Bumi

  • Uploaded by: zuhadisaarani
  • 0
  • 0
  • November 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Bumi as PDF for free.

More details

  • Words: 15,086
  • Pages: 63
Bumi Semua Manusia: Menangani Ketidaksetaraan Ekonomi Dalam Arus Globalisasi

Syarahan Perdana Universiti Kebangsaan Malaysia 1998 Alias Kamis. 1998. Peranan Hormon Perumah dalam Jangkitan Parasit. ISBN 967-942-410-3 Abu Bakar Nordin. 1998. Peningkatan Pencapaian dalam Penjanaan Bakat. ISBN 967-942-417-0 Osman Ali. 1998. Peralihan Kesihatan Perkembangan dan Iktibar. ISBN 967-942-420-0 Kasmini Kassim. 1998. Penderaan Emosi Kanak-Kanak: Trauma Terselindung. ISBN 967-942-423-5 Abdul Salam Babji. 1998. Sains Daging Terproses. ISBN 967-942427-8

Senarai lengkap Siri Syarahan Perdana UKM di halaman belakang.

Bumi Semua Manusia: Menangani Ketidaksetaraan Ekonomi Dalam Arus Globalisasi

Abdul Salam Babji

Dipersembahkan sebagai Syarahan Perdana jawatan Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, pada 21 November 1998 di Bilik Jumaah Universiti Kebangsaan Malaysia

PENERBIT UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA BANGI • 1999

Cetakan Pertama / First Printing, 1999 Hak cipta / Copyright Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999 Hak cipta terpelihara. Tiada bahagian daripada terbitan ini boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau ditukarkan ke dalam sebarang bentuk atau dengan sebarang alat juga pun, sama ada dengan cara elektronik, gambar serta rakaman dan sebagainya tanpa kebenaran bertulis daripada Penerbit UKM terlebih dahulu. All rights reserved. No part of this publication may be reproduced or transmitted in any form or by any means, electronic or mechanical including photocopy, recording, or any information storage and retrieval system, without permission in writing from the Penerbit UKM. Diterbitkan di Malaysia oleh / Published in Malaysia by PENERBIT UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA 43600 UKM Bangi, Selangor D.E. Malaysia

Penerbit UKM adalah anggota / is a member of the PERSATUAN PENERBIT BUKU MALAYSIA / MALAYSIAN BOOK PUBLISHERS ASSOCIATION

No. Ahli / Membership No. 8302 Dicetak di Malaysia oleh / Printed in Malaysia by Pusat Teknologi Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor D.E. Perpustakaan Negara Malaysia

Data-Pengkatalogan-dalam-Penerbitan Cataloguing-in-Publication-Data

6 / Bumi Semua manusia

Abstrak Dalam penyembelihan dan pengendalian haiwan ternakan besar seperti lembu dan kerbau, berat karkas yang sudah dibersihkan adalah 40-50% daripada berat semasa hidup sementara untuk haiwan kecil seperti babi, 70-80% dan ayam 65%. Baki yang terhasil, iaitu 50-60% bagi haiwan besar, 20-30% bagi babi dan 35% bagi ayam dikenali sebagai produk sampingan dan bahan buangan yang perlu diguna pakai sebaik mungkin untuk mendapatkan faedah sepenuhnya. Walaupun daging adalah produk utama dalam industri daging, punca untuk mendapat keuntungan yang lebih adalah daripada produk sampingan. Produk sampingan ayam yang boleh dimakan adalah kulit, lemak, organ dalaman, leher, tulang belakang, reja, daging ayam nyahtulang mekanikal (DANM) dan daging ayam tua. Peningkatan dalam penggunaan potongan daging ayam menyebabkan pengumpulan leher, kulit, reja dan tulang belakang dengan banyaknya dan sebahagian daripada bahan-bahan ini diproses menjadi DANM. Ayam tua dari industri telur pula agak sukar untuk dipasarkan kerana ciri-ciri deria yang kurang diterima oleh pengguna. Reja ayam adalah produk sampingan utama dari kilang pemprosesan ayam. Mutunya berbeza bergantung pada bahagian karkas yang diproses. Produk sampingan lain seperti kulit ayam, lemak dan organ dalaman juga digunakan untuk produk daging terproses selepas beberapa perlakuan dan teknik pengubah struktur dilakukan. Selama ini, kebanyakan produk daging sampingan tidak digunakan sebagai makanan manusia, sebab kualiti sensori dan nilai biologi yang rendah serta kontaminasi mikrob yang tinggi. Peningkatan kandungan mikrob dan penurunan mutu produk daging sampingan ini adalah disebabkan mutu pengendalian dan sanitasi yang rendah serta proses penyejukan yang lambat. Produk sampingan ini menjadi bahan buangan kepada pihak pengeluar dan menyebabkan pencemaran alam sekitar serta memberi masalah kepada kesihatan masyarakat. Walau bagaimanapun, pada masa ini peningkatan harga daging dan produk daging terproses telah mendorong industri makanan ternakan menggunakan kesemua sumber bahan mentah termasuk protein bukan konvensyenal iaitu bahan mentah sampingan. Eksperimen yang dijalankan oleh para penyelidik menilai kualiti bahan-bahan sampingan dan ciri-ciri fiziko-kimianya. Komposisi setiap bahan mentah dikenal pasti terlebih dahulu sebelum diguna pakai di dalam pemformulaan

Abstract In the slaughter of large animals, like cattle and carabao, 40-50% of the live weight is recovered as dressed carcass while for small animals like pigs, 70-80% and for chicken 65%. The remaining 50-60% in large animals, 20-30% in hogs and 35% in chickens are represented by by-products and wastes which should be properly utilized in order to get the full benefit of the live animal. While meat is the primary product of the animal industry, the key to greater profit is higher return on by-products. Poultry by-products that could be consumed are skin, fat, offals, necks, backbones, trimmings, mechanically deboned chicken meat (MDCM) and spent hen meat. Increment in the utilization of chicken meat cuts has resulted in large amounts of necks, skin, trimmings and backbones being accumulated. Some of these materials are being processed into MDCM. Large numbers of spent hen from the egg industry are difficult to market at a reasonable return because of unacceptable sensory characteristics. Chicken trimmings (CT) represent a major by-product of the poultry processing plants and are quite variable due to the various parts of the carcass from which trimming is carried out. Other by-products such as skin, fat and offals are also utilized in value-added products after some treatments and restructuring techniques are applied to the raw materials. The utilization of meat by-products for human consumption has been neglected due to its undesirable sensory quality, low biological value and high microbial contamination. Mishandling, poor sanitation and slow chilling decrease quality and increase the microbial load of meat by-products. These by-products became wasteful to the producers and also contribute to the environmental pollution and public health hazards. Lately, because of the increase in price of meat and processed meat products, the food industries are forced to explore all types of raw material sources including the nonconventional proteins. The present research by the writer is to evaluate the quality of these by-products and their physico-

8 / Bumi Semua manusia

chemical properties. The composition of each raw materials was identified before applying them in the meat product formulations. Such by-products have different functional characteristics and the amount of the each component and its processing treatment will affect the final products. Processing of surimi- like materials from old beef, spent hen and low cost fishes resulted in materials with improved gelation properties, which enhanced texture and other sensory attributes of processed meats. Information on the functional and physico-chemical properties of these materials is limited. It is important to pursue more researches on these nonconventional proteins as they have influence on the quality of the final products. The present research has provided some important information to the food industry on how to handle the byproducts and utilize them properly. In producing products such as bologna and frankfurter, the contributions of different types of raw materials were observed. Spent hen meat contribute the proteins, skin and chicken trimmings supplied the fat and collagen that are useful in gaining acceptable texture and flavour. MDCM contributes the paste-like emulsion, gives attractive colour and incorporates the vitamins and minerals such as ascorbic acid, calcium and iron to the final processed meat products. Surimilike materials contribute to improved textural and sensory properties. In summary the project results in the successful formulation of value added meat products by substituting premium meat tissues with non-conventional animal proteins. It efficiently utilize raw materials from the animal industry, thus reducing waste and environmental pollution. And finally it leads to acceptance by consumers of such products since knowledge of science and processing technology have resulted in products similar to those found in the market place.

Para Ahli Majlis Universiti, Para Ahli Senat Universiti, Para Profesor, Para Profesor Madya, Para Pensyarah, Para Mahasiswa, Para Tetamu Undangan, dan hadirin yang dihormati sekalian, Izinkan saya memulakan syarahan ini dengan satu petikan daripada novel pengarang terkenal Indonesia Pramoedya Ananta Toer berjudul Anak Semua Bangsa. “…kemanusiaan tanpa pengetahuan tentang duduk soal kehidupannya sendiri … bisa tersasar. Yang dinamakan zaman moden … adalah zaman kemenangan modal. Setiap orang zaman moden diperintah oleh modal besar … juga pendidikan, juga suratkhabarnya … juga kesusilaan, juga hukum, juga kebenaran dan pengetahuan.”

Kemenangan modal ini jugalah yang mengkibatkan penerusan masalah kemiskinan dan jurang perbezaan pendapatan yang semakin melebar di bumi kini, meskinpun pelbagai usaha sudah direncana dan dilaksanakan untuk sekian lama. Tuan dan Puan, Apabila satu demi satu negara di Asia dan Afrika melepaskan diri daripada cengkaman penjajahan sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, penduduk negara tersebut mempunyai harapan menggunung yang pemerintah baru di negara mereka akan

10 / Bumi Semua manusia

mengatasi masalah kemunduran dan kemiskinan yang telah lama dialami. Sama seperti kanak-kanak yang inginkan pendidikan apabila mereka mengetahui ilmu pengetahuan boleh memberikan mereka suatu rahmat yang tiada terhingga nilainya, penduduk di bumi yang pernah dijajah itu juga kepinginkan pembebasan daripada belenggu penindasan, kemiskinan dan kejahilan. Mereka mengharapkan pembaharuan yang radikal di negara masingmasing yang akhirnya membawa emansipasi kemanusiaan dan membolehkan kekayaan bumi ini dikongsi secara adil. Harapan demikian juga menjadi aspirasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengisytiharkan dasawarsa 1950-an sebagai dasawarsa pembangunan. Tetapi hari ini, cita-cita itu tampaknya masih belum terlaksana. Dunia pada ambang abad ke-21 merupakan dunia yang semakin tidak sama rata; bumi yang kaya raya ini hanya untuk sejumlah kecil manusia, manakala sejumlah besar masih tetap terpinggir. Kenapakah keadaan ini terjadi? Persoalan ini tidak mudah dijawab kerana memerlukan refleksi yang mendalam berhubung tiga permasalahan utama, iaitu permasalahan menkonsepsi dan menjana teori pembangunan; permasalahan dalam perancangan dan pelaksanaan program pembangunan; dan permasalahan memahami struktur ekonomi dunia dalam era globalisasi yang bukan sahaja terus mengekalkan struktur ketidaksamaan, malah menjadikannya lebih buruk lagi. Ketiga-tiga permasalahan ini terus menerus menjadi medan pertempuran pemikiran dan tidak menghasilkan kata sepakat di kalangan mereka yang terlibat. Misalnya, persoalan menkonsepsikan kemunduran dan pembangunan memang kompleks. Malah, konsep pembangunan itu sendiri telah mengalami perubahan dalam lima dasawarsa ini. Pada 1950-an, pembangunan disamaertikan dengan pertumbuhan ekonomi. Andaian dalam konsep ini ialah jalan yang perlu diikuti oleh negara membangun seharusnya serupa dengan apa yang telah dilalui oleh negara maju. Matlamat mengatasi masalah kemiskinan, meningkatkan taraf hidup penduduk, serta mengurangkan jurang perbezaan antara negara membangun dan

Bumi Semua manusia / 11

negara perindustrian maju akan tercapai sekiranya ekonomi negara-negara membangun dapat tumbuh pesat. Kadar pertumbuhan yang tinggi dijangkakan akan menghasilkan proses “titisan ke bawah” yang akhirnya diharapkan dapat mengatasi masalah pengangguran dan kemiskinan dan merapatkan jurang perbezaan sosial. Meskipun banyak negara membangun mencapai pertumbuhan ekonomi yang tinggi dalam dasawarsa 1950-an dan 1960-an, namun masalah pengangguran, kemiskinan dan ketidaksamaan agihan pendapatan masih terus menghantui mereka. Keadaan ini jugalah yang mendesak para pengkaji dan pembuat dasar untuk bukan sahaja mencari kerangka teori yang sesuai untuk menangani dilema dalam usaha pembangunan ini, malah konsep pembangunan itu sendiri turut dikaji semula. Hasilnya, dari segi teori, sejak penghujung tahun 1960-an, muncullah pelbagai pendekatan/teori pembangunan baru - antaranya pendekatan keterbergantungan, teori sistem dunia dan pendekatan mod pengeluaran - yang mencabar pendekatan/ teori yang sedia ada, khususnya yang berasaskan teori modenisasi. Seiringan dengan itu, pelbagai strategi pembangunan dikemukakan untuk menangani masalah kemunduran dan kemiskinan yang dialami negara membangun, yang antaranya termasuklah strategi pertumbuhan dengan pengagihan semula (Chenery et al. 1974), strategi keperluan asas (ILO 1976; Streeten 1981) dan strategi ke arah pembentukan Tatatur Ekonomi Antarabangsa Baru (Rist 1977: Galtung 1977; Cox 1979) untuk menangani corak urusan ekonomi yang tidak adil di antara negara perindustrian maju dan negara membangun. Dari segi konsep, pengertian pembangunan turut diubah, iaitu daripada hanya tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata, kepada pertumbuhan ekonomi yang disertai pengurangan dalam pengangguran, kemiskinan dan ketidakseimbangan agihan pendapatan (Seers 1972). Akhirnya kepada konsep pembangunan insan (Haq 1995) yang lebih komprehensif sifatnya. Pada hari ini konsep pembangunan insan

12 / Bumi Semua manusia

meliputi empat komponen atau matlamat penting yang saling melengkapi dan perlu dicapai, iaitu kecekapan (untuk memastikan pencapaian pertumbuhan ekonomi yang pesat); keadilan (meliputi pembasmian kemiskinan dan pengurangan jurang perbezaan pendapatan); kemapanan (menjamin pembangunan yang berterusan dan tidak mengancam kehidupan generasi akan datang) dan pemberdayaan (empowerment) rakyat, terutama golongan mudah terancam seperti golongan miskin. Sungguhpun terdapat usaha gigih menangani permasalahan menkonsepsi dan menjana teori untuk dijadikan asas bagi perancangan dan perlaksanaan projek pembangun demi mengatasi masalah kemunduran, kemiskinan dan ketidaksetaraan di negara membangun, namun pencapaian usaha ke arah mengatasi masalah tersebut masih jauh daripada diharapkan.

