Cerpen Tempat Pertama 2008

  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Cerpen Tempat Pertama 2008 as PDF for free.

More details

  • Words: 2,668
  • Pages: 9
Nikmat Merdeka “ Tuan-tuan dan puan-puan, selamat datang ke tren ERL Ekspres. Destinasi tren ini adalah KL Sentral. Perjalanan tren ini akan mengambil masa lebih kurang 28 minit. Selamat menuju ke destinasi.” Kedengaran suara pengumuman yang cukup enak dan sedap didengar. Rashid telah pun berada di tempat duduknya. Wah, empuk sungguh kerusi tren ERL di Malaysia ini. Gerabak tren pula nampak sungguh bersih dengan pendingin hawa yang nyaman. Dengan ciri gerabak yang moden serta kemas, ia berbeza dengan tren Metro di Moscow. Tren di sana nampak berusia. Maklumlah sudah hampir 100 tahun dibina. Menariknya tren ERL di Malaysia ini, ada disediakan tempat khas untuk meletakkan beg, ruang kaki yang lebih luas, televisyen menarik di setiap penghujung barisan tempat duduk. Cermin tingkapnya pula bersih dan mempunyai penghalang sinar matahari terik. Di luar sana, kelihatan pemandangan serba kehijauan. Cantik dan segar nampaknya. Pokok-pokok seperti pokok kelapa sawit, pokok-pokok hutan dan lain-lain masih bebas menghuni. Bagi Rashid yang datang untuk melanjutkan pelajaran buat kali kedua, merasa cukup gembira dan kagum dengan pembangunan negara yang bernama Malaysia ini.

“ Boleh saya duduk di kerusi ini?” Rashid memalingkan mukanya ke arah suara yang menyapanya. Kelihatan seorang wanita yang sarat dengan beg sedang berdiri di sebelahnya. Cantik juga orangnya. “Boleh, boleh. Jemputlah,” jawab Rashid memandangkan kerusi lain penuh dengan penumpang. Selepas itu Rashid kembali mengelamun sendirian.

Rashid Idrisnovic, nama yang diberi oleh bapanya ketika lahir. Datang seorang diri mencari ilmu nun jauh dari tempat asalnya. Sambil mengelamun, beliau memikirkan keadaan dirinya, keluarga dan negaranya. Perjalanan tren yang lancar dan senyap menyenangkannya untuk bermonolog sendiri. Datang dari wilayah Ingushetia, Rusia sudah pasti ramai yang tidak mengetahui tempat asal usulnya. Yang pasti jika ditanya, beliau hanya terus menjawab dari Rusia. Mudah untuk difahami walaupun tidak disukainya. Oleh kerana Rusialah negaranya porak peranda dan huru hara. Begitulah

1

nasib negeri yang kecil dan lemah. Menjadi makanan bagi negara yang kuat dan berkuasa.

Sambil tersenyum, wanita di sebelah Rashid bertanya, “ Maafkan saya. Adakah awak pertama kali datang ke sini?”. Jawab Rashid, “Oh, tidak. Kali kedua,”. Nampaknya wanita di sebelahnya ingin mengajak beliau berbual. “ Kenapa awak tersenyum?” tanya Rashid. Wanita tersebut menjawab, “ Kenapa tidak?”. “ Tiada apa-apa, “ jawab Rashid. “Pelik juga wanita Malaysia ini,” kata hati Rashid. Maklumlah jika di Rusia boleh dikatakan lelaki dan perempuan di sana tidak mudah memberikan senyuman kepada orang yang tidak dikenali. Hasil ideologi di bawah pemerintahan komunis di sana. Walaupun telah beberapa tahun bertukar corak pemerintahan, rakyat Rusia masih mengekalkan sikap berwaspada setiap masa. Masakan tidak, di sana persepsinya sangat berbeza. Wanita takut senyum pada orang yang tidak dikenali kerana takut dianggap perempuan murahan. Lelaki senyum pula takut dianggap mempersendakan orang yang diberi senyuman.

