Terima kasih tuan Pengerusi Majlis. Yang Berbahagia Datin Hajah Rokaiyah binti Bujang, selaku pengarah Pelajaran negeri Sarawak. Yang Berusaha Dato’ Jessie Limbang, Yang dihormati, Cikgu Barbara, guru besar SK Methodis, serta hadirin yang dihormati sekalian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Saya Datin Hajah Nuur Aisyah bt. Haji Jas wakil dari Bahagian Pendidikan Guru akan menyampaikan sebuah taklimat yang bertajuk “Penerapan Nilai Murni di Sekolah”. Baiklah saudara dan saudari sekalian. Matlamat dan tindakan tertentu yang dilaksanakan oleh seseorang ditentukan oleh nilai. Ini kerana nilai merupakan satu prinsip atau garis panduan yang menyediakan anggota masyarakat untuk menjalani kehidupan. Menurut Clyde Kluckhohn, nilai adalah suatu standard yang agak berkekalan dari segi masa, atau dalam pengertian yang luas, suatu standard yang mengaturkan satu sistem perlakuan. Beliau juga menakrifkan nilai sebagai sesuatu yang lebih disukai, baik mengenai hubungan sosial, mahupun mengenai matlamatmatlamat serta ikhtiar untuk mencapainya. Nilai murni masih belum dapat diterapkan dengan memuaskan di kalangan pelajar di sekolah berasaskan masalah disiplin yang dilaporkan oleh para penyelidik dan akhbar tempatan. Penyelidikan ini dijalankan terhadap kesedaran pentingnya membina insan yang berakhlak, dan pentingnya peranan guru di sekolah dalam membentuk sahsiah murid. Persoalannya ialah bagaimanakah nilai murni dapat diterapkan dengan berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran? Guru harus mempersiapkan diri dengan strategi-strategi yang berkesan untuk menangani masalah disiplin dan akhlak bagi menghadapi cabaran remaja yang sedemikian rupa. Sekiranya masalah remaja dibiarkan maka masa depan negara amat membimbangkan kerana bertambahnya kelak bilangan remaja bermasalah yang bakal menjadi pemimpin Malaysia. Pasti keamanan negara akan terancam. Sebagai usaha untuk memperbaiki keadaan, penyelidik memberi fokus kepada aspek pedagogi. Bagaimanakah nilai murni dapat diterapkan kepada pelajar di dalam bilik darjah dengan berkesan? Jawatankuasa Pendidikan Akhlak yang ditubuhkan pada tahun 1976 telah meneliti nilai-nilai yang terkandung dalam pelbagai agama yang diamalkan di negara kita, tidak hanya memfokuskan kepada agama Islam sahaja. Berasaskan kepada pandangan dan maklumbalas yang diperolehi , jawatankuasa ini yang dianggotai oleh wakil pelbagai agama telah menerima 16 nilai yang boleh diajar dan diserapkan kepada semua pelajar di negara ini untuk membentuk pelajar yang seimbang dan menyeluruh dari segi kognitif, afektif, psikomotor dan akhlak.Tujuan pendidikan nilai murni ialah untuk membentuk murid-murid supaya berperibadi mulia dan mampu dalam membuat keputusan berdasarkan nilai moral diri, keluarga, komuniti dan masyarakat. Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, Kerajaan kita telah menjalankan strategi-strategi penerapan nilai murni melalui tiga cara iaitu: nilai merentasi kurikulum, ko-kurikulum serta melalui budaya sekolah. Secara umumnya, nilai-nilai murni dalam kurikulum merupakan kesepaduan antara nilai moral, nilai budaya, nilai agama dan nilai estetik. Pendidikan nilai menjadi salah satu
unsur yang penting setelah Kementerian Pendidikan melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke dalam kurikulum. FPK menegaskan penerapan 16 nilai murni masyarakat Malaysia dalam sistem pendidikan Malaysia. Kementerian Pendidikan memutuskan untuk menggunakan strategi bersepadu di peringkat rendah (KBSR) dan menengah (KBSM). Langkah ini bertujuan untuk memastikan bahawa semua matapelajaran yang diajar tidak terpisah di antara satu sama lain, malah berkaitan dan bersifat bersepadu. Unsur-unsur utama yang akan digunakan untuk mewujudkan kesepaduan itu ialah unsur nilai. Dalam pendidikan, penerapan nilai murni berlaku secara bersahaja dan tidak langsung. Strategi