Para pelajar institut pengajian tinggi awam kini diwajibkan mempelajari soal etnisiti di Malaysia. Ini langkah yang positif. Menerusi pendekatan ini proses assimilasi dan integrasi etnik diharap dapat menghasilkan sebuah negara Malaysia yang benar-benar aman, rukun, damai dan muafakat. Untuk menghayati subjek ini, sewajarnya para pelajar didedahkan kepada fakta-fakta sejarah di negara ini. Contohnya, kemajmukan Malaysia bukannya atas pilihan sesiapa, melainkan atas agenda penjajah British. Perangkaan-perangkaan tertentu juga perlu diketengahkan untuk membuktikan betapa tindakan British membawa masuk orang asing tanpa kawalan ketika itu pernah menyebabkan jumlah mereka mengatasi jumlah penduduk peribumi di Tanah Melayu. Contoh satu: pada 1871, terdapat 104,615 orang rakyat Cina dan 33,390 rakyat orang India, iaitu 45 peratus daripada seluruh penduduk Tanah Melayu pada ketika itu. Bilangan ini meningkat kepada 583,396 orang rakyat Cina dan 74,081 orang rakyat India pada 1891, atau 57 peratus daripada seluruh penduduk Tanah Melayu pada tahun 1901. Pada tahun 1941 terdapat seramai 2,418,651 rakyat Cina dan 767,693 rakyat India menetap di Tanah Melayu. Mereka merupakan 58 peratus daripada jumlah penduduk Tanah Melayu pada tahun berkenaan (Ooi 1986:20) Contoh dua: akibat dasar British membawa masuk orang asing ke Tanah Melayu tanpa sebarang kawalan, banci penduduk Tanah Melayu pada tahun 1931 mendapati jumlah orang asing di Tanah Melayu ketika itu telah mengatasi jumlah seluruh peribumi. Kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1932-1933 menyebabkan ramai orang asing tersebut balik ke negara asal mereka. Tetapi, selepas Perang Dunia Kedua pada 1945, bancian penduduk Tanah Melayu, termasuk Singapura, masih mendapati daripada 5.7 juta penduduk ketika itu, orang Melayu dan Bumiputera hanya 2.5 juta orang, sedangkan bukan Melayu adalah seramai 3.2 juta orang. Banci penduduk Tanah Melayu pada 1947 pun masih mendapati yang jumlah orang asing di Tanah Melayu ketika itu masih mengatasi jumlah penduduk peribumi ketika itu (Cheah 2007:42). Contoh tiga: pada 1957, jumlah rakyat Melayu dan bukan Melayu adalah hampir seimbang. Daripada 6.36 juta orang penduduk pada ketika itu, 3.12 juta adalah orang Melayu, 2.33 juta etnik Cina, 690,000 orang etnik India dan 120,000 orang lagi daripada lain-lain etnik (Federation of Malaya Year Book 1959). Dari segi ekonomi, etnik Cina pada 1957 menguasai ekonomi Tanah Melayu secara kukuh sementara orang Melayu masih dalam kemiskinan (Deptartment of Statistics 1958-1960). Ini kerana seawal tahun 1937, pelaburan etnik Cina di Tanah Melayu adalah sebanyak US$200 juta berbanding pelaburan asing lainnya sejumlah US$454.5 juta (Ling 1995:3). Contoh empat: pada tahun 1950-an, syarikat-syarikat Eropah menguasai 65 peratus hingga 75 peratus perdagangan eksport dan 60 peratus hingga 70 peratus perdagangan import. Syarikat-syarikat milik etnik Cina menguasai 10 peratus daripada agensi eskport. Syarikatsyarikat yang dikuasai oleh etnik India pula menguasai 2 peratus daripada perdagangan berkenaan. Orang Melayu langsung tidak memiliki sebarang ekuiti dalam mana-mana perdagangan (Gomez & Jomo, 1997:14-15).