Wanita tersebut terus bertanya, “Datang untuk melancong ke?”. Jawab Rashid, “ Tidak. Sambung belajar.” “O, sambung belajar. Belajar di mana?” tanya wanita tersebut. “Universiti Malaya,” jawab Rashid. “Ambil bidang apa?” tanya wanita itu lagi. “ Komputer,“ jelas Rashid. “ Kenapa pilih sambung belajar di Malaysia?” tanya beliau lagi. “ Malaysia aman dan kosnya rendah.” Jawab Rashid. “ Awak hendak ke mana pula?” tanya Rashid. “ Oh, saya hendak melawat keluarga sebelah ibu saya. Sudah beberapa tahun saya tidak melawat mereka, ” jawab wanita tersebut. “ Awak tinggal di mana?” tanya Rashid. Wanita tersebut menjawab, “ Saya tinggal di Isfahan, Iran.” “ Jadi awak bukan orang Malaysialah,” komen Rashid. “ Susah sedikit hendak jawab. Ibu saya orang Malaysia. Bapa saya orang Iran tetapi saya memegang pasport Malaysia,” balas wanita tersebut. “Oh begitu,” balas Rashid. “Awak pula berasal dari mana?” tanya wanita berkenaan. “ Saya berasal dari Ingushetia, ” Jawab Rashid. “ Ingushetia? Di mana tempat itu?” tanya wanita berkenaan. Rashid terus menjawab, “ Pernah dengar Chechnya?” Wanita tersebut mengangguk tanda tahu. “ Ingushetia terletak di sebelah Chechnya, dalam negara Rusia,” terang Rashid. “Kenapa awak tidak sebut berasal dari Rusia?”

2

tanya wanita itu lagi. Rashid menjawab, “ Sebab kami tidak suka Rusia. Mereka banyak membuat penganiayaan kepada rakyat Ingush,” “ Saya tidak pernah mendengar nama negara ini. Boleh awak jelaskan tentang negara awak?” pinta wanita itu. Rashid pun mula bercerita.

“ Jika dilihat dalam peta dunia, wilayah Ingushetia terletak di utara benua Kaukus dengan Magas sebagai ibu kotanya. Ia merupakan tempat tinggal bagi penduduk Ingush yang berketurunan orang-orang Vainakh. Dari segi pentadbiran, wilayah Ingushetia ini tertakluk di bawah pentadbiran Rusia. Perkataan Ingushetia ini pula bermaksud (tanah) di mana orang-orang Ingush tinggal. Perkataan ini berasal dari sebuah perkampungan lama bernama Ongusht. Mengikut sejarah, nama Ongusht ini pernah beberapa kali ditukar. Antaranya ialah Tarskaya pada tahun 1859 dan Utara Ossetia pada tahun 1944. Oleh kerana terdapat banyak usaha-usaha pembendungan gerakan kemerdekaan, sehingga kini, wilayah Ingushetia ini masih dianggap sebagai salah satu kawasan termiskin dan termundur di Rusia. Dari segi bahasa pula, orang-orang Ingush memiliki bahasa mereka tersendiri yang berlainan dari bahasa Rusia. ”

Melihatkan wanita berkenaan sedang asyik mendengar kisahnya, beliau pun meneruskan kisahnya. Kedatangannya kali ini dianggap seperti kepulangan. Kepulangannya ke Malaysia bermakna beliau bebas mengamalkan ajaran Islam bermazhab Syafii. Sama mazhab yang diamalkan di Ingushetia. Bezanya di sana orang masih takut-takut mengamalkan kepercayaan dan fahaman masing-masing secara terbuka. Ramai yang sembahyang berjemaah di rumah sahaja. Semuanya takut dianggap pengganas, pemberontak negara atau pelampau agama jika bersembahyang di masjid.

