“Baka atau Persekitaran: Yang manakah lebih mempengaruhi ke atas pertumbuhan dan perkembangan manusia?” Pengenalan
Sepanjang hayat, manusia akan mengalami pertumbuhan dan perkembangan. Perubahan pertumbuhan dan perkembangan manusia terbahagi kepada dua iaitu secara kualitatif dan kuantitatif. Pertumbuhan ialah satu proses perubahan yang bersifat kuantitatif. Ia melibatkan perubahan dari segi saiz dan struktur iaitu aspek fizikal serta mental dan akan mencapai puncaknya sebaik sahaja seseorang individu itu mencapai kematangan. Menurut Karl E. Garrison, pertumbuhan merupakan perkembangan seseorang individu dalam bentuk saiz badan, iaitu perubahan otot, tulang, kulit, rambut dan kelenjar. Atan Long pula mentakrifkan pertumbuhan sebagai perubahan yang dapat diukur dari satu peringkat ke satu peringkat yang lain dari semasa ke semasa.
Perkembangan ialah perubahan yang bersifat kualitatif. Sifat perubahan perkembangan ini tidak dapat diukur tetapi dapat diperhatikan jika dibandingkan dengan peringkat perkembangan yang lebih awal. Menurut Crow and Crow perkembangan merupakan perubahan secara kualitatif serta cenderung ke arah yang lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial.
Karl E. Garrison pula berpendapat bahawa perkembangan terhasil daripada tindakan yang saling berkait antara perkembangan jasmani dan pembelajaran. Paul Eggan dan Don Kauchak berpendapat perkembangan adalah perubahan yang berurutan dan kekal dalam diri seseorang hasil daripada pembelajaran, pengalaman dan kematangan.
Slavin (1997) pula berpendapat perkembangan adalah berkaitan dengan mengapa dan bagaimana individu berkembang dan membesar, menyesuaikan diri kepada persekitaran dan berubah melalui peredaran masa. Beliau berpendapat, individu akan mengalami perkembangan sepanjang hayat, iaitu perkembangan dari segi fizikal, personaliti, sosioemosional dan kognitif serta bahasa.
Secara keseluruhannya bolehlah dikatakan bahawa perkembangan ialah aspek perubahan yang dialami individu yang bersifat kualitatif, tidak dapat diukur tetapi jelas kelihatan berubah melalui peredaran masa. Perkembangan berlaku daripada peringkat permulaan percambahan sel sehingga akhir hayat organism.
Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan manusia. Faktor yang mempengaruhi perkembangan dan pertumbuhan manusia dapat dikategorikan kepada dua unsur iaitu faktor endogen dan eksogen. Faktor atau sifat endogen merupakan sifat yang dibawa oleh individu sejak dalam kandungan hingga kelahiran. Faktor eksogen pula merupakan faktor yang datang dari luar individu atau lebih dikenali sebagai persekitaran. Pertumbuhan dan perkembangan manusia terdiri daripada aspek jasmani, mental, sosial dan emosi. Terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan dan perkembangan manusia iaitu faktor baka dan persekitaran.
Baka
Baka adalah ciri-ciri yang diperturunkan melalui ibu bapa kepada zuriatnya melalui gen, kromosom, kelenjar dan hormon. Derville (1979) mentakrifkan baka sebagai pewarisan biologi keseluruhan ciri mental dan fizikal daripada ibu bapa kepada anak. Ernest R. Hilgard (1956) pula berpendapat bahawa baka adalah segala ciri biologi yang diperturunkan daripada ibu bapa kepada anak melalui gen.
Norman L. Munn mengatakan, baka merupakan ciri yang diperturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anak melalui gen-gen. W.E. Vinacke pula menyifatkan baka sebagai penentu struktur-struktur organ, arah sistem biologi yang akan berkembang serta potensi-potensi seseorang individu. Amram Schienfeld mengatakan bahawa baka itu menentukan persamaan-persamaan di antara ibu bapa dengan anak-anaknya dan di kalangan ahli-ahli dalam satu kumpulan keluarga dari segi trait-trait seperti kebolehan, minat dan kawalan emosi. Menurut J.A. Thomson, baka itu merujuk kepada perhubungan genetik di antara generasi manusia. Berdasarkan pendapat tokoh di atas
dapat disimpulkan bahawa baka adalah ciri mental dan fizikal yang dapat diperturunkan oleh generasi kepada generasi yang lain.
Persekitaran
Persekitaran adalah keadaan yang berada di sekeliling termasuk keadaan fizikal, iklim, sosiobudaya, politik dan interaksi diantara manusia sesama manusia dan alam sekitarnya. Menurut W. Edgar Vinacke (1969) persekitaran adalah segala kuasa kompleks yang boleh mempengaruhi tingkah laku individu. Amram Schienfeld menyatakan persekitaran merujuk kepada luaran seseorang individu dan faktor bakanya bermula daripada peringkat persenyawaan. Norma L. Munn pula mendefinisikan persekitaran sebagai segala benda yang terdapat di sekeliling unit-unit kebakaan. Berdasarkan definisi di atas dapat dikatakan bahawa persekitaran adalah segala apa yang terdapat disekeliling individu yang mampu mempengaruhi seseorang individu.
Pertumbuhan Manusia
Pertumbuhan manusia melibatkan beberapa ciri yang dapat dilihat dengan jelas serta diukur melalui peredaran masa dan bersifat kuantitatif. Kadar pertumbuhan di antara individu dengan individu yang lain adalah berbeza. Tubuh badan dan anggota yang berlainan juga mengalami pertumbuhan yang berbeza. Perubahan pertumbuhan manusia berlaku secara berperingkat dan mempunyai corak pertumbuhan yang unik di antara individu yang berbeza. Pertumbuhan manusia ini juga bergantung kepada baka individu tersebut. Sebagai contoh, jika individu tersebut mewarisi ketinggian yang rendah namun mengamalkan corak pemakanan yang penuh bernutrisi tidak akan dapat menaikkan ketinggian individu tersebut. Proses pertumbuhan akan mencapai kemuncak ketika seseorang mencapai kematangannya.
Perkembangan Manusia
Perkembangan manusia merupakan satu proses perubahan yang berlaku akibat tindakan yang saling berkaitan antara perkembangan jasmani dengan pembelajaran. Perubahan dari aspek jasmani, emosi, mental dan sosial melibatkan perubahan yang bersifat kualitatif. Proses perkembangan individu akan berterusan sehingga ke akhir hayat. Ia melibatkan perubahan tingkah laku dalam keadaan berterusan dan menerusi peringkat perkembangan kematangan tertentu.
Pengaruh Baka Terhadap Pertumbuhan dan Perkembangan Manusia
Faktor kebakaan ditentukan oleh kromosom, gen, kelenjar dan hormon. Hasil penyatuan dua induk melalui proses percantuman sperma dan ovum dapat melahirkan zuriat yang mempunyai keserasian atau kesamaan dengan induk tersebut. Baka ataupun genetik dapat mempengaruhi perkembangan manusia dari aspek fizikal. Sebagai contoh, gen atau bahan baka dalam kromosom mengawal bagaimana organisma berfungsi dan rupa bentuknya. Sebagai contoh, gen menentukan sifat fizikal individu seperti warna mata, kulit dan rambut, rupa bentuk badan dan pertumbuhan tisu. Gen membawa maklumat baka supaya ciri-ciri warisan ibu bapa dapat diturunkan dari generasi induk ke generasi berikutnya.
