Sinopsis Novel EKSPEDISI mengisahkan pengalaman menarik dan mendebarkan yang dialami oleh anggota ekspedisi yang diketuai oleh Cikgu Murad. Antara yang turut terlibat dalam ekspedisi tersebut termasuklah Hadi, Pak Musa, Zarul, Salim, Nazri, Send Nam, Surindran, Ban Lee dan Shanta. Ekspedisi itu akan melibatkan kawasan hutan di belakang kampung Hadi. Menurut ayah Hadi iaitu Pak Salleh, kawasan itu amat bahaya kerana terdapat pelbagai jenis binatang buas, hantu, jin dan jembalang. Pada mulanya, Pak Salleh tidak membenarkan Hadi menyertai ekspedisi tersebut kerana Pak Saleh tidak suka kepada Cikgu Murad yang dianggapnya sebagai penjenayah. Bagaimanapun, Hadi tetap dengan pendiriannya dan menyertai ekspedisi tersebut. Ketika Hadi menyertai ekspedisi tersebut, ayahnya juga keluar berburu di kawasan ekspedisi itu berlangsung. Dalam ekspedisi itu, mereka menempuh pelbagai halangan seperti menuruni lurah, mendaki bukit, dan meredah hutan. Mereka juga menemui pelbagai benda yang menarik seperti tasik yang indah dan padang yang luas. Dalam perjalanan tersebut, Hadi termimpikan ayahnya. Ayahnya amat marah dia menyertai ekspedisi tersebut. Anggota ekspedisi akhirnya sampai di puncak Gunung Itik. Dari puncak gunung tersebut mereka ternampak sebuah pondok. Sedang mereka mengintai ke dalam pondok tersebut, beberapa orang lelaki datang ke pondok tersebut. Bagaimanapun, anggota ekspedisi sempat menyelamatkan diri mereka. Hadi pula hampir-hampir terperangkap oleh seorang lelaki daripada anggota sindiket tersebut tetapi apabila dia menjerit, dia sebenarnya sudah berada di rumah iaitu dua hari selepas ekspedisi tersebut mencapai kejayaan. Ketika Hadi pulang daripada menyertai ekspedisi tersebut, ayahnya belum pulang. Bagaimanapun, ayahnya pulang kemudian dalam keadaan selamat. Penduduk Kampung Dataran gempar apabila Cikgu Murad ditangkap oleh polis. Dalam perbualan antara Pak Salleh dengan Hadi, Pak Salleh memberitahu Hadi mengenai aktiviti cikgu Murad. Cikgu Murad sebenarnya seorang penjenayah yang terlibat dengan sindiket mencuri jongkong emas dan tempat persembunyian kumpulan penjenayah tersebut ialah di puncak Gunung Itik. Pak Salleh juga membongkar rahsia kekayaannya kepada Hadi dan Mak Jamilah. Kekayaannya dihadiahkan oleh Tauke Eddie Jar kerana dia telah membantu menyelamatkan jongkong emas milik tauke itu yang dicuri oleh satu sindiket. Hadi tidak mempercayai kata-kata Pak Salleh. Pak Salleh pun menceritakan pengalaman terbarunya ketika berburu. Dia nampak Cikgu Murad mengetuai kumpulan tersebut di puncak Gunung Itik. Bagaimanapun, Hadi tidak mempercayainya kerana ketika kejadian yang diceritakan oleh ayahnya, Cikgu Murad ada bersama-sama mereka dalam ekspedisi tersebut. Pada suatu malam, Pak Salleh, Mak Jamilah dan Hadi diminta ke balai polis. Di balai polis, mereka dapati cikgu Murad telah dilepaskan. Pak Salleh tidak begitu setuju dengan tindakan tersebut kerana dia yakin bahawa cikgu Murad terlibat dalam sindiket tersebut. Seorang inspektor polis menjelaskan keadaan sebenarnya kepada Pak Salleh. Inspektor itu ialah ketua dalam operasi membanteras sindiket tersebut. Selepas itu, inspektor polis itu menunjukkan seorang penjenayah yang wajahnya mirip cikgu Murad. Pak Salleh insaf akan kesalahannya menuduh Cikgu Murad terlibat dalam kumpulan haram itu. Pak Salleh meminta maaf daripada Cikgu Murad. Bagaimanapun, Pak Salleh berpuas hati kerana punca kekayaanya selama ini diyakini oleh orang ramai.