Ketidakseimbangan Dalam Pembangunan Perbandingan data kadar pertumbuhan ekonomi negara membangun dalam tempoh 1950-1980 dengan yang dicapai oleh negara perindustrian maju dalam tempoh yang sama, dan juga dengan pencapaian negara Eropah apabila berada pada tahap pembangunan yang sama, memang menunjukkan negara membangun mencapai kadar pertumbuhan yang lebih tinggi. Akan tetapi, apabila diambil kira kadar pertumbuhan penduduk dan pendapatan per kapita, ternyata negara membangun masih ketinggalan. Meskipun nisbah di antara pendapatan per kapita negara membangun dengan negara perindustrian maju tidak banyak berubah dalam tempoh tersebut (kira-kira 7-8 peratus sahaja), namun jurang perbezaan nilai mutlak pendapatan per kapita di antara mereka semakin melebar, iaitu meningkat daripada US$2191 pada 1950 kepada US$4,839 pada 1975 (pada harga tetap 1974). Nisbah di antara pendapatan 20 peratus negara terkaya dengan pendapatan 20 peratus negara termiskin di dunia meningkat daripada 30:1 pada 1960-an kepada 32:1 pada 1970-

Bumi Semua manusia / 13

an dan 45:1 pada 1980-an (United Nations Development Programme (UNDP) 1991, 1994). Selain daripada itu, pada 1975 terdapat kira-kira 650 juta penduduk di negara membangun berada dalam kemiskinan mutlak, iaitu memperoleh pendapatan per kapita kurang daripada US$4.17 sebulan (atau RM10.80 sebulan). Masalah kemiskinan dan jurang perbezaan pendapatan antara golongan miskin dengan kaya di dunia didapati semakin buruk pada 1980-an dan 1990-an. Banyak negara membangun terjebak dalam krisis hutang sejak penghujung 1970-an. Ini adalah salah satu punca bertambah buruknya masalah-masalah ini. Peningkatan hutang luar negara yang semakin menggunung mengakibatkan negara tersebut terpaksa melaksanakan program ‘penstabilan makroekonomi’ dan ‘pengubahsuaian struktur’ yang disarankan oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia sebagai syarat untuk membolehkan negara terbabit merundingi pembayaran balik hutang luar negara mereka. Pelaksanaan program tersebut, khususnya dasar liberalisasi kewangan, telah menyumbang kepada timbulnya masalah ketidakstabilan nilai mata wang di negara terbabit yang akhirnya membawa kepada keadaan yang menyekat proses pembangunan. Satu kesan nyata daripada proses ini ialah masalah kemiskinan yang bertambah teruk dan ketidaksetaraan agihan pendapatan di negara yang melaksanakan program pengubahsuaian struktur. Petunjuk berikut akan memberi sedikit gambaran tentang keadaan masalah kemiskinan dan ketidakadilan ekonomi di dunia dalam masa empat dasawarsa yang lalu. Nisbah di antara pendapatan 20% penduduk di negara terkaya dengan pendapatan 20% penduduk di negara termiskin di dunia terus meningkat kepada 65:1 pada 1991 dan 74:1 pada 1998 (Arnold 1993:45, UNDP 1998). Malah, sekiranya perbezaan pendapatan di antara penduduk dalam negara diambil kira dan penduduk dunia disusun daripada yang termiskin hingga terkaya tanpa mengambil kira sama ada mereka berada di negara kaya atau negara miskin,

14 / Bumi Semua manusia

maka nisbah di antara pendapatan 20% terkaya dan 40% termiskin di dunia pada 1998 adalah 135:12. Human Development Report 1999 melaporkan bahawa nilai bersih kekayaan 200 orang terkaya di dunia meningkat daripada US$440 bilion pada 1994 kepada US$1 trilion pada 1998, manakala aset tiga orang terkaya pula didapati melebihi jumlah Keluaran Negara Kasar (KNK) 48 negara membangun yang termiskin! (UNDP 1999: 37). Sebahagian besar peningkatan bahagian pendapatan golongan 20% terkaya itu terjadi pada tahun 1980-an Kenyataan ini turut dicerminkan oleh peningkatan nisbah Gini3 daripada 0.66 pada 1965 kepada 0.68 pada 1980 dan 0.74 pada 1990. Pada waktu yang sama, jurang perbezaan pendapatan di kebanyakan negara, khususnya di negara membangun, turut menjadi semakin melebar mengakibatkan kebanyakan mereka tergolong dalam kategori negara yang mempunyai darjah ketidaksetaraan pendapatan yang tinggi atau pertengahan4 (UNDP, 1997). Pada 1993, dianggarkan kira-kira 1,300 juta penduduk dunia, daripada golongan petani, nelayan, wanita, kanak-kanak, masih berhadapan dengan masalah kemiskinan mutlak. Mereka memperolehi pendapatan kurang daripada pendapatan garis kemiskinan (PGK) US$1 sehari (RM2.50 sehari) seorang. Meskipun kadar kemiskinan dunia berkurangan daripada 34% pada 1987 kepada 32% pada 1993, namun anggaran ini menunjukkan bahawa bilangan orang miskin dunia bertambah sebanyak 100 juta orang sejak 1987. Selain itu, terdapat pula 3,300 juta penduduk dunia yang hanya hidup pada, atau lebih sedikit daripada, paras garis kemiskinan mutlak5. Dianggarkan juga bahawa kira-kira 840 juta penduduk dunia sedang terancam dengan masalah kebuluran atau kekurangan makanan. Sementara sebahagian masyarakat dunia menanggung derita yang dahsyat ini, 1.1 bilion penduduk (daripada sejumlah kira-kira 5.5 bilion penduduk dunia) yang dikategorikan sebagai golongan “pengguna berbelanja lebih-lebihan” menggunakan 80 peratus hasil keluaran dunia (Roxas 1996).

Bumi Semua manusia / 15

Bertambah buruknya masalah kemiskinan yang dihadapi oleh antara 1/4 hingga 1/3 penduduk di negara membangun terpancar juga melalui indikator lain. Misalnya, hampir 1,000 juta penduduk masih buta huruf dan lebih daripada 1,000 juta penduduk tidak mempunyai kesampaian bekalan air yang selamat (UNDP 1997). Akibat masalah kemiskinan ini, kira-kira 15 juta kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia setiap tahun (Elins 1992:8). Kesangsaraan rakyat di seluruh dunia juga terjelma dalam bentuk peningkatan bilangan penyalahgunaan dadah, intensifikasi keganasan bentuk baru, pelacuran dan merebaknya masalah AIDs yang mengikis moral sosial dalam masyarakat. Penting juga dinyatakan bahawa masalah kemiskinan dunia bukan sahaja merupakan masalah negara membangun. Negara perindustrian maju juga berhadapan dengan masalah kemiskinan yang semakin meningkat. Anggaran UNDP menunjukkan bahawa pada 1993, lebih 100 juta penduduk di negara perindustrian maju memperoleh pendapatan yang kurang daripada PGK (yang ditakrifkan sebagai 50 peratus daripada pendapatan median individu di setiap negara berkenaan) dengan bilangan penganggur dianggarkan 37 juta orang. Kira-kira separuh daripada yang menganggur itu sudahpun putus asa untuk mencari pekerjaan (UNDP 1997). Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa kekayaan di dunia kini hanya dinikmati oleh sebilangan kecil penghuninya, manakala sebahagian besar dipinggir dan hilang keupayaan menentukan nasib mereka. UNDP menganggap keadaan ini sebagai satu skandal yang mencerminkan kegagalan dasar kebangsaan dan antarabangsa (UNDP 1997)6. Petras dan Polychroniou (1997:2249) pula menganggap apa yang berlaku di dunia kini menyerupai proses yang berlaku pada pertengahan abad ke-19. Proses itu ialah pengumpulan modal yang berkembang pesat dan secara besarbesaran disertai dengan peningkatan dalam bilangan penganggur, rakyat miskin, jenayah dan kadar kesangsaraan hidup manusia secara mendadak. Keadaan yang tragis ini telah disimpulkan oleh UNDP seperti berikut:

16 / Bumi Semua manusia

“Apa yang terbentuk kini adalah satu keadaan yang amat membimbangkan, iaitu kemajuan manusia yang tiada tolok bandingnya digandingi oleh kesengsaraan manusia yang tidak terkata; kemajuan kemanusian di beberapa bidang disertai oleh kemerosotan di beberapa bidang lain; dan globalisasi kemakmuran yang menakjubkan berlaku seiringan dengan globalisasi kemiskinan yang sungguh menyedihkan” (UNDP 1994:1).

Hakikat bahawa perkembangan di dunia kini semakin tidak memungkinkan kekayaan bumi bertuah ini dinikmati secara adil oleh semua penghuninya membawa ingatan kita kepada ungkapan Sutan Takdir Alisjahbana, cendekiawan terkenal Indonesia, ketika beliau mengimbas suasana negaranya sebelum dan setelah merdeka, beliau mengeluh: “Dulu tiada, rasa mendapat; kini dapat, rasa menghilang.” Meskipun ungkapan kata beliau dinyatakan dalam konteks yang berlainan, namun amat relevan dalam menggambarkan keadaan tragis yang berlaku kini di kebanyakan negara membangun.

“Model Pembangunan Asia” Sebagai Alternatif ? Di sebalik perkembangan yang mengecewakan dalam usaha menangani masalah kemiskinan dan ketidaksetaraan agihan kekayaan atau pendapatan, terdapat juga negara di kalangan negara membangun yang bukan sahaja mencapai pertumbuhan ekonomi yang tinggi malah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan mutlak dan bilangan orang miskin serta juga ketidaksamaan pendapatan dalam masyarakat mereka. Perkembangan positif ini ternyata barlaku di beberapa negara industri baru (NIB) di Asia Timur dan Asia Tenggara termasuk Malaysia, dalam tempoh hampir empat dasawarsa sejak 1960. Antara 1960 hingga 1990, KNK per kapita di negara tersebut telah tumbuh pada kadar purata 5.5 peratus setahun, yang ternyata

Bumi Semua manusia / 17

jauh lebih tinggi daripada apa yang dicapai oleh negara membangun di rantau lain (World Bank 1993: 28). Hasil pertumbuhan pesat ekonomi di negara berkenaan, kadar pengangguran dan kadar kemiskinan mutlak telah berkurangan dengan banyak sekali7. Jurang perbezaan pendapatan juga berkurangan di hampir semua negara ini (sekurang-kurangnya bagi tempoh sehingga penghujung 1980-an). Oleh yang demikian, sungguhpun pencapaian usaha membasmi kemiskinan dan mengurangkan jurang perbezaan di dunia secara umumnya amat mengecewakan, namun kejayaan NIB di Asia Timur dan Asia Tenggara telah memberikan satu harapan kepada banyak negara membangun. Kejayaan negaranegara ini bukan sahaja menunjukkan bahawa negara membangun boleh mengejar negara perindustrian maju, tetapi juga berkemungkinan menawarkan satu alternatif kepada negara membangun untuk melaksanakan dasar pembangunan. Dasar ini menjadikan kedua-dua matlamat pertumbuhan ekonomi dan pengurangan kemiskinan dan ketidaksetaraan pendapatan bukan sebagai bercanggah tetapi sebaliknya sebagai pelengkap. Kejayaan NIB ini telah mencabar kerangka teori pembangunan yang diutarakan oleh pemikiran keterbergantungan Frank dan sistem dunia Wallerstein, yang merumuskan bahawa penyertaan ekonomi negara membangun dalam sistem kapitalis dunia hanya akan menjadikannya terus mundur. Sementara kejayaan NIB telah digunakan oleh golongan neoliberal untuk memperkukuhkan ‘revolusi-balas neo-klasik’ dalam teori dan dasar pembangunan8 sejak 1980-an, namun terdapat usaha menghuraikan perkembangan menarik ini secara yang lebih menyegarkan, iaitu dengan mengkaji semula teori dan amalan peranan negara (the state) dalam pembangunan (Johnson 1982; Amsden 1989; Wade 1990; Deyo 1987). Hasilnya, kerangka teori dan analisis mereka merupakan alternatif kepada model pembangunan yang diutarakan oleh golongan neo-liberal dan institusi antarabangsa seperti Bank Dunia dan IMF. Institusi ini

18 / Bumi Semua manusia

menekankan peri pentingnya di beri keutamaan kepada ‘kuasa pasaran’ dalam proses pembangunan Secara khusus, pengkaji seperti Amsden dan Wade menunjukkan bahawa kejayaan NIB mencapai pertumbuhan ekonomi yang tinggi, disertai pula dengan pengurangan dalam kadar kemiskinan dan ketidaksetaraan pendapatan lebih disebabkan oleh campur tangan aktif negara dalam usaha pembangunan ekonomi. Mereka mengemukakan bukti jelas bahawa negara di NIB telah melaksanakan secara gigih dasar perindustrian dan dasar perdagangan yang bertujuan menggalakkan industri tempatan. Ini termasuk melaksanakan dasar perlindungan dan memberi galakan eksport (melalui pemberian subsidi) kepada industri yang berada pada tahap kematangan yang berbeza-beza. Negara tersebut (kecuali mungkin Hong Kong) tidak membiarkan arah dan kepesatan pelaburan kepada kuasa pasaran; sebaliknya, masing-masing menggunakan pelbagai langkah kewangan dan fiskal untuk menggalakkan pelaburan semula keuntungan dan mempercepat pembentukan modal. Secara keseluruhannya, perdagangan telah digunakan untuk melengkapi dan menggalakkan pengumpulan modal. Oleh yang demikian, model pembangunan yang diutarakan oleh pengalaman NIB adalah satu ancaman kepada pemikiran neoliberal yang ingin mengetengahkan pandangan bahawa campur tangan negara bukan sahaja tidak perlu tetapi juga menimbulkan ketidakcekapan, dan akhirnya mengakibatkan kegagalan pembangunan ekonomi. Namun pengalaman di NIB adalah sebaliknya. Pengalaman di Malaysia semasa pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) juga menunjukkan peri pentingnya peranan negara dalam menghasilkan pembangunan ekonomi yang lebih seimbang. Oleh kerana tuntutan semasa akibat berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969, serta perkembangan politik serantau, pihak pemerintah telah memberi perhatian serius kepada isu kemiskinan dan peluasan jurang perbezaan pendapatan (khususnya antara kumpulan etnik utama di negara ini) dalam

Bumi Semua manusia / 19

rancangan pembangunannya sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada 1971. Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (1971-1990), yang menggariskan strategi dan rancangan untuk mencapai matlamat DEB, turut dipengaruhi oleh pemikiran yang menekankan pentingnya dilaksanakan strategi pertumbuhan dengan pengagihan demi mencapai matlamat pembangunan yang lebih menyeluruh (Malaysia 1991a). Sejak itu, pihak pemerintah di Malaysia telah melaksanakan pelbagai strategi dan program untuk membasmikan kemiskinan dan mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kumpulan etnik, wilayah dan kumpulan pendapatan. Dalam tempoh 1971-1990, ekonomi Malaysia telah tumbuh pada kadar purata yang agak tinggi (KDNK sebenarnya tumbuh pada kadar purata 6.7 peratus setahun) dengan keadaan inflasi yang terkawal. Dalam tempoh yang sama, KNK per kapita Malaysia meningkat daripada RM1,937 kepada RM4,268 (semua nilai mengikut harga tetap 1978), iaitu peningkatan lebih dua kali ganda. Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang pesat telah menurun kadar pengangguran di negara ini ke paras 6.0 peratus pada tahun 1990 dan mengurangkan kadar kemiskinan mutlak daripada 52.4 peratus pada 1970 kepada 16.5 peratus pada 19909. Malaysia juga berjaya mengurangkan ketaksamaan pendapatan, terutama sejak penghujung 1970-an hingga 1990. Dalam tempoh masa dari 1957 hingga 1970, hasil beberapa kajian (Ishak Shari & Ragayah Mat Zin 1978; Snodgrass 1980) mendapati pertumbuhan ekonomi yang pesat di Semenanjung Malaysia telah disertai oleh semakin melebarnya jurang perbezaan pendapatan dalam masyarakat Malaysia10. Perkembangan ini telah dianggap sebagai satu faktor utama yang menyebabkan berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 (Malaysia 1981:2). Jurang perbezaan pendapatan isi rumah didapati terus melebar dalam tempoh 1971 hingga 1976, dengan nilai nisbah Gini meningkat kepada 0.567. Akan tetapi, jurang perbezaan pendapatan di Semenanjung Malaysia didapati mula berkurangan sejak penghujung 1970-an,