Selain daripada aspek fizikal, baka juga mempengaruhi ciri fisiologi individu. Sebagai contoh, jika anak tersebut datang dari baka yang sihat maka, anak tersebut akan menjadi individu yang sihat. Sebagai contoh jika susur galur baka ibu bapa mempunyai penyakit kekerdilan dan diabetis kemungkinan anak yang dilahirkan juga akan mengalami masalah tersebut. Kajian menunjukkan bahawa ciri-ciri fizikal luaran, khasnya warna rambut dan organ deria adalah diwarisi daripada gen-gen ibu bapa.
Renjatan mental juga dipengaruhi oleh gen induk. Sebagai contoh, jika kedua-dua induk mempunyai gen yang resesif maka, kemungkinan anak yang akan dilahirkan akan mengalami masalah kecacatan mental. Kajian ahli psikologu Galton (1865), Goddard (1890), Newmen (1937) dan Shieldo (1962) telah membuktikan bahawa setiap individu mempunyai kecerdasan dan intelek yang berbeza dengan rakan sebaya. Ahli-ahli
psikologi sering mengaitkan kecerdasar anak dengan kedua ibu bapa mereka. Biasanya ibu bapa yang cerdas dan pintar melahirkan anak yang juga cerdas dan pintar.
Pembentukan sahsiah anak juga turut dipengaruhi oleh baka induk. Sebagai contoh anak akan dipengaruhi oleh perangai dan sifat ekstrovert atau introvert yang terdapat pada baka ibu bapanya. Sifat pemarah dan bimbang juga dapat diwarisi oleh kedua ibu bapa. Contohnya, ibu bapa yang mempunyai emosi yang kurang stabil dan bersifat pemarah akan melahirkan anak yang agresif dan autokratik.
Kecerdasan anak juga dipengaruhi oleh baka. Sebagai contoh, jika kedua ibu bapa merupakan pelukis, anak juga akan mewarisi kecerdasan tersebut. ini bermakna bakat dan kebolehan individu itu dipengaruhi oleh baka yang diwarisi mereka.
Pengaruh baka ke atas pertumbuhan dan perkembangan dapat dilihat dari aspek fizikal seperti warna kulit, warna mata, ketinggian dan lain-lain. Dari segi fisiologi pula baka mempengaruhi kesihatan individu seperti penyakit keturunan seperti diabetis dan kekerdilan. Pengaruh baka dari aspek sahsiah boleh dilihat dari sikap individu sama ada ekstrovert atau introvert dan akhir sekali kecerdasan seseorang seperti kebolehan berlari pecut, menembak dan melukis. Namun demikian, faktor baka hanyalah menentukan perkembangan manusia, faktor persekitaran menolong memperkembangkan pencapaian had yang maksimum kepada individu. Jelas di sini menunjukkan bahawa faktor persekitaran memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan dan perkembangan individu.
Pengaruh Persekitaran Terhadap Pertumbuhan dan Perkembangan Manusia
Pengaruh persekitaran memainkan peranan yang amat penting kepada perkembangan individu. Persekitaran yang kondusif mampu melahirkan individu yang berpotensi dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Terdapat pelbagai aspek persekitaran yang dapat mempengaruhi individu dari segi pertumbuhan dan perkembangannya.
Faktor persekitaran dapat mempengaruhi perkembangan dan pertumbuhan mental, fizikal, emosi dan sosial. Kesan persekitaran juga boleh dikategorikan kepada dua iaitu semasa pralahir dan selepas lahir. Semasa pralahir faktor pemakanan ibu, kesihatan ibu, penyalahgunaan dadah. Faktor Rh, kesan X-Ray, emosi ibu dan usia ibu dapat mempengaruhi perkembangan bayi. Selepas kelahiran pula faktor pemakanan, keluarga, rakan sebaya, sekolah, tempat tinggal, sebaran am, pusat ibadat dan persekitaran dunia mampu mempengaruhi perkembangan manusia.
Lowell (1941) melaporkan seorang kanak-kanak Amerika berumur 5 tahun bernama Danny tidak mencapai kebolehan mental ke peringkat purata semasa ia dijaga oleh datuk dan neneknya. Kedua-dua orang tua itu tidak membenarkan Danny bersoal untuk memuaskan naluri ingin tahu dan kegiatannya sangat terkurung. Apabila Danny berpindah dengan ibunya ke tempat lain dan mula menerima perhatian, kasih sayang dan galakan, prestasinya semakin bertambah dan mencapai kecerdasan jauh lebih tinggi daripada purata pada umur dua belas tahun. Montagu (1959) berpendapat gen sahaja tidak dapat bertindak untuk menghasilkan kesan di dalam keadaan atau persekitaran yang kosong. Beliau percaya apa yang boleh kita lakukan ke atas sesuatu organisma terhad kepada apa yang ditetapkan oleh gen, tetapi persekitaranlah yang menentukan sejauh mana lingkungan had itu perkembangan dapat dicapai.
Institusi keluarga sangat mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan manusia. Unsur-unsur seperti suasana tempat tinggal, pemakanan, asuhan dan didikan, status sosio-ekonomi keluarga, bangsa dan pendidikan ibu bapa adalah antara faktor yang dapat mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan anak. Sebagai contoh, satu kajian telah dilakukan oleh Sharifah Md. Nor daripada Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Pertanian Malaysia berkaitan dengan Latar Belakang Yang Berkaitan Dengan Pencapaian Murid Tahun Satu. Hasil kajian beliau didapati bahawa bangsa Cina mempunyai prestasi akedemik yang lebih tinggi daripada bangsa Melayu dan bangsa India mempunyai prestasi akedemik yang lebih rendah berbanding bangsa Melayu. Setelah menjalankan soal-selidik didapati bahawa sosio-ekonomi bangsa Cina lebih
tinggi berbanding Melayu diikuti oleh India. Ini jelas menunjukkan bahawa status sosioekonomi keluarga mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.
Selain dari itu, satu kajian juga telah dijalankan oleh Siti Nor Yaacob dan Anita Abdul Rahman dari Jabatan Pengajian Pembangunan Keluarga, Universiti Pertanian Malaysia. Beliau telah mengkaji Depresi dan Pencapaian Akademik Pelajar Dari Keluarga Berbeza Struktur. Hasil dapatan beliau, didapati bahawa remaja yang dibesarkan di dalam keluarga dua induk mempunyai prestasi akademik yang lebih baik daripada remaja yang dibesarkan dengan ibu bapa tunggal. Mereka juga cenderung untuk mempunyai masalah tingkah laku. Ini membuktikan bahawa pengaruh keluarga juga penting bagi perkembangan manusia.
Corak Keibubapaan juga mempengaruhi perkembangan manusia. Diana Baumrind (1967;1971) menegaskan bahawa terdapat perkaitan yang rapat diantara cara gaya ibu bapa membimbing anak mereka dengan perkembangan sosial dan konsep kendiri kanak-kanak. Mengikut Baumrind terdapat tiga jenis cara gaya didikan ibu bapa iaitu authoritarian, permisif dan autoritatif. Dengan mengamalkan gaya didikan yang berbeza, manusia akan berkembang dengan tahap yang berbeza.
