melaksanakan Kemahiran Manipulatif meneruskannya di Tahun 5 dan 6 sekolah rendah.
SUMBANGAN PEMIKIRAN PROGRESSIVISM DALAM PENGGUBALAN KURIKULUM PENDIDIKAN DI MALAYSIA Setelah kita teliti sejarah perkembangan kurikulum di atas serta definisi pembentukan kurikulum maka kita dapati kurikulum kita telah diadaptasi dari beberapa pemikiran oleh tokoh barat. Pandangan serta pemikiran progressivism Jean-Jacques Rousseau berhubung pendidikan banyak mempengaruhi pembentukan kurikulum di Malaysia. Ini dapat kita rungkaikan dari buku beliau yang bertajuk The Education Of Emile. Idea serta pemikiran beliau juga dapat kita lihat dalam kurikulum yang kita gunapakai hingga ke hari ini. Menurut beliau, pendidikan adalah sesuatu yang berterusan bermula sejak dari kanakkanak lagi. Segala kebolehan yang bersifat semulajadi lahir dengan sendirinya mengikut kehendak dan peraturan semulajadi dan ini perlu berterusan. Kanak-kanak itu harus dididik mengikut fitrahnya sebagai seorang kanak-kanak dan jangan melatih seseorang kanak-kanak menjadi dewasa terlalu awal. Biar kanak-kanak itu mengalami sendiri tanpa paksaan daripada orang dewasa. Sebagai orang tua kita seharusnya memupuk semangat ingin tahu pada diri kanak-kanak iaitu dengan bertanyakan soalan-soalan yang mencungkil pemikiran serta membuka minda kanak-kanak. Idea pendidikan Rousseau telah mempengaruhi
pemikiran tokoh-tokoh dan ahli
pendidikan Amerika seperti Dewey, Herbert Spencer, Rugg, Kilpatrick sehingga tercetus aliran progressivism dalam sistem pendidikan di Amerika dan negara-negara barat. Pemikiran beliau juga banyak menyumbang dalam pembentukan kurikulum pendidikan di Malaysia.
6
Berikut adalah beberapa idealogi beliau yang harus kita hayati: 1. Matlamat atau tujuan Menurut beliau kurikulum adalah untuk kehidupan seharian, untuk menjadi pekerja, sebagai rakyat atau warganegara, memupuk perwatakan atau karektor individu dan bagi memenuhi masa lapang. Pandangan beliau dapat kita hayati dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dijadikan asas untuk menggubal kurikulum pendidikan di Malaysia. Setiap pelajar diberikan peluang untuk dikembangkan potensinya secara menyeluruh dan bersepadu supaya dapat melahirkan individu yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Kurikulum yang relaven menurut (Pusat Kembangan Kurikulum) Kurikulum yang digubal seharusnya berupaya menghasilkan pekerja ilmu yang inovatif dengan menjana dan menggunakan segala dan kuasa mindanya secara kompleks dan berkesan. 2. Ilmu Pengetahuan Ilmu yang dipelajari adalah gerhubung kehidupan seharian iaitu pengalaman kehidupan sebenar pelajar. 3. Bentuk individu Kurikulum yang dibentuk tidak harus berasaskan isi atau kandungan mata pelajaran sahaja. Kebebasan fizikal dan mental meneroka, berfikir, kreatif dan pentingkan tahap perkembangan individu patut dipertimbangkan. Kita mesti sedar bahawa setiap individu itu unik, pembelajaran mesti memberi makna kerana setiap individu ada keupayaan untuk belajar yang tersendiri. 4. Masyarakat/negara Pendidikan utk menyediakan masa depan Negara dan menyelesaikan masalah.negara. Pendidikan yang komprehensif kepada pelajar turut menjadi penekanan kerajaan. Baru-baru ini, Bajet 2008 memperlihatkan bahawa penekanan pelajaran bukan saja terhadap kurikulum dan mendapat kecemerlangan dalam aspek pembelajaran bilik darjah, malah juga menekankan aspek kokurikulum ke arah pembentukan sahsiah dan membina kualiti kepemimpinan pelajar. Dengan memacukan pelaburan dalam sektor modal insan, masa depan negara diharapkan akan terus memacu kejayaan demi memartabatkan maruah negara terus berdaulat dan kekal merdeka.