20 / Bumi Semua manusia

dengan pekali Gini bagi seluruh Semenanjung mula menurun kepada 0.493 pada 1979 kepada 0.445 pada 1990. Kemajuan positif ini juga ditunjukkan oleh penurunan bahagian pendapatan yang diperoleh golongan isi rumah 20% yang terkaya daripada 57.7 peratus pada 1976 kepada 55.8% pada 1979 dan seterusnya kepada 50.4% pada 1990. Penurunan tingkat ketaksamaan agihan pendapatan juga dialami oleh kawasan bandar dan luar bandar dalam tempoh yang sama, dengan darjah ketaksamaan lebih rendah di kawasan luar bandar berbanding kawasan bandar. Ketaksamaan agihan pendapatan di kalangan isi rumah dalam sesuatu kumpulan etnik utama di Semenanjung Malaysia juga didapati berkurangan sejak penghujung 1970-an hingga 1990 (Ishak Shari 1994a; 1999). Selari perkembangan ini, sejak penghujung tahun 1970-an jurang perbezaan pendapatan antara kawasan dan kumpulan etnik di Semenanjung Malaysia menjadi semakin berkurangan. Pada 1990 misalnya, pendapatan purata penduduk bandar adalah 1.7 kali ganda lebih tinggi daripada pendapatan purata penduduk desa berbanding dengan 2.1 kali ganda pada 1970. Pada tahun 1990 juga, pendapatan purata isi rumah Cina dan India masingmasing adalah 1.7 kali dan 1.25 kali ganda lebih tinggi daripada pendapatan purata isi rumah Melayu. Pada 1970, pendapatan purata isi rumah Cina adalah 2.3 kali ganda, dan India 1.8 kali ganda, lebih tinggi daripada pendapatan purata isi rumah Melayu (Ishak Shari 1994a, 1998). Ternyata pengalaman pembangunan Malaysia dalam tempoh DEB (1971-1990) menawarkan satu lagi contoh sebuah ekonomi di kawasan Asia Timur dan Asia Tenggara yang berjaya tumbuh dengan pesat tanpa memburukkan keadaan kemiskinan dan ketidaksetaraan ekonominya. Bagaimanakah Malaysia berjaya mencapai keadaan tersebut? Kajian Bank Dunia pernah berhujah bahawa pertumbuhan ekonomi pesat, yang didorong oleh kuasa pasaran dan pihak swasta, di negara ini memainkan peranan terpenting dalam mengurangkan kemiskinan di Malaysia (Bhalla

Bumi Semua manusia / 21

dan Kharas 1992). Secara khususnya, mereka mendakwa bahawa perkembangan pesat di sektor perindustrian telah berjaya memberi peluang pekerjaan kepada sebahagian besar tenaga buruh di negara ini, termasuk peningkatan besar dalam penyerapan tenaga buruh wanita dan penghijrahan dari desa ke bandar. Menurut mereka lagi, dengan peningkatan daya pengeluaran di kalangan para pekerja dalam sektor peringkat kedua (khususnya pembuatan), serta dengan pengurangan kadar pengangguran, kadar upah di negara ini telah meningkat. Perkembangan ini telah membantu para pekerja memperoleh pendapatan yang lebih tinggi dan seterusnya mengurangkan kemiskinan dan ketidaksetaraan agihan pendapatan. Peningkatan peluang pekerjaan dalam sektor peringkat kedua juga turut menambah bilangan pekerja dalam sesebuah isi rumah dan seterusnya membantu isi rumah terlibat menaikkan pendapatan mereka, lalu mengurangkan bilangan isi rumah miskin. Proses perindustrian di Malaysia, terutama setelah tahap perindustrian berorientasikan eksport yang bersifat intensif buruh, sememangnya telah menggalakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, dan mempunyai kesan positif terhadap kedudukan ekonomi golongan miskin dan berpendapatan rendah. Sementara perkembangan perindustrian penggantian import yang berlaku di Malaysia pada tahun 1950-an dan awal 1960-an disertai pengagihan pendapatan yang semakin tidak seimbang, perkembagan pesat industri berorientasikan eksport sejak penghujung 1960-an pula diiringi oleh kejatuhan besar kadar kemiskinan serta pengecilan jurang perbezaan pendapatan isi rumah di negara ini. Perkembangan ini berlaku kerana pertumbuhan pesat pelbagai industri berorientasikan eksport telah membolehkan lebihan tenaga buruh diserap ke sektor pembuatan. Bilangan pekerja penuh masa di sektor pembuatan juga meningkat dengan ketara. Kedua-dua perkembangan ini telah menyebabkan upah pekerja di sektor pembuatan meningkat dengan besar11. Misalnya dalam tempoh 1977-1984, kadar upah di sektor

22 / Bumi Semua manusia

pembuatan meningkat pada kadar purata 10.8 peratus setahun (Soon Lee Ying 1993). Faktor pertumbuhan pesat ekonomi khususnya sektor perindustrian, penting diambil kira untuk menerangkan kemajuan yang dicapai Malaysia mengurangkan kemiskinan mutlak dan jurang perbezaan pendapatan. Namun, peranan penting yang dimainkan negara dalam mengurus ekonomi mungkin menjadi faktor yang lebih penting (Ishak Shari 1994a,1996; Rajah Rasiah dan Ishak Shari 1997). Sebagai contoh, dasar perindustrian yang digubal untuk meningkatkan sektor pembuatan dalam ekonomi dan seterusnya membawa transformasi struktur ekonomi negara memainkan peranan penting meskipun dasar demikian dikatakan kurang berkesan jika dibandingkan dengan apa yang berlaku di Korea Selatan dan Taiwan. Dalam melaksanakan dasar perindustrian ini, pihak negara telah campur tangan dalam pelbagai bentuk untuk menjayakan matlamat yang ditetapkan. Malaysia menawarkan pelbagai insentif untuk menggalakkan perkembangan industri tertentu (khususnya industri berorientasikan eksport) atau mengarahkan perkembangan industri ke kawasan tertentu. Apabila Akta Galakan Pelaburan diperkenalkan pada 1968, insentif dalam bentuk pelepasan cukai (termasuk perlepasan duti import ke atas input yang dimport) telah diperluas kepada firma dalam industri yang berorientasikan eksport. Pembukaan kawasan perdagangan bebas mulai 1972 telah memberi insentif tambahan dalam bentuk kemudahan infrastruktur yang sebahagian kosnya ditanggung oleh pemerintah. Pihak negara juga terus mengenakan tarif yang agak tinggi ke atas sesetengah barang import untuk melindungi pertumbuhan industri tempatan yang baru. Perkembangan industri kecil dan sederhana pula menerima bantuan dalam bentuk pinjaman pada kadar yang lebih rendah daripada kadar pasaran melalui skim jaminan kredit dan juga tabung bantuan teknikal perindustrian. Malahan, pada tahap ketiga proses perindustrian negara (meliputi tempoh 1981-1986,) apabila dirasakan asas perindustrian negara perlu diberi ‘tolakan

Bumi Semua manusia / 23

besar’ pemerintah menubuhkan Heavy Industries Corporation of Malaysia (HICOM). Asas baru dalam industri berat meletakkan Malaysia di pelantar pelepas menuju ke tahap perindustrian yang lebih canggih. Pada ketika itu, Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton), anak syarikat HICOM, memulakan usaha mengeluarkan kereta nasional dengan diberi perlindungan tarif oleh pemerintah. Selain itu, sejak pelaksanaan DEB, Malaysia telah menjadikan pembasmian kemiskinan dan pengurangan jurang perbezaan pendapatan atau kekayaan (khususnya di antara kumpulan etnik dan kawasan) sebagai matlamat tersurat pembangunan ekonominya. Oleh kerana masalah kemiskinan merupakan fenomena utama kawasan desa, maka pihak pemerintah telah melaksanakan banyak rancangan pembangunan desa dan memperuntukkan sejumlah wang yang besar bagi menjayakan rancangan tersebut. Antara program pembangunan desa yang dilaksanakan termasuk usaha memodenkan sektor pertanian dan rancangan pembangunan tanah. Memang pelaksanaan pelbagai rancangan pembangunan desa ini mempunyai beberapa kelemahan (seperti kos pelaksanaan yang tinggi dan masalah kebocoran faedah)12, namun tidak dapat nafikan bahawa rancangan tersebut turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan penduduk desa dan melepaskan sebilangan besar mereka daripada putaran ganas kemiskinan. Di samping itu, langkah pemerintah mempercepat proses penyusunan semula masyarakat Malaysia agar dapat memperbaiki kedudukan ekonomi yang tidak seimbang di antara kumpulan etnik utama di negara ini juga mempunyai kesan penting terhadap paras pendapatan isi rumah bumiputera, dan seterusnya mengurangkan kadar kemiskinan mutlak dan ketidaksetaraan pendapatan di negara ini. Secara khusus, rancangan meningkatkan peluang pendidikan kepada masyarakat bumiputera serta rancangan penyusunan guna tenaga telah menambahkan bilangan guna tenaga bumiputera dalam sektor peringkat kedua

24 / Bumi Semua manusia

dan ketiga. Ini lazimnya memberi pulangan yang lebih baik daripada apa yang diperoleh daripada pekerjaan di sektor peringkat pertama. Pelancaran Skim Amanah Saham Nasional membolehkan bumiputera daripada semua lapisan masyarakat menikmati faedah peningkatan kekayaan negara. Pembesaran sektor awam dari 1971 hingga 1982 juga memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat bumiputera. Perkembangan ini juga turut meyumbang kepada kejayaan negara menanggani masalah kemiskinan dan ketidaksetaraan pendapatan, sementara menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang pesat. Setelah mengambil kira huraian di atas, maka sukarlah bagi kita bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa perjalanan sistem pasaran dengan sendirinya telah menghasilkan keadaan ekonomi Malaysia yang bukan sahaja tumbuh pesat tetapi juga berjaya mengurangkan masalah kemiskinan dan ketidakseimbangan ekonomi. Anggapan Bank Dunia bahawa campur tangan negara tidak perlu untuk mencapai matlamat pembangunan dalam erti yang lebih luas juga tidak tepat. Sebaliknya, jelas terbukti bahawa campur tangan negara sesungguhnya penting dalam kejayaan Malaysia mengurangkan kadar kemiskinan mutlak dan juga pengurangan jurang perbezaan pendapatan dalam tempoh perlaksanaan DEB. Tanpa pelbagai usaha yang direncana dan dilaksanakan oleh negara, keupayaan masyarakat yang kurang mampu (iaitu penduduk desa/bumiputera) merebut peluang hasil pertumbuhan ekonomi yang pesat mungkin tidak sampai ke peringkat yang sebenarnya tercapai pada 1990. Kenyataan ini tidak pula bermakna kita menafikan hakikat sebahagian usaha pemerintah itu telah mewujudkan peluang kepada golongan tertentu untuk mengaut sewa ekonomi dan seterusnya mengakibatkan merebaknya gejala korupsi dan politik wang dalam negara. Namun, berasaskan maklumat tentang corak agihan pendapatan sehingga 1990, kesan pelebaran jurang perbezaan pendapatan daripada tindakan negara di Malaysia nampaknya lebih kecil daripada kesan mengecilkan perbezaan pendapatan. Perlu juga diingatkan bahawa ekonomi Malaysia

Bumi Semua manusia / 25

telah tumbuh dengan agak pesat dalam tempoh 1958-1970. Akan tetapi, apabila campur tangan negara ke arah pencapaian matlamat agihan yang lebih saksama amat terbatas, maka jurang perbezaan pendapatan didapati menjadi semakin buruk.

Negara dan Pembangunan dalam Arus Globalisasi Campur tangan negara dalam pembangunan di NIB telah menghasilkan kejayaan ekonomi, sekurang-kurangnya mencapai pertumbuhan ekonomi pesat dan agihan pendapatan yang lebih saksama (termasuk pembasmian kemiskinan mutlak). Namun peranan negara di NIB didapati semakin berkurangan sejak pertengahan 1980-an apabila dilaksanakan dasar-dasar liberalisasi, deregulasi dan penswastaan. Kenapakah negara dalam ekonomi tersebut berbuat demikian? Di sini kita berhadapan dengan permasalahan memahami perubahan penting yang berlaku dalam stuktur ekonomi dunia. Keupayaan negara mengurus ekonomi didapati menjadi semakin terbatas oleh desakan proses globalisasi, saling keterbergantungan dan keperluan untuk meningkatkan daya saingan dalam ekonomi global. Permasalahan ini perlu difahami dengan meneliti sejarah perimbangan kuasa di antara negara dengan pasaran di negara kapitalis maju. Pada peringkat awal perkembangan kapitalisme di Barat, perubahan ini berbentuk peralihan daripada tahap merkantilisme (yang berkembang seiring dengan penubuhan negara moden, ke tahap liberalisme ala les bourgeois conquerants. Apabila sistem kapitalisme dunia memasuki tahap imperialisme dan semasa berlakunya Kemelesetan Besar pada awal 1930-an, peranan negara meningkat semula. Ketika itu pemerintah di negara kapitalis utama memainkan peranan sebagai agen pemulihan ekonomi dengan mempertahankan kebajikan dan peluang pekerjaan penduduk dalam negara masing-masing daripada ancaman luar.

26 / Bumi Semua manusia

Selepas Perang Dunia Kedua, sistem Bretton Woods yang dibentuk ingin mencapai keseimbangan di antara pasaran (khususnya perdagangan) dunia yang bersifat liberal dengan tanggungjawab negara terhadap isu kebajikan penduduk dalam negeri. Negara bertanggungjawab kepada agensi ekonomi antarabangsa (khususnya IMF, Bank Dunia dan Perjanjian Am Mengenai Perdagangan dan Tarif (GATT)) berhubung dengan isu liberalisasi perdagangan dan kestabilan serta kebolehtukaran tukaran asing. Sebaliknya, agensi antarabangsa ini memberi bantuan dan ruang kepada negara untuk membuat pengubahsuaian dasar ekonomi dalaman mereka agar tidak menjejas kebajikan penduduk. Oleh kerana itu para perancang sistem Bretton Woods, khususnya Keynes, hanya mencadangkan liberalisasi perdagangan dan bukan liberalisasi kewangan. Sebaliknya, mereka menegaskan betapa pentingnya dikawal urusniaga kewangan melalui kawalan modal. Kepada Keynes, liberalisasi kewangan dan liberalisasi perdagangan tidak secocok. Liberalisasi kewangan hanya akan menimbulkan unsur ketidakstabilan dalam sistem kewangan antarabangsa yang akhirnya akan mengugat perkembangan perdagangan dunia (Helliener 1996). Sehingga penghujung 1960an, sistem ini telah menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang pesat di negara perindustrian Barat dan juga peningkatan kebajikan penduduknya. Keadaan ini, serta berlakunya Perang Dingin, mendorong negara perindustrian Barat memberi bantuan yang tidak sedikit untuk membantu usaha pembangunan di negara membangun. Akan tetapi, sejak penghujung 1970-an, setelah ekonomi perindustrian Barat mengalami kemerosotan dan masalah inflasi yang buruk mulai penghujung 1960-an, berlaku perubahan asas dalam dasar ekonomi di negara-negara tersebut. Perubahan radikal dasar ekonomi ini kemudiannya merebak ke negaranegara membangun. Apa yang berlaku adalah pengecilan peranan negara dan sebaliknya peningkatan peranan swasta dan kuasa pasaran serta keterbukaan ekonomi dan peningkatan

Bumi Semua manusia / 27

pengintegrasian ekonomi nasional ke dalam ekonomi global. Semboyan utama yang dilaungkan adalah liberalisasi, deregulasi dan penswastaan. Para pendukung dasar ini mendakwa bahawa perubahan dasar tersebut diperlukan bukan sahaja untuk mencapai matlamat kestabilan makroekonomi, tetapi untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup penduduk. Herotan harga yang dikatakan berpunca daripada campur tangan negara, serta penentangan terhadap keterbukaan ekonomi, diandaikan faktor utama kadar pertumbuhan ekonomi menjadi rendah, semakin tidak saksama agihan pendapatan dan bertambah buruknya masalah kemiskinan. Usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui penyertaan yang aktif dalam ekonomi global dipercayai dapat membolehkan negara membangun bukan sahaja mengatasi masalah kemiskinan bahkan memungkinnya merapatkan jurang dengan negara perindustrian maju. Akibatnya, negara menjadi semakin tunduk kepada apa yang dikenali kini sebagai fundamentalis pasaran dan imbangan kuasa semakin memihak kepada kuasa pasaran (khususnya syarikat-syarikat gergasi transnasional (TNC)). Proses perubahan yang dikenali juga sebagai proses globalisasi dianggap oleh sesetengah pihak menandakan satu titik perubahan penting untuk melemahkan struktur ekonomi, politik dan sosial dunia yang lama dan munculnya struktur yang baru (Cox 1994). Kenapa dan bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? Persoalan ini tidak mungkin dapat diberi satu jawapan yang lengkap lagi menyeluruh di sini. Namun begitu, berpandukan penulisan Cox (1994), diutarakan beberapa unsur utama proses transformasi dalam ekonomi global. Unsur pertama adalah perubahan struktur kuasa di antara modal, pekerja dan negara. Pada 1970-an, negara perindustrian maju mendapati masalah kadar inflasi yang semakin tinggi dan yang mengakibatkan kejatuhan margin keuntungan firma sebagai penghalang usaha menggalakkan pelaburan di negara perindustrian maju. Golongan kapitalis mula menuding kesatuan sekerja kerana dikatakan