Sebagai contoh, ibu bapa yang membesarkan anak dengan gaya authoritarian iaitu mengenakan kawalan yang ketat kepada tingkah laku anak dengan membuat pelbagai peraturan dan tidak membenarkan anak mempersoalkannya. Ibu bapa ini juga tidak mengamalkan sikap bertolak ansur terhadap anak dan percaya bahawa kanak-kanak harus mematuhi arahan dan peraturan yang dikenakan. Impak gaya pembesaran ini akan menjadikan perkembangan anak tersekat dan akan mengganggu anak dari aspek perkembangan emosi dan psikomotor. Anak akan cenderung untuk bersendirian (pasif), kurang keyakinan diri (takut), merasa rendah diri atau bermasalah tingkah seperti agresif apabila berada di luar kawalan ibu bapa. Sebaliknya jika ibu bapa menggunakan gaya pembesaran dengan lebih demokratik akan menjadikan anak-anak lebih berkeyakinan diri dan lebih berfikiran terbuka, Oleh itu, cara gaya pembesaran anakanak juga akan menentukan sikap dan perkembangan manusia.
Berikut merupakan beberapa hasil dapatan daripada kajian Liong Lian Tai mengenai pengaruh ibu bapa terhadap perkembangan sosial, emosi dan rohani anak-anak:
Masalah disiplin yang timbul mempunyai perkaitan yang rapat dengan cara didikan dan asuhan di rumah. Sikap ibu bapa berupa penekanan dapat mempengaruhi perkembangan kanak-kanak dari segi sahsiah dan aspirasinya (Stodgil, 1970: 27)
Selain itu, setiap ibu bapa adalah lebih penting daripada taraf sosioekonomi. (W. C Miller 1971: 102)
Di samping itu, sikap ibu bapa yang membantah keras langkah kementerian mengetatkan disiplin murid, sedikit sebanyak mendorong ke arah kemerosotan disiplin murid. (Utusan Malaysia, 1987)
Murid-murid yang datang daripada keluarga yang bermasalah, di mana mereka tidak mendapat kasih sayang dan perhatian ibu bapa yang cukup, menambah kepada masalah tatatertib di sekolah-sekolah. (A. Rajaguru, Mohd Daud Saad & Ibrahim Saad, 1982: 260)
Kecelaruan dalam keluarga & kurang perhatian ibu bapa adalah punca kuat yang mempengaruhi jiwa remaja. Kajian Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati kerenggangan hubungan kekeluargaan menjadi punca utama remaja terjebak ke kancah maksiat. (Berita Harian. 10.11.93, 23)
Kajian yang dibuat oleh Universiti Chicago (Czikszentmihalyi, 1987) mendapati purata masa yang dikongsi oleh remaja dan ibu bapa yang bekerja hanya 12 jam seminggu. Ini mengakibatkan kekurangan masa bagi ibu bapa untuk mengasuh, mendidik dan membimbing anak mereka.
Faktor pemakanan juga merupakan salah satu daripada aspek yang dapat
mempengaruhi perkembangan dan pertumbuhan manusia. Pemakanan adalah amat penting untuk perkembangan dan pertumbuhan jasmani dan mental yang sihat. Makanan yang berzat dan seimbang adalah amat diperlukan untuk membantuk perkembangan dan pertumbuhan dan dapat melindungi seseorang individu daripada serangan penyakit. Walaupun ketinggian dan saiz badan ditentukan oleh faktor baka, namun pemakanan memainkan peranan yang penting untuk mengoptimumkan pertumbuhannya. Semaksimum manakah ketinggian seseorang itu akan dipengaruhi oleh pemakanan yang seimbang. Sebagai contoh, baka akan menentukan saiz badan, namun pemakanan yang berlebihan atau tidak seimbang akan menyebabkan pertumbuhan yang keterlaluan (kegemukan) atau terbantut (kurang zat makanan).
Pengaruh persekitaran juga boleh dipengaruhi oleh pengalaman di sekolah. Kedudukan sekolah samada berada di kawasan bandar, luar bandar dan pinggir bandar juga mempengaruhi perkembangan mental sosial dan jasmani seseorang individu. Faktor kemudahan prasarana, saiz sekolah, didikan dan asuhan guru , serta rakan-rakan di sekolah juga mempengaruhi perkembangan individu. Sebagai contoh, jika sekolah tersebut diterajui oleh Guru Besar yang amat perihatin mengenai pencapaian akedemik muridnya, pelbagai aktiviti bersifat akademik akan dilaksanakan. Dengan adanya program-program pengayaan dan pemulihan ia dapat membantu murid dalam meningkatkan lagi pencapaian akademik semaksimum yang mungkin. Dengan cara ini, murid-murid lebih berpotensi untuk mendapat prestasi akademik yang baik dari sebelumnya. Kemudahan di sekolah yang disediakan dengan baik juga dapat memberikan impak kepada perkembangan murid. Sebagai contoh, sekolah yang menyediakan kemudahan yang lengkap bagi kemudahan murid-murid pendidikan khas mampu mengatasi masalah pembelajaran yang dihadapi mereka. Berikut ialah petikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia(1988) mengenai perkara ini. “ Hari ini sekolah-sekolah menampung murid-murid yang lebih tidak seragam, iaitu dari segi sosial, ekonomi dan nilai budayanya kerana peluang-peluang bagi mendapatkan pelajaran adalah terbuka kepada semua murid. Selain daripada itu, faktor sekolah juga dikatakan sebagai salah satu sebab yang mempengaruhi disiplin murid. Di antaranya
ialah struktur dan organisasi sekolah; sistem hukuman dan penghargaan kepada murid; suasana nilai dan interaksi dalam sekolah; budaya sekolah yang lebih berorientasi akademik; dan sikap; tanggapan serta harapan para Guru”. (KPM 1988 pp25-26: MASALAH DISIPLIN MURID DI SALAH SEBUAH SEKOLAH RENDAH LUAR BANDAR DI DAERAH SARIKEI)
Selain dari itu faktor tempat tinggal juga memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan manusia. Anak-anak yang membesar di kawasan bandar lebih bersifat individualistik kerana persekitaran mereka tidak mementingkan hubungan yang mesra diantara jiran tetangga. Mereka juga lebih berpengetahuan dari segi multimedia kerana didedahkan dengan pelbagai kemudahan seperti internet dan suasana belajar di rumah yang lebih selesa. Ini berbeza dengan anak-anak yang membesar di kawasan kampung atau setinggan. Jika kanak-kanak membesar di kawasan kampung mereka akan lebih bertimbang rasa, tolong menolong dan berkerjasama kerana persekitaran mereka lebih bersifat sosial dan saling bantu-membantu diantara satu sama lain. Anak-anak yang membesar di kawasan setinggan pula cenderung untuk bersifat lebih kasar dan agresif kerana kebiasaannya persekitaran hidup mereka lebih bebas kerana kesibukan ibu bapa yang bekerja. Corak pergaulan mereka juga dapat mempengaruhi pembentukan tret personality mereka.
Pengaruh media juga amat penting bagi pertumbuhan dan perkembangan manusia. Media seringkali memberikan pelbagai infomasi mengenai segala aspek di dunia ini. Ibu bapa yang terdedah dengan informasi mengenai kesihatan, kehidupan dan budaya akan mementingkan dan mengutamakan faktor pemakanan, dan pendidikan anak-anak. Sebagai contoh ibu bapa yang berpendidikan tinggi sering menggunakan media seperti majalah, bahan bacaan ilmiah dan internet sebagai sumber rujuk bagi pemakanan dan pendidikan anak secara sihat. Ini dapat membantu anak-anak dalam mencapai pertumbuhan dan perkembangan yang paling baik. Bebeza pula dengan ibu bapa yang kurang mengambil berat tentang faktor ini. Gaya kehidupan yang kurang sihat dari segi pemakanan, pendidikan akan membantutkan pertumbuhan dan perkembangan anakanak.