Contoh lima: penduduk Malaysia pada tahun 2008 adalah 25.056 juta, iaitu Melayu 13.667 juta, Bumiputera 2.963 juta, etnik Cina 6.256 juta, etnik India 1.880 juta, lain-lain etnik 290,000 dan bukan rakyat 2.826 juta (Unit Perancang Ekonomi:2008). Contoh enam: pemilikan modal saham pada tahun tersebut adalah RM100 bilion atau 18.9 peratus di tangan Bumiputera, RM215 bilion atau 40.6 peratus dikuasai oleh bukan Bumiputera, RM42.3 bilion atau 8 peratus dikuasai oleh syarikat nomini dan RM172.3 bilion atau 32.5 peratus dipegang oleh pemodal asing. Ekuiti Bumiputera terbahagi kepada RM 79.4 bilion atau 15 peratus milik individu, RM11.9 bilion atau 2.2 peratus milik institusi, dan RM8.7 bilion atau 1.7 peratus milik agensi anamah. Ekuiti milik bukan Bumiputera pula sebanyak RM207 bilion atau 39 peratus dikuasai oleh Cina, RM6.4 bilion atau 1.2 peratus dalam tangan India, dan RM1.9 bilion atau 0.4 peratus kepunyaan lain-lain kaum (The Star: 27.6.2008). Kesimpulan: kajian etnik yang diajarkan di IPTA perlu menjelaskan bahawa statistik seperti terpapar di atas adalah faktor yang merangsang serta mendorong kerajaan mewujudkan beberapa dasar affirmatif mengenai Melayu dan Bumiputera. Ini kerana statistik seperti di atas, walaupun membuktikan jumlah penduduk Melayu dan Bumiputera berbanding lain-lain etnik yang hampir seimbang sewaktu kemerdekaan tanah air telah meningkat secara prominen pada 2008, tetapi kenyataan mengenai kemiskinan serta lainlain indikator ekonomi di era pra merdeka adalah manifestasi dan dampak dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan oleh penjajah British yang memihak kepada bukan Bumiputera dan menindas orang Melayu dan Bumiputera. Perlu juga ditegaskan kepada para pelajar, bahawa indikator ekonomi di era pasca merdeka pula adalah realiti dan manifestasi bahawa orang Melayu dan Bumiputera adalah golongan yang memang masih jauh ketinggalan berbanding bukan Bumiputera dan pemodal asing di Malaysia pada hari ini. Hakikat ini jadi lebih ketara jika dikaji lain-lain indikator sosioekonomi seperti pendapatan isirumah, kadar kemiskinan relatif dan kemiskinan tegar, jumlah professional Melayu dan Bumiputera dan sebagainya. Oleh itu, dikaji ikut perspektif mana sekalipun, adalah jelas bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan kemudiannya Dasar Pembangunan Nasional (DPN), masih belum berjaya mengatasi jurang perbezaan ekonomi dan kadar kemiskinan antara orang Melayu dan Bumiputera dengan bukan Bumiputera di Malaysia. Begitulah realtinya Melayu dan Bumiputera di Malaysia sekarang. Mereka tidak pernah mempersoalkan kehadiran etnik Cina dan India yang kini menjadi sebahagian penduduk Malaysia. Tetapi, pastinya wujud di kalangan mereka yang tersinggung perasaan bila kedudukan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera, seperti kuota ekuiti Melayu dan Bumiputera sebanyak 30 peratus, dan kuota mengenai biasiswa pelajar Melayu, asyik diungkit-ungkit oleh segolongan bukan Melayu pada ketika ini. Ironisnya, bila orang Melayu dan Bumiputera bertindak untuk menyuarakan kebenaran, tindakan itu cepat-cepat dilabelkan oleh sesetengah bukan Melayu sebagai tindakan rasis. Anehnya, tindakan itu juga disifatkan sebagai anti-perpaduan.
Tetapi, bila sesetengah bukan Melayu mengungkit-ungkit, mengasak dan cuba menginjakinjak kedudukan Melayu pada hari ini, tidak ada siapa pula yang berani melabelkan tindakan segolongan bukan Melayu itu sebagai cauvinis dan rasis. Jika beginilah keadaannya, bilakah akan wujud perpaduan nasional yang tulin di Malaysia? Jika beginilah keadaannya, sampai bilakah orang Melayu dan Bumiputera akan menjadi mangsa label yang double-standard semata-mata kerana sebagai peribumi, orang Melayu dituntut supaya sentiasa bersabar dan bersikap amat tolerans terhadap gelagat sesetengah bukan Melayu yang seolah-olah mahu mencabar kesebaran orang Melayu dan Bumiputera? Saya sajikan realiti seta persoalan di atas berasaskan kesedaran bahawa hubungan etnik adalah satu daripada faktor yang penting kepada kelangsungan Malaysia. Seperti kata Shamsul (2007:1), berdasarkan pengalaman 13 Mei 1969, ternyata faktor hubungan etnik yang harmonis menjadi anak kunci bagi keseimbangan antara kekukuhan ekonomi dan kestabilan poltik. Dan, seperti pendapat Sanusi (1989:108), apabila perasaan perkauman ditonjol-tonjol sehingga menjadi satu prinsip penting dalam sebuah masyarakat yang berbilang etnik, besar kemungkinan ia akan menimbulkan berbagai reaksi di kalangan anggota kumpulan etnik yang berlainan.