28 / Bumi Semua manusia

menuntut kenaikan upah yang berlebihan, dan juga pemerintah kerana kelemahannya dalam mengurus belanjawan negara. Sebagai reaksi kepada keadaan demikian, berlakulah kejatuhan besar tingkat pelaburan akibat pelarian modal dan mogok modal. Perkembangan sedemikian tidak dapat dipandang enteng oleh pihak pemerintah di negara tersebut. Oleh itu demi meningkatkan keyakinan kapitalis untuk melabur, kedua-dua kesatuan sekerja dan pemerintah semakin didisplinkan oleh pasaran, yakni golongan pemodal besar. Perubahan dalam struktur pengeluaran global adalah unsur kedua dalam proses transformasi tersebut. Krisis ekonomi pada 1970-an mempercepat peralihan struktur pengeluaran daripada sistem Fordisme kepada sistem pasca-Fordisme, iaitu daripada perekonomian kerana pengeluaran secara besar-besaran kepada perekonomian yang terbit daripada keluwesan pengeluaran. Cara pengeluaran yang melibatkan pembinaan kilang secara bersepadu di sesuatu lokasi dan menggunakan bilangan buruh kurang mahir yang ramai untuk mengeluarkan barang yang seragam secara besar-besaran dianggap usang. Model pengeluaran baru berasaskan struktur pengeluaran yang bersifat pusat-pinggir. Pusat pengeluaran menggunakan sebilangan kecil pekerja mahir yang menguruskan hal kewangan, penyelidikan dan pembangunan, pembangunan teknologi dan inovasi, manakala kawasan pinggir menjurus kepada pengeluaran komponen dalam keseluruhan proses pengeluaran. Sementara pusat pengeluaran amat terintegrasi dengan modal, kawasan pinggir dalam proses pengeluaran baru ini lebih longgar hubungannya dengan keseluruhan proses pengeluaran. Ini bermakna kawasan pinggir boleh diwujudkan apabila perlu dan boleh dipindah atau ditutup jika tidak diperlukan lagi. Penyusunan semula struktur pengeluaran ini membolehkan firma antarabangsa (syarikat transnasional TNC) menggunakan buruh yang dipecahkan ikut kawasan, gender dan kumpulan etnik. Perkembangan ini tentunya melemahkan kuasa kesatuan pekerja dan menguatkan modal dalam proses pengeluaran. Pihak negara disesebuah negara juga

Bumi Semua manusia / 29

kehilangan kuasa mengawal golongan kapitalis. Penyusunan struktur pengeluaran ini sebenarnya turut mempercepat proses pengglobalan pengeluaran. ‘Krisis hutang’ adalah unsur ketiga yang turut menyumbang kepada transformasi ekonomi global. Pengantungan firma dan pemerintah di negara membangun kepada pinjaman, khususnya pinjaman daripada sumber luar negari untuk membiayai pelbagai projek pembangunan memaksa pemerintah peka kepada penilaian tentang keupayaan membayar hutang oleh agensi penarafan kredit antarabangsa. Selain itu, apabila peratusan belanjawan negara yang digunakan untuk membayar balik faedah hutang semakin meningkat, pemerintah terpaksa menjadi lebih responsif kepada pasaran bon luar negeri daripada kehendak rakyatnya. Pilihan yang terbuka kepada para pemerintah apabila ingin menentukan dasar tukaran asing, dasar fiskal dan dasar perdagangan lebih dipengaruhi kepentingan para pemberi pinjaman yang memainkan peranan besar dalam ekonomi global. Akibatnya, tindakan pemerintah di kebanyakan negara kapitalis maju dan juga di negara membangun semakin dipengaruhi oleh keperluan ekonomi global, iaitu desakan globalisasi, saling keterbegantungan dan keperluan untuk meningkatkan daya saing dalam ekonomi global. Sebenarnya, pembentukan asas ekonomi global dalam tempoh tiga dasarwarsa kebelakangan ini sebenarnya dijanakan oleh proses penglobalan pengeluaran dan penglobalan kewangan. Dengan merancang pengeluaran secara global, para pemodal dapat mengambil kesempatan untuk melakukan pembahagian kegiatan daripada keadaan berbeza-beza di antara negara demi mencapai matlamat memaksimumkan pengurangan kos pengeluaran, penjimatan cukai, mengelak peraturan yang mengawal alam sekitar, pengawalan buruh dan mendapat layanan istimewa negara berkenaan. Kewangan global pula telah mencapai kebebasan daripada kawalan yang membolehkan mereka mengerakkan modal dengan cepat selama 24-jam sehari dengan bantuan sistem elektronik

30 / Bumi Semua manusia

berangkaian. Akibatnya, jumlah pengaliran modal jangka-pendek meningkat begitu ketara sekali, dengan nilai purata dagangan harian dalam pasaran tukaran asing global meningkat daripada US$15 bilion pada 1973 kepada US$880 bilion pada 1992 dan US$1,300 bilion pada 1995 (UNDP 1997,: 70). Akan tetapi, keputusan secara kolektif dalam dunia kewangan global terpusat di beberapa buah bandaraya sahaja (New York, Tokyo, London, Paris dan Frankfurt) dan bukan lagi oleh pemerintah nasional. Bagaimanapun, dua komponen ekonomi global ini bercanggah. Pengeluaran global memerlukan kestabilan politik dan kewangan dalam usahanya untuk terus berkembang. Tetapi, perjalanan sistem kewangan global mewujudkan keadaan tidak stabil. Di antara dua komponen ini, modal kewangan antarabangsa lebih berkuasa kerana keupayaannya mencipta kredit menentukan arah pengeluaran masa depan. Perhitungan sebahagian besar pemain pasaran kewangan global berasaskan keutamaan memaksimumkan keuntungan jangka pendek. Akibatnya, berlaku fenemenon kenaikan kadar pengangguran dan pemusnahan modal produktif apabila firma yang terlibat dalam pengeluaran barang terpaksa diisytiharkan muflis dan tidak dapat lagi meneruskan pengeluaran barang. Pada masa ini, pemerintah di dunia pula, termasuk pemerintah dalam Kumpulan 7, belum berjaya menggubal satu rancangan yang dapat mengawal perjalanan sistem kewangan antarabangsa yang seterusnya dapat menghalang sesuatu krisis membawa kepada keruntuhan keseluruhan sistem ekonomi dunia. Peranan negara kini ditentukan oleh proses globalisasi melalui apa yang dikenali sebagai pengantarabangsaan negara. Ciri utama proses ini adalah penukaran peranan negara ke arah menjadi agensi untuk mengubah suai dasar dan amalan ekonomi agar secocok dengan tuntutan ekonomi global. Ini bermakna peranan negara sebagai pelindungan kepentingan atau kebajikan awam semakin terhakis. Kuasa dalam susunan pemerintahan semakin terpusat kepada kementerian atau agensi yang mempunyai hubungan

Bumi Semua manusia / 31

rapat dengan ekonomi global. Ini termasuklah kementerian yang bertanggung jawab tentang perdagangan antarabangsa, bank pusat dan kementerian kewangan. Kementerian yang ditugaskan untuk melindungi kepentingan penduduk tempatan (seperti kementeriankementerian yang bertanggung jawab tentang hal bersangkutan sumber tenaga manusia, perdagangan dalam negeri dan pembangunan luar bandar) menduduki tempat yang rendah dalam herarki kuasa dalam pemerintahan nasional. Desakan ke arah peningkatan peranan modal dan berkurangannya peranan negara turut mempengaruhi perubahan dasar di NIB, termasuk Malaysia. Sejak penghujung 1980-an, semua negara NIB didapati melaksanakan dasar pengliberalan perdagangan dan kewangan serta dasar deregulasi ekonomi mereka. Di Malaysia, langkah-langkah untuk mengurangkan peranan negara dalam ekonomi diperkenalkan. dalam usaha mengatasi masalah kemerosotan ekonomi, beban hutang negara yang semakin membesar dan kedudukan kewangan yang semakin membimbang pada awal 1980-an. Selari dengan itu, pihak pemerintah juga telah merancang agar sektor swasta (termasuk pelabur asing) memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan ekonomi negara. Maka pada 1986 pihak kerajaan melonggarkan pelaksanaan Akta Penyelarasan Pelaburan dan mengekalkan galakan berbentuk pelepasan cukai melalui pengenalan Akta Galakan Pelaburan 1986. Oleh itu, sejak akhir 1986, proses perindustrian di Malaysia memasuki tahap keempat, iaitu apa yang disebut sebagai perindustrian-berpacukan-eksport yang diliberalkan dengan pelaburan asing memainkan peranan semakin penting semula (Guy Standing 1993). Seterusnya, langkah-langkah liberalisasi, deregulasi dan penswastaan yang diperkenalkan untuk menangani masalah ekonomi negara pada pertengahan 1980-an terus diperteguh dengan berakhirnya tempoh pelaksanaan DEB dan bermulanya pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional (DPN). Langkah meliberalisasikan ekonomi negara ini juga merupakan tindak

32 / Bumi Semua manusia

balas pemerintah terhadap perkembangan yang berlaku dalam ekonomi global, terutama setelah berakhirnya rundingan Pusingan Uruguay dan terbentuknya Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Dengan perubahan ini, keutamaan dalam pembangunan negara lebih ditumpukan kepada usaha mempercepat proses perindustrian dan mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi. Para perancang ekonomi negara yakin bahawa proses pertumbuhan ekonomi yang pesat akan dapat terus mengurangkan kadar kemiskinan mutlak di negara ini. Selari dengan matlamat ini, dan ekoran peningkatan integrasi ekonomi Malaysia dengan ekonomi dunia kerana proses globalisasi, penekanan pemerintah di Malaysia juga tertumpu kepada peningkatan kecekapan dan kemampuan bersaing di peringkat antarabangsa. Setelah mengambil langkah mengurangkan halangan terhadap perdagangan asing dan menderegulasi ekonomi negara mereka, pemerintah di NIB seterusnya melaksanakan langkah menderegulasikan sistem kewangan dalam negara sendiri dan membukanya kepada pihak asing terutama sejak awal 1990-an. Langkah pengliberalan akaun modal (iaitu mengurang dan mengetepikan sekatan terhadap kegiatan pinjaman dan pemilikan aset oleh pihak asing) dilaksanakan kerana desakan pemerintah Amerika Syarikat dan agensi antarabangsa seperti IMF dan Bank Dunia (yang dikatakan juga amat dipengaruhi oleh golongan pemodal di Wall Street) meskipun belum terdapat bukti empiri yang kukuh untuk menunjukkan bahawa langkah tersebut selari dengan kepentingan negara. Penyebaran pemikiran ekonomi neoliberal yang berpusat di Amerika Syarikat dan Britain turut mempengaruhi perubahan dasar ini (Wade 1999). Sungguhpun begitu, perlaksanaan dasar pengliberalan kewangan sebelum 1990 masih membolehkan pihak pemerintah di NIB mengawal kemasukan modal asing kerana sebahagian besar perusahaan besar dikawal oleh pemerintah sendiri. Akan tetapi, apabila perusahaan-perusahaan itu diswastakan sejak awal 1990-an dan pengurusan perusahaan itu terlepas daripada kawalan pihak berwajib kewangan, kawalan pemerintah terhadap pergerakan

Bumi Semua manusia / 33

modal, khususnya hutang jangka pendek amat berkurangan. Hasilnya, pada pertengahan 1990-an, modal dapat keluar masuk dengan bebas di negara tersebut dan pihak pemerintah semakin terhalang mengawalnya.

Globalisasi, Liberalisasi dan Ketaksamaan Pendapatan Apakah kesan perubahan dasar penting ini yang berlaku sejak penghujung 1980-an terhadap usaha mengurangkan kemiskinan dan ketidaksetaraan agihan pendapatan di NIB, termasuk Malaysia? Sebelum tercetusnya krisis kewangan pada pertengahan 1997, fakta yang terkumpul menunjukkan bahawa dasar yang menjadikan NIB lebih terintegrasi dengan ekonomi global serta langkah deregulasi dan penswastaan dalam negara telah menghasilkan corak agihan pendapatan yang tidak menyenangkan sungguhpun masalah pengangguran dan kemiskinan mutlak terus dapat dikurangkan. Di Korea Selatan, misalnya, beberapa kajian mendapati agihan pendapatan menjadi semakin tidak setara sepanjang 1980-an dan berterusan sehingga awal 1990-an. Jurang perbezaan pendapatan di Taiwan juga melebar semula pada tahun 1980-an dan berterusan sehingga awal 1990-an; malah, darjah ketidaksetaraan pendapatan yang terdapat pada awal 1990-an mengatasi keadaan yang ujud pada tahun-tahun 1960-an (Rajah Rasiah et al. 1996). Di Malaysia pula, seperti yang telah dikemukakan terdahulu, pertumbuhan ekonomi yang pesat dalam tempoh 1987-1997 memang mengurangkan kadar kemiskinan mutlak, iaitu. kepada 9.6 peratus pada 1995 dan 6.8 peratus pada 1997, manakala bilangan isi rumah miskin dikurangkan kepada 417,200 pada 1995 dan 346,000 pada 1997 (Malaysia 1999: 63). Walau bagaimanapun kecenderungan ke arah pengurangan jurang perbezaan pendapatan antara isi rumah bandar dengan luar bandar

34 / Bumi Semua manusia

serta antara kumpulan etnik utama yang berlaku dalam tempoh DEB didapati berubah sejak 1990. Data rasmi menunjukkan bahawa nisbah di antara pendapatan isi rumah luar bandar dan bandar meningkat daripada 1:1.7 pada 1990 kepada 1:1.75 pada tahun 1993, 1:1.98 pada 1995 dan 1:2.0 pada 1997. Dalam tempoh yang sama, nisbah di antara pendapatan isi rumah bumiputera dengan Cina meningkat daripada 1:1.74 kepada 1:1.83 manakala nisbah pendapatan isi rumah bumiputera dengan India meningkat daripada 1:1.29 kepada 1:1.42 13(Ishak Shari 1999; Malaysia 1999: 67). Arah perubahan dalam corak agihan pendapatan di negara ini nampaknya telah membuat satu “pusingan-U” juga dalam tempoh yang sama. Pekali Gini didapati meningkat semula daripada 0.445 pada 1990 kepada 0.459 pada 1993, 0.462 pada 1995 dan 0.470 pada 1997. Sekali lagi perlu dinyatakan bahawa pendapatan purata semua kumpulan isi rumah mengalami peningkatan dalam tempoh 1991-1997. Akan tetapi, peningkatan pendapatan golongan isi rumah 20% teratas didapati lebih pesat berbanding dengan golongan lain, iaitu 10% setahun berbanding dengan 9.2% setahun bagi kumpulan 40% menengah dan 8.1% bagi kumpulan 40% terendah (Malaysia 1996, 1999). Kenapa jurang perbezaan pendapatan di NIB menjadi semakin lebar semula 1980-an dan 1990-an? Jawapan kepada persoalan ini masih memerlukan kajian yang lebih mendalam. Dalam kes Malaysia, beberapa hipotesis awal telah diutarakan untuk menerangkan kenapa keadaan sedemikian berlaku (Ishak Shari 1996, 1998). Faktor pertama yang mungkin telah menyumbang kepada meningkatnya semula jurang perbezaan pendapatan di negara ini dalam tempoh tersebut ialah langkah yang berterusan yang diambil oleh industri untuk mengubah kegiatan pengeluarannya daripada berintensif buruh kepada lebih bersifat intensif-modal dan intensif-teknologi untuk menangani masalah kekurangan buruh dan meningkatkan daya saing firma/industri di peringkat global. Perkembangan ini adalah salah satu kesan yang tidak terelakkan apabila pemerintah di Malaysia