Media juga mampu memberikan pengaruh perkembangan yang kurang baik. Sebagai contoh, anak-anak yang terdedah dengan bahan media yang kurang sihat seperti cerita dan permainan video yang ganas akan mempengaruhi pembentukan sahsiah dan sosial yang kurang baik seperti agresif dan mementingkan diri sendiri. Pusat ibadat juga merupakan salah satu daripada faktor yang mempengaruhi perkembangan manusia. Sebagai contoh, anak-anak yang tinggal berhampiran dengan pusat beribadat dan sering mengunjungi pusat ibadat mampu membentuk sahsiah dan perkembangan jasmani dan rohani yang lebih positif.
Kesimpulan
Pertumbuhan dan perkembangan manusia sering mendapat tempat dan menjadi fokus yang sangat dititikberatkan di bidang kajian psikologi perkembangan manusia. Tarikan ini didorong oleh keunikan konflik yang wujud di dalam proses pertumbuhan dan perkembangan manusia semasa melalui proses transformasi antara alam kanak-kanak menuju alam kedewasaan. Persoalan mengenai faktor baka atau yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan manusia sering menjadi bahan perdebatan dan kajian. Setelah meneliti dan membuat pembacaan, di antara baka atau persekitaran, didapati kedua-dua faktor ini memberi kesan terhadap pertumbuhan dan perkembangan manusia. Baka dan persekitaran menyumbang ke arah pertumbuhan dan perkembangan pada tahap yang maksimum. Namun aspek manakah yang lebih mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan manusia?
Pertumbuhan dan perkembangan dapat dilihat di dalam empat aspek iaitu aspek jasmani, mental, sosial dan emosi. Sebagai contoh bagi proses pertumbuhan manusia ianya lebih bersifat kuantitatif, dari aspek jasmani pertumbuhan manusia dapat dilihat dan diukur dari sudut ketinggian, saiz, berat badan dan bilangan gigi manakala, proses perkembangan pula lebih bersifat kualitatif atau tidak dapat diukur dengan tepat namun dapat diperhatikan. Sebagai contoh, dalam aspek jasmani, proses perkembangan dapat dilihat dengan pertambahan kemahiran menggunakan anggota seperti mengangkat,
berjalan, berlari dan melompat.
Jika dilihat dari aspek ilmu biologi iaitu faktor genetik atau baka. Melalui keturunan, sifat-sifat, ciri atau perwatakan seseorang individu itu sedikit sebanyak pasti diwarisi dalam susur jalur waris genetiknya. Seperti sifat panas baran, sawan atau gila yang disebabkan oleh ganguan jiwa kesan dari bawaan genetic DNA keturunan. Namun, pengaruh faktor baka ini tidaklah sesuatu yang kritikal dan hanya dianggap sebagai faktor-faktor terpencil dalam psikologi perubatan moden ia kini mampu dikawal atas kemodenan tamadun manusia.
Dalam konteks pertumbuhan dan perkembangan sosial pula, ciri-ciri kebakaan seperti ekstrovert, introvert dan ambivert dapat diwarisi. Namun, persekitaran dapat mengubah ciri-ciri tret individu tersebut. Walaupun individu itu mempunyai ciri-ciri ekstrovert di rumah tetapi tidak didedahkan dengan suasana sosial di luar, dia tidak dapat menzahirkan ciri-ciri semulajadi tersebut apabila berada di dalam masyarakat dan berkemungkinan sukar untuk berkomunikasi dengan orang lain. Faktor media, rakan sebaya dan masyarakat sekeliling amat mempengaruhi perkembangan dan pertumbuhan manusia.
Pertumbuhan dan perkembangan mental individu dipengaruhi oleh faktor baka dan genetik. Keturunan yang cerdik pandai akan melahirkan anak yang mempunyai kecerdasan yang tinggi. Namun demikian, jika anak tersebut tidak diberi pendidikan dan pendedahan yang baik kecerdasan tersebut tidak dapat berkembang dengan baik. Justeru bagi membina insan yang mempunyai kemahiran intelek yang tinggi persekitaran memainkan peranan yang penting. Ini termasuklah cara didikan ibu bapa, pembelajaran yang diberi kepada anak seperti persekolahan amat membantu ke arah meningkatkan intelek seseorang individu.
Pertumbuhan jasmani manusia seperti ketinggian dan saiz badan dipengaruhi oleh baka iaitu diwarisi. Namun, corak pemakanan amat mempengaruhi proses perkembangan dan pertumbuhan manusia. Makanan yang bernutrisi mampu membantu
manusia mencapai tahap maksimum pertumbuhan tersebut.
Dalam konteks emosi pula, ia lebih dipengaruhi oleh persekitaran. Walaupun ia dapat diturunkan oleh induk, persekitaran mampu mencorak perkembangan emosi manusia. Individu yang diberi pendedahan dengan keagamaan, serta tatasusila masyarakat lebih bijak mengawal emosi mereka. Perasaan marah, panas baran dapat dikawal oleh individu jika mereka dipupuk dengan nilai-nilai murni di dalam kehidupan seharian. Corak didikan ibu bapa juga mempengaruhi perkembangan emosi individu.
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa perkembangan dan pertumbuhan manusia dipengaruhi oleh baka dan persekitaran yang bertindak serta berinteraksi bersamasama untuk mencapai had maksimum pertumbuhan dan perkembangan manusia. Namun, era globalisasi hari ini memang tidak dapat dinafikan bahawa faktor persekitaran mempengaruhi dalam perjalanan kehidupan individu, dan memberi impak terbesar dalam pewatakan individu serta merupakan pengaruh terbesar masa kini kepada pertumbuhan dan perkembangan individu terutama yang sedang meningkat dewasa.
by: Nurulhaslin Zainol
BIBLIOGRAFI
Ee Ah Meng. (1997). Psikologi Dalam Bilik Darjah. Kuala Lumpur : Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Ea Ah Meng. (1993). Psikologi Perkembangan: Kuala Lumpur : Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Habibab Alias, Rahil Hj Mahyuddin. Psikologi Pendidikan Untuk Perguruan. (2002). Shah Alam : Karisma Publication.
Lee Shok Mee. (1994) Asas Pendidikan 2 Psikologi Dalam Bilik Darjah. Subang Jaya : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Mohd Amin H. A. Shariff. (1998). Perkembangan Kanak-kanak. Dewane. Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang. (2000). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI. Subang Jaya : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Murugiah Velayutaham. (1997). Psikologi Pendidikan 1 Psikologi Perkembangan. Subang Jaya : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Rohani Abdullah. (2001). Perkembangan Kanak-kanak Penilaian Serta Portfolio. Serdang : Universiti Putra Malaysia.
Tang Chee Yee. (1995). Asas Pendidikan 4 Sekolah dan Perkembangan Kanak-kanak. Subang Jaya : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Liong Lian Tai. (2006). MASALAH DISIPLIN MURID DI SALAH SEBUAH SEKOLAH RENDAH LUAR BANDAR DI DAERAH SARIKEI. Sarekei, Sarawak : Institut Perguruan Rajang Bintagor.
Dr. Rahil Hj Mahyuddin, Dr Abd Majid Mohd Isa, Dr. Zaidatol Akmaliah Lopi Pilie. (1995) Malaysia : Logman Mohammed Haji Yusuf, Lee Tuan New. (1989). Jurnal Pendidikan 13 & 14 pg. 37 – 50. Kesan Sekitaran ke atasnPemangkatan Nilai Para Pelajar: Satu Kajian Perbandingan.