tema
Novel Ekspedisi bertemakan kegigihan dan keberanian golongan remaja mengejar impian mereka. Hadi bersama dengan beberapa rakannya menyertai ekspedisi mendaki Gunung Itik yang diketuai oleh Cikgu Murad. Untuk sampai ke puncak gunung itu, mereka terpaksa meredah kawasan hutan yang ada binatang buas, binatang berbisa dan mendaki/menuruni lereng gunung yang dipenuhi batu-batu yang bercerakan. Namun begitu, hasil daripada kegigihan dan keberanian anggota ekspedisi itu, akhirnya mereka berjaya menjejakkan kaki di puncak Gunung Itik.
persoalan
1. Semangat kerjasama tanpa mengira kaum akan melahirkan hubungan yang erat dan harmoni.
Walaupun anggota ekspedisi terdiri daripada remaja pelbagai kaum seperti Melayu, India dan Cina, namun mereka tetap bekerjasama melaksanakan semua tugasan agar ekspedisi itu lancar. 2. Tindakan yang dilakukan secara terburu-buru akan mendatangkan kesusahan. Pak Salleh menuduh Cikgu Murad sebagai penjenayah apabila dia melihat seorang lelaki yang wajahnya mirip Cikgu Murad di dalam hutan. Akibatnya, beberapa orang kampung yang terpengaruh oleh kata-kata Pak Salleh turut menuduh Cikgu Murad sebagai penjenayah. Keadaan lebih buruk apabila Cikgu Murad ditahan oleh polis. Namun akhirnya, Cikgu Murad telah dibebaskan kerana dia tidak bersalah. 3. Semangat cinta akan keamanan dan benci akan kejahatan. Pak Salleh segera melaporkan peristiwa dia ternampak akan jongkong emas di sebuah pondok di dalam hutan kepada polis. Pasukan polis yang bertindak berdasarkan maklumat itu dapat menemukan semua jongkong emas kepunyaan Eddie Jar yang dirompak dari gudangnya di lapangan terbang semula. 4. Kebesaran kuasa Ilahi yang mencipta alam semesta. Semua anggota ekspedisi yang mempercayai kewujudan Allah S.W.T mengakui keagungan Allah mencipta alam yang indah ini apabila mereka sampai di puncak gunung. Hal ini demikian kerana dari puncak gunung mereka dapat melihat pemandangan alam semula jadi yang sungguh indah. 5. Ketaatan kepada Allah dengan melaksanakan suruhannya setiap masa. Para anggota ekspedisi yang beragama Islam tetap melakukan solat walaupun mereka berada di dalam hutan.
watak dan perwatakan
1. Watak utama dalam novel ini ialah Hadi 2. Watak sampingannya termasuklah Cikgu Murad, Pak Salleh, Pak Musa, dan Mak Jamilah.
HADI 1. Anak tunggal kepada pasangan Pak Salleh dan Mak Jamilah. 2. Belajar di tingkatan 5 dan akan mengambil peperiksaan SPM tidak berapa lama lagi. 3. Suka duduk melamun atau berkhayal. Buktinya, ketika dia duduk di bangku berhampiran dengan tangga, dia berkhayal tentang pengalamannya menyertai ekspedisi ke Gunung Itik. 4. Mudah berubah fikiran. Contohnya, pada mulanya Hadi mengatakan bahawa dia tidak dapat menyertai ekspedisi kerana dilarang oleh ayahnya. Namun begitu, apabila mendengar pengalaman Cikgu Murad berekspedisi, dia membuat keputusan untuk menyertai ekspedisi itu. 5. Dia juga berani. Hal ini terbukti apabila Hadi sanggup meredah hutan dan terdedah kepada bahaya apabila menyertai ekspedisi. 6. Hadi juga ringan tulang. Contohnya apabila Mak Jamilah menyuruh Hadi membasuh cawan yang kotor, tanpa banyak dalih, Hadi mencuci cawan itu. Malahan dia juga menyapu lantai. 7. Hadi mudah meminta maaf. Buktinya, apabila dia ditegur oleh Pak Musa kerana bercakap celupar di dalam hutan, Hadi segera meminta maaf. CIKGU MURAD 1. Bertugas sebagai pendidik di sekolah tempat Hadi belajar. Berkelulusan Universiti Utara Malaysia. 2. Memiliki wajah yang hampir sama dengan wajah seorang perompak emas. 3. Merupakan guru yang sentiasa rajin menjalankan tugasnya. 4. Melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan. Banyak menabur jasa kepada masyarakat. 5. Amat menggemari aktiviti lasak. Buktinya, beliau suka mendaki gunung. Beliau mengajak pelajarnya mendaki Gunung Itik. 6. Beliau juga seorang yang pemaaf. Hal ini terbukti apabila dia memaafkan Pak Salleh yang telah menuduhnya sebagai perompak kerana Pak Salleh pernah terserempak dengan perompak yang memiliki wajah seperti Cikgu Murad. 7. Cikgu Murad seorang yang tabah. Beliau tetap tabah menghadapi tuduhan bahawa dirinya penjenayah sehingga ditahan di lokap polis.
