Cerpen :antara Cinta Dan Kesetiaan

  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Cerpen :antara Cinta Dan Kesetiaan as PDF for free.

More details

  • Words: 1,397
  • Pages: 3
Cerpen : Antara cinta dan kesetiaan TIADA paksaan, tiada desakan ketika aku menerima pinangan Nazrin beberapa tahun lalu, yang membawa kepada pernikahan kami. Majlis pernikahan kami berlangsung dalam suasana sederhana. Walaupun kami kini telah dikurniakan dua orang cahaya mata, namun sejak akhirakhir ini aku semakin tidak mengerti dengan diriku sendiri. Bagai ada suatu perasaan aneh yang sentiasa menerjah dalam benakku. Dalam pada waktu-waktu tertentu, entah mengapa tiba-tiba datang perasaan benci yang amat sangat terhadap suamiku itu. Benci sebenci-bencinya, sehinggakan ketika itu kalau boleh aku tidak ingin langsung menatap wajahnya. Malah semahunya aku ingin menjauhkan diri daripadanya. Akibat dan perasaan itu, aku seringkali enggan bermesraan dengannya, bahkan seringkali pula aku mengabaikan tanggungjawabku sebagai seorang isteri! Lebih teruk lagi, aku kerap bertanya-tanya sendiri mengapa aku boleh jatuh cinta, menerima lamaran, bernikah dan hidup sebumbung dengan Nazrin. Mengapa pula dulu aku menerima pinangannya? Sedangkan ketika itu tiada sesiapa pun yang memaksa atau mendesak aku menerimanya sebagai teman hidupku. Tetapi bila aku mengenangkan apakah nasib yang akan menimpa pada kedua-dua anak kami yang masih kecil sekiranya rasa benci terhadap suamiku itu terus berlanjutan, aku terpaksa berbuat sesuatu. Maka, aku membuat keputusan untuk membincangkan perkara yang melanda diriku itu dengan Nazrin. Aku tak ingin terus menerus merasakan ada jurang dalam kehidupan rumah tangga kami. yang berkemungkinan akan menjadi retak! Aku benar-benar tidak sanggup membayangkan kenyataan yang memedihkan itu! Jika aku meluahkan perasaan yang terbuku ini, adakah Suamiku akan dapat menerimanya dengan tenang? Atau haruskah aku biarkan kebencian pada suamiku itu terus bersarang? Sudah tentu aku tidak sanggup terus hidup dalam lingkaran kebencian terhadap orang yang menyara makan pakaiku serta ayah kepada kedua-dua orang anakku. Aku tidak boleh membiarkannya berlarutan. Dan... akhirnya aku benar-benar nekad. Aku mesti meluahkan perasaan ini biarpun nanti ia mungkin akan menyakitkan hati suamiku. Suatu malam, ketika kami hanya berdua-duaan di dalam bilik, aku memulakan bicara. Aku luahkan tentang perasaanku yang seringkali secara tiba-tiba berubah membencinya dengan suara tersekat-sekat dan linangan air mata. Ketika itu aku dapat merasakan bagaimana pedihnya perasaan suamiku sebaik dia mendengar pengakuanku itu. Namun aku tahu dia cukup dewasa menerima kenyataan itu. Dan dari saat itulah misteri yang membelenggu kehidupan kami terungkap. "Sebenarnya memang abang dah sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan hubungan kita berdua," getus suamiku mengulas kembali pengakuanku yang pedih dan sekaligus amat menyakitkan hatinya itu. Namun dari nadanya, suamiku seperti menyedari akan suatu kesilapan yang pernah dilakukannya sebelum ini. Dalam ungkapannya ada rasa kesal yang teramat sangat. Aku mengambil langkah membisu seribu bahasa, membiarkan suamiku untuk meluahkan apa yang terbuku di hatinya pula. "Abang tak salahkan awak bila dengan secara tiba-tiba dan pada waktu-waktu yang tertentu awak membenci abang," dia terhenti lalu menarik nafas dalam-dalam. Kemudian menyambung, "Awak tentu masih ingat, masa kita belum kahwin... awak memang membenci abang, awak memang secara terang-terang menolak cinta abang. Tapi ketika itu abang tak dapat menerima kenyataan bahawa awak menolak cinta yang cuba abang hulurkan. Abang terlalu menyintai awak... hingga akhirnya abang buat