Siti Nor Yaacob, Anita Abdul Rahman. (1997). Jurnal Pendidik dan Pendidikan, Jilid 15. Depresi dan Pencapaian Akademik Remaja Dari Keluarga Berbeza Struktur. Universiti Pertanian Malaysia.
Sharifah Md Nor. (1992). Jurnal Pendidik dan Pendidikan. Faktor-faktor Latar Belakang Yang Berkaitan Dengan Pencapaian Akademik Murid Darjah Satu. Universiti Pertanian Malaysia.
Rozumah Baharudin, Nazli@Nazlina Maliki.( 1999). Jurnal Pendidik dan Pendidik, Jilid 16. Kebapaan Dan Pencapaian Akademik Kanak-kanak Bandar dan Luar Bandar. Universiti Pertanian Malaysia.
Ab. Halim Tamurizuria, Mahmud Safani Bari. (2005). Jurnal Pendidikan 30 pg 21-33. Permasalahan Pelajar-pelajar Fakir Miskin di Daerah Sabak Bernam.
Hamidah Sulaiman. (2005). Pendidikan Islam dan Pengaruh Persekitaran dan Kemajuan : Kesan Kepada Pembentukan Sahsiah. Universiti Melaya.
“Baka atau Persekitaran: Yang Manakah Lebih Mempengaruhi ke atas Pertumbuhan dan Perkembangan Manusia”
1.0 Pengenalan Perbincangan mengenai pengaruh baka dan persekitaran terhadap pertumbuhan dan perkembangan manusia menimbulkan kontroversi dalam kalangan penyelidik untuk melakukan pelbagai kajian. Dalam konteks ini, dapatan kajian berhubung isu baka dan persekitaran boleh dimanfaatkan sebagai dapatan saintifik yang boleh diaplikasikan dalam pemerhatian dan penilaian terhadap proses perkembangan manusia. Perdebatan antara dua faktor ini telah menyebabkan wujud pihak yang hanya berpegang kepada satu faktor sahaja yang mendominasi perkembangan dan pertumbuhan manusia. Baka (nature) boleh ditakrifkan sebagai faktor biologi dan genetik yang mempengaruhi perkembangan manusia. Manakala persekitaran (nurture) merupakan pengaruh yang diperolehi melalui persekitaran dan pengalaman yang mempengaruhi proses perkembangan individu ( Rice, 1992). Perdebatan tentang isu baka dan persekitaran berlaku kerana keakuran dan kegagalan untuk membezakan antara fungsi perkembangan dan perbezaan individu (Mccall, 1981). Isu perbezaan individu boleh merujuk kepada kajian yang dijalankan terhadap tahap kecerdasan anak angkat (McCall, 1981). Sekiranya anak angkat mempunyai pendedahan persekitaran yang sama dengan keluarga angkatnya tetapi mempunyai tahap kecerdasan yang berbeza dengan keluarga angkatnya, maka ia dipengaruhi oleh faktor baka yang dimilikinya. Contoh, sekiranya tahap kecerdasan anak angkat sama dengan kecerdasan keluarga kandungnya berbanding keluarga angkat, maka faktor baka atau biologi mempunyai pengaruh yang kuat terhadap kecerdasan. Sekiranya tahap kecerdasan anak angkat tersebut lebih tinggi atau rendah daripada keluarga kandungnya sendiri, berkemungkinan perkara tersebut dipengaruhi oleh faktor persekitaran (Seifert & Hoffnung, 1997).
Kajian turut dijalankan terhadap anak kembar seiras dan tidak seiras untuk mengenal pasti faktor yang mempunyai pengaruh yang kuat dalam proses pertumbuhan dan perkembangan manusia. Dapatan kajian menunjukkan pasangan kembar seiras mempunyai pengaruh baka yang lebih kuat berbanding pasangan kembar tidak seiras ( Berk, 2004). Hasil analisis kolerasi kecerdasan menunjukkan pasangan kembar seiras ialah 0.86 dan pasangan kembar tak seiras 0.55 ( Scarr, 1977;dalam Berk, 2004). Oleh itu, baka memainkan peranan yang lebih besar dalam perkembangan individu. Hasil kajian yang dijalankan oleh J.M.Horn pada tahun 1983 tentang tahap kecerdasan mendapati anak angkat dan ibu kandung yang berkongsi faktor genetik hanya mempunyai hasil kolerasi 0.28; hasil kolerasi hubungan anak angkat dengan ibu dan bapa angkat yang berkongsi persekitaran masing-masing memiliki 0.15 dan 0.12 sahaja. Analisis berikutnya menunjukkan anak kandung yang berkongsi pengaruh baka dan persekitaran dengan ibu kandung, bapa kandung dan adik beradik kandung mempunyai dapatan berikut, 0.21, 0.29 dan 0.33. Secara keseluruhan, kolerasi yang paling tinggi merujuk kepada hubungan anak kandung dengan bapa kandung dan adik beradik kandung (Rice, 1992). Kajian ini membuktikan pengaruh baka dan persekitaran lebih kuat berbanding pengaruh baka atau persekitaran sahaja. Faktor baka bukan sahaja mempunyai pengaruh terhadap kecerdasan individu tetapi turut mempengaruhi personaliti dan perangai seseorang. Kajian yang dijalankan terhadap 348 pasangan kembar seiras dan 44 pasangan yang dipisahkan menunjukkan faktor baka mempunyai pengaruh yang kuat berbanding persekitaran dalam tret-tret personaliti ( Rice 1992). Menurut kajian apabila anak-anak sudah meningkat dewasa, pengaruh baka semakin berkurangan berbanding faktor persekitaran yang memainkan peranan yang lebih besar dalam proses perkembangan ( Riese, 1990;dalam Rice, 1992). Anak-anak yang sudah dewasa juga akan mempunyai personaliti tersendiri apabila mereka berjaya mencari identiti mereka sendiri.
Individu yang banyak bergantung kepada ibu bapa akan menjadi individu yang sukar berdikari dan membuat penyesuaian dengan persekitaran baru. Individu terbabit sukar untuk menerima perkara baru dalam persekitaran baru kerana kurang diberi pendedahan. Contohnya anak-anak yang tidak pernah tinggal di asrama dan tidak dilatih untuk berdikari akan mengalami masalah penyesuaian kerana kebanyakan aktiviti pengurusan diri perlu dilakukan sendiri. Pendedahan kepada persekitaran yang memtingkan sifat berdikari secara berterusan akan membantu individu tersebut untuk belajar dan melakukan penyesuaian. Oleh itu, faktor persekitaran mempunyai pengaruh langsung dalam proses perkembangan individu. Secara keseluruhan, perdebatan isu ini bukanlah perkara mudah ( Moshman, Glover & Bruning, 1987) untuk dirungkai pengaruh mana yang memainkan peranan yang lebih besar dalam proses pertumbuhan dan perkembangan individu. Contohnya, anak-anak yang berbangsa Melayu mempunyai kebolehan untuk berbahasa dengan baik kerana pengaruh genetik, tetapi bagaimana anak-anak tersebut dapat mempelajari sesuatu istilah atau perkataan dengan cepat bergantung kepada pengalaman yang dipengaruhi persekitaran ( Moshman, Glover & Bruning, 1987). Walaupun kedua-dua faktor yang dibincangkan sukar untuk dipisahkan dan dibandingkan sumbangannya, seseorang pengkaji tidak dianggap bersalah untuk memilih satu pengaruh yang dianggap kuat dan tidak menafikan sumbangan pengaruh yang lain.