Latar tempat 1. Kampung Dataran - Pak Salleh dan Mak Jamilah berhijrah ke kampung ini. Mereka membuka tanah hutan untuk dijadikan tapak rumah dan kebun. Kampung ini terletak berhampiran dengan hutan. 2. Rumah Pak Salleh - rumah yang menggunakan kayu daripada hutan dibina oleh Pak Salleh sendiri. Setelah mendapat hadiah wang daripada Eddie Jar, Pak Salleh memasang pagar elektronik dan siren di rumahnya. 3. Bilik tingkatan - di bilik ini Cikgu Murad menceritakan pengalamannya mendaki Gunung Itik dan menunjukkan gambar-gambar semasa dia menyertai ekspedisi ke Gunung Itik suatu ketika dahulu. 4. Bilik guru - tempat Hadi bertemu dengan Cikgu Murad. Hadi yang pada mulanya menarik diri daripada menyertai ekspedisi ke Gunung Itik telah menyatakan keinginannya untuk menyertai ekspedisi itu semula walaupun dilarang oleh ayahnya. 5. Kawasan hutan - di sinilah Hadi dan rakan-rakannya menyertai ekspedisi ke Gunung Itik. 6. Pondok di puncak gunung - di pondok ini Pak Salleh terjumpa akan jongkong emas kepunyaan Eddie Jar yang dirompak dari gudangnya.
7. Balai polis - di balai inilah Pak Salleh membuat laporan tentang jongkong emas yang ditemukan di sebuah pondok. Di balai ini juga Cikgu Murad ditahan polis kerana disyaki melakukan rompakan jongkong emas. Di balai polis ini juga kekeliruan Pak Salleh tentang perompak yang wajahnya mirip wajah Cikgu Murad dapat diselesaikan.
LATAR MASA 1. Peristiwa dalam novel ini berlaku pada zaman sekarang. 2. Petang - Pak Salleh berbual dengan Hadi dan melarang Hadi daripada menyertai ekspedisi ke Gunung Itik yang diketuai oleh Cikgu Murad. 3. Malam - ketika berkhemah di tengah hutan, Hadi mengigau dan menjerit-jerit hingga membangunkan semua anggota ekspedisi yang lain. 4. Subuh - Hadi berbual-bual dengan Pak Musa sambil minum air panas. Kemudian, mereka bersamasama menunaikan solat subuh. 5. Siang - orang ramai berkunjung ke rumah Pak Salleh apabila berita tentang Pak Salleh membantu pihak polis menangkap kumpulan pencuri jongkong emas tersiar di akhbar.
LATAR MASYARAKAT 1. Masyarakat desa, iaitu Kampung Dataran yang bekerja sebagai petani dan pemburu. 2. Masyarakat penyayang. Contohnya, Pak Salleh dan Mak Jamilah sangat sayang anak tunggal mereka, Hadi. 3. Masyarakat yang mementingkan pelajaran. Contohnya, Pak Salleh menyuruh Hadi belajar dengan bersungguh-sungguh kerana akan menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi. 4. Masyarakat yang mengenang jasa. Contohnya, Eddie Jar sangat gembira kerana jongkong emasnya yang dirompak telah ditemukan semula. Oleh itu sebagai mengenang jasa Pak Salleh yang memberikan maklumat, dia memberikan hadiah dalam bentuk wang tunai kepada Pak Salleh. 5. Masyarakat yang menghormati orang tua. Contohnya, Hadi dan rakan-rakannya senantiasa menghormati Pak Musa dan Cikgu Murad. 6. Masyarakat yang mempunyai pantang larang di hutan. Contohnya, Pak Musa segera menegur Hadi yang bercakap celupar ketika berada di hutan. 7. Masyarakat yang bekerjasama. Contohnya, semua anggota ekspedisi senantiasa bekerjasama. 8. Masyarakat yang bertindak terburu-buru. Contohnya, Pak Salleh segera menuduh Cikgu Murad penjenayah setelah dia terserempak dengan lelaki yang mempunyai wajah mirip Cikgu Murad di dalam hutan. Dia tidak menyiasat hal itu terlebih dahulu.