keputusan untuk mencari cara lain untuk memenangi hati awak." "Cara lain? Maksud abang?" aku merenungnya. Rasa ingin tahu mendesak-desak di dalam dada. Sekali lagi aku mendengar suamiku menghela nafas yang panjang dan melepaskannya perlahan-lahan. Wajahnya redup tapi jelas tergambar kekesalan yang amat sangat. "Waktu itu abang benar-benar rasa kecewa. Abang rasa tak boleh hidup tanpa awak. Lalu abang pergi menemui seorang bomoh untuk meminta bantuan. Abang mintak minyak guna-guna. Abang tahu apa yang abang lakukan itu salah. Tapi ketika itu yang ada dalam fikiran abang hanya satu, ingin memiliki awak dan ingin menjadikan awak isteri," bagaikan halilintar menyambar seluruh tubuhku ketika mendengar pengakuannya yang jujur itu. Dan dalam perasaan yang semakin berbaur itu, aku mulai mengimbas kembali saatsaat awal perkenalanku dengannya... WAKTU itu kami sama-sama menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di ibu kota. Aku dan Nazrin merupakan rakan sekuliah. Tidak dinafikan ketika itu ramai pelajar-pelajar lelaki lain yang tertarik denganku. Tapi semua itu tidak menghairankan kerana ramai rakan-rakan mengatakan aku ini memang menarik dan memang menjadi igauan jejaka. Di antara ramai-ramai mahasiswa yang cuba merapatiku adalah Nazrin. Memang di kampus dia tergolong kategori mahasiswa yang rajin dan bersungguh-sungguh ketika menghadiri kuliah. Dan dia jugalah antara mahasiswa yang paling bersungguhsungguh merapatiku, hingga boleh dikatakan hampir setiap minggu dia mengirim surat padaku untuk menyatakan isi hatinya. Aku rimas dan kurang senang dengan semua itu. Aku membencinya kerana sikapnya itu. Dan tidak pernah sekalipun aku membalas surat-suratnya, malah kadangkala aku tidak membaca langsung surat yang dikirimkannya. Memang sesekali terbetik juga rasa kasihan terhadapnya, namun perasaanku cepat-cepat menolak. Mana mungkin aku menerima seseorang itu hanya kerana perasaan kasihan. Memang Nazrin jenis lelaki yang tidak pernah putus asa dan pantang menyerah. Suatu masa dia dengan berani bersemuka dengan ku dan meluahkan perasaannya. Aku jadi marah dan meninggalkan dia termangu sendirian. Kemudian aku menyuruh seorang rakan mengatakan kepadanya bahawa aku sudah punya kekasih lain. Sedangkan hakikat sebenarnya tidak begitu, tak ada seorang jejakapun yang mengisi ruang hatiku. Rupa-rupanya Nazrin berasa benar-benar kecewa dan sakit hati dengan cara aku menolak cintanya. Dan, diam-diam dia mula mencari cara lain untuk melembutkan hatiku. Perkara itu bermula pada suatu malam. Tiba-tiba aku terjaga dari tidur kerana berlaku sesuatu yang aneh. Aku termenung mengenangkan apa yang aku alami dalam tidurku sebentar tadi. Aku tak pasti sama ada itu mimpi atau sebaliknya. Yang aku ingat aku telah didatangi seorang lelaki tua berjanggut panjang. Lelaki tua itu datang dengan tiba-tiba lalu meludah kearah mukaku. Kemudian dia mengangkat dan seperti hendak mencampakkan katil tempatku berbaring. Ketika itulah aku menjerit ketakutan dan kemudiannya terjaga dari tidur. Peluh dingin membasahi sekujur tubuhku, manakala ke palaku terasa pening. Mimpi yang serupa berulang-ulang aku alami. Lebih menghairankan, sejak mengalami mimpi itu aku semakin kasihan melihat Nazrin.Dan aku tiba-tiba melayaninya dengan baik setiap kali kami bertemu sama ada di kampus atau di rumah. Kemudian secara perlahan-lahan tapi jelas, aku mulai jatuh cinta kepadanya.