penerapan nilai secara yang tidak langsung ini penting kerana nilai tidak boleh diajar secara formal seperti matapelajaran lain. Ini merupakan satu penghayatan dan pengusahaan secara beramal bukan sekadar peringatan atau penghafalan. Bagi strategi yang mempunyai kaitan langsung dengan isi pelajaran, pendekatan kognitif dalam bentuk perbincangan dapat dilakukan. Contohnya, faktafakta sejarah dan cerita-cerita dalam matapelajaran sastera umpamanya akan dapat dibincang melalui isu-isu yang dapat dikaitkan secara langsung dengan unsur nilai yang dipegang oleh pelajar atau nilai sejagat tertentu. Pelajar membuat penilaian berdasarkan kepada nilai mereka sendiri manakala guru hanya bertindak sebagai pembimbing kepada pelajar dalam memuhasabah nilai sendiri. Nilai yang diterapkan boleh menjadi kriteria panduan tentang bagaimana sesuatu nilai harus dilakukan misalnya nilai keberanian ataupun rasional. Orang yang rasional boleh membuat pertimbangan yang baik dalam menghadapi dan menyelesaikan sesuatu masalah. Sikap perihatin guru dan kesedaran pelajar dalam memupuk nilai murni baik secara formal ataupun spontan menyebabkan nilai murni akan sentiasa dapat dipupuk dari semasa ke semasa. Di sini kita dapat melihat betapa besarnya peranan guru sebagai ibubapa pelajar-pelajar di sekolah dalam membentuk peribadi pelajar selaras dengan penerapan yang dimasukkan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi, Aktiviti ko-kurikulum merupakan aktiviti terancang dan berstruktur di luar bidang akademik. Ia merupakan kegiatan luar bilik darjah seperti sukan, aktiviti badan beruniform aktiviti kelab dan persatuan yang dilakukan di luar jadual persekolahan atau kurikulum. Kegiatan kurikulum di sekolah diharap dapat melahirkan murid yang seimbang dari segi fizikal, emosi, rohani, intelek dan sosial selaras dengan FPN. Ini juga kerana pendidikan bagi menghasilkan insan harmonis dan seimbang tidak akan berkesan jika kurikulum semata-mata digunakan sebagai media penerapan nilai-nilia murni sejagat. Justeru, pendidikan yang mantap dan kukuh dapat menyalurkan aspek kurikulum ke dalam kokurikulum bagi meningkatkan keupayaan pendidikan menghidupkan falsafah tersebut. Oleh yang demikian, pengetahuan yang diperolehi dari kurikulum akademik dapat diintegrasikan secara praktis semasa menjalankan aktiviti kokurikulum. Aktiviti ko-kurikulum yang dirancang juga diharapkan dapat mengembangkan potensi, bakat dan kebolehan murid dalam pelbagai aktiviti beruniform, kelab, persatuan dan sukan. Kokurikulum perlu untuk menerapkan nilai-nilai murni melalui perkembangan diri inidividu ke dalam diri murid-murid. Nilai-nilai murni
yang disisipkan melalui penerapan nilai semua mata pelajaran melalui pengajaran dan pembelajaran dapat dikukuhkan lagi melalui kegiatan kokurikulum. Pengalaman menjalankan aktiviti kokurikulum akan meluaskan daya fikir dan pengetahuan murid serta melahirkan kematangan fizikal, intelek, emosi, sosial dan nilai-nilai murni. Melalui kefahaman yang jelas terhadap konsep kokurikulum, adalah diharapkan nilai-nilai murni dapat diterapkan ke dalam kegiatan kokurikulum. Hadirin dan hadirat yang dihormati, Negara Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan Sikh. Kepelbagaian kaum ini juga mengundang kepada kepelbagaian dan keunikan budaya yang terdapat di negara kita. Kurikulum sekolah yang dibentuk dalam sistem pendidikan di negara kita adalah berorientasikan Malaysia bagi tujuan memupuk nilai-nilai kemalaysian. Namun ini bukanlah bermaksud untuk menolak atau menidakkan budaya sesuatu kaum dengan wujudnya nilai kemalaysiaan ini. Kurikulum ini dibentuk sebagai alat untuk menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini. Kurikulum yang terdapat dalam sistem pendidikan juga menerapkan dan mengintergrasikan nilai-nilai murni yang telah diterima oleh masyarakat di Malaysia. Malahan