7 5. Organisasi Kurikulum yang digubal hendaklah seimbang dari segi akademik dan bukan akademik. Iaitu mengambil kira minat, aptitude, kemahiran social, political, ekonomi, mengikut kebolehan dan keupayaan individu. FALSAFAH PENDIDIKAN PROGRESIVISME Falsafah pendidikan ini dibentuk di Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 1920-an. Ia muncul daripada pragmatisme dan kemudian dibentuk untuk pendidikan oleh John Dewey. Pada tahun 1915, terbit bukunya yang pertama School of Tomorrow, dan empat tahun kemudian pertubuhan pendidikan progresif ditubuhkan. Selama 30 tahun pertubuhan ini bergerak barulah kesannya terhadap pendidikan mula dirasai. Pada peringkat awalnya ia bersifat individualistik, dan hanya pada tahun-tahun 1930-an, ia mula memberi perhatian kepada perubahan sosial. Aliran pemikiran progresivisme adalah bertentangan dengan aliran pemikiran perenialisme. sebagai falsafah pendidikan, progresivisme adalah mengambil asas daripada falsafah umum pragmatisme yang dipelopori oleh charles Pierce, charles Darwin, William James, William Kilpatrick dan John Dewey. Namun pemikiran dan penulisan John Dewey adalah yang banyak mempengaruhi falsafah progresivisme ini. Menurut falsafah ini, sekolah adalah sebagai unit masyarakat yang bersifat demokratik. Kelahiran individu manusia ke dunia ini adalah bersifat suci serta semula jadi seperti kain putih. Corak individu manusia pada masa depan adalah dipengaruhi dan sangat bergantung kepada persekitaran serta masyarakatnya. Oleh yang demikian pendekatan yang diambil dalam pendidikan adalah perlu secara semula jadi dan mengikut tabii pelajar serta alam sekitarnya. Prinsip yang terkandung dalam falsafah ini antara lain adalah bahawa pendidikan sebagai proses yang mencorakkan manusia mengikul persekitaran yang ada. Para pelajar adalah lebih banyak berperanan dalam aktiviti pembelajaran meraka. Peranan guru adalah sebagai pembimbing dalam proses pengajaran dan pembelajaran pelajar. Masyarakat adalah bersifat demokratik dan ciri ini perlu wujud di sekolah. Kurikulum yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan adalah berkisar kepada pengalaman, peribadi dan sosial pelajar. Kurikulum adalah berteraskan kepada subjek sains sosial. Walau bagaimanapun
8 kurikulum yang bersifat merentas disiplin adalah diperlukan kerana dalam kehidupan aktiviti penyelesaian masalah adalah melibatkan kemahiran berkomunikasi, kemahiran mengguna logik matematik dan proses inkuiri saintifik. sumber muktamad bukanlah daripada buku. Sebaliknya buku hanyalah sebagai alat dalam proses pembelajaran. Mengikut fahaman ini guru bukanlah sebagai pendeta yang menguasai dan membekali segala ilmu. Peranan guru adalah berbeza dengan yang terdapat dalam aliran lain. Guru adalah pembimbing pelajar kerana pelajar berkeupayaan memikir, meninjau dan membuat penerokaan sendiri mengenai keperluan dan minat masing-masing. Guru juga berperanan sebagai pemandu kepada pelajar dalam aktiviti dan projek penyelesaian masalah. Guru hendaklah membantu pelajar mendefinisi masalah yang bermakna, mengenal pasti sumber data dan ilmu yang relaven, mentafsir dan menilai ketepatan data dan merumuskan kesimpulan. Progresivisme menentang autoritarianisme dan menyokong pengalaman manusia sebagai asas untuk mendapatkan pengetahuan. Ia merupakan falsafah pendidikan yang memberi gerak balas kepada falsafah pendidikan perenialisme yang telah dikritik kerana memberi perhatian yang lebih kepada autoriti guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ahli-ahli pragmatisme juga menolak pandangan ahli-ahli perenialisme yang menganggap pengetahuan atau kebenaran sebagai tetap. Bagi mereka, sekolah sepatutnya tidak mengajar sebarang prinsip yang tetap kepada pelajar-pelajar, tetapi sebaliknyaia berperanan untuk menyediakan pelajar-pelajar supaya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan-keadaan yang berubah. Ahli-ahi progresivisme menggambarkan pengetahuan sebagai penerangan tentatif yang sesuai dengan realiti semasa, dan pengetahuan ini tidak dianggap sebagai benar untuk selama-lamanya. Kehidupan sendiri menggambarkan situasi-situasi