Dahulu selepas tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda, beliau bekerja di sebuah stesen radio di Moscow. Jika diikutkan hatinya mahu saja beliau bekerja di Ingushetia. Dekat sedikit dengan kampung halaman. Namun apakan daya pekerjaan tiada. Dianggarkan lebih kurang 75 peratus para penduduk di situ mengganggur. Berbeza dengan Malaysia. Bukannya rakyat mencari pekerjaan, tetapi pekerjaan mencari rakyat. Alangkah bertuahnya rakyat Malaysia, bisik hati Rashid.

3

Semenjak jatuh di bawah pemerintahan Rusia pada tahun 1810, kehidupan di Ingushetia ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Susah sejak terjajah. Terjajah dan tertipu. Itulah yang boleh dikatakan secara ringkas. Dikatakan Ingushetia secara sukarela tunduk dengan pemerintahan Rusia sedangkan mengikut rekod panglima tentera pada tahun 1832 adalah sebaliknya. Bukti surat-surat yang berkaitan menyatakan perkara berikut, “ Pada 23 Jun 1832, saya telah menghapuskan lapan perkampungan Ingush. Pada 24 Jun pula saya telah menghapuskan sembilan perkampungan lagi.” Seterusnya pada surat berikutnya, beliau menyatakan para penduduk tanah tinggi di Dzheirkah, Kistin dan Ghalghai telah sebahagiannya ditakluk. Akhir sekali jeneral angkatan tentera Rusia dan kolonel Ossetia telah melaporkan bahawa penaklukan ke atas tanah Ingush telah berjaya.

Sungguhpun begitu, rakyat Ingushetia tidak berputus asa. Mereka sentiasa berusaha membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman Rusia. Namun pada usaha terakhir pada tahun 1865, mereka tewas. Dengan tawaran yang licik, Tsar Rusia (Raja Rusia) ketika itu telah menawarkan pertolongan penghijrahan rakyat Ingush dan Chechen ke Turki dan Asia Tengah dengan menyatakan bahawa orang Islam perlu hidup di bawah pemerintah orang Islam. Sedangkan motif utama Tsar Rusia adalah untuk memberikan tanah air Ingush kepada orang Ossetia dan Cossak. Akibatnya lebih 80 peratus orang Ingush telah diusir ke Asia Tengah hingga ramai yang mati dan yang hidup pula telah hilang identiti selepas bercampur dengan orang tempatan.

Sambil teringatkan sejarah duka negaranya, Rashid memandang ke luar tingkap tren ERL dan berkata kepada wanita yang sejak tadi mendengar penerangannya, “ Cuba lihat di luar sana.” “ Ya, kenapa?” tanya wanita berkenaan. Lalu Rashid menjawab, “ Cantik dan hebat sungguh Putrajaya ini kan?” Wanita tersebut membalas, “ Ya, betul. Tetapi negara Malaysia ini jika tidak diurus dengan baik sudah pasti akan menjadi seperti negara jiran kami, Iraq,” Rashid seraya berkata, “ Benar, dahulu Iraq pernah menjadi lebih hebat daripada Malaysia. Tetapi oleh kerana ketamakan dan sikap lupa diri, negaranya hancur.”

4

Lalu Rashid meneruskan komennya, “ Bangunan-bangunan Putrajaya memang unik. Siap ada taman tasik, taman flora dan fauna serta jambatan-jambatan yang sedap mata memandang. Namun agak panas sedikit dirasakan berbanding cuaca di negara Ingushetia. Jika di sana, iklimnya empat musim. Kalau sejuknya pula dingin tetapi kering. Perlu banyak minum air. Sungguhpun agak jauh dan kurang penduduk, Putrajaya menjadi daya tarikan para pelancong. Tidak terkecuali pelancong dari Rusia. Dahulu semasa belajar peringkat ijazah pertama, saya pernah bekerja sebagai pemandu pelancong dan antara tempat kunjungan pilihan adalah Putrajaya, Melaka dan Kuala Lumpur. Upahnya pula cukup untuk membantu pengajian.”