2.0 Isi kandungan Sebagai seorang pengkaji, saya berpendapat bahawa faktor persekitaran lebih memainkan peranan yang besar terhadap pertumbuhan dan perkembangan manusia. Kefahaman tentang perkembangan manusia bukan hanya dilihat dari segi genetik sahaja tetapi merangkumi kefahaman yang menyeluruh tentang persekitaran sekeliling manusia ( Bee, 1994) dibesarkan seperti tahap pendidikan, peranan yang dimainkan oleh keluarga, ekonomi keluarga, rakan sebaya dan lain-lain. Setiap individu yang dilahirkan adalah berbeza antara satu sama lain dan tidak mewarisi keseluruhan
bakanya. Sebagai contoh, anak A mempunyai tingkah laku, tret-tret personaliti, cara pemikiran dan minat yang berbeza dengan anak B. Umumnya kedua-dua individu ini adalah adik beradik (genetik) tetapi pendedahan kepada faktor persekitaran menyebabkan mereka berbeza antara satu sama lain. Pengaruh Faktor Persekitaran Terhadap Pertumbuhan dan Perkembangan Manusia Hasil analisa yang dilakukan, pengkaji berpendapat bahawa faktor persekitaran mempunyai pengaruh yang besar dalam proses pertumbuhan dan perkembangan manusia berbanding faktor baka. Pandangan pengkaji disokong dengan pendapat Watson yang menyatakan perubahan persekitaran boleh mempengaruhi tingkah laku dan perkembangan individu ( Bigner, 1983). Perubahan persekitaran yang positif dapat membantu individu menjadi seorang yang lebih positif dari segi tingkah laku, emosi dan kognitif. Komponen tingkah laku, emosi dan kognitif yang positif dapat membentuk konsep kendiri manusia yang unggul dalam proses perkembangan. Sebagai seorang guru, pengkaji mendapati pelajar-pelajar yang mempunyai latar belakang keluarga yang berpendidikan tinggi boleh cemerlang dalam pelajaran apabila persekitaran tersebut memberi motivasi positif terhadap perkembangannya. Persekitaran yang membina boleh mencetus sumber inspirasi yang boleh diikuti dan dijadikan contoh. Contoh baik yang ditunjukkan oleh ibu bapa dan ahli keluarga secara berterusan mendorong perubahan tingkah laku. Pengkaji juga mendapati pelajar-pelajar yang mempunyai ibu bapa yang kurang berpendidikan tinggi turut mampu mencapai kejayaan yang cemerlang dalam akademik dan sahsiah. Faktor yang mempengaruhi kecemerlangan mereka ialah sokongan ibu bapa yang mementingkan agenda pendidikan. Ibu bapa mereka sanggup memperuntukkan sumber kewangan demi pendidikan walaupun terpaksa berhutang. Pengorbanan murni ibu bapa menjadi sumber motivasi untuk mencapai kejayaan. Kesusahan keluarga bukan menjadi penghalang kepada kejayaan individu sekiranya seseorang itu menjadikan kesusahan keluarga sebagai rangsangan untuk melakukan perubahan.
Kejayaan Nik Nur Madihah dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2008 merupakan contoh dan model yang boleh menyokong pendapat pengkaji tentang pengaruh persekitaran dalam proses perkembangan individu. Kemiskinan keluarga tidak menghalang beliau untuk mencapai kejayaan kerana beliau mempunyai ibu bapa yang sentiasa memberi input dorongan untuk terus belajar. Walaupun bapa Madihah seorang nelayan tetapi sikap ayahnya terhadap kepentingan pendidikan telah mempengaruhi sikap Madihah sendiri untuk terus menuntut ilmu. Pendapat sesetengah pihak tentang kegagalan dalam pendidikan berpunca daripada kemiskinan keluarga adalah tidak wajar dalam konteks kejayaan Madihah. Pelajar-pelajar yang tidak menerima dorongan dan didikan yang berterusan daripada ibu bapa akan mengalami kegagalan dalam proses perkembangan mereka. Senario ini berlaku apabila ibu bapa tidak mementingkan aspek akademik dan pendidikan sahsiah anak-anak. Ibu bapa hanya menginginkan pencapaian yang baik tetapi tidak ada usaha berbentuk tindakan ditunjukkan terhadap anak-anak. Kesilapan ini menyebabkan anakanak mula membentuk sikap yang menilai pendidikan itu tidak penting dalam hidup mereka. Secara langsung, anak-anak akan melalui proses perkembangan yang tidak sihat kerana kurang pengukuhan positif terhadap mereka di peringkat awal. Pengaruh persekitaran bukan hanya dilihat dari segi kecemerlangan akademik sahaja tetapi turut mempengaruhi aspek pembentukan sahsiah dan akhlak yang mulia. Individu yang memiliki kecemerlangan akademik sahaja tidak akan menjamin kecemerlangan peribadi sekiranya tiada perdedahan terhadap persekitaran yang mendidik jiwa. Contohnya, seorang pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik tetapi terjebak dengan budaya sosial yang tidak sihat kerana beliau kurang pendedahan terhadap aplikasi ilmu yang dimilikinya. Terdapat individu yang kurang cemerlang dari segi akademik tetapi mempunyai sahsiah yang baik kerana pengaruh persekitaran mendorong beliau berkelakuan demikian. Dalam situasi ini, ibu bapa yang mendidik anak secara asertif boleh mempengaruhi pemikiran anak tersebut untuk berfikir tentang rasional dalam setiap tingkah laku. Persekitaran mendidik yang tidak efektif seperti terlalu memanjakan anak dan takut untuk menegur tingkah laku yang salah akan menjana pemikiran yang tidak rasional
terhadap penerimaan tingkah laku. Anak-anak tersebut akan menganggap tingkah laku yang salah sebagai tingkah laku yang betul kerana ibu bapa mereka tidak pernah menegur tentang kesilapan tersebut. Persoalan yang boleh ditimbulkan di sini, siapakah yang harus dipersalahkan kerana perkara ini merupakan senario yang semakin meruncing. Institusi keluarga berperanan untuk mendidik individu tentang nilai, bahasa, kemahiran, kebolehan tertentu, budaya dan sebagainya. Selain itu, individu yang mempunyai keluarga akan merujuk ahli keluarga yang lain bagi mendapatkan maklumat, pertolongan dan sokongan (Berk, 2004). Oleh itu, pengaruh keluarga bukan hanya dilihat dari segi tahap pendidikan akademik anak-anak sahaja. Contohnya, Adrin merupakan anak seorang nelayan dan secara langsung beliau terdedah dengan dunia seorang nelayan dan mampu untuk membantu ayahnya jika bapanya tidak ke laut. Pengkaji ingin menunjukkan bahawa persekitaran individu tersebut mempengaruhi beliau untuk melakukan proses penyesuaian terhadap persekitarannya. Sekiranya Adrin tidak terdedah dengan dunia nelayan, berkemungkinan beliau tidak mampu untuk membantu bapanya dalam hal-hal berkaitan kemahiran seorang nelayan. Kaedah pembelajaran yang diadaptasi melalui peniruan merupakan elemen dalam faktor persekitaran. Anak-anak yang selalu didedahkan dengan tingkah laku tertentu akan mudah terikut secara automatik. Sebagai contoh, Dila selalu melihat ayahnya membaca buku-buku ilmiah pada waktu lapang dan sering duduk bersamanya. Tingkah laku yang ditunjukkan oleh bapanya menyebabkan Dila turut cenderung untuk melakukan perkara yang sama. Pembentukan tingkah laku tersebut boleh dikaitkan dengan teori pembelajaran sosial (social learning theory) yang menekankan proses pembelajaran melalui persekitaran sosial dan penilaian kognitif ( Kretchmar, 2008 ). Sistem kekeluargaan boleh mempengaruhi perkembangan manusia secara langsung dan tidak langsung. Pengaruh keluarga secara langsung boleh dilihat melalui bentuk layanan yang ditunjukkan oleh ibu bapa atau individu lain dalam keluarga. Ibu bapa yang menggunakan pendekatan yang baik dan layanan yang berhikmah terhadap anak-