Plot 1. Dalam bahagian eksposisi atau permulaan, pengarang memperkenalkan watak utama, Hadi yang tidak dibenarkan menyertai ekspedisi oleh ayahnya, Pak Salleh. 2. Dalam bahagian perkembangan, digambarkan beberapa konflik yang dihadapi oleh watak-watak dalam cerita ini. Umpamanya, konflik Hadi dan ayahnya, Pak Salleh. Pak Salleh tidak membenarkan Hadi menyertai ekspedisi. Di bahagian ini juga digambarkan konflik antara Pak Salleh dengan Cikgu Murad. Pak Salleh membenci Cikgu Murad dan selalu mendakwa Cikgu Murad sebagai penjenayah. Konflik itu semakin menjadi rumit apabila Pak Salleh membuat laporan polis dan Cikgu Murad ditahan polis. 3. Pada bahagian klimaks atau puncak cerita, segala konflik yang wujud menemukan penyelesaian. Pihak
polis mendapati Cikgu Murad tidak bersalah apabila penjenayah sebenar yang mempunyai wajah seperti Cikgu Murad ditangkap. 4. Pada bahagian peleraian, Pak Salleh yang terkeliru dengan dua orang berwajah sama telah meminta maaf kepada Cikgu Murad. Cikgu Murad memaafkan Pak Salleh. Rumah Pak Salleh dikunjungi orang kampung apabila kisah Pak Salleh membantu pihak polis menangkap penjenayah disiarkan di akhbar.
GAYA BAHASA DIKSI 1. Pemilihan kata oleh pengarang bersesuaian dengan cerita yang mengisahkan suatu ekspedisi di dalam hutan. Antara kata yang digunakan termasuklah sungai, bukit, gunung, berkhemah, tasik, unggun api dan kicauan burung. 2. Pengarang turut menggunakan beberapa kata bahasa Inggeris seperti steady, stop, math, zero eight hundred dan very good. 3. Selain itu, terdapat juga penggunaan bahasa Arab seperti Insya-Allah, assalamualaikum, nauzubillahiminzalik dan alhamdulillah.
AYAT 1. Ayat pendek. Cth: -Sepi tiba-tiba. -Dia akur.
2. Ayat panjang. Perihal Pak Musa, Cikgu Murad dan ahli-ahli ekspedisi ternampak seorang lelaki mendaki lereng dan
kemudiannya berpatah semula ke belukar tebal yang membaluti tebing tasik semasa mereka dalam perjalanan hendak mendaki gunung, menggugat keunggulan pendiriannya menuduh Cikgu Murad sebagai penjenayah berbahaya selama ini.
3. Peribahasa a. Bukan sekadar buah hati dan pengarang jantung mereka, dirinya juga tangkai nyawa Pak Salleh dan Mak Jamilah. b. Dia mati akal jadinya. c. Hendak dikatakan ayahnya ada saham berlot-lot sebelum ini, jauh panggang dari api.
4. Penggunaan Pantun Nyiur gading puncak mahligai, Sayang ketupat berisi inti, Hancur daging tulang berkecai, Belum kudapat belum kuberhenti.
5. Personifikasi Tanda-tanda tabir malam akan diangkat pancaran matahari yang bakal menjenguk kian ketara kini.
6. Inversi Sepi tiba-tiba (sepatutnya: Tiba-tiba sepi)
PENGAJARAN
Secara ringkasnya terdapat beberapa pengajaran yang dapat dipetik menerusi novel ini. Antaranya ialah : a. Kita mesti gigih. b. Kita mesti hormat akan ketua. c. Kita hendaklah bekerjasama setiap masa agar mudah mencapai cita-cita. d. Kita hendaklah mengenang jasa seseorang. e. Kita jangan mudah berprasangka atau terburu-buru membuat tuduhan. f. Mesti patuh akan arahan ketua. g. Umat Islam hendaklah menunaikan solat walau di mana mereka berada. h. Hormat dan menurut arahan orang tua. i. Orang ramai hendaklah membantu polis membanteras kegiatan jenayah. j. Meminta maaf atas kesalahan yang kita lakukan.