“Hendak dibandingkan dengan Malaysia, Ingushetia tidak sesuai untuk menjadi daya tarikan pelancong. Bagaimana hendak menarik pelancong jika tiada jaminan keselamatan. Peperangan masih lagi berlangsung walaupun tidak banyak diwar-warkan dalam media massa. Baru-baru ini, sepupu saya telah hilang tanpa dikesan. Dipercayai diculik oleh polis rahsia Rusia dan dibunuh. Kononnya bagi mengekang gerakan pemberontakan dalaman. Sudahlah jumlah penduduk hanya seramai 400,000 sahaja, usaha-usaha untuk menghapuskan etnik Ingushetia secara rahsia sedang dilakukan pula oleh pihak Rusia. Yang menariknya yang diculik dan dibunuh kebanyakannya adalah dari golongan pemuda. Ini menyebabkan bilangan pemuda kurang dari bilangan pemudi. Mungkin ini antara sebab mengapa bapa saya menyuruh saya ke Malaysia. Negara yang aman dan merdeka, ” jelas Rashid.

“ Terlanjur bercerita, nama saya Rashid, Rashid Idrisnovic. Bagaimana saya hendak memanggil awak? “ tanya Rashid. Lalu wanita tersebut menjawab, “ Panggil saja Maria, Maria binti Fahri.” “ Em, sudah lama saya ingin bertanya mengenai satu perkara. Memandangkan awak datang dari benua Rusia, bagaimana hendak mengenali nama bapa untuk anak lelaki dan anak perempuan? Yalah, jika kami, ada bin dan binti.” Tanya Maria. Lalu Rashid menjawab, “ Oh itu mudah saja. Seperti nama saya Rashid Idrisnovic, perkataan Idris itu adalah nama bapa saya. Manakala perkataan –vic itu bermaksud bin. Bagi wanita pula, perkataan ini disebut –ova. Contohnya seperti nama pemain tenis Maria Sharapova. Jadinya Maria adalah anak perempuan kepada Sharap.” Maria lantas

5

membalas, “ Begitu rupanya... memandangkan awak pernah tinggal di Malaysia sebelum ini, apa yang dapat awak lihat lagi?” “ Oh banyak sekali yang saya dapat pelajari di Malaysia. Antaranya budaya kredit di Malaysia. Jika di tempat saya, kami amat jarang menggunakan kad kredit. Semuanya menggunakan tunai. Barang-barang kegunaan harian seperti kereta, televisyen, telefon bimbit dan sebagainya kami biasanya membayar secara tunai. Tetapi di sini ramai yang menggunakan kad kredit. Dan apa yang saya tahu ramai juga yang diisytiharkan muflis akibat penggunaan kad kredit ini.”

Rashid kemudian menyambung lagi perbincangan, “ Sungguhpun begitu, peluang untuk berniaga di Malaysia ini cukup banyak. Jika hendak tahu, ramai para pelajar luar negara yang datang ke Malaysia ini menjadi kaya raya berniaga di sini. Salah seorang rakan saya, Hasan Ma dari China mengusahakan perniagaan membekalkan jubah di pasaraya besar Malaysia sejak belajar di universiti. Beliau mendapatkan bekalan jubah dari kilang di China dengan harga yang murah dan mendapat untung. Seorang lagi bernama Ayub yang juga berbangsa Cina Muslim, beliau hanya belajar sampai peringkat sekolah menengah sahaja di salah sebuah pondok di utara Malaysia. Kini beliau yang fasih berbahasa Arab menjadi pembekal kain serta pakaian kepada negara-negara Arab. Bukan itu sahaja, sekarang ini saya lihat ramai pekerja asing yang dulunya menjadi kuli, kini sudah menjadi pemilik perniagaan.”