anak akan mendidik anak tersebut untuk membentuk sikap dan nilai yang baik. Manakala, ibu bapa yang menggunakan pendekatan mengherdik dan menengking sebagai mekanisma komunikasi boleh mempengaruhi anak mereka untuk bersikap kurang ajar dan tidak mengetahui nilai kesopanan dalam interaksi ( Berk, 2004). Oleh itu, tingkah laku dan sikap yang dipaparkan oleh ibu bapa dan ahli keluarga yang lain boleh mempengaruhi proses perkembangan individu. Pertumbuhan dan perkembangan manusia juga boleh dikaitkan dengan pengaruh tidak langsung. Contohnya, ibu bapa yang telah bercerai akan menyebabkan anak-anak mereka mengalami masalah emosi (Berk, 2004) yang boleh mengganggu kehidupan mereka. Campurtangan pihak lain seperti datuk dan nenek turut menyumbang kesan kepada proses perkembangan individu. Contohnya, anak-anak yang ditinggalkan kepada datuk dan nenek akan lebih menyayangi datuk dan nenek mereka berbanding ibu bapa sendiri. Situasi ini akan menyebabkan anak-anak tersebut mudah mempelajari dan mengadaptasi persekitaran dan budaya yang diamalkan oleh datuk dan nenek mereka. Kesannya anak-anak tersebut sukar untuk menerima teguran ibu bapa sendiri dan lebih suka untuk tinggal dengan datuk dan nenek berbanding ibu bapa kandung. Ibu bapa yang mempunyai pengetahuan tentang kepentingan pemantauan proses perkembangan dan pertumbuhan anak-anak tidak akan melepaskan tanggungjawab mereka kepada pihak lain secara keseluruhan. Tindakan sedemikian membantu ibu bapa untuk mencipta dan mencorak persekitaran yang lebih produktif untuk perkembangan anak-anak sebagai manusia yang unggul. Anak-anak juga akan menjadi lebih akrab dan rapat dengan ibu bapa dan memperolehi sumber kasih sayang yang mencukupi. Perlaksanaan peraturan perlu dipraktikkan untuk membentuk disiplin serta mengelakkan tingkah laku yang tidak bermoral. Amalan sebegini dapat memperbaiki masalah tingkah laku sosial yang semakin menular dalam masyarakat. Masalah sosial yang berlaku sekarang mempunyai perkaitan dengan peraturan yang tidak dipraktikkan dan hanya dijadikan teori sahaja. Berdasarkan pepatah, sesuatu ilmu yang dipelajari tanpa diamalkan tidak berguna dan sia-sia sahaja. Menurut Bee ( 1994 ), ibu bapa yang dibesarkan dengan sistem disiplin yang lemah mempunyai kecenderungan untuk
melakukan perkara yang sama terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa yang mempunyai kemahiran mendidik dan pengurusan anak-anak juga tidak terkecuali mengalami masalah mendidik apabila mengalami tekanan di dalam hidup (Bee, 1994). Faktor tekanan boleh menjejaskan persekitaran dan mempengaruhi proses perkembangan individu. Elemen yang turut menyumbang kepada peranan faktor persekitaran terhadap proses perkembangan individu ialah status socioekonomi. Status socioekonomi keluarga merangkumi tiga perkara berikut iaitu (1) tahap pendidikan, (2) pekerjaan dan kemahiran yang dimiliki (3) pendapatan ( Berk, 2004 ). Golongan yang rendah status socioekonomi akan membentuk sikap rendah diri dan tidak dapat melaksanakan kuasa dengan baik kerana jenis pekerjaan yang dilakukan. Individu yang tinggi status socioekonomi mempunyai tahap keyakinan yang lebih tinggi dan dapat melaksanakan kuasa mereka. Ibu bapa yang rendah status socioekonomi lebih menekankan ciri-ciri luaran dalam mendidik anak seperti ketaatan, kepatuhan dan kebersihan, manakala ibu bapa yang tinggi status socioekonomi lebih menekankan tret-tret psikologi seperti kegembiraan, perasaan ingin tahu, mempunyai matlamat diri, kematangan sosial dan kognitif dalam mendidik (Berk, 2004). Oleh itu, anak-anak daripada dua keluarga ini mempunyai pendedahan dan persekitaran yang berbeza dalam proses perkembangan mereka. Tahap pendidikan turut mempengaruhi perbezaan status socioekonomi dalam interaksi keluarga (Berk, 2004). Ibu bapa yang mempunyai status socioekonomi yang tinggi mempunyai peluang yang luas dalam membina persekitaran dan merangsang perkembangan individu. Pendapatan keluarga yang baik dapat mengurangkan tekanan dalam proses perkembangan. Keluarga yang mempunyai pendapatan yang tidak tetap dan sering bermasalah akan mengalami tekanan yang besar. Realitinya dapat dilihat dalam masyarakat kita apabila keluarga yang mempunyai pendapatan yang rendah akan mengalami masalah untuk menyekolahkan anak-anak. Alasan kekangan kewangan menyebabkan mereka memberhentikan anak-anak daripada meneruskan pengajian. Tindakan sedemikian mencerminkan sikap kurang kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam perkembangan anak-anak. Anak-anak akan mewarisi
kemiskinan ibu bapa mereka sekiranya tidak diberi peluang untuk bersekolah walaupun mempunyai peluang berbuat demikian. Situasi ini boleh berlarutan dan memberi kesan kepada generasi lain dalam keluarga. Sikap ibu bapa yang hanya menyerahkan segala tugas mendidik kepada guru
di sekolah semata-semata turut menyumbang kesan terhadap
perkembangan anak-anak sebagai individu. Secara umum, guru mendidik anak-anak sebagai pelajar di sekolah tetapi hakikat sebenar pendidik dimiliki oleh ibu bapa itu sendiri. Tindakan ibu bapa yang sering menyalahkan guru kerana gagal mendidik anak mereka adalah tidak wajar kerana tanggungjawab mendidik bermula di rumah. Setiap ibu bapa perlu mempunyai kefahaman bahawa sikap dan tingkah laku negatif anak-anak mempunyai kaitan dengan mereka sendiri. Ibu bapa semestinya melakukan analisa dan penilaian tentang kesilapan atau kecacatan dalam mendidik. Sekiranya mereka dapat menyedari kesilapan dan melakukan pembetulan, anak-anak mereka akan turut sama melakukan perubahan. Anak-anak yang sudah meningkat dewasa sukar untuk mengubah tingkah laku negatif sekiranya ibu bapa mereka tidak mendidik sejak dari kecil lagi. Contohnya, anak-anak yang malas hendak menunaikan solat sukar untuk mengubah tingkah laku kerana ibu bapa mereka tidak pernah memberi penegasan kepada perlaksanaan solat semasa kecil. Dalam konteks ini, persekitaran yang dilalui oleh anak-anak turut mencerminkan sejauh mana kefahaman mereka tentang kepentingan menunaikan solat, tuntutan kewajipan dan sebagainya. Pepatah yang menyatakan “ Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya” mempunyai perkaitan dengan pengaruh persekitaran dalam pertumbuhan dan perkembangan individu. Pendedahan kepada persekitaran yang mementingkan sikap individualistik turut mempengaruhi perkembangan individu. Individu yang dididik secara sedemikian lebih suka untuk hidup bersendirian, tidak suka untuk bergaul dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan. Persekitaran yang mementingkan amalan secara berkelompok membantu individu membentuk sikap dan tingkah laku positif. Masyarakat kolektivistik mendefinasikan diri mereka sebagai sebahagian daripada kelompok dan mementingkan matlamat kelompok berbanding matlamat individu. Masyarakat individualistik menganggap diri mereka tidak berkaitan dengan kelompok masyarakat dan lebih