Bumi Semua manusia / 35

melaksanakan dasar liberalisasi perdagangan. Akibatnya, permintaan terhadap buruh mahir didapati meningkat dengan pesat. Tetapi, oleh kerana penawaran buruh mahir masih terbatas, maka peningkatan permintaan ini telah menyebabkan upah buruh mahir terus meningkat dengan lebih pantas. Akibatnya, jurang perbezaan pendapatan di antara golongan ikhtisas dan buruh mahir di satu pihak dengan buruh tidak mahir di pihak yang lain menjadi lebih besar. Seterusnya, peningkatan integrasi ekonomi Malaysia dalam ekonomi global hasil dasar liberalisasi perdagangan juga turut memaksa kaum buruh di negara ini bersaing dengan pekerja lain di dunia, khususnya buruh di negara yang mempunyai lebihan buruh, seperti China, Indonesia dan Vietnam. Sebagai langkah jangka pendek untuk menyaingi kos buruh di negara-negara tersebut, permerintah Malaysia telah membenarkan firma menggunakan buruh asing dalam pelbagai sektor. Kemasukan buruh asing secara sah ataupun tanpa izin, didapati telah menambahkan bilangan isi rumah miskin di negara ini (Malaysia 1996). Selain itu, perkembangan ini juga telah memperlahankan kenaikan upah buruh di negara ini meskipun negara berhadapan dengan keadaan permintaan terhadap buruh yang berlebihan. Kemasukan buruh asing secara beramai-ramai terus menerus menambah bilangan buruh tidak mahir dalam sektor yang memerlukannya (seperti perladangan, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan tertentu) dan keadaan ini menghalang peningkatan upah dalam sektor tersebut. Akibatnya, upah buruh tidak mahir di negara ini meningkat pada kadar yang jauh lebih rendah daripada kadar peningkatan pendapatan per kapita negara, dan seterusnya meluaskan jurang perbezaan pendapatan dalam masyarakat. Lin (1985) dan Kirkpatrick (1986) masing-masing melaporkan bahawa keadaan yang sedemikian juga berlaku di Hong Kong (1976-1981) dan Singapura (1979-1983). Dengan perkataan lain, proses globalisasi yang menjadikan buruh di negara ini perlu bersaing dengan buruh di negara-negara lain serta dengan kemasukan begitu ramai buruh asing telah

36 / Bumi Semua manusia

melambatkan kemajuan usaha pembasmian kemiskinan dan juga turut menyumbang kepada meluasnya jurang perbezaan pendapatan dalam masyarakat kita. Penghijrahan masuk buruh asing secara beramai-ramai boleh melebarkan jurang perbezaan pendapatan dalam masyarakat melalui dua cara, iaitu: 1. Kemasukan buruh asing yang muda dan tidak mahir membawa perubahan struktur umur tenaga buruh tidak mahir, dengan peratusan golongan muda yang berada di strata terbawah dalam herarki upah menjadi lebih besar. 2. Kemasukan mereka secara beramai-ramai akan merendahkan secara relatif upah pekerja tidak mahir sementara upah pekerja mahir dan pulangan pemilik modal terus meningkat. Akibatnya, jurang perbezaan pendapatan dalam masyarakat menjadi lebih besar. Kemungkinan perkembangan ini berlaku dapat dilihat daripada perbezaan di antara kadar kenaikan upah buruh mahir dan separuh mahir di satu pihak dan buruh tidak mahir di pihak yang lain dalam sektor pembuatan dalam tempoh 1987-1993. Mengikut kajian Bank Dunia (1995), sementara upah golongan buruh mahir meningkat sebanyak 10.1% dan buruh separuh mahir meningkat sebanyak 7.0%, upah buruh tidak mahir meningkat sebanyak 4.9% sahaja. Satu faktor lain yang turut menyumbang kepada peningkatan semula ketidaksetaraan pendapatan, terutama di antara isi rumah bandar dengan desa, ialah pertumbuhan sektor pertanian atau luar bandar yang secara relatifnya lembab akibat semakin terpinggirnya sektor tersebut dalam usaha pemerintah meningkatkan daya saing sektor perindustrian moden pada peringkat global. Data rasmi jelas menunjukkan bahawa kemajuan di sektor pertanian di negara ini agak jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kemajuan di sektor lain. Pengurangan peranan negara dalam pembangunan negara, kejatuhan harga

Bumi Semua manusia / 37

barangan utama, kenaikan kos pengeluaran dan masalah kekurangan tenaga buruh akibat penghijrahan golongan belia desa ke bandar telah mengakibat ramai pengeluar kecil di kawasan desa mengabaikan kegiatan pengeluaran mereka. Akibatnya, sebahagian besar tanah pertanian milik pekebun kecil di negara ini diklasifikasikan tanah terbiar. Malah, sebahagian besar tenaga buruh di kawasan desa kini terdiri daripada golongan tua yang kurang berpendidikan. Keadaan ini menyulitkan penyebaran teknologi baru di kawasan desa dan seterusnya menyebabkan daya pengeluaran di sektor pertanian masih lagi rendah, berbanding sektor lain. Perkembangan ini akan membawa sektor pekebun kecil memasuki satu fasa yang menandakan terdapatnya hubungan rapat di antara masalah kemiskinan dengan masalah kekurangan tenaga buruh atau tenaga buruh yang sudah tua dan lebih cenderung mengelakkan diri menghadapi risiko. Dasar mengurangkan keterlibatan negara dalam kegiatan ekonomi, terutama dalam bidang sosial dan usaha membantu golongan berpendapatan rendah, akibat pengaruh pemikiran neoliberal yang dominan sejak awal tahun 1980-an, juga turut menyumbang kepada meluas semula jurang perbezaan pendapatan di Malaysia. Perkembangan ini dapat dilihat dalam beberapa perubahan penting yang mempengaruhi kedudukan ekonomi golongan bawahan dalam masyarakat. Misalnya, salah satu perubahan penting yang berlaku akibat dasar mengecilkan peranan negara dalam ekonomi sejak pertengahan tahun 1980-an adalah perubahan tumpuan usahanya untuk membasmikan kemiskinan di negara ini sejak penghujung 1980-an. Strategi dan program pembasmian kemiskinan di negara ini sejak penghujung 1980-an telah ditumpukan kepada golongan termiskin manakala golongan miskin lain diandaikan akan dibantu oleh proses pertumbuhan ekonomi pesat, yang dijangka akan terus mewujudkan peluang pekerjaan dan peluang lain untuk meningkatkan pendapatan mereka. Selain itu, dasar menggalakkan sektor swasta, khususnya modal, memainkan peranan yang lebih penting sebagai jentera

38 / Bumi Semua manusia

pertumbuhan ekonomi juga turut melemahkan kedudukan kesatuan sekerja dan juga institusi lain yang sepatutnya melindungi kebajikan pekerja. Akibatnya, sementara golongan pemodal dan golongan ikhtisas serta pekerja mahir dapat mengambil peluang yang diwujudkan oleh pertumbuhan ekonomi yang pesat sejak 1987, golongan miskin dan berpendapatan rendah, termasuk golongan miskin baru di bandar, hanya dapat pada puratanya meningkatkan pendapatannya pada kadar yang perlahan, dan seterusnya meningkatkan jurang perbezaan pendapatan antara bandar dengan desa dan juga di antara kumpulan etnik/pendapatan. Berasaskan pengalaman pembangunan di Malaysia, ternyata bahawa peranan negara penting dalam usaha membasmikan kemiskinan dan mengurangkan jurang perbezaan pendapatan khususnya dalam tempoh perlaksanaan DEB. Akan tetapi, proses globalisasi yang berjalan dengan pantas sekali kini, serta dasar liberalisasi, deregulasi dan penswastaan ekonomi yang dituntut untuk dilaksanakan di semua negara di dunia, telah menyebabkan peranan negara dalam pembangunan semakin mengecil. Perkembangan ini nampaknya mempunyai kesan negatif terhadap usaha mengurangkan kemiskinan mutlak dan keadaan ketidakseimbangn agihan pendapatan di negara membangun pada akhir abad ini dan besar kemungkinan juga pada abad yang akan datang. Sebenarnya, kesan jangka panjang proses globalisasi dan liberalisasi ekonomi terhadap pertumbuhan ekonomi, kemiskinan dan ketidakseimbangan pendapatan merupakan satu perkara yang agak kompleks dan memerlukan penelitian yang lebih lanjut. Pada peringkat ini, maklumat yang ada tidak mengizinkan satu penilaian yang lebih terperinci mengenai kesan globalisasi dan liberalisasi terhadap pelbagai golongan miskin dan berpendapatan rendah. Namun, kita boleh menjangkakan bahawa Malaysia dan negara membangun yang lain akan terpaksa berhadapan dengan keadaan dunia yang menuntut liberalisasi ekonominya diperhebat. Malahan, negara perindustrian Barat (khususnya Amerika

Bumi Semua manusia / 39

Syarikat) dan agensi antarabansa (khususnya IMF dan WTO) bukan sahaja menuntut supaya perdagangan bebas meliputi perdangangan barang sahaja tetapi juga perlu meliputi perdagangan perkhidmatan dan juga pelaburan. Perkembangan ini berkemungkinan menyukarkan usaha negara-negara membangun memajukan sektor perindustrian masing-masing dan seterusnya menghambat usaha membasmi kemiskinan dan mengurangkan jurang perbezaan pendapatan. Peluasan penguatkuasaan hak harta intelektual, akan menjadikan usaha negara-negara membangun lebih sukar dan lebih mahal memperoleh teknologi. Perkembangan ini besar kemungkinannya menjejaskan usaha memajukan proses perindustrian. Dalam konteks ini, maka mudahlah difahami kenapa negara membangun agak curiga akan motif sebenar negara maju yang cuba mengaitkan perdagangan dengan isu hak asasi pekerja dan alam sekitar.

Krisis Ekonomi dan Berakhirnya “Model Pembangunan Asia”? Kejayaan negara di Asia Timur dan Asia Tenggara mengurangkan masalah kemiskinan dan jurang perbezaan dalam masyarakat mereka memang telah dibantu oleh pertumbuhan pesat ekonomi masing-masing. Akan tetapi, sejak Julai 1997, setelah berlakunya krisis matawang di Negeri Thai yang kemudiannya berjangkit ke beberapa negara Asia lain mengakibatkan nilai matawang dan harga saham di negara tersebut turun dengan mendadak. Akibatnya, ekonomi negara-negara tersebut berkemungkinan besar terpaksa mengalami kadar pertumbuhan yang rendah bagi satu jangka yang sederhana panjang. Dalam keadaan sedemikian, bukan sahaja bilangan peluang pekerjaan baru yang dapat diwujudkan berkurangan malah bilangan pemberhentian kerja dilaporkan meningkat dengan agat cepat dan pendapatan para pekerja berkurangan dengan agak besar. Dalam keadaan demikian,

40 / Bumi Semua manusia

kadar kemiskinan dan bilangan isi rumah miskin meningkat dengan pesatnya. Di Indonesia, misalnya, sehingga Jun 1998, 13.4 juta pekerja dilaporkan telah diberhentikan oleh para majikan dan mengakibatkan pertambahan bilangan penganggur di negara itu kepada 20 juta atau 21.3% daripada guna tenaga pada 1998 berbanding dengan 4.7% pada 1997 (ESCAP 1999: 110-111). Di Negara Thai, sejak berlakunya krisis kewangan sehingga awal 1999, kadar pengangguran terbuka dilaporkan meningkat daripada 5.4 peratus pada 1997 kepada 8.8 peratus pada Februari 1998. Kadar pengangguran di Korea Selatan pula dilaporkan mencapai angka 7 peratus pada Jun 1998 berbanding dengan 4.4 peratus pada Oktober 1997, manakala bilangan penganggurnya meningkat daripada 0.5 juta kepada 2 juta. Upah pekerja di Negara Thai dan perbelanjaan per kapita di Indonesia dilaporkan jatuh, masingmasing sebanyak 15 peratus dan 21 peratus. Bilangan isi rumah miskin di Indonesia dijangka meningkat sebanyak 50 peratus pada 1998 berbanding dengan angka bagi 1996 (World Bank 1999). Malaysia juga tidak terlepas mengalami kesan buruk krisis yang berlaku. Data rasmi menunjukkan bilangan pekerja yang diberhentikan di Malaysia pada 1998 mencapai angka 83,865 atau 1 peratus daripada jumlah guna tenaga. Perkembangan ini telah meningkatkan bilangan penganggur di Malaysia daripada 229,700 pada 1997 kepada 443,200 pada 1998, manakala kadar pengangguran meningkat daripada 2.7 peratus kepada 3.9 peratus dalam tempoh yang sama (Bank Negara 1999). Angka ini mungkin terendah anggar masalah pemberhentian pekerja dan pengangguran di negara ini kerana sebahagian besar pekerja yang mengalami nasib malang itu terdiri daripada pekerja asing yang masuk ke negara ini secara sah atau sebaliknya. Apabila sebilangan besar telah dihantar pulang semasa berlakunya krisis ekonomi, maka angka pemberhentiaan kerja dan jumlah penganggur tidaklah nampak besar. Selain itu, sebilangan besar mereka yang masih bekerja berhadapan dengan masalah kejatuhan pendapatan akibat

Bumi Semua manusia / 41

berkurangannya hari/jam bekerja ataupun ketiadaan peluang bekerja lebih masa. Seterusnya, kejatuhan besar nilai ringgit mengakibatkan harga barang-barang import, termasuk barang makanan asasi, meningkat pada kadar yang tinggi. Akibatnya, kadar inflasi di negara ini meningkat daripada 2.7 peratus pada 1997 kepada 4.9 peratus pada 1998 dengan indeks bagi komponen makanan meningkat pada kadar yang lebih tinggi, iaitu 8.9 peratus (Bank Negara 1999). Ini bermakna penduduk di Malaysia termasuk golongan miskin, menerima dua pukulan hebat daripada krisis yang berlaku. Di satu pihak, sebahagian mereka kehilangan pendapatan akibat perberhentian kerja ataupun penggurangan nyata pendapatan mereka. Di pihak yang lain, mereka dibebankan oleh kenaikan kos hidup akibat kenaikan harga barang yang tinggi. Selain itu, meskipun pihak pemerintah di Malaysia telah mengumumkan bahawa peruntukan perbelanjaan untuk usaha membasmi kemiskinan tidak akan dikurangkan, namun secara keseluruhannya pihak pemerintah masih terpaksa mengurangkan perbelanjaannya pada peringkat awal berlakunya krisis kewangan dan ekonomi yang dihadapi. Kesemua perkembangan ini, serta hakikat bahawa tiada jaringan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh, sudah semestinya akan menyukarkan usaha membasmi kemiskinan dan mengurangkan lagi keadaan ketidaksetaraan ekonomi di negara kita pada abad yang mendatang. Mengikut satu anggaran, kadar kemiskinan di Malaysia dijangkakan meningkat daripada 6.8 peratus pada 1987 kepada 8.0 peratus pada 1998 manakala bilangan isi rumah miskin dijangka meningkat daripada 346,000 kepada 414,700 dalam tempoh yang sama14. Bilangan dan peratus isi rumah termiskin di seluruh negara juga dijangka meningkat semula, masing-masing daripada 70,300 kepada 88,100 dan daripada 1.4 peratus kepada 1.7 peratus dalam tempoh tersebut (Business Times 1998). Apabila berlakunya krisis kewangan di rantau Asia sejak pertengahan 1997, beberapa pihak mendakwa bahawa masalah