Yang pasti, aku teramat-amat menyin tainya, hingga jika sehari tidak memandang wajahnya aku merasa amat rindu. Nazrin sebenarnya memang seorang lelaki yang baik. Dia pandai mengambil hati kedua orang tua dan keluargaku [mungkin juga perkara itu berlaku kerana gunaguna]. Walaupun kedua orang tuaku menentang habis-habisan dan tidak akan mengizinkan aku berkahwin sebelum selesai pelajaranku, namun akhirnya mereka menyerah bila mendengar Nazrin ingin meminangku. Akhirnya pernikahan kami pun berlangsung dalam suasana sederhana. Rata-rata, kesemua rakan-rakan menyatakan kehairanan mereka bagaimana aku boleh jatuh cinta dan bernikah dengan Nazrin. Aku tidak tanu jawapannya. Aku juga bingung mencari penyebabnya secara pasti, kerana aku juga tidak pernah curiga atau mengesyaki dengan mimpi aneh yang sering hadir dalam tidurku itu. Ketidakpastian sentiasa memburu setiap detik selama hidup bersama Nazrin. Kebencian itu kerap datang menunjal dalam sanubariku sehinggalah Nazrin membuat pengakuan... Adakah Nazrin telah merampas kehidupanku dengan guna-gunanya? Haruskah aku menyalahkannya? Tapi, bukankah dia melakukan semua itu hanya untuk menjadikan cinta tulusnya terhadapku sebagai suatu kenyataan. Aku memang tidak pernah dapat menentukan jawapan yang pasti kepada pertanyaanpertanyaan batinku itu. Yang pasti, saat ini aku tak mungkin lari dari kenyataan bahawa aku telah menjadi milik Nazrin. Telah menjadi isteri Nazrin. Dan telah menjadi ibu kepada anak-anak Nazrin! Sebagai seorang isteri..aku dituntut menjalan kewajipan dan tanggongjawab sebaik mungkin kepada suami. Sebagai seorang ibu pula, aku juga harus melakukan perkara yang sama terhadap anak-anakku. Tapi bagaimana dengan perasaan benciku terhadap Nazrin? Terhadap suamiku itu? Biarlah masa dan waktu yang akan mengubati semua ini. Tuhan Maha Mengetahui apa yang telah dilakukan oleh hambaNya. Aku sering berusaha memahami kenyataan yang ada didepanku bahawa Nazrin telah berjaya memilikiku dengan mengunagunakan ku. Mungkin itu hanyalah sebagai satu bahagian dari proses panjang kehidupan rumah tangga kami. Mungkin juga Tuhan telah menentukan jodoh kami dengan jalan seperti itu, kerana aka benar-benar yakin... tanpa izin dari-Nya, sehebat dan seampuh manapun guna-guna yang dilancarkan oleh Nazrin tidak akan berkesan. Untuk mengikis kebencian terhadap suamiku sendiri, aku selalu berusaha untuk berfikir seperti itu. Aku sedapat mungkin meyakinkan diri sendiri bahawa semua hakikat itu adalah dengan kehendak dan kuasa Tuhan semata-mata. Bagi pihak suamiku sendiri, kelihatannya dia semakin menyayangiku. Dia kerap menyatakan bahawa dirinya adalah seorang lelaki yang malang, kerana tidak memiliki sifat lelaki sejati. Dan hatiku sering tersentuh dia menyeksa dirinya dengan ungkapan seperti itu. Hatiku benar-benar tersentuh. Tapi mungkin itu salah satu caranya agar aku dengan perlahan-lahan mencintai dan menyayanginya dengan ikhlas. Terima kasih, suamiku! Begitulah secebis pengalaman hidup yang aku alami. Semoga ia menjadi cermin bagi kaum sejenisku untuk menghargai lelaki dalam cinta dan kesetiaannya. Walaupun dalam hakikat yang sebenar-benarnya, antara cinta dan kesetiaan itu seperti garis lurus yang sulit ditemui kedua-dua penghujungnya.

Related Documents