mementingkan matlamat dan keperluan peribadi ( Triandis, 1995;dalam Berk, 2004 ). Berdasarkan budaya Malaysia, kehidupan secara kolektivistik dianggap mulia dan amat digalakkan. Perkembangan dan pemodenan yang berlaku telah menyebabkan individu hari ini lebih mementingkan hidup secara individualistik. Mereka lebih suka untuk fokus kepada kerjaya, kehidupan yang selesa dengan memiliki aspek material tanpa melihat kepentingan bermasyarakat. Sikap sebegini berlaku disebabkan keluarga yang tidak mementingkan semangat kebersamaan di dalam aktiviti yang dijalankan. Terdapat ibu bapa yang tidak suka melibatkan diri dengan aktiviti anak-anak dan lebih suka membiarkan anak-anak tersebut melakukannya sendiri. Akibatnya, anak-anak membentuk sikap mementingkan diri dan tidak suka untuk berkongsi dengan pihak lain. Secara ideal setiap keluarga mempunyai komponen peranan, peraturan dan kuasa. Ketiga-tiga komponen ini perlu dipraktikkan dan dilaksanakan dengan baik supaya persekitaran positif dapat dibina. Ibu bapa yang mengetahui peranan, peraturan dan kuasa yang perlu dilaksanakan tidak akan mengalami masalah besar untuk mendidik anak. Peranan dan kuasa yang sepatutnya dilaksanakan oleh seorang anak tidak sepatutnya dicerobohi oleh ibu bapa. Pencerobohan hak anak-anak menyebabkan mereka tidak mempunyai ruang untuk membuat keputusan, tiada kebebasan dan terkongkong. Persekitaran sedemikian menyebabkan perkembangan individu yang unggul akan menghadapi masalah. Melalui tugasan ini, pengkaji banyak memberi penekanan kepada peranan keluarga sebagai salah satu komponen faktor persekitaran yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan manusia. Penekanan tersebut diketengahkan kerana pengkaji berpendapat banyak perkara yang berkaitan perkembangan manusia bermula di rumah iaitu institusi kekeluargaan. Keluarga yang bermasalah atau tidak bermasalah mempunyai pengaruh terhadap perkembangan. Punca utama masalah sosial hari ini ialah disebabkan oleh sistem dan struktur keluarga yang tidak berfungsi dengan baik. Pada hari ini, terdapat anak-anak kepada pasangan yang berpendidikan agama terlibat dengan tingkah laku negatif kerana kurangnya penegasan dan lemah kemahiran mendidik. Persekitaran yang kondusif dan konstruktif dapat membantu menjana pemikiran, jati diri, sikap, tingkah laku dan personaliti unggul. Faktor baka bukan
penentu utama kepada perkembangan kerana setiap individu lebih banyak terdedah dengan proses sosialisasi.
3.0 Kesimpulan Sebagai kesimpulan, pengaruh faktor baka dan persekitaran terhadap pertumbuhan dan perkembangan manusia sememangnya sukar untuk dibuat pilihan yang manakah paling dominan ( Bigner, 1983 ). Kedua-dua faktor ini mempunyai pengaruh dan sumbangan yang tersendiri terhadap perkembangan manusia. Pengaruh faktor baka atau persekitaran sahaja tidak dapat membentuk manusia yang unggul secara keseluruhannya. Kedua-dua faktor ini saling berinteraksi antara satu sama lain dan saling melengkapi. Individu yang dilahirkan mewarisi genetik ibu bapanya dan akan dididik untuk menjadi individu berguna. Pada peringkat awal, peranan tersebut terletak kepada ibu bapa untuk mencorakkan anak-anak samada baik atau tidak. Kemahiran keibubapaan membantu untuk menyatukan unsur keunikan personaliti yang diwarisi dan persekitaran sosial yang dilalui. Penerimaan tentang pengaruh baka perlu dilihat dari perspektif yang mendalam iaitu sebelum berlakunya proses persenyawaan lagi. Pasangan suami isteri perlu menjaga tingkah laku dan mengubah tingkah laku yang negatif sebelum mengambil keputusan untuk mempunyai zuriat. Segala bentuk perbuatan yang dilakukan akan disimpan sebagai maklumat di dalam DNA pasangan. Anak-anak yang dilahirkan turut mewarisi maklumatyang dimiliki ibu bapa mereka. Contohnya, seorang bapa yang bersifat panas baran mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk memiliki anak yang turut mempunyai sifat yang sama. Ibu yang hamil mempunyai pengaruh yang besar terhadap anak yang dikandung kerana berlaku proses komunikasi secara langsung melalui plasenta. Kandungan yang sihat bergantung kepada tahap kawalan emosi ibu itu sendiri. Wanita hamil yang berperwatakan baik akan melahirkan anak yang sihat dan cerdas. Tahap kecerdasan ibu bapa yang tinggi turut diwarisi oleh anak-anak itu sendiri. Personaliti anak-anak pada peringkat awal adalah tidak stabil dan mudah untuk berubah. Pendedahan kepada
persekitaran akan mendorong individu melakukan penyesuaian dan adaptasi terhadap tret-tret personaliti mereka. Berdasarkan hasil kajian yang mengaplikasikan konsep interaksi ( baka dan persekitaran) telah menyenaraikan tiga faktor berikut yang mempengaruhi perkembangan: (1) perbezaan individu dari segi kebolehan, personaliti dan bentuk tingkah laku hasil interaksi faktor baka dan persekitaran, (2) kematangan dan limitasi genetik; proses pembelajaran tidak akan berlaku sekiranya terdapat limitasi genetik (3) kemampuan seseorang untuk memberi maklum balas terhadap rangsangan bergantung kepada kesediaannya untuk belajar ( Hurlock, 1980;dalam Bigner, 1983). Merujuk kepada dapatan tersebut, kedua-dua faktor ini memainkan peranan yang saling berinteraksi terhadap proses pertumbuhan dan perkembangan manusia.
4.0 Rujukan Bee, H. (1994). Lifespan development. New York: HarperCollins Publishers. Berk, L.E. (2004). Development through the life span (3rd ed.). USA: Pearson Education,Inc. Bigner, J. J. (1983). Human development a life-span approach. New York: MacMillan Publishing Co., Inc. Kretchmar, J. (2008). Social learning theory. Research Starters Academic Topic Overview, 1-7. McCall, R.B. (1981). Nature-nurture and the two realms of development: A proposed integration with respect to mental development. Child Development, 52(1),1-12. Moshman,D., Glover, J. A., & Bruming, R. H. (1987). Developmental psychology. USA: HarperCollins Publishers. Rice, F.P. (1992). Human development a life span approach. New York: MacMillan Publishing Company Seifert,K.L., & Hoffnung, R.J. (1997). Child and adolescent development (4th ed.). Boston: Houghton Mifflin Company.