42 / Bumi Semua manusia

yang dialami itu berpunca daripada kegagalan ‘model pembangunan Asia’, khususnya model pembangunan NIB. Mereka mengemukakan dua punca utama berlakunya krisis tersebut, iaitu hubungan rapat antara pemerintah dengan perniagaan serta herotan pasaran yang melindungi para perniaga di negara tersebut daripada kuasa persaingan dan disiplin pasaran. Malahan, ada juga di antara mereka yang mengutarakan pandangan bahawa krisis itu menandakan berakhirnya kerelevanan ‘model pembangunan Asia’, yakni model pembangunan yang melibatkan campur tangan negara yang aktif dalam usaha pembangunan ekonomi. Memang kita perlu akui (dan seterusnya mencari penyelesaian) tentang kelemahan yang terdapat dalam proses pembangunan di kebanyakan negara di Asia Timur dan Asia Tenggara, khususnya masalah yang timbul akibat hubungan rapat antara golongan peniaga dengan pemerintah beserta hakikat golongan tertentu memerah sewa ekonomi melalui kedudukan istimewanya. Namun begitu, ini tidak bermakna kita harus menerima dakwaan bahawa model pembangunan ekonomi yang melibatkan campur tangan aktif negara sudah gagal sama seperti gagalnya model perancangan pusat ala Soviet Union. Sehubungan perkara ini, kita harus perhatikan bahawa krisis kewangan yang berlaku di rantau Asia serupa dengan krisis kewangan yang berlaku di rantau lain sejak runtuhnya peraturan kewangan antarabangsa yang dibina oleh sistem Bretton Woods. Sistem pertukaran terapung dilaksanakan dan langkah-langkah liberalisasi kewangan yang membolehkan modal bergerak bebas merentasi sempadan. Selain itu, kita juga harus mengambil kira perbezaan penting yang terdapat antara struktur ekonomi dan institusi negara-negara Asia. Agak menarik juga ditonjolkan hakihat bahawa dua ekonomi di Asia yang mengamalkan campur tangan aktif negara, iaitu Singapura dan Taiwan, tidak mengalami krisis kewangan dan ekonomi seburuk Indonesia, Negara Thai, Malaysia dan Korea Selatan. Selain itu, krisis yang dihadapi oleh Indonesia dan Negara Thai ternyata

Bumi Semua manusia / 43

lebih buruk jika dibandingkan dengan apa yang dialami oleh Malaysia meskipun negara di Malaysia melaksanakan dasar campur tangan yang lebih aktif berbanding dengan dua negara jirannya itu. Oleh kerana itu, saya lebih cenderung untuk berhujah bahawa krisis kewangan dan ekonomi yang melanda rantau ini telah berlaku apabila pemerintah melaksanakan dasar liberalisasi dan deregulasi kewangan. Dasar ini ialah perubahan penting kepada dasar yang diamalkan sebelumnya, tanpa pergukukuhan sistem penyeliaan kewangan.. Dengan kata lain, negara di Asia Timur dan Asia Tenggara mengalami krisis buruk yang sedang dialami sekarang kerana mereka didesak berganjak daripada model pembangunan yang selama ini telah menghasilkan kejayaan oleh kuasa utama dunia dan organisasi antarabangsa utama tertentu. Sebelum ini, pihak negara mengawal dengan ketat dua bidang penting, iaitu pinjaman dari sumber luar dan panduan serta penyelarasan pelaburan swasta. Akan tetapi, apabila langkah liberalisasi dan deregulasi dilaksanakan, negara mengabai peranannya dalam menyelaraskan kegiatan pelaburan untuk mengelak persaingan berlebihan dan masalah lebihan kapasiti. Tanpa pengawalan ke atas sektor kewangan, ekonomi negara mereka mudah terancam oleh kegiatan spekulatif daripada pihak luar. Oleh yang demikian, bolehlah dihujahkan bahawa krisis itu berlaku kerana campur tangan negara sudah berkurangan dan bukan disebab terlalu banyak campur tangan negara . Hujah ini dinyatakan oleh Joseph Stiglitz (1998:3) Ketua ekonomi Bank Dunia, dengan jelas seperti berikut: ‘Sesetengah para ideolog telah mengambil kesempatan daripada masalah semasa yang dihadapi oleh negara di Asia Timur untuk mencadang bahawa sistem campur tangan negara yang aktif adalah punca masalah yang mereka hadapi… Tetapi saya akan berhujah bahwa punca masalah semasa dalam kebanyakan ekonomi ini bukan kerana campur tangan berlebihan negara tetapi lebih disebabkan campur tangan terbatas negara… Kesilapannya adalah kurangnya tindakan daripada pemerintahan berasaskan kepada kurang penekanannya tentang peri pentingnya kawalan kewangan dan kawalselia korporat..

44 / Bumi Semua manusia

Krisis Asia Timur bukanlah penolakan keajiban Asia Timur. Pandangan dogmatik Konsensus Washington tidak memberi kerangka yang baik untuk memahami kejayaan ekonomi Asia Timur dan juga masalah yang sedang dihadapi. Segala tindakan dalam menangani krisis Asia Timur berasaskan pandangan tersebut berkemungkinan akan memburukkan lagi keadaan.’

Pandangan Stiglitz ini berbeza dengan pendirian Bank Dunia dalam laporannya The East Asian Miracle (1993) dan jelas mencerminkan perubahan pendirian institusi itu sendiri tentang peranan negara dalam pembangunan.

Perlunya Pengajian Pembangunan Persoalan sama ada ‘model pembangunan Asia’ masih relevan untuk mencapai matlamat pembangunan insan akan terus diperdebatkan. Walaupun begitu, ekonomi Malaysia dan ekonomi negara membangun lain terpaksa menerima hakikat bahawa globalisasi serta liberalisasi ekonomi merupakan satu proses yang mencorakkan kegiatan pengeluaran, perdagangan, pengaliran modal dan agihan kekayaan di dunia . Akan tetapi, perjalanan sistem ekonomi global, yang dikuasai oleh sebilangan kecil syarikat raksasa. ( TNC) yang mengutamakan keuntungan maksimum, sukar untuk diharapkan dapat mengutamakan pembangunan insan apabila tidak terdapat kawalan atau desakan kelompok kolektif, termasuk negara. Ini bermakna sistem ekonomi yang berpandukan kuasa pasaran akan memanfaatkan mereka yang mempunyai kuasa beli yang besar, iaitu golongan yang berada dan menguasai sebahagian besar kekayaan global. Akibatnya, jurang perbezaan kekayaan dan pendapatan berkemungkinan besar akan menjadi semakin lebar. Akibat berkekalannya masalah kemunduran, kemiskinan dan ketidaksamaan ekonomi di dunia kini, maka telah timbul cadangan agar keseluruhan pendekatan dalam kajian pembangunan diteliti

Bumi Semua manusia / 45

semula secara kritis agar penyelesian yang berkekalan dapat dicari untuk mengatasi masalah tersebut. Hasilnya, kini sudah terdapat wacana yang mempersoalkan perkara asas berhubung dengan pembangunan. Misalnya telah ditimbulkan persoalan: kenapakah negara perindustrian di Amerika dan Eropah harus dijadikan model yang sesuai untuk diikuti atau ditiru oleh negara membangun? Tidakkah mungkin dasar pembangunan yang direncana dan dilaksanakan selama ini, dengan bantuan asing, sebenarnya menjadi mekanisma kawalan yang berkesan sama seperti apa yang berlaku pada zaman penjajahan dan mengakibatkan negara membangun terus mengejar impian yang tak kunjung tiba? Malahan, ada pihak yang menimbulkan persoalan yang lebih asas lagi, iaitu: mungkinkah wacana pembangunan selama ini meneliti masalah pembangunan daripada perspektif yang salah dan kerana itu kita perlu melihat permasalahan pembangunan daripada sudut yang berlainan sama sekali? Secara khususnya telah dihujahkan bahawa tanpa pertimbangan budaya, yang menentukan penguasaan manusia terhadap destini mereka dan juga keupayaan mereka meninjau dunia berpandukan pengalaman khusus mereka, pembangunan hanyalah satu proses kejuruteraan sosial pada peringkat global yang ditentukan oleh golongan kaya dan berkuasa. Apabila budaya rakyat, yakni kepercayaan, ide, perasaan dan amalan harian mereka, tidak dipertimbang dan dihormati, kita sebenarnya telah mengetepikan maksud sebenar pembangunan insan. Pembangunan yang terpisah daripada konteks budaya masyarakat hanya akan menghasilkan pertumbuhan tanpa rohnya (Unesco 1995). Banyak persoalan dan penelitian tentang isu, konsep dan teori pembangunan seperti ini telah ditimbulkan dalam apa yang dinamakan wacana pascapembangunan (Rahnema dan Bawtree 1997; McMicheal 1996) dan wacana pascakolonial (Hoogvelt 1997). Persoalan ini sememang menuntut penelitian para sarjana dalam bidang kajian pembangunan. Oleh itu, agak berbeza dengan

46 / Bumi Semua manusia

pandangan yang mengatakan bahawa kajian pembangunan sudah terkubur, cabaran baru ini memerlukan keterlibatan yang lebih aktif daripada para peneliti dan pelajar dalam bidang kajian pembangunan. Sungguhpun cabaran yang dihadapi di bidang pengajian pembangunan memang berat, namun begitu satu aliran yang membimbangkan telah muncul dalam bidang penjanaan ilmu di negara ini, yang menuntut supaya ilmu pengetahun bersifat utilitarian dan tunduk kepada kehendak pasaran. Konsep ‘kerelevanan’ ilmu telah ditafsirkan oleh sesetengah pihak secara sempit daripada sudut jangka pendek kepentingan pasaran. Akibatnya, bidang pengajian seperti kajian pembangunan semakin dianggap tidak relevan. Apatah lagi apabila terdapat kecenderungan di kalangan sarjana Barat, khususnya setelah tamat “perang dingin”, yang menganggap kajian pembangunan telah digerhanakan setelah melalui satu “jalan buntu” (Hoogvelt 1997: x-xi). Namun ketika keseluruhan Asia dilanda krisis kewangan dan ekonomi, amat wajar sekali diimbas kembali sejarah untuk mencari model pembangunan yang dapat menjamin tercapainya matlamat pembangunan insan. Ternyata apa yang direncana dan dilaksanakan melalui Persetujuan di Bretton Woods selepas Perang Dunia Kedua untuk mendirikan dunia yang damai, bebas daripada kemiskinan dan terlepas daripada pemusnahan manusia oleh manusia masih tinggal impian. Setengah abad berlalu, tetapi tampaknya dunia masih dilanda permasalahan sama - krisis ekonomi yang berterusan terutama sejak awal 1970-an dan disertai oleh semakin buruknya masalah kemiskinan dan peperangan yang berterusan. Kini ditambah pula dengan masalah kerosakan dan pemusnahan persekitaran. Ternyatalah jawapan yang dikemukakan oleh beberapa teori pembangunan sedia ada nampaknya belum mencukupi. Oleh kerana itu, seharusnya menjadi satu tanggungjawab penting kepada para peneliti dan penuntut pembangunan supaya dikaji semula secara kritis teori tersebut dalam usaha kita mencari jawapan baru yang

Bumi Semua manusia / 47

lebih baik, tetapi yang kurang difikirkan oleh para peneliti pada 1960-an dan 1970-an. Salah satu sebab utama kerperluan ini adalah kerana dalam tempoh kira-kira tiga dasawarsa lampau sedikit sekali masyarakat yang tidak terdampak oleh globalisasi, istimewanya ekonomi global. Kedua-dua hal itu, globalisasi dan ekonomi global, belum dimengerti sepenuhnya oleh sesiapapun pada waktu ini. Malah, tidak kurang mereka yang keliru di antara konsep pengantarabangsaan dan globalisasi15. Selain itu, krisis kewangan dan kegawatan ekonomi yang melanda Malaysia sejak pertengahan 1997 seharusnya menyedarkan kita akan bahaya yang negara ini akan tergelincir balik ke dalam situasi asal apabila negara mencapai kemerdekaan dengan segala ketaksamaan sosial, ekonomi dan politiknya.

Kesimpulan Huraian di atas menunjukkan bahawa usaha untuk menjadikan bumi ini dimilik semua manusia bukan sahaja memerlukan kita menanggani permasalahan perancangan dan perlaksanaan program pembangunan, malah menuntut kita berdepan dengan permasalahan dari segi konsep dan teori pembangunan, serta isu perubahan struktur ketidakseimbangan global, juga dalam negeri yang dibawa oleh proses globalisasi. Namun begitu, dalam bahagian penutup ini izinkanlah saya menegaskan semula satu perkara yang difikirkan amat perlu difahami dalam usaha mencapai keadilan sosial, di dunia amnya dan di negara membangun seperti Malaysia khususnya, dalam era globalisasi ini. Sememangnya kini terdapat banyak sekali dakwaan yang menyatakan bahawa globalisasi yang membawa kepada ‘dunia tanpa sempadan’ akan menjadikan negara, terutama di ekonomiekonomi membangun, hilang keupayaan untuk merancang pembangunan masing-masing. Selain itu, pemikiran neo-liberal juga mendakwa bahawa campur tangan negara akan menimbulkan ketidakcekapan dalam peruntukan sumber dan sewajarnyalah

48 / Bumi Semua manusia

peranan negara dikecilkan manakala pihak swasta diberikan ruang yang lebih luas dalam urusan ekonomi negara melalui langkah liberalisasi, deregulasi dan penswastaan. Peranan negara juga harus lebih ditumpukan kepada usaha meningkatkan daya saing ekonomi dalam pasaran global dan mengurangkan program melindungi dan membantu golongan bawahan dalam masyarakat. Pemikiran neo-loberal inilah yang telah diterima oleh pemerintah di Malaysia sejak pertengahan 1980-an, yang membawa kepada perubahan radikal kepada teras dasar pembangunan negara dengan pengenalan dan pengukuhan dasar liberalisasi, deregulasi dan penswastaan dan seterusnya menjadikan sektor swasta sebagin enjin utama pertumbuhan ekonomi negara selepas 1990. Krisis kewangan dan ekonomi yang melanda negara sejak pertengahan 1997 telah mengejutkan pemerintah Malaysia daripada keghairahannya memburu faedah yang dijanjikan oleh para pendukung globalisasi. Pemimpin negara mula sedar sebalik manfaat yang dijanjikan terdapat banyak sekali bahaya kepada negara dan rakyat biasa apabila kuasa pasaran diberi kebebasan untuk beroperasi pada peringkat global dan nasional. Sebenarnya, hujah yang menyatakan bahawa negara akan menjadi semakin lemah dan tidak berkesan dalam arus globalisasi adalah kurang tepat. Sebaliknya, proses pembentukan ekonomi global – yang diterajui dan dicorakkan oleh gabungan syarikat gergasi TNC, kuasa utama dunia (Amerika Syarikat) dan agensi antarabangsa (khususnya IMF dan WTO) - bukan sahaja menganggap kewujudan negara sebagai sesuatu yang diperlukan, malah bergantung kepadanya sebagai salah satu alat penting proses itu. Malah, selain kemajuan teknologi yang membolehkan penurunan besar kos perhubungan dan pengangkutan, negara Amerika Syarikat merupakan alat penting yang mendorong pesat proses globalisasi. Ini dapat dilihat dengan jelas berhubung dengan usaha liberalisasi kewangan yang telah diperluas dengan gigihnya oleh apa yang disebut oleh Bhagwati sebagai “Wall Street-Treasury-IMF Complex”16. Atas desakan pakatan tersebut,