yang berubah. Oleh itu, adalah menjadi tugas cerdik pandai untuk membentuk situasi yang dapat disesuaikan dengan situasi yang sedia ada. Oleh yang demikian, pengetahuan merupakan penerangan tentatif bagi masalah semasa dan ia mestilah mempunyai kegunaan dan kepentingannya. Ahli-ahli progresivisme menggambarkan guru sebagai pembimbing atau penasihat membantu pelajar-pelajar mengenali masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka di alam persekitaran yang berubah. Oleh itu, penekanan yang lebih mestilah diberikan unruk membentuk pelajar supaya memperolehi kemahiran menyelesaikan masalah. Ramai ahli progresivisme
9 merasakan pendekatan induktif sesuai digunakan untuk mencapai objektif ini. Ini kerana pengajaran secara induktif tidak memberi kepada pelajar-pelajar penerangan am, tetapi memerlukan mereka membentuk penerangan sendiri yang akan menerangkan fenomenafenomena di mana mereka didedahkan. Menurut Johnson dan rakan-rakannya (1969), ahli-ahli progresivisme menggambarkan pelajar sebagai indivdu yang berpengalaman, berfikiran, dan suka mengembara. Progresivisme mendedahkan pelajar kepada perkara-perkara seperti pengalaman sosial, kajian sosial, projek, masalah-masalah dan eksperimen, yang mana apabila dipelajari melalui kaedah saintifik akan menghasilkan pengetahuan yang boleh digunakan daripada semua bidang pelajaran yang dipelajari. Buku dianggap sebagai alat dalam proses pembelajaran dan bukan sebagai sumber-sumber pengetahuan yang tidak boleh dipersoalkan. Ahli-ahli progresivisme didapati memberi rumpuan kepada proses pembelajaran. Ahli-ahli progresivisme menggambarkan manusia pada dasarnya sebagai "baik". Oleh itu, jikalau manusia diberi kebebasan, secara umumnya, dia akan memilih arah tindakannya yang baik. Idea ini mencadangkan agar pelajar diberi kebebasan untuk memilih. Adalah dianggapkan bahawa dia akan memilih opsyen-opsyen yang berguna dan baik buat dirinya. Ahli-ahli progresivisme juga menganggap bahawa pelajar pada dasarnya akan belajar perkara-perkara yang berkaitan dengan minatnya. Mereka juga menganggap bahawa pelajar lebih bermotivasi untuk belajar perkara-perkara yang dia anggap penting dan berguna kepada dirinya. Akibatnya ramai ahli progresivisme memberi perhatian yang lebih untuk mengenalpasti kandungan-kandungan pelajaran yang dianggap sesuai atau relevan dengan pelajar. Isu ini agak melampaui pandangan awal Dewey, iaitu pelajar tidak digalakkan belajar hanya kandungan pelajaran yang diminati sahaja. Menurut Dewey, guru perlu mengawal suasana pembelajaran supaya perkembangan yang bermakna dapat dicapai. Beliau juga mempercayai bahawa perkara-perkara yang diajar boleh disusun supaya bersesuaian dengan minat pelajar. Ahli-ahli progresivisme menggambarkan pendidikan adalah penghidupan, dan bukan semata-mata persediaan untuk hidup. Menurut Dewey, pendidikan di sekolah sebenarnya bukan persediaan untuk hidup, tetapi merupakan sebahagian daripada penghidupan itu sendiri. Sekolah bukan sahaja tempat untuk mendapatkan pengetahuan
10 akademik, tetapi juga merupakan tempat pelajar bekerja dan hidup bermasyarakat. Beliau mahu sekolah bertugas atas dasar yang praktikal dengan mengadakan pelajaran pertukangan tangan, kemahiran perusahaan dan juga pelajaran-pelajaran lain yang dapat menimbulkan daya cipta di kalangan pelajar itu sendiri. Ahli-ahli progresivisme menganggap sekolah berperanan untuk menggalakkan kerjasama dan bukan persaingan. Manusia bersifat sosial dan saling berhubungan di antara satu sama lain. Oleh itu, ahli-ahi progresivisme menyatakan bahawa percintaan dan persahabatan lebih sesuai untuk pendidikan jika dibandingkan dengan persaingan dan kepentingan perseorangan. Ahli-ahli progresivisme tidak menafikan kebaikan persaingan. Mereka bersetuju bahawa pelajar-pelajar boleh bersaing di antara satu sama lain, asalkan persaingan tersebut membawa kepada pertumbuhan persendirian. Walau bagaimanapun, ahli-ahli progresivisme tetap menyatakan bahawa bekerjasama adalah lebih baik dan sesuai daripada persaingan jika dilihat kepada fakta-fakta biologi dan social manusia. Selain daripada itu, sekolah