nilai-nilai murni yang dipilih secara khusus adalah mengikut pelbagai budaya kaum dan bangsa di Malaysia ini. Maka dengan adanya keseragamanan nilai bagi semua murid di sekolah yang berorientasikan budaya Malaysia, maka dijangka akan dapat atau struktur yang sama bagi kefahaman budaya masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan juga fahaman. Pendidikan sebagai asas intergrasi juga bergantung kepada pemupukan nilai-nilai dan langkahlangkah penyebaran dan pembudayaan yang dilakukan oleh guru semasa pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Malah dengan adanya penerapan nilai maka akan terbentuklah generasi yang mempunyai nilai-nilai yang sama melalui satu bahasa dan satu pembudayaan. Justeru, sekolah sebagai sebuah institusi memainkan peranan yang penting dalam menerapkan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia. Hadirin sekalian, Sudah tentu saudara dan saudari tertanya-tanya apakah rasionalnya penerapan nilai-nilai murni dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pada bulan Mei 1969, rusuhan kaum berlaku dalam sejarah negara. Ini menunjukkan kerapuhan semangat kebangsaan kita. Masyarakat kita tiada semangat muhibbah yang dapat menyatukan setiap kaum. Selain daripada itu tekanan daripada cendikiawan Islam terutama sejak Persidangan Sedunia tentang Pendidikan Islam di Mekah pada tahun 1977 serta penularan pelbagai jenis penyakit kerohanian, akhlak, sosial dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat mengalakkan pihak yang berkenaan memberi perhatian yang lebih kepada isu nilai dalam pendidikan. Sebagaimana yang kita tahu matlamat dasar pendidikan negara adalah untuk melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisiplin, berpengetahuan, bertanggungjawab, berkebolehan berwawasan dan terlatih. Maka apakah corak pandangan hidup atau "world view" yang harus didedahkan kepada pelajar atau belia sekarang untuk mereka hayati, amal dan wariskan?. Untuk melihat hasil dan produk positif yang dijelmakan oleh pelajar ialah melalui penanaman nilai-nilai murni serta penekanan yang lebih jitu dalam usaha mendidik mereka agar selaras
dengan penyataan FPK ini. Fungsi utama proses pendidikan ialah sebagai agen pemasyarakatan dan pembudayaan dalam menerapkan nilai-nilai tersebut. Yang penting sekali adalah kesepaduan lima sifat utama iaitu JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelektual dan Sahsiah) yang akan menghasilkan keseimbangan dalam melahirkan individu yang berakhlak. Masyarakat adalah agen ketiga dalam membentuk nilai murni. Melalui FPK yang dipelajari di sekolah-sekolah baik untuk ahli masyarakat yang sedang atau telah tamat bersekolah, mereka telah diterapkan dan diajar dengan nilai murni. Kesan daripada apa yang dipelajari mereka boleh jelaskan kepada orang lain samada melalui bentuk penerangan, perbincangan, teladan ataupun perubahan perlakuan sendiri. Penerapan nilai itu mestilah bersahaja dan tidak langsung dan sentiasa berterusan. Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati, Sebagai penutup, marilah kita sama-sama menghayati dan mengamalkan katakata mantan Perdana Menteri kita, Tun Abdullah sempena Majlis Pelancaran Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni Peringkat Kebangsaan yang berbunyi: "Pembangunan modal manusia menjadi sangat penting kepada negara pada masa depan dan mereka ini mestilah berkualiti, kualiti bukan sahaja dari segi pendidikan, kepakaran, tetapi juga dari segi nilai moral yang tinggi, bertanggungjawab dan mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan" "Negara akan menjadi agung jika warganya terdiri daripada insan-insan yang mengamalkan budaya murni." Sekian sahaja, yang baik datangnya daripada Allah, dan segala kelemahan datang daripada diri saya sendiri, harap dimaafkan. Wabillahi taufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan terima kasih.