Bumi Semua manusia / 49

serta sebab-sebab lain yang berbeza di setiap negara, pemerintah NIB di Asia Timur dan Asia Tenggara telah turut mengeketepikan sekatan ke atas pergerakan bebas modal antarabangsa. Seperti yang dinyatakan oleh Stiglitz dalam petikan di atas, langkah inilah merupakan salah satu punca utama krisis kewangan yang melanda Asia sejak pertengahan 1997. Seterusnya, langkah yang diambil oleh beberapa pemerintah (khususnya Malaysia dan Hong Kong) dalam menangani krisis kewangan dan ekonomi itu jelas menunjukkan bahawa negara mempunyai peranan penting dalam menentukan arah pembangunan ekonomi mereka masingmasing. Pengalaman kejayaan ekonomi NIB di Asia Timur dan Asia Tenggara juga menunjukkan bahawa negara dalam ekonomi membangun boleh memainkan peranan penting untuk mencapai matlamat pertumbuhan pesat ekonomi dan pengurangan masalah kemiskinan serta jurang perbezaan pendapatan dalam negara dan juga antara negara tersebut dengan negara perindustrian maju. Ringkasnya, dalam arus globalisasi yang memperlihatkan bagaimana pergerakan modal secara bebas telah mewujudkan pelbagai bentuk ketidaktentuan dalam ekonomi dunia, dan seterusnya menyukarkan usaha membasmikan kemiskinan dan mengurangkan jurang perbezaan ekonomi, negara boleh dan harus memainkan peranan aktif dalam pembangunan. Selain itu, apabila ilmu menjadi kuasa penting mendorong proses pembangunan dunia, dan terdapat penguasaan besar ilmu oleh segelintir syarikat gergasi TNC dari negara maju, maka negara boleh dan perlu bertindak untuk mengimbangi keadaan ini supaya tidak mengakibatkan keadaan ketidakseimbangan yang lebih buruk pada peringkat global dan dalam negeri. Perlu ditegaskan bahawa saranan ini tidak bertujuan memperkecilkan peranan kuasa pasaran dan memperkenalkan usaha perancangan pusat oleh segelintir golongan birokrat. Sebaliknya, kita perlu akui bahawa sistem pasaran menyediakan satu cara yang cekap dalam menentukan pola barangan yang harus dikeluarkan dan oleh itu menentukan corak pelaburan dalam masyarakat. Tetapi, tanpa campur tangan

50 / Bumi Semua manusia

negara, besar kemungkinan corak agihan keluaran ekonomi yang dihasilkan bercanggah dengan matlamat membentuk sebuah ekonomi yang adil. Seorang ahli ekonomi terkemuka dari India, Sukhamoy Chakravarty, menyatakan “... pasaran itu khadam yang amat baik, tetapi tuan yang memudaratkan”. Yang demikian, demi mencapai matlamat agar kekayaan di bumi ini dinikmati oleh semua manusia, maka pihak pemerintah perlulah terus mengambil langkah untuk mengurangkan pelbagai bentuk ketaksetaraan dalam masyarakat. Transformasi ekonomi dan sosial di negara membangun seperti Malaysia kini menuntut bahawa pembangunan tidak hanya menyangkut soal pengeluaran dan pengagihan barang dan perkhidmatan semata-mata. Tidak kurang penting ialah daya menciptakan keadaan yang memungkinkan manusia mengembangkan kreativitinya. Inilah inti pati pembangunan insan. Demi membolehkan semua manusia, khususnya manusia miskin, mempunyai daya kreatif, maka mereka harus sejahtera dan bebas daripada keterbergantungan dan penindasan, perasaan takut dan kejahilan serta sikap rendah diri dan putus asa. Oleh yang demikian, negara dalam ekonomi membangun perlu memberi perhatian semula kepada isu-isu seperti reformasi tanah, pelaburan yang mencukupi di bidang pendidikan, kesihatan dan kemahiran penduduknya, perluasan kemudahan kredit kepada golongn miskin, kesampaian ilmu pengetahuan (khususnya di bidang sains dan teknologi) kepada semua lapisan masyarakat dan peningkatan daya saing di peringkat global. Sungguhpun begitu, sementara kita kurang senang dengan pendirian golongan neo-liberal yang ingin melemahkan sebarang kelompok kolektif, istimewanya bangsa, negara, persatuan buruh, koperasi, lalu, diganti dengan apa yang dikatakan reign of absolute flexibility di seluruh dunia kita juga perlu prihatin terhadap masalah yang timbul berkatian meningkatnya penglibatan negara dalam pembangunan. Pertama, pengalaman di banyak negeri menunjukkan bahawa negara sering tunduk dan mementing

Bumi Semua manusia / 51

kehendak pihak yang lebih berkuasa, khususnya modal. Kedua, penyertaan negara dalam usaha pembangunan sering menimbulkan masalah ketidakcekapan dan pembaziran dalam penggunaan sumber. Malahan, kecekapan penggunaan dan pengagihan sumber sering diherotkan oleh kegiatan negatif seperti rasuah dan tindakan pilih kasih. Ketiga, pengalaman sejarah juga menunjukkan kecenderungan dan keupayaan negara mengawal dan menekan bukan sahaja rakyat tetapi juga institusi, amalan dan juga jaringan sosial untuk kewujudan dan kelangsungan masyarakat. Oleh kerana itu, amatlah penting untuk dikembangkan peranan masyarakat sivil, yakni pertubuhan yang beroperasi dalam ruang di antara keluarga dan negara tetapi tidak termasuk ekonomi pasaran kapitalis (Yoshikazu Sakamoto 1997). Perkembangan masyarkat sivil ini dianggap penting untuk mencapai matlamat utama pembangunan insan kerana dua peranan penting yang dapat dimainkannya. Pertama, masyarakat sivil boleh berperanan sebagai kuasa yang dapat mengawal kedua-dua kelemahan pasaran dan negara ataupun persekongkolan antara negara dengan modal. Kedua, masyarakat sivil juga dapat memberdayakan penduduk, terutama penduduk miskin, dengan menggalakkan penglibatan mereka dalam segala urusan yang melibatkan kepentingan mereka dan menonjolkan idealisme baru. Malahan, boleh dihujahkan bahawa matlamat untuk mengurangkan kemiskinan dan ketaksamaan sosial, serta menghalang kemerosotan pencemaran alam sekitar, tidak mungkin dicapai sama ada oleh ekonomi perancangan pusat yang ditetapkan oleh negara mahupun oleh ekonomi pasaran neo-liberal yang dikuasai oleh kuasa korporat TNC yang bermatlamat memaksimumkan keuntungan. Sebaliknya, pembangunan yang seimbang dan mapan hanya dapat dicapai melalui initiatif secara demokratik oleh rakyat dalam masyarakat sivil. Misalnya, penyelesaian kepada masalah pencemaran alam sekitar menuntut penyertaan secara sukarela setiap lapisan masyarakat di seluruh dunia dengan menukar gaya hidup mereka ke arah pembangunan yang saksama dan mapan, yang

52 / Bumi Semua manusia

bertentangan dengan gaya hidup atas dorongan budaya konsumeris. Namun begitu, perkembangan masyarakat sivil dalam sesebuah negara juga diancam oleh pelbagai masalah. Ini kerana institusi yang menganggotai masyarakat sivil juga berkemungkinan didominasi oleh pelbagai kumpulan berkepentingan dalam masyarakat. Misalnya, apakah peranan sesebuah badan sukarela bukan-kerajaan jika dikuasai oleh golongan korporat ataupun golongan penjenayah besar seperti di sesetengah negara membangun? Begitu juga halnya dengan badan-badan sukarela yang dikuasai oleh pihak pemerintah sendiri. Harapan kita agar institusi dalam masyarakat sivil memainkan dua peranan penting dalam membantu ke arah pencapaian masyarakat yang lebih saksama dan pembangunan insan yang mapan sudah semestinya tidak tercapai apabila berlaku perkembangan yang sedemikian. Tentunya, kita tidak dapat lari daripada hakikat peri pentingnya diwujudkan hubungan yang seimbang di antara pasaran, negara dan masyarkat sivil bagi menjamin pembangunan insan yang saksama dan mapan. Kita harus ingat bahawa pasaran telah lama wujud sebelum terbentuknya sistem kapitalis moden. Perkembangan sistem kapitalis moden membuat modal semakin terlepas daripada kawalan dan peraturan masyarakat sehingga bebas untuk mengejar keuntungan maksimum dalam masa sesingkat mungkin dan dalam proses tersebut timbul pelbagai masalah kepada masyarakat, termasuklah masalah jurang perbezaan ekonomi yang semakin meluas pada peringkat global dan dalam negeri. Persoalan etika seperti adakah wajar yang kekayaan bumi ini dimiliki oleh segelintir golongan yang kaya raya manakala golongan majoriti di dunia semakin menderita tidak lagi menjadi agenda utama meskinpun masih absah. Sebaliknya, terdapat kecenderungan peningkatan pengutaraan teori dalam wacana akademik dan politik untuk menyalahkan golongan yang sudah teraniaya dan tertindas. Kemiskinan mereka

Bumi Semua manusia / 53

dikatakan berpunca daripada kelemahan dan kekurangan mereka sendiri dan bukan disebabkan oleh kuasa sosial yang menentukan arah perkembangan sistem ekonomi global kini. Pandangan sedemikian sebenarnya adalah manifestasi dokrin fasis Darwinisme sosial. Hakikat inilah yang ingin disampaikan oleh pengarang terkenal Indonesia, Pramoedya Ananta Toer, dalam petikan di awal syarahan ini. Oleh kerana kebimbangan yang bumi ini akan dikuasai oleh segelintir manusia yang hidup mewah di pulau-pulai kecil dalam lautan yang dihuni manusia yang hidup miskin dan serba kekurangan, maka kini terdapat tuntutan yang semakin meningkat akan perlunya kuasa pasaran – atau lebih tepatnya kuasa modal – dikawal. Apa yang dituntut adalah pembentukan pasaran yang beretika dan lebih saksama dan usaha ini semestinya memerlukan penyertaan aktif negara dan masyarakat sivil. Apakah bentuk sebenar hubungan di antara pasaran, negara dan masyarakat sivil yang dapat mewujudkan bumi bagi semua manusia masih perlu fikirkan oleh semua pihak yang cintakan keadilan, kebebasan dan kedamaian. Sememangnya daya ke tujuan itu bukanlah mudah. Kegagalan usaha lampau juga tidak seharusnya melemahkan semangat kita. Namun, dalam dunia di mana organisasi antabangsa dan TNC, yang amat berkuasa dan didukung negara perindustrian maju, sedang giat berusaha untuk memaksimumkan kebebasan modal kewangan bergerak di seluruh dunia, dan percubaan untuk membentuk satu tatasusunan kewangan antarabangsa yang baru masih jauh daripada mencapai matlamatnya, maka penting sekali bagi negara membangun meningkatkan usaha mengawal modal dan melaksanakan dasar pengagihan semula kekayaan yang seterusnya dapat mengurangkan kesan negatif globalisasi terhadap golongan miskin dan berpendapatan rendah. Sayugia diingatkan bahawa usaha ini juga memerlukan proses pendemokrasian dalam ekonomi dan sistem negara sekiranya matlamat tersebut ingin dicapai. Perkembangan ini sudah semestinya akan mencabar struktur kuasa pada peringkat antarabangsa dan juga nasional.

54 / Bumi Semua manusia

Sementara usaha untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik diteruskan, yang penting dilakukan pada masa kini adalah mendedahkan sifat sebenar globalisasi, iaitu sebalik manfaat dijanjikannya, terutama yang dicetuskan oleh pembangunan pesat di bidang teknologi, globalisasi dan perluasan kuasa modal juga mempunyai kecenderungan membawa unsur ketidaktentuan dan seterusnya menimbulkan krisis dalam sistem ekonomi global yang memperkaya segelintir golongan pemodal dan terus menjadikan semakin ramai penduduk dunia terpinggir dalam kemiskinan. Inilah peranan yang boleh dan perlu dimainkan oleh mereka yang terdidik dalam pengajian pembangunan. Masyarakat perlu didedahkan kepada segala sesuatu yang terjadi dalam sistem global kini. Oleh yang demikian, kita harus meningkatkan iltizam yang diilhamkan oleh madah pujangga terkenal Iqbal: “The journey of love is a very long journey but sometimes with a sign you can cross that vast desert. Search and search again without losing hope. You may find sometimes a treasure on your way.”

Nota 1.

Tajuk utama syarahan ini sebenarnya diilhamkan oleh judul dua buah novel pengarang besar Indonesia, Pramoedya Ananta Toer, iaitu: Bumi Manusia dan Anak Semua Bangsa. Novel-novel tersebut menyedarkan pembaca akan proses dominasi kuasa besar ke atas negara membangun semasa penjajahan dan menghasilkan keadaan ketidaksetaraan ekonomi. Sungguhpun negara membangun telah mencapai kemerdekaan politik, namun proses yang mewujudkan ketidaksetaraaan ekonomi tetap berterusan dan kini terjelma dalam bentuk globalisasi. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada beberapa orang teman, khususnya Halim, Rahman dan Samad, atas kesudian mereka membaca deraf awal syarahan ini dan memberi komen yang membina. Seperti biasa, segala kekurangan yang terdapat dalam syarahan ini adalah tanggungjawap saya sendiri sepenuhnya.

2.

Anggaran UNDP juga menunjukkan bahagian jumlah pendapatan yang diperolehi golongan penduduk 20% termiskin di dunia berkurangan daripada 2.3% pada 1960 kepada 1.4% pada 1991 dan hanya 1.1% pada 1997, manakala bahagian pendapatan yang diperolehi oleh golongan 20% terkaya meningkat daripada 69% pada 1965 kepada 83% pada 1990.

3.

Nisbah Gini bernilai di antara 0 (yang menandakan keadaan agaihan pendapatan yang paling saksama) dan 1 (menggambarkan keadaan agiahan pendapatan yang paling tidak saksama)

4.

Sebuah negara dikategorikan sebagai mempunyai darjah ketidaksamaam pendapatan yang tinggi apabila golongan 20% terkaya mendapat sekurangkurangnya 60% daripada jumlah pendapatan. Darjah ketidaksetaraan sederhana ditakrifkan sebagai keadaan apabila kira-kira 50% daripada jumlah pendapatan diperoleh golongan 20% terkaya.

5.

Statistik tentang keadaan kemiskinan di dunia ini juga menunjukkan bahawa 950 juta daripada 1,300 juta penduduk miskin itu berada di kawasan Asia Selatan, Asia Timur dan Asia Tenggara serta Pasifik.

56 / Bumi Semua manusia

6.

Kenyataan keras itu terkandung dalam Human Development Report 1997 yang menyatakan: “In a global economy of US25 trillion, this is a scandal – reflecting shameful inequalities and inexcusable failures of national and international policy.”

7.

Misalnya, kadar pengangguran di Korea Selatan berkurangan kepada 4.1% pada 1983 dan 2.4% pada 1992, manakala kadar pengangguran di Taiwan turun kepada 2.7% pada 1983 dan 1.5% pada 1992. Kadar kemiskinan di Negara Thai menurun daripada 59% pada 1962 kepada 26% pada 1986; dan daripada 58% pada 1972 kepada 17% pada 1982 di Indonesia (World Bank, 1993:33).

8.

Hujah utama pendokong “revolusi balas neo-klasik” ini ialah kemunduran di negara membangun disebabkan oleh agihan sumber yang tidak cekap dan terlalu banyak campur tangan negara. Apa yang perlu dilakukan, hujah mereka lagi, bukan memperbaharui sistem ekonomi antarabangsa atau menyusun semula struktur ekonomi dalam negara yang tidak seimbang tetapi mengalakkan perkembangan pasaran bebas dan meningkatkan peranan sektor swasta dan mengecilkan peranan negara agar dapat mengagihkan sumber dengan cekap dan seterusnya menggalakkan pembangunan ekonomi.

9.