Maria terdiam seraya berkata, “ Banyak juga yang kamu tahu mengenai Malaysia. Pasti kamu membuat analisis yang mendalam.” Rashid pun membalas, “ Tidaklah membuat analisis yang mendalam. Cuma sekadar melihat pengalaman lalu dan membandingkan dengan keadaan Malaysia. Sungguhpun sudah merdeka lebih dari 50 tahun, masih banyak lagi perlu diperbaiki. Sebagai contoh, perkhidmatan di kaunter-kaunter dan perkhidmatan teksi masih kurang memuaskan. Anak-anak kurang terdidik. Yang terdidik hingga ke peringkat universiti pula, kurang daya common sense,” “ Eh di mana kita sekarang?” tanya Rashid. Maria menjawab, “ Kita sekarang sudah berada di kawasan Bandar Tasik Selatan. Lebih kurang 10 minit lagi kita akan sampai di KL Sentral. Nanti awak akan tinggal di mana?” Rashid berkata,

“ Saya tinggal di apartmen rakan saya. Pantai

Panorama, dekat dengan stesen LRT Universiti, “ Wah, itu apartmen mewah. Berapa

6

sewa sebulan?,” balas Maria. Rashid menjawab, “ Saya tidak perlu bayar sewa bulanan,” Maria kemudiannya bertanya, “ Macam mana pula itu?” Lantas dijawabnya Rashid, “ Saya tidak perlu membayar sewa bulanan kerana rakan saya itu selalu bekerja di luar negara. Jadinya saya tinggal di situ untuk menjaga rumahnya. Kadang kala enam bulan sekali dia pulang ke rumah. Tambahan pula dia telah bercerai dan anak-anaknya tinggal bersama bekas isterinya. Hendak dijadikan cerita, dia berketurunan Filipina. Datang ke Malaysia dan bekerja di estet getah di Bentong, Pahang. Lama kelamaan perniagaannya maju dan menyerahkan pengurusan estet getah itu kepada adiknya. Dia pula berkebolehan menguasai pelbagai bahasa dan mempunyai kemahiran menjual yang baik. Sekarang tugasnya ialah menjual barangan perubatan milik syarikat dari Turki. Ada kalanya di Amerika Selatan, di Jepun, di Amerika Syarikat dan pelbagai negara lagi. Cuma yang saya perhatikan dia ini mudah menyesuaikan diri. Kalau bab makan itu, dia boleh makan apa sahaja. Mungkin kerana dia bukan Muslim, mudah baginya. Selain itu kalau tengok di rumahnya, banyak sungguh buku-buku bahasa dan buku panduan pelbagai negara. Cakera-cakera padat muzik negara yang pernah beliau lawat juga banyak.”

“ Lama pula bercerita tentang diri saya. Bagaimana dengan awak?” tanya Rashid kepada Maria. “ Selepas ini saya akan ke Cheras. Tempat emak saudara saya. Sebenarnya saya datang hendak beraya. Maklumlah kubur ibu juga ada di sini. Sambil beraya bolehlah saya melawat kubur ibu saya.” Jelas Maria sambil memandang ke arah lain. Rashid kelihatan faham situasi Maria lalu berkata, “ Oh, maafkan saya. Jadi ibu awak sudah meninggal dunia. Saya ada seorang kawan tinggal di Cheras. Mungkin rumahnya berdekatan dengan rumah emak saudara awak.” Maria bertanya, “ Di mana dia tinggal?” Sambil mengemas beg galasnya, Rashid segera menjawab, “ Di Bandar Sri Permaisuri. Kami dahulu tinggal sebilik semasa di universiti.” Maria kemudiannya kelihatan mengerutkan dahinya dan bertanya semula, “ Dulu awak belajar di universiti mana? Siapa nama kawan awak itu?” Dijawabnya Rashid, “ Dulu saya belajar di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak. Nama kawan saya Badrul Munir. Pelajar undang-undang. Kenapa awak tanya? Awak kenal dia?” Seperti kelihatan terkejut, Maria terus berkata, “ Alamak kecilnya dunia ini. Saya kenal Badrul Munir. Dia sepupu saya. Memang saya