juga berperanan untuk menggalakkan demokrasi. Pendidikan, pertumbuhan dan demokrasi adalah saling kait-mengait. Untuk mengajar demokrasi, sekolah sendiri mestilah demokratik. Ia seharusnya menggalakkan kerajinan pelajar, kebebasan berbincang, perancangan bersama pelajar dan guru, dan penglibatan sepenuhnya dalam semua aktiviti pendidikan (Kneller, 197I). Telah dikatakan tadi bahawa falsafah pendidikan progresif tidak percaya adanya kebenaran yang mutlak, kerana keadaan dunia ini tidak tetap dan kehendak serta minat manusia tidak serupa. Oleh yang demikian, menurut pendidikan progresif, keseluruhan bidang pengajian atau kurikulum perlulah ditentukan dengan merujuk kepada keperluan dan desakan masa kini. Ini bermakna tiada rekabentuk kurikulum yang digunakan hanya atas sebab ia berjaya pada masa-masa lepas. Oleh kerana keperluan dan kehendak manusia berubah atau sentiasa mengalami perubahan, maka kurikulum mestilah juga mudah diubahsuaikan dan tidak terikat pada mana-mana corak kurikulum. Oleh kerana tiada kurikulum yang sesuai untuk semua zaman, maka tiada kurikulum yang sejagat atau yang sesuai untuk setiap pelajar pada masa ini. Ini berbeza daripada pendidikan tradisional yang meletak dan menaikkan setengah-setengah mata pelajaran ke tempat yang terulung atau terutama sebagai punca kebenaran, manakala mata-mata pelajaran yang lain tetap diberi status yang rendah tanpa mengira keadaan yang wujud.
11 Kurikulum pendidikan progresif bukan sahaja mempunyai mata-mata pelajaran yang tidak berhierarki, tetapi iajuga lebih luas dan mungkin tidak terbatas jika dibandingkan dengan kurikulum pendidikan tradisional. Pendidikan tradisional meletakkan had-had kurikulum; pendidikan progresif menolak setiap batasan. Semua mata pelajaran (akademik dan vokasional, sains dan sastera, agama, kesenian, dan lain-lain) bernilai dan berfaedah asalkan mata-nata pelajaran itu boleh digunakan sebagai alat untuk menemui dan memenuhi kehendak, keperluan dan kepentingan setiap pelajar dalam menyesuaikan dirinya dengan persekitaran, dan dalam menghadapi cabaran atau perubahan dalam kehidupannya sebagai individu serta sebagai ahli masyarakat. Kebebasan diberi kepada pelajar untuk mengejar apa sahaja ilmu dan kemahiran yang diminatinya untuk perkembangan mental, jasmani dan rohaninya. Misalnya, jika pelajar berminat dalam bidang sukan dan rekreasi maka pendidikan dalam bidang tersebut (walaupun terpaksa dikendalikan di luar kawasan sekolah) mestilah disediakan untuk pelajar itu hinggalah ke peringkat yang setinggi-tingginya. Pendidikan progresif tidak membezakan aktiviti di dalam dengan yang di luar bilik darjah. PENUTUP Memang jelas sekali pemikiran progressivism yang di pelopori oleh Jean-Jacques Rousseau dan rakannya memberi sumbangan dalam bentuk falsafah yang amat bermakna untuk pembentukan kurikulum di Malaysia. Idea, falsafah serta pandangan beliau dapat dijadikan panduan dalam menggubal atau menyemak semula kurikulum yang sedia ada supaya selari dengan kehendak atau pasaran semasa. Sebagai rumusannya, walaupun terdapat pelbagai mazhab dan idealogi oleh pemikir bidang pendidikan namun sebagai sebuah negara yang inginkan pendidikan bertaraf dunia, penggubal dasar dan pembentuk sistem pendidikan harus mengkaji, menguji dan menilai atau menggabungkan pemikiran tersebut supaya bersesuaian dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi asas kepada system pendidikan di negara kita.
12 Rujukan Abd. Rahman Md Aroff, Zakaria Kasa, Falsafah dan Konsep Pendidikan. Fajar Bakti. 2000 Abu Bakar Nordin, Falsafah Pendidikan dan Kurikulum, Quantum Book. 2003. http://www.fp.utm.my/bpa/jap/sinopsis.htm Jean-Jacques Rousseau, Rousseau's educational theories selected from Emile, Julie and Other Writings. Barron's Educational Series.1964 http://books.google.com.my/books Rousseau, Jean-Jacques Rousseau. Emile, or On Education. Trans. Allan Bloom. New York: Basic Books, 1979. http://en.wikipedia.org/wiki/Emile:_Or,_On_Education Sufean Hussin, Pengajaran penilaian Dalam Kurikulum. Fajar Bakti Tengku Zawawi, Rupa Bentuk Kurikulum Abad-21, 2002 http://venus.igalaksi.com/tzz