Bilangan isi rumah miskin di Malaysia berkurangan daripada 1.1 juta pada 1970 kepada 574,500 pada 1990. Kemajuan yang sama juga berlaku di kawasan luar bandar dan bandar Malaysia. Misalnya, kadar kemiskinan di kawasan luar bandar Semenanjung Malaysia didapati menurun daripada 58.7 peratus (yang melibatkan 706 ribu isi rumah) pada 1970 kepada 14.9 peratus (atau 268.2 ribu isi rumah) pada 1990. Sungguhpun begitu, terdapat kawasan dan kelompok tertentu di Malaysia yang masih mengalami penurun kadar kemiskinan yang kecil dalam tempoh tertentu. Misalnya, kadar kemiskinan di Sabah tidak berubah banyak dalam tempoh 19841990, iaitu berkurangan daripada 58.3% pada 1976 kepada 33.1% pada 1984 tetapi meningkat kepada 34.4% pada 1990 (Malaysia 1991a:46).

10. Misalnya, sementara bahagian jumlah pendapatan yang diperoleh oleh golongan terkaya 20% dalam masyarakat bertambah daripada 48.6% pada

Bumi Semua manusia / 57

1957/8 kepada 55.9% pada 1970, bahagian pendapatan kumpulan 40% terbawah berkurangan daripada 15.9% kepada 11.6%. Nisbah Gini pula meningkat daripada 0.402 kepada 0.502. 11. Perlu diingatkan bahawa perkembangan industri berorientasikan eksport pada mulanya telah disertai oleh penurunan perolehan upah para pekerja dalam sektor industri kerana kadar pengangguran di negara ini masih tinggi. Di samping itu pula, peningkatan jumlah pekerjaan pula hanya berlaku dalam industri yang menawarkan kadar upah yang rendah seperti elektronik, tekstil dan pakaian. 12. Huraian lanjut tentang program pembangunan luar bandar yang dilaksanakan dalam tempoh DEB, serta kelemahannya, terdapat dalam tulisan Ishak (1994; 1995). 13. Perlu disebut bahawa pendapatan purata isi rumah luar bandar dan isi rumah bumiputera sebenarnya telah mengalami pertambahan dalam tempoh tersebut. Akan tetapi, pendapatan purta isi rumah bandar dan isi rumah kumpulan etnik utama lain di negara ini telah meningkat dengan lebih pesat lagi sehingga menyebabkan jurang perbezaan antara kawasan dan kumpulan etnik menjadi semakin melebar semula. 14. Laporan Separoh Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh, 1996-2000 melaporkan angka kadar kemiskinan dan bilangan isi rumah miskin yang rendah sedikit daripada anggaran asal, iaitu masing-masing 7.6% dan 393,900. Angka yang lebih rendah ini diperolehi dengan mengandaikan harga barang-barang pengguna meningkat sebanyak 5.3%. Akan tetapi, angka tunjuk harga barang makanan, yang merupakan komponen paling utama perbelanjaan golongan miskin, meningkat 8.9% dalam tempoh tersebut.

Hakikat ini, berserta dengan masalah pembuangan pekerja,

membuat saya lebih cenderung menggunakan anggaran asal. 15. Ringkasnya, pengantarabangsaan ekonomi ditakrifkan sebagai keseluruhan aliran pertukaran barangan dan perkhidmatan, wang dan manusia antara

58 / Bumi Semua manusia

dua atau lebih negara manakala globalisasi pula ditakrifkan sebagai pemampatan masa dan ruang dalam hubungan sosial . Perkembangan ini membawa kepada peningkatan dalam hubungan sosial di seluruh dunia yang mengakibatkan masyarakat tempatan turut terkesan oleh dampak perubahan yang berlaku jauh daripadanya ,dan sebaliknya. Ciri utama globalisasi di bidang ekonomi termasuk: pengantarabangsaan strategi korporat, terutama komitmen mereka kepada persaingan sebagai sumber mengumpul kekayaan, dan membawa kepada perancangan dan penyususan kegiatan pengeluaran pada peringkat global; penyebaran teknologi dan kegiatan penyelidikan dan pembangunan yang berkaitan ke seluruh dunia; perluasan dan peningkatan urusniaga kewangan di seluruh dunia dan berlaku 24-jam sehari; dan pengurangan peranan negara dalam menentukan peraturan bagi pengawalan pada peringkat global. 16. Lihat Helleiner (1994) untuk penjelasan tentang peranan negara di negara perindustrian Barat dalam menggalakkan liberalisasi kewangan sejak penghujung 1970an sebagai sebahagian usahanya menanggani masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara mereka.

Rujukan Amsden, A.H. 1989. Asia’s Next Giant: South Korea and Late Industrialization. New York: Oxford University Press. Arnold, G. 1993. The End of the Third World. New York: St. Martin’s Press. Bank Negara Malaysia. 1999. Annual Report 1998, Kuala Lumpur: Bhalla, S. & Kharas, H. 1992. “Growth and Equity in Malaysia: Policies and Consequences”. Dalam Teh Hoe Yoke & Goh Kim Leng (pnyt.), Malaysia’s Economic Vision: Issues and Challenges. Kuala Lumpur: Pelanduk Publications. Borrego, J, Alvarez, A.B. dan Jomo,.K.S. (pnyt.). 1996. Capital, the State and Late Industrialization: Comparative Perspectives on the Pacific Rim. Boulder: Westview. Chenery, H .B., Duloy, J. and Jolly, R. 1974. Redistribution with Growth. Washinton D.C.: World Bank. Cox, R.W. 1979 “Ideologies and the New International Economic Order”. International Organization 33(2):257-302. Cox, R. W. 1994. “Global Restructuring: Making Sense of the Changing International Political Economy”. Dalam Stubbs, R. dan Underhill, G.R.D (pnyt.), Political Economy and The Changing Global Order. New York: St. Martin’s Press. Deyo, F.C. (pnyt.) 1987 The Political Economy of the New Asian Industrialism. Ithaca: Cornell University Press. Elins, P. 1992. A New World Order: Grassroots Movement for Global Change, London. Routledge. ESCAP. 1999. Economic and Social Survey of Asia and the Pacific 1999. New York: United Nations. Galtung, J. 1977. Poor Countries vs Rich: Poor People vs Rich: Whom Will NIEO Benefits?, University of Oslo. Haq, Mahbub ul. 1995. Reflections on Human Development. Oxford: Oxford University Press. Helleiner, E. 1994. States and the Reemergence of Global Finance: From Bretton Wood to the 1990s. Ithaca: Cornell University Press. Helleiner, E. 1996. “Post-globalization: Is the Financial Liberalization Trend Likely To be Reversed?”. Dalam Boyer, R. dan Drache, D.

60 / Bumi Semua manusia

(pnyt.), States Against Markets: The Limits of Globalization. London: Routledge. Hoogvelt, A. 1997. Globalization and the Postcolonial World: The New Political Economy of Development. Baltimore: The Johon Hopkins University Press. International Labour Organization (ILO). 1976. Meeting Basic Needs: Strategies for Eradicating Mass Poverty and Unemployment. Geneva. Ishak Shari. 1979a. “Estimation of Poverty Lines and the Incidence of Poverty in Peninsular Malaysia”. The Philippines Economic Journal 18(4):418-449. Ishak Shari. 1979b. “Impact of Government Policies on Income Distribution in Peninsular Malaysia”. Economic Bulletin for Asia and the Pacific. New York: United Nations:20-45. Ishak Shari .1989. Pembangunan dan Kemunduran: Perubahan Ekonomi Luar Bandar Kelantan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ishak Shari. 1990. Ekonomi Nelayan: Pengumpulan Modal, Perubahan Teknologi dan Pembezaan Ekonomi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ishak Shari. 1994a. Pembangunan, Kemiskinan dan Ketaksetaraan Pendapatan di Malaysia dalam Tempoh Dasar Ekonomi Baru 19711990. Mimeo., Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Ishak Shari. 1994b. “Rural Development and Rural Poverty in Malaysia: The Experience During the New Economic Policy (1971-1990)” dalam Jamilah Ariffin (pnyt.) Poverty Amidst Plenty. Kuala Lumpur: Pelanduk Publications. Ishak Shari. 1996. “Perindustrian Pesat, Pasaran Terbuka dan Pertumbuhan Ekonomi: Implikasi Terhadap Keadilan Sosial” dalam Azizan Bahari dan Chandra Muzaffar (pnyt.) Keadilan Sosial. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar. Ishak Shari. 1998. “Economic Growth and Income Inequalities in Malaysia, 1971-1995”. Kertaskerja yang dibentangkan di Bengkel “Economic Growth, Poverty and Income Distribution in the Asia Pacific Region”, University of New South Wales, Sydney, 18-20 Mac. Ishak Shari dan Jomo, K.S. 1982. “Income Inequalities in Post-colonial Malaysia” Pacific Viewpoint 23(1):67-76. Ishak Shari dan Ragayah Mat Zain. 1978. “Some Aspects of Income Inequality in Peninsular Malaysia, 1957-1970”. Dalam Oshima, H.T. dan Mizoguchi, T. (pnyt.), Income Distribution by Sectors and

Bumi Semua manusia / 61

Over Time in East and Southeast Asian Countries. Manila: Council of Asian Manpower Studies. Ishak Shari dan Ragayah Mat Zain. 1990. “The Pattern and Trends of Income Distribution in Malaysia, 1970-1987”, Singapore Economic Review 35(1):102-123. Ishak Shari dan Ragayah Mat Zain. 1997. “Economic Growth and Equity in Malaysia: Performance and Prospect”, Ahmad Mahdzan (pnyt.) Southeast Asia on the Growth Path: Book of Readings, Serdang: Universiti Pertanian Malaysia Press. Johnson, C. 1982. MITI and the Japanese Miracle. Stanford: Stanford University Press. Jomo K.S. dan Ishak Shari. 1986. Development Policies and Income Inequality in Peninsular Malaysia. Kuala Lumpur: Institute for Advanced Studies, Universiti Malaya. Kirkpatrick, C. 1988. “Real Wages, Profits and Manufacturing Performance in the small open economy: The case of Singapore”, Mimeo. Kuznets, S. 1955. “Economic growth and Income Inequality”. American Economic Review. 45(1): 1-28. Lin, T.B. 1985. “Growth, Equity and Income Distribution Policies in Hong Kong”. The Developing Economies XXIII (4):397-411. Malaysia. 1981. Rancangan Malaysia Keempat, 1981-1985. Kuala Lumpur: Jabatan Percetakan Negara. Malaysia. 1991a. Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua 19701990. Kuala Lumpur: Jabatan Percetakan Negara. Malaysia. 1991b. Rancangan Malaysia Keenam, 1991-1995, Kuala Lumpur: Jabatan Percetakan Negara. Malaysia. 1996. Rancangan Malaysia Ketujuh 1996-2000. Kuala Lumpur: Jabatan Percetakan Negara. Malaysia. 1999. Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh 1996-2000. Kuala Lumpur: Jabatan Percetakan Negara. McMichael, P. 1996. Development and Social Change: A Global Perspective. Thousand Oaks, California: Pine Forge Press. Mehdi, K. 1994. “Income Distribution in East Asian Developing Countries: An Update”. Asian-Pasific Economic Literature. 8(2):.5873. National Economic Action Council (NEAC). 1998. National Economic Recovery Plan: Agenda for Action. Kuala Lumpur: Jabatan Percetakan Negara.

62 / Bumi Semua manusia

Petras, J. dan Polychroniou, C. 1997. “Critical Reflections on Globalisation”. Economic and Political Weekly. September 6: 22492252. Rao B. 1988. “Income Distribution in East Asian Developing Countries”. Asian Pacific Economic Literature 2(1): 26-45. Rasiah, R. 1993. “Free Trade Zones and Industrial Development in Malaysia”, dalam Jomo, K.S. (pnyt.) Industrializing Malaysia: Policy, Performance and Prospects. London: Routledge. Rasiah R. dan Ishak Shari. 1997. “The State and Economic Development: Malaysia’s New Economic Policy in Retrospect”. Dalam H.M. Dahlan, Hamzah Jusoh, Hing, A.Y. dan Ong, J.H. (pnyt.) Asian in the Global System, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsan Malaysia. Rasiah R., Jomo K.S. dan Ishak Shari. 1996. “Globalization and Liberalization in East and Southeast Asia: Implications for Growth, Inequality and Poverty”. Dalam UNCTAD. Globalization and Liberalization: Effects of International Economic Relations on Poverty, Geneva: United Nations. Rahnema, Majid dan Bawtree 1997 The Post-Development Reader, London: Zed Press. Reich,R.B. 1991. The Work of Nations, New York: Vintage Books. Rist , G. 1977. Towards a “New” United Nations Development Strategy? Some Major United Nations Resolution in Perspective (mimeo), Nyon: International Foundation for Development Alternatives. Roxas, S.K. 1996. “Principles for institutional reform” dalam Griesgraber, J.M. & Bernhard, G.G. (pnyt.) Development: New Paradigms and Principles for the Twenty-first Ccentury, London: Pluto Press. Sakamoto, Y. 1997. “Civil Society and the Democratic World Order,” dalam Gill, S. dan Mittlemen, J.M. (pnyt.) Innovation and Transformation in Intrnational Studies, Cambridge: Cambridge University Press. Seers, D. 1972. “The Meaning of Development” dalam Nancy Bastor (pnyt.) Measuring Development: The Role and Adequacy of Development Indicators, London: Franck Cass. Shireen Hashim. 1997. Income Inequality and Poverty in Malaysia, Lanham: Rowman and Littlefield. Snodgrass D. 1980. Inequality and Economic Development in Malaysia, Kuala Lumpur: Oxford University Press Soon Lee Ying. 1993. “Nominal Wages, Inflation and Productivity in

Bumi Semua manusia / 63

Malaysian Manufacturing: Some Implications for Policies in a Tight Labour Market, Mimeo. Standing, G. 1993. “Labour flexibility in the Malaysian Manufacturing Sector” dalam Jomo K.S. (pnyt.), Industrialising Malaysia: Policy, Performance and Prospects, London: Routledge. Stiglitz J. 1999. “More instruments and broader goals: Moving towards the Post-Washington Consensus”, The Wider Annual Lecture, Helsinki Streeteen, P. 1981. First Things First: Meeting Basic Needs in the Developing Countries, New York: Oxford University Press. United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD) 1997. Trade and Development Report 1997, Geneva: United Nations. UNCTAD. 1998. Trade and Development Report 1998, Geneva: United Nations. United Nations Development Programme (UNDP) 1991. Human Development Report 1991, New York: Oxford University Press. 1994. UNDP. 1994. Human Development Report 1994, New York: Oxford University Press. UNDP. 1997. Human Development Report 1997, New York: Oxford University Press. UNDP. 1998. Human Development Report 1998, New York: Oxford University Press. UNDP. 1999. Human Development Report 1999, New York: Oxford University Press. UNESCO. 1995. Our Creative Diversity: Report of the World Commission on Culture and Development, Paris: UNESCO. Wade, R. 1990. Governing the Market: Economic Theory and the Role of Government in East Asian Industrialisation. Princeton: Princeton University Press. Wade, R. 1999. The Asian Crisis and the Politics of Free Capital Mobility. Kertaskerja di Persidangan “Responding to Financial Crises”, Taiwan Institute of Economic Research, Taipei, Mac 22-23. Williamson, J.G. 1991. Inequality, Poverty and History, Cambridge, Mass: Basil Blackwell. World Bank. 1993. The East Asian Miracle: Economic Growth and Economic Policy, Oxford: Oxford University Press. World Bank. 1995. Malaysia: Meeting Labor Needs: More Workers and Better Skills, Washington. World Bank. 1999a. East Asia: The Road to Recovery, Washington. World Bank. 1999b. Knowledge for Development, New York: Oxford University Press.

Related Documents

Bumi
November 2019 56
Sejarah Bumi
June 2020 22
Pemanasan Bumi
April 2020 18
Hari Bumi
June 2020 34
Minyak Bumi
June 2020 23
Bumi Langit.docx
July 2020 23

More Documents from "surya pranata"

Hadiah Malam Jumaat
November 2019 37
Dalmation Dots
November 2019 41
Keistimewaan Wanita
November 2019 41
November 2019 31