7

akan ke rumahnya selepas ini,” Rashid kelihatan begitu gembira. “ Wah, tak sangka pertemuan kita ini ada titik persamaan. Jika begitu bolehlah saya datang beraya juga ke rumah emak saudara awak. Nanti saya akan beritahu Badrul Munir akan hal ini. Cuma saya musykil sedikit mengenai diri awak. Kalau awak tidak keberatan, bagaimana ibu awak bertemu ayah awak?” “ Ala, dulu ibu dan ayah saya belajar sekali di universiti yang sama. Mereka aktif dalam persatuan. Jadinya ketika melakukan program bersama agaknya mereka berkenalan. Akhirnya mereka berkahwin dan tinggal di Malaysia. Selepas kematian ibu, ayah saya pulang ke Iran untuk uruskan perniagaan keluarga di sana,” jelas Maria.

“ Stesen berikutnya, KL Sentral. Perjalanan tren ERL Ekspres ini telah tiba ke destinasinya. Sila tekan butang kuning untuk membuka pintu. Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan kami. Jumpa lagi.” Kedengaran suara lemak merdu pengumuman dari pembesar suara tren.

Mendengarkan pengumuman itu, Rashid mula mengambil beg galasnya dan berkata kepada Maria “ Nampaknya kita sudah sampai di KL Sentral. Nanti apabila sampai di rumah emak saudara awak, sampaikan salam saya kepada Badrul Munir, ok? Apa nombor telefon awak di Malaysia? Harap dapat kita berhubung lagi selepas ini.” Maria lalu menyahut, “ Ok. Ini nombor telefon saya. Saya juga harap begitu,” Setelah pintu tren dibuka, kedua-duanya pun mulai beredar dari tempat duduk dan bertukar tren LRT berlainan pula. Seorang ke arah LRT Star dan seorang ke LRT Putra. “ Bye, jumpa lagi,” kata Rashid. Maria pun menyahut, “ Bye, jumpa lagi.”

--------------------------------------------Tiga tahun kemudian.

“ Assalamualaikum, abang di mana sekarang?” tanya Maria melalui telefon. Rashid pun menjawab, “ Di pejabat. Kenapa?” Sambil berjalan ke arah sofa empuk di rumah, Maria meneruskan perbualannya, “ Saja hendak tanya. Macam mana perniagaan hari ini?” Sambil berjalan menuju tingkap pejabatnya di menara KLCC, Rashid menjawab,

8

“ Perniagaan hari ini baik. Ramai pelanggan dari England hantar e-mel mencari rumah di kawasan sekitar Kuantan dan Pulau Pinang. Nampaknya promosi Malaysia Sebagai Rumah Kedua mendapat sambutan. Tidak menang tangan dibuatnya,” jelasnya. “ Baguslah itu. Kalau dulu orang Malaysia ramai ke sana. Sekarang sudah terbalik. Oklah abang, saya hendak masak tengah hari pula. Anak kita sudah tidur. Bolehlah saya buat kerja dengan tenang,” kata Maria sambil berjalan menuju dapur kondominium mewah mereka. Rashid lalu menjawab, “ Ok. Jumpa di rumah petang nanti. Assalamualaikum.” Maria pun menjawab, “ Walaikumussalam,” lantas meletakkan I-Phonenya di atas kabinet dapurnya dan memulakan persiapan memasak.

Sekian.

Hasil nukilan:

Salehuddin Md. Dahlan Teratak Cendana, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur

9

Related Documents

Cerpen
November 2019 40
Cerpen
June 2020 33
Cerpen
May 2020 20